09 July 2013

Kabin di Tepi Tasik(2013): Noir Menarik

Kadang-kadang bila kau dah hiba menonton wayang dan melihat tahap prestasinya, kau akan cari TV. Memang betul, kadang-kadang TV akan memberi kau sesuatu. Aku selalu menunggu, dan paling mengejutkan selalunya dengan siaran yang orang lain dah malas menonton, yakni RTM. Kau tunggu-tunggulah dan kau akan terkejut, pengisiannya jauh lebih baik daripada Cerekarama TV3.

Astro juga antara sebuah "lapangan seni" yang memberi peluang itu. Dan telefilem ini aku tonton kerana genre noir yang ditampilkan, walaupun sedikit meniru kebaratan (itu hal biasa).

Telefilem ini diarahkan oleh Raja Mukriz, antara pengarah muda yang seperti Bade Hj. Azmi, bermula dengan mengarah sinematografi. Dah banyak imej-imej cantik yang mamat ni dah buat. Antara yang aku paling ingati ialah Kala Malam Bulan Mengambangnya, namun dia ni dah duduk lama, sejak Bade tengah naik dan sejak Osman Ali buat Bukak Api

Ellyna Ahmad merupakan penulis skripnya, dan aku lega, kerana Ellyna berjaya menangkap semangat noir yang tipikal dalam dunia Hollywood, femme fatale, keterasingan, diri dibuang, syak wasangka tinggi, monolog panjang, semuanya ada. Hanya kerana aku sudah biasa menonton noir, separuh dalam filem ini aku sudah agak siapa bunuh siapa dan siapa yang "hantu" dalam filem ni.

Telefilem bermula dengan imej radio di atas meja, lagu Tamil lama, dua orang pengawal keselamatan sedang "makan tengah hari", lalu tiba-tiba frekuensi radio rosak. Si pegawai bising, "Suruh tuan kita ubah TVlah!" Kemudian bunyi tembakan. Mereka bergerak "ke tepi tasik".

Imejan pertama selalu memberi kita klu terkuat.

Ada beberapa tanggapan yang keluar: filem ini sememangnya bukan berkenaan golongan marhaen. Golongan ini dibayangkan dengan dua pegawai tersebut (yang kemudiannya kita tidak jumpa sampai habis). Radio ini menarik: ini menggunakan gaya lama. Ya. Lagunya mendayu, romantik. Ada kisah romantik dalam "tragedi" ini. Ia rosak tiba-tiba. Ada halangan. Secara lalu, kita memahami bahawa kritis sosial (yang biasa dalam noir)  yang berlaku dalam filem ini berkenaan perminan dan rakus kuasa kalangan orang berkuasa/kaya, yang mana orang marhaen hanya "menonton" atau "mendengar" (mengikut). Namun tanda ini tidak begitu menyerlah kerana sememangnya "mainan para orang atasan" yang kelihatan dimainkan dalam filem ini, khusus dengan standard noir yang berpunca daripada seorang watak yang dilakonkan oleh Zul Ariffin.

Zul Ariffin ini mengejutkan. Strata emosinya pelbagai, dan mimik mukanya punya ikonik menarik. Dia antara pelakon baharu yang "dilahirkan" untuk memadu asmara di layar. Dia protagonis, antihero filem ini, bergerak kerana mendapat mimpi-mimpi aneh berkenaan ayahnya. Dia kembali ke rumah ayah namun disambut hambar oleh ahli keluarga. Syak tersembul. Dia mencari jawapan dalam samar-samar, walaupun dengan "hantu" dan mimpi. Ini menarik dan membuka dimensi satu lagi, walaupun noir.

Telefilem ini boleh jadi top notch jika hanya ada syot-syot yang lebih menarik (rujuk syot tidak logik Zul
ambil masa buka tombol pintu kabin). Paling aku sakit hati ialah penggunaan efek suara untuk "mengimbas kembali", ugh!! Kerana jelas, cara yang ditulis lebih terikat dengan gaya Lynch "membuka pintu" walaupun tidak sekompleks auteur itu. Filem-filem noir lama juga tidak menggunakan efek sebegitu. Kemudian ada runut bunyi entah apa-apa, hah, ada orang nyanyi??? Aku rasa elok lagi jika bajet nyanyi dan lagu itu diberikan kepada seorang penulis muzik yang berhak atau penyadur lagu Barat yang pandai macam anak-anak Yusof Haslam, mungkin lebih menarik, walaupun ada beberapa bahagian lagu saduran itu menjadi menarik dengan imej telefilem.

Dan pengakhiran telefilem ini, aku betul-betul suka. Berani dan amat pesimistik melihat golongan orang atasan yang tidak tahu menyelesaikan masalah (rujuk kembali berkenaan radio rosak pada awal filem). Sebuah telefilem menarik mengikut corak noir.

No comments: