Adakah selepas saya mengulas filem ini, orang MELAYU akan menuduh saya pengkhianat bangsa?
Saya berkobar-kobar menonton filem ini kerana Dr. Anuar Nor Arai adalah antara produser filem ini. Jadi apakah ia secemerlang seperti yang dikatakan oleh tukang karut kerajaan utama, Akmal Abdullah?
Ada dua perkara penting yang saya BELAJAR daripada filem ini:
1. Orang Melayu, secara semula jadinya, tidak akan mempersenda-sendakan nama keramat Melayu, darah mereka, agama mereka, dan raja mereka. Orang akan mempersenda dan menuduh bahawa orang Melayu etnosentrik tidak melulu dan bersifat perkauman, tetapi kebenarannya, begitulah sifat dan sikap orang Melayu bila ditindas. Nama MELAYU itu jangan dibawa main kerana bagi orang Melayu, nama itu sendiri 'keramat'. Dengan ini, datang kekuatan orang Melayu sebenarnya, menyatupadukan mereka, membuat bangsa lain bergoncang akan integriti mereka. Kiranya 'Melayu' itu sesuci 'Aryan' dan masih relevan sehingga kini. Sesiapa yang menidakkan ini (dan apa-apa yang orang Melayu perjuangkan) akan digelar 'kurang ajar' (semangat ini samalah dengan oranng Yahudi yang percaya mereka 'anak-anak Tuhan', sesuatu yang bukan perkauman tetapi 'God gifted' dan menjadi kekuatan mereka zaman berzaman).
2. Orang Melayu sendiri yang mula merosakkan bahasa mereka sendiri apabila parti pertama yang menyatupadukan kesemua orang Melayu diambil daripada akronim perkataan Inggeris, UMNO. Patutlah sampai sekarang, walau betapa susahnya kerajaan mahu orang Melayu dan bangsa lain bertutur Melayu, bahasa Inggeris tetap dipandang 'lebih eksklusif'.
Baik, dah selesai itu, perkara pertama- yang baik-baik:
Saya suka benar dengan kerjasama besar dalam pembikinan filem ini. RM3.5 juta kononnya diperolehi daripada usaha sama ini. Ini satu petanda baik tetapi perlu dipertingkatkan dan diikuti dalam produksi filem-filem yang seterusnya. Dengan cara ini sahaja sebuah filem boleh mencapai 'kehendak' yang mahu dicapai. Walaupun menonton filem ini, kita sedar ke'epik'an filemnya 'samar-samar' (Suhaimi Baba kata, kekurangan bajet untuk mencapai tahap Gandhi), semangat usaha sama inilah yang sebenarnya kita mahu, yang semahu-mahunya kita lihat, dana yang lebih tinggi disuntik supaya pengarah dan penerbit dapat merealisasikan sebuah filem yang benar-benar tampak mencapai kehendaknya.
Filem ini ada sesuatu, ada cita-cita murni. Filemnya sangat senang sebenarnya. Ianya hanya sebuah filem separa propoganda, separa epik untuk memaparkan kepada generasi muda, apa ertinya kemerdekaan buat generasi masa lalu. Hati Malaya itu sendiri mempunyai tiga makna: Kemerdekaan (merdeka adalah aspirasi penduduk tanah Melayu masa itu untuk mencapai suatu 'keinginan yang agak sukar dicapai, ia adalah impian pertama 'Malaysia Boleh' untuk menunjukkan orang tanah Melayu boleh 'menang' sesuatu), orang Melayu (sesungguhnya, walaupun di dalam filem ini memaparkan Cina dan India perlu bersatu (itu pun kerana desakan pihak British), cetusan 'merdeka' dan keinginan menerajui Malaya adalah cita-cita orang Melayu, maka cerita ini memaparkan falsafah orang Melayu, atau apa ertinya menjadi Melayu. Melayu itulah hati sebenar Malaysia) dan Mala (lakonan Maya Karin, di mana dia seakan simbol 'tanah Melayu yang akan merdeka' terhadap keinginan Adlin dan Rusdi yang bersimbolkan Tunku Abdul Rahman dan Onn Jaafar).
Filem ini juga sebuah filem 'ensamble cast' seperti yang dibikin oleh Indonesia dalam Pengkhianatan G 30 S/PKI(1984) (filem enjin dakwah Orde Baru Suharto), terlalu ramai pelakon veteran dan baru bergabung memuatkan filem ini sebuah mainan mata, terlalu ramai yang ingin kita lihat dan rasa peranan mereka. Terlalu ramai. Malah, beberapa pelakon biasa dalam filem Suhaimi seperti Ida Nerina, Kavitha Kaur dan Liza Othman ada dalam filem ini. Terpanggil hati saya, kenapa Suhaimi tak panggil terus Deanna Yusof, Tiara Jacquelina, M. Nasir, Hans Isaac dan beberapa lagi sebagai memperlengkapkan keberanian dan harapan besar Suhaimi ini. Tetapi saya kira, ini sudah baik, malah sebenarnya nyaris melemaskan saya.
Seperti biasa, dalam ramai-ramai kumpulan pelakon, ada satu atau dua pelakon yang 'shine above the rest' dalam memainkan peranan mereka di dalam filem. Di dalam filem ini, saya tampak Adlin Aman Ramli (seperti biasa), Rahim Razali dan Nanu adalah pelakon yang bersahaja dan mampu 'hidup' dalam watak yang dibawa.
Tetapi pelakon yang sebenar-benarnya membawa filem ini ke tahap yang boleh dihormati, malah, menonton lakonannya adalah tujuan utama menonton filem ini ialah Mohd Kamarulzaman sebagai Tunku Abdul Rahman. Saya mungkin tidak kenal akan jalan, cakap dan gaya Tunku yang sebenar, tetapi pelakon ini berjaya mencipta satu 'Tunku' yang kita boleh percayai dan rasa sebagai Tunku pada zaman itu. Malah kebanyakan babak di dalam filem ini 'hidup' kerana lakonannya. Lihat sahaja babak sewaktu Tunku mengaku tidak cukup wang untuk ke London. Suntingan, suara, latar lagu dalam babak ini 'terlalu' keras dan mengada-ngada (seakan filem hindustan), tetapi lakonan terjaga Kamarulzaman sebagai Tunku, gayanya dan perasaannya dapat kita rasa menjadi tumpuan, malah telah menyebabkan beberapa penonton menangis. Itu kekuatan Kamarulzaman. Dia sepatutnya menerima sebuah anugerah khas sebagai pelakon bukan sahaja 'well casted' tetapi memainkan peranan yang betul dan keinginan yang betul dalam pengisian filem ini.
Di dalam filem ini, ada sebuah babak yang saya kira, antara babak yang terpenting, segar, akan menjadi klasik dan sangat bagus pernah keluar dalam sebuah filem Melayu. Babak itu ialah gaya pecahan rakaman Onn Jaafar bersama pengikutnya dan Tunku dengan pengikutnya semasa bercakap tentang perselisihan faham di antara mereka. Gaya ini sangat susah, tetapi, hanya untuk babak ini, saya mengatakan pada kalian supaya menonton filem ini kerana babak ini (lepas tu hang pa nak balik pun bolehlah) satu sinematik genius. Kita akan lihat satu 'parallel' pertelingkahan yang berlaku di antara pengikut Onn dan Tunku kerana keputusan yang masing-masing telah lakukan. Pada satu masa, frame gambar mengambil wajah Tunku dan Onn yang 'reda'. Waktu itu, saat itu 'terlintas' 'kesatuan hati' kedua-dua pemimpin itu untuk melihat anak bangsa mereka mencapai sesuatu yang belum pernah orang Melayu buat sebelum itu. Babak itu sahaja sudah cukup menggambarkan keinginan sebenar Suhaimi untuk projek gergasinya kali ini. Malah yang menarik, ritma dan masa yang dibikin untuk babak ini tersusun dengan sangat baik, sangat 'precise', kita merasa 'penyatuan' itu adalah murni (babak ini bolehlah dikontrakan dengan babak Tunku yang mengambil tapak di Dataran Merdeka pada tengah malam dan Onn Jaafar di rumah bersama isterinya, yang memaparkan walaupun mereka 'kalah' sokongan, keinginan itu sudah tercapai, walau bagaimana sekalipun kelainannya).
Maka, ini sebenarnya yang ingin dipaparkan oleh Suhaimi Baba, dua jenis perjuangan yang lain dari segi idealogi tetapi sebenarnya bermatlamat pada satu. Idea ini sebenarnya ingin dikaitkan dengan plot sekumpulan pengkaji muda mengkaji tentang Merdeka dengan 'intepretasi' atau lakonan kembali (sengaja dilakonkan kembali oleh pengkaji generasi muda itu untuk memaksa mereka 'menghayati' sejarah merdeka) kemerdekaan. Tunjang utama yang mahu disingkap, jika diperlihat dengan teliti ialah, bagaimana, pelbagai bangsa dan pelbagai orang Melayu, akhirnya akan bersatu untuk 'tujuan' negaranya. Kalau dalam generasi lama, para watak itu bertemu sesama sendiri lalu bergerak ke arah satu kemahuan, begitu juga dengan generasi muda yang entah bagaimana, secara 'coincidence', bertemu untuk satu tujuan juga. Perpaduan ini yang ingin dipaparkan oleh Suhaimi, dari segi keluarga, kekasih, politik, bangsa, pelbagai bangsa, dan akhirnya negara.
Secara jujur, keinginan yang dibikin oleh Suhaimi ini sangat susah, sangat susah. Saya perlu memberi tepukan pada belakang Suhaimi kerana berani mencuba. This is her most demanding project ever to be filmed. Tetapi itu sahaja, kerana 'hasil' keinginan ini agak hambar dan sangat caca merba sebenarnya
Secara lalu, bila kita menonton babak-babak awal filem ini, kita sudah sedar kecelaruan itu. Babak 'tiba-tiba' (kebiasaan Suhaimi) pengumuman Malay Union, kemudian watak-watak 'rakyat' generasi lama, kemudian watak generasi muda, kesemua babak ini dibikin tanpa hujung dan tanpa pangkal. Malah, filem ini tidak ada 'pembukaan'. Ia semacam 'main letak' sahaja. Tidak ada 'establish shot' untuk kita sesuaikan diri dan mengatakan, "oh, ini sebenarnya ceritanya". Ini tidak berlaku! Hanya pada pertengahan filem baru kita sedar akan semangat itu.
Sebenarnya, plot watak generasi muda itu yang sebenarnya menjatuhkan filem ini. Plot itu tidak perlu, malah memaparkan kejenggelan filem ini untuk 'mengajar' generasi muda. Saya tidak percaya bahawa budak-budak muda itu akan 'merasa' apa eritnya untuk merdeka di akhir cerita. Suhaimi perlu belajar daripada Kamal Hassan untuk Hey Raam(200) atau Richard Attenborough untuk Gandhi(1982) bagaimana memanipulasi perasaan penonton untuk mempercayai adanya perjuangan tulen. Kedua-dua filem itu memulakan filem dengan satu enigma, satu 'kerosakan' atau 'kegagalan'. Filem Suhaimi ini terlalu 'play safe'. Tidak ada pun generasi muda itu yang skeptikal, yang pesimistik akan perjuangan orang lama. Malah memaparkan generasi muda itu mengkaji sebuah buku dan sebuah plot bodoh tentang membeli rumah sebenarnya tidak perlu. Kalau Suhaimi mengambil seseorang yang lebih dekat, seperti satu watak dalam sebuah keluarga yang diceritakan, lalu fokus terhadapnya (tetapi watak ini perlu dalam keadaan tidak mempercayai perjuangan atuk neneknya), atau seorang cikgu (mungkin berada sewaktu Tunku di Dataran Merdeka) mengajar seorang murid yang benci Merdeka, mungkin lebih baik. Ataupun, plot ini dikeluarkan sahaja (kerana tampak sangat, babak perjuangan generasi lama lebih impak dan penting, malah boleh bergerak sendiri). Kalau Suhaimi lebih berani, Suhaimi boleh menfokuskan terus kepada Tunku, memaparkan pada waktu Tunku terpaksa meletakkan jawatan PMnya kerana Malaysia mengalami pertelingahan perkauman. Walaupun babak ini lebih susah dan kompleks, tetapi memadai kerana filem ini pun sememangnya perlukan satu titik fokus, dan plot Tunku tanpak yang terkuat.
Malah, jika dilihat dalam beberapa babak, lagu latar Sharon merosakkan filem ini dengan nadanya yang terlalu membingitkan. Malah latar lagu Siti Nurhaliza yang sedap jadi merunsingkan dengan sebuah babak ala MTV yang disengajakan untuk budak-budak kampung yang nak tengok wayang (percayalah, orang kampung pun dah sofistikated dan tidak perlu dengan montaj tidak berguna seperti ini lagi). Malah, ditambah lagi dengan gaya pecahan imej frame yang bukan-bukan kadang-kadang, termasuk 'fast shot' ala Matrix yang langsung tidak memberi makna. Kesemua ini menggagalkan keinginan Suhaimi supaya filem ini mendapat pengiktirafan yang sebenarnya.
Pengarahan seni filem ini sebuah lagi perkara yang boleh dibanggakan, malah buat saya, antara yang terbaik pernah dibikin. Latar filem ini adalah yang terbaik dalam sebuah filem period. Ia 'blend' di dalam zaman lampau filem ini. Penggunaan 'superimposed' dengan terlalu banyak mungkin nampak mencacatkan filem ini untuk merasa 'real' akan beberapa peristiwa penting UMNO. Tetapi kita faham kerana kekurangan bajet, intepretasi itu mungkin dimaafkan kerana filem ini juga ingin memaparkan sebuah 'lakonan semula' babak sejarah. Apa-apa pun, filem ini jauh dari menjadi filem terbaik Suhaimi (Layar Lara masih yang terbaik) kerana ketidakseimbangan plot dan peranan wataknya, malah suntikan komersial Suhaimi menjengkelkan. Tetapi sebagai sebuah filem yang mempunyai semangat cuba yang besar, dan memperkenalkan Kamarulzaman ke persada layar untuk pertama kalinya, Suhaimi bolehlah dipuji.
16 comments:
aha.. bangsa melayu ni pun baru sebenarnya..
melayu pun bererti 'lari' dalam bahasa jawa.. lari ini berasal daripada orang2 indonesia yang lari ke sini pasal belanda..
so di situlah bermula bangsa melayu.. setiap bangsa ada permulaannya.. melayu bermula begitu..
so mungkin ada yang mendakwa melayu adalah pendatang asing kat malaysia ni.. tapi sekarang dah tak boleh kira macam tu.. dah ada bergenerasi2 kat sini..
samalah macam kes orang amerika..
apa benda yang aku cakap ni pun aku tak tau..
Ya, memasukkan unsur zaman moden tu tak bercantum dengan baik untuk kaitkan dgn zaman pra-merdeka yang sepatutnya Shuhaimi fokus dlm film ini. Kalau nak juga ada issue sampingan, soal cinta antara Mala dgn Azhari dan Rozhan sudah cukup. Selain Kamarulzaman, aku rasa lakonan Zaefrul Nordin sebagai Onn Jafar pun cukup baik.
Secara jujurnya, saya masih tidak mengerti - MENGAPA filem ini dibikin?
Seperti filem Suhaima Baba yang lain, amat teruk dan memalukan.
adib, maaf, ada banyak perkara yang anda tulis masih tidak kuat. Siapa datang dulu, Melayu atau Jawa (dikatakan golongan ini datang dari kepulauan Taiwan, ataupun Filipina, dan ada yang dari Sumatera)? Apakah pengaruh tamil-hindu terhadap bahasa kerana 'Melayu' dalam tamil lama bermakna 'Tanah berbukit-bukit'? Apa pula penjelasan tentang bahawa kawi, pawi dan kemudian sanskrit terhadap Melayu? Semua ini perlu diperjelaskan dahulu. Tetapi jelas, dalam filem ini, Melayu yang didefinasikan ialah alat enjin politik menyatupadukan 'orang bumi' di tanah Melayu dengan memberi pendefinasian: Melayu itu Islam, menggunakan bahasa Melayu dan melakukan aktiviti budaya Melayu. (bagi orang Melayu dulu, Natrah gaids Belanda itu MELAYU).
Mensh, ya Zaefrul pun bagus (malah sangat efektif dalam beberapa babak), tetapi tidak diberi peluang 'outshine' seperti Kamaruzaman.
amyz, saya dah kata, filem ini separa propoganda. Apa tujuan propoganda? Sebenarnya roh filem ini OK, ingin mewujudkan kembali cerita bagaimana orang kita dapatkan Kemerdekaan. Aaku suka sebenarnya rohnya kerana aku belajar, orang kita ambil masa, peluh dan wang juga untuk merdeka, dan menidakkan tuduhan melulu orang Indonesia (org gaji aku selalu kutuk) bahawa orang Melayu lembik, kerana tidak guna 'darah' untuk mendapatkan kemerdekaan, bukan seperti mereka. Aku rasa, itu kata2 bodoh kerana kita perlu tengok pada situasi (siapa yg menjajah kita waktu itu) dan masa, dan pemimpin dulu kita memang cerdik, menegluarkan rambut dari tepung secara lembut dan baik, walaupun'consequence' selepas itu merumitkan negara sampai sekarang (ini suatu perkara yang Suhaimi pondan nak tunjuk, seperti dalam filem gandhi, iaitu perbalahan antara kaum).
Melayu, kau tahu-tahu ajelah..
oh, saya dah tengok 'Hey Raam' lakonan Kamal hassan tu.
Sebagai seorg yg berjiwa murni dan sensitif, 'Hey Raam' agak menakutkan. Saya lembik 3 hari kerana terbayang2 darah yg memancut2 keluar dari leher isterinya yg dikelar selepas dirogol bergilir2 atas meja mkn dlm rumah mereka.
Fadz, kalau tak kerana Tuk Janggut, Dato' Bahaman, Abd. Rahman Limbung, Malaya tak merdeka juga.
Tajuk sebetulnya filem ni "1957: Hati Melayu"?
embun, alahai kesiannya.. patutlah tanah Malaya kena merdeka secara berunding, hehehe. Yeap, mereka juga turut membawa 'semangat' kemerdekaan, tetapi cerita ini bukan fasal abad ke-17-19, tetapi 1957.
Azwan, emmm, no comment.. Ada satu babak yg menarik kalau nak kata begitu: Tunku duduk bersama Tan Cheng Lock di dalams ebuah restoran mewah tanpa pelanggan, ala2 filem mafia (bukankah kita rasa semacam pemimpin kita itu ala mafia dalam 1 masa dulu?) dengan Tunku semacam 'kuat' (taiko) berkata: "Sebelum kita teruskan, saya perlu tahu jika awak akur tanah Melayu ini kepunyaan orang Melayu." Lalu Tan Cheng Lock (secara sinis, memaparkan golongan parti Cina ini 'opportunist' kerana berubah sokongan dari '1 nation for all' Onn Jaafar kepada '3 ethnic in 1 alliance' Tunku) mengangguk-angguk (dia tak kata "Ya") setuju. Macam filem Godfather pulak!
filem ini bagi aku ok lah. Layar Lara lagi bagus.
aku mmg agak skeptical bila ada flashback2 nih. mcm tak masuk gu jer.
lakonan tunku & onn mmg bagus. yg lain2 tuh biasa jer..
Aku suka Hati Malaya, pendek kata dah cukup rasa untuk aku. Tapi memang betul la masih ada ruang untuk menjadi filem yg lebih kuat n aku suka idea tentang cikgu mengajar murid yg benci merdeka tu. BTW, aku perasan masa ending ada gambar chin peng(rasanya lah)..adakah aku dah tertinggal apa2 pasal PKM ke perbalahan kaum ke kat tengah2? Pasal ada dalm 20 minit pertengahan filem aku tinggalkan dewan utk gi solat(yeah my mistake beli tiket pd waktu tak sesuai).
kalau kamu suka filem sejarah macam "1957 Hati Malaya", kamu pasti enjoy filem pendek "Sepuluh Tahun Sebelum Merdeka". Boleh ditonton secara percuma di youtube dan laman2 lain online. Ia menceritakan sejarah perjuangan kemerdekaan rakyat Malaya yang sudah bermula 10 tahun sebelum merdeka!
10tahun.blogspot.com
10tahun.blip.tv
Fadz : ya. aku setuju filem ini separa propaganda. lain, utk mengembalikan semangat 'melayu'? kononnya lah..
SM, wah, camne kerja baru..? Yeah, OKlah.. hope it could be bigger, not in terms of the scale but the story.
gaia, ko tunggu aja 'deleted scenes' dlm dvd (kalau ada pun, we have very bad dvd production u know), sebab mmg scene tu takde. And u actually like it? Well, aku suka, bot not sampai i letak filem ni atas altar.
thx fahmi reza...ahh, itu filem korang semua kena tgk, semangatnya besar!
amyz, namanya pun separa. I separa je percaya, hehe.. tapi oklah, takdelah teruk macam Mimpi Moon atau Waris jari Hantu yg i akan carut setiap 3 minit.
gila babas!!!
Apa yang kau mengarut ni? Melayu memang berasal dari Malaysia bukan dari Indonesia, bahkan wilayah negeri Melayu ada di Semenanjung, Sumatera dan Borneo. Sebelum kedatangan penjajah barat, Melayu dah membina pelbagai tamadun yang hebat, seperti Funan, Champa, Chihtu di Kelantan, Langkasuka, Kedah Tua, & Melaka.
Melayu bukan bangsa baru wujud. Istilah Melayu bukan berasal dari bahasa Jawa iaitu lari. Melayu bermaksud “orang gunung”. Mana mungkin sesuatu bangsa menamakan bangsanya dengan perkataan yang hina! Bahasa Jawa adalah bahasa bawahan berbanding bahasa Melayu yang menjadi bahasa Nusantara.
Mengarut je kau ni. Ni mesti bukan Melayu. Takda jati diri.
Post a Comment