27 December 2012

Kahwin 5(2012): Janggal dan Cengeng

Mula-mula aku memang bersemangat menonton yang ini kerana empat perkara:

Pertama, ada pelakon baharu bernama Andrea Abdullah yang diangkat namanya oleh pengulas Berita Mingguan, menyatakan lakonannya memberangsangkan. Aku suka jenguk pelakon-pelakon baharu. 

2: Aku suka Marsha dan dia memang menunggu untuk disunting dalam sebuah filem komedi yang baik.

3: Aku suka Nizam Zakaria dan dia selalu memberikan sesuatu.

4: Aku suka Fairul Nizam Ablah (penulis skrip) yang aku kenal tentu akan membawa sesuatu.

Hampanya, dalam keempat-empat ini, filem ini menjurus kepada suatu telefilem klise yang amat longgar dan telah mengambil banyak cabang perfileman yang salah dan tidak sepatutnya. Patutkah aku ceraikan keempat-empatnya daripada hidupku selama-lamanya? Tolonglah aku buat keputusan.

Nizam pernah katakan kepada aku tentang filem ini menghomaj Madu Tiga. Ah, inilah yang menyakitkan jika kita memberi penghormatan kepada sebuah filem unggul yang betul dan diingati. Ini bukan pertama kali berlakunya "salinan" ataupun percubaan merekayasa filem P. Ramlee (sebelum ini, Sumpah Semerah Padi, Bujang Lapok Kembali Daa ... [filem ini yang paling berjaya walaupun tidak sebaik arahan P. Ramlee], dan Anaknya Sazali). Semuanya terperuk mendepani gagah perkasa karya seniman agung tersebut.

Penyalinan, bisem (bikin semula), homaj dan rujukan (mahupun spoof) tidak salah jika ianya dilakukan dengan betul. Salinan dilakukan bukan sahaja kerana pembikinnya terpesona dengan bahan rujukan itu (sepertimana Gus Van Sant melakukannya terhadap Psycho, yang hancur) tetapi percaya bahawa ada suatu "agenda" ataupun niat yang hendak disampaikan (aku tidak mahu gunakan istilah "mesej") yang relevan dengan zaman itu.

Dari segi premis, filem ini "mendapat tangkap" hal itu apabila dengan sengaja, empat wanita dalam hidup Usop Wilcha dipecahkan kepada warna hijau (Islam/PAS), merah (keturunan/UMNO), biru (ekonomi/KeAdilan), dan merah jambu (manja/muda/ceria/Puteri UMNO). Hal ini mencuitkan jika difikirkan, membawa makna dan falsafah mendalam terhadap pemaknaan "madu", lebih-lebih buat orang Melayu yang "berniaga", yang memerlukan "kawasan jajahan" dan sebab itu mereka "kahwin" untuk menguasai satu-satu tempat (tetapi perkara ini tidak berlaku dalam filem ini, dan ditunjukkan secara kulit). Ahli ulama dulu melakukan ini untuk membina cawangan pondok-pondoknya di serata Nusantara, bukan sahaja menyebarkan keturunan tetapi "agama".

Pemahaman ini memberi suatu semangat semacam sifat pasifis terhadap Ucop Wilcha bersama-sama empat isterinya. Hal ini bukan sahaja menyampaikan maksud positif tentang poligami (secara sindir, orang Melayu boleh berjaya ekonominya jika dia kahwin empat dan pandai mengurusnya!) tetapi bermaksud melihat paparan luas politik yang "menyatu" dalam kalangan Melayu "di bawah satu rumah". Hal ini mengejutkan terhadap realiti sifat politik sekarang yang bertegang leher dan panas. Patutlah orang Melayu sekarang susah berbini dua, seorang tu mesti nak minta cerai, macam PAS keluar UMNO, Anwar keluar UMNO dan bina Keadilan. Dan kitaran syaitan ini berterusan, mungkin sampai kiamat.

Maka tentulah antitesis ini menarik jika premis di atas diolah dengan seteliti mungkin. Tetapi hal itulah yang tidak berlaku malah diperlecehkan dengan satu plot ringkas berkenaan dilema Usop Wilcha yang dipaksa mengahwini Anzalna budak Johor. 

Awalnya sendiri panjang, dengan satu percubaan penulis "memperkenalkan" watak-watak dengan amat panjang sekali. Aku boleh maafkan jika dalam penungguan kita ke persoalan plot, kita dibumbu dengan kesan lawak dalam perkenalan itu. Yang berlaku berlaku hanyalah suam-suam kuku. Lihat, contohnya filem komedi berjaya seperti Tootsie (1982), berapa minitkah yang dibuang untuk bergerak ke motif plot? OK, kita kita tengok As Good as It Gets (1997) yang mana turning plot hanya berlaku tika 25 minit filem itu, tetapi pada awal detiknya sehingga ke-24 minit, kita sudah disajikan dengan kecelotehan dinamisme "panas" antara Jack Nicolson-Greg Kinnear-Cuba Gooding Jr dan akhirnya Helen Hunt. Semuanya mempunyai konflik dan pendirian yang bergeser, yang menumpahkan "komedi".

Tonton sahaja Madu Tiga, lihat bagaimana P. Ramlee menghidangkan pembukaannya, bagaimana plot yang bergerak pada awal cerita (ingat lagi babak isteri pertama mengejar suaminya?) yang kemudiannya menjadi "dilema" yang menyampaikan tindakan absurd P. Ramlee "ana kahwin tiga!"

Twist filem ini ialah, keempat-empat cawangan itu telah diisi (hint: selain menyampaikan "resepi" perkahwinan bahagian terhadap simbol empat wanita itu, secara menyindir ia menyampaikan pemaknaan "Melayu" yang disatukan ini, baik politik ataupun kepelbagaian sifatnya tidak boleh goyang jika "bersama") dan tidak mungkin Usop Wilcha "kahwin lima" (suatu persoalan absurd). Hal ini sudah menarik jika penulis skrip Fairul dan Nizam (kerana ditulis penulis Lakon Layar) memberikan kita komplikasi demi komplikasi selepas sahaja Usop dipaksa oleh Sofii Jikan mengahwini Anzalna, adiknya.

Perkara yang berlaku adalah sesuatu yang berbeza. Berlakulah satu "drama radio" yang cuba dipersembahkan secara kreatif, memperkenalkan "kisah cinta" Usop terhadap keempat-emat isterinya. Sampai pada tahap itu, do we care even a bit about them? Serius pada babak-babak Fizz Fairus berdialog dengan Usop, aku teringat dengan adegan duduk Max von Sydow dengan malaikatulmaut. Tetapi kali ini, tidak ada papan catur (tidak ada kebijakan). Mereka bercakap untuk "habiskan masa", sehingga pada satu babak memandu pada waktu malam yang amat cantik, serius(!) tetapi menyedarkan aku: "Im watching a comedy here, right?". Babak itu mengimbau satu suasana kerinduan, kehilangan dan murung berpanjang dalam limpahan cahaya lampu, tiba-tiba kita dengan dengung runut bunyi "kelakar". Mis en scene ini amat janggal.

Dan bila pula sebuah komedi mudah punya monolog-monolog panjang?

Usop Wilcha boleh pergi jauh, dan tampak dalam filem ini beliau berbakat. Beliau mempunyai mimik yang mempunyai karisma Rowan Atkinson dengan matanya (lantas menjadikan filem ini slapstik) dan mempunyai  fokus baik. Dia telah melakukan yang termampu. Andrea Abdullah lantang dan menyeronokkan. Dia punya semangat dan gerakan untuk pergi jauh, dan dia tahu membawa dialognya. Di pawagam, celotehnya paling diketawakan penonton. Oh, aku memang suka Marsha, dia membakar layar setiap kali dia di dalamnya, dan seorang yang memang dinamis dan boleh "mendepani" Andrea dengan kelasnya tersendiri. Malah aku lihat kesemua pelakon filem ini boleh berlakon dengan bersahaja, termasuk Dian P. Ramlee (kecuali dengan Norish Karman yang kelihatan tidak menyukai wataknya) jika diberi peluang dan tumpuan skrip yang betul. Ini suatu penyesalan.

Sinematografinya mencuba, walaupun terdapat beberapa syot yang baik. Babak-babak awal dengan percubaan syot panjang menarik (dan susah), tetapi tiba-tiba  apabila Usop duduk dan syot menjadi "statik" (atas tripod) ia mengganggu perjalanan emosinya kerana "statik" sepatutnya berlaku apabila kamera "merakam" rancangan di TV. Malah ada ruang yang kelihatan gelap pada awalnya, pencahayaan yang buruk (ini filem komedi). Suntingannya bergerak dan membantu apa yang perlu. Paling baik adalah reka letaknya yang cuba memberi "warna" dan sifat betul kepada keempat-empat isteri Usop, dan hal ini boleh dipuji. Beberapa sentuhan tanda dan penanda juga menarik (rujuk sahaja tayangan TV sebagai latar, atau gajet yang merujuk kepada setiap watak), tetapi hal itu hanya menjadi "bahan tocangan" penonton  tegar.

Suatu hit and miss. Boleh pergi jauh waima jauh memalukan untuk menjadi homaj Madu Tiga.

Ok, aku dah buat keputusan. Aku nak minta cerai fasakh bersyarat!

24 December 2012

Mencari Nilai Wayang Melampaui Komersialisme

Komentar ini berlangsung atas reaksiku terhadap penulisan Pak Hassan Muthalib baru-baru ini dalam Utusan Mingguan. Sentuhan yang dibuat oleh Pak Hassan adalah berkenaan filem Life of Pi (2012), yang bagi beliau merupakan sebuah filem "reaktor" atau sindiran terhadap kefahaman isi komersialisme pembikin Hollywood terdahulu (disentuh, filem Spielberg dan Cameron, serta ketamakan kapitalis simbolisme penyiasat dari Jepun dan aspirasi penerbit Hollywood simbolisme sang penulis fiksyen). 

Ingin aku nyatakan di sini, aku tidak mahu mengulas filem itu, bukan sahaja kerana aku sudah mengulasnya bagi majalah Dewan Budaya, tetapi atas sebab-sebab tertentu. Aku menikmati filem itu kerana secara wayang/sinema, filem itu menyampaikan satu pengalaman wayang yang begitu enak untuk ditonton, sesuai ditonton dengan 3D/Imax jika mampu (antara yang menyerlahkan penggunaan teknolog wayang ini). Ia sebuah cerita dan pengisahan yang lengkap, cukup serba-serbi dan membawa penonton "melalui" suatu perjalanan yang sepatutnya dilakukan oleh sesebuah filem. Hanya aku tidak menyetujui untuk "mendakwahkan" kecenderungan pluralisme agama yang jelas didakwahkan secara lembut oleh filem itu (secara dialog, paparan cerita dan imejan tiga bangunan ibadat dalam satu imejan latar), walaupun aku tahu para penonton kita matang untuk memilih antara intan dengan kaca.

Pak Hassan ada menyentuh hal ini secara lalu dengan menyatakan pengisian "agama" filem itu menyentuh "ketuhanan" (divine). Inilah yang aku sedari, perlu diteliti dengan benar-benar teliti, kerana jelas, Pi dalam filem ini boleh disimpulkan sebagai penyaksi "ketuhanan" dalam pelbagai perspektif agama, seakan-akan menampilkan suatu "nabi" baharu bagi pluralisme (jika kita tafsirkan sebegitu).

Menolak hal itu, aku tertarik dengan intepretasi semiotik yang dilakukan Pak Hassan. Walaupun secara amnya aku bersetuju dengan pendirian Pak Hassan berkenaan kuasa "melampaui komersial" yang ada dalam Life of Pi, aku tidak menyetujui gaya "pigeon hole" yang dilakukannya, dengan mengutip secara selektif dalam beberapa episod babak, awal, tengah atau mana-mana dalam filem itu untuk menunjukkan kesedaran filem itu menyindir "filem-filem komersial Hollywood". Benar ia menyindir, tetapi tak mungkin secara prasedar timbul berantakan seperti sebuah klitch di sana sini.

Terdapat tiga lapisan filem itu sebagai pemahaman wayang dan bilamana kita boleh memahami sentuhan "wayang" filem tersebut terhadap kefahaman kita. Pertama, dengan paparan awal zoo, kita sedang meneliti "keindahan alam" (estetika filem) yang sedang dipaparkan, yakni keindahan wayang. Kita, dan Pi, bersama-sama menjadi penonton "keindahan ciptaan Tuhan" ("Tuhan" di sini juga adalah penggerak cerita dan pemilih imejan cerita yakni pembikinnya serta pengarahnya). Keindahan yang "misterius" ini akan didoktrinkan dengan "ajaran", lalu berlakukah penurunan "mesej" yang mana Pi (serta penonton) disuapkan dengan kefahaman untuk "menikmati" keindahan tersebut, dengan tunjaknya berlaku terhadap harimau, Richard Parker (epitom estetika wayang tersebut) Kedua, segala keindahan dan pemahaman ini akan diuji, di"alami" dengan Pi dibawa di tengah-tengah lautan dengan estetika paling disanjunginya untuk menelusuri "kebenaran alam". Di sinilah "miracle cinema" berlaku pada mereka yang mahu mencarinya. Persembahan yang canggih bersalut dengan kefahaman tinggi (di sini aku bersetuju dengan Pak Hassan), menyampaikan "kebenaran" kepada Pi, membuatnya "rasa". Wayang akhirnya menyampaikan "rasa" dan bukan imejan kosong dengan efek tinggi. Ketiga, adalah kefahaman keyakinan "kita" terhadap wayang itu, pengalaman wayang itu yang kita lalui. Di sinilah adaptasi filem melepaskan ikatannya dengan novel Yann Martel. Di sini, kita bertanya, adakah kita memilih untuk melihat filem semata-mata filem, atau melihat kecenderungan filem melampaui hanya sebuah filem (yakni, menghiburkan). Di sini terletak dalam tangan "tuhan" Ang Lee jika dia berjaya membuat penonton mempercayai "estetika" yang diperkenalkannya, ataupun gagal.

Aku tertarik dengan hal ini kerana mendapati, amat susah dalam pembikinan filem Malaysia untuk mencapai sesuatu yang sebegini. Sepertimana yang dikatakan Pak Hassan, untuk tahun ini sahaja, Bunohan yang berjaya melakukannya, menyampaikan suatu yang begitu kuat dalam teknik pembikinan dan cerita sehingga menyampaikan suatu yang melampaui filem sebagai penyampai cerita sahaja, meyakinkan kita dengan kuasa wayang sebenarnya.

Di mana silapnya filem kita sekarang, apabila kelam ditelan buas dengan kerakusan kapitalisme yang tiada makna. Hal inilah, jika dibandingkan dengan filem Hollywood, sekurang-kurangnya, terdetik suatu susunan, suatu kelaziman, standard (formula), bahasa, yang kita kenal sebagai suatu penakrifan "wayang". Ya, filem Hollywood juga melalui fasa kebosanan (lihat sahaja apa yang berlaku terhadap The Hobbit atas nama komersialisme) tetapi filem kita lebih teruk lagi kerana kitaran celaka yang masih menahan kita keluar daripada kelaziman.

Tahun ini sahaja, aku telah cuba menonton kesemua filem Malaysia (benar, semua DVD tulen aku telah dapatkan, termasuk filem bukan bahasa Melayu). Aku sedari hal penyalinan, bisem (bikin semula) dan penambahbaikan merupakan formula yang dipilih majoriti pembikin kita. Aku tonton kesemua filem seram-komedi MiG sampai entah apa-apa lagi nama syarikat, KESEMUAnya cuba MENGIKUTI populariti Hantu Kak Limah Balik Rumah dengan cara yang amat memalukan, mudah, cetek inti, tanpa ada pengisian wayang (kebanyakannya seakan dibuat untuk filem VCD) dan dibikin atas "mencari keuntungan" semata-mata.

Dalam satu seminar (aku jadi seorang panel) yang membincangkan Hantu Kak Limah di sebuah universiti tempatan, ada seorang penerbit filem membantai filem tersebut sebagai suatu hasil karya "bodoh dan kosong". Aku menggeleng kepala. Tidak. Aku melihat The Rocky Horror Picture Show dan mengapa ia dibikin (rujuk studio Hammer yang dipilih sebagai lokasi penggambaran apabila Hammer sendiri dalam ambang untuk ranap). Aku memahamkan filem bikinan John Waters. Filem-filem tersebut dipanggil "trash" (sampah), filem yang "tidak patut diambil serius" dengan mainan spoof dan rujukan filem terdahulu untuk dipermain-mainkan formula dan, kenangan filem itu, meraikan dengan gaya paling mudah dan semacam riadah. Kak Limah ialah sebuah "trash" yang disengajakan pengarah sebagai mempermain-mainkan segala "entah apa-apa" Hantu Botol dalam Kicap Nongkrong dan Jangan Pandang yang menghantui wayang kita masa itu, "Trash" itu dengan sindiran pedas "mentertawakan" penontonnya. Tetapi penonton "terus ketawa" dan mengikut alunan "kebodohan" pelakunya (watak), penonton jadi geli hati, mengikut lalu terpesona. Inilah kepedasan Mamat yang tiada belas kasihan.

Tetapi apakah yang berlaku, setelah filem yang "kosong" tetapi "berisi" itu ditayangkan? Ia laku keras, memecah panggung. Di sinilah kelicikan Mamat. Beliau, seperti John Waters mahupun Guy Maddin menyampaikan suatu "apa yang penonton dahagakan" dengan makna-makna wayang/sinema yang tertentu, menghiburkan sekali gus memerolok-olokkan mereka. Dan mereka menerimanya (they bought it). Yang memeningkan aku bukan penonton, tetapi PARA PEMBIKIN selepas itu, atas nama (kita kena ikut formula ini) telah MENYALIN, MEMBISEM dan kononnya MENAMBAHBAIK filem yang seakan-akan Hantu Kak Limah, dan hal inilah yang disesalkan, bukan satu, atau dua, tetapi 20! Hal ini seakan-akan pembikin kita "tidak tahu" hendak membina sendiri cerita-cerita asli yang berkesan, harus hendak mengikut suatu struktur yang sebenarnya punya agenda sendiri, maka hanya "surface" yang dicapai, bukan dasarnya.

Lihat sahaja apabila Syamsul Yusof berjaya dengan KL Gangsternya, berapa salinan yang menurut selepas itu, tanpa keaslian, tanpa keterujaan, sesuatu yang lain dan menarik. Sehingga pelbagai genre dimuat masuk, komedi-aksi-drama dalam satu-satu filem untuk menandingi filem Syamsul tersebut. Hal inilah yang membimbangkan dan disesali.

Kita bukannya tidak ada cerita. Sudah penat sasterawan dan penulis kita menulis, malah banyak juga yang baik dan jauh meninggalkan klise dan plot dungu sesetengah filem Melayu. Apakah para pembikin tidak membaca? Adakah mereka takut? Sudahlah salinan yang dilakukan tampak celup-celam, ingin menjadi sedikit semacam Hong Kong, Thailand dan entah apa-apa negara lagi tanpa melihat jati diri sendiri, salinan itu juga amat memalukan dan malu untuk dipaparkan di tengah layar dunia.

Sudah tiba masanya para pembikin berhenti sejenak, berfikir, adakah berbaloi mengulang kisah yang sama, formula yang sama dengan kisah yang boleh dijaja di televisyen (dan bukan di pawagam, bagaimana orang mahu menonton Kahwin 5, contohnya, bukankah ini semacam mengeji Madu Tiga, bukan lagi merujuk, tetapi semacam mengejek), dengan tiada kesatuan cerita yang kuat, dengan tiada kepakaran teknik yang tinggi, dengan penanda yang dibuat-buat dan main-main tanpa maksud (wayang memerlukan penanda-penanda yang kuat untuk dinikmati sebagai "wayang"). Hal ini perlu diselidiki, perlu direnungi sebelum wayang Malaysia menimbuskan dirinya sendiri, enam kaki di dalam tanah. Ditanam oleh para pembikinnya sendiri.

Di bawah merupakan CONTOH perbandingan pembikin kita yang membikin filem tanpa pengisian wayang dengan pengisian wayang bermaksud dalam filem-filem seram bikinan pembikin Barat yang baik:

 Sambungan di Youtube.com

16 December 2012

Husin, Mon & Jin Pakai Toncit(2013): Panas, Membara dan Kehilangan

"Mengelirukan, bukan?" - Dr. Shamsudin

Ah, menonton Hantu Kak Limah Balik Rumah tahun lepas adalah suatu fasa fenomena filem Malaysia. Aku menyedari sesuatu yang menarik, yang menjadikan filem-filem Mamat Khalid ini sesuatu yang bukan boleh ditonton secara lalu tetapi seharusnya diambil, sebabak demi sebabak seperti penonton menganalisa filem mendiang Stanley Kubrik, setiap satu babak dan imejannya bermaksud, menyampaikan maksud-maksud tertentu yang dapat dikod kepada pelbagai intepretasi. Perkara ini menjadikan seseorang pengarah itu intelektual dan filemnya cerdik. Hal ini ada dalam filem-filem Allahyarham P. Ramlee.
 
Sedihnya, kita kini dalam fasa majoriti penonton filem Melayu yang hanya inginkan "cheap tricks" (ini pengakuan David Teo dan Razak Mohaideen dan mengapa filem-filem sebegini yang terus dibikin oleh mereka) dan hiburan murahan ("Kita berikan apa penonton nak," kata kedua-dua tokoh itu). Hantu Kak Limah dibikin dengan gaya "B-film", sebuah filem dalam erti kata pengkritik Barat sebagai "trash". Aku sendiri mengaku, filem Hantu Kak Limah "is a good trash", seantaro John Walters. Malah "mesej utama" filem itu sebenarnya adalah menyindir penonton yang terlalu disuap-suapkan dengan filem hantu (Mamat sendiri mengaku, beliau tidak percaya dengan tahyul). Apa yang mamat hendak katakan ialah, "Eh, macam ni kau nak terhibur?" Lalu terhiburlah kita, mengikut, malah meletup filem itu. Tetapi, adakah "subtle message" itu sampai (yakni menyuruh penonton biasa ini mencerdikkan minda mencari makna sebalik dan mencari filem yang lebih baik)? Apakah kita tersedar? Apakah kita peduli?
 
Yang aku tahu, pembikin kita yang terikat dengan syaitan besar bernama kapitalisme menjadi buta, lalu terkeluarlah filem-filem salinan Hantu Kak Limah, berlambak-lambak yang diakhiri dengan tahun ini dengan Ponti vs. Orang Minyak (2012). Semuanya mengikut "kita berikan apa yang penonton nak" sedangkan dengan jelas, Hantu Kak Limah menyatakan sebaliknya.
 
Aku tahu hal ini apabila aku tidak lagti skeptikal menonton filem "ketiga" trilogi Kampung Pisang ini, aku sedar bahawa filem Mamat ini tidak akan menyampaikan "lawak bodoh" tiada isi yang biasa diterbitkan oleh penerbit lain.
 
Benar, itulah yang aku dapat. Kali ini, aku terfikir, adakah Mamat hendak "menjentik" hal yang sama kepada penonton? Suatu perkara yang amat mengejutkan, dan "bahaya" buat aku, menunjukkan betapa berani dan jujurnya Mamat sebagai penggerak seni adalah dengan menyuntik hal politik semasa yang bagi aku kali ini AMAT JELAS dan amat sesuai sebelum kehadiran Pilihanraya. Mahu tidak mahu, suka atau tidak, pandangan Mamat jujut dan tulus tentang "ambang kiamat" yang "orang Melayu" akan hadapi pada PRU kali ini. Aku tidak akan menyatakan apa-apa, hanya ada pemaknaan jelas tentang dua parti politik besar yang dimainkan dalam filem ini (serta dua tokohnya), satunya yang kini memang dipinggirkan oleh orang Melayu, satu lagi dibayangkan sebagai "bersih" tetapi membawa kepada jalan menuju "sistem Singapura".
 
Dan masyarakat (penanda: orang kampung) terus sahaja dibutakan oleh "media" dan "kata-mengata", mengangguk kepada setiap cakap dan cerita. Husin (Awie) yang menjadi simbol (jati diri) dipersisihkan. Ini nampak melankolik, semangat (kata-kata tulus Mamat) yang "benar" akan dipinggirkan. Ini suatu zaman baharu, zaman "apakolips" buat Mamat bagi bangsanyta.
 
Aku akan berikan sedikit sahaja klu, Dr. Shamsudin (Rashidi Ishak) ada kaitan dengan nama "Jins Shamsudin". Untuk mengetahui dengan lebih jauh tentang perkaitan ini, penonton (yang tak nampak) haruslah membaca sejarah Jins Shamsudin dan perkaitannya dalam sejarah filem, khusus era Jalan Ampas. Hal ini dengan jelas menampilkan dengan "kuasa media" yang amat mencuit bagi aku apabila "Dr. Shamsudin" ini boleh "menampakkan yang benar" atau "di sebalik" (media) kepada orang kampung (yang sebenarnya ada maksud lain). Hal ini seperti menyatakan makna "lidah bercabang". Ini antara kekuatan Mamat Khalid.
 
Hal ini menarik, tetapi mendukakan, kali ini, kuasa dramatik dan tempo komedi Mamat tampak tersasar, jika Hantu Kak Limah, kita lihat semuanya disusun elok. Kali ini, mungkin kerana kematian Zami Ismail (yang amat hebat dalam filem ini) atau ketiadaan Johan, serta kemasukan beberapa watak baharu dan membesarkan beberapa watak cameo daripada Hantu Kak Limah (yang lemah dan cukup keluar sekali-sekala sahaja). Dinamisme lakonan yang aku temui dalam filem sebelum hilang atau "porak-peranda" dalam filem ini, diperlemahkan oleh beberapa pelakon yang bukan pelakon. Terdapat beberapa babak dan syot yang bagi aku juga hilang kekuatannya, serta tempo pergerakan motivasi. Ada pelbagai babak "teruja" yang sengaja menampilkan takut-seram yang sempurna dalam filem sebelum. Dalam filem ini, sepatutnya ada hal itu, tetapi kini tampak terbuat-buat dan tiada kawalan yang betul. Malah, lagu rock balada "video klip" Lamunan Terhenti sepatutnya seikonik Cinta Kristal. Tetapi hal itu tidak berlaku, ia kelihatan "diulang", penat dan tiada upaya. Hal ini (execution) yang menyebabkan terhilang sakti yang wujud dalam filem terdahulu. Ada CGI menarik berkiatan "jin pakai toncit" dan "hantu macam Dementor Harry Potter" tetapi masih tidak dapat membantu gegeran lemah yang sudah dilaksanakan oleh suntingan dan peredaran cerita.
 
Sekurang-kurangnya, filem ini, masih lebih senang ditonton jika aku tonton segala komedi-seram yang ditayang, yang hanya memberi "apa yang penonton nak" daripada memberi apa yang "sebenarnya penonton perlu".
 
Klasifikasi Untuk Tiga Hari: U, Beberapa babak separa seram yang mungkin tidak sesuai untuk kanak-kanak.
DITONTON DI GSC Ipoh Parade. [AKAN DITAYANG 7 FEBRUARI 2013]

23 November 2012

Lagenda Budak Setan 2 Katerina(2012) Macam Setan

"Kita bukannya dalam zaman filem P. Ramlee, Antara Dua Darjat tu ..." - Katerina


OK, aku ni teruk sikit. Aku ni cepat menangis. Pada bahagian klimaks filem ini (bersangkutan dengan seorang bayi), aku menangis, siot.

Tetapi itu tidak bermakna filem ini berjaya dengan gemilang.

Serius filem ini kucar-kacir. Kucar-kacir (sekuel) yang mencuba.

Kelemahan Sharad untuk mengikat filem ini, dan melihat bahagian mana memerlukan mood dan tempo tertentu mungkin adalah penyebabnya. Tetapi kali ini, mengejutkan, termasuk penulis skripnya, Ahadiat Akashah dan Jujur Prananto. Kaukenal Jujur Prananto? Dialah antara penulis skrip Apa Ada Dengan Cinta? (2002), ya, dia kira "legenda" (ejaan betul DBP) dan tak mungkin melakukan kesalahan.

Tetapi inilah yang berlaku.

Aku serius ingin menyukai filem sambungan Kasyah (Farid Kamil) dengan wanita baharu, Katerina (Maya Karin, filem sebelum dilakonkan oleh Nur Fazura) selepas kematian Ayu (Lisa Surihani). Tetapi, apabila kau sedari filem dengan watak dan perwatakannya yang kebanyakannya satu dimensi ini pelik, kau mula mencurigainya. Filem melodrama ini bukan sahaja mengulangi beberapa tema sama daripada filem awal (kekasih gila suka pukul contohnya, tapi kali ini Bront memberi makna baru berkenaan GILA, dan teramatlah OTTnya dia kali ini, setiap lima saat dia nak terjerit, adakah ini diarahkan?) tetapi menampilkan sifat fatalistik dan pesimistik Ahadiat tentang dunia Kuala Lumpur yang urban: ia dipenuhi dengan manusia yang jika bukan lurus bendul, separuhnya lagi gila wang dan gila-gila (yakni psiko, siap sanggup bermain S&M dengan seorang lelaki lembut!). Inilah habuk-habuk kota, Ahadiat dan Jujur memang tidak mendidaktikan hal ini, malah jauh daripada meromantiskannya, tetapi menyusunnya seperti suatu tragedi yunani (yang hanya berlaku pada 30 minit akhir filem ini, satu per satu secara literal! Serius macam filem Tamil dulu-dulu!). Si hero dikecam dalam dunia serba mencengkam, ujian menimpa pelbagai arah. Ini yang pelik, bukankah si hero sudah merasa hidup dan peristiwa, tidakkah dia tidak sedar (alert), kenapa terlalu jujur begitu melihat dunia? Adakah ini fragmen watka yang biasa dalam mana-mana novel romantik Ahadiat? Seorang perajurit yang lurus menghadapi merana?

Aku inginkan seorang wanita yang kuat. Mengapa filem ini yang menampilkan wanita yang berjaya tetapi kalah dalam cinta, malah bendul dalam perlakuan emosinya? (tanpa usul periksa dia tiba-tiba melenting, mengurung diri) Seakan-akan wanita dalam filem ini tidak berevolusi, masih berfikiran "kekampungan" dalam pakaian modennya. Sesungguhnya hakikat ini yang perlu ditelusuri oleh pengarah/penulis skrip dengan betul-betul untuk membuat penonton percaya dengan watak wanitanya.

OK, ada dua perkara menarik yang cuba diangkat oleh pembikin, yang aku kira boleh dipuji. Pertamanya, jika dilihat filem ini secara luaran, ia menampilkan dua generasi Melayu di tengah-tengah metropolitan. Kasyah mewakili waris Melayu lama. Rumah Kasyah agam, menunjukkan kekayaan yang diwarisi oleh ibu ayah (rujuk UMNO, rujuk perjuangan politik Melayu lama, rujuk romantisme Melayu era kemerdekaan, ini diperkuatkan lagi apabila Kasyah bertutur dengan bahasa Melayu sepanjang filem) tetapi "kosong", abangnya rosak akhlak, dunianya satu keluarga disfungsi (dysfunctional) dan menunggu retak dan belah (rujuk kembali pemahaman simbolisme tadi: perjuangan orang Melayu lama kini menunggu retak belah kerana tiada sesiapa yang meyakininya lagi). 

Katerina, melihat pada namanya sahaja mewakili waris Melayu baharu pasca DEB. Keluarganya mendapat kekayaan (mungkin daripada peluh keringat sendiri?) dan pembelajaran terbaik (tak silap aku, Katerina belajar dari luar negara), dan mewakili "kekuasaan" orang Melayu zaman kini. Dengan sindir, Ahadiat seperti menyatakan, walaupun secara material Katerina dan keluarganya menunjukkan prestasi "bahagia" yang diingini oleh kebanyakan keluarga Melayu, tetapi watak Katerina itu sendiri "terseksa" dengan pelbagai pengalamannya di kota, menampilkan makna "duit tidak dapat membeli kehidupan yang senang".

Ah, maka dua dunia berbeza ini bertemu di sebuah kafe. Ini perkara menarik yang kedua. Dengan jelas, Katerina mencintai Kasyah. Mereka mahu "berkahwin" (menyatukan dua dunia ini). Kasyah ragu-ragu kerana dunia Katerina berbeza. Katerina dengan jelas menyatakan: "Kita tak hidup dalam filem P. Ramlee lagi." Ada dua makna yang menarik berlaku. Pertama, kata-kata itu menampilkan keberanian Sharad dan kru, menyatakan: "Kita kena keluar daripada penyanjungan filem P. Ramlee, kita kena move on, fikir dan buat filem-filem baru." Kedua, adalah hajat tulus Katerina dengan sikap terbukanya bahawa "perkahwinan berbeza latar sosial tak berlaku lagi di sini."

Ah, kemudian berlaku ironi! Double irony! (spoiler!): Katerina "dihalang" kahwin oleh orang tuanya (dengan cara yang amat kejam dan mengejutkan, jauh daripada sisi moral dan siuman insan) lalu menafikan hajat/doa Katerina tersebut. Keduanya, filem ini "tidak berjaya" sepenuhnya "keluar" daripada kehebatan bayang-bayang filem P. Ramlee (yang lebih terkawal dan terikat cantik).

Semuanya kerana beberapa hal. Ada satu babak yang amat panjang, lewah yang berlaku di Bhutan tanpa apa-apa implikasi dramatik mahupun motif dalam plot (amat kecil sebenarnya, walaupun caranya menarik dan seakan-akan fantasi). Kemudian kereta serong yang tiba-tiba muncul, kematian Ning Baizura yang tidak ada polis pun menyiasat, wajah bersolek atas katil hospital walaupun nazak, hal-hal ini sudah tentu tidak akan dibuat oleh P. Ramlee. 3/4 awal filem ini melemaskan, malah mati, temponya terlalu lambat. Bila tiba masa "drama" berlaku, ia berlaku macam tembakan mesingan, tembak tembak tembak tanpa berhenti. Ini sesuatu yang amat canggung walaupun mungkin beginilah yang ditulis oleh Ahadiat dalam novelnya.

Sinematografinya OK dengan tidak terlalu eksperimental. Aku suka runut bunyinya, dan lagu Ning Baizura itu indah. Lakonan para pelakon agak OK, hanya skripnya tidak memberi ruang buat mereka "membesar". Aku benci Bront dalam filem ini, menjerit setiap lima saat, melakonkan watak yang all out psycho yang out of touch. Que Haidar lebih baik daripada Bront dari segi ini. Si awek Azri Iskandar pula entah apa-apa bila "high", dia kena belajar daripada Fasha Sandha dalam Anak Halal. Hanya babak dia nak keluarkan anak yang menjadi. Maya Karin? Hmmph.. Masalahnya, kita sudah menyayangi Nur Fazura. Apabila Maya menggantikannya, aku tidak tahu, walaupun dia mencuba yang terbaik, watak itu sepatutnya dalam tangan Fazura. Farid kali ini lebih terkawal malah baik, dan tahu masa-masa emosinya. Aku benci babak tiba-tiba Lana Nordin mengaku bersalah. Lakonan paling baik adalah bayi yang berlakon sebagai Athirah. SERIUS. Banyak momen bayi itu yang pelakon dewasanya pun kalah.

Pada akhir filem, ia memaparkan "sambungan ketiga" filem ini, WAH, macam Back to the Future pulak! Filem ini berjaya buat aku menangis, tetapi ia tetap membuat aku rasa jengkel. Aku harap itu tidak berlaku pada bahagian ketiganya.

Klasifikasi: 13, Beberapa babak dewasa yang mencadangkan seks dan homoseks yang mungkin tidak sesuai untuk kanak-kanak. 

DITONTON DI GSC Pavilion.

08 November 2012

War of the Worlds: Goliath(2012): Punk Stim Mencari Makna

Filem animasi Malaysia bikinan bersama Kevin Eastman (pencipta Teenage Mutant Ninja Turtles), Joe Pearson, dengan penulisan David Abramowitz (penulis skrip drama "V" era 80-an) dengan Leon Tan (pencipta siri kartun Saladin), dengan usahasama MDEC dan Finas, sepatutnya memberi kita sesuatu.

Sesuatu itu mungkin terhadap seorang watak dalam filem animasi ini, disuarakan oleh Tony Eusoff, "Shah" yang berkeris di pinggang, anak raja (yang dibuang kerana mengikuti A.R.E.S, sebuah pertubuhan militari seakan NATO yang berhimpun untuk mengawal bumi daripada serangan makhluk asing), tak tinggal solat, dan bijak dalam kata-kata (beliau seakan Yoda atau Spock dalam filem ini). Watak sampingan ini tampak lebih menarik, meyakinkan dan memberi sesuatu daripada keseluruhan plot penceritaan, intrig dayus dan huru-hara yang telah dilakukan oleh Abramoqitz dan Pearson.

Filem animasi ini bukanlah filem animasi pertama yang mengeluarkan keris dari sarungnya dalam dunia serba futuristik. Hassan Muthalib pernah melakukannya, tetapi dalam alternatif masa yang lain. Kali ini, pancaran rekabentuk grafik dan kekuasaan teknik (dan tambahan 3D) tampak lebih bergaya, khusus kebijaksanaan dan ketelitian ilustrator kita (ya, orang tempatan) dalam menghidupkan dunia punk stim (steam punk) yang semenarik yang pernah aku tonton berlaku dalam dunia anime, khusus dalam penelitian latar filem ini yang begitu indah dan hidup, bangunan dan organik teknologi stim tahap ultra yang berjaya mengimbau kuasa.

Lakaran watak seakan gaya Don Bluth juga tidak mengecewakan oleh kumpulan ilustrator kita, membawa sifat "keDisneyan" dalam tradisi Manga; hanya kini, itu sahaja yang muluk-muluk dapat dinyatakan. Secara dasar, filem ini tidak punya kisah, dengan dialog buatan amatur (yang amat mengejutkan!), merundum pembangunan cerita dan pembangunan watak yang boleh diikuti sehingga habis. Segalanya percubaan seakan sifat kartun TV (yang bagi aku siri kartun X-Men lebih berjaya jika dibandingkan) yang biasa dibikin untuk wayang pada era 80-an.

Dengan mengambil rangka novel asal HG Wells lalu memberinya sekuel, era punk stim, dunia alternatif sebelum Perang Dunia Pertama di mana Roosevelt, sang Setiausaha Perang A.R.E.S. seakan abang saudara Sylvester Stallone daripada The Expendables, tidak menampilkan suatu roh penceritaan yang boleh kita ikuti, amati dan angkat. Filem ini dibuat, semacam hendak menunjukkan kehandalan ia bermain dengan efek, suara dan warna, dengan babak-babak klise serangan dan peperangan makluk asing yang pernah kita tonton dan sukai. 

Malah aksi dan suntingan filem ini dipersoalkan, khusus dalam memberikan mimik dan "animasi" terhadap wajah, sifat dan perwatakan watak, semuanya kadbod sepertimana kadbodnya skrip. Aku tak tipu apabila filem animasi Upin dan Ipin jauh mengalahkan filem ini dari segi perwatakan dan hiburan tersebut. Aku terlelap dekat 5 kali menonton filem ini, walaupun terdapat tembakan, meletup dan kemusnahan maha ala kiamat yang gila-gila. 

Inilah suatu contoh, kadang-kadang, filem memerlukan inspirasi cerita dan pengisahan yang bagus, dan bukan muat ikut suka pembikinnya.

Klasifikasi: U, Beberapa babak ganas dan berdarah, walaupun kartun, serta imbauan seks yang mungkin tidak sesuai untuk kanak-kanak. 

DITONTON DI GSC Mid Valley (3D).

Masuk Pawagam pada 15 November 2012 Seluruh Malaysia.

06 November 2012

Zaiton Ceritaku(2012): Menadah Impian

"Mati hidup balik pun aku nak nyanyi juga ..." - Zaiton Sameon

Kaitkan dialog di atas dengan sinema. Yeap. mati (habis filem) hidup balik pun, filem tetap mahu menayang dan menayang tanpa henti. Memberi kita gula-gula (dan dunia ilusi sementara).

Ainon Ariff dan Burhanuddin Md Radzi amat "berani" apabila ingin membuat filem ini. Ini adalah kerana, filem yang "anti klimaks" dan "anti fairy tale" ini mempunyai ton-ton gelap yang tidak biasa kita tonton dalam sesebuah filem sekarang, mengingatkan aku era kemuncak melodrama 80-an yang memberi kisah-kisah gelap dan getir (bayangkan babak akhir filem Jins Shamsuddin yang gila bawah kolong itu, serus mengerikan), mengingatkan aku era kejatuhan Whitney Houstan yang tak boleh naik-naik lagi. Lebih berani lagi apabila pasangan suami isteri ini berani menembak "You're fired" kepada Fauziah Nawi dan Mislina Mustafa, yang mengikut kata-mengata peminat merupakan "pasangan definitive untuk merealisasikan kemilau pesona pasca Zaiton Sameon". 

Jika Ainon dan Burhanuddin pandai, sepertimana yang berlaku dengan prekuel The Exorcist terbitan Warner Bros, mereka bolehlah terbitkan sebuah lagi "versi" Zaiton Sameon supaya peminat dapat bandingkan dan menghargai versi mana yang mereka suka.

Aku kini faham mengapa Fauziah Nawi dipanggil. Melihat "cara" siaran babak filem ini, ia amat "teaterikal" dan perlu sentuhan wanita. Aku gembira, apabila pengarah yang diganti adalah Esma Danial, bekas penyanyi boy band yang tentu juga memahami "perasaan" dan imejan era kejatuhan seseorang penyanyi popular. Percubaan Esma tidak menggagalkan malah amat memahami pergerakan dan momen dramatik (yang kuat dan perlu beri tumpuan). Hanya aku tidak berapa setuju dengan beberapa syot zooming yang ingin mengejutkan dan babak "kegoncangan mental" yang boleh diberi keyakinan yang lebih wajar.

Ah, tetapi sinematografinya tentu dan setentunya mesti diberi pujian. Mohd Noor Kassim telah melakukan beberapa teknik penggambaran yang susah dan "mencabar" kepada sebuah filem yang kecil ini. Awal kredit ini, kita melihat Zaiton Sameon (lakonan memberangsangkan dan jujur oleh Nadia Aqilah, walaupun punya ruang untuk menusuk lagi ke dalam ruang gelap diva yang berkecai jiwanya ini) membuka panggung dengan nyanyiannya, seorang di pentas berkemilau dengan cahaya, tanpa kelihatan audiens (sekitarnya gelap). Lalu dalam satu syot, kita diperlihatkan belakang Zaiton (penanda suatu yang buruk akan berlaku) berjalan masuk belakang pentas dan bertemu pelbagai orang (satu daripadanya, mungkin aku terbawa-bawa, kelihatan seperti seorang Siti Nurhaliza yang muda dan sopan, ah ini menarik sebagai suatu persoalan dalam filem kepada kiasan kajian industri muzik ini) dan babak ini panjang(!) mengingatkan aku kepada Godfellas. Zaiton sampai ke tempat kostum biliknya, bersiap dengan anaknya memakan KFC (satu lagi penanda, sepertimana kilauan cahaya di latar hitam, KFC yakni ayam sedap, cepat tetapi habis dan kurang khasiat: simbolisme kepada dunia artis dan dunia muzik pop itu sendiri, yang berkait dengan singkatnya era kegemilangan diva hebat ini). Penanda ini penting (siapa makan KFC tu?). Babak seterusnya, yang sedikit komikal (jangan sesekali guna CGI), kita lihat satu kemalangan, dan Zaiton di dalamnya.

Serius, mati-mati aku ingat filem ini tentang kisah naik-jatuh seorang diva. Rupa-rupanya, dalam 90 minit seterusnya, aku perlu menonton episod-episod getir seorang diva yang ditahan untuk menaiki pentas sekali lagi (rujuk era kejatuhan P. Ramlee). Kegetiran ini menarik apabila, filem ini dengan jujur, menampilkan kebusukan jiwa masyarakatnya yang hanya ingin melihat kemilauan, hebat dan kecantikan, tetapi memandang rendah terhadap keburukan, kemalapan dan kesumbangan (bukankah ini gambaran sebenar penonton tempatan kita, yakni mereka takut mendepani realiti, menonton filem-filem singkap realisme?). Didaktik ini, berkait pula dengan kompleksiti moral-keinginan Zaiton pada zaman kemuncaknya. Zaiton berkata dengan pakaian menjolok matanya, "Aku buat ni untuk mereka, mereka nak tengok aku macam ni." Dia memberi yang terbaik buat manusia yang kononnya mencintainya, sesuatu yang tidak pernah lagi dibalas-balas oleh mereka.

Kecuali oleh beberapa orang yang memahaminya.

Latar hitam (yang sepatutnya adalah mata kita sebagai penonton, dan simbolisme ini filem yang gelap, bukan sahaja sebagai pemahaman dunia luar Zaiton waktu kemuncaknya yang mana dia seakan diangkat sebagai pemaisuri) juga menampilkan misteri yang dilindung (daripada kita) untuk ditatapi, yang kemudiannya diselak dan diselak sehingga berakhir dengan terang di kaki lima Bukit Bintang (tetapi buat aku, babak ini agak lemah sebagai klimaks cerita), yang pada waktu itu secara ironi, Zaiton dikerumuni manusia dengan jelas dan terang (aku tidak mahu menyingkap lagi kerana spoiler nanti).

Kemudian, ada satu mainan ruang dan sinematografi yang mencengkam. Pada detik awal Zaiton terbangun, dia dengan syot POV, dikerumuni ahli keluarganya. Perkara ini seakan satu "gula-gula" bahawa kasih-sayang akan membantunya, tetapi terdapat cuit dan mimik kecil yang memberitahu penonton bahawa ini adalah "ilusi" (bandingkan dengan kuasa kasih-sayang POV dalam The Diving Bell and the Butterfly). Ilusi ini direalisasikan lagi dengan pembuakan sebenar ahli keluarganya yang dysfunctional, bercakap tentang "harta" (sedangkan Zaiton masih lagi hidup). Syot dilakukan dengan tangkapan dari jendela rumah "melihat ke dalam" drama keluarga ini yang mula berantakan (syot ini penting, sebagai memahami mengapa syot di rumah ibu Rahim berlaku di dalam). Gayanya agak teaterikal (mengikut semangat 80-an dan Abang) tetapi lebih penting, menunjukkan bagaimana permulaan "neraka" Zaiton di dunia, suatu "dunia" yang hanya dipenuhi ahli keluarganya yang memerangkapnya (sehingga kita, para penonton terpaksa "mengendap" untuk melihat perilaku yang sebenar berlaku). Malah secara bijak, tanpa suntingan, syot bergerak ke bawah (ke dalam "neraka" hidup Zaiton saat itu) lalu masa itulah gambar memasuki "ruang rumah" dan Zaiton dalam keadaan rusuh dan pilu. Selamat datang ke dalam neraka dunia Zaiton Sameon.
Babak paling poignant bagi aku berlaku pada bahagian Zaiton dengan selamba, naik ke pentas untuk menyanyi lagu sebuah kenduri kahwin. Zaiton (yang hilang suaranya) menyanyi dan menyukai rasa ditontoni sekali lagi (rujuk latar hitam awal pembukaan filem), berseloroh tentang "kahwin" dengan para "audiens" yang melihatnya seakan "buang tabiat". Kajian mencari makna "sambutan" amat mengena pada bahagian ini. Wajib ditonton oleh mana-mana penyanyi Malaysia yang berlagak hebat.

Segala kemeriahan dan kekuatan ini, kadang-kala diganggu oleh percubaan "teaterikal" (rujuk adegan Zaiton dan adiknya di permukaan hijau) dalam skrip Ainon (babak dramanya begitu panjang) menangkap drama filem (dan melodramanya) yang diberi percubaan bagus oleh Esma dalam memahami babak dan turutan drama, yang kadang-kadang terseksa juga kerana kepanjangannya. Beberapa babak juga bergerak lancar dan Ainon serta Esma tidak membuang masa memberi kita kesemuanya, kerana yang "dipentingkan" adalah dunia Zaiton. Hal ini mungkin menjadi suatu "gangguan" kepada penonton, khusus babak transisi yang terlalu cepat berkenaan liku-liku Zaiton ingin diangkat semula oleh pasangan suami isteri dari Perak yang tiba-tiba ketemu Zaiton di sebuah warung makan. Berjaya-gagal ini tampak dalam beberapa babak perubahan adegan, contohnya babak durian yang mana kelihatan dibuat-buat pada awalnya, muncul menarik setelah transisi itu berlaku (dan cukup menghibakan kalau dilihat dalm konteks Zaiton sebagai penyanyi), yakni Zaiton menjadi "magnet" menarik pelanggan membeli durian di kawasan kampung itu.

Pengakhiran filem ini amat "anti klimaks", seakan-akan tidak memberi penyelesaian kepada masalah Zaiton. Tragik ini terus tragik, berkemungkinan Ainon ingin "mengajar" dunia sebenar "kemilau yang tidak ke mana-mana", tetapi bagi aku, hal ini sepatutnya memberi sedikit ruang "kemanusiaan" buat Zaiton yang sudah diperlakukan dan dihancurkan (walaupun tidak seekstrem dan menyakitkan dalam Dancer in the Dark). Inilah risiko besar digalas Ainon, kerana filem ini, secara satiranya, menampilkan kisah hidup sebenar dunia artis, dunia gelap hiburan "yang tiba-tiba", lantas berkait dengan anti-sinema, sepertimana yang kita tonton dalam Sunset Blvd (1950), Mullholland Drive (2001) dan seperti yang dibayangkan dalam buku Hollywood Babylon Kenneth Anger (dunia yang akan menelan pelakunya). Hanya kisahnya terlalu pendek dan tidak memberi impak sepatutnya pada akhirnya. Ya, Ainon perlu memberi satu "refleksi" penting, suatu  babak "biar aku lihat diri aku dan mengapa aku begini" kepada watak Zaiton (rujuk kehebatan Suhaimi Baba melakukannya dalam Layar Lara, atau yang dilakukan dalam The Artist), yang mana tidak diberikan suaranya (suara sebenarnya hanya monolog kepada kita, ini jalan senang, seakan-akan dia dah bertaubat sedari awal), suatu babak yang mana Zaiton benar-benar mendepani dirinya sekarang dan dirinya dahulu. Jika ini dapat dicapai oleh skrip Ainon, filem ini antara filem terbaik tahun ini.

Aku suka sebilangan lakonan dalam filem ini, dan fokusnya tentulah Nadia Aqilah yang sudah mencuba yang terbaik dan sepatutnya dipuji. Tempo melodramanya juga tidak dibuat-buat dan diberikan mengalir sendiri. Aku benci lakonan adik Ogy, Fazlina, yang terlalu mencuba, antitesis terhadap lakonan selamba watak-watak lain. Runut bunyi Adnan Abu Hassan cuba membawa kembali dunia muzik ekspresional 90-an yang kita kenal dalam filem-filem Aziz M. Osman yang kemudiannya, bila kembara Zaiton ke dunia menyakitkannya berterusan, membawa kita alunan lagu okestra yang lunak dan pedih. Aku terikut menyanyi beberapa lagu baladanya (walaupun diulang-ulang). Ingatkan aku beli CD Zaiton Sameon selepas ini.

Sebuah filem tangkapan sebenar suatu detik seorang penyanyi hebat tanah air yang memberikan kita sesuatu, hanya hidangan utamanya tidak terhidang untuk memberi kita kepuasan sebenarnya.

Klasifikasi: U, sesuai untuk penonton bawah umur tetapi lebih elok diikuti dengan keluarga. 

MENONTON DI GSC Mid Valley. (projektor dan sistem bunyi dewan 16 yang hancur mutunya)

31 October 2012

Tanda Putera(2012): Tanda Tapestri Mencuba

Mula-mula aku tonton filem ini, adalah sikit dalam diri aku, menyedari, he heh, ini dia alat Kerajaan untuk menyampaikan mengapa mereka tak suka Bersih. Well, secara mudah, begitulah yang terjadi (pelik, sebab Layar Lara mempunyai satu adegan filem dalam filem yang memaparkan protes rakyat, walaupun kecil) dalam mana-mana filem perjuangan. Ah, Shumi oh Shumi. Serius aku takde masalah kau nak ajak para Aryan menyanyi bersama-sama sambil berdiri mengangkat tangan apabila olahragawan berpusing gimnas atau membawa obor api, tetapi apakah cara yang kau buat itu "believable"? (rujuk babak Rusdi Ramli jatuh dari pokok rambutan dalam filem ini.)

Rumusan kisah terhadap filem ini adalah berkenaan dua orang sakit cuba mengubati negara yang turut sakit. Sakitnya macam-macam, daripada sengketa komunis (filem mempropogandakan bahawa rusuhan perkauman berpunca daripada rancangan subversif komunis untuk memporak-perandakan sebuah negara yang masih muda merdeka), masalah kemiskinan orang Melayu, kemalaratan hidup pascaperang sehinggalah kepada perselisihan perkauman. Inilah sakit-sakit yang perlu ditangani oleh dua perwira negara, Tun Abdul Razak (Rusdi Ramli) dan Tun Dr. Ismail (Zizan Nin) yang masih-masing juga sakit. Serius ada "leader glorification" dalam filem ini dan hal itu pun aku takde masalah, tapi BAGAIMANA kau melakukannya untuk diyakini? 

Ada satu baris dialog dalam filem ini, menjadi teraju utama tiang seri terhadap filem ini secara keseluruhan, terpacul dari mulut rahmat Tun Razak: "Orang yang paling saya percayai sudah meninggalkan saya ..."

Tak, ini bukan perhubungan Cinta Platonik Tun Razak-Tun Dr. Ismail tetapi sifat kepercayaan tinggi dalam persahabatan Tun Razak dengan "Dr." Ada masalah, dalam menyelami "perhubungan paling dipercayai" ini apabila penulis skrip Suhaimi Baba, Aida Fitri Buyong dan Haslinda Samad (anak A Samad Said?) memberi kami "keyakinan" berkenaan "kepercayaan" Tun Razak kepada Dr. Ismail, di mana titik "establish shot" yang mewakili kepercayaan itu dan di mana kepercayaan itu diuji? Kenapa tiba-tiba dua pemimpin ini "harus pergi" dalam saat sangat bergoncang bagi Malaysia waktu itu (ah, pandangan ini menarik, mungkin hanya waktu si pemimpin itu memahami nilai kehidupanlah beliau dapat melakukannya kerjanya dengan ikhlas, saksama tanpa rasuah), apakah dan bagaimanakah sakit itu bermula? Dua persoalan inilah yang sepatutnya menjadi tunjang utama menggerakkan plot filem ini memandangkan filem ini amat memfokuskan "keterlibatan" dua wira negara ini dalam "membangunkan" filem ini (bukan negara pun, filem!)

Apa sahaja yang Suhaimi bagi? Setakat (walaupun memang seronok) Dr. Mahathir yang hensem, Tun Raha yang anggun, "Joe" yang mancung dan Najib Razak yang "hot", yep, sekali lagi, banyak sekali karikatur-karikatur yang berlaku (seperti 1957: Hati Malaya) walaupun memang menyeronokkan (setiap babak yang ada Dr.Mahathir seronok dan menggelikan hati aku) tanpa benar-benar mengambil serius perkembangan satu watak kepada permulaan-kembang-berakhir. Aku dan kawan aku menontonnya siap seronok dengan "pertandingan siapa cham siapa dulu", dalam pawagam, kita asyik "Wah, Dr. Mahathir lookalike!" atau "Ah, tu mesti Anwar" (dalam satu babak demonstrasi pelajar, tapi bukan, ini hanya gurauan) Itu sahaja yang berlaku.

Kerana keseluruhan filem ini kelihatan seperti satu tapestri tempelen beberapa "detik sejarah" yang dipilih oleh Suhaimi dan rakan penulisnya setelah "mengkaji" sejarah Malaysia bertahun-tahun naik turun keluar masuk Malaysia. Suhaimi macam Tom Cruise dalam Minority Report, jarinya berpusing-pusing macam menari atas skrin mencari, masuk, keluar, cantum dan memainkan detik-detik pita sejarah di depan matanya dan sekali gus kita. Hanya jari tangannya tersasul dan menggeletar untuk bermain. Ah, dia agak kaki bangku di majlis tari.

Masalah terbesar filem ini adalah fokus "watak-watak kecil" yang sengaja dilakukan (sepertimana tumpuan novel Sandera Arena Wati mahupun Lepaskan Aku Kembali ke Laut Shaari Isa) sebagai "saksi" detik sejarah zaman itu. Orang-orang kecil ini "tidak dipedulikan" oleh kita, selain terlalu superfisial pembawaannya (malah ada yang melanggar zaman). Banyak sangat untuk kita peduli pun, Kara, kemudian Alan, tiba-tiba Johan, si Korperal. Seeloknya, kerana "terlalu banyak" POV diberikan, Suhaimi fokus terhadap satu dan kelihatan Zaman si pemuda ofis boi Tun Razak (yang sebelum itu merupakan penganggur, cikgu sementara di Felda) yang patut diberikan "mata saksi" menonton 13 Mei, banjir, kenaikan Felda dan pelbagai peristiwa zaman Tun Razak. Ini tidak. Sampaikan ada babak yang tiba-tiba terselit (contohnya berkenaan "samseng bahasa" yang kelihatan amat menganggu dan tiba-tiba) dalam pelbagai yang ingin disampaikan.

Aku pernah nyatakan dan aku nyatakan sekali lagi (dan nampaknya Suhaimi tidak belajar daripada itu) berkenaan Pengkhianatan G 30 S/PKI(1984).Ya, ada watak-watak kecil dalam filem itu tetapi mereka tidak pun dikarikatur, malah bersuara dan bermartabat. Suhaimi juga boleh merujuk siri mini HBO John Adams yang melakarkan dengan baik, setiap perhubungan intim (keluarga, kawan) dan negara (politik, sesama orang luar) yang mana filem ini amat memerlukan, suatu titik mula buat Tun Razak dan kemudiannya Tun Dr. Ismail, dan bagaimana mereka "berkawan" dan kemudiannya "berkawan baik". Itu yang lebih penting dan sudah tentu bernilai untuk penonton. Malahan 1957: Hati Malaya melakukannya dengan lebih betul terhadap Tunku Abdul Rahman, the reluctant leader dengan perhubungannya dengan Onn Jaafar, malah filem itu berjaya menyampaikan satu bulatan kukuh berkenaan perwatakannya (dan sememangnya harus diberikan anugerah). Hal ini yang tiada terlihat dalam filem yang gah belanja ini.

Ya, ini filem propoganda, aku tahu dan aku tak ada masalah dengan itu. Tun Razak sendiri berkata, "Kita perlu jaga kedaulatan negara ini!" dalam filem ini, John Adams pun, mahupun Abraham Lincoln. Berikan aku sesuatu yang boleh diyakini hal itu, berikan aku pengisian, berikan aku substance.

Contoh tersenang, filem ini boleh sahaja dibuka dengan mengibarkan bendera Malaysia dengan gah, dengan semboyan trumpet mainan lagu askar dengan kredit pembuka, dengan perlahan membuka filemnya. Ada dua bahagian dalam filem ini yang mana aku sedar, Suhaimi boleh mainkan semiotiknya (spoiler!) jika Suhaimi pandai (memandangkan kita mengajar/menyedarkan kembali penonton kita dengan sejarah), yakni babak dalam pawagam di KL (aku bayangkan Rex KL) serta babak keluarga Tun Razak-Dr. Ismail sama-sama menonton filem hitam putih atas layar (secara prasedar imej di skrin layar memaparkan kuda atas bukit, puitis yang boleh digunakan!) Bayangkan pembukaan filem ini dengan paparan gelap pawagam (detik 13 Mei 1969), kita menonton layar di skrin dalam skrin (seakan kita menonton sama dengan penonton dalam pawagam, seperti mana dibuat dalam Cinema Paradiso) di balik kepala manusia di tempat duduk, kemudian tulisan Cina "orang Cina keluar dari pawagam!", lalu tiba-tiba parang dan pemukul, lalu pembunuhan, gelap, jeritan lalu tulisan Tanda Putera. Kita membuka "sinema" (wayang) kita yang mengajar ini dengan gerun, terror, chaos. Gerun dan kaos inilah yang mengulit lalu kemudiannya menyebabkan lagi Dr. Ismail sakit dan Tun Razak tenat. Kemudian berlakulah kebaikan yang mereka bawa, dasar, dan penegasan terhadap beberapa perkara sebagai drama. Lalu mereka meninggal dunia, tetapi untuk mengakhirkan "sinema" itu, dipertontonkan waktu "senang" keluarga Tun Razak berserta Dr. Ismail (ini berlaku sewaktu mereka baru dapat jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri itu) menonton filem "koboi" dengan kuda atas bukit (ini pemaknaan mencuitkan, bahawa happy endings hanya berlaku dalam filem, yang mana ini sendiri eskapis, sinema "realiti sejarah" yang kita tonton kini ini pun eskapis! Eskapis untuk siapa kita tanya...), dalam waktu sama Amah Cina Dr. Ismail menghidang air menonton sama, ada Singh atau inspektor polis India di latar. Lantas apa yang "ingin dibawa" oleh Tun Razak, yakni "menyatukan" satu "keluarga besar" di Malaysia tercapai dalam satu "imaginasi" sinema itu pascababak kematiannya, satu "angan-angan" yang pasti jadi harapan, aspirasi 1Malaysia. Barulah propaganda itu bernilai dan ada substance.

Ada babak yang bagus sebenarnya, tetapi kecil. Babak Tun Hussein Onn (Hasnul Rahmat) yang mengetahui kematian Tun Razak daripada Ketua Polis, serta babak fotaj seperti ziarah Tun Razak ke China. Itu imej-imej indah. Ah, kalaulah lebih banyak Suhaimi menunjukkan "cara" Tun Razak menyedapkan hati rakyat, memberi dan berjasa dengan ucapan dan arahan, mungkin babak akhir waktu berjuta manusia berkumpul melihat jenazahnya menjadi satu kesinambungan yang cantik, dan bukan babak-babak kecil kelihatan remeh yang diterajui Kavita Kaur dan kawan dalam setiap kisah "rakyat kecil" seakan kesuntukan belanja. Ya, malah ada watak polis yang digunakan berkali-kali dalam pelbagai babak pergaduhan kaum!

Sinematografi filem ini hancur. Bayangkan, filem ini berlayar lebar (widescreen) dan tiada satu imej pun yang menyanggupi kekuasaan David Lean (Aziz M. Osman berjaya melakukannya dalam Lt. Adnan), malah dimalukan dengan keindahan fotaj-fotaj lama yang mengisi ruang layar lebar dengan indah sekali. Pengarahan seninya nampak plastik dan dibuat-buat, kecil malah. Solekannya tebal dan kadang-kadang kelakar. Sharon Paul mencuba sebagai penulis muziknya, malah terlalu moden bermelodrama. Tiada sofistikasi.

Lakonan merupakan kekuatan filem ini. Secara keseluruhan, himpunan pelakon lama dan terkenalnya bagus. Zizan Nin, Rusdi Ramli dan Hasnul Rahmat menjalankan tugas mereka dengan baik, termasuk Faezah Elai, si pemuda Dr. Mahathir dan beberapa lagi. Hanya seperti yang aku nyatakan mereka lebih karikatur daripada satu perwatakan yang bulat dan diceritakan dengan menyeluruh. Ada babak komunis pada awal filem sungguh memalukan. Sangat wujud "gambaran bad guy" yang ketinggalan zaman, tiada finese langsung. Lebih sesuai jika Suhaimi lakukan ini tanpa "hutan" itu dan paparan gerakan komunis itu semacam "kongsi" yang betul dan bukan main minum tepi kedai kopi.

Suhaimi mahu filem ini ditonton oleh anak muda. Ya, aku kata, persilakan, filem ini patut ditonton oleh anak muda (walaupun kita boleh persoalkan mutunya), dan sebab itu dia mahu membawa sebuah filem "komersial" yang sesuai untuk anak muda (dan kerana itu terlalu banyak watak yang kononnya mewakili anak muda yang disalah guna dalam filem ini -ada satu babak yang sungguh menjengkelkan dan selalu dibuat Suahimi: sekumpulan manusia pelbagai kaum berseronok, main gitar siap seorang mat salleh menggelek joget hanya untuk tunjuk keharmonian 1Malaysia, nak muntah aku dibuatnya! Inilah kemalasan sesungguhnya! Malas melangkau mis en scene yang lebih mencabar dan terikat). Suhaimi perlu sedar satu perkara yang jelas, Sejarah ialah Sejarah. Tak ada jenis "komersial" dalam sejarah. Dalam 90-an, Spike Lee mengarah, dengan maklum, sebuah filem sejarah "komersial" berkenaan Malcolm X (1992). Tontonlah filem itu dan beritahu apa ke benda yang "komersial" melainkan "good craftmanship", "good storytelling" dan "good characterisation". Ada awal-pertengahan dan pengakhirannya (formula biasa Hollywood, dan ini sahaja yang dekat terhadap persoalan "komersial"!) Eloklah Suhaimi membiasakan diri (kerana kelihatan Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir dan mungkin Abdullah Badawi akan dibikin) merancang dramatik dalam perspektif historilogi yang boleh diikuti, walaupun tampak biasa tanpa gitar, balada Awie, wajah orang muda dan gelek-gelek Mat Salleh.

Klasifikasi: U, mungkin, walaupun ada babak perkauman yang mungkin menyinggung perasaan sekumpulan penonton. 

MENONTON DI TGV KLCC (Pratonton).

25 October 2012

Istanbul, Aku Datang!(2012): Beginilah Kalau Nak Buat Romcom

"Jangan Biadap ..." -  Harris.

Selepas menonton filem mencuitkan daripada tangan pengarah Gol & Gincu dan Pisau Cukur, Bernard Chauly, aku menyedari sesuatu: di Malaysia, hanya Bernard sahaja yang memahami permintaan genre "Komedi Romantik" (Romantic Comedy @ Romcom) dan hanya dia sahaja setakat ini yang boleh membawanya dengan semangat genrenya yang betul.

Filem ini menghiburkan, filem ini senang, dan filem ini untuk semua (jika anda sudah menonton sebuah filem Bernard, anda sudah memahami sikap wanita urban progresif yang diangkatnya). Plot awalnya agak menyerupai Legally Blonde, dengan babak Lisa Surihani yang mencari kekasihnya Tomok di Istanbul, Turki untuk "berangan dilamar", memasuki universiti tersebut untuk "bersebelahan" dengan pasangan cintanya, lantas menunggu tika si Tomok mengucapkan "jom kahwin" kepadanya. Hanya itu sahaja (persamaannya), kerana selepas itu, genre screwball comedy (korang carilah sendiri!) ensures apabila Lisa terpaksa ber"sekedudukan" apartment dengan lelaki Malaysia-Melayu asing, Beto Khusyairy, memberi petanda cuti dan malapetaka menarik ala mana-mana filem screwball dan peperangan seks, sebaik era Hepburn-Grant.

Awal filem ini tampak janggal dan tiada kekuatan suntingan. Suatu detik "mimpi" diberikan dengan pemandangan dan monolog panjang Lisa Surihani (akan ambil foto kahwin di sini) dalam Masjid Aya Sofea, mengingatkan aku kepada Exorcist III (babak dunia limbo). Sebenarnya, ini "cuitan" terhadap "apa yang akan berlaku", yakni "mimpi buruk" Lisa nanti bila di Istanbul (yang dimulakan cerita dua tahun sebelumnya).

Sebagai sebuah filem romantik komedi, sememangnya sebab-akibat dan antisipasi itu sudah diketahui (macam, kita tahu Resse Witherspoon akan memilih keputusan terbaik terhadap dirinya secara moral dan emansipasi dalam Legally Blonde), tetapi inilah mengapa filem ini menarik. Ya, filem ini senang dan menghiburkan, tetapi atas tangan Rafidah Abdullah yang sentiasa memberi aku kepuasan dunia wanita yang cukup menyeronokkan, filem ini sekali lagi memberi nafas wanita bersuara dengan benar, seronok dan punya jati diri kuat sebagai wanita arkataip Malaysia abad ke-21 yang lincah, terkini dan terkawal.

Begini (SPOILER), watak Lisa Surihani merupakan watak teraju tipikal (archetype) Rafidah-Bernard (yang bagi aku, disempurnai dengan baik sekali oleh Nur Fazura, walaupun Lisa kelihatan baik dengan caranya tersendiri). Selalunya, wataknya akan bertegak atas persimpangan (konflik). Di sini, dipamerkan dua lelaki, Tomok dan Beto. Kedua-duanya mempunyai psikologi dan keperibadian unik.

Filem ini membawa watak Lisa untuk "keluar" dari zon selamatnya (Malaysia) untuk menemui kekasihnya, Tomok. Ambil pemahaman ini, yakni setiap kisah tradisi tokoh yang mengambil perjalanan (banyak dalam hikayat lama kita) ke luar untuk "menemui diri", menemui sesuatu yang dia tidak pernah menyedarinya. Lisa sendiri melalui "perjalanan" menemui dirinya. Ini biasa. Kita tidak dapat melihat "Malaysia yang sebenar" tanpa kita meninggalkannya dan duduk di luar negara, lantas melihat dari kaca mata luar ke dalam. Sifat ini (sepertimana Buddha, Malim Deman, Iskandar Zulkarnain, Syeikh Qadir Jailani, Gandhi) yang sama dengan perspektif yang diambil Lisa, maka pemahaman kisah "mikro" yang dihadapi Lisa bukan sahaja berkenaan dia mencari dirinya, tetapi mencari makna sebenar "hidup" di Malaysia.

Berlaku satu babak yang mana archetype Lisa, seperti mana sifat Bandar Istanbul itu sendiri, yakni pusat Islam progresif, sufistik (yakni punya adab [tasawuf], sifat peradaban ini ditampilkan dengan yakin sekali pada watak Mr. Sulayman, tuan rumah apartment) tetapi moden, akan mendepani dirinya terhadap dua watak tersebut. Dua watak tersebut pula sebenarnya "pemilihan hidup" simbolisme kaki pilihan Lisa "meneruskan hidup"nya (diwakili oleh dua lelaki yang berkait dengan hidupnya). Kritikan Rafidah ini menyengat: Rafidah menampilkan si wanita Malaysia sekarang yang berilmu, positif dan berdikari, boleh memilih untuk menerima hidup bernilai positif yang mengenali martabatnya sebagai wanita ataupun mungkin boleh sahaja memilih hidup konservatif yang meletakkan wanita sebagai "simbol seks" (rujuk nanti babak siapa yang menggelar "rewang" dan "jalang"- rujuk terhadap simbolisme wanita lama Melayu, Salina dan Perempuan, Isteri & Jalang). Satu "memahami" dan satu lagi "jumud'. Lisa perlu memilih dengan berhati-hati (sekali gus, menerangkan didaktisme melodrama, si penonton wanita juga harus memilih jalan hidupnya berhati-hati memandangkan mereka kini ada "kuasa" dan "hak" untuk memilih). Malaysia sekarang, bagi Rafidah dan Bernard adalah negara yang boleh berdiri sendiri memilih masa depannya, hanya mereka perlu memilih keputusan yang betul dan sesuai dengan jati dirinya. Inilah sebenarnya tujuan ménage à trois dalam filem ini dipersembahkan dalam perkaitan konflik tiga watak tersebut. Dan seperti biasa, Rafidah dan Bernard, sudah tentu memilih laluan positif dan membina buat terajunya.

Lakonan Beto Khusyairy amat cemerlang, terkejut melihat dia boleh "pull it off" dengan pelbagai dimensi dan perwatakan (yang berkembang tipikal dalam mana-mana komedi romantik), digandingkan dengan baik sekali dengan Lisa Surihani yang memberi suatu pendirian comel tetapi punya kelasnya tersendiri (walaupun tembam). Gandingan benci-suka mereka menyamai klasik P.Ramlee-Sharifah Hanum Masam-Masam Manis (1965). Tomok, walaupun menarik dan cuba memberi dimensi perwatakan, masih ada peluang meluaskan dimensi lakonannya. Ada beberapa babak yang ditampilkan janggal walaupun mencuba (babak-babak awal, sebelum Lisa sampai ke tempat baharu). Haris Hue Abdullah kali ini tidak memberi sesuatu yang mengkagumkan seperti sebelumnya (malah ada syot-syot menggetar, satu tangkapan dan tidak bermaya), walaupun ini sebuah filem komersial (yang biasanya tidak perlu syot menarik dan hanya fungsional). Suara filem ini agak mendatar dan kelihatan kurang bermutu, termasuk suntingan yang sedikit huru-hara. Tetapi bibit-bibit manis, fesyen Lisa Surihani, emosi yang dicengkam dan dipersembahkan dengan baik oleh Bernard, khusus pada akhir 10 minit filem ini (babak akhir filem ini, yang diwakili Beto pada klimaks adalah sebuah babak klasik filem Malaysia 2012), membuatkan pengalaman menonton filem ini menghiburkan, emosional dan memuaskan.

Antara filem mesti tonton Malaysia 2012. (dan buat aku mahu ke Istanbul suatu hari nanti.)



Klasifikasi: U, Beberapa babak imbauan seks dan jurusan homoseksualiti yang mungkin tidak sesuai untuk kanak-kanak. 

DITONTON DI GSC Pavilion.

23 October 2012

Festival Filem Latin Amerika Ke-11

Yang ini kalian wajib pergi!

Tayangan akan di adakan pada 6-11 November 2012 di KLPAC. MASUK PERCUMA. Aku sudah menonton beberapa trelernya dan memilih beberapa selepas ditonton.

**Aku akan tonton


6 November (Selasa), 8:30 malam
La Vida Útil** (Uruguay). Sutradara: Federico Veiroj

ulasan treler: Sinema. Titik. Hitam putih. Sesuatu yang amat menjanjikan, lebih-lebih lagi kepada kaki wayang, semangat dan cita rasa seluloid, fungsi dan kesempatannya mencuit dan "menggerak" penonton penggila wayang seperti aku. Wajib tonton.

7 November (Rabu), 8:30 malam
Samuel** (Venezuela). Sutradara: César Lucena

ulasan treler: Filem yang akan mengundang gaya kesenian (art house cinema) dengan pemandangan gunung/kampung Venezuela yang indah, kemungkinan realisme magis bercampur romantis, keagamaan dan kontradiksi moral berbalut cinta dan perhubungan manusia. Kawan aku ajak. Aku akan ikut.


8 November (Khamis), 8:30 malam
Ella y el Candidato** (Mexico). Sutradara: Roberto Girault

ulasan treler: Antara filem politik dan sejarah yang ditayangkan, berdasarkan (mungkin) kisah benar kempen pengundian Presiden Mexico dan drama keluarganya. Makna judul filem ini adalah "si wakil rakyat dan pasangannya" atau lebih literal, "si perempuan dengan wakil rakyat", yeap, antara filem yang wajib tonton kerana PRU kita sudah dekat lalu wajiblah kita lihat apa yang berlaku di balik tabir ala soap drama keluarga dan pasangan romantik Rosma dengan Najib, jeritan emansipasi wanita, sosial keluarga, raungan anak untuk kasih-sayang. Sesuai memanaskan diri selepas Tanda Putera entah bila lagi.


9 November (Jumaat), 8:30 malam
Los Canallas (Uruguay). Sutradara: Camilo Luzuriage

ulasan treler: Filem ini sahaja yang diklasifikasikan sebagai 18. Yeap, budak-budak remaja penuh nafsu, seks, pecah rumah, samseng dan berontak. Sesuai untuk anak-anak panas dan dahagakan kebebasan. Syot amat indie dengan tangkapan seakan video digital, tetapi sudah tentu memberikan sesuatu, walaupun mungkin isunya menggelegak panas.



10 November (Sabtu)
3:00 petang
Gordo, calvo y bajito (Colombia). Sutradara: Carlos Osuna

ulasan treler: Literal diterjemahkan: Gemuk, botak dan lelaki. Hmm, satu generalisasi yang sesuai buat semua lelaki pertengahan usia di Malaysia bukan? Ini filem komedi dengan garapan animasi berkenaan lelaki pertengahan umur di Colombia yang dipaksa mendepani realiti hidupnya.


5:00 petang
City of Men (Brazil). Sutradara: Paulo Morelli

ulasan treler: Ahh, siapa yang tidak kenal dengan City of God?  (ini bukan pengarahnya, hanya penerbitnya) Apa, kau tak kenal? Kau nak kena sunat dengan aku? Filem ini kiranya paling senang "akses" pencariannya di tauke DVD yang kita sayang. Ah, Brazil, tempat apa lagi yang seronok menampilkan keindahan pantai, wanita dan darah samsengnya sekali main?

8:30 malam
La Vida de los Peces (Chile). Sutradara: Matias Bize

ulasan treler: Filem ini amat sesuai bagi dara-dara kesepian di rumah yang mahu lari daripada keklisean Cerekarama TV3 dengan pilihan sebuah drama baik dengan pelakon lelaki kacak nak mampus.




11 November (Ahad), 8:30 malam
3:00 petang
Habanastation** (Cuba). Sutradara: Ian Padron

ulasan treler: Pak Hassan Muthalib selalu lecture kat kita orang, kalau dapat menonton filem Cuba, pergi tonton, susah untuk filem Cuba masuk Malaysia atau mana-mana negara. Filem yang menyingkap kisah seorang kanak-kanak pemain jazz di tengah kota tentu memikat, dan filem ini memasuki genre "fantasi" serta memenangi banyak anugerah penonton.

5:00 petang
Dos Hermanos** (Argentina). Sutradara: Daniel Burman

ulasan treler: Filem yang paling mendekati Pedro Almodovar yang berkait tentang kematian dan komedi/kehidupan di dalamnya (yeap, kau tahu aku pencintanya). Si lelaki, "anak mak" yang terpaksa "hidup bebas" mendekati kakaknya yang bermulut celupar. Lawak dan kelas akan bertemu, percayalah.



04 October 2012

Dua Filem Seks Melayu 2012

Baru-baru ini aku menonton dua buah filem Malaysia-Melayu yang bagi aku menarik, walaupun ada beberapa kelemahan yang tertera.

OKlah, lantaklah fasal kelemahan itu kerana ulasan ini lebih kepada perbincangan. Dua filem yang aku maksudkan itu ialah Hantu Kapcai dan Untuk Tiga Hari.

Yeap, jangan terkejut.

Aku ingat lagi zaman "baik-baik" filem Malaysia dengan LPFnya (walaupun ada beberapa filem membara) yang mana semangat "seks" remaja diangkat dengan comel dalam Gila-Gila Pengantin Remaja arahan Aziz M. Osman. Semangat dan keinginan libido para remaja dalam filem itu (berkenaan kahwin lari) disampaikan, bukan dengan perilaku tidak senonoh tetapi bayangan mainan kugiran yang tiba-tiba muncul ala muzikal dalam satu-satu babak. Keinginan "gila-gila" untuk menyunting dan "bersama" disampaikan dalam tumpahan dan alunan "lagu", emosi dan semangatnya wajar dan jelas.

Bagi aku, kedua-dua filem yang aku nyatakan tadi ditayangkan tahun ini telah melepasi "tapisan kendiri" dan "cakap kias" seks dengan penjelmaan "gaya" dan "persembahan", ianya lebih "cakap lepas" dan "berterus-terang."

Hantu Kapcai sebenarnya bukanlah khusus berkenaan "mat rempit" tetapi berpusat kepada watak Hairul Azreen yang mana, kita meniti semangat keremajaannya ke arah "kedewasaan" Hairul. "Seks"nya timbul dengan gambaran "hantu" abangnya yang dilakonkan oleh Zizan Razak, yang disampaikan, banyaknya, dengan "subtle" mahupun jelas. Sekali, "rahsia" Hairul pada zaman khatannya dinyatakan dengan jelas oleh  Zizan berkenaan "majalah Mangga" (inside joke ini hanya beberapa yang akan faham). "Alterego seksual" Zizan (yang lebih selamba dan lucah) menampilkan keinginan Hairul yang "malu-malu" (dan hanya satu id yang Hairul buakkan jadi realiti, menyalin abangnya, yakni merempit). Malah watak Zizan ini berseteru dengan Remy Ishak yang sentiasa ada "pisang" dalam mulutnya (punya alusi politik di sini dan bukan sahaja seksual).

Pencapaian "seks" Hairul malah berjaya melangkau "rohaniah" apabila klimaks akhir, dia bertemu dengan Zizan dalam "alam barzakh" (hal ini yang dikepoh-kepohkan sebagai kontroversi), maka segala keinginannya kiranya pada masa itu "tercapai" (babak seterusnya kita lihat si wanita diminati memegangnya) dan menemui penyelesaian, dunia dan "akhirat".

Walaupun begitu, alusi seks dalam Hantu Kapcai tidak dapat menandingi alusi seks yang lebih dewasa dalam Untuk Tiga Hari, bilamana perilaku empat watak dalam filem ini (termasuk dua lain yang remaja) dinikahkan. Serius, bagi aku, penceritaan adaptasi karya Ahadiat Akashah ini berjaya (dan lebih berjaya daripada Legenda Budak Setan) membawa hal-hal seks yang menarik. Babak "nafsu membuak" dalam satu babak khusus, yakni Afdlin dan Vaneeda (oh, Vaneeda sangat hebat dalam filem ini bagi aku) di depan televisyen yang mana filem Perempuan, Isteri dan Jalang (dengan babak terkenal Sofia Jane menahan Zaidi Omar memasuki rumahnya dengan dialog bernafsu Zaidi: "Aku nak.") dan dokumentari gajah mengawan sedang ke udara! Babak itu kelakar dan mencuit kerana Vaneeda "tidak sanggup" memberikan "dara"nya kepada Afdlin. Ketegangan komedi yang berlaku menarik. Seks komedi yang menjadi. Hal ini juga benar untuk watak Shidi yang melakukan pelbagai perkara untuk "melepaskan nafsu"nya agar tidak meniduri isteri sahnya, Ayu Raudhah.

Ada beberapa lagi babak yang "berguna" dalam filem ini. Juga ada babak awal dan pertengahan (babak sanding) yang bagi aku, outstanding. Dalam babak sanding itu, kita ditampilkan dengan semangat bersalah dan gemuruh Vaneeda (malam itu mungkin akan ditiduri) di balik hiruk-pikuk kenduri, dengan Shidi yang sentiasa menghantarnya mesej dalam talian (rontaan nafsunya yang tidak tertahan). Jika diteliti, runut alunan ghazal yang dimainkan seakan-akan "bermain" dalam babak kedua-dua majlis persandingan. Hal ini menyatakan "kesatuan hati" yang masih berlaku dengan watak Vaneeda dan Shidi. Permainan "lagu" ini dimainkan lagi dalam suasana hingar dan janggal disko yang mana secara tak sengaja, Vaneeda dan Shidi bertemu. Kemudian, dalam satu babak "ambil hati", Afdlin mempersembahkan acapellanya kepada Vaneeda yang amat romantis, dan kita tahu, hati yang was-was, gemuruh dan ketidaktentuan itu telah di"cakup" oleh Afdlin akhirnya (kita tahu ini berlaku kerana Vaneeda rela dikucup akhirnya). 

Untuk Tiga Hari bagi aku sebuah filem romantik yang matang dan baik, hanya dinafikan dengan syot yang sesuai serta runut bunyi Azman Abu Hassan yang "outdated" (ini kononnya untuk mengambil semangat filem-filem Aziz M. Osman era 90-an) dan amat mengganggu. Tetapi jelas, filem-filem ini mendewasakan dirinya dengan lebih berterus-terang tentang intipati nafsu, semangat seks dan keinginan dalaman yang jelas dan keabad-21.

Klasifikasi Hantu Kapcai: 18, Kata celupar, aksi ganas dan seks (walaupun tiada ciuman mahupun penetrasi) yang mungkin tidak sesuai bagi kanak-kanak. Idea "hantu" dalam filem ini memerlukan bimbingan penjaga untuk nyatakan (benar/falasi) tetapi tidak semestinya serius. 

Klasifikasi Untuk Tiga Hari: P13, Beberapa babak imbauan seks yang mungkin tidak sesuai untuk kanak-kanak. 

Kedua-dua filem DITONTON DI MBO Kl Festival City.