07 September 2009

Aku Jebat(2009): Sebuah Lagi Terjemahan Jebat Moden

Sabtu lepas, Cerekarama TV3 menyiarkan telefilem ini. Tulisan skrip Rohizan Ramli memang patut dipuji. Aku suka; cepat, berdarah muda, bersemangat (rujuk pembukaan awal telefilem yang terikat dengan kronologi-kronologi yang mencemaskan - Jebat melarikan diri), walaupun ada bahagian-bahagian yang menampilkan melodrama terlalu yang biasa dalam drama-drama Melayu.

Ada unsur Razalisque (Rahim Razali) di dalamnya; unsur silat, adat dan adab Melayu melawan kapitalisme/ketamakan bangsa Malaysia sekarang, keteguhan iman di depan kemodenan, idealisme Jebat (dalam konteks amuk), adat melawan materialisme dan kekuatan patriaki lelaki menandingi wanita (tetapi filem ini tidak meleceh-lecehkan para wanita, walaupun memaparkan wanita agak lemah di hadapan kerakusan mental kapitalisme buatan patriaki lelaki).

Cerita membuka watak Jebat yang darah seluruh bajunya, keluar dari sebuah banglo mewah, melarikan diri, lalu bergerak ke arah sebuah hospital swasta, lalu kemudian ditangkap polis dan disiasat. Siasatan ini (konfesi Jebat di bilik siasat polis dan seorang wanita Indonesia lakonan Nadia Mustapha dengan dialek Indonesia yang buruk tetapi emosi yang betul terhadap cerita) adalah "cerita sebenar" Jebat, Jebat secara "moden" dikonstruksi dengan telahan kesosialan dan politik Malaysia abad ke-20 dan awal 21 - adakah kita masih memegang justifikasi "keadilan" Jebat? Apakah yang Jebat buat itu benar dan boleh dilepaskan penanggungjawabannya? Buat Rohizan, selepas di"selidik", Jebat di matanya tidak bersalah (hal ini tidak akan berlaku dalam filem Rahim Razali, kecuali Rentak Desa[1990]). Hal ini amat menarik, malah radikal dan berani untuk disiarkan. Secara "terselindung", perwira Malaysia (walaupun Jebat hanya mewakili keluarganya dalam filem ini) dibayangkan sebagai "the underdog", simbolisme marhaen tertindas. Lalu "Jebat" ini harus bangun menegakkan keadilan, seperti parti pembangkang (yang kononnya dilihat adil oleh majoriti masyarakat) melawan kerakusan politik wang dan kekotoran kuasa hegemoni parti pemerintah (yang kononnya dilihat kotor dan mencari material). Rohizan menghidangkan satu eskapisme bahawa kemenangan "jalan lurus" seperti Jebat (the underdog) boleh berlaku untuk mencantas kezaliman "yang memerintah", lantas tidak akan diadili undang-undang!

Lakonan memberangsangkan oleh orang baharu, Adzrie Faiz sebagai Jebat sangat-sangat patut dipuji. Adakah aku sudah menemui Eman Manan baharu? Tak mungkin, tetapi Adzrie menampilkan satu kesegaran, Jebatnya penuh adab, adat, romantisme (pejuang) tersesat dalam dunia moden dan menampilkan susila Melayu tinggi. Jebatnya hanya "mengamuk" bila dia "perlu" mengamuk. Malah filem ini menampilkan "justifikasi" Jebat mengamuk (lantas memberinya satu "poetic ending" yang agak Disney, kemungkinan mengisi kendong penerbit dan "orang awam" yang mana aku percaya Rohizan boleh saja bergerak ke arah "gelap" kalau beliau mahu), walaupun Adzrie agak "lembut" dalam amukannya (sengaja ditampilkan, Jebat dalam cerita ini sebenarnya tidak mengamuk per se, tetapi membunuh dengan "sedar").

Segala teknikal telefilem ini minima, malah amat berbajet rendah. Sebenarnya arahan filem ini mengarah ke pengarahan filem drama yang klise. Ada satu babak yang merencatkan realisme filem apabila Dato' Melayu dibayangkan seperti "raja miang" dengan dua "gundik" sebelah menyebelah, mengetip jarinya untuk "mengarah" gundinya pergi - sangat filem Hindustan! Terlalu banyak syot yang tipikal dan bosan, dengan runut bunyi "curi" yang melebih-lebih dengan tempo melodrama dan suntingan yang terlalu cepat atau terlalu janggal untuk dinikmati sebagai satu "sinema" yang menyeluruh. Telefilem ini hanya dibantu dengan kekuatan cerita yang menguja dan berisi oleh Rohizan. Aku dapat bayangkan, jikalah dipaparkan syot realisme, dengan cahaya lebih gelap, dan hanya paluan rebana dan kompang yang laju buat runut bunyi, satu "masterpiece" akan berlaku. Ya, aku tidak berbohong, kerana filem ini amat-amat relevan kerana berani dengan penampilan isu sensitif seperti aktiviti pelacuran yang didukung oleh tokoh Dato' Melayu (pembayangan semua orang atasan di Malaysia mempunyai dua dunia, juga pembayangan rasuah di Malaysia), isu pendatang dan orang atasan yang menjalankan sindiketnya, justifikasi keadilan politik serta penindasan orang miskin dan marhaen dalam dunia serba hadhari dan 1Malaysia (rujuk juga filem pendek "Rumah" arahan Linus Chung). Semua hal ini dijalin baik oleh Rohizan dalam cerita yang bernaratif saspens serta realis.

Aku seronok bukan apa, bukan sahaja Aku Jebat merupakan satu filem yang menggerakkan genre "amuk" yang memang kurang dalam data filem Malaysia, tetapi Rohizan menampilkan satu penyambungan terhadap apa yang Rahim Razali sudah wariskan buat kita.

No comments: