05 November 2007

Tiga Filem untuk Halloween

Pertama: Ya, aku dah jumpa filem Halloween aku..!
Halloween (2007)





Ini adalah filem halloween tahun ini buat aku.

Pertamanya, membuat perbandingan akan filem arahan/tulisan semula Rob Zombie ini dengan John Carpenter memang tidak munasabah. Lagi-lagi buat peminat filem seram seperti aku. Buat filem originalnya, seram dan ceritanya datang daripada pengamatan Carpenter terhadap filem-filem klasik yang diminatinya sewaktu kecil. Filem 'pengimajinasi semula' Rob Zombie ini pula ialah pengamatan dan 'cinta' Zombie terhadap filem original, filem seram secara umum dan pencarian punca kejahatan secara rohaniah. Bagi aku, ini adalah filem termatang, terkuat dan terbaik Rob Zombie. Sangat-sangat baik. Dan ironisnya, ia datang daripada sebuah filem yang di'bikin' semula daripada sebuah filem seram klasik yang sudah begitu kuat (and a double irony that it would be my halloween movie this year). Zombie mendapat kuasa daripada mengitar semual hasil kerja orang. Kita kenal seperti masterpiecenya The Devil's Rejects(2005) mengambil latar dan anti-hero "Texas Chainsaw Massacre" dan "Bonnie and Clyde" dan memusingnya dengan babak-babak horrid dan gila manusia. Buat kali ini, sekali lagi, dengan penuh gaya, Halloween Zombie dipenuhi dengan kata-kata lancang, kekejaman depan mata dan pencarian kejahatan dalam roh manusia, sesuatu yang sudah sebati dalam filem-filem Zombie dan dibuat dengan teliti sekali buat filem ini.

Satu perkara yang saya kira 'berani' buat Zombie ialah, memberi 'kejahatan' sebuah 'wajah'. Apa jadi bila kita memberi 'wajah' kepada seorang pembunuh psiko pada sebuah genre slasher yang sudah dikitar dan dikitar semual sehingga basi? Sebenarnya gaya ini pernah dibuat, lebih-lebih lagi ciptaan Thomas Harris yang terkenal itu, Dr. Hanibal Lecter. Juga Henry: Potrait of A Serial Killer(1986), atau kalau mahu kembali ke 'cult lane', cuba Maniac(1980). Apa yang baru di sini ialah memberi 'sejarah' dan 'latar belakang', juga perasaan terhadap Micheal Myers si pembunuh. Di sinilah ramai penonton mungkin terasa janggal kerana efek suspens itu 'hilang' (mereka sudah tahu siapa pembunuhnya, satu undang-undang merosakkan filem slasher) atau marah (buat peminat setia fielm original) kerana 'true evil' atau "Boogeyman" (persona Micheal dan Jason, semacam si jahat dengan topeng yang tidak akan mata selama-lamanya sehinggalah kiamat- satu simbolisme kuasa jahat manusia itu sendiri) Micheal Myers diberi wajah. Maka bagi mereka, ketakutan terhadap Micheal hilang. Kenapa? Sebab Micheal rupanya MANUSIA. Bagi mereka, di sinilah kesalahan besar buat Zombie. Bagi aku, inilah cabaran terbesar bukan saja buat dia, tetapi buat penonton seram yang mahu 'memajukan' diri mereka.

Sedangkan sebenarnya, sejarah yang dicipta oleh Zombie, bukan sahaja kena secara psikologi yang tepat (beberapa pembunuh bersiri dan psikotik sudah diselidiki), tetapi memberi filem ini warna dengan menjadikannya sebuah filem seram saga pertama yang pernah saya tonton. Malah, idea Zombie ini secara tidak langsung memberi penghormatan tinggi terhadap ciptaan John Carpenter dan Debra Hill. Penghormatan di sini bukan saja memberi 'inti' kepada makna tersirat pada malam Halloween (kenapa Micheal membunuh pada malam halloween, kenapa topeng lelaki itu yang dipakai) tetapi kepada motif Micheal menjadi jahat dan punya 'urge' membunuh (dengan pemilihan mangsanya yang teliti dan kompleksitinya terhadap penerimaan seks).

Malah, yang paling baik, filem ini menunjukkan betapa benarnya 'superpower of evil' Micheal. Micheal seorang yang 'kuat'. Sangat-sangat kuat. Ingat di mana filem pertama, Micheal mengangkat seorang mangsa lalu dipacak di atas dinding dengan pisau? Filem ini membayangkan kekuatan Micheal itu datang dari mana. Dengan itu, kita boleh 'tangkap' kenapa Micheal tidak boleh mati-mati dan sejenis 'mean killer machine' yang tidak boleh hancur-hancur. Malah, kita tahu Micheal punya peluang dan kekuatan yang melebihi mangsanya. Hanya ia pilihan Micheal untuk memilih dan membunuh SIAPA yang dia mahu dan di mana dan bila.

Satu lagi, teknik yang paling aku suka (selain daripada pengalaman pertama Micheal membunuh dan bagaimana kesan itu memberinya suatu 'keinginan' baru, satu cara untuk dia melepaskan 'geram') ialah, filem ini memaparkan bagaimana Micheal (yang kita sudah kenal, maka kita tidak akan rasa sesak dengan 'presence'nya) melalui dinding atau sudut rumah, dan berdiri dan tidak bertindak. Lalu tiba-tiba baru dia mengejar dan mengapak. Ini yang menakutkan. Ini adalah kerana (gaya ini sama seperti yang dibuat dalam A Short Film About Killing, realisme pembunuhan ini diambil kebenarannya lalu disapu dengan stail oleh Zombie di dalam filem ini) penonton tidak diberi masa untuk bertindak dengan perilaku Micheal. Mereka akan sentiasa bertanya, "Apa yang akan dia lakukan selepas ini? Kenapa dia tidak?" Dan sedang mereka bertanya, Micheal bertindak di depan kamera, menyentak mereka. Gaya ini mempunyai unsur saspens yang sama dengan semangat 'memaparkan seram tanpa imej' atau "less is more" yang dibikin dengan efektif sekali oleh Jacques Tourneur. Di sini, kita sudah sedia kenal si penyebab (pembunuh/pemangsa), hanya kita tidak tahu gerak gerinya akan dibawa ke tahap mana dan ke mana ia akan melakukan tugas kejamnya. Di sinilah efektifnya Zombie. Bayangkan seorang budak kecil yang berwajah baik tiba-tiba mengelar tengkuk anda TANPA SEBAB. Inilah keseraman yang mahu dibawa oleh Zombie.

Filem ini juga, dengan mengejutkan, memberi watak-watak mangsa yang kita suka dan bersimpati dengan. Watak mereka memang tidak penting (tidak penting kerana mereka akan mati juga pada akhirnya), malah semacam tidak mengisi motif plot. Tetapi Zombie mengisi mereka dengan watak 'manusia', dan manusia, apabila dibunuh, yang menyebabkan manusia tersentak. Zombie memang pandai mencipta watak-watak 'that matters', walaupun sekecil mana peranan mereka di dalam filem ini. Dan di dalam filem ini belambak. Mungkin juga kerana teknik pembunuhan yang berlaku, mangsa itu memang dikacau dan digoyah dengan teruk. Mereka bukan dalam filem, tetapi di alam nyata. 'Takut' mereka 'real'. Dan ini yang mengujakan.

Halloween juga mencapai strata-strate teknikal yang tinggi selain dari lakonan dan pengarahan. Lagu latarnya kena dan menakutkan, fotografinya yang mengambil semangat filem lama lalu memberinya nafas 'wide screen' baru memberi 'epic feel' terhadap filem ini. Latar seninya juga adalah antara yang terbaik keluar dalam sebuah filem seram tahun ini. Setiap ketelitian latar tempat dijaga dengan baik.

Akhir sekali, Rob Zombie bukan saja berjaya memberi filem ini sebuah nafas baharu, tetapi suatu 'tragedi dan sumpahan' baharu yang bukan lagi berbau mistikal (walaupun masih occultish), tetapi 'real' seperti yang dibawanya dalam The Devil's Reject (Zombie percaya bahawa kemandirian manusia biasa melakukan sesuatu dengan mendepani pilihan yang dibuat membuat mereka sebagai legenda. Devil's Reject memaparkan manusia biasa yang luar biasa yang mencipta legenda, walaupun pilihan yang dibuat itu ialah keganasan di luar kemampuan kemanusiaan. Perkara ini agak menarik jika kita kaitkan legenda Dracula yang datang dari Vlad the Impaler atau Countess Erzsébet Báthory), manusia yang hanya tidak faham akan emosi dan kejahatan dalam diri mereka tetapi mahu memberi peluang untuk mengenalinya. Di dalam filem ini, jalan ke arah kejahatan itu jelas. Seperti yang dikatakan oleh Dr. Loomis- "Matanya bukan lagi manusia". Tetapi di situlah jawapannya bercelaru. Budak itu mungkin satu ciptaan Tuhan atau alam yang 'rosak', diturunkan sebagai sumpahan (seperti yang dibayangkan dalam filem original), tetapi secara didaktik, keluarga dan rumah yang rosak, membentuk anak-anak yang rosak. Filem ini menyelusuri isu ini dengan sentuhan menyentuh perasaan (walaupun dengan kejam, ini adalah suatu yang hebat tentang Rob Zombie, melakarkan kecantikan dan poignant manusia dalam kekejaman dan pemahaman kekejaman itu). Malah, kerana 'realiti' yang ditangguni oleh keluarga (bukan sahaja kerana mungkin berketurunan gila, tetapi memberi peluang persekitaran mengubah dan mengeluarkan kegilaan itu) yang mencipta legenda itu. Legenda yang menakutkan bagi orang yang tidak faham, tetapi yang memahaminya, sedar akan tragedi dan kisah sedih yang terlibat di belakang ceritanya.



Unrest (2006)




lihat: http://www.imdb.com/title/tt0453533/

Ini ialah sebuah filem bebas yang biasa. Biasa sebenarnya. Malah, efek (hantu keluar) yang tidak ditunjuk (kerana tidak ada bajet) memberi efek baik dan kadang-kala tidak baik terhadap keseluruhan filem (dari segi memberi saspens dan proses penemuan bukti, kebiasaan buat filem-filem berbentuk separa penyiasatan dalam mana-mana filem seram). Lakonan Corri English sebagai penuntut doktor (mengingatkan kita kepada Anatomy, sebuah filem slasher dari Jerman) yang dikacau oleh hantu mangsa hantu Maya baik, ditolong oleh beberapa pelakon yang Ok juga. Tetapi kadang-kala dialog dan skrip cerita meleret filem ini kepada sebuah formula yang pernah dibikin dan simptom 'bila lagi korang nak sedar sehingga terlambat?'. Aku tidak berapa suka filem ini. Mungkin 'highlight' sebenar filem ini terletak kepada dua bentuk. Pertama, mayat-mayat yang digunakan kononnya di dalam filem ini ialah mayat betul, yang di mana (itu mungkin gimik saja) itu tidak penting, tetapi bagaimana telitinya filem ini memaparkan bagaimana badan manusia itu dipotong, itu priceless. Kedua ialah latar lagu filem ini sehebat lagu Omen ciptaan Jerry Goldsmith. Malah bagi aku, lagu filem ini ialah bintang sebenar filem ini. Lain-lain perkara, filem ini bolehlah diabaikan.

Saw 4 (2007)

Apa yang boleh aku kata? Teruja? Seronok? Sudah tentu. Tetapi, yang paling tepat: Gila betul diorang masih boleh memusing-musingkan cerita ini untuk sebuah lagi sekuel yang gila-gila sebegini.
Gila!
Siapa yang buat filem ni memang gila!
Dan geliga!
Perkara utama, untuk anda yang belum menontonnya, sila perhatikan betul-betul babak filem yang paling awal dan ikatkan dengan babak filem yang paling akhir. Filem ini semacam sebuah 'jigsaw puzzle' yang sangat genius dibikin (dan mengerikan), dan seperti Halloween, kita diberi peluang untuk mengenali seorang pembunuh psiko dengan lebih dekat dan kenapa dia membunuh (dan memberi simpati terhadap watak itu, serius! Aku memang dah jatuh cinta dengan wataknya sejak Saw 2 lagi bukan kerana apa, tetapi kelicikannya).
Permainan 'moral' dalam filem kali ini lebih jelas, tetapi sebelum memberi pendapat terang-terang tentang 'kerosakan manusiawi dan kegagalan sistem apa pun untuk memperbetulkannya', filem ini membawa pula kita kepada sebuah 'pembukaan' soalan falsafah yang sangat berat: apakah kita akan berubah?
Filem ini menjawab persoalan itu dalam dua bentuk: satu tidak, kita tidak akan berubah- kebanyakan kita takkan berubah, jika kita 'tidak' percaya (dengan jelas, jika kita ikuti Saw 1 hingga 4, yang tidak ada kepercayaan (faith) dan banyak persoalan (doubt) senang gagal dan berpusing dalam neraka mereka sendiri. Ini termasuk Amanda yang melakukan kesilapan kerana tidak 'mempercayai' kuasa kemaafan (dari Saw 3). Perkara kedua ialah, kita boleh berubah jika kita SENDIRI mahu berubah (walaupun kita punya pendorong/tuan guru). Inilah idea kedua filem ini. Siapa yang akan meneruskan kerja 'keramat' Jigsaw menghukum manusia tolol? Siapa yang berani 'jadi' sepertinya? Aku tidak akan jawab (kerana akhir filem ini sebaik mana-mana filem yang suka memberi segala jawapannya di akhir cerita, dan yang paling mengejutkan, mereka boleh melakukannya untuk kali keempat!) tetapi, walaupun aku kurang mempercayai (aku tidak percaya kerana latar terhadap watak 'anak murid' baru itu terlalu kecil, dan filem ini memang banyak melepaskan red herring), ia sudah berjaya memaparkan bahawa Saw ialah sebuah francais yang sangat berjaya dan sangat ditunggu-tunggu oleh peminat seram kerana durabilitinya bertahan memberi kita saspens dan keseraman yang kejam. Aku tidak boleh tunggu apa pula yang akan mereka lakukan terhadap Saw 5 dan 6 nanti.

3 comments:

Anonymous said...

hmm halloween 2007, not bad lah kot
aku suka first half cause lain...tapi second half huk alor,original tetap better..dah ler wanita2nyer annoying

unrest mmg normal..oh if not mistaken cerita2 8 horror movie festival tuh nak mula dah bulan nih

ha yg saw4, mana kor tgk..rasa tak kuar wayang lagi, heh..my turn to emosi, if ada tix hulur2 lah :D

fadz said...

i think, u better get emotional. all of those above, i watch in Singapore on 31oct-2nov. Huhuhuhahhahahahaahuahauahuahauha.
aku dok umah mak angkat Cina Muslim aku kat sana. Tiket? Next year 31 okt, jom ikut!

Halloween ko tak suka eh? weh, gila best ah...dan mmg, lain gila bila tgk kat wayang, best best best! (aku siap tgk stardust lagi sekali kat pawagam gambar clear gila kat suntec. patutlah bebudak singapore cam sial je, cam biasak je tgk horror, depa dah selalu tgk cerita tanpa cut, so masa tgk tu, aku sorang je yg tutup2 mata dan mejerit, babi tul!) aku suka benda2 subtle dlm filem tu, dan aku suka mangsa2 dlm filem tu, best, ada 'roundness'.

8 horror fest tu apa bro? haha, betulkan si jahil ni cepat.

saw 4, hahahahahaha, ko mmg melepas, hahahahah..! saw 3 last year siap tgk kat bangkok lagi, hahaha, best sial!

Anonymous said...

yg 8 horror film tuh
kor check nih

http://en.wikipedia.org/wiki/8_Films_To_Die_For

dia ada last year ngan this year punya