22 December 2011

Satu Kemajuan: Tiada Tapisan Filem Mulai 2012


PUTRAJAYA 21 Dis. - Berkuatkuasa tahun hadapan, Lembaga Penapis Filem (LPF) tidak lagi menapis sesebuah filem sebelum ditayangkan, sebaliknya peranan tersebut akan diserahkan kepada pengarah dan penerbit filem itu sendiri.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Mahmood Adam berkata, langkah terbaru itu diambil selepas mengambil kira pandangan daripada semua pihak yang menjayakan industri perfileman negara.

Bagaimanapun katanya, jika terdapat masalah berbangkit mengenai sesebuah filem yang ditayangkan, maka penerbit dan pengarah filem berkenaan perlu bertanggungjawab.

"Dengan kelulusan cadangan tersebut, saya harap semua pihak mengambil iktibar dan tidak mengunakan kelonggaran tersebut sebagai batu loncatan untuk memasukkan adegan-adegan yang melampau dalam sesebuah filem demi untuk mengaut keuntungan semata-mata.

"Suka saya tegaskan, mereka perlu bertanggungjawab dengan segala masalah yang timbul ekoran penerbitan filem mereka. Oleh itu mereka sendiri perlu menilai cita rasa penonton di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Hala Tuju Kawalan dan Penapisan Filem di Malaysia anjuran Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan Kementerian Dalam Negeri di sini, hari ini.

Terdahulu Mahmood turut menyampaikan Anugerah Penggiat Filem kepada Penerbit Skop Production, Datuk Yusof Haslam, Penerbit Metrowealth (MIG), David Teo dan seorang penggiat filem dan penulis, Dr. Asiah Sarji

Menurut Mahmood, kementerian juga akan memainkan peranan untuk memberikan penerangan kepada penonton terhadap sesebuah filem mengikut genre masing-masing.

"Antara langkah yang akan diambil kementerian ialah meletakkan keterangan mengenai sesebuah filem di skrin pawagam sebelum ia ditayangkan.

"Langkah ini juga diambil demi memenuhi kehendak rakyat yang mahukan kebebasan dalam industri perfileman, tetapi rakyat jangan lupa jika ada filem barat yang ditayangkan mengandungi unsur-unsur bertentangan dengan akidah atau agama mereka perlu menilai sendiri untuk menonton atau tidak," katanya.

Sementara itu katanya, mana-mana filem yang telah menjalani proses penapisan LPF sebelum ini boleh memohon semula untuk mendapatkan kelulusan bagi ditayangkan tanpa sebarang tapisan.

"Ini bagi memastikan keadilan kepada semua pihak termasuk penerbit filem terdahulu yang terpaksa menjalani proses tapisan filem ketat sebelum ia dibenarkan untuk tayangan," katanya.

Dalam pada itu katanya, jika terdapat masalah berbangkit mengenai sesebuah filem luar negara yang dibawa untuk ditayangkan di negara ini, kementerian akan memanggil syarikat yang bertanggungjawab membawa masuk filem terbabit untuk mendapat penjelasan.

nota fadz: semacam ada suatu nafas baharu yang dibawa oleh Kementerian Dalam Negeri dan LPF berhubung dengan persoalan penapisan ini yang sudah lama diperjuangkan oleh anak industri kita sejak kita melebar tayangan pasca Merdeka. Aku masih boleh ingat bagaimana Zain Mahmood yang menulis dan menerbitkan filem Fantasi patah hati dan meninggal dunia kerana sangat kecewa dengan "pengharaman" filem fantasi yang julung-julung kali dibikin pada 90-an. Zaman itu adalah zaman Tun Mahathir membenci segala "khurafat" yang dikatakan wujud dalam filem-filem sebegitu (atas itu aku menulis rencana penting ini). Malah pemikir fundementalis juga turut memperakuinya. Aku masih boleh ingat waktu itu, di belakang kereta seorang pelakon wanita 90-an, membaca risalah LPF apa yang boleh dan tidak dibolehkan. Zaman itu merupakan zaman di mana hantu keluar kubur, filem seram serius, dan pelbagai lagi "kerosakan" tidak boleh ditayangkan. Tetapi bayangkanlah, zaman itu juga sekumpulan mak nyah telah membuat nama (rujuk Mat Gelap dan filem-filem Os), lesbian berleluasa dan U-Wei menyampaikan imej seks Melayu tanpa perlu imej-imej berahi.

Yang paling aku bersyukur adalah maksud aku untuk memasukkan keterangan, seperti yang dimaklumkan dalam rencana di atas termakbul. Kali ini, LPF akan memberi keterangan hal-hal yang tidak munasabah dan dikira melampau (jangan fikir tentang diri kita sahaja, memang wujud masyarakat yang konservatif, sepertimana di Amerika Utara pun) yang aku rasakan lebih rasional dan matang bagi penonton "berfikir sendiri" untuk membuat pilihan menonton (ini termasuk filem dari luar). Kini, sesebuah filem itu boleh "dirasai" sesempurna, sepertimana yang diingini oleh pembikin. Dengan meletakkan tanggungjawab itu terhadap pembikin tempatan kita merupakan hujah terbaik bagi pembikin sekarang "berdebar" dengan reaksi para penonton dan apa yang mereka mahukan. Kini, kebebasan ekspresi yang terkawal dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Dengan hal ini juga, aku berharap bahawa pembikin filem kita tidak pula meniti jalan industri filem Indonesia kini yang mencampur adukkan genre seram dan seks untuk menjual filem, filem-filem jamban yang tidak bermutu hanya kerana menjual "sensasi", tetapi memberi sejujur-jujur filem dengan isu-isu sesuai dengan estetika filem. Imran Hassan telah melakukannya. Aku harap biar dia sahaja (lihat semua filem yang ditulisnya semuanya flop, ini satu petanda kita tidak perlu filem yang diperjuangkannya) yang menulis 2Alam, Abuya dan Datin Ghairah.

Aku merasakan, sekurang-kurangnya kini kita sama taraf dengan Singapura, malah lebih baik daripada Thailand (di sana, filem masih ditapis seperti yang dikenakan terhadap filem-filem Apichatpong Weerasethakul). Pergerakan ini baru bermula dan aku harap sangat, pembikin filem kita tidak mengf***ed up nya.

5 comments:

PerangFilem said...

good news..

Anonymous said...

Satu tindakan yang tidak pernah aku sangka akan dibuat. Masih berita yang baik.

Anonymous said...

Disambut baik. Harap2 skrip aku tentang orang kampung yang suka makan orang ada yang sudi beli

-Saat Omar

Mensh said...

Adakah ini bermakna filem Dukun akan lepas utk disiarkan di panggung?

syakira said...

yeahhh filem dukun.... ini mmg berita baik :)