31 March 2015

Tiga Filem Mac 2015

Ya, kemalasan melanda atas kesibukan kerja, jadi semuanya pendek-pendek.

Exodus: Gods and Kings (2014) Arahan Ridley Scott
Aku agak sudah naik meluat dengan Hollywood dan cara dia memicit saku kantung kita untuk keluar duit, mengikuti versi extended, kemudian director's cut dan entah potongan apa lagi. Dan, seperti sudah diagak, filem ini, dengan penuh kesedaran akan keadaan keinginan penontonnya sekarang, melakukan hal itu untuk filem ini versi wayang ini yang sepatutnya sudah disempurnakan, walaupun tipikal Hollywood B. Mille, dengan versi Charles Heston sebagai Musa (dan seklise mungkin, menyatakan filem itu jauh lebih menarik, tapi memang pun dalam hal-hal tertentu). Mahu tidak mahu, sebagai seorang Muslim, menonton filem ini, sudah tentu tersisip sedikit keimanan kita untuk meletakkan "yang mana boleh percaya dan tidak percaya" terhadap percubaan imaginasi lima penulis skrip dan pengarahnya yang tidak mempercayai Tuhan. Aku malas ingin memasuki keadaan persembahan lakonan atau teknikalnya, yang bagi aku cukup baik walaupun sesuai dengan cereka Hallmark yang pernah aku tonton, aku lebih tertarik dengan interpretasi Scott dan rakan penulis membayangkan budaya hidup Mesir yang lebih tuntas, seperti yang dilakukannya dalam Gladiator dan beberapa "epik sejarah itu", menghidupkan falsafah, hidup dan budaya orang Mesir dengan baik. Dan hal ini dibandingkan dengan keadaan pegangan hidup dan aqidah orang Yahudi (kita panggil Ibrani, sempena cucu-cicit Nabi Ibrahim) yang kelihatan boleh dipercayai. Hanya aku tidak berapa setuju cara mereka menyahudikan Moses (dalam Ibrani, Moshe, seperti kita, Musa) dengan cara dia membentak "Tuhan" (Tuhan digantikan dengan "pesuruh"/malaikat yang berupa budak kecil Kaukasia, dengan metafora dia membina biji-biji menjadi piramid dan memusnahkannya: memberi pengiktirafan bahawa Tuhan membina dan Tuhan memusnahkan, sedangkan falsafah cerita Nabi Musa jauh lebih rumit dan dalam daripada hanya menyatakan secara materi, politik dan sosial akan tugas Musa sebagai pemegang pedang, bukan tongkat, dalam membebaskan kaumnya dari tanah Mesir, memaparkan lagi, kemungkinan entah berapa jauhnya keyakinan manusia Barat sekarang akan agama kerana sikap rasionalisasi mereka terhadap sejarah, dan kedua, kaitan kuat yang sengaya dilakukan oleh pengarah untuk menguatkan lagi pandangan bahawa orang Yahudilah yang membina keindahan dan kecantikan monumen Tamadun Mesir, yang menjadi persoalan dalam kaitannya dengan lambang dan paparan Freemason dan kultus cincin Sulaiman) kalau hendak dibandingkan dengan klise grandeur Heston dalam The Ten Commandments. Kita memegang pada kefahaman maksud maksum, kuasa Allah melakukan Kun Fa Ya Kun. Jadi sebenarnya, ya, terdapat intrig menarik, khusus pada drama keluarga soap Ramses berhadapan dengan Moses tentang dia anak pungut dan keturunan Ibrani (dengan sebab akibat yang sangat cantik), Kemudian, sikap rasional ini disampaikan lagi dengan 7 Fitnah Tuhan kepada kaum Mesir dan Firaun yang kelihatan hidup dna dijawab dengan alamiah sains (laut juga dijawab dengan kononnya hentaman sebuah meteor). Semua ini dilakukan dengan skop besar yang menarik dan baik. Hanya pelik, jika Moses perlu, dalam keadaan itu (sebab dia sudahpun menjadi Nabi dalam pandangan kita) mempersoalkan susunan kerja Tuhan (memang dalam tradisi kami Nabi Musa a.s. tidaklah sesempurna apa, contohnya apabila melalui perjalanan spiritual dengan Khidir a.s., tetapi takkan Musa semanusia seorang jeneral seperti Alexander atau Huang Ti, kerana Scott perlu memahami dalam tradisi Ibrani-Islam, Nabi Yusuf a.s. pernah menjadi pegawai kanan atau menteri kepada Firaun). Di sinilah Scott sedikit berdosa dan terasa macam canggung kerana tidak benar-benar memahami garisan manusiawi dan sentuhan Tuhan dalam konteks ini, yang mana Mel Gibson, walaupun Passion sebuah filem Nasrani, ia memahami dengan besar maksud Kasihan Tuhan dan Kuasa Tuhan yang serba tidak tercapai tetapi wujud dan sesuai dalam konteks agama "yang benar" dan difahami dengan mendalam oleh kemanusiaan Jesus dalam filem itu. Mungkin ini adalah penyakit orang Yahudi, kalangan yang dibuang oleh Nabi Musa a.s. setelah baginda menghumbamkan batu suruhan itu ke tanah. Mereka masih membebel dan tidak meredai segala ketentuan Tuhan terhadap mereka, walaupun sekarang, dengan pemberian Israel buat mereka. Dalam hal itu, terpancar beberapa dialog yang indah antara baik-buruk perhubungan adik-beradik Ramses dengan Moses (versi Heston lebih berpadu dengan kisah cinta-benci isteri Ramses terhadap Moses, walaupun atas konteks alam Mesir ini salah kerana wanita tidak boleh berkata-kata). Tetapi terdapat juga kebodohan dalam dialognya, dan ini diburukkan lagi dengan percubaan celaru kedua-dua pelakon utamanya. Namun untuk budaya dan landskap besar dunia Mesir dan cara hidup Yahudi pada zaman itu (dan peliknya, filem ini lebih bercakap tentang nasionalisme dan patriotik Ibrani daripada memahami falsafah pegangan agamanya yang menarik dan memualkan golongan Mesir, disengajakan sebagai pandangan sayap kanan Scott terhadap berhak Yahudi atas tanah Israel sekarang). Namun begitu, percubaan Scott menarik untuk "mengembangkan" kenabian Moses (yang akhirnya, kononnya memahami falsafah Tuhan akan arahannya) walaupun, dengan bodoh, dilakukan secara "jual-beli" dengan Tuhan. 

Jengka (2015) Arahan Nyon Othman, Ramdan Che Hassan
Filem seram tulisan Aziz M. Osman ini bolehlah diberi ruang untuk ditonton, khususnya dalam kefahamannya dalam sinematografi, kedudukan syor, suntingan, gerakan gambar ke gambar, filem ini antara filem yang mempunyai kekuatan teknikal itu. Aziz pandai menulis, terdapat intrig dan persoalan "apa akan berlaku" yang terbina baik dengan perwatakan (walaupun dikelilingi oleh pelakon amatur, dalam lakonan found footage, terdapat kecanggungan lakonan dan kelihatan asli, bercampur-baur). Ideanya ialah, seperti Villa Nabila, keadaan nyata (real) dan drama manusia yang benar-benar, yang memberikan cinema verite itu boleh ditonjolkan, lalu diadakan "rakaman sebenar", dan keadaan hiperbola dan drama luar realiti, termasuk paparan imaginasi pengarah tentang rupa-bentuk hantu boleh dipaparkan secara "wayang", lalu diadakan "penggambaran semula". Idea ini menarik, dan subjek sebenar di sini (bukan hantu atau Jengka atau curang) ialah "kamera" sebagai peranan utama wayang (selain mata dan penyaksi utama) sekarang dan ke mana ia hendak membawa kita/wayang, sejauh mana ia mengejutkan kita, sejauh mana ia memaparkan kepada kita "alama baharu", sejauh mana ia boleh pergi menguji kekuatan-kelemahan manusia. Semua ini nampak menarik, tetapi sejauh mana material filem ini dapat menggunakannya? Di sini, pengarah menggunakan gaya ini (daripada fotaj kepada penggambaran dan sebaliknya, berulang-ulang) untuk memanipulasi cerita dan gerakan (hal ini begitu jelas atas maksud setiap falsafah penggambaran/rakaman itu), dan sedikit menampakkan realiti yang raw lebih jelas menakutkan daripada emosi dramatik, namun hal ini kelihatan amat manipulatif (banyak gerakan terlalu tersusun, walaupun baik dan mengisi persoalan ingin tahu). Penggambarannya memang terdapat beberapa bahagian yang menampilkan latar keseraman yang baik, dengan kefahaman apa yang perlu diambil dan apa yang tidak, tetapi, atas nama perbandingan, kita perlu kembali pada moyang segala fenomena gaya ini, Blair Witch Project yang juga sungguh raw dan manipulatif tetapi berkesan kerana membiarkan "alam" rakaman itu membawa kita (tanpa begitu terlihat tersusun - tanpa skrip), khususnya pada 10 minit akhir filem itu yang mengikat perut kita sehingga ke akhir dengan latar dan penemuannya. CGI khas filem ini kasar dan animatik, menggagalkan keinginan yang hendak disampaikan oleh rakaman "sebenar" (idea di sini ialah, yang real itu diilusikan dalam salinan unreal, salinan terhadap kenyataan yang susah hendak dibicarakan - alam hantu), walaupun keadaan ini menimbulkan ironi (hantu sebenar yang "percuma" lebih takut daripada hantu kesan khas yang mahal) dan menimbulkan sindiran kuat (kepada diri sendiri?): dalam filem seram, stick to make-up bukan CGI The Haunting kalau hendak orang take it seriously. Namun dalam semua hal ini, sebagai percubaan sulung dua pengarah muda ini, kerja mereka boleh dipuji, khususnya dalam mengurus koordinasi, tempat letak dan susunan gerakan aksi, objek dan cerita, penimbulan emosi yang cukup untuk menyampaikan cerita dengan ruang yang betul, dan ada keseronokan melakukannya. Perbandingan rumah kampung cantik (sindiran kepada semua filem glossy cantik seram MiG) dengan keadaan kampung Felda sebenar di Jengka amat memautkan dan menjadi suatu yang indah, semoga harapan ini, yang nyata dan lebih dekat dengan realiti untuk menampilkan kehadiran sinema yang lebih menggugah, akan dapat memakan kelesuan indah tetapi tipu sinema perdana kita yang makin lesu dan ke lubang kubur (pun klimaks filem).

La garande belleza (2013) Arahan Paolo Sorrentino
Aku memang bodoh. Hanya apabila menonton filem ini kali kedua (setelah mendapat pencerahan daripada seorang kawan), aku menyedari, betapa indahnya filem ini (Selain tangkapan Fellinisque yang aku jumpai, tetapi rupanya hal itu jauh lebih relevan dengan mata kendiri indah Sorrentino yang berjaya menangkap bendalir dan darah kota Rom), betapa aku menyedari kuasanya. Membaca filem ini menjadi lebih mudah jika kita hanya memerhati wajah manusia, yang Sorrentino paparkan, dalam keadaan jeda, merenung kita/protagonisnya (daripada memori protagonisnya) atau merenung ke tepi. Kita menyedari, kemudian, ini sebuah filem panjang tentang renungan (babak awal: mata-mata orang luar/Jepun merenung dan mengambil keperkasaan agung sejarah Rom yang semalam dahulu, seorang pergi menangkap dan merenung kota Rom sekarang yang moden, lalu mati), yang berakhir dengan renungan protagonisnya terhadap perkara yang melangkaui penyesalan/harapan tidak tercapai (simbol wanita yang tidak menciuminya) tetapi suatu keutuhan maksud atau "kebenaran" (dimaknakan dalam filem ini sebagai "keindahan", protagonis mencari keindahan yang teragung). Babak akhir menjawab persoalan ini dengan begitu indah (dengan renungan falsafah berbentuk agamawi dan epitesmologi), suatu alam berbukit dengan rumah api di hadapan yang menghala cahaya, yang dijukstaposisikan dengan kehadiran matahari dinihari dengan burung undan bersedia untuk ke Barat (simbol kemenangan orang Barat) (renungkan, cahaya alamiah matahari jelas terhala, indah dan satu, sedangkan keadaan malam yang berangin di tepi pantai rumah api, cahaya berlingkar merata-rata). Apakah suara akhir rahib yang dikanunkan sebagai "wali" orang Nasrani itu? Katanya, "Saya memakan akar-akar tuan, kerana akar itu penting." Akar. Mencari akar - punca. Apakah punca Rom? Apakah punca diri? Hal ini dengan cantik sudah terjawab pada babak awal filem! Menontonnya sekali lagi, saya menangis dua kali, sekali waktu sang kawannya yang sudah lemas dengan kota Rom yang menipunya, hendak meninggalkan Rom "kerana ia penuh ilusi", lantas di belakangnya, zirafah itu pun hilang. Protagonis, sedang melihat/menonton kehidupan yang "cepat hilang", seperti mana filem dalam berapa saat berubah gambar, menangkap kuat maksud dialog protagonis, "Semua yang kita tahu akan mati terbenam dalam tanah, mereput menjadi habuk yang sia-sia." Seperti mana wajah demi wajah yang menyentuh kita dalam hidup, cepat hilang (menariknya hal ini berkaitan dengan keadaan material yang orang julang/kejari akan hilang juga ditelan zaman), teringat dalam sesaat, kemudian lepas, seperti filem laju, tetapi itulah kehidupan, dan itulah yang mengindahkan, dan kita hanya memerlukan "akar" untuk menghargai keindahannya, seperti kenyataan protagonis akhirnya, "Barulah kiini, aku dapat berkarya kembali." Antara filem terbaik dan matang dari Itali.

No comments: