Showing posts with label Mamat Khalid. Show all posts
Showing posts with label Mamat Khalid. Show all posts

14 August 2018

Hantu Kak Limah (2018)

"Naa!" - Yeh Sekupang

"What are her?" - Nayan


Aku tak tahu mengapa, tetapi selesai menonton komedi seram terbaharu Mamat Khalid ini, jiwa aku jadi begitu pilu. 

Hantu Kak Limah ialah sebuah dunia yang kita sudah perlu terbiasa, walaupun ruang mainan lakonnya sama, Kampung Pisang, kita tidak akan menjangka pembawa peran-perannya akan kembali (selain kerana meninggal dunia secara alamiah).  Ini semacam Twin Peaks-Black Lodge Lynch buat Abang Mamat, khusus kita yang menonton The Return, Fire Walk with Me, dan drama siri asal Twin Peaks - tempatnya sama, tetapi orangnya berbeza. Warna ceritanya lain. Suaranya lain.

Filem ini dibuka dengan syot atas, sebuah perahu sedang menghala ke dalam sungai yang dilitupi hutan (kepada sesiapa yang menunggu Munafik 2, adakah ini suatu kebetulan?) yang terus mengganggu aku. Terdapat dua filem yang aku tersedar dalam hal ini; jika kita meneliti lokal, selain Da Di Du (1981), kita akan teringat akan Pendekar Bujang Lapok (1959), yang juga di perahunya terdapat tiga belia sedang mendayung mencari tepian. Tapi, selain itu, aku teringat akan beberapa babak layar di atas sungai filem Barat seperti The Mosquito Coast (1986), Aguirre, The Wrath of God (1972), Deliverance (1972) dan Apocalypse Now (1979). Kesemua filem ini bukan dengan sengaja memilih sungai sebagai laluan untuk sebuah bot atau kapal melaluinya agar kelihatan babaknya cantik, semua filem tersebut menggunakan imejan ini untuk bercerita tentang (1) proses menyelami jiwa diri yang paling dalam (2) bagaimana jiwa manusia boleh korup atau kehilangan sesuatu dalam perjalanan hidup.

Secara kanvas besarnya, Hantu Kak Limah bercerita akan itu; bagaimana bukan sahaja tiga belia ini akan kita perhatikan, walaupun karikatur, tetap diperhatikan (kerana mereka dipilih oleh Mamat untuk dirujuk, bukan Awie sebagai Husin yang kekal pencerita dunia Kampung Pisang ini - ya Husin tidak bersama di dalam perahu tetapi menaiki perahu yang lain) fiil dan sikap mereka, tanda perubahan dan perkembangan mereka. Yeh Sekupang (arwah Rab Khalib, semoga Allah mencucurinya Rahmat, sangat berkesan komedinya) terlihat nafsu seksnya (stim pada semua jenis wanita), Sharwani (juga Sharwani) bodoh-bodoh alang tetapi sekali-sekala berucap benda-benda bijak ("Engkau katalah kita dah merdeka") dan Khuda (TJ Isa) yang paling menakutkan, diam-diam ubi, atau seperti tutur Yeh terhadapnya, "nafsu kuda!"

Khuda dalam filem ini menikahi Kak Limah (Delimawati) dan ketiga-tiga orang (termasuk Husin) rakannya ikut serta ke rumah Khuda (dan Kak Limah) untuk meraikan perkahwinan mereka dengan bubur keladi, sebelum keempat-empat mereka berganjak hendak memikat burung di dalam hutan.

Mamat dalam hal ini, sekali lagi menggunakan metafora yang amat menarik dalam hobi orang desa Melayu - memikat burung. Bukan sahaja terdapat sisi fenomena Mastika dalam kerja ini tetapi kerja memikat burung itu (walaupun dimain-mainkan dalam filem ini) merupakan suatu kerja yang mempunyai "seni"nya yang tersendiri (dalam pengetahuan ilmu berbunyi dan mendengar bunyi, menghargai nada dan kemerduan bunyi burung), yang mana, sesiapa yang mengikutinya, akan jadi ralit, kadangkala tidak balik-balik rumah hingga 2-3 hari. Orang yang melihat celoteh pemikat burung ini (selalunya lelaki) akan memandang mereka hebat (kerana memerlukan kesabaran dan ilmu), biasa atau serong (kerana kerja memikat ini dilihat berleka-leka dan tidak membawa apa-apa yang berguna bagi orang rumah). Hanya mereka yang melakukannya yang dapat menikmati "kerja"nya. Metafora ini menarik terhadap Husin dan tiga kawannya, selain Husin mempunyai agenda lain, yakni menyambung pertaliannya dengan Tun (kali ini dilakonkan oleh Uqasha Senrose), gadis jelma hilang itu. Kerja memikat burung ini ialah analogi Mamat kepada "kerja lelaki" yang tidak ramai yang melihatnya berguna tetapi jauh penting buat mereka - boleh sahaja merepresentasi membikin filem, menghasilkan seni/karya, atau berpolitik (dengan berkali-kali dialog merujuk isu dan hal politik tempatan). Semua ini boleh dirujuk padankan, tetapi yang penting di sini, semuanya ada "perjuangan" dan "kemahiran"nya yang tertentu. Menariknya lagi, imejan ini akan dibesarkan ruang skopnya pada kefahaman ruang yang lebih besar dan getir (menyebabkan semua orang kampung terpaksa berkumpul di Klinik Kesihatan dan ber-JKKK di luar di tengah malam) apabila Hantu Kak Limah mengamuk; menyebabkan ada usaha menangkap/memerangkap/memikat "Hantu Kak Limah", pertama di rumah guru silat/bomoh/tukang ganti road tax Solihin (Zul Ariffin), kemudian di kawasan perkuburan Kampung Pisang yang hutan banat. Adakah mereka akan berjaya? 

Filem yang aku ingatkan boleh ditonton sesendal dan biasa mula-mula terganggu pada pertengahan filem apabila pada satu babak, seorang watak terserempak dengan Hantu Jepun daripada Pendekar Bujang Lapok! Malah, babak itu diulang, sebiji, sebiji! Ini merupakan homaj yang mula mengganggu aku, ditambah pula Jeneral hantu itu mengucapkan "Hantu Kak Limah cucu aku!" Filem ini menjadi tidak mudah dan ringan-hiburan lagi. Ya, kita masih boleh berketawa, lebih-lebih lagi dengan kelincah Ropie sebagai Nayan, pegawai klinik kesihatan yang sangat efektif ("Thank you God!") serta geletek ketawa campur ngeri empat watak belia tadi berserta Zul Ariffin, Sabri Yunus, Khairul Nizam, Erra Fazira(!), Seri Vida(!) dan Pekin Ibrahim (mengulang wataknya, Musalman, anak Kak Limah).  Tetapi terdapat satu lapisan baharu di sini yang disusun letak oleh Mamat dengan begitu teratur sekali. Malah, aku merasakan, filem inilah komedi seram Mamat yang paling kemas, malah bagi aku, paling matang yang pernah dibikin oleh Mamat Khalid. Dalam babak ini sahaja, ia membuka suatu persepsi baharu, bukan sahaja pada babak asal Hantu Jepun Pendekar Bujang Lapok, tetapi filem Mamat ini juga. Dalam hal ini, konsep "yang lain/yang luar" (the others) yang biasa kita dengar dalam teori pascakolonial menjadi lebih jelas; yakni Hantu Jepun/Hantu Kak Limah/Tun. Alam halus ini jelas-jelas "sebelah sana", the other, yang tidak mampu difahami (atau boleh difahami, seperti Husin akan "per per" yang diajar - "per" ini secara kebetulan mendekati nama "perlembagaan" atau "perkara" dalam akta-akta) yang selalu masyarakat melihatnya sebagai serong, terpinggir, menjajah (Hantu Jepun), malah bahaya. Solihin, atas matanya sebagai ahli ilmu ghaib memanggil golongan ini sebagai "jahat" dan "mengganggu", meletakkan nilai moral terhadapnya (ini pandangan konservatif?). Secara peliknya, kita dipaparkan pula, alam ini tidaklah "sejahat mana", malah atas sebab-akibat makhluk di dalam alam ini "disalah ertikan". Menjadikan yang putih hitam dan hitam putih. Dalam kefahaman ini pula, yang tidaklah pula meletakkan keperwiraan atau keputihan sepenuhnya pada alam halus sebagai "baik" (aku dah kata, ini Black Lodge Mamat Khalid!), penghuninya (yang bijaksana) mengetahui keadaan ekuilibrium dua alam ini tidak boleh dicerobohi atau disatukan. Malah, ada syarat-syarat yang jelas disampaikan oleh Bapak Bunian (Muz May) dalam satu babak, manusia dan makhluk halus tidak boleh bersama, seperti api dan air. Hal ini nanti, hanya akan difahami (dengan reda) oleh Husin seorang.

Di sinilah aku dapati, terdapat sikap kepiluan yang jelas dalam pendirian Mamat, apabila Husin dengan longlai melihat keberanian orang lain masih terus ingin memikat alam halus masuk ke alam ini. Mata nurani Husin menjadi mata nurani Mamat Khalid. Mamat Khalid tampak akan masa depan orang Melayu, yang cuba membuka, satu per satu perkara yang asing, di luar (ruang lingkup jati dirinya) atau bahaya, ke dalam hidupnya, menjadikan diri mereka Melayu baharu (atau "insan baharu" kerana konsep "Melayu" mungkin dihilangkan) dalam memerhati, dan kesanggupan diri menganut konsep yang asing/yang baharu/yang di luar; seperti kecairan pegangan agama dan idealisme (seperti menganuti kebenaran komunisme), kebebasan seksualiti, perayaan antimoral, dll. Hal ini jelas sangat-sangat berlaku pada babak akhir filem ini. Menggegar jiwa dan mengganggu.

Semua lakonan para pelakon menarik dan mencukupi dalam ruang pelaksanaan menyampaikan karikatur ala Mamat Khalid, khususnya dalam subgenre kedaerahan yang kita sudah ikuti sejak Mamat memperkenalkan Rombongan Cik Kiah. Secara teknikalnya juga, walaupun tidaklah impresif (kita masih ingat babak awal menggegar ala Close Encounter dalam Hantu Kak Limah Balik Rumah?) tetapi tetap ekspresif, malah terdapat kejanggalan CGI dan kelesuan efek seram (kaki Hantu Kak Limah yang menjejak tanah waktu melayang) yang aku maafkan (malah kali ini juga, aku memaafkan kehadiran deus ex machina anak Mamat di tengah-tengah cerita secara tiba-tiba), malah kita maafkan kehadiran dua runut bunyi MTV sendal yang dimasukkan di tengah-tengah cerita, malah baru aku fahami - Oh, semua ini sinema Mamat Khalid, sinema yang sengaja dipalit cacat dengan efek filem-B, bukan sahaja sebagai homaj filem sebegitu (filem-filem seram Jalan Ampas, filem ini seperti Kala Malam ialah filem yang terperangkap dalam mileu itu) tetapi menampakkan falsafah sinema Mamat - yang buruk dan yang cacat ialah filem/kita, yang sempurna hanya Tuhan. Namun, Jack Rahmad sebagai pengarah sinematografi tetapi dipuji kerana memberikan beberapa imej kampung dan malam yang mempesonakan sekali gus nostalgik.

Satu perayaan buat sinema Mamat Khalid.

Klasifikasi: P13, Beberapa babak khurafat yang mungkin memerlukan bimbingan ibu bapa/penjaga.
DITONTON DI GSC, MyTown.

07 November 2016

Rock Bro! Kembali ke Pangkal Jalan(2016)


Amir Muhammad mengangkat filem ketiga daripada nostalgia (dan homaj) era rock 1980-an karya Mamat Khalid ini sebagai antara yang terbaik (finest) yang pernah dibikin oleh Mamat. Atas sebab itu (yang sedikit kecewa dengan emosi tidak sampai Rock Oo) aku menontonnya, setelah beberapa filem Mamat yang kelihatan tersasar dalam tiga empat tahun selepas Hantu Kak Limah Balik Rumah(2010). 

Sekali lagi, Mamat merangkum dan kali ini, filem ketiganya jelas menjadi pelengkap pada trilogi nostalgianya. Filem ini sememangnya dibuat untuk mereka yang sudah mengikuti dua filem awal trilogi ini dan merupakan peminat rock. Peminat muzik saduran Barat berhela Timur 1980-an tidak akan kecewa malah terasa "re-lived" dengan beberapa babak yang dipaparkan, baik genre mahupun filemnya. [Spoiler] Kita juga menyedari, pada babak akhir filem apabila anak Slash (Pekin Ibrahim) datang mewawancara Zack yang sudah tua (dilakonkan oleh Esma Daniel, lakonan dahulu oleh Hasnul Rahmat), Zack pun bercerita, inilah "pembukaan" yang membuka kembali kita kepada filem pertama trilogi ini, menjalinkan trilogi ini kepada satu bulatan penuh. Hal ini ditambah lagi apabila gitaris utama (lead guitarist) Rimba Bara, Zack dan Slash yang sudah tua, berubah wajah, bertemu, lalu mereka bermain seperti tidak sedar tua, menghidupkan keremajaan dan darah "rock" mereka. Babak akhir yang sengaja di kredit akhir ini merupakan nyawa sebenar mengapa Mamat Khalid melakukan filem ketiga ini: nostalgia pergi dan harapan musnah, tapi jiwa (di sini: rock) tidak akan mati walaupun berubah pakaian dan pegangan.

Ya, 100 minit awal itu, kita dikembalikan dengan harapan musnah anak muda Rimba Bara, yang sebenarnya, kali ini, berjaya atau hidup (kiranya) kerana berkali-kali masuk Juara Lagu(! - siap dapat berbual sapa dengan Ramlah Ram!) dan berjaya merekod rakaman walaupun tidak dapat apa yang tulang belakang Rimba Bara, Jijoe (Khir Rahman dalam lakonan yang sangat berkesan) harapkan.

Setelah kali ketiga Mamat menyentak, kita menyedari sesuatu. Rock Malaysia atau lebih jelas, rock Melayu (yang juga kita dengar, rock kapak) bukanlah rock Barat yang bersikap anti-establishment. Ini jelas disyarahkan oleh Mamat (melalui naratif utama, kali ini melalui POV Jijoe, walaupun nanti, ada naratif-monolog Slash, dan ... Ella!) bahawa rock Melayu, titik utamanya ialah "semangat", khususnya semangat anak muda menyampaikan ekspresi (hal ini berkali-kali disampaikan sedari filem pertama). Mereka, di sini menyampaikan ekspresi (ingin berjaya) mereka  melalui muzik. Filem ketiga ini jelas lagi apabila rock menjadi alat bukan sahaja sebagai ekspresi semangat tersebut, tetapi "wawasan" anak muda ini "menaruh harapan" terhadap Dasar Ekonomi Baru (DEB) waktu itu pada cita-cita/impian mereka (material). Dengan berkias, Mamat menyampaikan sikap bagaimana bahasa, agama, semangat, cinta dan cita-cita mencapai kepuasan kebendaan bagi anak muda ini, mengikut semangat DEB, tercapai dan disatukan melalui rock. Hal ini jelas melanggar sikap "rebel" rock Barat, dan jika ada yang lebih keras, mengutuk, rock Melayu "tidak ada makna". Namun hal itu tentulah salah dari kaca mata Mamat. Rock Melayu pun amat dikenal dengan slow-rocknya, atau mudah bicara, balada (walaupun hal ini akan didebatkan). Balada sendiri suatu genre naratif atau lagu yang "menyampaikan cerita", dan balada rock Melayu beralun-alun nadanya, lebih mendayu daripada slow rock Amerika, malah kadangkala menyampaikan isu spiritual (seperti lagu-lagu yang terpilih dalam filem ini, berkait dengan pencarian Tuhan Jijoe), jauh menentang semangat bebas-liar rock Barat. Hal ini diperkuatkan lagi dengan melihat ketiga-tiga watak utama yang terbayang dalam trilogi ini, baik Zack, Amy dan Jijoe, yang masing-masing, seperti watak "hero" melalui suatu "perjalanan" yang panjang dan mencabar (mungkin Zack dipaparkan paling berjaya dalam perjalananya). Ini jelas mengambil sikap hero romantisme. 

Jijoe dalam filem ini jelas-jelas seorang romantis, dan hal ini jelas dalam prinsipnya yang tegas dan impiannya untuk menyunting Ella. Maka, naratif filem ini memang disampaikan pun dengan balada rock (selain catchy dan sangat popular kalangan umum) Melayu, menyampaikan ekspresi muzikal filem ini. Namun, "cerita" balada ini juga menyampaikan keadaan nestapa dan "terasa" dan "tersinggung", kadangkala "tragedi" yang dilalui Rimba Bara mendepani realiti kapitaslime dan gerak susun syarikat rakamannya, khususnya Jijoe dalam cuba berjuang secara romantis untuk tempat dan semangat mencapai cita-cita kebendaan jiwa mudanya. Hal ini menarik apabila terdapat beberapa cabaran baharu apabila Rimba Bara mula menempa nama. Terdapat isu-isu besar dalam industri muzik yang disentuh, khususnya betapa korupnya industri itu sendiri, meremuk-pecah semangat muda, optimis, romantis dan positif Jijoe yang selalunya tidak pernah menyerah kalah.

Aku tersedar, dalam perjalanan nostalgi kali ini juga, dengan naratif berserta balada ini dan romantisme Jijoe yang tercabar, jelas mellownessnya, malah melantangkan suara mellow Mamat akan kerjayanya (dan kejatuhannya). Filem ini, terasa seperti Mamat mengaku "tidak upaya" malah "putus asa", mungkin terhadap industri filem, pihak berkuasanya ataupun penontonnya.  Mellow ini jelas lagi dalam keadaan perkembangan plot filem ini yang kadangkala tersedak-sedak (bermula setelah Rimba Bara tiba di Kuala Lumpur), kadangkala mengimbau dan mengambil mood simpang-siur, dan kadangkala hanya menonjol hal-hal yang begitu melekehkan, malah tidak bermaya.

Filem ini, sekali lagi menampilkan karikatur watak yang baik dan amat diingati, walaupun sekecil-kecil watak seperti Ella, Hattan dan Ramlah Ram. Kali ini juga, kita akan terkejut dengan pilihan Zul Kapan (Shoffi Jikan) dan Black dalam hidupnya. Bagi aku, ada sikap tidak jujur (untruthful) di sini dan sangat menghina golongan gay (mereka dianggap golongan sesat), walaupun Mamat boleh mendabik ini sedutan daripada kisah benar dan datang daripada pengalamannya. Sikap ekstrem ini, walaupun kritikan Mamat terhadap individu rock tertentu yang "tersesat jalan" (mula-mula agama, kemudian jalan hidup seks songsang) walaupun tidak menghukum mereka, terasa off dan mengelirukan. Namun, kritikan Mamat keras: rockers yang mengambil jalan pop (di sini rap) semasa adalah munafik rock yang tidak kenal jati dirinya. Dan bagi Mamat, mereka "pondan" dan tidak jantan kerana tidak terus memegang janji setia mereka pada semangat rock. Terdapat juga babak "budak hingusan" yang amat mengganggu walaupun Mamat cuba menyampaikan slapstik yang literal terhadap kias ibarat orang Melayu.

Kekuatan filem ini, tentulah pada pemilihan lagu rock tempatan, yang menguatkan naratif penceritaan Jijoe dan orang di sekelilingnya. Kekuatan juga jelas dalam pengarahan seni yang teliti dan menghidupkan 1980-an dan 1990-an dunia rock yang gemilang tetapi sepi dan disalah pandang. Jelas, dalam putaran nostalgia Mamat kali ini, rock tetap akan hidup, sebagai sumbangan suara ekspresi anak mudanya yang cuba hidup, walaupun kalah dan terguris, tetapi menjadi naratif pengajaran "sejarah" tentang apa itu perjuangan hidup anak muda era dahulu untuk paparan anak muda serba canggih era sekarang.

10 October 2014

Menyindir Diri Sendiri dengan Filem

Ulasan ini agak menyimpang.

Aku mahu mengulas (atau dengan bahasa elitisnya, mengkritik) tetapi aku juga dengan sedar keadaan dewasa ini apabila menonton dua filem terkini (Amir & Loqman Pergi ke Laut, Dollah Superstar), serta sebuah filem 1990-an (Wanita Bertudung Hitam) di Astro Citra baru-baru ini, ketiga-tiganya membicarakan tentang penyindiran diri (self mockery), di sini, penyindiran sang pengarah/pengkarya tentang dunia pembikinan (filem) yang digulatinya.

Memang, tema ini bukan baharu, malah P. Ramlee melakukannya terlebih dahulu dengan Seniman Bujang Lapok (1961) yang kemungkinan tema pertama yang menyucuk panas terhadap industri perfileman Studio Ampas. Seorang kawan aku, Daniyal Kadir sendiri mendapati beberapa persoalan permintaan dan mogok kesatuan sekerja dengan majikan disampaikan dengan sinikal tetapi prasedar sekali dalam suatu babak cetusan dialog sang beca bersama-sama tiga bujang lapuk. Tapi yang lebih jelas, contohnya, dua bahagian, yakni bagaimana sang produser memilih para pelakon tanpa usul periksa latar belakang (persoalan penerbit yang tidak nampak aspirasi para seniman, atau penerbit tidak sekufu dengan pengarah dan orang seni sudah bermula awal lagi!) atau adegan S. Kadarisman ditumbuk oleh Sudin. Dalam babak ini, memang, terdapat dua lapisan makna, satu, berkenaan penghayatan lakonan yang sungguh kuat sehingga Sudin dan Satar mengingat latar filem itu sebagai realiti sebenar, tetapi yang lebih menyindir ialah sahutan Sudin, "Kenapa fasal tak nak buat belacan nak memancung-mancung?", mencebik terhadap isu kecil dan remeh, diangkat sebagai konflik dalam sesebuah layar dan plot filem, yang mungkin berlaku dalam beberapa filem Melayu yang khususnya bergenre purbawara (period drama dalam dunia Barat), menyindir juga, kemungkinan, tanggapan pengarang asal dahulu kala yang mengangkat hal remeh dalam pembikinan plot (sang ibu merajuk kerana anaknya makan telur tembakulnya, contohnya).



Memang, terdapat beberapa filem yang kemudiannya mengambil skop ini, dengan cara prasedar (si watak tiba-tiba ingin jadi artis, atau pelakon, atau bergulat dalam dunia perfileman), dan kita dapat lihat hal ini dalam beberapa filem Badul, juga beberapa filem 1980-an (Mekanik, contoh yang paling banyak diutarakan era itu). 

Bagi aku, memang, jika hendak mengutarakan nostalgia, citra, dan falsafah, serta kritikan yang jelas terhadap industri filem ini, tiada lagi filem Malaysia yang dapat menyangkal kedudukan Layar Lara (1998). Dan, mereka yang pernah menonton Johnny Bikin Filem, sudah tentu akan mengangkat filem itu sebagai "pencerita paling jujur" tentang masa lampau, kini, dan masa hadapan "Sinema Melayu".

Maka mungkin, Wanita Bertudung Hitam, yang aku tonton baru-baru ini, perlu diletakkan pada tempatnya sebagai suatu lagi filem yang menyindir para pembikinnya. Jelas, memang, filem itu menyindir kuat fenomena sang artis baru naik, lakonan Ramona Rahman, sebagai Maya/Munah(?), tetapi filem ini secara keseluruhan sebenarnya mencemik industri perfileman itu sendiri.

Filem ini pernah dikritik teruk oleh A. Wahab Hamzah, antara sebab kenapa aku tidak mempedulikan filem ini apabila ditayangkan di televisyen waktu raya atau membeli videonya era itu. Secara lahiriah, memang, aku sedikit setuju dengan Wahab apabila menontonnya. Jelas, pemilihan Ramona sebagai anak dara dari kampung yang diberi kekayaan materi dunia melalui industri hiburan kelihatan kekok kerana Ramona, dengan jelas budak kota dengan wajah kacukan. Inilah antara miscast terbesar yang pernah berlaku dalam sejarah filem kita.

Filem ini juga seakan-akan duduk dalam keadaan yang merimaskan, sebuah plot dan gerakan cerita yang biasa dan cuba membawa kembali plot melodrama-didaktik biasa era 1970-an dengan latar mengeliling, suatu plot si wanita bertudung hitam yang misterius seakan-akan kita terperangkap dalam sebuah filem penuh seni, (dan peliknya, terasa mungkin untuk era itu, sebuah filem Iran) yang di tengah-tengahnya terdapat kisah si Munah kampung yang menjadi Maya kota. Secara struktur, ini menarik, tetapi jika tidak disusun baik dan seakan-akan pinggan pecah.

Walaupun begitu, terdapat kekuatan bahasa filem yang jelas dan sedar dalam kuasa Mahadi. Lihat saja satu babak sewaktu si Ramona dihimpit oleh (kononnya) dua watak patriaki yang menjadi kutub pengaruhnya, yakni watak Mahmud June si agamawan (dan menolak seni, terlalu bersyariat, dan meletakkan doktrin Islam menolak seni seperti muzik, di sini, gesekan biola) dengan ayah Ramona, sang seniman Zami Ismail (atau si pemain biola terhebat di kampung). Cara Mahadi menjaga mis-en-scenenya sungguh mengagumkan, dan dalam babak ini sahaja, mewajarkan mengapa Ramona, yang kelihatannya dididik untuk menyukai muzik/seni dan diikat dengan dogma agama, kelihatan tertindih oleh dua kutub besar itu tadi, yang mewajarkan pula sisi psikologi Ramona yang meluahkan seninya dengan salah (dan sesat) pada dunia kota, dan kemudian, dengan teliti dan indah tetapi berselindung di rumah pak ciknya, Mahmud June.

Persoalan seni dan agama seakan-akan merupakan tema wacana filem ini, yang dihambat dengan dialog sastera 1980-an berkenaan polemik seni lwn. agama (adakah ini juga reaksi Mahadi terhadai polemik sastera Islam masa itu?) yang membosankan. Dalam kebosanan dan kejanggalan ini, timbul babak-babak yang indah, seperti si Jalil Hamid yang cacat, pencinta Ramona, juga kekasihnya, anak murid ayahnya, yang akhirnya punah dengan impiannya untuk mendapatkan Ramona kembali, telah menggesel biolanya, lantas berlaku sisipan imej imbas balik dengan setiap gesekan, membawa makna mendalam suara batin Jalil yang hancur tetapi juga tenang dalam memahami: dalam seni, seseorang itu perlu sengsara untuk memperjuangkannya.

Tanda besar "seni" ini, yang jelas, adalah tujuan sebenar Mahadi membikin filem ini, menjadi pertentangan hebat terhadap Ramona yang merupakan "anak seni" (lihat: anak wayang) yang apabila dipilih untuk menjadi bintang oleh sang produser (dan menjadi wanita simpanan sang produser! Dan itulah realiti sebenarnya bukan?) telah hilang pedoman dan jejak, dengan menyindir sekali, kedua-dua susuk besar tadi yang mengajarnya estetika seni dan kekuatan agama, diperleceh bak lumpur di tepi jalan. 

Kemudian, Mahadi memperkenalkan Imuda sebagai sang pengarah yang sedang cuba mengarah filem yang mana Ramona dibawa masuk pada masa-masa akhir (kerana pelakon sebenar tidak disiplin dan tidak datang ke set). Adakah Imuda itu Mahadi, atau Imuda sebagai perwakilan wajah kesemua pengarah era 1980-an? Di sinilah Mahadi menyindir. Imuda diperwatakkan seorang "sang seni" yang sejati, dengan falsafah dan kemahuan untuk mencipta seni yang tinggi (seperti yang ditimbulkan oleh personafikasi kuat Zami Ismail dan Jalil Hamid). Berkali-kali Imuda memarahi dan menghentak Ramona kerana Ramona lebih kepada "bintang majalah" daripada "bintang filem" (istilah zaman tu!), lalu kita meneliti dan mengikut kisah penggambaran Imuda yang mengangkat Ramona. Lantas, kita menyedari (dan hal ini amat berlainan dengan babak tegang, serius, dan dramatik tentang hak tanah dalam Layar Lara) plot cerita, dialog dan skrip yang Imuda bawakan merupakan sebuah melodrama murahan (yang secara ironinya diulang juga sebagai struktur besar filem ini) dengan lontaran dialog entah apa-apa! Adakah Mahadi benar-benar menyindir kawanan dan abang-abang era 1980-an yang menghancur dan merosotkan kandungan filem era itu? Sindiran inilah yang menarik dilihat, walaupun cara yang digunakan kelihatan outdated dan janggal. 



Lalu, kini, kita mendapat Amir & Loqman Pergi ke Laut dan Dollah Superstar. Membaca judulnya saja kita menyedari filem ini menyindir (ada yang kata satira). Kedua-dua filem ini pula bukan sahaja menyindir "kepondanan" filem gangster (uhuk uhuk) yang mengamuk di pawagam kita awal abad ke-21 ini, tetapi merupakan rujukan kepada filem pertama yang sebenarnya memulakan persoalan ini, Johnny Bikin Filem (walaupun orang akan kata, filem gangster yang lebih awal, walaupun subplot, ialah Mekanik dan Bintang Malam).

Kita perlu tahu sejarah mengapa arwah Anuar Nor Arai membikin Johnny Bikin Filem. Judulnya sendiri, juga ironi sekali gus menyindir, Johnny, di sini ialah samseng era Singapura, era Studio Ampas, Ya, si samseng ingin membikin filem. Terdapat dua makna di sini, pertama, Anuar seakan-akan mengatakan, filem Melayu waktu itu (1980-an dan 1990-an) terlalu celaka, sampai kita perlu mengambil seekor penyangak unutk menterbalikkan sudut pandangnya yang rosak. Kedua, filem-filem kita memang dibikin oleh penyangak dan samseng, merosakkan filem bila perlu. Dan akhirnya, Anuar, secara sengaja juga, seakan-akan membuka suatu arus baharu (new wave), bahawa dialah samseng itu, bad boy itu yang akan mengubah bagaimana kita membikin, menonton dan membicarakan filem Melayu.

Namun hal itu tidak berlaku (kerana filem ini tidak pernah ditayangkan) dan yang berlaku hanyalah Remp-It, Budak Kelantan, dan kemudiannya dengan sambutan hangat, KL Gangster

Dengan ini sahaja, kita sudah faham dengan niat Mamat yang sebenar dan juga Kabir (atau di sini, penulis skripnya, Alfie Palermo). Lihat sekali lagi judulnya. Amir dan Loqman sememangnya samseng paling celaka, kerana mereka bodoh-bodoh alang (dengan menyindir, kitalah, para penonton FELEM MELAYU adalah kalangan bodoh-bodoh alang, dan hal ini diulangi oleh Mamat sedari Man Laksa lagi). Babak kredit awal, mereka meneliti laut. Ah, suatu goncangan di sini, kerana judulnya menunjukkan mereka sepatutnya "ke laut" tetapi babak awal mereka sudah ke laut (dan ini menolak pandangan filem ini mengambil suara yang sama dengan Harold & Kumar Go to White Castle) Lalu, jika kita "bijak sedikit" dan bukan bodoh-bodoh alang seperti Amir dan Loqman, kita akan menyedari bahawa "pergi ke laut" mengambil laras bidalan orang Melayu yang bermaksud, "tidak ke mana-mana" atau "tersasar". Filem ini, sebenarnya, merupakan suatu pentas besar Mamat tentang 1) semua filem bergenre samseng di Malaysia tersasar entah ke mana, dan 2) filem industri tempatan sudah tiada arah.

Lantas dengan jelas Mamat, seperti yang beliau lakukan dalam Hantu Kak Limah, melakukannya di sini, yakni spoof, dan para pengarah genre ini sepatutnya terasa dan marah. Malah, dengan sedar juga Mamat menyatakan dengan jelas, inilah watak "realiti" sebenar samseng di Malaysia, empat antaranya yang terjelas: si wanita tauke hotel dan kopitiam yang juga ibu ayam, si lelaki macho tauke kelam malam yang sebenarnya romantis, si lelaki ganas yang main pondan, dan si tauke yang menjaga rumah mayat. Semua ini lebih pelik, menarik, dan boleh dikatakan, menenggelamkan warna plastik yang telah dicat oleh pengarah genre ini sebelumnya. Malah, terdapat personafikasi yang kuat, seperti watak Sofii Jikan, gangster yang kalkulatif, ganas, menakutkan, tetapi hanyut dengan cinta seorang wanita (ini mengingatkan aku kepada watak Orson Welles dalam Touch of Evil) dan romantis terhadap seni.



Lalu, Amir dan Loqman di tengah-tengah mereka, yang secara mencuitkan (secara slapstik dan cetusan komedi situasi), menghancurkan dunia mereka, bersama-sama dengan sekumpulan pembunuh upahan yang "sudah bertaubat". Adakah Mamat hendak menyatakan, kita, Amir dan Loqman, atas kebodoh alang-alang kita, akan menghancurkan wayang kita sendiri? Jadi apakah gunanya impian? Seperti impian Amir dan Loqman, adakah, secara sinikal, akan tercapai, hanya selepas kita mati (lantas sinema yang sebenar pun bermula dan menyampaikan impian yang kita mahu selama ini?)

Runut bunyi filem ini terbaik, malah menenggelamkan kekuatan cerita dan perwatakan filem. Kerana terdapat sedikit kegusaran, yang mungkin juga memecahbelahkan sokongan peminatnya terhadap filemnya. Hal ini berkenaan detik komedi, bodoh-bodoh alang watak utama, dan humor longkang yang dibawa ala adik-beradik Farelli. Kawan aku yang menonton filem ini sangat marah dengan watak bodoh lurus bendul Amir/Loqman untuk menimbulkan ketawa. Baginya, terdapat lawak yang begitu rasis, bigot, dan tiada sensitiviti yang murni. Hal ini boleh diperdebatkan pada mereka yang senang dengan toilet humor dan sejauh mana kita boleh pergi atau lakukan dengan cara apa. Namun, aku lebih tersinggung dengan sikap yang tampak, sedikit angkuh dari sisi Mamat untuk menyatakan dengan mengajar, "Kalau nak buat filem gangster, begini!" terhadap kawan dan saudara pembikinnya. Dengan sedar Mamat melakukannya, dan aku rasakan, mungkin belum lagi masanya untuk kita sindir begitu rupa, dan dengan cara yang begitu (menggunakan lawak longkang), walaupun akan dihujah sebagai jawapan "inilah yang penonton mahukan". Terdapat lompong dan persoalan yang sengaja Mamat biarkan kosong, dan ini juga akan menjurangkan lagi pengikut setianya.

Oleh itu, mungkin sindiran Kabir-Alfie dalam Dollah Superstar, kelihatan lebih jujur dan menyeronokkan, menembak sepenuh-penuhnya tentang ketidakhirauan penggunaan genre, serta caca merba kandungan dalam filem kita sekarang.

Aku tidak pula menyatakan filem ini sempurna. 15 minit awal, filem ini sangat menghiburkan, dan cucukan sinsinya mengena, tetapi Alfie-Kabir agak lemah dalam pengolahan plot tengahnya, terdapat beberapa hal yang disoal, kesinambungan babak yang kurang dinamik, babak Umi Aida yang mengganggu di tengah-tengah, dan campuran komedi yang kadangkala dibuat-buat. Mungkin juga, aku tidak suka dengan cara Fizz menjalankan kerjanya jika dibandingkan dengan Awie yang memahami bentuk apa komedi ini dituliskan (dan aku agak terkejut dengan lakonan baik yang dibawa oleh Neeloofa dan Sharnaaz Ahmad), dan mungkin aku tidak suka cara pengimbangan caca merba yang dibawa oleh filem ini kerana filem ini memerlukan caca merba dengan koordinasi yang terjaga, dengan mis-en-scene yang betul (seperti yang dilakukan oleh Mamat dan Mahadi). Namun, aku tercuit, jika Mamat ingin sangat mengajar, Alife dan Kabir mempersendakan diri mereka sendiri(!) dalam filem ini, maksudnya, jika mereka ingin menyindir orang lain, mereka menyindir diri mereka dahulu! 

Dan betapa, mereka menyindir, pelbagai hal, pelbagai rencam dan kerenah dunia industri yang bermuka-muka, penuh ilusi, dan main-main. Dengan menariknya, Dollah (Awie) yang juga mempersenda betapa bodoh dan silapnya para pembikin melukiskan tentang kalangan gangster yang sebenar (sekali lagi, personafikasi yang sebenar pada realiti), telah memasuki alam itu, yang jelas, seperti Ramona, mempunyai ilmu yang kosong tentang lakonan dan pembikinan. Tetapi di sinilah kejutan yang mencuitkan, Dollah sendiri yang mengarah filem itu apabila si pengarah (Aziz M. Osman) hilang! Lantas hal ini mengembalikan persona Johnny Bikin Filem yang dibuat oleh Anur Nor Arai. 

Aku ketawa sepanjang 15 minit awal filem ini, juga beberapa babak tengah dan akhir, tetapi aku sedikit lesu untuk menyatakan filem ini bagus. Ya, menarik tetapi bukan hebat. Mungkin juga, kerana aku sudah menonton filem yang juga membuat lawak tentang industri filem juga genre kritikannya dengan penceritaan yang lebih berkesan, dengan watak dan perwatakan yang lebih "bijak" dan seronok ditonton: Jigarthanda.  

07 April 2014

Apokalips X(2014): Farid ada Sayap

"Sape suruh masuk kelas gua?" - Pemukul

Hanya ada satu imej sahaja yang aku suka dan aku setuju dalam filem pascaapokalips Malaysia yang pertama ini daripada tangan bang Mamat kita, yakni pada bahagian akhir, Pendita ala Obi wan Kenobi (lakonan Pyanhabib) berjalan di tengah padang jarak berpuing bangunan kosong, diikuti Adam AF dan sekumpulan anak muda yang lain.

Menonton imej babak itu sahaja kita terasa suatu pengalaman memuaskan dalam perjalanan wayang kita, suatu pemaparan "epik" yang betul dan memahami maksud ruang dan bentuknya. Terasa harapan dan terasa momen baharu yang lebih menjanjikan dalam keadaan penuh fatalis dan mati (sinema kita sekarang). Ironinya, imej itu ialah imej (dekat) terakhir yang kita tonton, sebelum segalanya dilakukan dengan bayang dan ruang hitam dan kelabu berlatar bangunan DBKL di Titiwangsa. Nanti buat peminat kecil filem ini, bolehlah buat rombongan Aman Chai dan Qi Qi secara gerila di Flat DBKL tu untuk meraikan kembali grafiti dan contengan bajet rendah yang dibuat oleh produksi filem ini sebelum flat itu betul-betul diruntuhkan. Mungkin sempat juga peminatnya buat parti segempak festival asia yang lima remaja kita gol tu atas nama matahari Barat ke Timur.

Dunia filem pascaapokalips ini mempunyai beberapa ruang apokalips yang menarik, terdapat percubaan campuran lima bahasa "rojak", udara sudah toksik dan ada masa-masa tertentu, manusia yang masih hidup terpaksa hidup dengan topeng. Manusia yang sudah hilang pedoman hanya tinggal dalam puak-puak tertentu yang mendefinisikan mereka, sampai agama, bahasa dan bangsa hilang, hanya tinggal subbudaya dan anarkis, dan secara pelik, silat cekak. Manusia juga mengambil semacam suatu dadah untuk memperkasakan lagi tubuh fizikal mereka, sampai ada yang terbang dan menjadi selagak dewa.

Semua ini cantik, tapi mana ceritanya? Ceritanya terikat dalam empat puak terbesar, yang jelas kelihatan puak X (Farid Kamil) Merah Putih yang semacam menjaga minyak (peranan ini tidak dijustifikasikan dengan kuat) dan elektrik (perkara ini paling membingungkan aku), kemudian ada puak Sri Gala (Peter Davis) yang suka gaduh-gaduh dan perasaan dengki terutamanya Iqram Dinzly, kumpulan Flora yang penuh perempuan dan jaga tumbuhan (yakni punca makanan), dan akhirnya puak Kala (Jehan Miskin) Jengking yang selalu buat konsert Black Metal depan rumah mereka tanpa apa-apa maksud sebenar.

OK, pergerakan plot filem ini amatlah lembap dan bosan, malah bila ia berlaku, aku tidak sedar pun ia berlaku. Skrip tulisan Mamat ini, melihat pada bertahun filem ini dibikin, merupakan antara filem-filem terawal Mamat yang tidak disiapkan sampailah dapat buat bajet CGI yang dia perlukan. Tulisannya di sini amat didaktif yang naif, melakarkan kisah "sini adik-adik biar abang ajar sikit adik-adik fasal kontrak sosial" politik yang sedang membelenggu UMNO. Malah, ada bahagian yang kita terasa seakan-akan ditulis oleh budak tadika. Seorang budak tadika yang baru sahaja menonton Sembilu, dan mendapati Sembilu merupakan filem terbesar Malaysia untuk dipinjam dan diulang guna lalu ambillah plot serta dialognya di tengah-tengah landskap pascaapokalips. Aku serius takde hal kalau Mamat nak mengajar orang Malaysia, ahh, terus-terang sajalah, orang Melayu kita tentang kerosakan perpaduan yang amat sangat dalam kalangan kita, tapi jelaskan dahulu potensi dunianya. Persoalan kenapa berpuak dan tiba-tiba Iqram asyik panas bila tengok Adam (aku sure dalam diam dia gay dan nak Adam), apa tujuan dan peranan setiap satu puak ini? Kenapa awalnya mereka bergaduh ala Street Fighter? Untuk apa? Mainlah dengan ruang ini dahulu, yakni bagaimana setiap puak ini sebenarnya memerlukan antara satu sama lain, barulah ianya jelas hidup dan menjalar dalam dunia apokalips, ini tidak, jelas filem ini mengulangi Senario Lang Buana yang pernah Mamat tulis. Ini jelas, Mamat tak pernah baca Frank Herbet ataupun David Brin (aku rasa aku dah dapat detect seorang lagi mamat yang tak faham perbezaan fantasi dengan fiksyen sains, tapi fantasi pun ada undang-undangnya). Lagi sekali, kita buat skrip filem kena study dulu, kena faham latar ruang sai-fainya betul-betul, kita dah tak boleh sandarkan kepada "sebab idea ni best" semata-mata, kalau nak bandingkan filem ni dengan adaptasi Divergent, macam filem tadika dengan universiti.   

Ya, filem fiksyen sains mementingkan "sistem" dan "fenomena" yang dicipta. Dalam filem ini jelas fenomena sosialnya yang hancur. Kenapa hancur dan berpuak? Hal itu masih samar-samar. Dan apa kerja Pyanhabib? Aku rasakan, ini sengaja memalukan beliau, seakan-akan menyatakan: inilah yang kau dapat bila bagi si sengau memerintah. Hal ini sengaja aku bangkitkan kerana (yang aku dah dapat baca dari awal pun) terdapat babak imbas apa kerja Pendita sebenarnya pada awal filem, yang sepatutnya memberi ruang kejutan dan sentuhan emosional, tetapi jika disedari sepenuhnya bentuk filem ini, ....

Kalau pun Mamat hanya gunakan latar apokalips ini sebagai ruang untuk dia berdakwah fasal agenda politiknya (aku boleh dengar Mamat berucap, Bersatulah bangsaku!), fine, takde hal, tapi dia kena make sure gaya yang dia gunakan (sebab dengan jelas filem ini dibikin dalam style over form) setaraf bentuk dunianya. Hanya imej terakhir yang aku akur indah. Bagaimana dengan kisah topeng dan udara toksik, kenapa tidak diperdalami lagi? Ada banyak babak yang aku tahu merupakan cita-cita besar Mamat tapi dilaksanakan dengan begitu amatur sekali. Sekurang-kurangnya terdapat juga bahagian sedap seperti klimaks Farid yang mengamuk di pangsapuri dan final fight. Tetapi semuanya tidak dapat menyampaikan suatu kepuasan yang sepatutnya.

Filem ini aku percaya dibikin sebelum nama Pekin Ibrahim naik. Ada percubaan yang baik dari segi lakonan tapi masih dalam gaya yang amatur. Jehan menyambung tradisi Prof. Klon yang biol dan satu dimensi. Farid mencuba tapi dia bukan Superman. Adam tak bermaya. Peter Davis pandai tayang puting. Oh ya, dalam dunia pascaapokalips Mamat, si wanita macam bebudak Jepun Gothik dan si lelaki suka tunjuk puting dada, mungkin ini sahaja jawapan Mamat kepada penonton wanita yang mahu membanding dada sasa dan puting pelakon lelaki mana yang paling menarik. Selamat menonton puting.

Klasifikasi: P-13, beberapa perilaku yang tidak sesuai ditonton oleh kanak-kanak, namun beberapa kata kesatnya sudah dipotong LPF, lagi menambahkan kesima mengapa perlunya LPF mendidaktikkan kehidupan harian kita. F*** LPF. 
MENONTON DI GSC Berjaya Time Square. 

Nota Tambahan (berserta spoiler):
Aku sepatutnya sudah berhenti, namun aku tersinggung apabila ulasan poyo aku ini dijadikan cerita berkenaan agenda aku menjatuhkan Melayu (nauzubillah) dan entah apa-apa lagi kecaman. Beginilah, sarkastik aku menulis berkenaan puting itu adalah perasaan sangat marah dan tersinggung aku bila aku membayar menonton filem ini dan itu sahaja yang aku dapat, hal ini amat mengguris perasaan aku, bayangkan, harga tiket sekarang bukan macam dahulu, dan ini hak aku sebagai penonton, tapi mereka peduli apa kan? Jadi mahu lagi? Mahu lagi apa yang aku tidak puas hati? Ini merupakan nota-nota ringkas dalam perbincangan dengan seorang pengkritik tersohor berkenaan masalah filem ini:

Begini:
then i would like to know, what was the point they created the gelanggang lawan? Why was there so many "puak" .. i understand the "idea" of its creation semantically, but what about the execution of the story that moves the character? Who created this puak-puak? Was it Pendita? Why Pendita let it (pergaduhan ala Street Fighter) happen then made a decision to make a pact (perjanjian) after a tragedy?

Some even said: if you can have time in grooming your hair, can't you built a better world, like in Divergent?

Kalau benarlah Pendita melakukan "konspirasi", yakni membenarkan Kala secara senyap utk membunuh semua orang lalu diri Kala sendiri juga atas utk membebaskan golongan muda itu untuk "berhijrah", mengapa tidak ada babak yg menayangkan initial scene kenapa hal berhijrah ini tidak dapat dilakukan kerana terikat dengan puak yang diketuai oleh otai-otai? Tidak ada satu babak pun menunjukkan mereka melarangnya. Tidak ada logik dunia yang konkrit apa yang akan berlaku jika mereka berhijrah (cth: ada puak kanibal/orang makan orang di suatu ruang tertentu, contohnya)

Perwatakan yg dicipta terlalu satu hala, satu dimensi utk melihat sisi-sisi lain. Ada satu babak yg amat menyakitkan apabila ruang tidak dimainkan, ketika Qiqi dirodok hanya di sebelah abangnya (Iqram), tidak ada isolasi ruang atau mainan ruang, semuanya mcm dibikin dalam satu bajet tertentu. Jika pun ianya chaos, tangkapan imej tidak memberi kepercayaan kepada penonton logik itu. Hanya jika Qiqi pergi ke satu ruang lain, lalu Pekin mengikut lalu merodok, mungkin itu dapat diraikan. Masalahnya, kareografi dan mainan ruang tidak dititik beratkan dan jelas "asal jadi".

Dan jika watak dibangunkan hanya sebagai karikatur dalam membayangkan representasi sketsa atau farsa (seperti filem-filem Monty Phyton, tapi lihat, ini bukan filem komedi, ini drama-aksi), bgmn dengan penonton yg mahu "root" untuk watak tersebut, tidak ada "kasih sayang" atau memberikan wajah utk penonton peduli atau "care", ini jelas dlm setiap watak Apokalips X kerana tiada percubaan memberikan watak suatu "perjalanan emosi", seperti jelas yang kita lihat wujud dalam filem apokalips seperti Mad Max, The Running Man, Snowpiercer, Water World, Book of Eli. Teliti dengan betul, selalunya kebanyakan filem apokalips akan mengangkat satu watak dalam satu "perjalanan", lalu penonton akan terikat dengan jalan cerita kerana perjalanan emosi watak tersebut, perkembangan apa yang akan berlaku dengan watak. Hanya beberapa filem, seperti Delicatessan yang mempunyai pelbagai watak, namun jelas filem itu sebuah filem "komedi-farsa" tentang kritikan sosial masyarakat Perancis, dan setiap imej melakarkan watak karikaturnya dengan jelas.

Dan dialognya, saya benar-benar terkejut ... beberapa babak Amanchai-Qiqi membuka kembali babak-babak Sembilu, dan ini amat menyakitkan, babak cinta Awie-Ummi dalam Hantu Kak Limah lebih jelas dan berchemistry. Babak-babak cinta Amanchai-Qiqi amat kaku dan hanya menghamburkan dialog atas dasar menghamburkan dialog.

Saya faham Mamat ingin mengkritik sosiopolitik yang bobrok dalam dunia sekarang, tetapi yang lebih penting ialah memberikan cerita. Jelas, 10 minit awal kita tidak jumpa ke mana filem itu hendak dibawa, tidak ada quest, matlamat dan konflik yang berkesan, sampailah kepada percubaan yang kononnya kisah cinta amanchai terhalang, dan imej yg diberikan terlalu poyo utk kita mahu amanchai dan qiqi utk berjaya dalam percintaan. Ini masalah yg Mamat perlu sedari. Sebab at stake, he has good ideas but if he cant execute it, cakaplah apa-apa pun, penonton takkan percaya.

Snowpiercer bagi saya menjadi kerana konfliknya jelas, ada matlamat dlm sisi pembongkaran konspirasi - jelas golongan kelas rendah merancang hendak "take over" kereta api terakhir dunia untuk membebaskan diri drpd penindasan kelas atas. Jelas, sgt jelas. Lalu mainan konspirasinya akan dibuka sedikit demi sedikit sampai pada akhir filem. Bagaimana Apokalips X menggerakkan konfliknya? Matlamatnya? Cth jelas: utk apa Pendita ke ruang/tempat baharu apabila tempat itu tidak dikecam/tindas oleh mana-mana kuasa luar lain malah tidak dikecam dari segi alam sekitar (penjagaan toksik tempat itu terkawal, bersistem dan ada tanaman/makanan dan elektrik wujud, tiada tanda ia akan lenyap atau habis, tidak ada babak contohnya bahawa minyak makin menyusut), jadi ambiguiti ini kita tidak terima kerana ketiadaan matlamat yg langka. Tujuan Amanchai hendak keluar dr tempat itu jelas kerana dia mahu "kahin lari" dan keluar drpd sistem undang-undang X dan puak lain, yakni suatu alam yg lebih bersatu padu, tapi itu masih pendirian peribadi dan tidak terangkai kepada komuniti. Anak muda lain tidak sibuk pun terasa mahu "kahwin lari" sepertinya. Maka tujuan tinggal tujuan, konflik tinggal konflik. Ini masalah filem ini, tidak disemak betul-betul sebelum produksi.

Permainan ruang dengan fungsi burung suatu lagi contoh (hal ini sedikit menganggu dari segi logik kerana adakah burung itu dijaga dan dimanakah mereka dapatkan burung-burung itu apabila udara dunia sudah toksik?). Ada satu babak dengan naifnya menunjukkan si pemberitahu bahawa "Burung sudah mati" maka toksik akan berlaku. Dalam erti kata logik, jika lelaki itu duduk di luar kawasan bangunan, suatu tempat sedikit jauh dan melihat sahaja burung mati (babak ini menggunakan unsur daripada Close Encounters of the Third Kind) lalu cepat-cepat pakai topeng lalu berlari ke ruang komuniti, mungkin imejnya lebih diterima. Hal ini kerana angin yang membawa udara "toksik" bukan turun dari atas ke bawah (seperti banyangan filem ini sebab itu lelaki itu di kawasan atas) tetapi dari Barat ke Timur atau apa-apa bentuk horizontal. Hal inilah, jika dibawa kepada tontonan umum orang luar, tentu memalukan kerana melewakan logik.

26 March 2014

Zombi Kilang Biskut(2014): Biskut!


"Buat apa nak takut ngan zombi, otak pun takde." - Ucop Wilca

"Isyk, tak logik!" - Ucop Wilca

Ulasan ini pendek sahaja. Tak perlu otak sangat untuk mengulasnya.

Memang, awal-awalnya, apabila filem ini AKHIRNYA dibikin, aku menggeleng, melihat pada judul ini pernah menghiasi kredit akhir Hantu Kak Limah, aku melihat cubaan Mamat itu untuk mencuit para penonton agar "tidak meneruskan nafsu untuk melihat sambungannya" atas dengan sengaja betapa cheesy judul itu. Kemudian, filem itu menjadi (antara) filem pecah panggung tertinggi, lalu segalanya sejarah. Penonton yang terbau bacangnya, tentu akan terus mengikuti sambungannya, seperti mana-mana strategi filem luar (filem "kampung pisang" ini sudah masuk empat siri, walaupun Mamat memecahkan filem ini sebagai sekuel kepada Zombi Kampung Pisang, akan ada penyudah trilogi filem ini, yakni Zombi Ultimatum).

Dengan mengikut jiwa, dan mengejutkan aku juga (kerana aku peminat filem zombi), aku seronok menonton Zombi Kilang Biskut.

Ya, aku tak tipu.

Kau tahu, aku pernah bengang dengan Mamat kan? Dengan ejekan mamat terhadap wajah, tingkah laku, dan cara zombi dalam filem asalnya, kali ini, semuanya jelas (Mamat takde Tom Savini, bayangkan zombi-zombi Fulci yang tak kuat bergerak tapi penuh gore), darah terpacul, tangan dada tengkuk dikekah, zombi terhencut-hencut, kereta diterkam, zombi disula. Aku macam, "Wow..!" OK, baru-baru ni kita ada KL Zombi. Tahap gore dan sedap zombi Mamat mengalahkan KL Zombi pada tahap Awie menendang pondan.

Cerita? Pergi mampus dengan cerita. Dialog? Macam Ki***. Ada plot menyimpang yang tak masuk akal, tak logik (yang berkali disuarkan oleh Ucop dengan sengaja) berkenaan seekor pontianak merah. Tapi showdown pontianak itu amatlah geli hati nak mampus dalam erti trash semata-mata.

Syot kamera? Ada bahagian menarik, tapi ada bahagian hancur, suntingan juga bergetar. Kareografi macam setan tapi ada juga yang syok. Ada zombi tak tahu tugas zombi (tapi aku maafkan sebab aku peminat Fulci). Syot malam cantik, macam biasa. Pelakon macam biasa, tapi aku terkejut dengan kehadiran mamat gemuk selalu berlakon filem MiG tu yang bagi aku boleh tahan lawaknya dalam filem Mamat ni.

Ya, ini filem trash yang benar-benar sampah seperti filem awal John Waters, sekali lagi, yang tak perlu banyak berfikir dan meneliti untuk memahami bajet rendah, tiada babak seram mengejutkan, dan sekali lagi anak Mamat Khalid tidak boleh berlakon, dan bagainama babak aksi dalam filemnya masih tahap kecundang.

Dan Mamat Khalid dengan kiut berkeroncong macam kutu lepak kampung dengan budak-budak muda!

Ini ialah filem kartun Mamat -

- Tapi ia benar-benar menyeronokkan sampai menjilat buku lali. Otak sampah aku terhibur menontonnya.

ps: Jangan lupa runut bunyi best Awie yang selamba nak mati.

Klasifikasi: U, tetapi perlu berjaga-jaga dengan darah dan ganas zombi dan ponti di layar. 

MENONTON DI GSC Berjaya Time Square. 

16 December 2012

Husin, Mon & Jin Pakai Toncit(2013): Panas, Membara dan Kehilangan

"Mengelirukan, bukan?" - Dr. Shamsudin

Ah, menonton Hantu Kak Limah Balik Rumah tahun lepas adalah suatu fasa fenomena filem Malaysia. Aku menyedari sesuatu yang menarik, yang menjadikan filem-filem Mamat Khalid ini sesuatu yang bukan boleh ditonton secara lalu tetapi seharusnya diambil, sebabak demi sebabak seperti penonton menganalisa filem mendiang Stanley Kubrik, setiap satu babak dan imejannya bermaksud, menyampaikan maksud-maksud tertentu yang dapat dikod kepada pelbagai intepretasi. Perkara ini menjadikan seseorang pengarah itu intelektual dan filemnya cerdik. Hal ini ada dalam filem-filem Allahyarham P. Ramlee.
 
Sedihnya, kita kini dalam fasa majoriti penonton filem Melayu yang hanya inginkan "cheap tricks" (ini pengakuan David Teo dan Razak Mohaideen dan mengapa filem-filem sebegini yang terus dibikin oleh mereka) dan hiburan murahan ("Kita berikan apa penonton nak," kata kedua-dua tokoh itu). Hantu Kak Limah dibikin dengan gaya "B-film", sebuah filem dalam erti kata pengkritik Barat sebagai "trash". Aku sendiri mengaku, filem Hantu Kak Limah "is a good trash", seantaro John Walters. Malah "mesej utama" filem itu sebenarnya adalah menyindir penonton yang terlalu disuap-suapkan dengan filem hantu (Mamat sendiri mengaku, beliau tidak percaya dengan tahyul). Apa yang mamat hendak katakan ialah, "Eh, macam ni kau nak terhibur?" Lalu terhiburlah kita, mengikut, malah meletup filem itu. Tetapi, adakah "subtle message" itu sampai (yakni menyuruh penonton biasa ini mencerdikkan minda mencari makna sebalik dan mencari filem yang lebih baik)? Apakah kita tersedar? Apakah kita peduli?
 
Yang aku tahu, pembikin kita yang terikat dengan syaitan besar bernama kapitalisme menjadi buta, lalu terkeluarlah filem-filem salinan Hantu Kak Limah, berlambak-lambak yang diakhiri dengan tahun ini dengan Ponti vs. Orang Minyak (2012). Semuanya mengikut "kita berikan apa yang penonton nak" sedangkan dengan jelas, Hantu Kak Limah menyatakan sebaliknya.
 
Aku tahu hal ini apabila aku tidak lagti skeptikal menonton filem "ketiga" trilogi Kampung Pisang ini, aku sedar bahawa filem Mamat ini tidak akan menyampaikan "lawak bodoh" tiada isi yang biasa diterbitkan oleh penerbit lain.
 
Benar, itulah yang aku dapat. Kali ini, aku terfikir, adakah Mamat hendak "menjentik" hal yang sama kepada penonton? Suatu perkara yang amat mengejutkan, dan "bahaya" buat aku, menunjukkan betapa berani dan jujurnya Mamat sebagai penggerak seni adalah dengan menyuntik hal politik semasa yang bagi aku kali ini AMAT JELAS dan amat sesuai sebelum kehadiran Pilihanraya. Mahu tidak mahu, suka atau tidak, pandangan Mamat jujut dan tulus tentang "ambang kiamat" yang "orang Melayu" akan hadapi pada PRU kali ini. Aku tidak akan menyatakan apa-apa, hanya ada pemaknaan jelas tentang dua parti politik besar yang dimainkan dalam filem ini (serta dua tokohnya), satunya yang kini memang dipinggirkan oleh orang Melayu, satu lagi dibayangkan sebagai "bersih" tetapi membawa kepada jalan menuju "sistem Singapura".
 
Dan masyarakat (penanda: orang kampung) terus sahaja dibutakan oleh "media" dan "kata-mengata", mengangguk kepada setiap cakap dan cerita. Husin (Awie) yang menjadi simbol (jati diri) dipersisihkan. Ini nampak melankolik, semangat (kata-kata tulus Mamat) yang "benar" akan dipinggirkan. Ini suatu zaman baharu, zaman "apakolips" buat Mamat bagi bangsanyta.
 
Aku akan berikan sedikit sahaja klu, Dr. Shamsudin (Rashidi Ishak) ada kaitan dengan nama "Jins Shamsudin". Untuk mengetahui dengan lebih jauh tentang perkaitan ini, penonton (yang tak nampak) haruslah membaca sejarah Jins Shamsudin dan perkaitannya dalam sejarah filem, khusus era Jalan Ampas. Hal ini dengan jelas menampilkan dengan "kuasa media" yang amat mencuit bagi aku apabila "Dr. Shamsudin" ini boleh "menampakkan yang benar" atau "di sebalik" (media) kepada orang kampung (yang sebenarnya ada maksud lain). Hal ini seperti menyatakan makna "lidah bercabang". Ini antara kekuatan Mamat Khalid.
 
Hal ini menarik, tetapi mendukakan, kali ini, kuasa dramatik dan tempo komedi Mamat tampak tersasar, jika Hantu Kak Limah, kita lihat semuanya disusun elok. Kali ini, mungkin kerana kematian Zami Ismail (yang amat hebat dalam filem ini) atau ketiadaan Johan, serta kemasukan beberapa watak baharu dan membesarkan beberapa watak cameo daripada Hantu Kak Limah (yang lemah dan cukup keluar sekali-sekala sahaja). Dinamisme lakonan yang aku temui dalam filem sebelum hilang atau "porak-peranda" dalam filem ini, diperlemahkan oleh beberapa pelakon yang bukan pelakon. Terdapat beberapa babak dan syot yang bagi aku juga hilang kekuatannya, serta tempo pergerakan motivasi. Ada pelbagai babak "teruja" yang sengaja menampilkan takut-seram yang sempurna dalam filem sebelum. Dalam filem ini, sepatutnya ada hal itu, tetapi kini tampak terbuat-buat dan tiada kawalan yang betul. Malah, lagu rock balada "video klip" Lamunan Terhenti sepatutnya seikonik Cinta Kristal. Tetapi hal itu tidak berlaku, ia kelihatan "diulang", penat dan tiada upaya. Hal ini (execution) yang menyebabkan terhilang sakti yang wujud dalam filem terdahulu. Ada CGI menarik berkiatan "jin pakai toncit" dan "hantu macam Dementor Harry Potter" tetapi masih tidak dapat membantu gegeran lemah yang sudah dilaksanakan oleh suntingan dan peredaran cerita.
 
Sekurang-kurangnya, filem ini, masih lebih senang ditonton jika aku tonton segala komedi-seram yang ditayang, yang hanya memberi "apa yang penonton nak" daripada memberi apa yang "sebenarnya penonton perlu".
 
Klasifikasi Untuk Tiga Hari: U, Beberapa babak separa seram yang mungkin tidak sesuai untuk kanak-kanak.
DITONTON DI GSC Ipoh Parade. [AKAN DITAYANG 7 FEBRUARI 2013]

11 December 2010

Hantu Kak Limah Balik Rumah(2010): Zomba yang Memikat

"Kak Limah dah jadi zomba!"- Hussein


Aku adalah kumpulan penonton yang amat menolak Zombi Kampung Pisang apabila ia mula ditayangkan pada beberapa tahun dahulu. Bila sekuelnya dikatakan diteruskan oleh Mamat Khalid, aku skeptikal. Semalam aku menonton filem ini dalam pawagam yang penuh. Aku memaafkan Mamat Khalid selepas menonton filem ini.


Yang bagusnya, walaupun filem ini meneruskan watak dan latar watak yang sama daripada filem terdahulu, kau tidak akan tersesat kerana filem ini boleh berdiri dengan sendiri, malah memberi pemaknaan baharu dan pengisian yang baik dengan filem terdahulu.


Dalam hal makna sahaja, filem ini mempunyai tanda-tanda subtle yang cukup memikat, khusus terhadap hal kenegaraan, sosial dan politik Malaysia, terutamanya masyarakat Melayu. Aku tidak mahu bergerak ke arah itu kerana aku percaya, ramai pengkritik akan mengupas hal-hal itu. Aku lebih tertarik melihat filem ini sebagai filem, dan sebagai filem, ianya penuh dengan gags dan homaj yang amat menggelikan hati, turut menyoal para penonton, "Jadi, begini anda mahu terhibur?"


Persoalan itu mungkin sahaja diagak pesimis, tetapi tak. Nawaitu filem ini sememangnya untuk berhibur. Perlu ingat, Mamat sedang dalam perjalanannya memahami kultur dan keinginan penonton Melayu (dan ini menyedihkan, etnik lain masih menolak menonton filem buatan kita). Apa yang Mamat sedar (sedari Zombi Kampung Pisang lagi) bahawa genre komedi dan seram merupakan genre yang secara tidak sengajanya disukai oleh para penonton kita (aku kata tidak sedar kerana kita belum lagi berjaya membikin filem bergenre jenayah, sejarah, biografi, adaptasi yang benar-benar ikonik). Maka itulah yang Mamat berikan dalam filem ini.


Ada beberapa sisi yang aku suka dengan kritikan sosial Mamat, khusus kepada budaya penontonan dan cara karya kita dihidangkan kepada massa. Kita tonton secara sedar drama di TV tentang "zombi" yang amat memualkan. Ini diperkaitkan dengan pemahaman TV sebagai "dumb box". Kita juga mendengar Hussein menyatakan "Tak tengok Akademi Fantasia ke Kak Limah?" kepada "Kak Limah". Secara menarik, Mamat menyatakan bagaimana pengisian kandungan TV kita telah "memperlekehkan" intelektual masyarakat, dan secara "menyindir" dibikin oleh orang kita juga! Hal pasif masyarakat "yang menerima sahaja" apa yang keluar dari "dumb box" itu terpampang dalam komuniti mereka, apabila mereka senang "terpengaruh" dengan satu atau dua tokoh yang menyerlah. Di sinilah kita dapat teliti bagaimana Mamat menunjukkan satu-satu massa kampung "mengikut kata" tanpa membuat telahan atau takulan dahulu berkenaan satu-satu hal (paling nyata di sini, hal Kak Limah), malah lebih senang terpedaya dengan "cerita-cerita" (ini kritikan Mamat terhadap kepercayaan masyarakat terhadap cerita dalam Internet) walaupun ia ditokok tambah.


Malah secara menarik, cerita dan budaya luar menjadi "pengaruh pertama" bagi masyarakat Melayu pascamerdeka. Kita diperlihatkan bagaimana budaya Kampung Pisang yang suka menggunakan istilah Inggeris (yang kadang-kala salah), menyanyi lagu luar (ada Latin dan Inggeris!), lebih mengenali NANG NAK daripada hantu kita, dan pelbagai lagi "anasir luar". Aku suka dengan sebuah babak yang aku rasa disengaja tampak "palsu" oleh Mamat, iaitu babak Sofi Jikan sebagai bomoh menyatakan dia ke Mesir melawan mumi. Jika penonton boleh kaitkan, mereka akan tersedar akan "pembohongan" yang dilakukan oleh pembikin filem Indonesia yang memberi kita cerita-cerita latar Mesir "yang menipu" (filem Ketika Cinta Bertasbih mempunyai bulan CGI yang amat menipu), tetapi penipuan yang dilakukan ini diterima dengan baik oleh masyarakat kita (kerana selalu menganggap, yang dari luar semuanya bagus). Di sinilah Mamat menyindir masyarakat kita yang double standard, terkena betul-betul dengan batang hidung kita, syabas Mamat!


Ada beberapa detik yang ikonik dan kultus dalam filem ini yang aku puas digarap dan diadakan oleh Mamat dengan indah sekali. Malah semua babak "sindiran" Mamat ini dibikin secara selamba maka penonton tidak akan menyedari diri mereka sedang "dicuit". Lihat sahaja babak nyanyian "Solei" antara Usop dan Ali, ianya amat ikonik dan terlalu sesuai berada di tengah-tengah filem ini (inilah masa Mamat meminta kita menenangkan kepala). Malah babak MTV muzikal yang tiba-tiba antara Hussein dan Cik Nin juga merupakan babak muzik "yang perlu" termuat. Selalunya penonton akan "cringe" bila babak-babak lagu sebegini wujud (to kill time kata mereka). Tetapi Mamat mengambil rujukan homaj filem-filem Melayu lama yang penuh dengan babak sebegini pada tempat, ruang dan masa yang amat tepat. Bagi aku, kesemua babak yang ada dalam filem ini terletak elok pada tempatnya.


Satu lagi penambahbaikan yang dibuat oleh Mamat yang meninggikan prestasi filem ini adalah dengan bulatnya, Mamat mengenali dan mengolah para wataknya dalam bentuk massa yang terjaga dan penuh vibrant. Jika kita tonton Zombi Kampung Pisang, kita akan menyedari chaos massa dan cara tangkapan massa terlalu berpecah dan tidak seimbang. Di sini, Mamat berjaya menentukan setiap watak dan peranan serta fungsinya dalam satu-satu babak, dan kesinambungannya kepada babak lain. Rujuk sahaja babak waktu malam apabila penduduk kampung bergerak ke rumah Kak Limah, atau babak-babak di warung, atau babak di balai, kesemua watak disusun dan diletakkan pada tempatnya yang betul. Felinisque karnival (ensemble cast) Mamat sudah sempurna, malah berjaya mencipta identiti dan acuan Mamat tersendiri, malah inilah filem yang paling sempurna dalam memaparkan ensemble castnya.


Aku juga amat kagum dengan runut bunyi filem ini (juga dibikin oleh Mamat dan seorang kawan) yang begitu terjaga, rasa seram dan sesuai mengikut cerita, ia tidak terlalu slapstik bunyinya dan tidak terlalu hingar, orang kata, just nice untuk atmosfera filem ini.


Filem ini merupakan filem yang baik dan antara filem Malaysia yang seronok tahun ini. Filem ini terus meletakkan Mamat di suatu tempat yang boleh memahami nuansa masyarakatnya dan mengetuk serebral mereka, tetapi masih boleh terus menghiburkan mereka.

Nota: Analisis Hanael yang menarik tentang filem ini.


09 November 2010

Membina Dinasti Bernama "Estet"



Haykhh, kadang-kadang aku rasa lesu, sebagai penonton untuk berjuang menghargai filem Melayu. Serius, mungkin lepas ni (tahun depan, azam aku), kalau filem tempatan yang keluar yang dibikin main tibai bohsia tepi jalan, aku hanya akan nyatakan dalam entri aku begini: Sorry your film SUCKS! Tak yah lagi aku tulis entah apa-apa analisa berjela-jela, lagipun korang bukan baca pun kan (dan entah apa-apa alasan nenek atuk yang depa bagi, fahami 2 Alam dengan menonton Momento, thats the most priceless of all!) Selepas lapisan asas inilah baru aku masuk ke lapisan "analisa", dan di sinilah, yang selalu korang suruh aku "tengok" filem dan "bagitau apa ko dapat" kepada aku berlaku. Itu pun, jika aku melepasi lapisan asas itu tadi.

Aku macam ni. Mula-mula, sebuah filem tu mesti tarik aku kerana "cerita"nya, atau kalau tak pun, IDEAnya (cth. Idea Magika ialah mengadakan satu alam CGI yang mana semua watak-watak dongeng Melayu boleh meloncat-loncat, ceritanya fasal dua budak yang tersesat dalam alam tu). Kalau itu dapat aku layan, aku akan tonton filem itu secara "satu lapisan" iaitu lapisan yang paling-paling penting dalam mana-mana filem bila orang menonton, iaitu faktor "tarikan". Penonton biasa panggil "hiburan", penonton lain pula "X Factor", ada yang panggil "babak lucah", ada pula "bogel-bogel", atau "power" atau "berhantu", dan ada pula puak yang memanggilnya "tak bosan" (ni mazhab Dr. Yusseri Yussoff) atau "engaging" (dalam bahasa buku: readable). Tarikan ini sebenarnya nafsu paling rendah korang untuk buat korang boleh "stim", "stay tune" atau "bantai" dan paling teruk, "mengamuk" pada filem tu.

Setiap orang, kriteria "tarikan" mereka lain, tetapi hal ini selalu atau asasnya berkait dengan ruang dan masa. Kadang-kadang ada orang yang boleh terhibur tonton ruang dan masa yang panjang (yeap, fasal tu ada Tsai Ming Liang dan Ho Yuhang), dan ada pula yang akan melalak marah bila menonton aksi statik awal dalam Humanite. Dalam "tarikan" aku, yang paling-paling penting ialah bagaimana pengarah membuat aku "percaya" pada karyanya, ini lagi kompleks sebab ruang dan masa ini berkait dengan segala yang ada dalam babak itu (ini dipanggil orang mis en scene) yang diikat untuk terikat pula dengan babak-babak sebelumnya dan selepasnya (dan kadang-kala melangkau hal-hal lain seperti rujukan genre, mencari isi cult dan lain-lain, tetapi hal ini berlaku secara spontan dan susah hendak berlaku selalu). Ya, sebuah filem lawak macam Adnan Sempit boleh buat aku jatuh cinta kerana kejayaan garapannya, walaupun betapa mengarut temanya. Dan filem yang tampak besar dan gah pun aku boleh terpinga-pinga jika aku tersesat dalam garapannnya, macam PALOH atau Sayang Salmah. Dan lagi satu, ada pula filem, yang terlalulah pelik dan menariknya, aku mahu menontonnya berkali-kali. Setakat ini, filem Man Laksa Mamat Khalid berjaya mencipta estetika sebegini bagi filem Melayu.

Kenapa aku tulis hal ni berjela-jela dan langsung tak bercakap fasal Estet? Begini, aku sebenarnya mahu sangat "membantu" Estet, kerana aku suka dengan nawaitu Mamat Khalid dan penerbitan filem pertamanya ini (bersama isterinya), tetapi aku merasakan betapa "tertipu"nya aku bila menonton filem ini yang gah diperkatakan (1) filem terbaik malam FFM (2) filem hiburan yang dapat diikuti dan dilayan oleh sesiapa.

Secara terus-terang, aku tidak terhibur.

Kalau lihat pada lapisan "tarikan" yang aku kata kat atas, secara cerita, filem ini "dah lepas", malah memang aku SUKA dengan skripnya (rujuk ulasan pendek aku tentang buku skripnya di sini), malah aku merasakan filem ini cukup serba-serbi sebagai alat pengasung 1Malaysia, serta mempunyai nilai-nilai komerisial yang cukup; malah inilah filem paling komersial yang pernah dibikin Mamat (maknanya, tak banyak main simbolisme kerana semuanya disampaikan secara terus).

Tetapi garapannya?

Inilah yang membuat aku menggeleng kepala sambil merasa kecewa. Aku tidak akan menyatakan di sini, apakah hal-hal yang membuatkan filem ini "hancur" garapannya, tetapi jelaslah, seperti awek aku di sebelah menyatakan, "Afasal banyak babak filem ni melewah tak tentu fasal?"

Mungkin persoalan belanja, masa dan tempat akan diberi alasan sekali lagi dan sekali lagi. Bagi aku senang je: kalau ia tak memuaskan, jangan keluarkan!

Tak usahlah aku nak "selidik" beberapa hal "sublime" yang sengaja dimasukkan oleh Mamat, macam kenyataan U-Wei atau gambar Pak Hassan, atau filem Kollywood yang ditayangkan pada awal filem, bila lapisan pertamanya tak lepas.

Serius, aku ingin menolong Mamat dalam hal ini kerana bakti dan kejujurannya. Tetapi aku merasakan filem pertamanya telah membina sebuah istana yang banyak tiang yang rosak, sepertimana Mamat sendiri sudah nyatakan dalam filem Man Laksanya berkenaan "rumah tak siap pahat berbunyi". Kekuatan yang kita jumpa, hanyalah Shashi Tharan (yang sememangnya patut memenangi Pelakon Lelaki Harapan Terbaik), beberapa babak CGI bola, dan babak mak nyah dengan semangat sukannya.

Yang lain-lainnya? Dinasti Mamat tidak dapat bermula dengan Estet.

06 April 2009

Seks dan Antrabangsa


Iklan percuma
Tapi seks tidak


Kata pengarah Melayu muda terkemuka, Mamat Khalid (dipetik dari Sinema Malaysia.com):
Dalam litar filem antarabangsa, ‘content’ yang menitikberatkan permasalahan seks, perkauman, pertikaian agama, politik berhaluan kiri atau pro-Yahudi merupakan elemen yang sangat dihargai. Filem-filem kita kebanyakannya meraikan kehidupan serta menanam sikap berkasih sesama kaum. Sudah pasti bukan unsur untuk memprovokasikan minda global.

Filem La Vitta E Bella arahan Roberto Benigni yang mendapat pojokan melampau masyarakat dunia ialah sebuah filem yang sempurna sehinggalah di pertengahan cerita, baru kita faham ia adalah sebuah filem mengenai simpati kepada masyarakat Yahudi Itali pada zaman Perang Dunia Kedua dahulu! Mungkin arus perdana dunia terlalu besar permintaan dana dan pembikinannya untuk kita sama-sama turut serta. Kita boleh ubah haluan kepada yang lebih kecil skopnya seperti filem-filem pendek dan filem-filem ‘arthouse’. Mungkin. Tetapi sanggupkah kita membuka mata dunia dengan filem seperti filem Ken Park misalnya. Filem mengisahkan masyarakat serta kekeluargaan yang ‘dysfunction’. Permasalahan seks di luar tabii serta sumbang mahram tetapi diangkat sebagai sebuah karya yang begitu baik kerana berjaya memprovokasikan asas tamadun manusia.

Budaya Melayu kita terlalu ‘fragile’ untuk kita ketengahkan subjek tabu yang bukan tidak pernah berlaku itu. Kita memilih untuk lebih senang dengan isi kandungan kemanusiaan yang lebih ringan. Salahkah kita? Filem-filem pendek yang mendapat pujian di festival dunia itu pula adakah jujur datangnya dari negara ini? Jika kita ingin dimartabatkan sebagai pengeluar filem bertahap global, apakah subjek yang boleh kita ketengahkan sebagai santapan mereka? Saya juga ingin mencari jawaban itu dengan terus berkarya. Itu adalah misi saya.
fadz: aku setuju.

14 January 2008

Sebelum itu


Ada dua buah filem yang aku baru tonton, Kala(2007) dan American Gangsters(2007). Kedua-duanya filem yang baik tetapi aku malas sikit nak tulis, nantilah aku tulis. Kali ni aku nak bagitahu 2 perkara yang aku sempat ingat, satu, pada hari Ahad pagi, Selamat Pagi Malaysia ada menyelit program bersama pembikin filem atau pelakon buat filem-filem baharu. Agak baik dan seronok. Seperti Ahad lepas, ada dua pelakon Cina yang berlakon drama tempatan di mana para pelakon Cinanya berlakon dalam bahasa Melayu sepenuhnya. Lelaki Cina itu siap menerangkan "Gunalah bahasa Melayu untuk membudayakan bahasa Malaysia". Ternaik kening aku. Tapi dah tentulah, aku pun respek kat dia lepas dia kata bahasa ibunda juga janganlah dilupakan.

Keduanya, Mamat Khalid dan pelakonnya datang mempromosi Kala Malam Bulan Mengambang. Seronok tengok perangai orang tua tu, heheh.. Oh ya, aku teringat satu perkara yang Mamat Khalid bagitahu The Malay Mail baru-baru ni. Dia memberi pendapat bahawa beberapa pengkritik (aku lah kot?) tersilap bila menyelar hantu zombinya naik atap rumah. Alasannya: manalah dia tahu zombi boleh naik atap dan salah ke, sebab semuanya filem.. semuanya melihat kekreativiti sang pengarah melakukan keajaiban.

Tapi ini jawapan aku: atas kerana kreativitilah juga kita kena kreatif memikirkan satu perkara yang tidak menjerat penonton mengutuk kita. Ada dua masalah besar dalam adegan zombi naik atap (walaupun secara simbolisme kita faham akan adegan itu). Pertama ialah, jika zombi boleh naik atas atap, kita, para penonton memerlukan 'initial shot' yang menunjukkan betapa jauh si zombi ini boleh melepasi 'kehebatan' sebegitu. Mungkin Mamat Khalid pada awal frame boleh memaparkan penduduk kampung suka naik atas atap (betulkan antena TV) atau panjat pokok kelapa, maka 'intial shot' ini dah establish apa yang perlu kita 'anticipate'. Kerana memang, zombi NAIK atas atap ialah satu 'kehebatan' yang tidak pernah dibuat oleh mana-mana pengarah zombi lain. Dead Alive, Resident Evil atau 28 Days Later pun walaupun zombinya antara zombi terganas pernah ditayangkan di filem, tidak memaparkan zombi boleh naik atas atap. Ada yang memanjat, tetapi logik seperti zombi dalam Resident Evil 3: Apocolypse, di mana zombi yang terjadi, secara logik memaparkan ada manusia yang bermutasi seperti raksasa dan boleh melakukan pelbagai adikuasa, maka kita boleh 'anticipate' zombi yang memanjat antena dalam satu babak.

Contoh lagi, bila Neo dalam Matrix Reloaded boleh mematikan bugs begitu sahaja dengan kuasa telekenetik, perkara itu sudah kita jangkau kerana Neo sudah 'naik' satu tahap apabila duduk dalam matrix. Perkara-perkara inilah yang penting untuk diketahui oleh sang pengarah bila memberi sesuatu yang 'out of this world' kepada penonton. Contoh, kalau Romero mengarahkan filem Zombi Kampung Pisang, Romero akan memaparkan dua bentuk babak sekurang-kurangnya, pertama babak bagaimana zombi itu bersatu dan membikin satu piramid untuk naik ke atas atap. Kedua, dua jenis babak berlainan di mana ada dua buah rumah yang zombinya naik atas atap, lalu satu, rumah rukun tetangga itu dapat dibedal oleh manusia, dan kedua, sebuah rumah (tuk penghulu atai surau) berjaya dimasuki zombi. Ini memaparkan bahawa zombi dalam filem ini memang ganas dan membunuh (they meant business) dan bukan saja-saja meneropong atap rumah orang.

There, ive stated my case mr. Mamat Khalid.


ps: btw, do u guys realized dat my tontonfilem.blog-city.com dah takde? huhu, dah jadi lagenda dah tu...