30 October 2014

Dendam Orang Mati(2014): Seram Wanita Melayu

Ada sesuatu yang menarik dibawakan oleh pengarah Jason Chong dan penulis skripnya, Nizam Zakaria berserta Jason dalam sebuah mesin ratu seram KRU, Lisa Surihani (ya, nampaknya sudah dua filem berturut-turut). Memang aku bingit dengan kesan bunyinya yang mengada-ngada, dengan betapa cepatnya gerakan cerita, tetapi keadaan pantas itu sengaja dibuat untuk penonton sasarannya yang ingin menonton sesuatu yang pantas, seperti pantasnya mereka makan, buat kerja, baca buku, bermain, dan melancap. Konsep komersial mengikut tuntutan khalayaknya mungkin susah untuk menarik pemerhatian penonton yang serius, apalagi serius dalam genre ini, lebih-lebih lagi dalam 90 minit filem ini berjalan, tidak ada satu babak seram pun yang aku tutup mata (sebenarnya hal ini pun sudah menular lama dalam seram Hollywood dan Thailand dan macam-macma lagi). Tetapi lebih baik daripada itu, ialah ceritanya.


Ya, dialog skrip dalam beberapa babak mungkin janggal, tetapi susunan gerakan cerita, plot dan cara filem ini mengambil masa untuk menceritakan satu per satu akan keadaan yang menjeghat (mengambil semangat lidah Lisa Surihani) protagonisnya, Lena, agak menarik, dengan sisi psikologi yang diselami penuh untuk sebuah filem tentang keruntuhan peribadi diri, realiti dan kesiuman.

Untuk penonton biasa, filem ini bergerak dalam sangkar plot gerakan Lisa Surihani sebagai Lena, wanita kompleks yang baru bangun daripada koma lalu ditempatkan dan tinggalkan oleh suami (Fizz Fairuz) yang kini beristeri dua. Lena ditinggalkan seorang diri dalam pangsapuri di tingkat 4 ("4 itu bermakna mati dalam Cina," kata seorang watak dalam filem). Plot ini macam pernah dengar bukan? Macam Repulsion? Ya, selamat datang ke dunia Robert Aldrich, pengarah filem yang banyak memerangkap wanita Amerika sebagai subjek dan mangsa pengkajiannya dalam maksud melawan kemurungan, keseorangan, dan perangkap status sebagai wanita dalam dunia patriaki. Filem Aldrich sudah beberapa merimaskan dan memperkosa penonton wanitanya yang ingin sesuatu "yang lebih dalam hidup ini", selalunya berkenaan kritikan sosial wanita yang terperangkap, khusus pada era moden pascaperang dunia apabila wanita tetap dipinta terperosok dalam bingkai stereotaip yang sudah ditentukan oleh golongan lelaki. Jadi apakah kesesuaian untuk Jason dan Nizam mengambil semangat ini ke dalam sebuah filem tempatan Melayu?

Lena asyik diganggu oleh lembaga ghaib, kadang-kadang (spoiler) anaknya yang sudah meninggal, kadang-kadang lembaga merangkak. Lena menyuarakan semua ini kepada suaminya tetapi suaminya tidak mempercayai (macam biasa). Dinding rumahnya hitam seperti abu, seakan-akan terbakar, di kamar tidur (ah, kenapa di kamar tidur? Ada kena-mengena dengan kelamin, suami isteri? jeng jeng jeng). Tingkat empat itu sendiri membawa kembali perasaan seperti Lena dalam ruang Silent Hill, kadang-kadang merah (terbakar), tapi tengok, lantainya asyik basah. Dan apabila Lena ikut tangga, ada sahaja titik air, seperti hujan, seperti bangunan itu sedang menangis, seperti bangunan itu, seperti roh Lena sendiri sedang ranap.

Kemudian, sedikit demi sedikit kita akan menyelami sejarah hidup Lena, dalam kehidupannya yang serba kaya bersama ayahnya, jatuh cintanya kepada seorang lelaki kutu tidak berada (Antara Dua Darjat?), dan pemberian anak patung daripada ayahnya, satu-satunya anak patung kesayangannya dna menjadi teman hidup abadinya.



Kita sedang menyelami riwayat seorang wanita yang sungguh murung, mungkin sudah pada tahap dementia, terganggu lagi dengan ketiadaan sokongan daripada suaminya. Kompleks watak Lena menarik, dan dibawa dengan cemerlang sekali oleh Lina Surihani, membuatkan filem yang berdaya B-filem ala pop ini kelihatan penting dan bermakna. Ini ditolong lagi dengan kebijaksanaan penulis skrip memberi ruang soal tanya di tengah dan klimaks cerita, bukan lagi tentang penjahat atau pembunuh, tetapi keadaan benar-salah dan realiti-fantasi yang dihadapi oleh Lena. Hal inilah yang membuka pada beberapa persoalan menarik dan boleh diintepretasi dalam pelbagai maksud. Kita melihat Lena bertongkat sewaktu dia bangun daripada koma. Kita sedar dia datang daripada sebuah keluarga kaya, dan manja. Adakah cerita ini sengaja dibuat kepada penontonnya (Bumiputera, yang dikaitkan dengan manja) yang mula menolak DEB, tongkat sakti yang diberikan oleh Kerajaan, seperti mana Lena "derhaka" dengan ayahnya dan sanggup kahwin lari? Adakah filem ini juga bersikap mengusik penonton wanita abad ke-21, yang terfana dengan dunia novel popular dan drama siri popular yang mana si miskin boleh bercinta dengan si kaya, si wanita penyendiri diselamatkan oleh si putera lalu meninggalkan istana durjananya? Lantas fantasi itu (yang dijelmakan dan diingini sangat oleh para wanita kita) terperangkap dalam realiti hidup yang mengutuk dirinya sendiri (ini seakan-akan mengherdik Antara Dua Darjat) dan segalanya dalam buku dan drama popular itu tidak berlaku. Atau dengan lebih radikal lagi, adakah filem ini membayangkan kekuatan rakyat marhaen bangun memakan dan membunuh golongan kaya dan bangsawan yang manja secara diam-diam kerana mereka sudah bijak? Persoalan-persoalan ini menarik kerana watak dalam filem ini, seperti watak dalam filem Robert Aldrich yang juga mempunyai ruang moral yang dikhuatiri. Semuanya seakan-akan bersalah dan berdosa, semuanya mempunyai motif dan alibi masing-masing, semuanya mempunyai keinginan yang menakutkan.

(Spoiler besar) Dengan menyentuh Aldrich, filem ini sudah tentu menyentuh tentang hal seksual, yang jelas, menjadi suatu lagi persoalan besar yang dapat diteliti dengan baik. Babak awal, kita melihat Lena tersembur darah, yang jelas berkemungkinan daripada kemaluannya. Ini menandakan suatu petanda tidak baik untuk wanita, kerosakan harganya seperti kerosakan maruahnya. Dan ini dikaitkan pula dengan warna merah yang memenuhi aras empat tempat Lena tinggal. Semua ini seakan-akan menyatakan, bukan lagi keinginan seksual Lena yang tidak terisi oleh suaminya, tetapi keruntuhan atau hapusnya seksual itu (atau hawa nafsu dna keinginan itu!) setelah Lena mengecapi alam perkahwinan (hal ini dengan jelas dapat dibaca apabila Lena tidak menjaga anaknya dan suaminya meronta tidak terasa bahagia seperti seorang suami). Hal ini juga merupakan kekunci mengapa ayahnya menyatakan dnegan jelas, "Lena, kau seorang yang sangat istimewa." Seks merosakkan Lena. Lena seperti anak patung tiada kemaluan, yang boleh bercinta tetapi tidak dapat disentuh melebihi maksud sebuah anak patung, menambahkan lagi kompleksiti psikologi Lena yang menarik sekali gus menghibakan.

Di sinilah kekuatan cerita ini, memerangkap penonton dalam suasana terperangkap dan kemurungan terhadap siksa batin wataknya. Menyakitkan lagi, mereka tidak dapat diselamatkan, dan pancaran realiti mereka hanyalah di sebalik pagar putih dan tingkap hitam yang tidak ada apa-apa lagi untuk dilihat, untuk dipandang. Ironinya, mereka akan memandangnya terus.

Filem ini, selepas Belukar, adalah percubaan Jason Chong yang menarik, dan mempunyai kepandaian susunan dan mainan psikologi, walaupun tangkas dan terlalu jelas. Hal ini dibantu dengan percubaan kesemua para pelakon untuk memberikan yang terbaik. Runut bunyinya mencuba tetapi tidak ada apa-apa yang diingati, walaupun lagu Wings pada akhir filem mengancam. Sinematografinya cukup walaupun boleh pergi lebih jauh. Terdapat detik melodrama yang aku rasa disengajakan, seperti gaya filem Robert Aldrich, yang sememangnya tampak seperti kepandaian Nizam dan Jason, dan ini disampaikan dalam beberapa babak yang sangat gelap dan mengejutkan. Dan Lisa Surihani, nampaknya hanya pelakon ini seorang yang boleh membawa watak dan bercakap dengan anak patung dengan hebat sekali tanpa memperlihatkan kekoknya. Lisa, seorang ratu seram yang diraikan.

Klasifikasi: P-12, beberapa babak seram, ganas, darah, dan salah moral yang memang tidak sesuai ditonton oleh kanak-kanak. 
MENONTON DI GSC Time Square.  

No comments: