27 August 2014

Coming Home(2014): Gong Li Kembali Ke Pangkuan Zhang

Sudah tentu filem ini lebih disensasikan kerana kepulangan Gong Li ke pangkuan pengarah dan bekas kekasih yang pernah menyulam bintangnya, Zhang Yimou, suatu berita yang sangat diharap-harapkan oleh pencinta filem, khususnya pemerhati sinema generasi kelima China. Selepas Gong Li meninggalkan Zhang selepas Shanghai Tirad (1995), dikatakan dinamisme Gong-Zhang sudah hilang, dengan Gong Li tidak lagi mendapat watak yang sepatutnya dalam dunia perfileman, dan Zhang yang lebih menuruti gaya komersial (namun hal ini sedikit salah kerana Zhang menemukan dunia dengan Zhang Ziyi serta berjaya menemukan titik kesatuan antara seni dengan komersial, walaupun hal ini dapat diperdebatkan). Maka, judul filem ini sahaja dalam Inggeris, yakni "balik kampung" seakan-akan menggamit kembali Gong Li pulang ke dada bidang pengarahnya. Maka penonton yang menonton juga akan menyedari beberapa hal yang mungkin disengajakan oleh Zhang kepada Gong Li dari sudut "cinta yang tidak akan datang" yang tereja di setiap sudut babak filem ini. Tetapi ini hanya suatu mainan wayang terhadap cerita yang diadaptasikan daripada novel tetang kisah orang kecil pada sebelum dan selepas Revolusi Kebudayaan Mao Tse Tung, seakan-akan mengembalikan sikap protes dan kritikan Zhang terhadap latar sosialis penguatkuasa komunisme China.

Memang, seperti biasa, humanisme Zhang Yimou terpampang baik dalam filem ini, memperwatakkan dengan baik fungsi dan peranan, serta psikologi dinamis Gong Li sebagai sang ibu dan isteri yang menunggu suaminya pulang, lakonan berkesan Chen Daoming, seorang profesor universiti yang ditahan kerana bersikap "kanan" terhadap pemerintahan komunis China. Anaknya, juga lakonan berkesan pelakon muda, Zhang Huiwen menjadi titik tengah yang menggerakkan plot antara dua watak ibu bapanya dalam suatu peredaran masa yang panjang tentang kerinduan, keterasingan, dan harapan bersatu kembali dua insan bercinta, Gong Li dan Chen Daoming.

Jika kita mula membandingkan, mungkin akan kedengaran suara bahawa filem ini tidaklah filem terhebat ataupun sama hebat yang pernah menggandingkan Zhang-Gong Li, seperti Red Sorghum, Raise the Red Lantern, To Live, dan Ju Dou. Aku tidak mahu ke situ, dari sisi kepanjangan dan kedalaman plot dan gerak cerita yang berjaya dibuat oleh Zhang, mcniptakan suatu epik saganya yang tersendiri, tetapi filem ini lain, selain daripada menjadi filem gandingan semula (setelah beberapa tahun bermasam muka) yang menyampaikan drama air mata, seperti kita sudah tehu, terpancar kasih-sayang dan penghormatan Zhang terhadap wayang (sinema) dan fungsinya (spoiler alert!).

Filem ini dimulakan dengan paparan Chen Daoming yang berbaring di bawah rel kereta api sednag keretapi bergerak melaluinya. Kereta api di sini menjadi dua maksud tertentu, pertama peredaran masa (yang akan digunakan dan banyak kali digunakan dalam filem) dan, kedua simbol "takdir buruk" bagi watak Chen Daoming dan Gong Li. Watak Chen telah melarikan diri daripada penjara, membuatnya seorang pelarian dan dicari oleh polis. Babak pembukaan ini berubah dengan Chen dalma keadaan yang amat kecil, dihimpit, dalam gelap, dengan tebuk cahaya yang melaluinya. Sesiapa yang memahami dunia kamera dan filem tahu, bahawa ini merupakan jelmaan "kotak gelap" atau bilik gelap yang mencipta "imej foto" yang dipantulkan cahanya secara terbalik. Kita menyedari sesuatu di sini, walaupun hal ini kecil, malah imejan ini memberi maksud permulaan atau "penggambaran filem belum bermula" tetapi tangkapan imej sedang dibuat (kerana teknologinya akan dikenali). Suatu lagi hal yang kita pelajari di sini ialah tangkapan imejan itu yang diciptakan pada satu papan layar. Itulah filemnya, yang dipantulkan daripada luar. Kita menyedari, filem ini juga memantulkan realiti kepada suatu bayangan realiti untuk para wataknya (penontonnya), dan mungkin juga, untuk Zhang dan Gong Li.

Dalam gelap itu, tiba-tiba cahaya datang. Babak berubah. Kini, kita diperlihatkan watak Gong Li-Chen, Zhang Huiwen sebagai Dan Dan, seorang penuntut penari balet yang amat berbakat. Dia dalam latihan suatu balet Komunis dan Dan Dan ingin menjadi teraju utama persembahan balet itu. Dalam latihan itu kita menyedari, "persembahan" ini juga belum dimulakan, sedang "dalam latihan". Filem ini betul-betul belum bermula, atau "wayang" Zhang Yimou belum betul-betul bermula. Plot masuk apabila Dan Dan dipanggil ke "bilik propaganda" yang mana Gong Li, ibunya juga sudah ada di situ, dipanngil kerana berita Chen sudah melepaskan diri daripada penjara dimaklumkan. Dan Dan yang naif dan menyelami suara revolusi bertekad untuk "melaporkan" kehadiran ayahnya. Gong Li hanya bersetuju dalam diam.

Babak seterusnya mengambil suatu bentuk saspens panjang dengan penggunaan bijak pemecahan POV antara Chen, Gong Li, dan Dan Dan dalam ruang dan persekitaran yang berbeza. Bentuk ini sahaja sudah menjadikan filem ini sebuah filem ngeri saspens, dengan keadaan penuh syak wasangka dan paranoid. Semuanya dalam babak gelap terang dan jatuhnya hujan, mengimbaukan semangat neo-noir terhadap latar cerita lama. Kebijaksanaan ini disampaikan pula dengan suatu maksud, mesej Chen kepada Gong Li sudah sampai. Babak ini sangat penting kerana dalam babak ini, kita menyedari Gong Li tidak pernah bercakap dengan Chen tetapi Chen berjaya bercakap dengan anaknya Dan Dan (yang kelihatan ingin melaporkan kehadiran ayahnya untuk ditangkap). Percakapan Chen kepada Dan Dan ialah "kebenaran". Di sinilah Zhang Yimou memainkan agenda utama filem ini tentang wayang, yakni garisan kebenaran dengan imaginasi atau "make believe", main wayang. 

Begini, kita akan tahu selepas itu, Chen berjaya ditangkap semula di stesen kereta api (takdir buruk pasangan itu) pagi itu dan Gong Li terhentak, jatuh ke lantai atas jambatan di stesen, hiba. Dan Dan pula cuba menahan Gong Li tetapi tidak berjaya. Oleh sebab Dan Dan anak "seorang penjenayah kepada parti", impiannya untuk bermain teraju utama ditolak. Maklumatnya berkenaan ayahnya yang akan dapat mengembalikannya sebagai peranan utama. Dia menyampaikan maklumat bahawa ayahnya akan bertemu ibunya di stesen kepada polis, dengan harapan dia akan mendapat teraju utama itu. Dengan sindiran, pada hari persembahan balet, Dan Dan bukan sahaja tidak dapat watak teraju utama (yang serba merah sebagai simbol komunis China) tetapi diletakkan sebagai watak penari sampingan paling belakang: sindiran pedas Zhang yang tajam terhadap balasan jasa baik komunisme terhadap anak watannya.  Persembahan berjalan, dan masih, kita sedari, ini bukan "wayang" sebenar, lebih-lebih lagi watak Gong Li tidak hadir menonton.

Filem ini bergerak laju, dengan babak beberapa tahun, ayahnya akhirnya dilepaskan. Ayahnya kembali dan mendapati Dan Dan tidak lagi menari dan Gong Li terkena penyakit cepat lupa (diagnosisnya tidak memberikan maksud sebenar, walaupun dibayangkan akan beberapa hal perkara ini berlaku). Gong Li langsung tidak mengenali suaminya. Pada babak doktor, terdapat dialog penting berkenaan penyakit lupa Gong Li, "yang memerlukan imej atau imaginasi lampau dimainkan semula agar mengembalikan kenangan lalu kepada si pelupa". Maka Chen terpaksa melakukan beberapa "peranan" watak untuk mengambalikan kesedaran ingatan Gong Li terhadapnya. Perlakuan Chen ini secara tidak langsung ialah "main wayang": satu pelakuan membikin filem, suatu tayangan kepada Gong Li yang sudah terlupa.

Memang kerja Chen menyakitkan, malah menganggu emosinya pada satu tahap, menyedari, isterinya tidak akan "sedar" daripada penyakit lupanya. Bahagian-bahagian inilah yang menjadikan filem ini indah. Aku teringat akan filem Cinta, dengan percubaan yang serupa, dan bayangkanlah jika filem Kabir itu dapat diperpanjangkan dengan kemahuan filem ini (tetapi dengan maksud yang berlainan). Pada akhirnya, sekurang-kurangnya, dengan peranan Chen dalam "wayang" Gong Li, Dan Dan dapat dimaafkan oleh Gong Li secara tidak sengaja, secara prasedar, sekali lagi menyampaikan kuasa wayang yang menyampaikan cerita yang mungkin menyampaikan juga "mesej" yang menyelinap kepada penonton secara prasedar. Malah, kerana itu, suatu impian wayang, yang sekurang-kurangnya kita mahukan, yakni Dan Dan untuk menjadi teraju utama persembahan balet itu, telah menari balet teraju utama, siap dengan baju merahnya, di hadapan ibu dan ayahnya! Ibunya teramat menyukainya (meresap estetika pelakuan/aksi/babak filem) tanpa menyedari pun tarian itu tarian "teraju utama". Halusnya kata-kata Zhang Yimou! Lihat! Halusnya!

Maka filem, memang, tidak akan mengubah apa-apa (Gong Li yang pelupa tetap pelupa), filem tidak akan berjaya menyampaikan "kebenaran", dan segala pantulannya terhadap realiti, hanyalah pantulan. Kita menyukainya, menikmatinya, mungkin merenungi maksudnya dan memakan falsafahnya, tetapi kita terus berlalu, menunggu matlamat sebenar kita di balik palang pagar stesen kereta api, menunggu untuk orang yang kita sayangi (Tuhan?) untuk datang menjemput kita. Tapi sampai bila? Begitulah dalamnya Zhang Yimou melihat keberadaan maksud dan naluri wayang dan dunianya, yang tersampai indah, halus, dan permai. Zhang Yimou masih menyengat dengan kasih sayangnya terhadap filem dalam filem terbaharunya ini.

No comments: