16 April 2012

Perca-perca Filem April 2012

Yep, aku banyak menonton hanya tak ada masa nak menulis, Kini aku cuba, tapi pendek-pendek.

Hostel(2005)
Ah, aku baru menonton filem ini, dengan sengaja kerana tidak mahu terikut-ikut dengan sangkaan orang bahawa ini sebuah filem wajib tonton seram, adikarya abad ke-21 dan pelbagai lagi siulan manis. Ini sememangnya filem yang membantu menaikkan kembali "torture porn" yang pernah mendepani penonton Amerika era layar pandu lalu. Malah berjaya mengangkatnya. Sebagai penonton filem "filem", memanglah aku tercuit dengan rujukan filem yang berderet dalam filem ini, dengan Don't Look Now, Who Can Kill A Child?, Texas Chainsaw Massacre, Silence of the Lambs, dan pelbagai lagi tetapi untuk mengatakan ini sebuah "adikarya", tidak, malah jika dibandingkan dengan apa yang sudah dilakukan oleh Takashi Miike, filem ini masih jauh (atau kebanyakan filem seram Amerika) daripada mencapai suatu "kepuasan" pascamoden. Hanya aku menyukai ide samar-samar berkenaan jual-beli dunia kapitalis, dan ini dimetaforakan dengan imej sang lelaki mencari pelacur untuk main (dengan duit semua boleh) dengan imej sang lelaki membunuh dalam ruang terkawal mengisi kehendak nafsu, walaupun tiada tetapan kuat untuk menyatakan peranan imej ini terhadap keseluruhan filem (filem ini dibikin sengaja Hollywood sebagai filem untuk "berhibur" yang sekurang-kurangnya lebih segar daripada filem-filem tipikal Amerikana berkenaan sekumpulan anak muda bercuti di tengah hutan/negara orang/pantai/pulau dan bertemu kematian). Hal "fantasi" ini sendiri menarik, juga berkait dengan mata "voyeur" yang disengajakan. Paling mencuit, disengajakan ada watak Jepun sebagai penghormatan "raja segala torture porn" dalam filem ini, serta mempunyai penceritaan yang paling menarik buat aku, yang itu, Eli Roth campai sasaran: Jepun ialah raja filem seram ganas berdarah.

Cold Fish(2010)
(rujuk filem atas) seperti filem ini yang bagi aku jauh lebih subtle, menyakitkan, menakutkan, loya, mengganggu dan kuat daripada Hostel. Shion Sono. Nama baru aku temui (terima kasih Aidil Rusli!) yang merupakan satu keajaiban. Filem ini bukan sahaja seram, tetapi suatu satira berdarah meyakinkan berkenaan kemunduran nilai kekeluargaan nukleus Jepun sekarang, semua nilai moral, sosial dan psikologi dinyatakan dengan baik, dengan secebis kegilaan dalam budaya Jepun. Sebuah keluarga, atau lebih khusus, seorang lelaki, dicelakakan atas bawah, oleh isteri dan anak, dia hilang "maruah" (maruah suatu hal sensitif dalam dunia Jepun, ini berkenaan mengapa orang Jepun mengambil sikap bunuh diri). "Kelembikan"nya dilawankan dengan seorang lelaki "kaya" (yang psiko) yang kelihatan sempurna, kelakar, kebapaan, selamba, dan mesra, yang mana si isteri turut "ternafsu" untuk bersama-samanya. Melihatnya pada permukaan, ini seakan sebuah "comedy of errors" yang mana si bapa tiada maruah cuba "membaiki" hidupnya, keluarganya, satu per satu, walaupun tidak berjaya (ini hidup). Imej--imej ini meyakinkan kerana ditampilkan secara intimasi, protagonis yang nostalgik (dan masih berprinsip) terhadap hal-hal lama yang membuatnya gembira. Kemudian, ada tahap "fantasi" yang mana kita seakan bersama protagonis dipaksa masuk dalam lubang Alice yang menakutkan, sesak, yang mana si lelaki merasai "teruja" kerana separuh perasaan "id" jantannya merasakan hal lancang yang dibuat oleh "majikan bersama" psikonya "menyeronokkan". Inilah advencer "gila" yang dilalui protagonis, sedikit demi sedikit memakan jiwanya, moralnya, dan akhirnya kewarasannya, yang tampil akhirnya "mewarnakan merah" realiti sebenar kehancuran kekeluargaannya, dan kehancuran sosial Jepun secara amnya.

The Flowers of War(2011)
Aku tak faham mengapa kebanyakan pengkritik Barat tidak menyukai filem ini, tetapi filem melodrama bercampur perang berlatarkan "Raping of Nanking" era mendekati Perang Dunia Kedua amat berkesan bagi aku, walaupun kelihatan percubaan Zhang "mengeluarkan air mata" penonton. Ingat Taegukgi, gayanya sebegitu tetapi aku merasakan filem ini lebih mendekatiku. Bayangkan, 10 minit awal, mana filem sebegini sudah berjaya buat aku menangis? Tema besar filem ini meyakinkan: dalam masa tiba kiamat, apakah garisan halus kita mempertahankan seni, agama, adat dan kemanusiaan? Hal ini mungkin lebih berjaya dan tampak sofistikated dalam The Pianist, tetapi buat aku, dalam pergerakan plot yang sudah tersusun, dengan kecaman "seram" yang ditampilkan sebalik keindahan dan rasa manusiawi itu, ia cukup menyentuh dan indah dilakukan dengan bersahaja oleh pengarah. Yang menarik, dalam hiba ada ketawa, dan hal ini bukan calang dan amat susah dilakukan. Inilah semangat "innocence" Zhang dan ia amat memikat dalam mendepani kegelapan jiwa manusia.

A Simple Life(2011)
Sebuah filem Hong Kong-Taiwan yang amat menyentuh perasaan oleh Ann Hui, satu-satunya pengarah wanita Taiwan yang tersohor. Ini sebuah filem, buat aku, antara yang terpenting yang pernah dikeluarkan oleh Ann Hui. Melodramanya tersingkap baik, tidak terlalu "dibuat-buat" dalam latar gaya realisme yang penonton Malaysia biasa mendapatinya dalam filem arwah Yasmin (kini, ramai yang akan faham kenapa arwah melakukan apa yang beliau lakukan). Kisahnya berkenaan Andy Lau yang membantu sisa-sisa terakhir orang gajinya lakonan mencengkam perasaan, Deanie Ip dalam sebuah rumah kebajikan di Hong Kong. Filem ini tampak mudah, kadang-kadang lambat berkenaan drama dan kasih-sayang seorang "anak tuan" mengenang budi kepada pembantu rumahnya (yang juga membawa satu kod budaya lama), tetapi Ann Hui pergi lebih jauh dari itu, dengan tidak perlu menyatakan yang tampak dengan subliminasi politikal, ekonomikal dan ruang sosial yang mula merubah bentuk dan wajah Hong Kong. Filem ini sememangnya suatu filem "nasional" yang kuat, menampilkan betapa jaya dan berdirinya Hong Kong sejak berapa tahun, dengan "sejarahnya" dan kisah silamnya (budaya) yang mula menghilang, paling tampak adalah perbandingan Ann yang prasedar berkenaan Hong Kong lama (lambat, ceria, berbudaya, sopan) dan Hong Baru yang maha laju dan progresif, material, dan menyakitkan (untuk berjaya). Metafora ini juga menampilkan "perubahan masa" sinema Hong Kong lama dengan baru (ditekankan dalam filem ini secara tidak sengaja atas watak Andy Lau), yang menampilkan unsur "nostalgia", seakan-akan menyatakan "Mereka tak buat lagi filem macam era dulu". Ini tampak jelas, secara kritis terhadap kekosongan atau "mekanikal"nya beberapa tingkah budaya baru Hong Kong jika dibandingkan dengan dahulu. Inilah keindahan filem ini, ia sanggup berhenti seketika, dan "merenung kehidupan". Nilai ini diteliti dan menghasilkan seni, tanpa terlalu meletakkan dakwah. Antara filem Hong Kong terbaik tahun ini.

5 comments:

Henzy said...

Awak maksudkan Hostel ya Abg Fadz?

Anonymous said...

oh sini pun ada review dvd :D

fadz said...

Henzy, ah terima kasih!

Anonymous said...

Shion Sano ada buat lagi dua filem untuk Hate Trilogy-nya.

Anonymous said...

best, best, best