27 September 2011

Nasi Lemak 2.0 (2011): Lawak Bantai Ala Namawee


Namawee kemungkinan ada tiga kegilaan bila membikin filem ini. Pertama, rujukannya (dan mungkin, salinan) terhadap The God of Cookery karya Stephen Chow, minatnya terhadap sindiran sosial berhimpit sketsa dewa-dewi tradisi ala filem-filem komedi Singapura Jack Neo, dan filem-filem muhibah arwah Yasmin Ahmad.

Apa-apa pun, Namawee memang "benar" terhadap "dakwah"nya berkenaan realiti rojak dan multibudaya masyarakat kita, perbezaannya, keunikannya dan persamaannya (kita semua gila wayang dan muzik), dan apa yang membuatnya "seimbang" dan dapat ditoleransi sejak zaman berzaman. Aku kira, suara-suara yang menuduh filem ini "bukan Malaysia" atau "bukan Melayu" dan mengangkat sisi "diaspora Cina" (aku amat-amat tidak suka dengan pandangan ini yang bagi aku, jika benar mereka hanya boleh guna bahasa Melayu untuk "mengesahkan" filem mereka sebagai "filem nasional", sistem pendidikan haruslah menggunakan satu bahasa utama sebagai bahasa pengajaran, barulah bercerita tentang "penyatuan" melalui bahasa yang realitinya, tidak akan dapat pun berfungsi untuk menyatukan pelbagai etnik jika bahasa-bahasa ibunda lain tetap diajar!) tidaklah perlu terlalu runsing kerana filem ini sebenarnya "seimbang", dilihat dari sisi si Cina yang bersifat perkauman dan jahil. Ya, aku tak tipu, memang Namawee rasis dan jahil, tetapi sikap rasis dan jahilnyalah, kita dapat melihat "perkembangan" wataknya menyedari betapa "indah" dan "unik"nya Malaysia dalam perjalanannya, dan sudah tentu dengan cuitan komentorarinya yang tersendiri.

Ya, ini sememangnya sebuah filem didaktik, tetapi didaktiknya (walaupun bahagian terakhirnya menyatakan dengan jelas) disulam dengan imej dan nuansa, dan inilah kebijaksanaan Namawee. Idea Namawee jelas, Malaysia bukan sahaja "Melayu", tetapi bertahun-tahun diertikan dengan pencampuran pelbagai budaya dan identiti, khusus tiga bangsa terbesar, Cina, India dan setentunya Melayu.

Ada yang menjadi dan tidak menjadi dengan sentuhan Namawee. Ini terlihat daripada bagaimana luas dan lama Namawee memberi ruang/peluang terhadap satu-satu babak, atau satu-satu watak beraksi, serta bagus dan tidak bagusnya lakonan mereka. Aku kira, hal "cantik", "buruk" dan "longkang" imej-imejnya terletak kepada bahu penonton, kerana filem ini mempunyai semangat komedi ala Kentucky Fried Chicken Movie yang jelas, dengan pendirian simbol budaya Cina yang dipermain-mainkan, tipikal dalam komik-komik biasa Taiwan dan Hong Kong. Contohnya, babak ibu tauke restoran yang selalu dipayungi oleh "toy boy berbulu"nya. Beberapa penonton melihatnya dengan "jijik" tipikal jijiknya (bad taste) watak dan aksi trash filem-filem John Waters. Perut berbulu barang mainan tauke Cina itu sentiasa bergetar dan berguling, dan kadang-kadang punggungnya. Aku mengaku, atas nama menyukai sinema John Waters, aku tidak ada masalah dengan ini, malah terkuik-kuik ketawa, tetapi sebahagian penonton (kesemuanya Cina) mungkin meluat dan muntah, tetapi inilah geniusnya Namawee untuk mencapai sesuatu yang pernah dibikin oleh John Waters (ini adalah contoh di mana Namawee mempersendakan realiti sosial etniknya sendiri), dan dibuat tanpa apa-apa tapisan!

Yep, Namawee berjaya membuat aku ketawa. Dari mula, aku ketawa (kadang-kadang seorang, penonton Cina sebelah aku melihat aku dengan pelik), sehingga akhir, tak habis-habis aku terkikih kerana mainan Namawee terhadap persekitaran dan politik yang sedang berlaku di Malaysia, yang menariknya, baik di belah politik pemerintah atau politik pembangkang, semuanya dibalun. Malah setiap etnik, Melayu, India, Cina sekalipun turut dibalunnya cukup-cukup. Ada juga yang membawa "kesayuan" (aku terasa sayu melihat watak baba dan nyonya yang sebenarnya "hantu", pemaknaan subteks Namawee terhadap kehilangan budaya unik Cina asimilasi Melayu yang kian terhakis dan dilupai generasi Cina dan pemerhatian Kerajaan sekarang) dan ada juga tersinggung (bermain dengan watak Hang Tuah yang kalah dengan Hantu-Ya), tetapi semuanya dibuat dengan sikap keterbukaan dan saling menegur yang tinggi, setentunya, suatu yang sangat ditunggu-tunggu selepas Mekanik Othman Hafsham.

Namawee hanya perlu menjaga cara dia mengikat satu-satu babak, dan menyunting akhir satu-satu babak yang kelihatan lewah, serta penangkapan satu-satu babak yang kelihatan kekok kerana sudut tangkapan yang salah (rujuk babak si ayah heroin yang memasak di dapur, atau babak si samseng yang mendengar Namawee dan makwenya bernyanyi, plot "travelog" Namawee dan makwenya terlalu simplisistik dan langka, tanpa matlamat dan kesan akibat yang mencabarkan atau intrig), atau perwatakan yang salah dilakonkan oleh pelakon (khusus si pengawal Nepal tersebut). Tetapi, beberapa mutiara yang sungguh mengkagumkan, malah menjadi antara situasi komedi yang begitu bernilai buat tahun ini, seperti rakaman kamera video seks dan cara si ayah itu membela dirinya (kita teringat beberapa menteri dan menteri pembangkang yang berbelit menafikan), babak "youtube" tipikal Namawee (seakan-akan beliau "tokoh politik" dan pemaknaan media baharu yang masih tidak dapat diikuti oleh pemimpin politik), dan babak si Namawee menggosok-gosok batu giling (simbolisme seksual hinduisme: lingam dan yoni, diikat terhadap makna pembuatan memasak makanan!) apabila melihat dua anak dara mandi tepi sungai. Inilah imej komedi tempatan-kecinaan-individual kreatif yang berjaya buat aku dibikin Namawee. Kecomelan Ho Yuhang sebagai "sifu" yang "absurd" terhadap Yoda Hollywood juga amat mencuitkan. Namawee melakukan kerja rumahnya dengan baik.

Semua ini disatukan dengan kebijaksanaan Namawee yang utama: muzik. Latar lagu filem ini sungguh menyegarkan, termasuk babak MTV termasuk Karaokenya yang mencuitkan. Babak hindustan Namawee, walaupun kekok tarinya dan Namawee kelihatan seperti Awie yang sungguh hodoh, jauh lebih seronok dan bergelek daripada babak muzikal Kollywood Mamat dalam Estet. Inilah kefahaman yang begitu indah dalam filem ini, walaupun Namawee, atau orang yang kita tidak kenal (jika bercakap tentang perbezaan etnik) kelihatan terasing, muzik akan sentiasa menyatukan kita. Oleh sebab ini, sindiran Negarakuku Namawee begitu efektif walaupun sekarang (kita sedar Namawee "banyak bertaubat" dalam imej-imej filem ini, khusus kredit akhir muzik filem ini).

Walaupun ini bukan filem "terbaik" tetapi sebagai karya sulung, the walking condom si Namawee bolehlah sebaris Othman Hafsham, Mamat Khalid, menjadi seteru utama terhadap Stephen Chow dan Jack Neo dari luar negara.

nota fadz:
Ada dua perkara yang berlaku baru-baru ini, yang aku tak sempat komentarkan dan ingin aku sampaikan di sini. Pertamanya, berkenaan Naquib sebagai Ketua Pengarah FINAS (nasib baik bukan Kak Nab!) yang mana aku teliti daripada pembacaan aku dalam Sinar Harian. Naquib rupanya adalah perintis yang membikin program Wayang Kita di Astro Ria pada awal-awal (format awal) yang aku begitu teruja (kerana sekurang-kurangnya ada pengulasan filem yang jujur, dan perbincangan tentang pembikinan filem yang berdasarkan ilmu, bukan sensasi). Waktu itulah aku mengenali Catarina Ross yang tampak segar dengan percubaan membuka apresiasi filem. Format musim seterusnya kelihatan "dirombak" tanpa ulasan lagi, dan sewaktu itu, aku kurang menonton program ini. Tetapi aku tahulah, rupanya, Naquib ini bolehlah dipercayai membawa kapal besar FINAS buat karyawan kita jika seperti inti awal Wayang Kita yang dibawanya itu betul buat aku. Aku merasa yakin, bab seterusnya buat Finas akan menjadi lebih menarik lagi buat tahun hadapan.

Keduanya berkenaan DBP yang membuka peluang para karyawan kita mengadaptasi novel bermutu mereka sebagai skrip filem. Ini amat-amat menarik! Malah aku sudah berkali-kali dihubungi kawan-kawan karyawan yang ingin mencari novel-novel yang disenaraikan tersebut (lantas sibuk nak cari kedai buku DBP yang terlalu kurang di KL itu). Ini menunjukkan ada "ruang" bila pihak yang berkenaan memberi "peluang". Aku harap-harap semangat yang baharu ini disusuli dengan beberapa skrip yang begitu baik, lantas bolehlah kita tonton filem yang benar-benar boleh kita tonton dengan seronok dan beridentiti kita.

19 comments:

Hans Hanis said...

aku kecewa Kak Nab tak jadi ketua FINAS(aku vote dia dekat poll ko kut bro)
hahahahaha

Daniel said...

Great movie review, keep up the good work. Though I haven't watched the movie yet.

Daniel said...

Great review, keep up the good work.

Anonymous said...

filem ni best ah, thx fadz for your comment!

mirul said...

fadz, filem ni ko suka?? Siti Jarum kata filem ni patut buang ke longkang je!!

Jee said...

stupid film.

fadz said...

Hans, ko jgn bagi sangat kredit kat Kak Nab tu, aku percaya dia lgi zalim dari Idham nanti.

Daniel, thx!

Kpd yg tak suka, maaflah, aku tonton sebagai penonton, bukan dgn sikap perkauman. Maaf eh!

TMBF said...

Syabas kerana menonton filem ini, tak seperti mereka yang tidak menonton dan don't know what the hell they're talking about.

anuar said...

Er. Nak tahu. Mana boleh dapat buku-buku DBP tu. Kalau dapat kongsi amatlah saya hargai sampai bila-bila.

fadz said...

Salam anuar,

kesemua buku itu boleh didapati di Koperasi DBP:

Mohammad Zaid bin Jamaluddin
Tel: 012 - 293 4584 / 2148 5869 / 03 - 2143 3505 atau email: koopdbp@yahoo.com

Koperasi atau kedai buku ini terletak di Menara DBP, KL.

anuar juga boleh cari di perpustakaan DBP di tingkat 3 Menara tersebut, namanya "elegen" sedikit: Pusat Dokumentasi Melayu, tanya para pengawal di situ.

Buku Bedar Sukma Bisu rasanya mmg boleh ditemui di Kinokuniya KLCC.

Kalau Dawama tak tutup di Ulu Kelang, novel tersebut boleh didapati juga di sana. Harap maklum.

fadz said...

TMBF, trimas!

anuar said...

fadz,

tq. tq. Ingat nak try adapt Pemberontakan. Hehe. Tengok le camne nanti.

Anonymous said...

nice review.. very fair..

Anonymous said...

aku suka tapi aku tidak upaya mengulangi untuk pinggan ke dua.

aku gelak dan aku menangis sebab aku menggelakkan bangsa aku sendiri. Bangsa yang merasakan diri mereka bijak dan insan terpilih pilihan tuhan.

tetapi beras taiwan kurang sesuai buat nasi lemak, lebih lebih lagi santannya ditukar kepada susu cair. Aku tak tahu pula kalau beras taiwan ni sesuai buat nasi kandar.

kepada yang marah-marah lepas menonton itu adalah hak mereka. Dan kepada yang tidak menonton dan hanya mendengar dan membaca rawi rawi, hentikanlah sentimen marah kau orang ni. Banyak lagi wayang melayu yang ada ditayang kat panggung tu rata-rata menghina pemikiran mereka yang selidah dengan mak bapak aku. Ada yang terang terangan menghina anutan agama pun anda terlepas pandang.

dan kepada siti jarum kau cakap pun tak serupa bikin, masih lagi menjaga periuk nasi kau.

Teruskan Fadz.

Penchinta Ruang Gelap.

Daniel said...

Penchinta Ruang Gelap,
Great review, jika anda masih berminat pinggang kedua Nasi Lemak 2.0, sila hubung saya kat wliang911@yahoo.com. Saya akan bagi beberapa keping tiket secara percuma.

Daniel

adibah said...

saya dah makang nasi lemak 2.0 berpingang-pingang :) lihatlah bertapa rampingnya saya.

sinaganaga said...

DBP PATUT TAJA PEMBIKIN FILEM2 PENDEK! Itu pun kalau DBP nak hip laaa...

anuar said...

Ha Encik. Tumpang blog nak buat pengumuman.

Kepada yang mencari buku untuk skrip adaptasi. Kalau korang cari buku Sandera dengan Pemberontakan. Lupakan je kedai-kedai buku. Lupakan je perpustakaan. Lupakan aja Finas. Takkan jumpa punya. Aku dah cari kat Kedai buku DBP, aku dah pegi Pusat Dokumentasi Melayu. Aku dah pegi Finas dan dapat tahu ofis FDAM dah pindah. Aku dah pegi FDAM satu haram buku pun tak ada. Tapi aku ada berita baik. Kepada sesiapa yang masih mencari, pegi aja terus ke menara DBP kat tingkat 25. Cari Cik/Puan Nurul Aina Borhan dan cakap korang nak masuk pertandingan adaptasi skrip. Diorang ada salinan buku-buku tu. Tapi kena bayar sikit kot untuk kos fotokopi.

Burhan said...

Rutger Hauer kena ragging oleh senior. Dipaksa menyanyi lagu Negaraku (Terang Bulan).

http://www.youtube.com/watch?v=IKFmN_xzSYc

(First scene from Paul Verhoeven's 'Soldier of Orange'.)