07 September 2010

Rencana "Pengadaptasian Filem Tempatan: Liku dan Harapan" Aku dalam Dewan Budaya September 2010

Yeah, Salam Hari Raya, jemput baca:




Ini tambahan (malah aku baru sedar, banyak rencana yang aku hantar dah kena potong sini sana) daripada bahan rencana ini yang tak dapat dimasukkan:

Retrospektif Filem Adaptasi Karya Tempatan Yang Dilupai Zaman
nota: Filem dibawah sengaja tidak memilih filem-filem zaman 50-60-an yang turut menyumbangkan filem adaptasi, kerana memang, pada masa itu, novel, bangsawan, teater dan karya klasik rancak diadaptasi ke layar. Setelah kejatuhan Filem Melayu dan permulaan Sabah Production dan Perfima, aku mulakan senarai ini:-

Langit Petang(1982) arahan Shahrom Mohd Dom, adaptasi daripada novel A. Samad Said. Selepas merdeka, filem ini merupakan filem pertama pembikin filem cuba mengadaptasi sebuah novel ke layar. Filem ini tidak mendapat sambutan yang baik, serta mendapat kritikan hebat kerana percanggahan tema dan cerita daripada karya asal. Bermula dengan filem ini, “filem adaptasi” dipandang sebagai racun pawagam dan membawa kesusahan dalam proses pembikinan. Filem ini memenangi Pelakon Wanita Terbaik untuk Azean Irdawaty dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik untuk Mahmud June pada Festival Filem Malaysia ke-3 (1982).

Ranjau Sepanjang Jalan(1983) arahan Jamil Sulong, adaptasi daripada novel Shanon Ahmad. Filem ini menang besar pada malam Pestival Filem Malaysia ke-4 (1983) termasuk Filem Terbaik. Filem ini mengalami masalah untuk ditayangkan kerana kebanyakan pawagam takut jika filem ini tidak laku di pasaran yang disaingi dengan filem Hollywood, Indonesia dan Bollywood pada masa itu.

Mira Edora(1990) arahan Zulkeflie M. Osman, adaptasi daripada novel Khadijah Hashim. Percubaan pengarah muda zaman 90-an untuk mengembalikan filem adaptasi ke layar ini mendapat kritikan yang hebat oleh pengkritik filem pada zaman itu. Mira Edora merupakan filem pertama yang mengadaptasi sebuah novel popular tempatan.

Mat Som(1990) arahan Hatta Azad Khan, adaptasi daripada novel grafik Lat. Filem Malaysia pertama mengadaptasi novel grafik, mendapat sokongan pengkritik filem. Filem ini memenangi Filem Komedi Terbaik dan Lakon layar Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-9 (1991).

Black Widow: Wajah Ayu(1994) arahan U-Wei Shaari, adaptasi daripada novel Raja Azmi. Novel picisan Raja Azmi ini mendapat terjemahan visual indah dan teliti daripada sentuhan U-Wei, seakan sebuah karya Dane Wakefield yang berubah menjadi sebuah karya D.H. Lawrence. Pungutan tiket buat filem ini adalah antara yang terburuk pada tahun itu, walaupun pengkritik A. Wahab Hamzah menamakan filem ini sebagai filem terbaik tahun 1994.

Bicara Hati(2004) arahan Rosnani Jamil, adaptasi daripada novel Khadijah Hashim. Sambutan buat filem ini hanya suam-suam kuku di pawagam, tetapi filem ini telah melonjakkan nama Fazura sebagai seorang pelakon yang berbakat sehingga menjadi batu loncatannya dalam lakonan filem.

Komunis Lelaki Terakhir(2006) arahan Amir Muhammad. Lebih berbentuk dokumentari travelog daripada fiksyen, filem ini sebenarmya diinspirasi (atau reaksi) buku memoir Chin Peng, My Side of History. Filem ini diharamkan di Malaysia walaupun mendapat penghormatan di beberapa festival filem antarabangsa dunia.

Jarum Halus(2008) arahan Mark Tan, adaptasi daripada drama William Shakespeare. Drama Othello telah diadaptasi dengan berani oleh Mark Tan dalam rencah dan latar tempatan. Filem berbahasa Inggeris ini mendapat pengiktirafan beberapa pengkritik filem tempatan walaupun tidak begitu mendapat sambutan penonton. Filem ini merangkul Filem Digital Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-21 (2008).

3 comments:

Anonymous said...

ini pertama kali aku promo diri aku.

Dah lebih tiga kali aku menang lumba skrip film finas. Semua yang aku tulis, aku adaptasi dari cerpen sastera melayu. tapi sehingga kini tiada apa pun yang mereka buat dengan skrip yang menang tu. Amacam?

Dan aku fikir aku seorang sahaja yang menang dengan skrip-skrip yang semuanya aku adaptasi dari cerpen sastera melayu.

Ikhlas
Penchinta Ruang Gelap

PS-Ada salinan skrip di finas yang dah hilang lesap entah ke mana. finas dah hilangkan.. Cis!

Amir Muhammad said...

Rujuk juga RUMAH ITU DUNIA AKU (1963) arahan M. Amin, adaptasi novel Hamzah Hussin yang juga menulis skripnya. Latifah Omar dianggap pompuan sial oleh majikannya Siti Tanjung Perak.

fadz said...

Amir, terima kasih, tapi aku mmg sengaja tak sentuh filem2 semasa penerbitan Cathay Keris (contoh filem M. Amin ini yang pernah disiarkan dalam tv9 baru-baru ini) ataupun Shaw Brothers tetapi filem-filem selepas kejatuhan kegemilangan filem Melayu, yang dimulakan dengan pernerbitan filem2 Sabah Production. Tak salah aku, Jins samsuddin (oh oh) ada mengadaptasi sebuah novel ke filem pada 80-an tapi aku tak berapa pasti.

Pechinta, maka amat ruginya penerbit dan pengarah filem kita yang tidak menyedari mutiara yang ada dalam skrip saudara.