13 February 2009

Zibahkhana(2007) dan Blogger Filem

Zibahkhana Klise Yang Seronok Walaupun Lembap pada Pertengahannya


Baru-baru ini aku dapat DVD dari Australia, hantaran Spiral, wo hoo! Berapa judul entah dia bagi. Itulah ciri-ciri teman sejati (ya Edd, terima kasih jua kawanku), hahahaha. Aku bukak satu, sebab dah tunggu lama sangat nak menontonnya, Zibahkhana, filem seram Pakistan yang baru dan sedang ditayang di serata pawagam filem yang mengenali filem seram. Malah, fllem ini semacam WAJIB ditonton tahun lepas oleh sesiapa yang meminati filem seram, malah sudah diulas oleh kebanyakan pengulas/pengkritik filem seram seluruh dunia.

Masa aku tonton, Ya Rabbi, takde sari kata! Aku pun menggelupurlah (Spiral bagi aku filem Inside yang juga takde sari kata yang sampai sekarang aku tak tonton, filem-filem Korea Edd pun sama). Aku bagitau Spiral. Spiral dengan selamba mesej aku: "Kau tengok tak perlu dialog, lagipun ada campuran Inggeris dan Urdu." Aku baru tersedar, oh ya, betul juga tu, aku sendiri pernah tonton filem-filem Tamil tanpa sari kata dan aku faham pun ceritanya (walaupun aku sedikit sedih sebab tak dapat tangkap betul-betul apa pelakon tu cakap). Jadi aku teruskanlah menonton.

Secara umum, filem ini semacam satu campuran sinopsis filem terunggul Tobe Hopper, Texas Chainsaw Massacre yang berkahwin dengan filem-filem zombi Lucio Fulci. Juga terdapat teknik "hantu mengejar" dalam Evil Dead Sam Raimi. Apa? Tentu klise bukan? Aku semacam berada di tengah-tengah, ya dan tak. Dalam kesuraman dan penggunaan "biasa" malah pinjaman teknik seram dalam filem-filem bajet rendah Hollywood dan 50-an, ada semacam satu "kelainan" yang dipaparkan oleh Omar Khan, kemungkinan kerana budaya yang disampaikan, wajah yang "lain" atau penjagaan Omar terhadap batasan komedi dan seramnya.

Sebenarnya filem ini satu "penghormatan" terhadap filem-filem seram Pakistan yang tidak banyak diketahui umum, malah terang-terang di dalam filem ini merujuk dua buah filem yang kemungkinannya sumber rujukan dan kesayangan pengarahnya Madman (1964) (lihat babak awal si budak ambil ganja, lihat poster di biliknya) dan Zinda Laash (1967) (filem genre vampire, saduran Dracula zaman Hammers. Juga dipaparkan dalam filem ini. Lelaki tua dalam filem ini jelas diberi penghormatan sebagai "pembuka amaran" kepada "anak-anak yang tidak mahu dengar cakap"). Kurangnya aku mengenali sejarah seram Pakistan menyebabkan aku tidak boleh membuat rujukan sepenuhnya.

Apa-apa pun, apa yang jelas, Omar Khan memainkan unsur didaktisme (kebiasaan dalam komik EC Comics, Tales From The Darkside, malah ada penggunaan teknik EC Comics yang sama seperti Creepshow) untuk menyampaikan "maksud" cerita (moral kan hal biasa dalam filem seram) dan sebuah satira (semua filem zombi kan berbalik pada hal ni) menyengat tentang perbezaan jurang penduduk urban dan luar bandar di Pakistan, hal yang buat aku diambil serius oleh Omar Khan.

Tapi lantaklah semua tu! Berbaloi ke darah dan segala seramnya? Aku boleh kata ya dan tak. Ganasnya memang menarik, cukup dengan efek dan gilanya, tetapi aksi fizikalnya tidaklah seganas mana, malah sangat "bajet rendah". Bayangkan, si lelaki hendak diterkam zombi, lalu tiba-tiba dipotong, lalu si lelaki sudah di"gigit". Aksi melakukannya (walaupun dalam babak itu, Omar genius dengan meletakkan saspens pada babak berikut kerana baru memaparkan lelaki itu digigit) "hilang", malah buat aku, Histeria(2008) James Lee lebih berjaya memaparkan pembunuhan "darah ganas" yang lazat. Malah babak pembunuh psikopath dalam burqah dengan cokmar bebola yang sebenarnya "super cool" tapi hanya menghayun cokmarnya, tanpa kita lihat benar-benar bebola itu benar-benar mengena mangsanya.

Apa? Pembunuh dalam burqah?! Ya, gila! Inilah hantu kum-kum yang sebenar, malah sangat kontreversi kerana menyampaikan simbolisme "Islam itu keganasan" dalam mesej yang ekstrem sekali. Tetapi hal ini bolehlah dilihat dalam bayangan hiburan, dengan pengertian menarik bahawa anak yang didominasi ibu (ingat Norman Bates?) keluar dengan purdah membunuh orang dalam konteks budaya Pakistan!

Tapi hal-hal inilah yang membuatkan filem ini menarik, walaupun plot dan pergerakannya tidak ada yang baru pun. Malah penghormatannya kepada zombi membuatkan aku respek pengarah ni (maaf bang Mamat, tapi beginilah kalau mahu buat filem zombi dan bukan seperti Zombi Kampung Pisang). Ya, jadi akhirnya, siapa yang terselamat? Lantak siapa-siapalah, janji menghiburkan!


Malaysian Film Bloggers For Your Consideration


Di sini nanti, aku nak tulis rumusan tentang beberapa blog filem yang mesti kunjung, dan juga beberapa blogger filem otai yang sudah lama tak menulis tentang filem.

Mereka adalah:

See Me Write (Bratty)
Jika ada orang herdik pengulas filem dengan kata-kata "cubalah buat filem sendiri", aku akan teringatkan blog ini. Beliau ialah antara pengulas filem yang "walk the talk" - ya, beliau sebenarnya seorang penulis skrip, malah ada beberapa projek beliau yang sudah ke udara (ha, jangan korang tak tahu!) Tapi beliau juga insan yang paling rendah diri, tulus dan banyak berbincang dengan terbuka kepada blogger pengulas filem lain, walaupun ilmu beliau dalam filem sangat tinggi (beliau ada ijazah!). Malah pendekatan meletakkan sinopsis dan skrip beliau dalam blog merupakan kerja interaktif pertama yang sangat berharga (buat pembikin filem amatur, blog ini sangat perlu untuk berbtukar-tukar kefahamn!). Tetapi kemungkinan kerana kebanyakan pelajar filem kita tak buka blog atau jenis pasif, Bratty sekarang lebih senang meletakkan beberapa klip You Tube menarik untuk pengkongsian pembaca. Juga beberapa pengalaman dahulu dan sekarang beliau (kini beliau sedang sibuk menulis skrip, jadi memang entrinya segera dan pendek-pendek). Buat penggemar filem yang mahu mengenali skrip filem, boleh jelajah ke sini dengan melihat dengan "lintas langsung" bagaimana proses pelakuan penulisan skrip (menarik, anda akan lihat emosi, pandangan luar dan cerapan yang bertukar-tukar pada saat beliau sedang dalam proses menulis skrip dengan entri-entri yang beliau poskan).

Skrin (Mahhass - otai)
Walaupun aku tidak boleh buka blog ini di pejabat, ini antara blog filem yang wajib kena terjah. Skrin sebenarnya sudah lama. Malah waktu awal ia terbina, Skrin adalah antara blog filem terjaguh sekali antara blog-blog filem di Malaysia, yang senantiasa mendapat kunjungan tertinggi orang ramai. Aku masih teringat lagi, sewaktu kami sama-sama mengulas filem Puteri Gunung Ledang sebelum ia ditayangkan di pawagam, blog beliau menjadi fenomena dengan hits sangat tinggi dengan komentar pelbagai pembikin filem dan peminat filem. Ini adalah kerana kupasan beliau yang menolak menggunakan istilah-istilah besar filem tetapi menggunakan bahasa yang senang difahami masyarakat, tetapi tetap "mengena" tulisannya serta jujur terhadap filem yang diulas. Malah pada waktu dulu, blog beliau mengulas genre filem yang pelbagai dan bukan seperti sekarang yang lebih khusus kepada seram. Kini blog beliau menjadi antara blog filem seram terpenting dan terkini tentang filem-filem seram seluruh dunia.

:) (Mama Ikmal/Zack - otai)
Zack, itulah nama yang aku selalu panggil terhadap blogger dengan judul blognya yang susah hendak disebut itu. Zack best sebab ulasannya selalu to the point, pendek, dan kemas. Malah Zack suka melayan perasaannya dengan menyatakan suka/tak sukanya yang peribadi terhadap pelakon/watak dalam filem. Apa yang menarik lagi, Zack selamba, mengambil inisiatif bahawa blog ialah sebuah komuniti dan bukan untuk pengulasan, maka banyak berlaku "dedikasi"nya terhadap beberapa blogger lain. Tapi kadang-kadang penyembahannya terhadap pelakon/artis lelaki agak terlalu. Who cares, ini blog dia.

Sultan Muzaffar (otai)
Antara otai yang terpengaruh dalam dunia pengulasan filem, malah hiburan, malah sekarang sudah menjadi antara penulis hiburan yang terkenal. Ulasan-ulasan filem beliau selalu sahaja diambil "port" oleh para pekunjung, malah boleh "menukar hati" para penonton untuk menonton filem yang diuar-uarkannya. Antaranya seperti promosi agresif yang beliau lakukan terhadap Sepet yang memang meletup tanpa dijangka (waktu itu, beliau juga sedang mengulas Akademi Fantasia, satu strategi pemasaran yang baik). Tulisan beliau dikira paling baik dalam penyusunan bahasa yang sangat terjaga, dan ulasan-ulasan beliau memang tidak susah untuk dibaca. Beliau juga selalu membuat "perkaitan" terhadap pengulas lain buat sesebuah filem yang beliau ulas, menjadikan blog beliau semacam hub terhadap pengulas blog lain pada waktu dulu. Kini aku tak berapa mengunjunginya kerana beliau dalam satu masa mengambil inisiatif menggunakan blog beliau sebagai blog rasmi Akademi Fantasia. Pun begitu, blog beliau masih antara blog popular masa sekarang.

Kisah Seorang Limau Nipis (Nizam Zakaria - otai)
Antara blog filem terpenting dahulu. Kini beliau sudahpun menjadi pembikin filem/penulis yang tersohor maka beliau tidak lagi mengulas. Beliau adalah antara blogger pengulas filem yang terawal menggunakan analisis buku teks filem yang betul. Malah beliau dahulu berjuang untuk "mengajar" pembaca menggunakan istilah-istilah filem yang betul. Wawancara beliau terhadap beberapa pembikin filem juga penting.

Ajami Hashim
Pada masa sekarang, kemunculan beliau kelihatan antara yang paling berpengaruh dalam kumpulan blogger filem. Seperti Bratty, beliau mengambil penulisan skrip sebagai satu kerjaya yang penting, sangat penting sehingga teknik-teknik penulisan skrip itu beliau bincang dan poskan dalam blog penting beliau, Bicara Skrip (sebelum blog Bratty, blog ini sudah sedia wujud). Kupasan atau pembedahan filem beliau sangat teliti dan analitikal tetapi beliau juga mengambil pendekatan "selamba" dengan menggunakan slanga-slanga urban dan remaja supaya kupasan filem beliau tidak nampak berat. Malah, jika beliau mengutuk, beliau akan menyindir sesebuah filem itu denga "kiasan". Sudah mengambul teraju Sultan Muzaffar sebagai blogger filem tersohor. Ini adalah juga kerana beliau sendiri bekerja di dalam industri filem.
Apa yang menarik tentang Edd ialah, beliau mempunyai pemahaman sendiri tentang filem, dan selalunya ulasan beliau melangkau filem-filem yang ditonton di wayang (seperti akulah! Aku tak reti guna benda-benda internet tu!) iaitu aliran internet, selalunya filem-filem yang segar dan baru yang tidak ada yang menontonnya, dan selalunya filem-filem Korea, Eropah dan Amerika. Edd juga suka mempromo sesuatu kegemaran yang peribadi terhadapnya (seperti filem Watchmen). Sebenarnya Edd juga seorang pakar dengar (muzik) dan bukan saja melihat (filem, TV). Ulasannya dalam bahasa Inggeris yang teratur. Beliau juga kritis terhadap filem, maka sebab itu, beliau tidak selalu mengulas filem Melayu (supaya terjaga dari menghentam filem-filem yang "terpaksa" ditontoninya) kerana melihat daripada tahap kualiti filem Melayu yang buatnya jauh daripada tahap teknik filem Indonesia ataupun Thailand. Jadi, jika kalian melihat beliau ada mengulas beberapa filem Melayu, maknanya filem itu sememangnya mencapai piawai kualitinya yang setaraf filem-filem luar negara, dari inti termasuk tekniknya.

Amy Ikram
Amy Ikran adalah antara blogger filem yang penting oleh sebab satu hal, beliau merupakan produk "anak-anak filem sekolah filem Malaysia" serta seorang pegawai yang bekerja terus dengan FINAS, maka hal-hal semasa akan filem Melayu atau filem umumnya akan ditulis oleh beliau. Malah penulisannya senang dibaca dan lebih berbentuk informatif daripada penganalisian. Beliau juga adalah pejuang filem-filem pendek pelajar di mana filem beliau sendiri, Comolot mendapat perhatian besar oleh kerana subjek dan hal kontreversi yang dibawanya. Buat sesiapa yang dahagakan berita terkini tentang filem Malaysia, Amy Ikram merupakan kulit majalahnya.

]3 \ /= _ [- \/ (Jhbt, Dewa, Jimi RIP)
Kehadiran blog filem ini ialah satu fenomena, secara peribadinya buat aku. Ya, ianya bukan blog filem per se, tetapi ulasan-ulasan arwah Jimi, serta ulasan kritis Jhbt dan Dewa serta filem-filem pendek tetapi "membuka mata" Jhbt menjadikan blog ini antara blog baru yang "mesti kunjung". Seperti Jhbt, ulasan Jhbt lebih jujur dan menampakkan kencenderungannya meneliti filem sebagai filem tanpa apa-apa rujukan. Malah penggunaan bahasa mereka betul dan sempurna. Apa yang menarik, Bin Filem mengelak daripada "tunjuk pandai" walaupun mereka "memang pandai", mengajak bersama-sama para pengunjung untuk meneliti dan berbual tentang filem secara subjektif dan menilainya selepas adanya perbualan (selalunya berlaku di dalam komen). Secara pra sedar, mereka juga turut mencambah persoalan-persoalan DIY dan hal-hal "perubahan" yang perlu untuk dunia dari kaca mata mereka. Mereka sebenarnya menjalankan satu revolusi secara diam. Dan revolusi mereka sememangnya mulia.

Roman Kodian (Nazim Masnawi - otai)
Antara semua blogger filem yang aku kenali dan sanjungi sebagai seorang komentar di dalam dan luar filem, Nazimlah pengulas blogger paling 'celaka' dan paling aku sanjung atas beberapa sebab, tetapi perkara yang utama dan segar ialah, beliau sangat berani menekan butang yang membuat orang tidak duduk diam (orang panggil, mencipta provokasi), menekan psyche Melayu dan Malaysia yang "biasa" untuk berfikir "lebih" atau "di luar kotak" untuk seketika dengan keterangan teliti dan kritisnya, walaupun orang senantiasa akan mengambil sikap salah faham dengan Nazim, sepertimana ulasan dan esei masterpiece-nya di dalam Komikoo (contoh seperti tulisannya tengah 10 filem paling bangsat, dan tulisan Darney(?) Menentang Dunianya) yang banyak mengterkilankan ramai pembaca komik dan menyuruhnya "mengucap". Jika Nazim hidup zaman 13 Mei, aku gerenti, beliau juga akan direjam tanpa usul periksa walaupun kulit beliau sehitam manis Melayu di sebelah anda dan berwajah innocent bak bayi. Jika Jhbt dalam BinFilem melakukannya dengan berkias, Nazim menampar anda untuk melihat idea dan "point"nya secara langsung, "in your face" tanpa berlapik-lapik. Malah, kadang-kadang penulisan komentar Nazim (serta bloghopping-nya) juga berbentuk provokasi dan kadang-kadang berbentuk peribadi, yang kita juga menyoal, Apa hallah mamat ni, kesiannya, murung-anti-sosial yang akut ke? Pun begitu, kemasukan Nazim dalam gelanggang blog filem (yang kita faham sangat beliau sebenarnya mahu disayangi dan dikenali ramai, jadi para wanita di luar sana, peluklah dan ciumlah Nazim, biar dia tenang sedikit) memang begitu penting untuk menggegarkan sensasi dan sensibiliti persada seni tempatan dengan cara yang luar dugaan, malah ke'Ogy'annya telah mula diikuti ramai terutamanya si wanita sepet yang cun tapi mulut pedas dalam Melodi.

Jangan Tegur (MF Kencana)
Berita tentang Metrowealth merampas hasil kerja skrip seram seorang penulis skrip tanpa persetujuan penulis itu kecoh beberapa tahun lepas, malah berita itu pernah disiarkan dalam Melodi. Berlaku pendebatan tentangnya di antara penulis dan pihak Metrowealth selaku pembikin dan produser filem di akhbar tempatan. Ianya sememangnya sebuah saga dalam dunia perfileman Malaysia, dan sebolehnya dirakamkan (pada tahun-tahun hadapan mungkin boleh difilemkan). Maka dengan itu yang dibikin oleh MF Kencana sebagai iktibar dan proses ilmu kepada penulis skrip muda di Malaysia (MF Kencana tidak mahu penulis terjebak dan tertipu sepertinya) adalah sangat penting. Memang, sekrang Kencana sendiri sudah "move on" dengan hidupnya, malah skripnya mendapat tempat oleh beberapa penerbit drama lain. Tetapi semuanya berlaku (dan penghasilan blognya) atas semangat Kencana untuk melihat keadilan untuk manusia di balik tabir. Oleh sebab itu Jangan Tegur wajar diikuti atas nama sejarah ini.

MyFanny (Reza)
Blog paling sempoi yang suka berbicara tentang filem-filem seram. Bahasanya memang memalukan (kerana aku ikuti dia sewaktu dia masih IPT, dan melihat daripada bahasanya, Ya Rabbi, sedihnya umat IPT sekarang) tetapi keintiman dan pandangan peribadinya sangat seronok dibaca, malah dengan keterangan akan perasaan kawan-kawannya yang mengikut sama menonton, baik di dalam ulasannya atau komentar membuatkan blog ini mencapai tujuan apa itu blog filem sebenarnya. Reza lebih kepada filem-filem seram yang popular dan Hollywood, tetapi bukan menolak filem seram lain sepenuhnya.

momento (Maberik -otai)
Maberik adalah antara beberapa blogger senior yang bermula dengan mengulas filem. Pandangan Maberik selalunya terkini seperti EddVedder yang sememangnya kaki penggodam filem dalam internet. Tulisan ulasannya selalunya dalam Inggeris yang baik. Oleh kerana Maberik, aku menonton Children of Men dan meletakkan filem itu filem kegemaran dan terbaik aku pada 2006. Ini menandakan pilihan-pilihan filem terbaik oleh Maberik selalunya mengejutkan dan tidak akan menghampakan.

Jimi Wiser (otai)
Antara blog filem popular pada tahun-tahun dulu (2003-2007) yang banyak membicarakan filem-filem Melayu, Asia dan filem-filem berat dari Hollywood dan Eropah. Ulasan Jimi Wiser senang diikuti kerana tidak berlaku penganalisian secara meleret dan ulasannya tersusun kemas antara pandangan lakonan, cerita, plot, teknik dan peribadi. Kini, Jimi Wiser kurang menulis tentang filem kerana sibuk bertugas sebagai seorang guru berhemah di Perak, serta banyak membaca buku sekarang. Maka, jika Jimi ada mengulas akan sesebuah filem sekarang, ia sememangnya sebuah filem yang tentu wajar ditonton kerana membuatkan Jimi tergerak memperkatakan tentangnya.

Halaman ini sengaja dibiarkan bertulis (Mensh -otai)
Sebenarnya, ini adalah blog kegemaran peribadi aku selain daripada Bin Filem. Buat aku sendiri, aku banyak belajar daripada pengamatan Mensh tentang sesebuah filem, walaupun Mensh mengulasnya semacam satu rumusan plot. Kadang-kadang pandangan Mensh sangat jujur, aku tergerak untuk menulis sesuatu tentangnya. Tetapi aku tak dapat menulis kerana Mensh mensengajakan blognya (halamannya) tidak boleh dikomen, atau dihubungi pun. Mensh kemungkinan seorang blogger yang menyendiri (private) dan tidak peduli dengan sensasi (seperti Nazim Masnawi), tetapi keluhuran dan kejujuran Mensh menyebabkan blognya tidak akan aku putus-putus mengunjunginya.

Laman Web Rasmi Nazri M. Annuar (Vovin -otai )
Seorang lagi blogger filem yang meneliti filem dengan kejujuran yang tinggi. Ini berkemungkinan kerana Vovin atau Nazri Annuar ialah seorang novelis/editor yang tersohor. Maka pengamatannya tajam dan terbukti tajam dengan ulasan-ulasannya yang "pukul rata". Kini Nazri sudah kurang mengulas filem, seperti Jimi, hanya filem-filem yang "matters" sahaja yang akan disentuh olehnya. Pun begitu, idea-idea Nazri tentang filem Melayu dan filem-filem fiksyen sains dan fantasi wajar ditelaah. Malah Nazri juga sudah menceburi bidang perfileman dengan beberapa filem pendek di dalam you tube. Antara blogger yang mula mengambil motto "walk the talk" dengan lebih serius.


Sensasi Selebriti (Budiey)
Budiey dahulunya banyak mengulas filem. Dan ulasan-ulasan filemnya persis yang kita selalu baca di akhbar tempatan. Ya, Budiey juga sebenarnya seorang wartawan yang sangat dekat dengan dunia glamour artis tempatan, maka dengan itu, tempelan "what's hot and what's not" dalma blognya sudah cukup untuk anda kenali siapa yang akan naik - turun dalam dunia hiburan Malaysia. Penting kerana berita-berita yang berkait dengan filem akan anda dapat lebih cepat daripada akhbar harian tempatan.


Lagi-lagi Filem (Ikhares)
Antara blog filem baru yang sangat penting penglibatannya dalam persada blogger filem. Lagi-lagi Filem macam kerja akulah, banyak mengheboh-hebohkan pembaca blog tentang filem-filem Malaysia, baik perdana atau bebas/indie yang berlaku di serata Lembah Kelang. Malah ulasannya juga baik tentang sesebuah filem. Antara blog filem yang sememangnya melakukan sesuatu yang baik buat persada filem Malaysia.

Aku tak yah lah!

Maaf, aku takkan masukkan pembikin filem yang sudah bernama (kerana ini lebih buat penulis blog yang mengulas filem) dan lebih dikenali sebagai penulis alam nyata daripada maya. Sila maklumkan kepada aku jika blog filem kalian aku tak masukkan lagi di muka kait belah kanan blog ini. Harap blog anda selalu dikemas kini. Senarai ini akan berkembang.

15 comments:

Lyn said...

Aww, so swit of you Fadz. Thanks so much, yeah tak letak dah script & sinopsis sbb takut kes plagiat ;) & will try to write more once tak bz menulis script ;)

Anonymous said...

Terharu. Terima kasih bro. Third parcel akan sampai lagi nanti, lepas habis kau tonton semua ;)

fadz said...

spiral, serius ke? wahhh, but boleh tak kali ni saya nak mintak title2 yg lama.. boleh la, haha, filem baru saya nak letak ke tepi dulu, lagi2 bila tgk martin, gila sih!

Edd Vedder said...

aku otai?
tak kot bro.. segan plak rasanya. Anyway thanks a lot. Appreciate it very much.

BTW, filem2 Korea aku mmg siap dgn subtitle. Filem2 tu mmg perlu subtitles untuk kau faham.

Emel me bro.. aku kasi satu software untuk kau tgk movie dgn subs.

Ajami Hashim said...

"kemunculan beliau kelihatan antara yang paling berpengaruh dalam kumpulan blogger filem."

tidakkk! ini tidakkk adil! aku serahkan semula kpd kau! aku takmau! huaaa!

Anonymous said...

Malu, segan, aib... semua ada! Tapi aku terima kasih kat kau Fadz. Ahh.. malunya aku!

ryann said...

mula dari sm, ikuti fadz, jimi, spiral & limau nipis sejak awal dulu. kini ajami menjadi link kepada yg lain. baca dari kalian menambahkan pemahaman dan minat terhadap filem. terima kasih

fadz said...

edd, aku dah bagitau, mcm mana ni?

ajami, u r..

mensh, tunggu giliran, hehe

ryann, terima kasih :) saya cuba buat yg lebih baik..

Anonymous said...

Tonton Filem (Fadz - otai)
kunci kepada semua blog-blog di atas (kepada yg malas nak bubuh semua hyperlink pasal filem, letak 'tonton filem' saja,) semangat relatifnya tinggi dalam membaca filem dan gaya penulisannya semacam, (boleh cam) haha.

fadz said...

cam sapa bro, cam sapa? hahah.. woi, aku tak ciplak2 ya. haha

Anonymous said...

boleh cam = boleh kenal gaya tulisan, tak jumpa lagi org lain tulis macam tonton filem ;-) 'semacam'

fadz said...

jhebat, hahah, owait!

Anonymous said...

Tumpang terharu.. Terimakasih -M.F Kencana (www.jangantegur.com)

Zack said...

Maaf Fadz, baru hari ni aku jumpa post ni (gila lama tak bukak blog member2). Terima kasih ye, sbb mention nama saya. :)

fadz said...

salam zack, ada lagi beberapa.. :)