13 June 2014

CEO (2014): Semua orang nak jadi bos


"Kira-kira kat UTM lain kot dengan kira-kira di UiTM" - Sufian

"Abang Long kau siapa?" - Sufian

"Ni yang aku malas nak cakap dengan orang tua ni, orang tua yang tak nak dengar. Tapi abang tak dengar, bukan salah abang. Ni salah sistem." - Aloy

Dunia filem kita sekarang menarik apabila orang-orang yang berkaitan dengan Najib Razak (tanpa Najib Razak sedar atau peduli) menerbitkan filem. Satunya sudah tentu Riza Aziz yang membikin The Wolf of Wall Street (2013) dan kini, bekas-bakal (ha ha) setiausaha Najib, Abdul Razak (Baginda) Abdullah yang menerbitkan filem ini. Tujuan mereka membikin filem sudah tentu (bikin bisnes) jujur dan sudah tentu menyuntik untuk menyampaikan sesuatu, walaupun kita hanya ingin menonton karya itu sebagai karya, tanpa meletakkan apa-apa renungan sinikal. Namun, kita tidak dapat terlepas daripada melihat beberapa persembahan fiksyen yang dilakukan oleh Remy Ishak dalam filem ini, mencubit realiti antara persahabatan Najib-Razak-Rosma, tanpa C4.

Skrip filem oleh Nazri M. Anuar mengambil pakai sudut pandangan dua individu pemuda bujang yang mewakili dua golongan Melayu kontemporari, yang elit berstatus tinggi (Remy Ishak sebagai Adam) dan yang "kutu" berstatus menengah-rendah (Beto Kusyairy sebagai Sufian Abas[!]). Katakanlah, dalam suatu perancangan dan "takdir Tuhan", dua individu ini akan bertemu, dan bertukar tempat. Terjadilah suatu komedi sosial dan komedi resam (comedy of manners).

Nazri dan Razaisyam cukup serba-serbi dalam menyampaikan sindiran mereka terhadap keutuhan-kekayaan-kesombongan-kekuasaan-main Tuhan orang kaya yang "memperbodoh-bodohkan" orang miskin dan memperlekeh keupayaan pemikiran orang biasa. Dunia sepenuh "rumah kaca" ini akan dirobohkan secara kecoh, dengan sarung pelekat dan jeans lusuh Beto dan empat kawannya (aku menyedari, Nazri suka sangat dengan kain pelekat). Jalan cerita tentu sahaja akan berubah jiwa Beto tidak menilai baik-buruk dan merenungi moral. Jelas, Nazri dan Razaisyam menyampaikan sikap jujur, idealogikal dan sedikit lurus bendul bahawa dalam tangan anak muda yang bijak, tulus dan bersih, mereka dapat meluruskan benang yang basah, mereka dapat membenarkan kebenaran, mereka dapat menggegar dunia. Sikap positif ini sahaja sudah cukup untuk menarik minat dan semangat anak muda bahawa dalam tangan mereka, mereka boleh berbuat sesuatu untuk "agama, bangsa dan negara". Ya, filem ini sebuah filem youth empowerment yang memikat dari sisi mata urban.

Pergerakan jalan cerita Beto senang dan seronok, dan kita bersyukur, ruang ini dimainkan dengan handal sekali oleh Beto, dengan sengaja wide eyed dan penuh praktikal. Jika lakonan ini jatuh atas seorang pelakon yang tidak bijak dan terlebih badut, akan merencat filem ini ke arah komedi sampah dan jamban. Razaisyam yang mengawal hal ini haruslah dipuji, inilah yang kita cari dalam komedi, seperti yang dilakukan oleh Mamat Khalid dan Bernard Chauly. Beto mempunyai suatu kemahiran yang bukan calang-calang, kerana jika dia bermain dengan serius dan dramatik, nada filem ini akan menjadi bosan. Beto dengan sensitif mengimbangi ruang lawak-drama dengan pragmatis dan perlu. Kita terasa dimensi bijak-hati baik perwatakannya.

Namun aku perlulah memberikan penghormatan terhadap Remy Ishak yang mempunyai ruang cerita yang lebih memerlukan pelbagai aksi dan emosi yang pelbagai dan spontan. Begini, kita bayangkan seorang mamat kaya yang ego dan poyo, yang semua orang tidak suka. Tetapi tika dia merundum jatuh, lalu dia merintih dan memohon belas kasihan, kita bersimpati. Bukan mudah untuk kita menyukai watak ini, dan aku bersimpati dan menyukai apa yang dilalui Remy. Dan dia memakai sut seperti dia memang seorang CEO yang hidup. Ini suatu kejayaan buatnya.

Christine Suzanne sedikit tenggalam di bawah berdiri dua jejaka hebat di atas, dan Nazri dan Razaisyam tidak menggunakan Christine sebagai Nina dengan betul-betul untuk mengembangkan dinamisme watak tiga serangkai dan apa yang boleh diperah lagi. Kita dapatlah juga nampak pada awalnya, mimik Nina yang kurang yakin dengan Sufian tetapi sedikit demi sedikit, menyukai tuan baharunya. Banyak perkara yang Christine perlukan, tetapi setakat ini, dia tetap membantu.

Penggambaran Pete Abdullah membantu bila perlu dan sederhana untuk sesebuah komedi. Mungkin juga Razaisyam tidak benar-benar memerlukan kepakarannya atau Pete sudah terlalu biasa dengan ruang yang statik. Suntingan mungkin mempunyai beberapa masalah, dan ini mecacatkan sedikit filem ini, lebih-lebih lagi dalam kawalan peredaran masa. Terdapat syot yang kita kurang dapat menangkap wajah dan mimik pelakonnya pada masa yang kritis. Terdapat beberapa babak yang sengaja dibiarkan bergerak tanpa suntingan, tanpa campuran syot fokus, yang kalau kita tangkap dalam sebuah filem MiG kita akan tuduh ianya kemalasan. Namun sinematografi Pete jauh lebih baik daripada Karipap-karipap Cinta Hafsham, Kahwin 5 Nizam Zakaria, atau Salon Woo Ming Jin yang tiada daya dan lesu. Hanya dengan gabungan suntingan, filem ini kalah dengan Hantu Kak Limah. Terdapat beberapa persoalan dan kekurangan syot, membuatkan impak dan intrig kurang, contoh seperti syot dan gerakan babak pada babak Beto-Christine cuba mencari ruang menyorok apabila berada dalam sebuah bilik penting. Suspensnya terasa terabai malah mendatar. Kita tidak dapat babak aksi yang memikat dengan kekuatan suntingan, ataupun dengan gaya P. Ramlee biasa yang bersyot statik tetapi wataknya menggelabah habis. Terdapat juga babak "pukul" yang boleh dibuat dengan lebih baik dan tidak terlihat dipentaskan. Terdapat beberapa adegan selang-seli sudut pandangan Beto-Remy yang dipersoalkan dari sisi membina mood komedi. Awal-awalnya kelihatan terkawal dan membina cerita dan perwatakan, kemudian pada babak Remy ke busker dan Beto tiba-tiba bersama empat kawannya di luar bumbung kereta dan kemudian syot kota waktu malam yang pendek, terdapat sikap yang sedikit abrupt, malah canggung.

Razaisyam dan Nazri juga perlu berjaga-jaga dengan cara mengurus babak. Setiap babak selalunya menghulur ke arah suatu persoalan "apa akan berlaku selepas ini" dan maksud tertentu yang akan dijawab pada babak seterusnya. Terdapat babak dalam filem ini, atas kerana struktur besar jalan ceritanya bersilang antara Beto dengan Remy, terasa tidak membawa cerita itu ke hadapan, malah bersikap sketsa. Ruang begini, tanpa disedari akan membuatkan beberapa penonton melihatnya sebagai jalan cerita yang mendatar dan tidak membawa maksud sebab-akibat. Babak klimaks juga lebih menarik jika diberikan kesusahan yang bertambah dan mencabar (spoiler: sesenang itu peti dibuka?). Beberapa pelakon baharu pula menyebabkan beberapa aksi dalam babak canggung. Nasib baik, Jalaluddin Hassan, Aloy Paradoks, Anas Ridzuan, Azman Hassan dan terutamanya Deanna Yusof (Deanna!!!!!!!) berganding dengan memberi suatu keseronokan sampingan terhadap Beto dan Remy. Oh ya, filem ini ada Deanna Yusof. Selalunya, apa-apa filem yang ada Deanna Yusof memang gempak, dan filem ini memang gempak sebab Deanna Yusof. Dan Deanna di"pergunakan" dalam filem ini dengan menyerlah sekali.

Suara dan efek suara cukup dan terkawal, dan dengan susah kerana Razaisyam kelihatan merakam suara pelakonnya secara langsung (hal ini dipuji). Paling baik ialah busanya yang walaupun kelihatan biasa sahaja, sebenarnya memberikan cerita (rujuk cara dandanan rambut Christine Suzanne) dan maksud dan menyampaikan nilai yang tertentu. Dan Razaisyam berjaya menyelitkan kain pelekat di tengah-tengah semua ini. Pengarahan seninya juga dipuji, dengan lokasi tempat yang cukup kena dan sesuai dengan tempo dan bulat cerita, memberi gambaran moden, urban dan korporat lwn. rumah bujang, flat kos rendah, dan miskin yang sepatutnya, dengan penggunaan ruang dan cahaya yang kena dan terpancar sempurna.

Runut bunyinya biasa. Kita lebih terseronok mendengar lagu rock indie yang berkumandang. Malah ada runut bunyi (detik saspens mendekati akhir cerita) yang aku tahu runut bunyinya diciplak daripada sebuah filem seram Hollywood. Aku tonton lagi sekali untuk ambil kepastian.

Namun begitu, untuk sebuah filem sulung Razaisyam, ianya jauh meninggalkan filem sulung perdana Woo Ming Jin, Nizam Zakaria dan beberapa pencuba komedi dalam MiG dan Grand Brilliance. Terdapat keselambaan, keterus-terang sempoi falsafah Nazri yang biasa (mencuit tapi dalam maknanya) yang amat memikat. Nazri, kali ini menyerlah, dengan kalkulatif Razaisyam, menyelit suatu hiburan yang mudah tapi menyentuh (ini yang susah tetapi berjaya dilakukan) dalam merojakkan mimpi/eskapis mata anak muda miskin merasa kekayaan dan menjerumuskan mata orang kaya terhadap kebiasaan dan kedamaian golongan pasif-konformis menengah rendah. Nazri juga menyuntik isu semasa dan ruang alam urban Melayu yang tentu akan menjadi bait-bait yang dikunyah dan ditelan kesedaran zaman. Dibantu dengan kesempoian pelakonnya menyampaikan dialognya. Terdapat terlalu banyak das-das kata sedap yang disampaikan, yang aku sedari, seperti komedi P. Ramlee dan Hafsham, akan diingati dan disiulkan pada zaman-zaman hadapan. Terdapat juga jiwa kuning Nazri yang menyerlah pandai, seperti beberapa rujukan homoerotis dan nasi lemak (yang aku rasa aku seorang sahaja yang ketawa, orang kita ni bersih rupanya) yang mencuit dan sesuai sebagai hidangan seks dalam komedi. Menghiburkan, mencuit, menyentuh perasaan, mudah dikunyah, bijak, dan seronok sampai ke habis! Dan lagi sekali, Deanna Yusof hot dalam filem ni, ghaaurrrrrrrrrrrrrrrr....!

Antara filem seronok senang (feel good) Malaysia tahun ini yang amat berbaloi untuk ditonton. 

Klasifikasi: P-13, beberapa dialog "cadangan" seks dan kasar yang mungkin tidak sesuai ditonton oleh kanak-kanak. 
MENONTON DI GSC Time Square.  

2 comments:

tu said...

review ni membantu sy memilih filem melayu yg bagus utk ditonton. filem CEO ni memang rasa seronok. cume cam kurang sambutan je

Soren Mohd Noor said...

Ini review saya tentang filem CEO & Suatu Malam Kubur Berasap 2. :)

http://goo.gl/sGMpCp