07 June 2013

The Great Gatsby (2013): Denyaran Hijau Memukau

Aku serius tak peduli apa-apa pun orang nak kata fasal filem ni.

Aku sukalah!

Aku bukan mainlah ambik masa nak gi menonton filem ni, dekat sebulan jugalah. Apabila ada kawan aku (mamat buku) yang kata filem ni boleh layan, barulah aku halakan West Egg aku untuk tonton filem ni. Kawan aku mamat buku tu tak salah. Dari awal denyaran hijau sampailah ke pengkahiran kelip-kelipnya, aku terduduk dan menyukai setiap teguran dan hidangan yang diberikan oleh pengarah Strictly Ballroom dan Moulin Rouge ni. Apa fasal diorang tak suka, ah, pedulilah. Ada orang boleh bersyahwat menonton Ombak Rindu, ada orang boleh bersedu-sedan menonton Ombak Rindu, ada orang boleh membantai kiri kanan dan depan menonton Ombak Rindu, dan ada orang boleh tunjuk cerdik dan comel depan mamat-minah Youtube seperti Matlutfi dengan memondankan diri memparodikan Ombak Rindu.

Baz Luhrmann mempunyai suatu gaya yang tak ramai orang suka, tetapi kegilaannya dalam mengawal tempo dan nada filemnya, seperti suatu "muzik" ataupun "tarian" yang disampaikan dengan jiwa (passion) yang membuatkan filemnya unik. Kau suka atau tak suka fasal ni, lantak kau lah.

Kerana itulah Baz, dan aku menyukainya.

Filem ini sememangnya kena masuk Oscar, sekurang-kurangnya untuk solekan, tatarias pakaian, dan pengarahan seni. Ya, Kita tak mungkin terikat dengan kelemahan lakonan Carey Mulligan (malah kita pernah menontonnya melakukan yang lebih baik daripada ini), atau biasa-biasa Tobey Maguire sang pencerita (yang mengingatkan aku kepada Ice Storm, filem yang turut memaparkan beliau sebagai wakil penyaksi kemunafikan dunia keluarga kaya-urban era 60-an) yang menyampaikan kisah ini dalam satu terapi jiwa yang panjang (dia disimpan dalam wad sakit jiwa kerana menjadi peminum arak yang melampau). Ah, yang paling penting ialah Leonardo DiCaprio yang kita kenali dalam filem ini sebagai seorang budiman yang bijak tetapi jauh dalam sudut hatinya, penuh dengan harapan dan angan-angan seakan sang romantis yang mahu mengejar bintang. Inilah harapan Amerika waktu itu, di sisi kritikan jurang sosialnya yakni golongan "bangsawan" yang punya "dunia sendiri" dan keterasingan terhadap perubahan sosial yang berlaku pada golongan marhaennya.

Memang, filem ini tidaklah begitu mencungkil dengan kritis hal-hal "jurang" ini. Hal-hal "sastera" yang dapat kononnya difikirkan oleh kebanyakan pengkritik untuk menjadikan filem ini "hebat", namun kalau mahu dibandingkan dengan penipuan Argo, filem ini dengan kisah cinta, lapisan cerita (yang kita mahu percaya atau tidak dari buah mulut Gatsby, itu hal lain) dan pendedahan, khianat, dan tragedinya merupakan sebuah filem romantik-tragedi yang jujur dan menjadi buat aku, walaupun kelihatan satu lapisan dan gemerlapan dengan pelbagai CGI dan berlian.

Ini yang penting. Ya, kita kenal Baz dengan sifat MTV Romeo+Julietnya yang mengikat dunia dahulu dengan "rujukan" yang dia kenal dari "jauh" lalu mengisinya dengan sifat ba-ba-boom yang biasa kita tonton dalam Hindustan (jangan lupa teliti mengapa Amitach Bachan dalam filem ini, dan ya, kita sudah nampak hal ini sedari Strictly Ballroom lagi). Ini "impresionisme" Baz, walaupun keanak-anakan, Disney-like, dan penuh "lelaki bersut merah jambu", seorang anak kecil yang menceritakan sebuah "dongeng" yang serius, dan ini dibuat dengan sungguh indah.

Ada satu babak yang mengagumkan, sewaktu pertemuan "sekali lagi" sepasang kekasih yang sudah lama tidak ketemu, yakni Daisy-Gatsby. Babak itu sungguh intense, kau boleh berasakan keinginan mereka yang tidak terungkap tetapi menyakitkan, melapangkan, dan rindu dendam. Ah, kita teringatkan Romeo+Juliet dan Moulin Rouge di sini. Sekali lagi, Baz berkata: romantik dalam dunia penuh kepura-puraan sekarang sudah menghilang. Amat susah untuk kita capai lagi Strictly Ballroom dan Australia. Kalau Gatsby ada di sini dan menonton ini, dia pun akan faham, dan tersenyum lapang tanpa kata-kata (dan terus memburu mimpinya).

Runut bunyi filem ini cemerlang. Suaranya kadang-kadang menghantui, kadang-kadang meloncat dan kadang-kadang menyedihkan. Ia mengalun lagu sunyi dalam wajah ceria dan suka manusianya. New York yang besar dan angkuh itu pertama kali tampak kosong dan sepi, walaupun dalam buatan CGI.

Ini sebuah filem yang melapangkan. Sebuah filem yang yakin dengan sesuatu walaupun kita tidak memberinya peluang.

1 comment:

TAd said...

Love this film.