03 August 2018

Pulang (2018)



"Aku ni orang laut, Thom. Apa yang aku tahu hanya laut." - Othman

"Aku mahu pulang, Thom." - Othman

Pulang, sebuah filem berdasarkan kisah sebenar datuk Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks, Ahmad Izham Omar, sebenarnya meneruskan kesinambungan filem air mata (terjerker, weepies) Melayu sejak Ibu Mertuaku (1962). Hanya dalam filem Melayulah yang beria-ia menggunakan ribut hujan dan angin menderu melempias bidai rumah seperti sebabak dalam filem seram Gothik untuk menunjukkan remuk hati dan tidak keruan. Kassim Selamat dalam Ibu Mertuaku memilih takdirnya apabila "kebenaran" kematian isterinya terbongkar, memegang sepasang garfu, lalu badai ganas pun meniup. Rohani dalam Dia Ibuku yang ditempelak oleh anaknya sendiri sebagai "pelacur" meninggalkan rumah dan hujan, guruh dan badai turut sama-sama menurut kaki Rohani berlalu di atas jalan. Begitu juga dengan Azura, Ibu dan Ombak Rindu. 

Walaupun dentuman guruh dan angin di tepi pantai kampung nelayan Serkam, Melaka pada pembukaan filem ini kita fahami merupakan tanda ketidak keruan dan remuk hati kian terpendam Che Thom, wanita dalam lingkungan 70-an (lakonan Sherry al-Jeffry), ia merupakan suatu permulaan yang ganjil. Kita, penonton, diminta (melalui cucunya, Ahmad, tukang naratif yang lemah) untuk mendengar seorang nenek tua yang terbaring di ranjang bercerita tentang sesal dan doa terakhirnya, konon, menceritakan kepada cucunya sesuatu yang sudah lama terbuku di hati. Adakah ini perkenalan cerita filem ini? Adakah kerana badai ribut itu (dan dibiarkan terbuka - babak ini sangat sesuai dalam Wuthering Heights tapi dalam keadaan duduk letak ini, mengapa?) Thom membuka jiwanya? Tidak ada pengenalan signifikan terhadap watak-watak yang dikenalkan ini, terus ada di situ, dengan beberapa teknik imbasan (apa yang menyebabkan Thom waktu itu hendak teringat dan membuka rahsianya?) lalu bertujuan sebagai alasan untuk Mira Mustafa, Ahmad Izham dan Kabir Bhatia menceritakan secepat dan sepadat yang mungkin akan latar sebab-akibat "bab pertama" kisah hidup Thom dan suami tercintanya, Othman, dengan gerakan sebuah tapestri PowerPoint yang canggih dan cantik. Semisal kita melayani monolog panjang Thom dan slaid-cerita bergerak sebelum dan selepas Perang Dunia Kedua, ia, secara tiba-tiba, menjadi sebuah cerita yang menjadi semakin menarik untuk kita kenali, suatu untaian bingkai-bingkai nostalgia dan kerinduan.

Namun halnya, seperti Kabir Bhatia sudah tersilap langkah sedikit. Ditambah lagi dengan berkerasnya Kabir untuk menentukan gerak romantisme sedu sedan filem Melayu kontemporari ini haruslah bersendikan warna sempurna-romantis ideal-cantik segak kelaziman massala Rohit Shetty atau Karan Johar (aku cringe apabila Erwin Dawson perlu ada momen pandang-pandang cinta dengan Juliana Evans pada waktu dia perlu mengejar kereta apinya, tipikal Hindustan). Lihat sorotan (panning) kamera, syot luas dan terayun-ayunnya sinematografi Zambree Haras menangkap alamnya, yang kadangkala dilepaskan dengan amat melampau (tidak ada definisi melampau dalam massala Hindustan, hanya "perayaan layar"). Dan kadang-kadang, kita terasa ada babak yang dibikin terlalu terburu-buru, dengan syot luas serba deep focusnya, tidak benar-benar membina suatu pengenalan-antisipasi-konflik. Lihat sahaja babak yang sepatutnya memberikan katarsis pada watak Othman, sewaktu kawan-kawannya yang lain cabut ke darat waktu ribut, Othman "rezeki tidak datang bergolek" menongkah ombak gelora kerana tahu di tengah-tengah ribut itu ada ikan. Dia bukan sahaja menemui ikan, tetapi kapal kargo serba gergasi yang menangkap perhatiannya. Bayangkanlah jika ada sedikit teknik dramatik mata dan rasa kekaguman apabila Othman mula-mula melihat kapal itu? Namun babak ini berlalu begitu cepat dan lewa sahaja. Kita tidak diberikan masa untuk menikmati detik katarsis Othman yang penting itu.

Hal ini ditambah pula dengan babak-babak di dalam kapal yang kelihatan sangat dipentaskan (ada sebuah babak CGI di atas dek kapal terbakar yang dibuat dengan terlalu terburu, walaupun Kabir berani melakukan syot simpang-siur sudut pandang yang kelihatan panjang). Mungkin semua ini terlalu membebankan Kabir, pengarah yang telah memaut hati kita dengan drama siri bermutunya dan filem Cintanya. Produksi Pulang sah-sah mencabar kebijaksanaannya dengan penggunaan ruang, teknologi terkini dan zaman yang jauh lebih luas (diadukan sebagai "epik" oleh promosinya).

Namun filem ini tetap mempunyai roh yang baik. Keseluruhan filem ini bercerita tentang semangat orang Melayu "membawa diri" atau "merajuk" kerana hati dikhianati. Merajuknya Othman budiman (gentleman) dalam sisi alam Melayunya, berhati budi, tidak menyalahkan takdir (dan Tuhan). Penonton yang moden mungkin sedikit merungut akan sikap "komunikasi mati" antara Othman dengan isteri dan anaknya, namun inilah yang ingin dipaparkan, "kisah orang-orang dulu bercinta". Naluri dan hidup Othman pula jelas, seperti besarnya metafora alam orang Melayu, khusus yang menjinak dan menuai laut setiap hari. Ruang kosmologinya lebih luas daripada tanah yang sentiasa ada duduk tempatnya. Tapi perlu difahami, tanah itulah tempat "pulang" (Dari tanah kita dicipta lalu dari tanah juga kita kembali). Di sini menarik, kerana pada babak-babak awal dengan sengaja, figura Othman (Remy Ishak) diikat dengan imej perahu pecah (Othman kemudian mencari "perahu" yang lebih besar) di tepi pantai sebagai tanda bayang takdirnya, juga citra Othman dan falsafah hidupnya. Che Thom (Puteri Aishah) bertempat di tanah, di rumah (susuk awal Thom dari keluar rumah kepada tanah pantai); itu tempat dia mentadbir. Ikatan ini sengaja kerana membentuk kata Melayu "tanah air". Unsur air akan sentiasa mengalir, dan jauh pergi, tetapi ia akan meresap dengan tanah pabila kembali. Tanah, sentiasa ada di situ, untuk air resapi. Renungan ini menarik, selain menonjolkan hakikat fitrah kesetiaan cinta suami isteri: Mira dan Kabir cuba menyatakan dengan menarik, sejauh mana pun kita meninggalkan tanah, berlayar menjadi global dan diaspora, hati kita tidak akan lupa malah cinta kita akan tetap dengan "tanah". Tanah juga begitu, walau merekah sakit sehiba mana ia bertahan, setianya tetap sampai ke penghujung. Hatta, kita telah menemui sebuah filem patriotisme halus yang tidak perlu mendabik dengan tembak senapang dan askar menyerang Jurey Latiff Rosli untuk berkata tentang akal budi mencintai tanah air.

Pulang juga mempunyai cerita tentang lost love dalam rangkulan diaspora (khususnya kalangan Melayu di UK) atau manusia yang berhijrah ke luar. Malah, tema ini universal dalam beberapa filem. Yang paling popular dan Disney mungkin Titanic (1997) yang mencerminkan jati diri kebebasan liberal dan individualiti Amerikana. Tapi ada tiga filem lain dari Asia yang tidak kurang menariknya. Mungkin yang paling lemah ialah karya John Woo, The Crossing (2014, filem ini ada dua bahagian, namun bahagian keduanya sangat longgar, Pulang dalam hal ini berdaya untuk mengatasinya) yang juga mempunyai persoalan cinta yang hilang, kapal karam dan sejarah kecil diaspora Taiwan-China. Namun ada dua filem berkenaan diaspora dan cinta hilang berulit romantisme yang sangat baik dari Indonesia, Ruang(2006) dan Surat dari Praha(2016). Dari segi jelmaan nafas, sosial dan permasalahan hidup, kedua-dua filem tersebut lebih mendalam dan teliti akan pandangan diaspora melihat tanah airnya dan persoalan diaspora terhadap cinta akan negaranya. Walau unsur ini agak diambil mudah, malah digarap simplistik dalam Pulang, filem ini tetap dapat berbaris megah dengan filem-filem ini.



Remy Ishak menjadi sauh layar paling kuat yang mengangkat tunjang kebaikan filem ini. Setiap gerak geri dan cakapnya tersedia hidup dan bernafas seperti seorang anak Melayu dari laut, yang menurut perubahan zamannya, mengikut jiwanya yang dibawa ke satu tempat ke satu tempat, sambil dia memerhati foto isteri, dan mengucapkan kata "Aku mahu pulang, Thom." Remy membawa perwatakan Othman dengan bermaruah dan empati sekali. Calon kuat pelakon lelaki terbaik tahun ini. Begitu juga dengan Puteri Aishah sebagai Che Thom yang menyampaikan nuansa dan emosinya dengan baik, sewanita yang seharusnya dalam patah hati, rindu dendam dan kesunyian menunggu suami yang tidak pulang-pulang. Namun, aku sedikit jengkel melihat Asihah bermata galak amat melihat Remy pada babak mereka berdua pertama kali bertemu. Takkanlah gadis kampung Melayu dahulu begitu?

Lakonan sampingan yang lain juga baik, khususnya Jalaluddin Hassan sebagai Omar, anak Othman dan Thom yang sudah tua dan nyanyuk. Alvin Wong sebagai Lum kawan baik Othman sehingga tua juga begitu mengalir dan petah membawa semangat anak Malaya baharu yang kenal hati budi peribuminya. Hanya mungkin Juliana Evans yang sedikit kekok dengan slanga Inggeris daerahnya yang tak menjadi.

Kekuatan filem ini juga terpapar pada teliti seni pengarahan, solek dan prop yang baik, terulit alami dengan alam dan latar filem, khusus contoh pada babak-babak di Hong Kong 1950-an. Walaupun aku sentuh tentang CGI rosak tadi, tetapi sebagai sebuah filem yang banyak menggunakan latar hijau dan CGI, filem ini menampilkan percubaan yang sangat menjanjikan, malah setakat ini, antara yang tercantik jalinannya dengan cerita dan latar. Hal ini kerana Kabir dan tim teknikal tidak memberi ruang supaya bentuk gerak syot CGI-aksi kaku atau kelihatan tempelan, tetapi cerita benar-benar bergerak dengan nafas aksi. Babak CGI terbaik dapat dilihat pada babak tentera Jepun mula menyerang perairan Tanah Melayu. Kesan bunyinya turut membantu membina kepaduan suasananya.

Kemunculan skor Aubrey Suwito memberikan momen yang tertentu, menjalinharmonikan kadangkala dengan julangan runut okestra (dengan papan nada?) penuh ala Max Steiner untuk Gone With the Wind sebagai rentak tema dan imbau emosi romantik pada babak-babak tertentu (bercampur tipikal bunyi locengan glockenspiel "triiing!" di akhir fade out, haykh), juga menggunakan rentak dan ton genderang dramatik ala Hans Zimmer untuk membuak mood dramatik dan ngeri yang berkesan. Namun penggunaan suara koir pada awal-awal kredit filem agak mengganggu dengan penyampaian subjek. Juga nyanyian Dayang Nurfaizah (yang merdu sayu) di tengah-tengah filem agak mengganggu, walaupun memberikan representasi jelas bahawa filem ini bersikap "mesra komersial" kepada penonton sasaran ... haykhhh.
  
Akhir kalam, betapa pun langkah Kabir terlekat lumpur, tujuannya untuk membuat aku menangis, berjaya (perasaan hiba itu aku rasai walaupun sudah tiba di kereta). Malah, isteri aku yang selalunya kental akan hal-hal ini benar-benar menangis setelah keluar dari pawagam. Aku bertanya kenapa sewaktu kami berjalan keluar. Dia hanya menjawab, "Ceritanya sedih sangat." Sambil matanya terus berair. Lalu runut bunyi Dayang Nurfaizah langsung mendayu-dayu di belakang kami:

Ada ruangan kosong tak terisi
Di dalam kamar hati sepi ini
Tiada penawar pengubat kedukaan ini
Hanya yang ku perlukan bersamamu semula

Ku sandarkan pada sisa sisa cinta
Yang masih lagi berpaut genting di kalbumu
Walaupun kau jauh di hujung semesta
Kiranya masih ada cinta
Layarlah kembali padaku
Ku rela menunggu
Kembalilah
Ku rela menunggu

Ada kepingan mimpi berserakan
Di luar dari lenaku yang resah
Bagai sebuah susun pasang gambar yang terkurang
Bagaimanakan mungkin hidupku kan sempurna

Ku sandarkan pada sisa sisa cinta
Yang masih lagi berpaut genting di kalbumu
Walaupun kau jauh di hujung semesta
Kiranya masih ada cinta
Layarlah kembali
ooooo~~

Aku kan menanti
Setia ke akhir nyawa
Ku sandarkan pada sisa sisa cinta
Yang masih lagi berpaut genting di kalbumu
Walaupun kau jauh di hujung semesta
Kiranya masih ada cinta
Layarlah kembali padaku
Ku rela menunggu
Kembalilah
Ku rela menunggu

Klasifikasi: P13, Beberapa babak ganas yang mungkin memerlukan bimbingan ibu bapa/penjaga.
DITONTON DI TGV, KLCC.

1 comment:

Unknown said...

Hantu kak limah(2018) youtube