30 September 2010

Chufah Din Salai(2010)



Dalam satu babak, sebuah filem pengarah veteran Pandevanop Davakul atau gelaran manjanya, Mom Noi (sepertimana Rahim Razali dan Teguh Karya, beliau bermula dengan teater pada awal 1970-an), Yupadee si wanita yang akan berkahwin dengan jutawan balak berketurunan Burma menyatakan ketidaksanggupannya untuk tinggal di Bangkok, "Revolusi ini membosankan, kenapa mereka tidak boleh duduk aman dan bercinta?"

Sedekat itulah Mom Noi cuba untuk mengaitkan segala ketidakkeruan pasca perhimpunan dan revolusi baju merah di tengah-tengah ledakan politik Thailand sekarang di dalam filem adaptasi daripada novel popular 1941 (yang kini dikatakan sebagai sastera klasik Thai, yang buat aku jauh panggang dari api) yang memintal godaan, adab kekeluargaan dan kedudukan, skandal, romantik dengan tragedi dan moral dalam intipan Buddhisme dan karma ketimuran.

Judul filem ini, Chufah Din Salai bermaksud secara literal sebagai "sehingga ke akhir hayat" tetapi begitulah perasaan kita bila menonton "ke akhir hayat" untuk menunggu segala sebab-akibat dan situasi berepisod yang membelenggu Yupadee dan Sangmong (lakonan Ananda Everingham) yang gatal untuk bersama-sama berzina apabila sudah tahu langit tinggi rendah (Yupadee merupakan "mak cik" baharunya dan Sangmong itu "anak buah"nya yang tercinta).

Sebenarnya, tidak ada salahnya dalam produksi filem ini, malah lakonan mantap Ananda serta Chermal Boonyasak sebagai dua kekasih yang diuji nafsu dan takdir mereka sudah melakukan yang terbaik. Kita mempercayai setiap sentuhan, mata dan lirik mereka untuk menjauhi serta mendekati diri atas nama "martabat" dan "undang-undang". Apa yang dipersoalkan merupakan kisah moral dan karma buku ini apabila menyatakan dengan lapisan sehelai, ilmu orang Barat (di sini, dipersalahkan A Doll House Ibsen(!) dan The Prophet Khalil Gibran(!) menyebabkan dua kekasih yang menyedari cinta terlarang itu sanggup melakukan yang terlarang kerana "mengikut hati masing-masing atas dasar kemahuan"!! Kelakar, dalam dunia Barat, kita ketemu manusia yang berjuang atas dasar kemahuan untuk hal-hal yang besar. Novel dan filem ini hanya berjuang di atas katil untuk seorang anak luar nikah.

Memang tidak ada yang indah selain daripada babak sebelum Yupadee (seperti mesin seks, yang buat aku, tak perlulah dijanakannya sebagai terlalu menggoda, cukup menyerlah sebagai perempuan sudah, sila lihat Sofia Jane dalam Perempuan, Isteri & Jalang atau Kristin Scott Thomas dalam The English Patient, atau mungkin pengarah mahukan wanita menggoda sebaik Mae West atau Zsa Zsa Gabor yang mengikut zaman itu?) dan Sangmong bermain kata-kata, saling bertikam dengan ekstasi dan beradab seperti watak-watak Jane Austen yang tidak dahagakan seks tetapi roman.

Malah, tercuit rasanya apabila mainan "tarik tali" antara geram/suka dan benci cinta Yupadee dan Sangmong berlaku apabila Sangmong dengan marah memanggil Yupadee sebagai "mak cik" apabila Yupadee meminta Sangmong "mengikut takdirnya". Semua ini dipintal indah sekali, sehinggalah kita diberi satu jukstaposisi babak antara anak buah jutawan memerangkap seekor harimau dengan si Yupadee dan Sangmong, pertama kalinya berbogel untuk bersenggama. Erotis tidak pernah selemah ini.

Selepas itu, filem ini bergerak ke unsur tragedi dan mencapai babak SERAM (yeap!) yang buat aku, terlalu tidak perlu walaupun dalam dunia pascamoden ini. Ya, kita sedari bahawa, dalam dunia cantik dan indahnya cinta (terlarang), ianya tidak berkekalan dan akhirnya terikat dengan undang-undang dan kuasa (adakah ini makna sebenar Mom Noi untuk mengaitkan revolusi baju merah dengan cinta Yupadee-Sangmong?). Kita faham itu dengan beberapa imej yang disengajakan, seperti indahnya babak-babak Sangmong-Yupadee yang bogel tanpa seutas benang, berlari-lari dalam hutan tanpa risau seakan Adam dan Eve dalam syurga, lantas babak "indah" ini dimatikan dengan hukuman kuasa "undang-undang" suami Yupadee yang merantai kedua-dua merpati itu dengan zalimnya. Kita faham di sini, penulis novel serta ceritanya akan memenangkan "karma" dan "kuasa", hal-hal yang konsensus terhadap hidup orang Timur (menyatakan ilmu orang Barat hanya menghancurkan - adakah Demokrasi menghancurkan?) terhadap pilihan hidup "kebaratan" Sangmong-Yupadee (imej Adam dan Eve sudah cukup memadai). Tetapi kenapa terlalu "lurus" menghukum dan membawa "tragedi" terhadap kedua-dua watak? Kenapa kedua-dua watak yang begitu "intelektual" tidak terfikir untuk "lari senyap-senyap" atau mencari ruang untuk memotong best rantai yang mengikat mereka? Hal-hal simplisistic inilah yang membuatkan filem yang berimej indah ini ditertawakan.

Lagu filem ini walaupun senang diingati merupakan lagi organ. Mom Noi dikenali sebagai pengarah yang amat menjaga imej sinemanya. Nyata imej filem ini sungguh indah. Tetapi beliau juga dikenali sebagai memberi dialog-dialog yang tidak "real" atau teaterikal. Aku cuba melihat kekuatan filem ini dari segi dialog jika benar-benar pengarahnya dari himpunan teater. Menyedihkan, kebanyakan babak yang lebih senang dibikin dengan hanya imej dilewahkan dengan dialog-dialog yang terlalu menyatakan, seakan 40 minit filem ini datang daripada drama radio. Kuasa dialog terletak kepada drama dalam teks dialognya, ke arah mana yang ia hendak dibawa secara emosi dan intelek seperti yang wujud dalam Abang, 12 Angry Men dan Bug, tetapi filem ini lebih "menjelaskan" daripada benar-benar memberi kita satu kelengkapan emosi yang utuh. Hal ini terlalu "meromantiskan" zaman itu walaupun latarnya sudah "romantis". Ini menghampakan sebenarnya.

Jika seorang pengarah veteran seperti Mom Noi masih boleh melakukan kesalahan, aku tidak khuatir jika Hatta Azad Khan pun, yang sudah berapa tahun tidak mengarah boleh merakam dan menangkap sesuatu yang salah. Seperti halnya, filem-filem eloklah diberikan kepada mereka yang mahu mencari unsur wayang dan bukan melakukan sesuatu kerana keinginan "cantik" sahaja.

Nota fadz: Aku kira aku perlu menonton filem ini: http://thejoshuatapes.com/index.htm

5 comments:

Anonymous said...

tak berani ke intai dan nukil garam asam?

PS-Sehingga kini aku tak baca lagi 'nukilan' jemaah ini tentangnya. Waktu dulu mereka perembat razak sampai nazak.

ikhlas
Penchinta Ruang Gelap

Fasyali Fadzly said...

A Doll House by Hendrik Ibsen

fadz said...

Vit, haha, trimas, tapi kalau tak silap aku, itulah yg dinyatakan dalam filem ni, nanti aku ubah.. tq.

fadz said...

PRG, aku x sempat tonton lagi, tapi TMBF dah tonton dan bantai filem tu, camne aku nak gi tgk?

Taf Teh said...

Berpintal-pintal la ayat-ayat dalam ulasan fadz kali ni... Tapi fadz, unsur teaterikal lah best...

When writer exaggerates, you have fiction. When director exaggerates, then you have film.