03 December 2016

Interchange (2016)


"Kenapalah mak kau tak bawak kau ke zoo?" - Detektif Azman

"Siapa yang bunuh, manusia ke burung?" - Adam

Ulasan felem ni penuh dengan Spoiler gilak

Awal filem ini bergentayangan dalam malam, ura-ura kita memasuki filem kelam, atau noir (lebih mudah: neo-noir), di dalam ruang sebuah kelab malam bernama Eden (istilah syurga para Nasrani) di mana Edwin Sumun alias Shelah, seorang drag queen bertudung(!) sedang menyanyi. Ini paparan imej yang amat aneh dan bilazim, yang biasanya kita hanya jumpa dalam tayangan midnight movies di Amerika. Tapi dengar, Edwin menyanyi lagu Melayu. Tahunnya? Apabila kita menerusi filem ini, tahunnya benar-benar 2015 (ada satu dialog menyatakan 100 tahun lalu ialah 1915), jadi ini bukan near future, ini sekarang (atau setahun lepas), ini dunia alternatif kita, atau dunia alternatif kosmopolitan kita di Asia Tenggara (khususnya Malaysia atau Singapura. Indonesia dan bangsa Asia Tenggara lain tidak merojak sangat bahasa mereka).

Ini dunia interchange.

Dunia interchange ini bukan sahaja dunia di mana hal realiti-material bertukar-tukar ruang/kenyataan dengan hal mimpi-spiritual (dengan merepek, ini sebenarnya bermakna "sinema"), interchange di sini, jelas, dunia ciptaan Dain Said (selaku pengarah yang menulis skrip bersama-sama dengan June Tan, Redza Minhat dan Nandita Solomon) yang seakan-akan dalam keadaan limbo, terapung-apung, antara yang tidak terusik-mistik-asli-primitif lampau orang Nusantara (wakil di sini ialah puak Tingang dari Borneo) dengan moden yang menuju kerosakan (decay)-material/jirim-kosmopolitan budaya bahasa-urban. Perkataan ini juga sangat dekat dengan istilah wayang, intermission, yakni detik kesementaraan atau "waktu rehat sebelum tayangan", yang berlaku sebelum atau di tengah-tengah (filem dari India masih ada detik ini) sesebuah filem, yang selalunya panjang tiga jam lebih.

Mengapa Dain memilih judul asing ini yang terasing daripada mata-kepala penonton Melayu totok? Adakah Dain sedang mengajar penontonnya bahasa Inggeris?

Tidak. Dain sedang bermain helah (tricks) dengan penontonnya, yang sebenarnya, memang dalam zon "interchange" tersebut. Siapa yang selalu membuat muslihat ini? Selalunya, dalam pengertian kita, orang bijak yang hendak "membijakkan" orang yang tidak sedar/leka, seperti Abu Nawas atau Sang Kancil. Mengapa?

Pada awal-awal lagi, di dalam kelab, apabila Detektif Azman (Shaheizy Sam) duduk menyoal mak nyah bertudung itu di bar (meminum wiski?), terdapat "mainan" perspektif tempat duduk Azman-mak nyah. Kalau kita lihat betul-betul, posisi Azman-mak nyah semacam diambil daripada imbasan cermin. Mainan cermin ini akan berlangsung berkali-kali, khususnya terhadap Adam (Iedil Putra), si jurugambar "yang menangkap orang mati" untuk rujukan Azman dan Metropolis, pihak keselamatan negara. Mainan mata ini berlaku dalam slaid kaca dan kamera digitalnya. Tanda ini penting. Kita diberikan peluang melihat "mainan mata" ini semasa menonton filem ini. Adam juga begitu. Mata Adam ialah mata kita (selain Azman yang lebih skeptik dan saintifik), khususnya pada lima minit selepas Azman menemui mak nyah. 

Terdapat pembunuhan pada awal filem. Akhbar menyiarkan: "Pembunuhan Ritual". Pada gerakan klimaks filem, kita menyaksikan perlakuan ritual tersebut, bersama-sama Adam (kita orang luar yang dijemput masuk melihatnya). 

Mengapa semua ini disengajakan?

Interchange ialah sejenis wayang yang mengembara-membina makna dengan imej demi imej. Dalam gerakan-binaan imej, timbul makna. Apabila segalanya sudah disaksikan, apabila segala kad sudah diletakkan di atas meja, kita (Adam), yang diberikan pisau untuk mengorbankan (yang lampau/pupus) memilih, adakah kita akan mengucap "Saya tak boleh", atau mengelar dada korban kita?

Ritual ini sebenarnya, dibuatkan untuk kita, para penonton. Dain mahu kita membunuhnya, dalam hal ini, untuk "memulangkan tempat pada asalnya" atau membebaskan "yang tidak sepatutnya". Apa yang tidak sepatutnya?

Kalangan puak Tingang inilah. Merekalah yang dibunuh (sebenarnya dikembalikan/dibebaskan), dan yang membunuh mereka ialah puak mereka sendiri, seorang Dayung (bomoh, yakni Iva lakonan Prisia Nasution) yang menjadi "perantara" dunia realiti dengan dunia arwah (atau sebenar) mereka. Terdapat beberapa dialog, antara Belian (Nicholas Saputra), Sani (Nadiya Nisaa) dan Iva yang menampilkan mereka sudah hidup beratus tahun, tinggal haram tetapi kaya di sini, kadangkala bernostalgia akan hal-hal lepas dan menyukai barang antik dan cantik. Sesiapa sahaja yang menonton, boleh mengibaratkan kumpulan Tingang dengan sesuatu puak dekaden yang tersumpah dan "terperangkap dalam zaman" (rujuk filem The Hunger). Ia boleh saja gaya politik sekarang, orang politik yang rasuah, namun aku lebih memilih melihatnya sebagai wakil "sinema lama" atau, sinema kita "sekarang" yang memang tersumpah, dalam keadaan limbo, duduk haram di tanah ini dan membuat kaya, sukakan dan menjual/beri benda-benda antik (barang yang lama dan tak berfungsi tetapi dinilaikan mahal). Entah mengapa, setelah 100 tahun, mereka menyedari mereka sudah "tinggal lama" di sini, dan perlu "bebas/pulang". Atas sebab itu, kita, dengan radikal dan mungkin melanggar moral (membunuh) perlu melepaskannya dengan ritual yang diminta (oleh Iva/Belian/Dain). Melepas pergi seperti burung yang bebas mencari Tuhannya kembali. Dua elemen jelas menampilkan hal ini secara visual-suara dalam filem; (1) sikap-sifat Sani yang sengaja, seperti wanita/pelakon filem Jalan Ampas, bercakap dengan nada dan ton ala era filem Melayu Shaw dan Cathay Keris, seperti watak filem lama yang terperangkap dalam nuansa moden berwarna; (2) pada watak klimaks, watak ritual hendak dilakukan, yakni Adam (kita) diminta bunuh Iva, sedang Azman sedang mengejar, runut bunyi detik itu, dengan sengaja, dentuman dram dan biolanya, berkemundang seolah-olah dalam sebuah filem lama Melayu apabila keadaan sedang runcing dan si hero melalui bahaya. Kita semacam diminta untuk membuang "nostalgia", membuang alam "filem lama Melayu" yang kita sedia agungkan, atau alam filem sekarang yang meneruskan kitaran ganasnya yang tidak mahu berubah-ubah paradigmanya. Adakah kita mampu melepaskannya pergi?

Lihat sahaja cara pembunuhan itu dibuat. Bentuknya sendiri seperti, secara pelik, satu cantuman tiga benda yang bersatu semacam satu (mangsa/pita filem-kamera/burung-bomoh/pengarah/operator projektor) projektor filem. Ritual ini disengajakan sebagai satu tradisi alam lama yang menemukan dirinya pada zaman moden antitahayul sekarang. Secara subtle, Dain melakukan, seperti Bunohan, satu amalam "melepaskan semangat" (dalam Bunohan, ritualnya menguatkan semangat) melalui medium wayang, agar sial yang terpasak pada Tingang (filem lama kita) terbuang/dibebaskan. Begitulah Dain merapatkan alam kuno yang sudah tidak berkata-kata (dan hanya tinggal sebagai dokumentasi dalam buku yang lusuh) dengan alam sekarang yang kelam, orangnya tidur (dan kenyang) dan leka.

Filem ini dibantu oleh sinematografi Jordan Chaim yang baik, sengaja sempit (tipikal unsur noir) mengimbangi ruang eksotik hijau hutan tropika kita dengan urban yang hendak mati, malah kedua-duanya dalam beberapa babak. Efek suaranya juga baik, dan menyampaikan dramatiknya dengan selamba. Pengarah seninya juga cemerlang dalam pilihan lokasi dan ruang, yang lengkap dengan busana yang menurut semangat cerita. Aku suka dengan efek hujan filem ini dan cara tangkapannya yang hidup, malah babak kejar-mengejar itu mengingatkan kita kepada babak Blade Runner. Efek solekannya mungkin sedikit lemah, malah terdapat kesan CGI yang lemau pada babak akhir, namun pada bahagian tengah, waktu Adam dijemput masuk ke dalam alam mimpi Iva, efek burungnya amat cemerlang, malah babak ini ialah babak kegemaran peribadi aku daripada filem ini.

Aku mempunyai masalah dengan skor muzik Luka Kuncevic yang kadangkala merosakkan mood penontonan. Aku tidak tahu mengapa. Kadangkala rendesi dawaian atau serulingnya menjengkelkan, menambah keabsurdan babak yang kurang dramanya. Ia juga semata-mata berfungsi sebagai kesinambungan babak ke babak (seperti filem lama), yang kadangkala meralitkan pendengarnya. Namun pada babak mimpi Adam-Iva dan babak klimaks, Luka menyampaikan emosi yang cukup menyerlah.



Kelemahan pasti filem ini ialah lakon layarnya. Kadangkala, kita terasa seperti dialognya canggung, lemau dan kaku, tidak menimbulkan keterujaan cerita, malah sengaja memesongkan kefahaman penonton. Naratifnya juga seperti satu laluan sungai yang mengalun terus dengan longlai, seperti tiada desakan atau kejutan atau ngeri atau debar demi debar yang dramatik yang membuat kita tersentak sementara atau berasa hendak tahu lebih lagi atau menurut simpati wataknya. Malah, atas sebab alunannya yang begitu (dan juga pengarahannya) kita terasa semacam sudah dapat mengagak apa yang akan berlaku seterusnya, sebiasa drama siri Melayu yang kita tonton setiap senja-malam. Lihat sahaja babak awal Azman dengan doktor forensik (Bernice Chauly), babaknya hanya dialog-dialog menerangkan (walaupun kupasannya saintifik), tidak terasa suasana, drama, kedalaman perwatakan, kimia antara kedua-duanya atau pembinaan mood untuk adegan seterusnya. Its just there like a cold turkey. Malah, hal ini semacam tidak memberi apa-apa debaran, walaupun Adam-Azman yang kita ikuti, membuka dari satu klu kepada satu klu. Paling malang, ialah motif sebenar mengapa dengan tiba-tiba, puak Tingang ini perlu "membebaskan" diri mereka daripada dunia realiti, setelah, kononnya, hidup beratus-ratus tahun (why now?). Malah, tidak dinyatakan pun latar jelas, jika puak ini memberi pengaruh kepada manusia sekarang (hal ini memberi sekurang-kurangnya kedalaman atau depth pada kehadiran mereka dan mengapa mereka perlu pergi). Hal ini merugikan kerana terdapat satu subplot yang berkaitan dengan Sani, yang sebenarnya tidak mahu melepaskan dunia realiti ini (untuk mengetahui mengapa ini tentu lebih menarik dan sangat manusiawi), yang menarik untuk diperpanjangkan konflik dalaman dan mungkin, satu bangunan aksi dan debar berterusan yang dapat dimainkan sehingga klimaks filem.  

Kesemua pelakon mencuba yang baik, walaupun terasa seperti pelakonnya menyampaikan dialog yang menjengkelkan dan tidak bersemangat. Aku faham hal ini sengaja kerana mood kelamnya, namun gerakannya terlalu canggung dan membingungkan, seakan-akan kita terperangkap dalam satu absurdi di awang-awangan. Kelihatan, hanya Saheizy Sam yang jelas memahami alamnya dan menyampaikan gerak laku yang sebaik mana-mana penyiasat yang pernah berjalan di lorong gelap basah noir.

Secara imej dan pandang, filem ini antara yang tercantik tahun ini. Mungkin ceritanya tidak berapa, kerana cita-cita Dain yang terlalu tinggi untuknya. Namun, secara umum, filem ini masih diraikan kerana impiannya yang besar dan persoalan yang dimainkan sangat penting untuk direnungi. Terdapat sikap pascamoden yang jelas dari Dain dalam hal ini, melawan sekali gus menyoal hal-hal klise dan biasa dalam ruang kontemporari filem kita, khususnya tema, campuran aduk genre, dan membina dunia realiti-fantasi, silam-moden, dan dunai nyata-wayang yang menggoda. Bukan yang terbaik daripada Dain Said namun mempunyai misteri, imej gerak dan mimpi yang boleh dibawa balik dan diperbualkan untuk masa-masa depan wayang kita yang kelam dan masih terperangkap dalam zamannya.
  
Klasifikasi Interchange: P13, terdapat babak pembunuhan dan intim lelaki-wanita yang memerlukan bimbingan penonton yang belum matang.
DITONTON DI TGV Sunway Putra

2 comments:

neko19 said...

Teringin nak tau apa pandangan tuan mengenai filem dont breathe dengan lights off..

fadz said...

hmm, saya ni dah kurang nak rebiu filem Hollywood lah..