02 September 2011

Karipap-Karipap Cinta(2011): Sinema 1Malaysia Katanya


"Lelaki tu jauh lebih hensem dari awak"
Kata Bapa Aisyah kepada Ali

Wah, selamat HARI RAYA dan HARI MERDEKA!

Hepi hepi hepi, tapi aku juga agak gelabah sebab, bukan fasal buku teks sahaja yang haram zadah itu harus aku tangani, tetapi, alhamdulillah, dalam masa-masa terdekat ni, aku akan mendapat seorang cahaya mata, awww.. anak syawal lah nampaknya (aku anak ramadhan, bolehla geng, hehehehe)..

Ok, now, serius sikit.. (maaf, aku masih mood raya aku), baru-baru ni, aku dapat lepak ngan Vovin yang teramatlah sebuk zaman sekarang (almaklum dah artis sekarang) di Ipoh JJ Kinta, dia belanja tengok felem skripnya sih! huhu! Tapi fasal abang aku juga sebok nak datang umah bini aku, jadi aku terpaksalah balik awal sikit..

Aku tahu, waktu aku keluar tu, Vovin mesti dah cuak, almaklum, kawan baik AKA pengkritik mulut baik keluar panggung mungkin mengingatkan dia macam mana aku keluar dan blah cam tu aje bila tonton Duhai Si Pari-Pari yang mendukacitakan itu. Mesti dia trauma punya.

Sebenarnya diikutkan, memang aku nak tonton sampai habis. Malah hari ni, aku dah bercadang pun nak tonton lepas kerja. Itu menunjukkan, filem ni "ada cerita", dan berbaloi jugalah untuk aku tunggu sampai habis, bukan sebab Vovin yang tulis, tetapi sebab ia ada cerita.

Tetapi...

Aku mulakan dengan yang muluk-muluk dulu. Dah lama kita tak tonton si Hafsham ni. Serius, antara tiga filem Melayu yang keluar, aku terus pilih filem yang ini bukan kerana Vovin, tetapi nama "Hafsham" tu, yang walaupun pengarahannya setakat tahap drama TV kualiti panggungnya (tengoklah kembali bagaimana outdatednya Driving School, Ujang dan Mekanik), tetapi pada zamannya, beliau membawa suatu kesegaran pada lewah dan lemah genre komedi Malaysia, khusus pasca P. Ramlee.

Dengan menangani filem ini pun, sekali lagi dengan sofistikasi Hafsham, kita sedar beliau benar-benar ingin melarikan diri daripada terikat dengan lawak kebiasaan Senario atau Prof. Razak (baca: slapstik). Ini satu pujian. Malah sekali lagi beliau mengembalikan semangat multinasional (aku benci nak guna slogan 1Malaysia bagak tu sebab it's overuse dan aku asyik teringat Rosma di tengah-tengahnya, pening.. multinasional lebih sesuai sebab zaman 80-an memang itulah istilah yang digunakan untuk mengaitkan Mekanik dengan Hafsham, selain "filem Malaysia") yang kita tunggu-tunggu itu (as if!)

Hal "panggung Melayu" dan Panggung Malaysia ini dijalin dengan beberapa babak yang menarik dalam filem ini (selain meletakkan token Cina Malaysia Patrick Yeoh dan beberapa token India tanpa Accapan), khusus dalam dialog antara Yoga(?) dan Ali dalam satu babak perbualan yang panjang. Perbualan itu berkenaan "ketidaksesuaian Ali" untuk menyunting Sara (lakonan Melia Amelia).. Dalam dialog itu, kita dengar bagaimana Ali dan Yoga "memperlekeh" atau sebenarnya "menberi homaj" terhadap "kelaziman filem Melayu" atau "drama Melayu". Ini menarik bila dua watak ini adalah berlainan etnik (Melayu dan India), memperkatakan tentang "outdatednya drama Melayu". Menarik lagi, apabila si perlekeh (Ali, lakonan Gambit Saifullah) itu banyak mengalami situasi yang "kebetulan" yang mana secara "kebetulannya" pula, merupakan kelaziman drama-drama Melayu(!) Malah, Ali sendiri dalam monolog "mengakui"nya bila tiba-tiba "terserempak" dengan Sara yang sedang mengajar sekumpulan budak bersilat di tepi taman tasik. "Kebetulan" sekali lagi berlaku apabila "pesaing" Ali, seorang Ustaz dari Jordan menemui keluarga Sara serta Ali pada pasca majlis tertutup perasmian komik kelolaan Sara. "Ikatan" ini sah menunjukkan "bagaimana kau hendak lari, kau tak boleh lari daripada mendefinisikan filem Melayu dalam filem Malaysia atau filem baru". Ini mungkin pandangan cuit Hafsham terhadap filem-filemnya dan mengapa ia "terletak" sebegitu.

Satu lagi yang amat mencuitkan adalah babak "dalaman" berkaitan Majalah "Hantu" dan kaitannya dengan dunia politik kotor Dato' Razali (lakonan baik Eman Manan) dan Dato' Zidan. Kita menyedari, syarikat majalah Dato' Razali yang mengeluarkan majalah politik dan hantu "kini" mengeluarkan majalah paling laris mereka dan memerlukan tenaga kerja yang lebih (mengikut permintaan massa). Ini mengingatkan aku dengan Utusan dan kehadiran majalah Mastika yang penuh hantu! Menariknya, "hantu" di sini adalah "permintaan". Dalam satu babak, Ali dan Yoga pergi ke sebuah rumah usang yang kosong, Ali yang bekerja sebagai jurugambar Dato' Razali, memohon Yoga seakan melakonkan di mana "dia nampak hantu" (tipikal dalam majalah Variasari dan Mastika). Dalam satu babak, Yoga menunding ke arah penonton! Ya, kitalah "kulprit" terhadap kebijaksanaan dan kebodohan kita sendiri, seni atau hiburan, tahyul atau serius, kita yang menentukan. Inilah kritikan paling pedas Hafsham terhadap "permintaan" penonton kita. Tahniah!

Pemilihan pelakon. OK, yang ini aku ada masalah sedikit. Aku tidak menafikan, bahawa kalau dibandingkan zaman awal Eizlan Yusof dan Fasha Sandha, dengan Gambit dan Melia, sekurang-kurangnya, Gambit dan Melia BOLEH BERLAKON. Mereka tak kayu. Tetapi, mereka amat-amat miscast sebagai Ali dan Sara. Khusus kepada pembaca novel Vovin ini, tentu mereka rasa agak dukacita kerana perwatakan yang mereka kenal dan faham dalam novel itu tidak berjaya dilantunkan dengan baik oleh Gambit dan Melia.

Gambit kelihatan terlalu "urban". Dia bolehlah dalam beberapa babak, tetapi dalam beberapa babak, khusus dalam cara dia bercakap, ia terlalu "membarat"kan suatu pemahaman yang kita boleh "baca" daripadanya. Nada suaranya juga agak pelik (walaupun ini menarik, sebagai kita memahami bahawa dia LOSER walaupun kacak). Paling kacau adalah monolognya yang terlalu "membaca". Aku rasa hal ini aku salahkan Hafsham kerana mungkin Hafsham inginkan "suara melodi" sebegitu dalam monolog hambar Ali (yang sebenarnya amat mencuit jika diletak susun dengan betul berserta imej yang betul dan gerakan aksi yang betul).

Melia. Ya Allah. Dia ada gedik-gedik dia, yang kalau kita bandingkan dengan kulit buku Vovin, kita takkan dapat rasa "semangat" lembut tetapi tegas Sara, walaupun Melia sudah mencuba. Ya, ada banyak hal tentang Melia yang "salah", perwatakannya yang "gatal-gatal", terlalu nampak manja-manja dan, erm, ok, aku tak berapa feel tengok dia (sori Melia). Ini juga ada salahnya dalam Hafsham (atau Vovin si penulis skrip). Sewaktu kita membaca novel sangat laris ni, kita dapat merasai "misterius" Sara, yang mana, kita tidak TAHU apakah Sara tu syok kat Ali, sampailah dalam satu babak Sara dengan marah menemui Ali. Inilah kebijakan novel tersebut. Dalam filem ini, hal misteri cinta ini "mati" apabila awal-awal lagi, dengan cara Melia makan karipap "dengan gatal" sambil melihat Ali (ya, kita faham semangat seksnya di sini, seperti mana babak keropok lekor Ali tersebut) dan sebuah babak "Facebook chat" yang aku rasa tidak perlu: MELIHATKAN reaksi suara dan wajah Melia terhadap tulisan chat Gambit! Serius ini satu "tolak markah"lah buat aku. Apabila awal-awal kita dipertunjukkan akan "keberahian" Melia terhadap Gambit, segala kerakusan voyeur ala-ala nafsu dalam seluar dalam kita terhadap "apa akan berlaku" antara Ali dan Melia "hilang". Semua pemaknaan, seperti "lampu gelap" rumah ayah Sara (yang boleh kita ikatkan sebagai simbolisme "malam pertama") semua hilang ke longkang kerana ketidakpandaian Hafsham dan penyunting memberi syot-syot dan pemahaman imej yang lebih menarik untuk "mendindingkan Jericho Wall" Ali dan Sara.

Ya, membaca novel Vovin ini, hal yang paling-paling penting ialah bagaimana ia memaparkan ketidaktentuan, seorang anak pemuda yang bernafsu dan berlibido kuat, menyunting sesuatu yang "suci" dan "misterius". Cara Ali untuk "menyingkap" suci dan misteri inilah yang menarik. Inilah yang aku lihat samar dalam filem Hafsham. Apabila Hafsham awal-awal lagi telah "mendedahkan" Sara/Melia dengan gaya tudung ala Siti Nurhaliza, ini lagi "menelanjangkan" kemisteriusan dan kesucian "dara" Sara. Hal ini diburukkan lagi dengan dipaparkan cara Sara/Melia tanpa tudung, di depan komputer, menyimpuh menulis "pertama kali" dengan Ali/Gambit. Misteri dan kesuciannya "habis lenyap" pada detik itu (sebab kita dah tahu Sara memang minat dengan Ali). Dan dengan ini, kemisteriusan kesucian Sara itu TIDAK dapat dikaitkan dengan kemisteriusan urus kerja ayah Sara dengan Dato' Zidan (dan inilah yang paling mendukacitakan aku).

Satu hal lagi, dalam menangani skrip Vovin, Hafsham perlulah berkreatif. Memang, Vovin juga ada kesalahannya apabila kita melihat ada saja babak dalam skripnya yang terlalu panjang (kerana terlalu mengikut bukunya), contohnya perbualan Ali dan Yoga. Sebenarnya Vovin atau Hafsham boleh memaparkan, sepertimana Bernard Chauly paparkan, beberapa imej statik yang "menerangkan" dialog panjang-panjang tersebut (seperti apakah dosa-dosa lampau Ali, daripada menerangkannya dalam satu dialog yang panjang), juga beberapa imej "dalam kepala" Ali yang tampak lebih sesuai daripada monolog yang panjang.

Cara syot filem ini juga tidak meyakinkan, juga cara suntingannya. Ambil contoh satu babak di mana Ali diminta oleh Sara untuk belanja anak murid silatnya. Atas nama "syot senang", dalam satu syot sahaja, Ali kelihatan bengang sebab terpaksa membelanja anak murid silat Sara sedang anak murid itu berjalan melaluinya. Bukankah lebih baik, dipaparkan dengan syot jauh, Ali yang menggaru kepala sambil anak murid di belakangnya seronok gembira dan si Sara maju terus ke depan mengetuai barisan? (memaparkan bagaimana absurdnya persahabatan dan seterusnya "ikatan" jika Ali bersama Sara)

Begitu juga dengan satu lagi babak senang iaitu Dato' Razali dan pemandunya di lorong gelap ketawa (setelah mendapat bahan untuk menjatuhkan Dato' Zidan). Babak ketawa melewah tanpa ada "penutup", contohnya, satu syot menunjukkan roda kereta Dato' Razali memusing laju. Inilah hal-hal imej yang kelihatan janggal. Contoh lagi, bagaimana babak huru-hara Ali yang lari tiba-tiba dalam majlis tahlil, yang tidak diberi "penutup" keterangan kononnya dia "mengejar pencuri".

Aku dapat rasakan, ya, agak menyedihkan, bahawa pengarahan Hafsham kali ini hambar. Skrip Vovin sebenarnya satu skrip yang menunggu untuk "dimurni"kan dengan pelbagai imej dan kreativiti yang menarik (jika pengarah itu rajin untuk mencedok dan mencuba). Contohnya, dalam babak si "penyair sufi" Sani Sudin tiba-tiba menyanyikan lagu falsafahnya, boleh saja tiba-tiba babak Glee berlaku dengan pelbagai warna dan tarian, sepertimana dibuat dengan baik sekali oleh Mamat Khalid dalam Hantu Kak Limahnya.

Dan satu lagi, mungkin kerana sebok mengejar multinasional tersebut, aku masih merasakan "buddy" antara Ali dan Yoga "janggal", yang kalau aku ingat dalam novel, kawan serumah Ali seusia dan sekaum. Lakonan si budak Yoga tu juga janggal, walaupun percubaannya baik.

Babak si Aisyah di balik pintu bercakap "Saya cinta abang Ali" amat-amat JANGGAL. Kalau dia tutup mulut, dengan mata yang mengeliur.. sudah cukup.. Inikan sinema?

Apa-apapun, aku tetap akan pegi tengok filem ni sekali lagi. Mungkin, lagi sekali, jumpa lagi benda-benda yang menarik, kan?

9 comments:

Hans Hanis said...

wah
panjang tapi habis aku baca
aku rasa aku sangat sokong bab pelakon utama wanita dan lelaki yang bro tulis nih walaupun tak berkesempatan tengok lagi

Anonymous said...

Fadz, selamat hari raya.. u pun hensemlah.. kenapa tak berlakon?

fadz said...

panjangkah? gulp..

hakimi2010 said...

Mmmm..baru je tengok KKC ni disebabkan nama ‘hafsham’.But sedeylah sbb bagi aku citer ni x spt yg aku harapkan.aku x baca pun novel asalnye..but ntahhhla..mmg kita dibesarkan dgn karya2 hafsham..tapi x sangka pulak KKC ni mcm ni..
Kalau boleh, aku nak kuar awal je….Intro aje dah boring.Hero bangun lambat,tergesa2 bersiap,tergesa2 pegi keje dan sampai kat opis kena tegur dgn bos.Tajuk citer mcm xde kaitan sgt dengan jalan citernya.Mcm merendah2kan martabat student al-azhar pun ade.Takkanlah ade student al-azhar yg balik msia pakai tudung macam tu..En.Hafsham, harap buat review balik.Jangan syok sendiri..betul2 frust dan seedy dgn KKC ni…Panggung pun kosong.mmglah ade part yg bagus..tapi overall 65% x best.Sorry ye..this is my pendapat peribadi.TQ

ninat said...

mohd nazri bin vovisky cakap kat twitter: "Terlalu fikir nk buat original x bgs juga. Nanti 10 tahun novel x siap, 10 thn filem x buat, asyik bercakap & kritik org lain"

betul lah dia cakap tu kan hafsham dekat 10 taun jugak tak bikin filem kan, kan.

Hans Hanis said...

ini review aku

Review Filem Karipap - Karipap Cinta Disini

fadz said...

ninat, yeap.. TMBF suka filem ni kira OKlah.. aku je kureng sikit tapi good effort lah, hanya perlu rajin sikit, Hafsham aku tgk mula malas dan masih terperangkap dalam 80-an.. tu je..

fadz said...
This comment has been removed by the author.
sinaganaga said...

>>>Inikan sinema?

Aku suka ayat ni.