14 July 2011

Harry Potter and the Deathly Hallows Part 2(2011): Terburu-buru, Huru-hara tetapi Dimaafkan


Akhirnya, selesai sudah bab riwayat anak ahli sihir ini di layar. Pada tontonan semalam, ramai, termasuk aku, menepuk tangan sebagai tepukan penghormatan terakhir dan ucapan selamat tinggal dan kerinduan terhadap antara francais fantasi yang paling berjaya abad ke-21 ini. Suka, duka, debar dan takut buat tiga anak yang terus membesar di depan mata, Harry Potter (Daniel Radcliffe), Ron Weasley (Rupert Grint) dan Hermione Granger (Emma Watson) telah memberi banyak kenikmatan sinema serta keterujaan langsung melihat anak-anak ini di dalam sangkar "zoo hidup". Inilah sarkas sebenar abad ke-21.

Jadi, berbaloikah ia dengan pengakhirannya? Begini: setentunya ya dan sedikit tidak memuaskan.

David Yates merupakan orang di belakang tabir, yang bermula dengan bahagian lima, yang bagi aku telah berjaya mengimbangi jalan cerita, magis, kesan khas dan lakonan setiap watak dalam filem adaptasi buku terkenal ini. Ya, Yates bergerak perlahan tetapi menentu. Beliau dibantu oleh penulis skrip Steve Kloves yang amat memahami roh Potter. Sebenarnya, aku amat menyukai "simfoni" dan ruang latar bahagian pertama buku ketujuh yang diadaptasi oleh Yates, ia memahami tempo, jerih perasaan wataknya serta keterusan plot. Aku yang sudah membaca bukunya memahami hal ini, seperti mana yang dilakukan oleh Peter Jacskon dalam LOTR (yang, maaf kata, lebih impresif daripada francais ini serta lebih adikarya pembikinannya) pada bahagian satu yang "senyap" kemudian gertak gegar dalam bahagian kedua. Malah daripada pembacaan, semua bahagian yang "lazat-lazat" telah disimpan dalam bahagian kedua iaitu filem ini, lebih banyak aksi dan lebih banyak rahsia yang akan dikemukakan.

Antara yang menarik, buat pertama kali kita akan memasuki bank magis paling terkawal dalam dunia Hogwarts, melihat guru-guru Hogwarts dan pembantu Harry menentang Death Eaters, khusus Maggie Smith yang sungguh mempesonakan buat kali ini, ibu Ron yang memaparkan kesatriannya, dan mainan paling menakutkan: menipu mati (cheating death) yang sememangnya antara tema terbesar filem ini. Dan sudah tentu, yang kita tunggu-tunggu, rahsia Profesor Snape (penceritaan babak ini melodramatik tetapi efektif) dan kehadiran Voldermont (Ralph Fiennes) dan konco-konconya menyerang Hogwarts hingga ke abu.

Kekuatan filem ini, sudah tentu atas jalan ceritanya, yang boleh dibanggakan buat Rowling sendiri dengan simpang-siurnya yang indah serta memahami "cerita sebenar" terletak kepada bahu Harry, yang mana Daniel membawanya dengan begitu matang dan bersahaja sekali. Knowles melancarkan ini dengan pemahaman lembap-laju-lembap-laju sepertimana LOTR Fellowship of The Ring. Ahh, di sini ada kekhuatirannya. Entah mengapa, mungkin atas keperluan merakam babak-babak dengan sudut betul agar pembuakan kesan 3D lebih baik, ada beberapa layar babak kelihatan janggal, malah kesinambungannya, bukan secara logis cerita, tetapi rangkai gambar, kelihatan, "pelik". Aku tidak tahu jika ini disengajakan oleh Yates sebagai memaparkan "suram" atau kerajaan gelap "chaos" yang dibawa oleh Dark Lord kepada rakyat sihirnya. Unsur ini banyak membantu mengeluarkan "semangat suram" buat babak-babak latar luas seperti "era suram" Pengetua Profesor Snape mentadbir Hogwarts (kita merasakan seakan belajar di dalam sebuah sekolah meniti kiamat). Tetapi, bila digunakan untuk "aksi", ahhh, ini yang menjengkelkan sedikit. Ada beberapa kelemahan di sini, bermula dengan babak yang terlalu serius pada awal, kemudian keseriusan itu ditambah dalam babak ke bank (yang kita faham, imej naga putih itu merupakan simbol Harry dan rakan-rakannya menerebos keluar daripada pemerintahan gelap dan zalim Dark Lord). Apa yang aku jumpa ialah, semacam Potter dan rakan-rakannya yang sudah berkali-kali melalui "kesusahan" tetapi buat kali ini, kesusahan itu nampaknya "senang" dan tidak mendebarkan, malah kesan terujanya kurang suspens seperti yang dahulu. Kita boleh merasakan sebenarnya betapa terdesak dan terhimpit Potter dan rakan-rakan apabila dalam bilik simpanan Bellatrix, apabila ditinggalkan oleh si Elf dikurung "aku berjanji untuk membawa kau masuk tetapi bukannya untuk keluar", kita tidak diberikan aksi "mendesak" anak bertiga ini tetapi dengan suntingan "bosan", anak tiga ini terus keluar dan naik atas naga dengan begitu mudah.

Hal ini berlaku lagi dengan beberapa babak "peperangan", terutamanya di Hogwarts. Ini sebenarnya kelemahan Yates. Buat kali ini, latar lanskap bahagian terakhir ini begitu luas, memang orang akan memberi alasan, susah untuk memasukkan kesemua watak. Tetapi sebenarnya cara satu watak ke satu watak yang disusun, dengan kesinambungan cerita, dengan setiap sudut yang diteroka, ini yang tidak dilakukan oleh Yates, kerana Yates tetap memfokuskan tiga anak itu dilatarkan mereka yang membantu. Kita sudah menyelami rasa isolasi dan kesunyian yang amat berkesan dalam bahagian pertama. Kita memahami, bahagian kedua, perasaan terdesak ini akan ditimbal dengan kehadiran rakan-rakan (menyatakan, tidak ada sesiapa yang sunyi dalam dunia ini). Desak wajah secara intim inilah yang tidak diberikan oleh Yates, hanya pelukan dan senyuman rakan-rakan Potter yang terlalu "keterasing" dan tidak "berhubung". Malah sekali lagi, beberapa "imej" sebegini disengajakan, seperti mana si suami isteri yang memepertahankan Hogwarts tidak bersentuh jari mereka, serta babak Potter yang tidak bersentuh dengan hantu ibunya.

Tetapi semua ini dimaafkan dengan babak klimaks yang begitu mengasyikkan, menyatakan revolusi seorang budak bernama Potter itu adalah "suara rakyat". dan atas dasar cinta yang tinggi Hal ini berlaku sewaktu babak pascamati Potter, yang mana buat aku, Yates mengikatnya dengan baik dan berkesan.

Ya, berakhir sudah Potter dan rakan-rakannnya. Sekali lagi, kesemuanya hebat, khusus Alan Rickman yang jelas memperlihatkan starta kedalaman watak yang menakutkan (pelbagai dimensi yang sangat mengimpakkan), Fiennes yang tetap menakutkan dan menyeronokkan sebagai "iblis" yang ditakuti. Rupert dan Emma juga diberi satu babak yang kita tunggu-tunggu (dan juga masih janggal kerana tidak nampak tempo tersedak keintiman mereka itu menaik), dan Daniel, oh Daniel. Filem ini memang untuknya dan sepatu Potter itu memang miliknya, dia membesar dan mendewasa dengan baik sekali.

Selepas kami bertepuk, kami merasakan, ahh, sudah, sebuah fantasi sudah sampai ke penghujung. Kami mahukan lagi tetapi kami memahami pengisytiharaan kehormat Rowling, dan atas itu epilog terakhir filem ini buat kami amat mencuit dan menyentuh. Segala yang kami kenal dari bahagian awal, semacam kami maafkan, kerana perjalanan 10 tahun melaluinya terlalu berbaloi, dan terlalu membawa nikmat fantasi yang menghiburkan.

7 comments:

kamen55 said...

dalam dilema samada nak baca review kau dulu or tonton filem dulu...... arrgh!!!

fadz said...

kalau dah ikut siri ni, tgk je!

Rollo De Pelicula said...

Yups
biasalah bila adaptasi dari karya setebal nih memang ada sedikit terkejar2
apa2pun aku memang puas hati
hehehehehehe
rasa sedih pula sebab ini filem terakhir
ada juga ura2 kata J.K.Rowling nak hasilkan buku lagi tapi dibantah oleh pelakon2 nya sebab diorang dah macam serik dah berlakon dari kecil sampai besar kan..kekeke

Review Filem Harry Potter And The Deathly Hallows Part 2

Hady Abd Hamid said...

dah tengok movie ni, memang beza antara part one ngan part two, yang kali ni lebih laju...memang dari dulu movie2 potter cam banyak scene2 yg 'tiba2' dan kita pon macam 'what?'...macam tak banyak penjelasan...mungkin pengarah cuba nak menghormati bukunya kot...law nak lagi detail, bace buku...haha...ape2 pun, last two potter movies ni, memang yang terhebat...huhu

(agak takut scene epilog tak ditayang, hehe)

fadz said...

yah, same here.. sebenarnya mmg pengarah ikut gaya novel, tapi aku bayangkan pengarah boleh "bengkokkan" sedikit agar kita daapt rasa momentum aksi-drama-aksi-drama filem ni yang begitu bercampur.

akitiano said...

Sedih xdapat tgk....tak pe laa...tunggu download keluar....hahaha

Anonymous said...

Thankѕ for finаlly talκing аbout > "Harry Potter and the Deathly Hallows Part 2(2011): Terburu-buru, Huru-hara tetapi Dimaafkan" < Liked it!

My blog: http://Wωw.
collegiaterecгuiter.com/JaniѕSwea