28 January 2008

The Birth of a Nation (1915) Sebuah Filem Sangat Penting


Berapa kali saja dalam hidup kau, kau dapat menonton sebuah filem landmark? Filem ini adalah di antara (atau satu-satunya) filem bisu dan hitam putih yang memaparkan filem boleh dibikin dengan sangat panjang dan tanpa kacauan suara (walaupun ada runut bunyi) tetapi masih boleh menarik daya tontonan penonton untuk mengikuti cerita sehingga ke akhir.


Buat mana-mana pembikin filem, mereka harus kenal akan akar umbi perfileman. Di Russia, kita kenal sangat dengan Sergei Esenstein yang buat aku, jauh lebih kehadapan dan lebih 'benar' menyatakan kehidupan dalam kamera daripada DW Griffith, malah garapan-garapan imejnya lebih menyentuh dan gemilang.


Sebenarnya DW Griffith sedikit lain daripada Esenstein kerana latar belakang Griffith. Memang kalau dikira secara andaian, sinema 'tercipta' kerana Esenstein dengan teori montaj dan cantuman fungsi dan makna imejnya terhadap keseluruhan filem (bukan cerita) itu. Tetapi Griffith memaparkan tiga revolusi yang dikira penting dan mempengaruh arena perfilemn sehingga sekarang dan terikut falsafahnya dalam mana-mana pembikin filem dokumentari atau komersial.


Pertama, DW Griffith adalah pembikin filem yang pertama mementingkan penggarapan realiti yang ditangkap lalu dicerminkan dengan persis sekali di layar (proses pengangkapan realiti). Ini adalah penting kerana jauh dalam hati Griffith, beliau sebenarnya bukan sahaja sedang mencipta sebuah 'cerita' yang lengkap di layar tetapi sebuah 'cerita yang betul' (di sinilah ia menjadi satu kontreversi kerana mengangkat satu idea yang dipanggil propaganda kerana kebenaran realiti yang dipersembahkan). Segala gambar sewaktu era Perang Saudara Amerika serta zaman pascanya diambil, diteliti dan 'ditiru' oleh para pengarah seni filem ini (termasuk usaha Griffith) . Maka mereka cuba mencipta 'realiti tipu' sepersis mungkin di layar. Filem Griffith seakan satu hasil seni lukisan romantik 'yang bergerak'. Bayangkan satu medan pertempuran yang sama seperti tangkapan foto, tetapi kali ini, gambar itu dengan ajaib BERGERAK dengan askar menyerang kubu musuh dan meriam meletup dan asap. Tonton saja satu babak 'bersejarah' pembunuhan Presiden Amerika Abe Lincoln (dibikin di sebuah pentas terbuka!) dan kita seakan terasa semacam menonton sebuah dokumentari daripada sebuah filem fiskyen.


Tujuan Griffith ialah, filem yang dipaparkan itu, walaupun sebuah filem 'lakonan semula' yang sedikit fiksyen adalah garapan "sebenar-benarnya berlaku sewaktu dan selepas Perang Saudara Amerika". Ini penting dan juga menjadi elemen sejati dalam filem propaganda, baik filem dokumentari. Malah, kebanyakan drama realiti seperti Rescue 911, Hauntings, Wanted: Murder telah mengambil penggayaan ini walaupun sudah mencapai modenisme yang lebih tinggi dari zaman Griffith (tangkapan 'realiti' zaman sekarang terikat pada tangkapan kamera video, di mana kita boleh melihat revolusi terbaharunya dipaparkan dalam Cloverfield).


Maka di sini yang menjadi persoalan 'diskriminasi' dan 'perkauman' di dalam filem ini apabila melakarkan golongan hitam, terutamanya dari Utara Amerika adalah manusia yang memperlekehkan kemurniaan kuasa dan keturunan orang puteh terutamanya golongan Selatan Amerika. Tetapi buat aku, perkara-perkara ini yang ditonton dengan teliti (walaupun aku tidak menafikan kuasa 'propoganda'nya punya dakwah berkesan dalam bentuk cerita) masih dapat mengeluarkan pelbagai pendebatan dan garisan nipis tentang tujuan politik dan kuasa pada zaman itu.


Perkara kedua yang aku sedar bila menonton filem ini, watak-watak yang berlakon dalam filem ini mendahulukan 'standard' buat pelakon bisu lain mengikut bila berlakon dalam filem bisu. Griffith datang dari latar orang teater. Maka jika diteliti, kesemua tangkapan watak di dalam studio kelihatan seperti paparan statik (kebiasaan dalam filem Melayu Jalan Ampas kita pun yang berlatar belakangkan orang bangsawan) dan watak perlu bergerak dan bermimik dengan gaya yang 'exaggerated'. Sekali sekala saja wajah pelakon difokus untuk mengambil efek ekspresi wajah. Paling penting, walaupun kini penonton moden akan merasakan gaya lakonan pelakon itu 'sumbing' kerana lakonan 'terlalu' mereka (kadang-kala seakan penari di sebuah pentas), ianya sebenarnya satu lakonan berekspresi yang sangat terjaga dan teliti. Di sini sebenarnya Griffith mengambil penting setiap wataknya seperti mana Dickens atau Austen melakarkan 'kebiasaan' atau 'trademark caricature' wataknya, lalu satu pergerakan itu perlu konsisten dengan satu-satu watak, supaya perkara ini 'diingati' oleh penonton (walaupun wajah dan fesyen pelakon itu menjadi tanda). Idea penjagaan 'konsisten' ini dipegang sehingga wayang suara keluar. Dan perkara baik tentang Griffith ialah, beliau berjaya menyatukan tiga hingga enam pelakon dalam satu masa, dengan pergerakan mereka yang berlainan diharmonikan dalam satu-satu babak, dan kemudian bila babak berubah dan melanjut, watak-watak ini masih 'tertacap' di dalam fikiran dan menjadi antisipasi kuat penonton untuk mengikutinya sehingga akhir. Inilah kekuatan Griffith. Seperti filem ini sahaja, terdapat 12 watak penting yang mempunyai cerita tersendiri yang perlu diikuti penonton. Dan ini dipaparkan dengan bersahaja oleh Griffith (dengan penyediaan yang sangat teliti).


Dengan itu, bolehlah kita katakan, Griffith adalah bapa pada filem saga berlanskap luas (yang memaparkan kekuasannya lagi dengan Intolerence). Dan inilah kekuatan sebenar Griffith. Bayangkan, dalam filem ini sahaja, terdapat pelbagai subcerita yang dijalin, baik berbentuk detik sejarah sehingga yang berbentuk drama individu, dan dengan kepandaian Griffith, beliau mengikat adegan-adegan ini seakan satu 'novel saga' yang panjang dan berlapis-lapis, menampilkan suatu perkembangan cerita yang sangat tersusun, penuh drama dengan pengakhiran dan klimaks yang sengaja dibuat dengan besar-besaran. Inilah 'benchmark' buat filem-filem epikal.


Sememangnya, menonton filem ini suatu pengalaman yang besar buat aku, memaparkan betapa hebatnya harapan dan mimpi seorang pengarah zaman dahulu dengan kekurangan yang beliau ada, tetapi dengan cita-cita dan kesungguhan, beliau akan sentiasa diingati sebagai pembikin filem yang pertama memberi sebuah cerita yang benar-benar penting dalam sejarah perfileman dunia.

No comments: