27 August 2012

SAM(2012): Syafiq Yusof Nama Yang Perlu Diingati

Ah, lepas sudah Ramadan dan kini Syawal, aku masih dalam mood raya aku dan kerja dah mula mengganggu. Bercakap fasal raya, macam biasa, banyaklah tayangan raya di TV dan filem tersiar, dan banyak yang crap tapi banyak juga yang mengejutkan. Aku menunggu untuk sebuah telefilem (yang aku harap bagus), Nenek Bongkok Tiga yang akan tersiar di Astro Ria nanti. Kawan aku berlakon dalamnya, haha.

Sebelum aku ulas filem ni, aku teringat telefilem Cerekarama TV3 (serius Cerekarama sekarang dah mula membosankan, kalau mau tonton kisah-kisah segar, rujuk RTM 1/2, ada beberapa telefilemnya yang menarik malah segar) Sabtu hari tu, Di Bawah Langit Mu tak silap aku (arahan Raja Alauddin), ada Nora Danish (yang cun melecun tu). Kisahnya klise dan moralis (at its best) menghala ke melodrama dan tipikal Tragedi Melayu (yeap ada genre Tragedi Melayu eh: rebut tanah, hutang, suami celaka, isteri sundal, anak haram). Dan sememangnya telefilem itu ditulis oleh seorang perempuan (hah, tekaan aku betul bila baca kredit akhir, Azlina Pakwan something) kerana dalam filem ini, dipaparkan, bagaimana seorang wanita yang terkondisi dalam dunia patriaki-Islam-Melayu menyalurkan sikap "feminis Melayu"nya dengan begitu beradab sekali, yakni: dengan bersabar dengan penuh tawaduk dan baik walaupun dihentak suami, dipukul bagai nak rak walaupun mengandung, sehingga akhirnya baru menyedari masa tiba untuk dia mengambil jalan cerai fasakh melepaskan perkahwinannya. Kejutan berlaku di akhir filem dengan satu ayunan klimaks yang "Oh mak kau!" apabila sewaktu si suami tak gunanya hendak membunuh ayahnya (kelas kau kisah anak pukul ayah mertua dalam rumah), Nora Danish si wanita Melayu Terakhir pun mengeluarkan senapang gajah(!) [ingat tak unsur wanita berpelir yang aku pernah nyatakan dulu?] lantas menembak suaminya there and there lantas selesailah kisah! Memang, akhirnya itu ridiculous dan mengejutkan (dari mana minah ni belajar menembak, dengan sekali das! Peserta Olimpik kita pun kalah, kemudian kat mana tiba-tiba senapang gajah tu wujud?) tetapi turut mencuitkan dan hanya "akan berlaku dalam drama Melayu", kerana ini adalah "suara perempuan", merujuk balik semangat P. Ramlee "kan lebih baik aku tembak kau dengan senapang gajah?" (rujuk Seniman Bujang Lapok). Inilah suara "akhir" sang wanita Melayu jika suaminya "kurang ajaq", disampaikan secara "fantastikal" dan "literal" terhadap ungkapan filem P. Ramlee (lihat  betapa tingginya intelek P. Ramlee, he mean it wittingly in dialogue, not meaning to make it literally on screen!) Tetapi itulah dia, fantasi sang wanita terpedaya dan teraniaya satu Nusantara malam itu "terisi" jua dengan picu Nora Danish kepada suaminya.

Begitulah sang wanita mencapai "klimaks" dalam filem ya anak-anak.

Ulasan filem SAM (ok ada spoiler!)

Aku amat terkejut dengan budak sekor ni, anak Yusof Haslam. Syafiq Yusof. Woooh.

Dan peliknya, filem baik ini ditayang waktu raya. Bagi aku, sebelum Fantasia, filem ini adalah antara filem terpelik yang pernah ditayangkan waktu raya. Filem ini, buat aku amat sesuai (sepertimana filem baik Indonesia, The Raid dan David Lynch Eraserhead) dimasukkan dalam slot festival filem "Midnight Matinee" yang menayangkan filem-filem gelap yang menarik (tidak semestinya seram sahaja). Filem ini adalah contoh sesebuah yang boleh diangkat.

Aku terpaksa mengangkat topi aku buat Syafiq Yusof. Bahasa filemnya, Ya Tuhan, jauh melangkau ayahnya, juga abangnya!

Filem ini mungkin kelihatan seperti filpen yang dipanjangkan (filem ini turut memasukkan babak-babak MTV untuk memanjangkan durasi filem, dan ini berkenaan pemaparan perhubungan kasih Shaheizy Sam dengan Lisa Surihani), serta ada beberapa dialog tipikal Yusof Haslam (kebanyakannya pada babak di pejabat), dengan watak satu dimensi (khusus Neeloofa yang aku rasa disengajakan, malah ada satu babak sisipan "lawak" komentar tipikal filem Tamil yang sekurang-kurangnya penting untuk plot) serta hal-hal yang buat penonton menjuling (kenapa dalam satu babak Sam yang sedar dia dipukul tak cari senjata untuk melindunginya sebagai contoh dan menambahkan elemen suspens dan kepuasan), tetapi semua ini dimaafkan kerana susunan dan cara Syafiq bercerita, amat meyakinkan.

Aku menganggap filem ini sebuah sinema/wayang "style over substance" (sepertimana The Raid) dan tidak terlalu kritikal terhadap plot dan jalan ceritanya (walaupun jalan ceritanya sebenarnya terjaga dan bagus sebagai sebuah genre ngeri campuran psikopatik). Aku menganggap, ini merupakan filem sulung Syafiq, seakan sebuah santapan awal (appetizer) terhadap what's more to come daripada anak muda ini. Maka tirainya satu tirai "mainan" untuk santapan penonton, dan sememangnya pun. Jika dirujuk betul-betul, dengan sengaja, Syafiq menamakan judul filem ini dengan nama teraju utamanya, Shaheizy Sam, yakni SAM, yang juga nama watak filem ini. [Aku menganggap akronim SAM sebagai Saya Amat Mencintaimu sebagai satu sikap strategi komersial menarik penonton tipikal Melayu] Begitu juga watak Lisa lakonan Lisa Surihani sebagai kekasih Sam. Kaitkan penggunaan nama watak dengan nama sebenar pelakon dengan konsep Sembilu Yusof Haslam yang turut memperaga nama Awie dan Erra (serta Ziana?). Ah, sesuatu yang menarik!

Kita diperkenalkan dengan watak Sam (Shaheizy Sam) yang mencuitkan dan baik (innocent), dengan monolog ala filem-filem awal Martin Scorcese. Ini menarik kerana dialognya bukan sahaja menarik (dalam memperkenalkan watak "Sam" kepada khalayak) tetapi merujuk kepada Shaheizy yang amat dikenali dengan voice over menarik dan lawak memperkenalkan dirinya dalam Adnan Semp-It. Babak-babak awal ini pula dibuat dengan gaya romantis-komedi, dengan penggunaan unsur Hindustan (rujuk babak rambut mengerbang Lisa ditiup angin). Semuanya ditingkatkan eskpresionis gaya Hindustan (rujuk: ekspresionis dan bukan main-main masukkan secara suka-suka). Semua ini dilakukan dengan "parodi"! Ya, Syafiq sebenarnya sedang "memparodikan" (atau "mengekspresioniskan") hasil kerja ayahnya, ataupun secara prasedar, mengekspresioniskan separuh dekad filem yang mewakili "filem Melayu"! (hal yang sangat pascamoden!) 

Ah, mengapa parodi kita akan tanya? Kerana sebenarnya, filem ini yang kelihatan "ringan" akan menjerumuskan dirinya kepada sesuatu yang akan mencabar dan mengejutkan penonton, malah bagi aku, sungguh gelap dan mengejutkan ia boleh dibikin oleh seorang anak muda berusia 18 tahun! Inilah "rahsia" atau tirai sebenar yang ingin Syafiq bukakan terhadap "penonton", ini "wayang baharu" yang ingin Syafiq sampaikan. Dalam satu babak, kita akan dipaparkan dengan satu babak "anak membunuh ayah". Lantas kitaran wayang ini menjadi sempurna (yang dipaparkan dan diparodikan, dimatikan). Bukan sahaja hidangan "ayah" (filem Melayu lama, diwakili 90-an hingga 2000) dipaparkan, tetapi "dimatikan" lantas bermulalah "destini" si anak (rujuk filem Magika yang melakukan konsep generasi muda membunuh generasi lama yang sama) yang disampaikan dengan gelap (sisi sejarah psikopatik Sam). Ya, 30 minit awal filem ini hanyalah "hidangan awal". Malah terjumpa beberapa unsur tipikal "abang"nya (dengan wit, meletakkan sendiri abangnya dalam filem itu!), dengan unsur malam, kereta dan pukul-memukul. Menariknya, cara Syafiq mengakhirkan filem ini. Dalam klimaks filem ini, si anak turut terbunuh, dengan ironi sepertimana dia membunuh ayahnya (tetap di jantung). Syafiq menyampaikan nawaitunya (bukan sahaja untuk menjawab persoalan garisan didaktik dan pembalasan keadilan filem ini), si anak "mengikuti jejak" si ayah dengan kegemilangan flashback babak mimpi "perkahwinan" (yang kita temui di awal filem!). Ya, dengan kematian si anak, dengan segala rasa pilu-puas-seronok-suka-tragis, "ayah dan anak" disatukan. Syafiq menyatakan, dia membawa suatu semangat baharu tetapi dia tidak pernah menolak komersial filem-filem Melayu lama (yang diwakili filem ayahnya). Dengan lama dan baru (yang harus diakhirkan, ini filem, dan setiap filem berakhir) akan membawa kegemilangan wayang (babak perkahwinan- yakni kemahuan fantasi pengarah yang bersatu dengan penonton!), fantasi bertemu dengan realiti (kematian sang kekasih sebelah-menyebelah), inilah harapan, wawasan dan sikap Syafiq.    

Suatu lagi klu yang diberi oleh Syafiq adalah penggunaan runut bunyi lagu klasik (yang dimainkan dan digemari Sam). Setiap gerak-geri Sam, khusus awal disampaikan dengan ekspresionis lagu yang menyampaikan kesempurnaan imejan Sam (hidupnya tampak sempurna). Pada satu babak (dalam kereta) tiba-tiba CD lagu klasik Sam rosak (penanda suatu perkara buruk akan berlaku). Pada akhir filem, sewaktu tragedi berlaku (pembunuhan) disertai imejan fantasi perkahwinan ("impian", kata Sam), kresendo lagu klasik itu meninggi, disampaikan dengan runut bunyi berkesan Anuar Zain (yang berbentuk okestra), maka tragedi pilu yang kita lihat pada akhir filem dijukstaposisikan dengan imejan fantasi perkahwinan "bercantum". Tragedi itu menjadi "sempurna". Secara "ironi" memang "dua kekasih disatukan dalam hidup dan mati, realiti dan fantasi", menyakitkan dan menyenangkan sekali gus. Inilah Sam. Inilah sinema Syafiq Yusof. 

Ya, inilah contoh sebuah filem ekspresionis, dan Syafiq dapat melakukannya!

Mungkin plot gelap filem ini (sewaktu Lisa dan Sam dicolek dan ditempatkan dalam kilang terpakai) akan dikaitkan dengan Saw. Hal ini tidak sepatutnya kerana Syafiq memberi lebih daripada tipikal "permainan ngeri". Aku juga terkejut bagaimana telitinya Syafiq mengendalikan kisah psikopatik dalam filem ini, yang bagi aku melangkaui Kanta Serigala, malah antara filem psikopath Malaysia yang terkuat setakat ini, dan menarik juga berkait rapat dengan filem psikopath klasik bisu terawal The Cabinet of Dr. Caligari(1920) yang juga sangat ekspresionis.

Ya, adalah beberapa masalah kesinambungan, dan efek suara (jam berdering pada awal filem) yang tidak berapa meyakinkan, tetapi hal-hal ini kecil. Aku juga suka dengan syot-syot filem ini, baik statik dan hand held, khusus pada babak kilang (ada sebuah babak menggunakan gaya The Matrix dengan baik sekali). Malah syot-syot di kilang turut menggunakan cahaya kuning, biru yang subtle, mengingatkan aku terhadap Suspiria dan Inferno Dario Argento, juga pakar ekspresionis/formalis dalam bikinan filemnya. Tetapi aku tak berapa setuju Syafiq terpaksa mengadun runut bunyi filem ini dengan saduran lagu okestra filem-filem Barat, hal ini sekurang-kurangnya menolak filem ini dapat ditayangkan dalam festival filem antarabangsa.

Apa-apa pun, aku tabik spring dekat Syafiq, terima kasih kerana memberi aku harapan dan melodi menaik dalam wayang baharu kita, dan sememangnya seorang pengarah yang akan ditunggu-tunggu selepas ini.

Klasifikasi: PG 13, aku tak berapa setuju dengan klasifikasi ini kerana filem ini sesuai 18, kalau tak pun 15 kerana adegan kejam filem ini agak ganas (dan menjadi) serta seram, dengan unsur misgonis yang tinggi, amat memerlukan kawalan dan bimbingan orang tua pada babak-babak tertentu.

4 comments:

the awesome four said...

tak sangka.

Ajami Hashim said...

rajin kau tulis panjang-panjang kan? haha! best! :)

Anonymous said...

betullah ckp fadz, terbaik!

Anonymous said...

Filem alternatif malaysia yg terbaik di awal abad 21..lari terus drpd abg dan bapaknya..