22 October 2019

Ulasan: Pemburu (1982)

"Jangan panggil saya 'tuan', Sita. Pemburu, panggil saya Pemburu." - Pemburu/Kapten Khamis



Filem ini merupakan satu-satunya filem Rahim Razali yang amat langka (lakon layar filem ini turut ditulis oleh Rahim). Aku sendiri hanya pernah menonton (atau menyedari tayangannya) pada pertengahan 1980-an di RTM dan tidak pernah menemuinya lagi. Jika kita selalu dapat menonton Matinya Seorang Patriot (1984) (Matinya Seorang Patriot diangkat oleh Mansor Puteh daripada filem Pemburu yang dihentamnya, boleh diteliti dalam buku kritikannya), kita amat susah menemui filem ini.

Syukur, atas bantuan seorang pensyarah filem, aku dapat menonton filem yang membuatkan Slamet Rahardjo terpesona dengan lakonan Ahmad Yatim (Ahmad Yatim memenangi pelakon lelaki utama terbaik di FFM) untuk filem ini. Mutu filem yang aku tonton itu juga bermasalah, seperti rakaman daripada ril-ril, lima hingga enam, yang belum lagi disatukan dengan betul dan masih mempunyai pengiraan detik pelancaran pada awal setiap ril filem. Satu lagi, runut bunyi (termasuk adunan suara) atau latar suara filem ini tampak dengung, bising, menenggelamkan suara dialog dan amatur, berkemungkinan keberadaan teknologi yang mampu digunakan oleh Hashoma al-Haj, perakam suara masa itu. Skor muzik Johari Teh juga, sedikit menggelupur dan bercampur-aduk (dengan susunan lagu oleh Adin Ali), terasa dalam beberapa bahagian dimasukkan runut lounge music hotel pada beberapa bahagian, malah pada beberapa bahagian pula terdengar skor klasik George Gerhswin atau Wagner disematkan. Namun, pada beberapa bahagian melodrama dan pada awal kredit filem, siulan lagu yang didendangkan menjadi antara tema terkuat filem ini.

Menarik untuk Rahim Razali menggunakan sikap vigilante dalam filem ini, yang berkemungkinan merupakan (1) suara baharu dalam menyampaikan persoalan protes Jebat sebagai reaksi pada keadaan modenisasi masyarakat Malaysia waktu itu atau (2) menjadi kesinambungan pada filem besar Scorsese tahun 1976, Taxi Driver, antara filem yang terus berpengaruh pada kebanyakan pengarah muda serata dunia waktu itu (Thailand di bawah tangan Chatrichalem Yukol turut menghasilkan karya "balas dendam" yang seakan-akan sama dengan Mue puen, 1983). Malah, jika aku tidak silap, Rahim kelihatan orang pertama yang melaksanakannya dalam filem tempatan, yang kemudian diteruskannya dalam Matinya Seorang Patriot (1984) dengan lebih terancang, kemudian Puteri (1987) dan Rentak Desa (1990). Malah vigilante atau naratif Jebat moden ini (selain realisasi tragedi Prebet Adam yang sudah terjawab) turut diikuti oleh Adman Salleh untuk Bintang Malam (1991) dan Amok (1995), serta beberapa lagi pengkarya tempatan.

Mengapakah Rahim tertarik menyentuh semangat berontak ini? Secara luaran jika diteliti, jelas, Rahim melakukan protes terhadap keadaan masyarakat semasanya yang (1) lari daripada hakikat diri dan (2) menjadi materialis (era ini sememangnya era bermulanya tema diktonomi bandar/desa, yakni desa bersimbolkan tradisi, kesucian, asli dan keamanan, lalu bandar bersimbolkan material, kejahatan, kedurjanaan, dan kegolakan. Antara yang terawal menjelmakan konsep ini ialah filem sulung Saadiah, Ceritaku Ceritamu, 1979). Hal ini tersemat pada watak Nora, anak perempuan Pemburu Khamis yang dirogol dan dibunuh pada awal-awal filem ini. Bukan sahaja Nora sudah "tidak balik kampung" setelah tinggal bersama keluarga angkatnya dan kawannya Sita (Aznah Hamid) yang berayahkan Tan Sri (status kekayaan), tetapi citra Nora waktu itu, yang berpakaian blous terbuka warna merah, memaparkan dia sudah "lari" daripada asal-usul tradisi yang dia dilahirkan. Hal ini juga amat berkait dengan hal "ke bandar mencari duit", yang mana, Nora juga berkemungkinan "terpesona", seperti yang disuarakan oleh Pemburu Khamis (Ahmad Yatim) apabila anaknya tidak mahu balik-balik ke kampung lagi.

Hal ini tampaknya merupakan tema besar Rahim Razali, sejak awal Abang (1981) sehingga Abang 92 (1993). Persoalan ini bertambah jelas apabila, Nora, yang dia dan Sita dan May terperangkap di tengah malam di jalan penuh sunyi di "Wilayah Persekutuan" tahun 1981, seperti latar sebuah filem seram yang "mencari jalan pulang" tetapi terperangkap dalam limbo. Pada masa sama, di utara, ayahnya sedang berburu di dalam hutan, penuh kehijauan walaupun gelap malam. Apa yang berlaku ialah, dengan innocent, Nora meminta bantuan empat pemuda dalam jip yang berhenti di tepi jalan, namun, kerana kesunyian dan mabuk-mabuk, lelaki-lelaki itu hanya melihat "lauk" pada tubuh Nora. Lalu, apa-apa yang "tamadun" atau yang selalu disebut oleh ACP Razif (Rahim Razali) sebagai "undang-undang" dan "rukun hidup", luruh jatuh waktu itu. Lalu Pemburu juga menembak. Dan dua benda mati pada masa yang sama.

Babak kemudian dibuka dengan siulan berhantu itu, kemudian imej kereta api, secara terbalik, keluar dari terowong hitamnya, menamakan untuk siapa filem ini:


Pada waktu ini, syot imej bergerak ke belakang, baru ke depan (poin: niat Pemburu untuk "menderhaka" atau melawan undang-undang dan rukun hidup adalah sementara). Apa yang berlaku setelah itu ialah, Pemburu telah bersama-sama Sita dan May, mencari jalan dan menyiasat untuk mencari pembunuh dan perogol Nora. Pada masa yang sama Inspektor Anuar (Ahmad Tamimi Siregar) telah ditugaskan untuk turut menyiasat pembunuhan Nora yang terlalu susah dikesan kerana kekurangan bukti (mereka hanya tahu pembunuh/perogol menaiki jip, anak peleseran dan ambil dadah). Arahan ini sentiasa datang daripada ACP Razif (Rahim Razali), yang tahu bahawa anak yang dibunuh itu merupakan anak kawannya, Kapten Khamis.

Setelah itu, bermulalah pencarian, pengejaran ala cat and mouse dan manipulasi, khususnya Pemburu Khamis yang selalunya 10 tapak lebih maju daripada ACP Razif, Inspektor Anuar dan polis. Dalam hal ini, sinematografi (Haji) Azmi Othman memainkan peranan memerangkap atau membuka "bingkai", memaparkan bagaimana licik dan jauh lebih berkesannya Pemburu Khamis daripada ACP Razif. Hal-hal itu boleh dilihat di sini:

Pada adegan syot sebelum ini, Anuar, Sita dan May duduk di dalam bingkai kayu-kayu titi di luar universiti. Namun betapa kerasnya Sita, Anuar tidak dapat meyakinkannya untuk memberinya maklumat. Pada babak ini, walaupun Anuar memberi amaran kepada Sita dan May untuk tidak menyiasat sendiri, Sita dan May jauh lebih tinggi, perkasa dan dominan terhadap susuk Anuar yang diseparuhkan.
Pada babak ini,Anuar dan Pemburu Khamis pada taraf-ruang yang sama. Babak ini juga menjadi babak showdown, di mana segala dendam/pembalasan akan tuntas. Menariknya, Anuar kelihatan sama-sama dalam bingkai, seperti mana Pemburu, tanpa di"bingkai" dalam garis/kotak. Kedua-duanya mencari orang sama, tapi Anuar dengan undang-undang/sivil, Pemburu tidak. Malah, makin lama kelihatan Pemburu makin ke hadapan meninggalkan Anuar yang sentiasa terperangkap dalam bingkai, dan Pemburu pula sentiasa berada "di luar bingkai".

Antara contoh babak Anuar berada di dalam bingkai. Cara Anuar berhemah, menurut undang-undang dan prosedur. Rahim seakan-akan mahu berkata bahawa kaedah ini ideal (termasuk dalam ruang yang betul) tapi memerangkap untuk Anuar menemui tujuannya. Trivia: Azmil Mustapha dalam filem ini dikreditkan sebagai Azmil Yassin.

Wajah Pemburu "di luar" sangkar melihat ke dalam dua sandera, Bugis dan Freddy yang akan memberi maklumat tentang pembunuh dan perogol anaknya. Walaupun Pemburu tersenyum, api yang membara di belah kanan adalah semangat berontak dan protesnya pada undang-undang dan rukun hidup waktu itu. Cara Pemburu melihat orang dari luar ini sebenarnya sudah bermula awal, sewaktu dia mengikat dua lelaki di dalam almari di rumah Freddy. Inspektor Anuar yang menemuinya menyedari dia sudah "jauh ke belakang" daripada Pemburu dalam hal siasatan ini.

Babak ini menarik bukan sahaja kerana Sita melakukan intipan (voyeur) terhadap ibu bapa dan ACP Razif dan pembantunya, tetapi memaparkan bahawa Sita yang mengikuti perjuangan/kerja Pemburu turut diberi "kuasa" manipulasi untuk bergerak 10 langkah ke hadapan daripada pihak polis. Juga memaparkan Sita mengikuti jejak Pemburu dengan melihat "dari luar" pada kotak dan isinya (yang dilalui oleh polis).   

Hal ini akan berkali-kali lagi diulang-ulang sehingga showdown. Malah, terdapat satu imej yang begitu mengejutkan; Pemburu dipaparkan memegang ular dan mendominasi ular, sedangkan ACP Razif memegang dan mengurut kucing (milik May). Hal ini jelas memaparkan bentuk peranan dan hakikat diri apa yang dipegang oleh Pemburu dan Razif waktu itu, serta metod cara mereka mencari "keadilan". Hal ini semacam suatu kritikan kuat Rahim terhadap, bukan sahaja cara kerja polis (masa itu) yang pincang/lembam, tetapi jelma keadaan sistem dan gerak kuasa. Hal ini yang dibincangkan sebenarnya. Dan dalam darah Pemburu, seperti Jebat, hal ini terpaksa dilanggar (terbalikkan) kerana ketidakmampuan pihak yang berkuasa/mempunyai kuasa untuk menghadapinya. Hal "undang-undang" dan "rukun hidup" sentiasa diulang-ulang, dan kita dapat melihat bagaimana ACP Razif melaksanakannya (dengan penuh beradab, sistematik dan hemah) dengan Pemburu berjiwa Jebat (dengan muslihat, tangkas, berkesan, melanggar etika sedia ada). Hal ini seakan-akan ingin menyatakan, undang-undang rimba/berontak Pemburu jauh lebih berkesan dalam keadaan terdesak untuk melaksanakan keadilan, malah, dengan oxymoron dan absurd, Pemburu jauh lebih perkasa atas memilih jalan ini apabila dipaparkan Pemburu dan Sita berada di hadapan road block polis tetapi langsung tidak ditahan. Di sini, di luar logos, Rahim Razali melakukan gaya realisme haqiqat yang pernah aku sentuh, memaparkan bahawa cara laku melanggar rukun Pemburu itu "benar" di mata sinemanya.

Mungkin sesiapa yang baru menonton Rahim Razali akan mempersoal ketidak masuk akal untuk dialog-dialog berjela Rahim pada satu babak (khususnya babak Pemburu dengan Sita), malah lantunan dan isinya agak teaterikal (sehingga terdapat syot yang juga kelihatan teaterikal), tetapi keunikan ini sebenarnya "menjadi", kerana filem ini bukan sahaja bergerak langsung sebagai kisah siasatan-jenayah mencari penjahat dengan aksi dan intrig ngeri, tetapi digerakkan oleh wacana, atau lebih khusus, pendebatan, antara hakikat keadilan, undang-undang dan melawan kejahatan. Hal ini pula disemaikan pula dengan diktonomi yang bertembung dan "bersilat" secara akal dan lisan: antara benar/salah, beradab/biadab, ulu/bertamadun, baik/jahat, kaya/miskin, desa/bandar, suci/kotor dan bermaruah tinggi/rendah. Dengan keadaan Anuar dan Razif menghadapi muslihat dan kecilikan Pemburu, hal ini dijungkar balikkan, ditunggang balik (terdapat satu syot yang jelas, apabila Inspektor Anuar masuk ke dalam bilik tidur Freddy, dia membelakangi cermin - dia tersalah/lewat gerak) lantas bercampur baur sehingga sudah susah hendak dibezakan nilainya. Undang-undang dari rimba lantas bersilat lidah dengan undang-undang manusia. Hal ini dipaparkan pada bahagian puncak antara dialog panjang dua sahabat lama, Razif dengan Pemburu: suatu dialogik Tuah-Jebat moden (untuk waktu itu), antara persoalan pilihan dan motif, serta tindak balasnya. 

Pemburu membariskan para pelakon yang bukan calang-calang, dan tidak mungkin lagi dihimpun sebaik ini. Kuasa kental sejelas-jelasnya ada dengan Ahmad Yatim, yang menguasai skrin dari awal hingga akhir dengan gerak laku, imej wajah dan lontaran suaranya. Namun kekuatan juga wujud, dengan mengejutkan dalam lakonan Aznah Hamid. Aznah sebagai Sita, rakan baik Nora, anak Pemburu yang dibunuh, cukup menyampaikan perasaan seorang wanita muda kota yang mempunyai beberapa niat dalam membantu Pemburu. Aznah cukup kental menyampaikan emosi dan kata-katanya, membuang persoalan "kebudak-budakan" siswi universiti, tetapi bijak, emosional (pada tempat seorang wanita Melayu) dan berkuasa. Kuasa Aznah dapat dilihat dalam renungan matanya. Pada babak di jambatan universiti, Aznah boleh sahaja tewas secara psikologi apabila berdepan dengan tunang polisnya, Anuar, tetapi betapa jelas, mimik dan peri laku Aznah menguasai keadaan dan percakapan, sehingga menenggelamkan permintaan dan pujukan Anuar. Ahmad Tamimi Siregar juga cukup dan bulat dalam perwatakan polisnya, begitu juga dengan barisan pelakon lain yang turut membantu seperti Osman Zailani, Fatimah Yassin, Nancie Foo, Razali Buyong, Haron Mohd Dom, David Djew, Abu Bakar Omar, dan lain-lain. Suntingan filem oleh Abdul Aziz Razak.

Sebuah karya 1980-an yang sepatutnya diraikan.

Tambahan| Nah, jual satu imej daripada filem ini, memaparkan suara bebas zaman itu:


1 comment:

Pak Wan said...

Salam.. Mana nak dpt link film pembiri ni ye?