05 March 2012

Melihat Kembali "Bahasa" dalam Filem

Baru-baru ini aku lepak dengan kawan aku, Lutfi. Kita bercakap fasal filem. Baginya, melihat kepada daulat Dasar Kebudayaan Kebangsaan, mahu tidak mahu, bahasa Melayu iaitu bahasa kebangsaan Malaysia itu perlu diangkat di dalam filem bagi melafas definisi sebenar "filem kebangsaan" - bermakna sesebuah filem diidentifikasikan dengan "bahasa cakapannya". Ada kebenaran dan ada persoalan.

Kita bertelagah. Dua filem disebut, Gandhi, Slumdog Millionaire, kedua-duanya lebih kepada filem UK/Amerika daripada filem India - penggunaan bahasa.

Aku memberi satu bukti pascamoden yang menggegar - The Artist yang baru-baru ini menang Filem Terbaik Anugerah Academy (yang dibenci Ku Seman) merupakan sebuah filem Peranchis, walaupun dibikin di pentas Hollywood Los Angeles dan "berbahasa Inggeris".

Persoalan ini berbangkit atas kerana penolakan sekumpulan/majoriti(?) Malaysia (khusus Melayu?) terhadap kebangkitan beberapa filem berbahasa "bukan Melayu" yang pernah dicuba oleh Hafsham dalam Mekanik, lantas wujud oleh pembikin generasi muda sekarang dalam bahasa Inggeris, Cina (pelbagai dialek), Tamil, dan seterusnya dialek Sarawak/Sabahan (dialek Sabah/Sarawak kiranya terus diiktiraf filem kebangsaan, mengikut Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang mengiktiraf budaya bumiputera yang positif, ini termasuk filem dialek negeri di semenanjung). Kebanyakannya "menolak" percakapan "yang bukan Melayu" lantas menganggap cakap rojak itu "bukan filem kebangsaan". Ini diperakukan sendiri oleh Dato' Jins Shamsuddin dalam kertas kerjanya "Bahasa Kebangsaan Sebagai Bahasa Perutusan dalam Bidang Perfileman" (Prosiding Konvensyen Bahasa Kebangsaan 2001, 2004, DBP).

Aku menolak hal-hal ini dalam beberapa perkara, jika kita mengambil "karya itu cerminan realiti masyarakat". Mahu atau tidak, negara ini sudah terbentuk pecahan kaum yang hidup dan wujud "dalam kaum itu" sendiri, seperti yang dibayangkan dalam filem-filem arwah Yasmin (dan kini ramai yang memanggilnya utopia, khusus Gubra). Aku langsung tidak menyalahakn Kak Min, atau Ho Yu Hang, atau James Lee yang menyatakan filem dengan "bahasa" yang mereka tahu, kerana kewujudan realitinya begitu, mereka hanya "mencorakkan", walaupun wujud beberapa penonton yang menuduh mereka "beragenda".

Aku senang. Jika benar mahu jujur untuk bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan lantas melakar "filem kebangsaan" sepertimana Tegur Karya yang Cina-Indonesia yang lebih "Indonesia" daripada bumiputera Indonesia itu sendiri dalam bidang filem, matikan semua bentuk sekolah jenis kebangsaan yang meletakkan bahasa ibunda sebagai bahasa komunikasi sekolah, dan cepat wujudkan bahasa Melayu sebagai bahasa semua sekolah, dengan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, lantas bahasa Cina/India/Arab/Hindi/Sikh/dll. sebagai bahasa ketiga sepertimana yang dijalankan di mana-mana negara membangun. Ini adalah kerana, masih wujud di Malaysia, segolongan manusia yang seakan wujud "diaspora tersendiri" yang kita masih soal, boleh wujudkah interaksi? Aku gembira jika "ya", tetapi jika tidak mahu atas nama pelbagai bahasa itu? Dasar Kebudyaan Kebangsaan, Perkara 152 sudah ada. Kenapakah ia masih susah menyatukan kaum yang pelbagai? Aku pernah dengan seorang kawan menyatakan, "mereka mahukan hak yang sama, boleh, kita boleh beri, tetapi mereka mestilah dulu mempraktikkan apa itu selayaknya sebagai warga Malaysia."

Mahu tidak mahu, apa itu selayaknya warga Malaysia adalah mengikut dasar dan akta perlembagaan yang sudah termaktub. Mahu tidak mahu, bahasa Melayu tetap bahasa utama yang sepatutnya digunakan. Berapa ramaikah yang menjulangnya, berapa ramaikah yang jujur menggunakannya sepertimana orang Peranchis, Inggeris, Jerman, Korea, China, Jepun, Thailand dan pelbagai negara bangsa terhadap bahasa mereka?

Itu sebagai persoalan pokok/dasar.

Tetapi sebagai persoalan filem. Maaf. Bahasa "utama" dalam filem, mahu tidak mahu adalah imej filem itu sendiri. Inilah yang dipanggil "nahu bahasa", imej demi imej yang bergerak, susunan, sudut komposisinya, letak watak, struktur cerita. Semua itu "bahasa filem" yang sebenar, BUKAN "bahasa percakapan" yang disalah ertikan oleh Jins Shamsuddin dan ramai bahasawan dan pejuang bahasa.

Apa yang lagi hipokrit adalah, tanyalah Jins Shamsudin, apabila dia membikin filem Bukit Kepong, apakah bila dia mula penggambaran dia melaung "Action", atau "Aksi/Mula/Gerak"? Inilah masalah kita yang kita sepatutnya masih menyoal jika kita punya "industri" atau "wayang" sendiri apabila masih meminjam pakai bahasa bekas kolonial kita dalam bidang ini. Rujuklah industri hebat seperti Rusia, apakah bahasa "filem" yang mereka guna sewaktu penggambaran, rujuk industri Jepun ataupun Korea yang walaupun meminjam tetapi "menjepun/korea"kan istilah-istilah penggambaran tersebut.

Inilah masalah dasar yang harus diubah (mohon diteliti wahai anak muda Aswara, UiTM dan USM kini) dan dihadam. Rujuklah arwah Pak Anuar Nor Arai sekalipun, istilah apa yang beliau gunakan? Rujuk novel Jukstposisi Hizairi Othman dan anda akan faham.

Buat hal membelenggu ini, dua orang tokoh sudah mula (dan lama) memperkenalkan penggunaan bahasa Melayu sebagai ganti bahasa perfileman, Mansor Puteh (rujuk buku istilah filemnya, terbitan DBP) dan Faisal Tehrani. Jika kita benar-benar mahu mengubah "bahasa", "falsafah" dan kemahuan kita dalam bentuk yang lebih "kita", patut diubah dahulu bahasa yang menggerakkan penyatuan ciptaan keindahan itu. Jika kita "takut" dengan bahasa sendiri, tak sudah cakap fasal transformasi.

7 comments:

Anonymous said...

filem yang baik itu akan melangkaui sempadan masa, bangsa, anutan kepercayaan, bahasa, negara asal dan segala macam halangan dan tembok samada yang kelihatan dihadapan atau tidak.

Apabila selesai menonton, nescaya anda akan memikirkan perkara-perkara lain dan akhirnya baru anda menyedari kehadiran film tersebut, ia dekat dan hampir.


Penchinta Ruang Gelap.

Aliff Ihsan Rahman said...

Teringat pada filem "Seniman Bujang Lapok" dan dialog Ramlee dengan Director Ahmad Nisbu.

"Tuan suruh saya action..Tuan tak suruh saya cakap..."

Bijak betul P.Ramlee memerli kita :)

Anonymous said...

Jukstposisi tu menatang apa weh?

fadz said...

ada prpm.dbp.gov.my, guna.

aku percaya masyarakat kita sekarang rajin dan pandai.

Anonymous said...

dah pergi prpm.dbp.gov.my tapi tak jumpa pun perkataan tu. mike ni banyak tengok citer tamil iyer.

Anonymous said...

ni apa ke benda:

http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=jukstaposisi

rujuk juxtaposition dlm google.

indraputra said...

Hai Fadz.

Pada saya, bahasa yang digunakan watak2 dalam filem..adalah bahasa manusia yang kisahnya diceritakan. Biarlah manusia tu bertutur dalam bahasa yang mereka tuturkan dalam 'hidup' mereka.

Kenapa skrg plak nak sibuk pasal perjuangan bahasa Melayu as bahasa kebangsaan la...selama ni, b4 nak pilihanraya ni...kemana pejuang bahasa ni menyorok?

maybe diorang nak kene 'lempa*g' ngan Kak Nab... hehe