27 September 2018

Paskal (2018)


"Saya mau tahu bapak saya mati untuk apa." - Arman

Ulasan ini ada spoiler.

Aku sebenarnya mahu menulis tentang Mencari Rahmat, Rise: Ini Kalilah dan Langsuir. Tetapi atas desakan tuntutan kerja beberapa minggu lalu, aku tidak sempat-sempat untuk menulis. Semalam  aku menonton Paskal dan mahu tidak mahu, aku terpaksa memberi ruang masa untuknya di sini.

Pada satu babak akhir filem ini, si ibu Arman (akhirnya) menanti anaknya. Di sayup-sayup pelabuhan TLDM itu, matanya melirik ke arah beberapa tubuh lelaki berseragam kombat hijau pudar, semuanya berserkup mulutnya. Mereka sedang mengiring beberapa tubuh kawan yang terbaring cedera parah, menuju ke hospital. Si ibu menghampiri para askar yang terus berjalan ke depan itu, lalu mendapati Arman ada, yang terus-terus sahaja berjalan. Arman mengerling kujur ibunya tapi terus melangkah pegun. Si ibu mendapatkan Arman, menyatakan kekesalannya. Arman dengan tenungan yang sungguh tajam, memandang, sekilas sahaja, syukur dan faham, tetapi tetap ceruk matanya menuju ke hadapan. Berjalan.

Babak itu membuat bulu roma aku tegang. Babak ini bukan sahaja menunjukkan betapa seriusnya  penghayatan watak Arman yang dilakonkan dengan baik sekali oleh Hairul Azreen, tetapi maksud besar yang berjaya disampaikan oleh filem ini. "Antara keluarga dengan negara". Begitulah persoalan yang dimainkan, berulang-ulang, bermula awal sewaktu babak imbas kembali panjang Arman yang didenda-tengking oleh pelatihnya (Nam Ron), "Baik kau beritahu aku yang sebenar, mengapa kau nak jadi Paskal (Pasukan Khas Laut)?"

"Saya mau tahu bapak saya mati untuk apa, tuan!" jawab Arman.

Persoalan dalam Paskal bukanlah baharu, malah sebenarnya sudah diagak dan klise setelah kita dihidangkan dengan beberapa filem tentera awal abad ke-21 seperti Bravo V (2015), Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior (2017) dan Malay Regiment (2017). Semuanya bercakap tentang kepayahan keluarga di rumah menunggu pasangan/anak yang bertugas untuk negara, dan pengorbanan besar watan pejuang meninggalkan rumah dan keluarga demi berjuang untuk negara. Tetapi kali inilah, baru kali inilah, hal itu dihidangkan dengan begitu padat dan meyakinkan sekali, malah terbina sebagai sebuah plot yang tersendiri.

Malah, Anwari Ashraf dan Adrian Teh selaku penulis lakon layar menimbulkan ironi puitis yang sengaja dalam membina keyakinan/jati diri Arman akan tujuan sebenar seorang perwira negara dalam perjuangan. Jelas, dalam filem ini menunjukkan, Arman dilahirkan untuk berjalan atas landasan juang Paskal, beliau (sememangnya) dibina untuk itu. Tetapi Arman sedang menyoal eksistensinya. Hal ini ditambah dengan kekesalan ibunya (hal ini lebih-lebih lagi berkait dengan naluri adab Melayu Islam yang tidak sanggup menderhaka kepada ibu sendiri) yang diabetik terhadap pemergian Arman setiap kali ke medan misi, ditambah dengan kematian ayah Arman kerana tugasan Paskal yang sama. Begitu juga dengan kematian seorang rakan karib Arman sewaktu satu misi. Kematian kawannya menjadi katarsis Arman yang menakutkan. Fantasi/bayang-bayang ayahnya yang terkorban untuk misi kini dihidangkan di atas pangkuannya. Betullah rintihan ibunya. Dan mungkin betul dengan kata-kata seorang daripada rakannya, "Negara jenis apa yang hantar askar dia untuk mati?" 

Hal inilah yang membina karakter Arman dengan ampuh. Selain itu, ketuanya terus-terus sahaja menyatakan, mereka pernah bertugas/memimpin di samping ayah Arman, sekali lagi dan sekali lagi: mengulangi betapa korban ayahnya itu tidak sia-sia. Dan ia tidak berakhir di situ sahaja, Arman yang berpangkat leftenan mendengar nasihat kawannya, Ustaz (Taufiq Hanafi) tentang qada dan qadar serta pilihan takdir, yang mana qada dan qadar itu beranting-ranting, dan terus sahaja beranting-ranting setelah pilihan itu dibuat. Dialog ini sahaja menembak segala dialog-dialog lemah yang pernah aku jumpa dalam Bravo V, Kanang dan Malay Regiment. Dialog sebegini, kita panggil dialog "makan dalam", yang sekali gus membuka renungan yang menusuk tentang krisis eksistensi Arman tadi: sekali gus juga menjadi "mesej patriotisme" yang ampuh buat kita akan kepentingan duduk letak Angkatan Tentera Malaysia sepenuhnya dan apalah maksud mempertahankan negara. Buat itu, propaganda mempertahankan cinta akan negara dalam tangan Adrian Teh jadi cemerlang. Lantas, inilah imejan yang kita bawa dalam sosok Arman, apabila beliau di pelabuhan TLDM, berjalan dengan gah, seperti mesin (imej ini bersangkutan dengan citra mesin perang Hurt Locker bawaan Jeremy Renner), tetap melangkah, sayu dan tegap.



Kekuatan Adrian Teh juga terlihat dalam susunan debar dan aksi perang (banyaknya berbentuk serangan hendap, sesuatu yang memang tujuan perjuangan Paksal) komando, dalam ruang set yang begitu ampuh, berlandskap besar, teratur, dramatik dan bergaya. Dua antaranya amat baik, satu, berdasarkan misi sebenar Paskal di Teluk Aden apabila kapal kontena dagang Malaysia diserang untuk tebusan oleh lanun Somalia. Kedua, di platform minyak perairan Laut Cina Selatan mendekati Sabah oleh sekumpulan pengganas. Susun gerak dan perancangan Adrian akan duduk letak dan aksi dramatik, tembakan dan hentaman begitu tersusun baik, memberikan rasa ngeri dan uja yang tersendiri. Syot aksinya mungkin tidak selicin Polis Evo (tapi gaya Polis Evo memang direalisasikan bergaya begitu), tetapi ia mempunyai susunan yang jauh lebih kompleks, berlapis-lapis dan berkembang, dan semuanya berjaya dikawal urus oleh Adrian dengan baik. Apa yang mengujakan aku lagi ialah kefahaman Adrian tentang sinema, apatah lagi filem aksi. Kebanyakan babak aksi mengurangkan fungsi runut skor muzik, lalu suara arahan dan balasan tim Paskal serta suara laut, hening malam, gegaran but dan das tembakan menjadi pemacu emosinya, diikat baik pula dengan pilihan susun sudut syot, gerak ajah gerun dan garang askar dan musuh - gerun dan gempita.

Kesemua para pelakonnya menyampaikan tujuan yang fungsional. Aku terpaksa bertepuk tangan dengan kumpulan Paskalnya, walaupun filem ini lebih menumpukan fokus pada Hairul Azreen, Ammar Alfian (Jeb) dan Henley Hii (Josh), Taufiq Hanafi, Gambit Saifullah, Hafizul Kamal dan Theebaan G sudah cukup meyakinkan sebagai komando elit yang tangkas dan benar-benar bertempur (dikatakan, kebanyakan babak aksi perang pun dilakonkan sendiri oleh para pelakonnya!). Malah ciri "muhibah" yang dijualkan kepada penonton tidak tampak superfisial, malah organik dan selesa dalam penceritaannya.

Hanya mungkin, terdapat beberapa momen yang kelihatan janggal, selain beberapa bahagian dialog yang diutarakan tampak kaku (penyampaian kata dialognya banyak mengikuti pendialogan mazhab Yusof Haslam) dalam pemberian maklumat/keterangan, dan hal ini berlaku awal-awal di dalam filem. Syot watak-watak orang Somalia dan Angolia juga tampak "kadbod" dengan dialog-dialog keterangan yang lesu, namun fungsinya dalam pertempuran sampai. Terdapat juga babak yang mana ternampak kebetulan yang disengajakan untuk membina kejutan dramatik, khususnya apabila watak menyampaikan dialog penafian lalu hal yang tidak diundang itu berlaku di hadapan mata. Momen sebegini klise dalam filem Hollywood, namun hal ini tidak menjadi keruwetan jelas sehingga merosakkan keseluruhan filem ini. Skor muziknya juga kadangkala tidak bermaya dan tanpa tujuan pada beberapa bahagian, baik sewaktu debaran suspens atau babak kekeluargaan. Namun, pada tiga per empat filem dan menuju puncak cerita, runut bunyinya begitu bergaya sekali menyahut emosi dan ketegangan layar geraknya.


Sebagai sebuah filem patriotik, yang memang dengan sengaja dibuat sebagai pemaparan promosi kehebatan tentera kita bertempur, matlamatnya tercapai, malah disusulkan dengan gerakan yang selamba dan padu. Aku kira kita belum bersedia lagi untuk melahirkan The Best Years of Our Lives, Apocolypse Now atau Platoon. Kita belum ada lagi persoalan-persoalan kelabu begitu apabila negara kita sekarang lebih bersikap berkecuali dan kita tidak sibuk-sibuk nak menyanggah negara jiran atau benua lain untuk berperang seperti Amerika Syarikat. Untuk itulah, hasil karya aksi-perang yang dihasilkan dengan titik peluh dan kerahan otak kru dan penerbitnya harus dipuji, malah menjadi antara filem patriotik terbaik yang dikeluarkan oleh Malaysia pada dekad melintasi milenium ini.

Klasifikasi: P13, Beberapa babak aksi ganas dan pendarahan yang memerlukan bimbingan para penjaga.

DITONTON DI GSC, NuSentral.

1 comment:

Anonymous said...

My brother suggested I may like this website. He
was entirely right. This put up actually made my day. You can not consider simply how a lot time I had
spent for this information! Thank you!