07 November 2016

Rock Bro! Kembali ke Pangkal Jalan(2016)


Amir Muhammad mengangkat filem ketiga daripada nostalgia (dan homaj) era rock 1980-an karya Mamat Khalid ini sebagai antara yang terbaik (finest) yang pernah dibikin oleh Mamat. Atas sebab itu (yang sedikit kecewa dengan emosi tidak sampai Rock Oo) aku menontonnya, setelah beberapa filem Mamat yang kelihatan tersasar dalam tiga empat tahun selepas Hantu Kak Limah Balik Rumah(2010). 

Sekali lagi, Mamat merangkum dan kali ini, filem ketiganya jelas menjadi pelengkap pada trilogi nostalgianya. Filem ini sememangnya dibuat untuk mereka yang sudah mengikuti dua filem awal trilogi ini dan merupakan peminat rock. Peminat muzik saduran Barat berhela Timur 1980-an tidak akan kecewa malah terasa "re-lived" dengan beberapa babak yang dipaparkan, baik genre mahupun filemnya. [Spoiler] Kita juga menyedari, pada babak akhir filem apabila anak Slash (Pekin Ibrahim) datang mewawancara Zack yang sudah tua (dilakonkan oleh Esma Daniel, lakonan dahulu oleh Hasnul Rahmat), Zack pun bercerita, inilah "pembukaan" yang membuka kembali kita kepada filem pertama trilogi ini, menjalinkan trilogi ini kepada satu bulatan penuh. Hal ini ditambah lagi apabila gitaris utama (lead guitarist) Rimba Bara, Zack dan Slash yang sudah tua, berubah wajah, bertemu, lalu mereka bermain seperti tidak sedar tua, menghidupkan keremajaan dan darah "rock" mereka. Babak akhir yang sengaja di kredit akhir ini merupakan nyawa sebenar mengapa Mamat Khalid melakukan filem ketiga ini: nostalgia pergi dan harapan musnah, tapi jiwa (di sini: rock) tidak akan mati walaupun berubah pakaian dan pegangan.

Ya, 100 minit awal itu, kita dikembalikan dengan harapan musnah anak muda Rimba Bara, yang sebenarnya, kali ini, berjaya atau hidup (kiranya) kerana berkali-kali masuk Juara Lagu(! - siap dapat berbual sapa dengan Ramlah Ram!) dan berjaya merekod rakaman walaupun tidak dapat apa yang tulang belakang Rimba Bara, Jijoe (Khir Rahman dalam lakonan yang sangat berkesan) harapkan.

Setelah kali ketiga Mamat menyentak, kita menyedari sesuatu. Rock Malaysia atau lebih jelas, rock Melayu (yang juga kita dengar, rock kapak) bukanlah rock Barat yang bersikap anti-establishment. Ini jelas disyarahkan oleh Mamat (melalui naratif utama, kali ini melalui POV Jijoe, walaupun nanti, ada naratif-monolog Slash, dan ... Ella!) bahawa rock Melayu, titik utamanya ialah "semangat", khususnya semangat anak muda menyampaikan ekspresi (hal ini berkali-kali disampaikan sedari filem pertama). Mereka, di sini menyampaikan ekspresi (ingin berjaya) mereka  melalui muzik. Filem ketiga ini jelas lagi apabila rock menjadi alat bukan sahaja sebagai ekspresi semangat tersebut, tetapi "wawasan" anak muda ini "menaruh harapan" terhadap Dasar Ekonomi Baru (DEB) waktu itu pada cita-cita/impian mereka (material). Dengan berkias, Mamat menyampaikan sikap bagaimana bahasa, agama, semangat, cinta dan cita-cita mencapai kepuasan kebendaan bagi anak muda ini, mengikut semangat DEB, tercapai dan disatukan melalui rock. Hal ini jelas melanggar sikap "rebel" rock Barat, dan jika ada yang lebih keras, mengutuk, rock Melayu "tidak ada makna". Namun hal itu tentulah salah dari kaca mata Mamat. Rock Melayu pun amat dikenal dengan slow-rocknya, atau mudah bicara, balada (walaupun hal ini akan didebatkan). Balada sendiri suatu genre naratif atau lagu yang "menyampaikan cerita", dan balada rock Melayu beralun-alun nadanya, lebih mendayu daripada slow rock Amerika, malah kadangkala menyampaikan isu spiritual (seperti lagu-lagu yang terpilih dalam filem ini, berkait dengan pencarian Tuhan Jijoe), jauh menentang semangat bebas-liar rock Barat. Hal ini diperkuatkan lagi dengan melihat ketiga-tiga watak utama yang terbayang dalam trilogi ini, baik Zack, Amy dan Jijoe, yang masing-masing, seperti watak "hero" melalui suatu "perjalanan" yang panjang dan mencabar (mungkin Zack dipaparkan paling berjaya dalam perjalananya). Ini jelas mengambil sikap hero romantisme. 

Jijoe dalam filem ini jelas-jelas seorang romantis, dan hal ini jelas dalam prinsipnya yang tegas dan impiannya untuk menyunting Ella. Maka, naratif filem ini memang disampaikan pun dengan balada rock (selain catchy dan sangat popular kalangan umum) Melayu, menyampaikan ekspresi muzikal filem ini. Namun, "cerita" balada ini juga menyampaikan keadaan nestapa dan "terasa" dan "tersinggung", kadangkala "tragedi" yang dilalui Rimba Bara mendepani realiti kapitaslime dan gerak susun syarikat rakamannya, khususnya Jijoe dalam cuba berjuang secara romantis untuk tempat dan semangat mencapai cita-cita kebendaan jiwa mudanya. Hal ini menarik apabila terdapat beberapa cabaran baharu apabila Rimba Bara mula menempa nama. Terdapat isu-isu besar dalam industri muzik yang disentuh, khususnya betapa korupnya industri itu sendiri, meremuk-pecah semangat muda, optimis, romantis dan positif Jijoe yang selalunya tidak pernah menyerah kalah.

Aku tersedar, dalam perjalanan nostalgi kali ini juga, dengan naratif berserta balada ini dan romantisme Jijoe yang tercabar, jelas mellownessnya, malah melantangkan suara mellow Mamat akan kerjayanya (dan kejatuhannya). Filem ini, terasa seperti Mamat mengaku "tidak upaya" malah "putus asa", mungkin terhadap industri filem, pihak berkuasanya ataupun penontonnya.  Mellow ini jelas lagi dalam keadaan perkembangan plot filem ini yang kadangkala tersedak-sedak (bermula setelah Rimba Bara tiba di Kuala Lumpur), kadangkala mengimbau dan mengambil mood simpang-siur, dan kadangkala hanya menonjol hal-hal yang begitu melekehkan, malah tidak bermaya.

Filem ini, sekali lagi menampilkan karikatur watak yang baik dan amat diingati, walaupun sekecil-kecil watak seperti Ella, Hattan dan Ramlah Ram. Kali ini juga, kita akan terkejut dengan pilihan Zul Kapan (Shoffi Jikan) dan Black dalam hidupnya. Bagi aku, ada sikap tidak jujur (untruthful) di sini dan sangat menghina golongan gay (mereka dianggap golongan sesat), walaupun Mamat boleh mendabik ini sedutan daripada kisah benar dan datang daripada pengalamannya. Sikap ekstrem ini, walaupun kritikan Mamat terhadap individu rock tertentu yang "tersesat jalan" (mula-mula agama, kemudian jalan hidup seks songsang) walaupun tidak menghukum mereka, terasa off dan mengelirukan. Namun, kritikan Mamat keras: rockers yang mengambil jalan pop (di sini rap) semasa adalah munafik rock yang tidak kenal jati dirinya. Dan bagi Mamat, mereka "pondan" dan tidak jantan kerana tidak terus memegang janji setia mereka pada semangat rock. Terdapat juga babak "budak hingusan" yang amat mengganggu walaupun Mamat cuba menyampaikan slapstik yang literal terhadap kias ibarat orang Melayu.

Kekuatan filem ini, tentulah pada pemilihan lagu rock tempatan, yang menguatkan naratif penceritaan Jijoe dan orang di sekelilingnya. Kekuatan juga jelas dalam pengarahan seni yang teliti dan menghidupkan 1980-an dan 1990-an dunia rock yang gemilang tetapi sepi dan disalah pandang. Jelas, dalam putaran nostalgia Mamat kali ini, rock tetap akan hidup, sebagai sumbangan suara ekspresi anak mudanya yang cuba hidup, walaupun kalah dan terguris, tetapi menjadi naratif pengajaran "sejarah" tentang apa itu perjuangan hidup anak muda era dahulu untuk paparan anak muda serba canggih era sekarang.

No comments: