16 August 2015

Nota (2015)

Baru pertama ini aku terdengar nama "Yasu Tanaka" yang dijulang-julang oleh sesetengah pelopor dunia filem kita, yang mungkin, ya, membawa beberapa sumbangan dari segi teori, dan kemungkinan sudah menyumbang beberapa hasil praktikal (aku baru tahu dia di belakang susunan/idea cerita[?] Kampung Lemak Santan), tapi filem ini kiranya, merupakan eksperimen pertamanya untuk menyelam betul-betul dalam pembikinan sebuah filem Melayu-Malaysia, dengan idea berserta (isteri?) Bea Tanaka. Filem ini juga diangkat oleh Hassan Muthalib dengan "5 bintang penuh" jadi aku sebenarnya teruja untuk menontonnya, walaupun secara dasar, sinopsis filem ini mendekati Lenjan, Psiko Pencuri Hati, dan banyak lagi filem Melayu tipikal yang mencantumkan riadah ke pulau (ala And Then There Were None) dengan genre ngeri (thriller).

Mungkin, dalam mata Tanaka, kita beriadah untuk membunuh orang.

Aku mengenal pasti, terdapat dua hal yang mengganggu kesempurnaan atau "perjalanan untuk menghasilkan" hasil tangan ini menjadi sebuah filem yang bermutu (macam pegawai FINAS lah pulak); pertama, saranan Lembaga Penapis Filem Negara, yang mungkin menyusun atur filem ini, yang mulanya seperti ingin bergerak menjadi "kuasa wanita atas lelaki" ala Buai Laju-laju, menjadi suatu pengakhiran moral yang lesu, gagal dan tidak memuaskan. Macam ni lah, tolonglah para pembikin Malaysia, berhentilah bikin filem yang cuba menghampiri kegilaan atau kenikmatan melampau seperti filem Jepun (filem ini ada potensi tetapi tidak ke situ) atau seks JIKA ANDA TIDAK BOLEH MENAYANGKAN atau ya pun, mengakhirkan dengan moral yang lesu. Terdapat banyak filem Hollywood yang melalui kod draconian era Hays TETAPI, para pembikinnya tahu, dalam sopan, untuk menyampaikan sebuah filem yang cukup menggetarkan dari segi penceritaan dan persembahan, dengan contoh terbaik, A Place in the Sun. Filem ini mungkin cuba bermain dengan sudut berlainan untuk menerangkan proses terperangkap dalam salah moral, tetapi kesimpulannya tetap lemah dan terlalu bengap untuk diakhirkan sebegitu (bagi aku, pengakhiran moral At the End of Daybreak lebih menarik daripada ini).

Kedua, ialah percubaan Tanaka menggunakan interteks kisah dongeng moral pribumi Sarawak, yang nampaknya menarik, akan hubungan suami-isteri, tetapi ini interteks yang bersifat "rakyat" (folk), yang kecil dan minimalis, bukan naratif agung seperti hikayat dan seumpamanya. Baik, ini juga boleh, tetapi lihatlah apa yang dibuat oleh filem adaptasi dongeng rakyat dalam meniti hal moral seperti Onibaba dan Chuchu Datok Merah, betapa, berlapisnya tahap pentafsiran dan nikmat sinema yang berjaya dicapai.

Sedihnya, Tanaka seperti tidak mahu pergi lebih jauh daripada kisah "seorang isteri yang gembira menjadi menderita apabila suaminya bermain kayu tiga". Susunan penceritaan menjadi menarik apabila Ramli Hassan sebagai orang kampung yang membantu Maya Karin dan Hans Isaac. Bahagian babak itu, penuh cerita, suara seksual terpendam, psikologi hancur dan perlu rawatan, dan kejanggalan perwatakan terserlah, serta intrig yang baik. Namun itu sahaja bulatan yang indah dalam filem ini, berserta beberapa percubaan sinematografi yang baik dan memahami latar dan emosi jiwa cerita dan perkembangan watak. 

Bahagian awalnya pun, sudah terdapat gangguan yang amat, babak Maya bercakap panjang dengan Rin Izumi, memberikan plot cerita dalam dulang, kononnya dihadirkan untuk penonton yang lembap tangkap. Katanya, ini filem ngeri, di manakah ngerinya? Apakah ada perasaan teruja untuk terus-menerus kita bergerak, dengan cahaya dan imej serta bolen mata Maya tentang apa yang akan berlaku? Pedulikah kita? Kenapakah struktur dan gerakan Psiko Pencuri Hati lebih mendebarkan, membuka beberapa persoalan dan keadaan getir dan ketidaktahuhaluan jika kita bandingkan dengan filem ini? 

Aku setuju terdapat keindahan yang baik dalam urus laku dialog Ramli Hassan, dengan sikap curiga-seksualnya yang menarik (ini yang patut Tanaka selami, seperti Criminal Lovers karya Ozon), dengan misteri alam yang mendekatinya (yang eksotik bagi penonton luar mungkin), tetapi ini tidak diberikan kersinambungan yang baik dan memuaskan, baik untuk watak Ramli ataupun kesudahan Ramli-Maya; yang sepatutnya boleh bergerak menjadi sebuah lagi Ossessione ala Melayu yang klasik (adaptasi daripada novel The Postman Always Rings Twice), tetapi terlajak menjadi hanya suatu percubaan filem bermain imbas kembali (babak-babak imbas kembalinya amat mengingatkan kita dengan filem-filem Melayu yang menyampah ditonton, hanya untuk mempamerkan keadaan emosional suka-benci yang murah), air laut, imej cantik Taman Negara Bako, dan suntingan tajam. Kita, berkali-kali dimaklumkan akan panas hela suhu Maya yang naik mencanak, edan yang membuak-buak, untuk seekor buaya memasuki kekosongan jiwanya, tetapi yang merangkul tubuhnya hanya angin sejuk, gelap bilik, dan hilai manja seorang gadis Jepun yang yang sungguh menjengkelkan.

3 comments:

Unknown said...

Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
Jika ya, silahkan kunjungi website ini www.kumpulbagi.com untuk info selengkapnya.

Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)

Anonymous said...

takde dalam dunia ni yg sempurna ..yg org komplen pun tak sempurna jugak...semuanya tak betul hahahahaha

fadz said...

So?