"Mereka terlampau obses dengan idea. Tapi langsung tiada, execution." - Suri
Parti kerajaan, MUNA, baru kalah pilihan raya kepada WAWASAN, yang diketuai oleh Tun Malik (Jalaluddin Hassan), Perdana Menteri Malaysia terbaharu. Dato' Seri Hassan (Tony Eusoff), bekas Perdana Menteri dan Presiden MUNA berunding dengan timbalannya, Suri (Vanida Imran) untuk mencari strategi bagaimana mereka mampu mendapatkan "takhta" pemerintahan negara semula pada pilihan raya akan datang. Sambil itu, Hassan mengajak Suri bermain catur manakala Suri berlagak dengan memercik petikan perang Sun Tzu untuk mengisi libido rakus Hassan tentang kekuasan dan pengaruh.
Begitulah bagaimana Imran Sheik (dengan lakon layar yang ditulis olehnya dengan Haziq Jamaludin) membina premis filem ini, penuh dengan kata-kata berahi politik antara dua kepala (talking heads) yang aku sangka hanya mampu terutara dalam watak-watak drama siri Pinoy jam 3.00 petang. Tutur demi tutur kata ini dalam membina plotnya diteruskan demi memperkenalkan lagi beberapa watak (Oh, oh, betul-betul drama opera sabun/soap opera jam tiga petang dengan barisan pelakon dan skandal-skandal mereka) dan konflik sehingga terasa lesunya. Ini menyedihkan, kita tidak menonton sebuah filem, tetapi drama bersiri (dalam hal ini, memang berbentuk drama televisyen). Jika kita tutup mata kita, atau kita gelapkan saja skrin layar iflix, kita akan menyedari sebuah drama radio sedang berkemundang dan kita tidak akan terlepas apa-apa.
Dalam kata bual-kata bual itu, kita diperkenalkan dengan dunia politik ala Imran yang dipenuhi orang-orang terdesak, menggunakan, dipergunakan, terpedaya dan salah pilih kasih/kawan - hal-hal yang pekat dalam mana-mana opera sabun Pinoy yang menjadi kesukaan aku suatu masa dahulu (kau jangan, dulu aku peminat besar Pangako Sa'yo, kau jangan main-main dengan opera sabun Pinoy, dia punya pusing, komplot dan skandal, Mak Ai!). Dalam pada itu, kita tidak menemui langsung ketelitian watak dan motivasi, dan latar psikologi. Semua watak hanya bergerak atas susun atur beberapa watak yang tampak terlalu diatur gerak tubuhnya(!) seperti marionette dan sehala (bahasa retorik dalam perbualannya simplistik, dungu dan berdasarkan sensasi, gila nak mampus tiba-tiba kau pujuk seorang ahli politik agama dengan kata-kata kunci yang terlalu jelas dan langsung, tanpa seurat kebijaksanaan kata). Kalau watak kau "liberal dan bijak" pun, di mana buktinya, selain hanya kata-kata? Kemudian, bagaimana seorang wartawan muda, yang (tiba-tiba macam fairy tale) sudah menjadi "Pengurus Besar" sebuah konglemerat media, boleh turun mewawancara sendiri seorang ahli politik?
Jadi, kita anggaplah sahaja ini sebuah drama dari kotak peti dungu di mana para pelakonnya diluah daripada siri francais Idaman 90-an dahulu dengan kemas kini skrip daripada beberapa kata kunci dan rujukan politik Malaysiana kontemporari di kedai kopi. Ada bahagian dalam diri kita yang akan turut ketawa keseronokan atau geram merenyam, seperti menonton opera sabun, terhadap perilaku, dialog dan aksi sebab-akibat yang disampaikan oleh Imran melalui watak-watak bonekanya, semuanya superfisial, palsu dan "dipentaskan". Kita tidak akan menemui dinamisme dan kedalaman, mahupun manusia. Skrip Imran dan Haziq menafikan hal itu.
Produksi semacam televisyen ini mempunyai beberapa pillihan busana dan seni pengarahan yang terang dan berkilauan, menguatkan lagi glossy superfisial dan OTT opera sabun yang hendak disampaikan oleh watak-watak politik Imran ini. Namun pemilihan lokasi dan ruangnya terasa janggal, terpisah-pisah tanpa hakikat latar; dengan kebanyakannya interior (hal ini bukan gaya rasanya, tetapi bajet), menguatkan lagi keberadaan filem ini seperti dipentaskan. Sinematografi Nurhanisham Muhammad antara yang terpelik, dengan sikap minimalis yang tertumpu pada, selalunya, dua kepala bercakap (menguatkan lagi kedrama-radioan filem ini), malah boleh diteliti pada satu adegan awal Jasmin (Jasmine Suraya Chin) dengan rakan wartawan hiburannya di pejabat akhbar mereka, yang ditumpu oleh kamera sewaktu mereka berjalan secara syot panjang, terus bercakap dan bercakap, seakan-akan rakan sekerjanya tidak mendengarkan perbualan mereka: suatu pementasan yang tidak menggerakkan apa-apa imej naratif, dan hanya suatu babak "keterangan" semata-mata.
Mungkin kehadiran filem ini pada waktu Perintah Kawalan Penjarakan melalui striman membuka mata penonton kita. Ini sesuatu yang segar, kata mereka. Namun, semua ini "much ado about novelty", hanya itulah kejaguhan yang dibawa oleh filem ini, yakni kesegaran tema, namun itu pun susah hendak diberikan apabila dua tahun sebelumnya kita diberikan peluang menonton sebuah filem politik yang jauh lebih intrig (malah "ahli politik"nya jauh lebih licik dan manipulatif, dan masih mempunyai jiwa yang menarik) dalam Dukun(!) arahan Dain Said, dan sedekad sebelumnya, yang walaupun bukan baik, tetapi masih boleh dipuji kerana memulakan genre ini, Aku yang Berhormat (1983) arahan Raja Ismail (terbitan Zulkifli Ahmad) tentang jatuh bangun seorang YB di pedalaman.
Jika ada yang menyoal, filem ini dibina dengan kata-kata (12 Angry Men ialah filem yang dibina daripada kata-kata, malah memang diadaptasi daripada teater, namun saspens dan tidak pernah hilang kuasa sinematiknya) sebagai mewakili semangat filemnya, sila perhatikan filem Paolo Sorrentino yang selalunya filemnya juga dibina dengan kata-kata (yakni filem-filem wacana), malah beliau telah menghasilkan antara filem politik abad ke-21 yang terbaik yang pernah dihasilkan, Il divo (2008). Dan kalau rajin, padam sekejap iflix dan nikmati filem politik terhebat sepanjang zaman oleh Costa Gavras, Z (1969) di Youtube (sebelum capaiannya ditutup).
Klasifikasi: 18, Beberapa babak seks dan kata lucah yang tidak sesuai untuk kanak-kanak.
DITONTON DI Iflix.
2 comments:
Sedikit pembetulan, Sdr. Fadz.
"Aku Yang Berhormat" arahan Raja Ismail
bukan Zulkifli Ahmad (atau seperti tercatat
dalam filem Zulkifli Hj. Ahmad).
Zulkifli Hj. Ahmad ialah produser filem tersebut.
Ulasan "Daulat" Sdr. menarik, dan Saya minta
izin untuk dipaste dalam blog Saya. Boleh ya!.
Terima kasih.
Terima kasih Bapak Mustafar kerana menemui kekhilafan, alhamdulillah. Boleh diambil Pak, tidak ada masalah.
Post a Comment