12 July 2012

8 Jam(2012): Durasi Filem Ini

Aku dapat merasakan selepas menonton filem ini, Ahmad Idham tak dapat pergi jauh (dalam seni pengarahan). Filem ini, contohnya (dengan skrip Tommy CT Loh[?]) sememangnya memerlukan kata indah sinema untuk menggerakkannya (filem ini berkenaan "8 jam" yang diberikan kepada seorang banduan disabitkan dengan hukuman gantung, lalu menyampaikan cerita atau justifikasi jika benar dia patut dihukyum atau dilepaskan), perlu gaya (pernah tonton The Raid: Redemption?) dalam mengimbangkan genre aksi-melodrama (yeap!)- noir yang kelihatan cuba digarap. Malah "noir" yang (secara tidak sengaja, adakah Idham sedar akan ini?) digarap sesuai dengan klimaks antiklimaksnya dengan (spoiler!) femme fatalenya dibunuh, hanya berlingkar dengan asap-asap dalam babak yang entah apa-apa tanpa penggunaannya yang betul (asap kabus-kabus ala feeling feeling itu hanya digunakan pada sisi lorong gelap, waktu malam dan penjara, yeap, penjara! Apa maknanya semua ni?)

Ada empat filem "anak gelendangan" tahun ni, setiap satunya mempunyai kekuatan (atau kelemahan) serta bauran genre, memulakan satu "tema" baharu mungkin, yang mana Songlap paling kuat, kemudian ada Chow Kit dan Jiwa Taiko lalu kemudiannya filem ini (ada lagi yang aku terlepas?) dan kemungkinan filem ini yang paling lemah antara empat walaupun idea untuk filem ini "decent", sepertimana yang aku pernah merasainya dalam In Cold Blood (1967) dan A Short Film About Killing (1988) yang sudah tentu filem-filem itu jauh lebih berhasil menyatakan estetik dan persoalan moral dan sosialnya, dan menjawab persoalan "mengapa mereka membunuh" dalam jawapan (atau teka-teki) mereka tersendiri, yang mana filem ini "cuba" lakukan tetapi terbabas kerana ketidakhaslikan Idham memahami estatik, imbangan dan pemerhatian genre.

Salah satu masalah Idham adalah menganggap filem ini sebuah filem "komersial". Ini LANGSUNG tak salah, tetapi CARA dilakukan itu, lebih-lebih lagi dalam pengimbangan Idham dalam saat penjara-drama, perhubungan-melodrama dan pergaduhan-aksi, perlu Idham tahu bahawa "aksi" merupakan ruang dan emosi tersendiri yang harus difahami, menaikkan adrenalin. Merantau merupakan sebuah filem yang faham imbangan melodrama-aksi, yang mana, mengetahui bila mahu menyampaikan "drama emosi" dan bila memberikan "aksi". Masalah utama filem ini adalah susunan aksinya, yang kelihatan besar-besar-besar dan tidak mahu kalah antaranya, sedangkan perlu disusun, pertamanya, aksi yang "kecil" (yang filem ini lakukan dengan baik dengan pergaduhan di pasar, kemudian di sekolah) kemudian pergaduhan konflik, kemudiannya mungkin pergaduhan "turning point" dan akhirnya pergaduhan "big boss" yang menyelesaikan klimaks. Tetapi tak. Ada unsur melodrama yang disusun menyebabkan keterujaan hilang, emosi aksi bungkam malah terbenam kerana inti romantik suam-suam kukunya serta ton gelapnya ingin disampaikan. Hal itu sudah tentu SESUAI bagi sebuah filem serius eksperimental ala bebas (indie) dan bukan filem komersial formulaik yang mana teknik filem ini digerakkan.

Shaheizy Sam mempunyai watak menarik dan kiranya "bolehlah" membawa watak anak gelendangan ini (tetapi cuba bandingkan dengan yang dibuatnya dalam Songlap). Aku amat suka dengan cara Idham dan kareograf aksi memberi ruang "vulnerability" dalam aksi Sam yang mana Sam dipukul dan dipukul balik tetapi dia "menahan" lalu bertindak ganas terus, dia seperti kura-kura yang dihentak cengkerangnya tetapi tidak mahu mengalah. Suatu perwatakan menarik, hanya ada satu babak, tak silap aku aksi parkour yang mana melanggar hukum hakam graviti aku dah mati-mati ingatkan lelaki itu (yang dikejar Sam) akan mengajar Sam silat "parkour" (untuk meneruskan perjalanan pukul memukulnya). Ah, seeloknya Idham ambil sahaja pelakon aksi parkour itu untuk watak Sam, mungkin filem ini akan menjadi lebih menarik (mungkin).

Ada sesuatu yang buruk berkenaan penataan suara filem ini, tenggelam beberapa suara jerit wanita di flat contohnya, atau dialog tidak selari dengan mulut, dan dengusan dan nafas era 80-an. Pengarahan seninya mungkin sudah "fungsional" dan kareograf aksinya "menarik", hanya tangkapan sudut dan suntingannya memerlukan susunan dan keselarian yang lebih utuh dan organik. Ah, inilah mengapa Idham masih tidak boleh pergi jauh. 

Klasifikasi: 18, moral dan perilaku watak utama yang gelap mungkin memerlukan tingkatan 18, tetapi boleh diperbincangkan bersama kanak-kanak, walaupun tidak sesuai bagi mereka.

6 comments:

Unknown said...

artikel yg menarik

The Joker said...

Saudara lah satu-satunya yg berani membandingkan ini dgn filem A SHORT FILM ABOUT KILLING (1988) dlm resensi... So which ones are the worst so far in 2012 - GERIMIS MENGUNDANG, CHANTEK, JIWA TAIKO or 8 JAM?? Anyway great writing as always - p/s betulkan typo "vunerability"

fadz said...

GERIMIS MENGUNDANG sudah tentu! Tetapi ada juga yg akan dtg seperti Momok yang aku tak kuasa dah nak tonton walaupun dia anak Seniwati Sarimah yang aku respek.

Unknown said...

tonton trailer Filem momok pun dah buat aku tak selera

KakiWayang.com said...

Review kami : Filem 8 Jam

[ a D D y ] said...

gua x tengok lagi..tapi gua suka ending fadz..boleh diperbincang bersama kanak-kanak..nice one..

berada di perantauan ni..gua cuma baca review fadz je nak tau pasal cite mesia..haha