08 November 2012

War of the Worlds: Goliath(2012): Punk Stim Mencari Makna

Filem animasi Malaysia bikinan bersama Kevin Eastman (pencipta Teenage Mutant Ninja Turtles), Joe Pearson, dengan penulisan David Abramowitz (penulis skrip drama "V" era 80-an) dengan Leon Tan (pencipta siri kartun Saladin), dengan usahasama MDEC dan Finas, sepatutnya memberi kita sesuatu.

Sesuatu itu mungkin terhadap seorang watak dalam filem animasi ini, disuarakan oleh Tony Eusoff, "Shah" yang berkeris di pinggang, anak raja (yang dibuang kerana mengikuti A.R.E.S, sebuah pertubuhan militari seakan NATO yang berhimpun untuk mengawal bumi daripada serangan makhluk asing), tak tinggal solat, dan bijak dalam kata-kata (beliau seakan Yoda atau Spock dalam filem ini). Watak sampingan ini tampak lebih menarik, meyakinkan dan memberi sesuatu daripada keseluruhan plot penceritaan, intrig dayus dan huru-hara yang telah dilakukan oleh Abramoqitz dan Pearson.

Filem animasi ini bukanlah filem animasi pertama yang mengeluarkan keris dari sarungnya dalam dunia serba futuristik. Hassan Muthalib pernah melakukannya, tetapi dalam alternatif masa yang lain. Kali ini, pancaran rekabentuk grafik dan kekuasaan teknik (dan tambahan 3D) tampak lebih bergaya, khusus kebijaksanaan dan ketelitian ilustrator kita (ya, orang tempatan) dalam menghidupkan dunia punk stim (steam punk) yang semenarik yang pernah aku tonton berlaku dalam dunia anime, khusus dalam penelitian latar filem ini yang begitu indah dan hidup, bangunan dan organik teknologi stim tahap ultra yang berjaya mengimbau kuasa.

Lakaran watak seakan gaya Don Bluth juga tidak mengecewakan oleh kumpulan ilustrator kita, membawa sifat "keDisneyan" dalam tradisi Manga; hanya kini, itu sahaja yang muluk-muluk dapat dinyatakan. Secara dasar, filem ini tidak punya kisah, dengan dialog buatan amatur (yang amat mengejutkan!), merundum pembangunan cerita dan pembangunan watak yang boleh diikuti sehingga habis. Segalanya percubaan seakan sifat kartun TV (yang bagi aku siri kartun X-Men lebih berjaya jika dibandingkan) yang biasa dibikin untuk wayang pada era 80-an.

Dengan mengambil rangka novel asal HG Wells lalu memberinya sekuel, era punk stim, dunia alternatif sebelum Perang Dunia Pertama di mana Roosevelt, sang Setiausaha Perang A.R.E.S. seakan abang saudara Sylvester Stallone daripada The Expendables, tidak menampilkan suatu roh penceritaan yang boleh kita ikuti, amati dan angkat. Filem ini dibuat, semacam hendak menunjukkan kehandalan ia bermain dengan efek, suara dan warna, dengan babak-babak klise serangan dan peperangan makluk asing yang pernah kita tonton dan sukai. 

Malah aksi dan suntingan filem ini dipersoalkan, khusus dalam memberikan mimik dan "animasi" terhadap wajah, sifat dan perwatakan watak, semuanya kadbod sepertimana kadbodnya skrip. Aku tak tipu apabila filem animasi Upin dan Ipin jauh mengalahkan filem ini dari segi perwatakan dan hiburan tersebut. Aku terlelap dekat 5 kali menonton filem ini, walaupun terdapat tembakan, meletup dan kemusnahan maha ala kiamat yang gila-gila. 

Inilah suatu contoh, kadang-kadang, filem memerlukan inspirasi cerita dan pengisahan yang bagus, dan bukan muat ikut suka pembikinnya.

Klasifikasi: U, Beberapa babak ganas dan berdarah, walaupun kartun, serta imbauan seks yang mungkin tidak sesuai untuk kanak-kanak. 

DITONTON DI GSC Mid Valley (3D).

Masuk Pawagam pada 15 November 2012 Seluruh Malaysia.

3 comments:

Henzy said...

Kasihan kepada para pembikin animasi kita sebenarnya.

Kadangkala skill animasi sudah baik (Seafood) tapi penceritaan sedikit gagal. Ceritanya longgar dan kadangkala terlalu 'indie'.

Kena benar2 mencari penulis skrip animasi.

asrap virtuoso said...

Aku rasa cite cam nih mmg sesuai utk kanak2/remaja je. Beza plak ngan Upin & Ipin/Geng, walaupun secara luaran nampak utk kanak2 tp sebenarnya sesuai utk famili pasal dari segi watak, plot, dan penceritaan boleh menghiburkan org dewasa.

zulazahari said...

Animasi usahasama US-Malaysia....hmmm menarik....kalaulah diadaptasi novel 1511 Kombat Faisal Tehrani atau Saga Horizon best jugak....hehehe....