19 June 2015

Chuchu Datok Merah(1963)

"Keturunan datuk nenekku orang terhormat. Takkan aku nak jadi Nelayan?" - Awang Janggut


Ada dua perkara yang aku "pelajari" selepas menonton filem "hidden gem" daripada pesaing Malay Film Productions, Studio Cathay Keris ini (Jins Shamsudin memaklumkan dalam Filem Melayu: Citra Budaya dan Rakaman Sejarah [2014], bahawa filem terbitan Cathay Keris lebih tertanam pada nuansa dan jati diri sebenar Melayu berbanding dengan kelolaan Run Run Shaw); yakni, (1) bukan filem P. Ramlee dan Hussein Haniff sahaja yang dikira terbaik dan terulung dalam pembikinannya, baik isi mahupun teknik, dan (2) kita perlu meneliti kebijaksanaan pengarah Melayu/tempatan lain yang mungkin terpadam daripada pengiktirafan, yang mengejutkan, akan menemukan kita dengan filem Melayu yang benar-benar Melayu, tetapi tetap mempunyai kandungan yang sarwajagat dan melangkau satu intepretasi.

M. Amin adalah satu-satunya yang menarik untuk diperkatakan dalam hal ini.

Dalam kaca masa tempatan biasa, terdapat dua kefahaman yang jelas dan biasa akan dibuat oleh penonton berkenaan filem ini. Pertama, menelelusuri filem ini, dengan unsur melodrama dan kebiasaan "tragedi Melayu" yang fatalis (manusia yang disimbah ujian dan cabaran terus-menerus oleh Tuhan dan selalunya berakhir dengan kematian, rujuk Seorang Tua di Kaki Gunung, Ranjau Sepanjang Jalan, dan Hari-hari Terakhir Seorang Seniman), kita yang terbiasa dengan drama ini akan menganggapnya "klise" drama Melayu, bagaimana, Oh, kasih diuji apabila teruna daripada darah orang baik-baik bertemu dengan anak orang kaya yang meminatinya, mengganggu rumah tangganya yang dibina selama ini, Ohhhhh tidaq. Kedua, dengan kefahaman sosialis kuat zaman itu dalam kalangan pengkaryanya (kita hanya mendengar satu laluan tanggapan sahaja kepada Hang Jebat Hussein, contohnya), kita hanya melihat kehadiran kapitalisme (merujuk Orang Kaya "Sheikh" Hassan dan anaknya, Siti Molek, lakonan Roseyatimah) membuli feudalisme (merujuk keturunan bangsawan tapi miskin harta, Awang Janggut lakonan Nordin Ahmad) yang tidak ada haknya lagi, atau kehadiran masyarakat bebas yang menekan (atau memaksa mengubah?) orde lama masyarakat feudal.

Kedua-dua kefahaman itu masih sah sebagai cara memahami filem ini, tetapi, jeng jeng jeng, pada kredit pembukaan filem, kita terlihat dua lakaran, lelaki wanita dalam gelung bulat dengan bayangan air di atasnya. Pada pembukaan awal filem, lakaran tadi di kredit awal berubah kepada air sebenar dengan batu yang dicampak, membuat riak gelombang. Kita lihat orang yang melempar batu itu ialah Awang Janggut (chuchu Datok Merah) dengan ayamnya, merenung semacam pada air sungai. Kemudian isterinya, Wan Kuntum (lakonan Latifah Omar) dan budak suruhannya tiba. Awang, dengan keadaan "lantang" (free speech et moderne?) menyampaikan, "Lubuk Puaka ni dah lama tak makan orang.", lalu isterinya, untuk "menenangkan pantang larang" dalam adat cara Melayu (kerana kuat ketahayulan dan kepercayaan tebal animisme) menyatakankan balik, "tak elok menegur."

Dalam kefahaman Melayu, melihat unsur Lubuk Puaka ini mungkin hanya "satu lagi elemen dunia halus/mistik" dalam drama "Bangsawan" (mungkin cerita ini diambil oleh Ali Aziz dan M. Amin selaku penulis lakon layar daripada cerita Bangsawan lama?) atau genre purbakala, yang menyatakan bahawa "Biasalah, zaman dulu orang percaya benda bukan-bukan." Tapi lihat, pada tahun 1964, menariknya setahun selepas filem ini, Jepun dengan Kaneto Shindo telah menghasilkan Onibaba, adaptasi daripada dongeng lama Jepun, yang turut menggunakan unsur tahayul (topeng puaka dan lubang puaka!) untuk menyampaikan cerita moral tentang kerakusan nafsu dan ketamakan. Maka, pandangannya di sini, dari segi pembacaan filem pun, Lubuk Puaka dalam filem ini boleh dibaca daripada sudut pandangan lain, sepertimana topeng Onibaba dibaca.

"How do you kill a god?" Pernah, filem Princess Manonoke bertanya. Kita ulangi ungkapan itu dengan "How do you kill an old god?" untuk filem ini. "Tuhan" yang dimaksudkan ialah Awang Janggut, yang, kononnya, membawa "nilai lama" Melayu (sudut sosialis tadi diambil). Menariknya, nilai lama ini pula, ditragedikan dengan unsur yang lebih lama, Lubuk Puaka. Maka, Lubuk Puaka bukan sahaja menjadi unsur objek yang digunakan untuk menyampaikan cerita dalam plot, tetapi menariknya, menjadi "id besar" yang menyerupai "syaitan" yang sentiasa ada dalam mana-mana kehidupan atau sistem. Perlakuan Awang sendiri pada awal ini sudah "seal his fate" dalam hal ini apabila mencampak dan menegur lubuk itu. Semua ini memang tampak "hanya ungkit-ungkit tahayul" tetapi ini yang membuat kita ingin memasuki dunia "antara realiti dan ghaib" ini dalam pandangan alam Melayu. Maka, sebenarnya, Lubuk Puaka itu menjadi pemangkin gerak plot dan sebab-akibat, adik-beradik Batu Belah yang lebih subtle, menyerupai Onibaba. Malah, "Tuhan lama" sebenar filem ini (walaupun kita menganggap dunia Terengganu lama ini sudah disaluti Islam, dengan nama penduduknya yang Islam) ialah lubuk itu, seakan-akan menyatakan dengan jelas: segala nilai lama ini kembali dalam simpanan puncanya. Ya, ini semacam sebuah filem komedi yang mengisahkan "hari-hari terakhir golongan bangsawan lama/tua", dibunuh oleh sifat dan norma keperibadian mereka sendiri (filem ini sebenar-benarnya tidak ada antogonis, walaupun watak Long Daik paling dekat dalam hal itu, malah watak Awang sangat antihero, walaupun dia mengangkat koda-koda peribadi wira zaman dahulu). Malah kita memahami ini apabila babak awal Awang yang merenung lubuk, kita diberikan syot yang seakan-akan sama apabila Awang menyampaikan keadaan dunianya yang kian berubah, "nilai baharu" seperti kehadiran pendatang miskin yang menjadi kaya di tempatnya, yang kian mengikis nilai lama sepertinya. Awang merintih (lament) tanpa dapat memahami sebab-akibat ia berlaku. Ketidakupaya ini juga diterjemahkan dengan ketidakupayaan Awang-Kuntum untuk menandingi "drama" dan tekanan nilai baharu ini. Jika kita lihat lagi, ada dua manusia yang akan "merenung" (syot ke arah kemera/penonton), Awang dan Kuntum. Ini mengikat "seal of fate" terhadap lubuk tadi, makanya, apa-apa yang mereka akan buat, kata-katanya, "akan terjadi". Dan hal ini menjadi tanda persiapan untuk aksi tragedi dengan lubuk (yang juga akan direnung, secara menakutkan dan menyakitkan).

Lubuk tersebut juga menjadi "cerminan" psikologi dan naluri manusianya. Ritual Long Daik "memohon" Lubuk Puaka itu mungkin hanya suatu perbuatan tanpa makna, tetapi secara psikologi, kaitan tandanya sudah diikat dengan kefahaman syot renungan tadi. Di sini, kita sudah tahu, habislah, habislah Kuntum. Dan ya, Kuntum akhirnya "pergi" ke lubuk, memandangnya, menjerit nama suaminya. Renungan ini diikat pula dengan renungan awal Kuntum di cermin (berserta imbas kembali), Kuntum sedang "memakan hati" impiannya yang tidak tercapai, atau dikecaikan oleh perhubungan Awang dengan Siti. Ironinya, impian material Kuntum diisi (Awang dapat kerja dengan orang kaya) tetapi impian jiwa/seksual Kuntum dihancurkan pada masa yang sama. Ironi lagi, Kuntum membunuh tanda kejantanan dan kehebatan-bangga Awang dengan membunuh ayam jaguh tarungnya untuk mengisi perut suaminya agar kembali ke "katil"nya (kita hanya tahu akan kehamilan Kuntum pada separuh akhir filem). Lalu, atas pendirian "sudah tidak ada lagi harapan", seperti mana Awang tadi merintih dunia lama yang kian dilupakan, Kuntum menyedari "hakikat" ini di hadapan lubuk, lalu memasuki lubuk itu supaya impian sebenar ini (penghancuran masa depannya) tercapai. Menariknya buat Awang, setelah mengetahui kehilangan Kuntum, melepaskan rintihnya kepada Siti di rumah orang kaya Hassan. Bagi yang melihat selapis, kita melihat kebodohan seorang lelaki (menariknya, lelaki ini disiksa sedemikian, malah menangis, patriakh yang dihentak-hentak) yang mencari-cari "cinta" kerana cinta perkahwinannya sudah lenyap (hal ini dikaitkan dengan "boleh kahwin lagi"), tetapi jika kita lihat benar-benar dari segi psikologi, dalam babak renungan, Awang merintih kehilangan nilai lama dan keadaan lama yang tidak lagi dipandang. Unsur seperti kegagahan dan keberanian tidak dilihat lagi sebagai kebaikan (virtue) dalam dunianya sekarang. Siti merupakan satu-satunya orang yang mengiktiraf kebaikan ini (walaupun tujuannya lain dan kerana buta cinta/seks). Maka kita faham, bukan, sebenarnya sangat Awang tergila-gilakan Siti, tetapi, Awang mendapat kembali indentifikasi dan pengiktirafan maruah apabila ada orang percaya/setuju dengan nilanya. Setakat ini, hanya budak suruhan, isteri dan beberapa orang, bukan orang luar. Apabila Siti, orang luar, mengiakan, ini lagi mengangkat dirinya (malah egonya). Awang kembali ke kaki Siti kerana mencari pengiktirafan itu (kerana isterinya tidak akan menafikan haknya untuk itu), namun, seperti anjing, Awang dinista dengan satu lagi perspektif tajam terhadapnya, "Pembunuh isteri." Maka, kita faham, walaupun ya, Awang masuk ke dalam lubuk kerana inginkan isterinya, tetapi, kembali pada babak renungan, Awang memandang lama lubuk itu sebelum memasukinya. Bayang-bayang isterinya sememangnya satu cerminan, tetapi cerminan yang lebih penting ialah cerminan "maruah" dan pengiktirafan yang ada bersama-sama Kuntum yang dilihat oleh Awang terhadap nilai yang dipegangnya, dan, dia inginkan kembali nilai itu, walau apa-apa pun yang terjadi.

Hal ini membuka suatu kritikan sebenarnya terhadap orang kaya dan anaknya yang masih hidup, yang akhirnya duduk bersama-sama makan dengan kawan-kawan, ketawa: adakah pada suatu hari nanti, kita, penonton, yang sudah mempascamodenkan nilai murni dan identifikasi semula tradisi kita terhadap apa itu nilai yang baik, mungkin, melihatnya hanya sebagai suatu "benda-benda dahulu kala" lalu diketawakan sewaktu makan malam di meja warung bersama-sama kawan?

Hal ini mempunyai keadaan "penerusan" (nilai lama diganti dengan nilai baharu dan seterusnya dan seterusnya setiap zaman) dengan cara M. Amin meletakkan keadaan Kuntum yang merenung cermin. Orang kedua yang melakukan hal sama ialah Siti Molek, merenung cermin. Kuntum merenung cermin melihat hari-hari terakhirnya yang kian dihancurkan oleh "orang baharu". Siti merenung cermin pada awalnya sebelum memulakan langkah keluar rumah. Pada akhirnya juga, Siti, yang menolak Awang (tutup tingkap), merenung kembali cermin, menyedari nilai apa yang dia mahu (bergerak dengan zaman), tersenyum, lalu turun ke bawah menemui ayah dan "bakal kekasih" baharunya. Keadaan renungan ini sengaja dilakukan, dalam rumah besar, sebagai renungan "pengulangan" buat penonton. Kerana pada awal filem, kita diberikan suatu dialog, Long Daik yang melihat Awang di hadapan rumah lamanya, "Rumah sahaja yang besar, tapi isinya kosong!" Kita menyedari, dalam keadaan pengulangan, hal ini akan berlaku dengan Siti Molek atau cucunya, dalam masa hadapan, kerana zaman terus bergerak dengan isi perubahan dan nilai bertukar, berpusing dan berpusing seperti Lubuk Puasa yang terus-terusan berpusar tanpa henti sehingga kiamat.

Aku berasa, filem ini sememangnya sebuah adikarya, malah mungkin yang terbaik pada tahun 1963. Segala tekniknya baik dan berfungsi, lakonan para pelakonnya hebat, dan penuh menyelami psikologi dan adat budaya sebenar orang Melayu (banyak persoalan merajuk, mengamuk, mengharap, yang aku rasa, sudah disampaikan dengan sempurna oleh Anuar Nor Arai yang dapat dibaca dengan penuh dalam filem ini). Ada suatu babak, yang sangat halus, berjaya disampaikan apabila Awang merintih tentang keadaan orang sekarang menolaknya kerana nilai berubah. Budak suruhannya memberi jawapan, kesetiaannya kepadanya kerana "kita sudah macam saudara". Budak suruhan itu sanggup bekerja dengan Awang kerana terasa "diikat" atas darah, bukan pun material. Penggunaan "saudara" di sini amat memaut jiwa, kerana Awang tetap menyuruh paksa budak suruhan itu. Hal ini seakan-akan "memakan" Awang kembali yang tidak memahami "keluarga sebenar" dan "keluarga baharu" dalam dunia yang sedang berubah, dan hal ini berlaku dengan halus sekali.

M. Amin, sememangnya, suatu nama yang akan diperhatikan dan sepatutnya dijulang, daripada terperosok jauh ke dalam Lubuk Puaka sejarah perfileman kita. 

1 comment:

Seroti said...

Bro, kritikan ini membuktikan, kaulah satu-satunya pengkritik filem sekarang yang benar-benar dapat membantu filem kita keluar daripada gua gelapnya. Seram bro baca kritikan kau.