Showing posts with label Afdlin Shauki. Show all posts
Showing posts with label Afdlin Shauki. Show all posts

05 December 2013

Papadom 2: Farsa Untuk Diraikan

Selepas menonton filem genre komedi keluarga ini, aku keluar dari pawagam dengan tersenyum. Yang lebih menarik, cerita dan imej-imej dalam filem ini masih terngiang-ngiang dalam kepala aku. Aku cuba nak dissect filem ini seperti filem-filem sebelum, aku rasa macam aku tidak mahu, sebab rasa dan perasaan yang aku dapat itu, sudah cukup untuk aku buat masa ini, aku tak mahu analisa dalam-dalam.

Kerana aku suka, amat-amat suka dengan filem Afdlin yang satu ini.

Aku rasa, Afdlin sudah mencapai suatu fasa yang matang dalam cara pembikinan filemnya.

Aku dah maklum, ya aku cepat menangis, tapi untuk filem ini, pengalamannya lain. Memang Afdlin pernah cuba melakukan cantuman unsur tawa-tangis, kalau tidak silap dalam Buli Balik, serta filem asal ini, Papadom (2009). Namun untuk filem ini aku dapat ketawa dan menangis sekali dalam sesebuah adegan, dan pengalaman begini jarang-jarang berlaku dalam wayang. Afdlin sudah mencapai takat ahli dalam penyampai emosi dan suasana.

Filem sekuel ini menyambung kisah Miasara (Liyana Jasmay) yang sedang berjuang dalam industri perfileman di bawah pengerjaan bikinan pengarah Jay Rahman (Khir Rahman) di Kuala Lumpur. Saadom (Afdlin Shauki) pula masih di Pulau Pinang, kesunyian dan merindui anaknya, berjaya dalam bisnes. Cerita muncul apabila Saadom mendapat tahu (melalui kawan baik Mia secara tidak sengaja) Mia hendak kahwin, dan hal ini membuatkan Saadom "menjelmakan kembali" arwah isterinya, mencetuskan tindakan egonya untuk melawat anaknya di KL.

Cerita ini hidup sememangnya daripada penelitian dan kepandaian Afdlin dan penulis skrip, Haris M. Nor dan Nurul Akmar Salajudin. Dialognya terasa cepat dan tertuju, situasinya jelas, kena, dan terkena batang hidung, dengan penyimpangan-penyimpangan yang memancutkan gelak ketawa. Ini sebuah farsa keluarga dan masyarakat semasa yang amat menjadi. Suatu komedi tentang pembikin filem kita, tentang khalayaknya, dan mereka yang inginkan lebih daripada itu. Paling berani ialah Afdlin menjugel unsur kelakar dan serius dalam satu babak dengan lancar sekali. Beberapa isu dan situasi yang disampaikan sememangnya serius, dan Afdlin dapat sampaikan dengan pengimbangan yang begitu sesuai dengan gerakan babak dan gerak jalan cerita, menyampaikan komedi yang sekali gus dramatik.

Banyak babak yang membuatkan aku terkucil ketawa. Antara yang aku suka ialah pembongkaran Saadom terhadap seorang daripada "pakwe" Mia, suatu kultus mamat motor besar (wow, menyindir habis ni!) yang kita tergelak melihat bagaimana Afdlin menyindir golongan ini "ah, inilah bapak-bapak mat rempit". Sudah tentu, jus terbesar filem ini adalah "filem dalam filem", yakni pandangan kritikal Afdlin tentang keadaan industri perfileman kita sekarang. Dengan jelas, Afdlin terasa risau tentangnya, dan Afdlin ingin menyampaikan kritikannya (dengan menjentik FDAM itu sudah cukup menggelikan hati) atas nama sayang terhadap mediumnya. Setiap entiti dalam perfileman itu ditegur, dicubit dan ditertawakan. Babak-babak ini seakan farsa terbesar selepas Layar Lara terhadap latar filem tempatan.

Roh filem ini sudah tentulah tentang penjalinan Afdlin-Lyana yang masih ampuh dan feeling-feeling. Afdlin dan Lyana menyampaikan lakonan mereka dengan berkesan dan jalinan ayah-anak yang amat menjadi, penuh dengan kekalutan dan kerisauan mereka. Vanide Imran yang jelas "membantu" di sini turut ditampilkan dengan berkesan sekali, dengan pemberian ruang yang begitu ampuh, menjadi kunci pada semua maksud perhubungan Afdlin-Lyana. Dan yang mengejutkan ialah kehadiran Khir Rahman sebagai pengarah veteran yang cepat marah dan "penuh seni". Beliau bakal menang pelakon pembantu lelaki terbaik untuk FFM. 

Aku juga suka bagaimana Afdlin kali ini menggunakan unsur arwah isteri dengan betul dan berada pada ruang-ruang yang betul. Hal ini menimbulkan kembali persoalan psikologi yang jelas berkenaan tekanan dan kekhuatiran dalam diri Saadom, malah penimbulan babak-babak ini yang mengangkat sekali gus memberikan kesinambungan yang terurus cantik dalam filem ini.

Ada yang menyatakan runut suara filem ini sedikit mengganggu, tanpa pengkhususan dalam kawalan. Syotnya juga tidak indah. Namun bagi aku, walaupun syotnya biasa (sebenarnya penuh subtle dan berlapis) tetapi ia tidak mengganggu penceritaan, malah hal ini pun wujud dalam mana-mana filem komedi baik, termasuk yang pernah dibikin oleh Billy Wilder (rujuk Some Like It Hot) ataupun Sidney Pollack (rujuk Tootsie). Yang lebih penting ialah detik gerak (pacing) filem ini terkawal dengan suntingan yang lawa dan cepat. Afdlin dan penyunting benar-benar memberikan suatu detik gerak yang terbaik dalam filem komedi Malaysia.

Aku cuba tidak mahu bersikap "intelektual" (dan sebenarnya boleh untuk analisa filem ini!) dalam membuka lagi persoalan dan kandungan filem ini. Cukuplah untuk aku katakan, aku terhibur, aku menangis, dan aku mendapat sesuatu daripada karya terbaharu Afdlin ini. Filem yang sememangnya dibuat sesuai sewaktu hantu dan gangster menyerang wayang kita, sesuatu yang memberi kisah yang kita sama-sama dapat rasai dan alami. Sesuatu yang mesti diraikan seisi keluarga. Ini suatu kemenangan buat Afdlin. Filem komedi terbaik Malaysia tahun ini.

Klasifikasi Papadom 2: U(?), Terdapat babak akhlak buruk dan arak yang mungkin tidak sesuai untuk tontonan penonton bawah umur.
DITONTON DI Cineleisure, Damansara Mutiara. (Tayangan Umum: 12.12.2013)

04 October 2012

Dua Filem Seks Melayu 2012

Baru-baru ini aku menonton dua buah filem Malaysia-Melayu yang bagi aku menarik, walaupun ada beberapa kelemahan yang tertera.

OKlah, lantaklah fasal kelemahan itu kerana ulasan ini lebih kepada perbincangan. Dua filem yang aku maksudkan itu ialah Hantu Kapcai dan Untuk Tiga Hari.

Yeap, jangan terkejut.

Aku ingat lagi zaman "baik-baik" filem Malaysia dengan LPFnya (walaupun ada beberapa filem membara) yang mana semangat "seks" remaja diangkat dengan comel dalam Gila-Gila Pengantin Remaja arahan Aziz M. Osman. Semangat dan keinginan libido para remaja dalam filem itu (berkenaan kahwin lari) disampaikan, bukan dengan perilaku tidak senonoh tetapi bayangan mainan kugiran yang tiba-tiba muncul ala muzikal dalam satu-satu babak. Keinginan "gila-gila" untuk menyunting dan "bersama" disampaikan dalam tumpahan dan alunan "lagu", emosi dan semangatnya wajar dan jelas.

Bagi aku, kedua-dua filem yang aku nyatakan tadi ditayangkan tahun ini telah melepasi "tapisan kendiri" dan "cakap kias" seks dengan penjelmaan "gaya" dan "persembahan", ianya lebih "cakap lepas" dan "berterus-terang."

Hantu Kapcai sebenarnya bukanlah khusus berkenaan "mat rempit" tetapi berpusat kepada watak Hairul Azreen yang mana, kita meniti semangat keremajaannya ke arah "kedewasaan" Hairul. "Seks"nya timbul dengan gambaran "hantu" abangnya yang dilakonkan oleh Zizan Razak, yang disampaikan, banyaknya, dengan "subtle" mahupun jelas. Sekali, "rahsia" Hairul pada zaman khatannya dinyatakan dengan jelas oleh  Zizan berkenaan "majalah Mangga" (inside joke ini hanya beberapa yang akan faham). "Alterego seksual" Zizan (yang lebih selamba dan lucah) menampilkan keinginan Hairul yang "malu-malu" (dan hanya satu id yang Hairul buakkan jadi realiti, menyalin abangnya, yakni merempit). Malah watak Zizan ini berseteru dengan Remy Ishak yang sentiasa ada "pisang" dalam mulutnya (punya alusi politik di sini dan bukan sahaja seksual).

Pencapaian "seks" Hairul malah berjaya melangkau "rohaniah" apabila klimaks akhir, dia bertemu dengan Zizan dalam "alam barzakh" (hal ini yang dikepoh-kepohkan sebagai kontroversi), maka segala keinginannya kiranya pada masa itu "tercapai" (babak seterusnya kita lihat si wanita diminati memegangnya) dan menemui penyelesaian, dunia dan "akhirat".

Walaupun begitu, alusi seks dalam Hantu Kapcai tidak dapat menandingi alusi seks yang lebih dewasa dalam Untuk Tiga Hari, bilamana perilaku empat watak dalam filem ini (termasuk dua lain yang remaja) dinikahkan. Serius, bagi aku, penceritaan adaptasi karya Ahadiat Akashah ini berjaya (dan lebih berjaya daripada Legenda Budak Setan) membawa hal-hal seks yang menarik. Babak "nafsu membuak" dalam satu babak khusus, yakni Afdlin dan Vaneeda (oh, Vaneeda sangat hebat dalam filem ini bagi aku) di depan televisyen yang mana filem Perempuan, Isteri dan Jalang (dengan babak terkenal Sofia Jane menahan Zaidi Omar memasuki rumahnya dengan dialog bernafsu Zaidi: "Aku nak.") dan dokumentari gajah mengawan sedang ke udara! Babak itu kelakar dan mencuit kerana Vaneeda "tidak sanggup" memberikan "dara"nya kepada Afdlin. Ketegangan komedi yang berlaku menarik. Seks komedi yang menjadi. Hal ini juga benar untuk watak Shidi yang melakukan pelbagai perkara untuk "melepaskan nafsu"nya agar tidak meniduri isteri sahnya, Ayu Raudhah.

Ada beberapa lagi babak yang "berguna" dalam filem ini. Juga ada babak awal dan pertengahan (babak sanding) yang bagi aku, outstanding. Dalam babak sanding itu, kita ditampilkan dengan semangat bersalah dan gemuruh Vaneeda (malam itu mungkin akan ditiduri) di balik hiruk-pikuk kenduri, dengan Shidi yang sentiasa menghantarnya mesej dalam talian (rontaan nafsunya yang tidak tertahan). Jika diteliti, runut alunan ghazal yang dimainkan seakan-akan "bermain" dalam babak kedua-dua majlis persandingan. Hal ini menyatakan "kesatuan hati" yang masih berlaku dengan watak Vaneeda dan Shidi. Permainan "lagu" ini dimainkan lagi dalam suasana hingar dan janggal disko yang mana secara tak sengaja, Vaneeda dan Shidi bertemu. Kemudian, dalam satu babak "ambil hati", Afdlin mempersembahkan acapellanya kepada Vaneeda yang amat romantis, dan kita tahu, hati yang was-was, gemuruh dan ketidaktentuan itu telah di"cakup" oleh Afdlin akhirnya (kita tahu ini berlaku kerana Vaneeda rela dikucup akhirnya). 

Untuk Tiga Hari bagi aku sebuah filem romantik yang matang dan baik, hanya dinafikan dengan syot yang sesuai serta runut bunyi Azman Abu Hassan yang "outdated" (ini kononnya untuk mengambil semangat filem-filem Aziz M. Osman era 90-an) dan amat mengganggu. Tetapi jelas, filem-filem ini mendewasakan dirinya dengan lebih berterus-terang tentang intipati nafsu, semangat seks dan keinginan dalaman yang jelas dan keabad-21.

Klasifikasi Hantu Kapcai: 18, Kata celupar, aksi ganas dan seks (walaupun tiada ciuman mahupun penetrasi) yang mungkin tidak sesuai bagi kanak-kanak. Idea "hantu" dalam filem ini memerlukan bimbingan penjaga untuk nyatakan (benar/falasi) tetapi tidak semestinya serius. 

Klasifikasi Untuk Tiga Hari: P13, Beberapa babak imbauan seks yang mungkin tidak sesuai untuk kanak-kanak. 

Kedua-dua filem DITONTON DI MBO Kl Festival City.

30 April 2012

Berani Punya Budak(2012): Berani Punya Afdlin

"Dah dua tahun aku bekerja, baru sekarang aku dengar orang bersalam Satu Malaysia" - Johan

Ini cerita gila. Sebenarnya, dengan tampak, filem ini tidak bercerita, tetapi "penceritaan" itu dipermainkan, ditokok-tambah berlipat ganda lalu berlakulah apa yang berlaku dalam filem aksi-komedi ini.

Sebenarnya, filem ini "sudah ditayang" atau separuhnya, khusus adegan aksi ganas filem ini di Thailand atas nama Thai. Aku gerenti, plot Thai yang ditulis oleh Afdlin dengan dua orang Thai lebih "hancuq" daripada yang kita tonton ini. Maka walaupun di kredit akhir filem ini menayangkan Afdlin berusahasama dengan "Pakai" (guna pakai ke bro?), aku menggunapakai nama Thanapon Maliwan bersama-sama Afdlin sepertimana "origin" filem ini, Brave yang ditayangkan di Thai pada 2007. Aku percaya aksi gila babi nak mampus filem ini datang daripada perancangan bukan Afdlin seorang, tetapi Thanapon. 

Jadi apa ke hal Afdlin tak bawak je Brave yang dibuatnya bersama dan memotong-motong, memunggah-munggah filem ini dengan suntingan imej dan suara yang, Ya Rabbi cuba untuk menjadikan "what a mess" filem ini "menjadi"?

Inilah "goof" dan secara tak langsung, walaupun aku sudah M-U-A-K dengan filem sebegini (takkan Malaysia hanya boleh buat filem parodi je bro?), aku terpaksa bersetuju, bahawa Afdlin B-E-R-J-A-Y-A menghiburkan aku dengan "trash"nya (filem ini juga merujuk Hantu Kak Limah habis-habisan dalam satu adegan) ini.

Ini adalah kerana aku ni penggemar fanatik Whose Line Is It Anyway. Dalam satu segmen lawak selamba spontan olahan Drew Carey itu, peserta-pelawak perlu "membuat dialog sendiri" terhadap beberapa filem klasik/popolar di depan skrin TV, lantas apa yang berlaku jika kau lakukan dengan spontan, wallah, kau dapatlah dialog spontan yang mengenakan sang pelakon, aksi pelakon secara "sedar" atau tidak terancang, sepertimana dalam filem ini dengan dialog alih suara Thai ke bahasa Melayunya bersuara seperti "Mana aku nak cari kopi janda kat Thailand ni?", atau setiap kali watak Thai bercakap "Ya Allah", "Selemelakum", "Ikan Siakap", atau bagaimana seorang pelakon tambahan melepaskan rungutannya dengan "Kalau aku berlakon betul-betul pun buatpe, duit dapat takat cukup je", dan paling lawak, berlaku sewaktu perlawanan "adegan ketiga" klimaksnya.

Memang, apa yang kaudapat tu "bodoh" dan "trashy", tetapi "sesampah" ini disengajakan, digemblengkan untuk "meluah" ketawa. Pernah tonton Mystery Science Theater 3000? Siri TV itu meletakkan dua watak (ah, peminat filem, juga sindiran kepada pengkritik) yang menonton filem lama yang "hanjing" dan menghantar hentakan-hentakan komen spontan kepada setiap babak adegan sewaktu filem itu ditayangkan (kita tidak lagi menonton filem yang ditayangkan, tetapi menghibur diri dengan tembakan lawak dan sinikal di watak terhadap apa-apa yang berlaku atas skrin). Secara pascamoden yang pelik, beginilah yang berlaku dengan filem ini!

Satu contoh yang menarik, dalam satu babak "serius", tiba-tiba si gangster jahat berkata "overlah lakonan dia ni" sewaktu si pelakon wanita (utama) menangis dengan semahunya!

Ada antaranya memang menggelikan hati sehingga pecah perut, walaupun ia "tiada kena-mengena langsung dengan plot", ahhh, ini satu estetika menarik, ini MENYATAKAN dengan kuat bahawa, semua filem bergerak dengan pergerakan imej, bukan suaranya. Hal ini aku setuju, oleh sebab itu aku boleh terhibur dan ketawa dan melayan "kekurang ajaran" Afdlin yang mempermainkan filemnya sendiri, tetapi jika para penonton tidak dapat "menangkap" idea kreatif biadap ini, mereka akan merasa janggal lalu mengutuknya habis-habisan.

Hanya ada satu adegan panjang yang aku tidak setuju, Afdlin melakukan satu parodi "muzikal" pada perlawanan akhir di tempat "ketua gangster", yang aku rasa kekok dan janggal, kerana aksi filem itu sudah cukup brutal, ia hanya perlu dibiarkan seketika "serius", tanpa perlu merosakkan mood dengan "acapella" entah apa-apa Afdlin dan kawan-kawan. Ini hal yang Afdlin perlu petimbangkan.

Yang lainnya? Jika benar kalian tidak akan tahan dengan "celoteh" Afdlin yang gila-gila dalam filem ini, "sumbangkan" telinga dan kalian sekurang-kurangnya merasai seakan kalian menonton "filem bisu", ahh, akan ada beberapa nikmat yang aku yakin tidak akan merugikan. Satunya adalah si pelakon Mike B yang aku lihat, sepertimana filem ini bergerak dalam acuan itu, bergerak seperti sebuah "Jackie Chan", dan si Mike B ini punya cara dan lakonan, dengan mimik muka yang amat menawan dan tahu, baik dalam aksi mahupun secara emosi. Keduanya adalah babak aksi yang memang agak mantap, khusus dalam pembinaan dari aksi ke aksi. Adiadegan filem ini sudah tentu pada bahagian pertengahan filem ini, sewaktu Afdlin dan Mike B dikepung untuk berlawan di sebuah bangunan binaan usang, ahh, ini satu simfoni kinergi yang tahu mengalun bunyinya sampai ke kresendo (walaupun logik boleh dibuang ke longkang). Ini semamangnya bahagian yang mana orang puteh kata "have to be seen to believe".

Abang aku di Oxford itu kata kepadaku, Afdlin sahaja yang dia nampak, mampu menampung "kekosongan" yang tidak terisi selama P. Ramlee tiada. Abang aku, yang berpeluang menonton filem Afdlin pada waktu dalam kapal terbang MAS, atau balik tertangkap telefilem Afdlin di Astro, dia akan menyatakan, "Afdlin ni genius, macam P. Ramlee." Aku mengaku, ya, walaupun filem ini tampak "apa hal lah" dengan kegilaan Afdlin menyadur habis alih bahasanya, ada kod-kod dan perselindungan tertentu, yang jika kalian dapat tangkap, bukan sahaja perut kalian akan terkucil ketawa, tetapi jiwa dan akal kalian akan terpusing sama.

klasifikasi: 18, beberapa adegan ganas termasuk amputasi, kencing, bahasa kesat, lawak homoseksual dan seksi yang mungkin tidak sesuai untuk tontonan kanak-kanak.

03 November 2011

Misteri Jalan Lama(2011): Afdlin Ke Alam Fantasi


Genre fantasi ialah genre "susah nak timbul" dalam perfileman Malaysia (dua yang timbul baru-baru ini ialah Magika dan Duyung). Dahulu, kita pernah terkesima dengan kehadiran Fantasi (yang dihancurkan oleh LPF zaman itu, dipanggil Fantasia, sehingga penerbitnya jatuh duka ke ambang maut, ya, ini zaman Dr. Mahathir memerintah) daripada Aziz M. Osman. Sebelum itu ada Tuah oleh Anwardi Jamil (yang ramai suka kategorikan sebagai fiksyen sains secara pelik). Zaman Jalan Ampas pula, ya Tuhan, belambak: Panca Delima, Jula Juli Bintang Tiga, Kipas Hikmat, Bidasari, Indera Bangsawan, dll.

Jadi apabila aku melihat poster filem ini, aku terimbau kenangan menonton Fantasi masa aku kecik-kecik, malah merasakan poster itu juga mengingatkan aku kepada filem Labyrinth.

Plot filem ini tidak susah. Ayah mati, jadi dalam perjalanan, si abang (lakonan Hans Isaac) yang "lari dari rumah" perlu membawa adiknya (lakonan Que Haidar) yang "pelik, suka duduk rumah dan suka sakit" untuk pengebumian ayahnya di kampung. Plot menebal, apabila ayah sebenarnya ada meninggalkan wasiat buat si abang untuk dijalankan, sesuatu tentang adiknya yang sangat didendaminya.

Jeng jeng jeng!

Suatu benda yang aku suka tentang Afdlin ni ialah, dia tidak pernah melupakan perkara yang paling penting dalam filem: manusia-manusianya. Kita menonton filem kerana kita mahu melihat "pengalaman manusia" yang tidak tercapai oleh kita, dan bagaimana watak-watak tersebut menghadapi "drama" dan "pengalaman", walau bagaimana gila pun "pengalaman" itu. Secara dasar, walaupun filem ini menjerumus ke alam "tidak masuh akal", dasar kemanusiaan itu perlu telus, dan ini disampaikan dan dipertuturkan oleh Afdlin dengan baik dan berkembang.

Paling senang, konflik, tragedi dan desakan motivasi drama antara Que Haidar dan Hans Isaac boleh dipercayai (filem ini sebenarnya berfokus terhadap mereka berdua dan lakonan mereka boleh dipuji, khususnya Hans Isaac, tapi secara peribadi, aku rasa Que is just plain weird, tapi itulah yang diperlukan oleh filem ini), dan paling penting, wujud sifat kemanusiaannya. Yeap, ini yang "penting" dalam sesebuah filem "buddy" (filem ini tidak lari daripada subgenre ini: si hero dan sidekicknya, dua sekawan).

Dengan tema ini, timbullah pula tema-tema lain yang menarik. Paling mengujakan, adalah tema terbesar keseluruhan filem ini berkenaan penerimaan "alam lain" dalam kesedaran manusiawi (eat that Dr. M!). Inilah yang dimainkan dalam drama benci-suka adik-beradik Que Haidar dan Hans Isaac. Dalam ketidaksukaan/kehairanan, timbul pertunjukan "fantasisme", ini yang dilalui oleh Que dan Hans sewaktu di alam nyata dan di hutan. Mula-mulanya hal ini dipandang dengan takjub, kadang-kadang takut (ini banyak berlaku terhadap Que), dan membawa kepada konfrontasi diri. Klimaksnya, penerimaan segala ketakjuban dan "suratan maha besar" itu, dan ini membawa kepada penerimaan Que dan Hans sebagai "adik-beradik".

Simbolisme ini menarik bagi aku, permainan dunia alternasi (alternate world) yang sememangnya diinspirasi oleh alam bunian, jiran ghaib kita oleh kepercayaan Nusantara (bukan Melayu sahaja!) Secara sinikal, ia memohon kita mengiyakan kewujudan alam ini, mahu tidak mahu, kita perlu mempercayainya.

Kemudian, ada beberapa imej di dalam filem ini yang mengasosiasikan pemaknaan "kematian". Kita lihat, berkali-kali Que ditangkap membelakang kamera (ini bahasa filem yang menandakan kematian watak), kemudian baju-baju putih (kain kapan dalam budaya Melayu, juga kematian buat Hindu), kemudian bahtera. Ya, akan ada watak yang "mati" di dalam filem ini. Tetapi pemahaman yang lebih subliminal daripada itu adalah penerimaan kita terhadap "alam kematian". Inilah lapisan kedua filem ini, jika wujudnya alam hidup, wujudnya juga alam kematian (yang perlu didepani dan dipercayai). Afdlin sebenarnya seorang agamawan beriman yang pragmatis. Hal ini menarik jika (spoiler!) kita tonton imej kredit akhir filem ini, imej Hans yang berjalan seorang, membelakangi kamera di tengah jalan kosong. Teliti, kita tidak dapat melihat wajah Hans (jika ini dibuat, ia memaparkan kemenangan, atau kelangsungan positif). Ini membawa persoalan yang menyeramkan: apakah pilihan Hans untuk tinggal di alam asal (manusia) membawa lebih padah dan "neraka" terhadapnya? Kita tahu ini apabila ketua samseng Botak (lakonan Namron) seakan mengimplikasikan dia sudah "habis pakai" isteri dan anak Hans. Jadi untuk apa Hans memilih untuk kembali ke alam nyata?

Persoalan-persoalan yang sebegini yang dibiarkan tidak berjawablah yang membuat filem ini menarik. Ada juga beberapa babak "nightmarish" yang seakan diangkat daripada filpen David Lynch (khusus babak orang kampung tonton TV) yang akan mengangkat kening beberapa Lynchian.

Beberapa momen muzik ciptaan Pacai agak menarik. Aku merasakan Helmi Yusof selaku pengarah jurukamera boleh melakukan lebih baik lagi, walaupun percubaannya sederhana dan mencukupi (adegan malam dalam hutan bagi aku tentu akan dibantai. Kalau Ridhwan Saidi pun boleh membantai gelap hutan Seru, inikan pula filem ini). Beberapa adegan aksi, seperti biasa, masih memerlukan bantuan profesional yang lebih padu (kiblatkan ke Thailand, atau Indonesia, kasihanilah Adam Corrie). Tata pakaiannya sederhana untuk filem fantasi (aku teringatkan jika watak-watak filem ini meminjam pakaian-pakaian produksi Excalibur). Lakonan pula, merupakan poin tertinggi filem ini, dengan kemunculan Vanidah Imran, Namron, Liyana Jasmay dan Ahmad Tamimi Siregar. Tetapi sebenarnya, filem ini bergerak dan hidup kerana Hans Isaac. Dia seorang yang mengejutkan, gelap tetapi menyinar, walaupun tidak diberi sifat hero yang tipikal dalam filem fantasi (ahh, persoalan siapa sebenarnya hero, wajar diperbincangkan oleh peminat filem ini nanti, Que atau Hans). Dialah yang meneraju filem ini sampai ke penghujung.

Ada beberapa lubang plot yang tampak. Paling aku tidak suka berlaku pada awal filem. Ini berkenaan dengan babak Que membuka kotak (dengan tidak semena-mena) dan mengeluarkan loket, lalu menjerit dan entah apa-apa lagi. Ia terlalu pelik untuk seorang watak pelik dilakonkan oleh pelakon pelik (babak itu tidak diberikan penanda awal berkenaan babak membuka kotak tersebut). Kemudian ada beberapa yang kurang meyakinkan "seorang peminat filem fantasi". Paling tampak ialah, jika Vanidah yang membawa bayinya berjalan, kenapa membahayakan diri untuk diserang oleh orang Harak lantas menculiknya? Tidak ada pengawal atau dayangkah? Di mana sempadan dunia bunian dan di mana sempadan dunia raksasa (orang kasar)? Mengapa mereka bergaduh? Kerana loket atau anak putera? Tetapi persoalan yang mengelirukan ini sebenarnya aku maafkan kerana satu perkara. Inilah, buat pertama kali dalam hidup aku dalam penontonan filem Malaysia, aku memberikan alasan bahawa filem ini memang memerlukan belanjawan yang lebih tinggi (hal ini aku tidak halakan kepada Hikayat Merong Mahawangsa) daripada yang dibelanjakan. Ya, idea dan semangat Afdlin di dalam filem ini kelihatan "besar" dan boleh didalami lagi, ditambahbaiki lagi latar seninya, penguasaan efeknya, aksi kareografinya, jika wang yang betul-betul berbaloi diberikan untuk menjalankan penggambaran filem ini. Aku dapat lihat hal ini, jelas, terbukti dalam kesungguhan Afdlin dalam filem ini (dengan belanjawan yang kecil untuk sebuah filem fantasi) dan roh yang berjaya dia pancarkan. Jikalah dia mendapat krew sebaik dan sebesar Kull The Conqueror kalau tidak pun (aku tak rujuk pun LOTR!).

Iyelah! Kau bayangkan saja: Que Haidar yang mempertahankan abangnya, Hans, tiba-tiba menjerit lama, dan tiba-tiba, buah durian berpuluh-puluh jatuh menghempap bumi. Bukankah itu sesuatu untuk sinema Melayu?

klasifikasi: Walaupun U, ibu bapa perlu khuatir dengan adegan ganas, ada penampilan darah walaupun tidak melampau, beberapa adegan seram dan adegan ranjang malam pertama walaupun hanya disamarkan.

nota fadz- aku masukkan klasifikasi sebab aku percaya klasifikasi LPF tak boleh pakai sangat, jadi untuk U(Umum) pun, sebenarnya perlu ada kenyataan amaran lain buat pengkhuatiran penonton yang membawa anak-anak kecil menonton filem Malaysia.


14 October 2009

Artis/Pembikin Filem Tonton PAPADOM

Reaksi terhadap wartawan BH yang menyatakan pihak TU tidak memasarkan PAPADOM dengan baik, aku memposkan entri khas ini buat tontonan semua. Ini ulasan aku tentang filem ini.
Untuk makluman semua kutipan untuk setakat 4 hari Tayangan ialah RM 1 Juta untuk Tayangan PAPADOM di seluruh Malaysia.

Aziz M Osman
: “ saya benci Afdlin sebab buat saya menangis menonton PAPADOM”

Mawi: “ satu cerita yang boleh buat orang ketawa dan menangis, dicampur dengan mesej yang baik misalnya kita tahu betapa susahnya nak jaga anak perempuan ketika remaja dan lagi satu jalan ceritanya tak boring, setiap scene semua penting serta menghiburkan dan yang paling penting ia Nampak selamba”

Mamat Khalid: “ saya suka work Afdlin dalam PAPADOM kerana nampak kematangannya dalam sudut pembikinan filem. Segala kerja2 disusun atur menjadikannya sebuah karya yang jujur dan vibrant!”

ps: GSC jahat sebab tak mahu tayangkan filem ini di Tropicana, temat aku senang tonton wayang!

11 September 2009

Papadom(2009): "Triing" dalam Realiti Palsu


ADA SPOILER MAUT!

Aku perlu berterus-terang, kalaulah filem Tayangan Unggul arahan Afdlin Shauki ini tidak merangkul Filem Terbaik di FFM (yang seperti mana kebanyakan pemerhati filem dari luar negara pun tak peduli, yang agak mengguris aku oleh sebab itu: Oi FINAS, ko dengar tak ni baghal?), aku mungkin tidak akan sekritikal ini, aku mungkin jadi kucing baik yang mengoeng-ngoeng dengan comel dan berucap: "Tengoklah filem ni, bestnya, rugi kalau tak tengok," (kredit Huzz daripada Utusan). Pun begitu, aku rasa, kemenangan filem ini memberi peluang untuk filem ini menjadi filem antisipasi tahun ini (oleh sebab ia belum ditayangkan - ya, inilah sarkas tayangan filem di Malaysia, layan je lah), dan moga-moga begitulah (pergi tengok, sekurang-kurangnya filem ini lagi best daripada filem Davied Teo dan Razak Mohaideen) sepatutnya. Ya, aku tidak sepenuhnya suka filem ini, tetapi aku masih memohon kalian untuk menonton filem ini, semata-mata menyokong filem Malaysia (nasionalis tetap nasionalis beb, baru lepas Merdeka katakan, jom Ganyang Indonesia dan Santet-santet yang baca mentera dari laptop! Wops!).

Filem ini senang, dengan cerita Afdlin Shauki (lakonannya sangat bagus) beristerikan Noorkhirah (yang menawan dan hebat!) beranakkan Miasara yang cun bila besar (lakonan Liyana Jasmay, yang bolehlah aku mengaku, masuk akal untuk menerima anugerah Pelakon Wanita Terbaik walaupun tahun ini tahun pertama dia masuk bertanding, range acting dia, Ya Rabbi, meloponglah pelakon baru macam Intan Ladyana tu nak belajar, sangat fokus, terkawal dan tahu masa bila nak bermanja dan tergedik, cayalah!), tetapi Noorkhirah mati dulu, menyebabkan Afdlin menjadi ayah yang "extra percaution" terhadap anaknya Miasara yang satu iteww. Jadi Miasara pulak nak sambung belajar ke UiTM (IPT bumiputera yang popular iteww) jadi terganggulah neurosis ayahnya yang tak pernah terputus dengan anak gadisnya sejak kematian isterinya itu.

Begitulah ceritanya tuan-tuan dan puan-puan.

Sebenarnya, secara jujur, aku suka cerita yang telah dibentuk dan diulam oleh Afdlin ini. Seperti yang Ajami sudah maklumkan (pencuri! perampok! perogol! penzina!) dalam ulasan ringkasnya tentang Papadom, filem ini bercirikan Disney dengan pengakhiran yang "alls well ends well". Jika kalian sudah menonton filem Disney-Pixar Up(2009), kalian akan sedar bahawa tema filem itu dengan filem ini sama iaitu "the experience of letting go" serta bagaimana hendak hidup "in the now" dan bukan dulu atau terfikir masa depan.

Dalam filem ini, Afdlin juga "cuba" melepaskan anaknya daripada pemerhatiannya. Atas kata-kata negatif "tidak" anaknya (bersungguh untuk belajar di UiTM jauh daripada ayahnya), Afdlin mula tersedar sesuatu. Seperti dalam Up, "roh" atau "jelmaan" (di dalam Up, tidak diternampakkan sangat, menghantar cadangan bahawa roh isterinya dalam tersenden, memang ada berserta Ed Asner) isterinya Noorakhirah (kemunculannya setiap kali bersama Afdlin memang mengundang ketawa, satu pasangan skrin yang sangat sesuai: Afdlin berjaya mencipta buddy romance lelaki dan wanita!) muncul. Simbolisme Noorakhirah sebagai "penunjuk jalan" atau psyche "malaikat teman" buat Afdlin. Secara psikologikal, pendekatan Afdlin ini amat menarik, meniti detik demi detik buat Afdlin "melepaskan" Miasara. Maka seluruh filem ini sebenarnya membawa kepada maksud itu.


Filem ini juga berkenaan dengan voyeurisme dan obsesi. Di sini obsesi Afdlin terhadap Miasara, vouyerisme Scha kepada "saingannya" Miasara, vouyerisme Wajib Tayang (lakonan mencuitkan Que Haidar, beliau ialah mata kita, mata penonton) terhadap Miasara dan voyeurisme Hisham Hashim (simbolisme segalanya yang kau tak suka akan watak perwatakan serta filem Melayu: Hisham Hashim Haslam, hahaha!) terhadap Miasara. Tetapi Afdlin ada menambah beberapa "voyeurisme" lain seperti Vaneeda terhadap Afdlin dan Harun Salim Bachik terhadap Afdlin.

Melihat mainan obsesi dan vouyerisme ini (ya, ini bukan Hitchcock, ini komedi), kita akan terpanggil dengan sebuah filem yang mempunyai unsur yang sama tetapi plot yang berlainan: There's Something About Mary(1998). Di dalam filem itu, Cameron Diaz diperhatikan dan dipujuk rayu oleh beberapa lelaki. Semuanya mempunyai obsesi yang eratik terhadapnya. Seperti Afdlin. Mary dan Miasara adalah objek "penglihatan" di mana semua unsur untuk berlaku (sebab dan akibat) dan bergerak (cerita). Ini adalah punca sebenar filem ini. Obsesi. Dalam Mary, tingkat obsesinya mencapai ketidak masuk akal, seperti mana Afdlin yang mengikuti perkembangan anaknya di UiTM. Kenapa obsesi? Ada perilaku romantisme di sini (bergerak untuk memiliki sesuatu [object of desire] yang dia mungkin takkan dapat), buat filem Hollywood itu secara jelasnya- Mary. Buat Papadom, ianya Miasara (dengan tingkat obsesi dan motif yang pelbagai, Afdlin kerana ketidakmampuannya melepaskan Miasara, Wajib Tayang dan Hisahm Hashim untuk "berahi" Miasara, dan Scha, secara menarik adalah semangat lesbian yang terpendamnya untuk Miasara).

Bagaimana Afdlin memecahkan "ilusi" Miasara sebagai objek terobsesi ini? Ini dengan mendengar jawapan daripada Miasara sendiri (siapa dia suka, apa perasaanya yang sebenar terhadap ayahnya), yang di"tayang"kan dalam filem pendek Miasara (tanpa malu, ia hanyalah foto-foto Miasara dan ayahnya tanpa apa-apa "gambar bergerak" yang disadur dengan monolog panjang Miasara!) di akhir cerita (sewaktu setiap pelajar perlu menayangkan filem pendek mereka). Kita mendapat "cue" bahawa obsesi Afdlin sebagai ayah terjawab (iaitu dia melakukan segalanya untuk anaknya atas nama cinta, ahhhhh) apabila Wajib Tayang (how apt!) berdiri menepuk tangan atas "pecahan realiti" yang berlaku sebaik sahaja tayangan filem Miasara selesai. Wajib Tayang "menyatakan", drama "realiti" mereka iaitu sewaktu Afdlin memeluk anaknya adalah "lebih memuaskan hati" daripada "realiti yang ditangkap di skrin" (khasnya buat filem neo-realisme). Buat Wajib Tayang, hal yang berlaku di depan matanya itu lebih "jujur" daripada idea sinema itu. Buat Wajib Tayang, obsesinya sudah dipuaskan. Dia mencapai vouyerisme yang tertinggi. Secara subtle, Afdlin mengemukakan falsafahnya (dengan agak pretentious sebenarnya), bahawa "realiti" yang dia cipta sepenting dan sehebat mana-mana filem "realisme" (menyentak arus baharu Malaysia, James Lee, Amir Muhammad, Ho Yuhang, Yasmin Ahmad, Tan Chui Mui, Seng Tat, Azharr Rudin) yang dicipta di luar situ. Afdlin berbicara, realiti palsu yang diciptanya dalam filem ini juga bermakna. Ini amat menarik, tetapi juga membahayakan dalam satu hal.

Afdlin juga banyak memberi sindiran dan homaj sekali gus terhadap "keseluruhan Filem Malaysia kini"! Beberapa kebiasaan Razak Mohaideen, David Teo, Mamat Khalid, Yasmin Ahmad, Bade, Aziz M. Osman, Rashid Sibir, Osman Ali dan Yusof Haslam akan terpancar. Sebenarnya Afdlin bersikap non partisan, jujur dan amat liberal sebenarnya, seakan mengangkat dan mengumpul segala babak dan watak dan nuansa serta teknik dengan terpilih ke dalam mis en scenenya. Tetapi inilah yang membahayakan. Kemasukan pelbagai "Mukhsin atas pokok", dengan "pawagam dalam Isteri, Perempuan dan ...", dan cinta-cinta kampus Razak Mohaideen telah mengganggu tujuan sebenar Afdlin iaitu untuk menceritakan sebuah cerita.

Ada beberapa babak yang dibikin dengan runsing sekali (suntingan, tangkapan dan suara yang buruk). Malah, aku perlu mengaku, aku mengerut dahi pada awal filem apabila runut bunyi "triiing" tiba-tiba kedengaran (seakan menandakan, semua filem Malaysia kena bermula dengan "triiing" yang merunsingkan itu). Kemudian ada beberapa babak yang terlalu diambil enteng, yang aku tahu disengajakan oleh Afdlin (mengambil feel filem-filem tangkap muat David Teo dan Razak Mohaideen) dan juga oleh sebab tiada bajet. Babak tiba-tiba hujan dan kereta dalam hujan adalah contoh. Malah ketemporarian Afdlin disampingkan dengan syot statik yang tipikal dalam filem-filem Art House amat mengganggu. Pada mulanya aku boleh menerimanya kerana homaj Afdlin terhadap arus baharu itu, tetapi makin lama aku menonton, arah tuju Afdlin sememangnya "perdana", maka kenapa perlu syot-syot statik "menangkap realiti seadanya" itu? Ia semacam mengejek-ejek para pembikin Arus Baharu kita (lihat babak Miasara naik tangga mengikut bontot Scha). Afdlin perlu kembali dengan pengambilan syot-syot kreatif dan suntingan laju serta penggunaan fotografi yang cantik seperti Buli, Sumo-Lah dan Los & Faun. Itu kekuatan beliau.

Kemudian ada babal-babak janggal yang merundumkan minat aku terhadap filem ini. Sebelum ini, aku senantiasa percaya dan suka kepada filem Afdlin, walaupun filem Sumo-Lah yang tidak ramai yang menontonnya oleh sebab Afdlin selalu ada "jawapan" atau latar motif yang kuat da nlogikal terhadap gila-gila dan ketidaktentuan absurdnya. Di dalam filem ini, tiba-tiba Afdlin menjerit "Api" lalu semua orang keluar dari pawagam, Afdlin memakai kain putih jadi hantu, Afdlin yang masuk ke dalam dewan tetapi tidak disedari oleh anaknya(?), semua ini semacam dibuat lewah, malah mengiyakan Razak Mohaideen, Rashid Sibir dan David Teo yang suka dengan realiti "asal jadi". Lihat! Sureal kewujudan Norakhirah mencuitkan, tetapi lopong-lopong ini tidak boleh aku maafkan.

Nasib baiklah, filem ini ditunjangi oleh barisan para pelakon yang handal-handal, daripada yang kecil seperti Harun Salim Bachik, Chelsia Ng (oh, dia sangat menawan dan seronok melihat dia berlakon!) sehingga kepada Liyana Jasmay dan Afdlin. Kekuatan Afdlin memang dalam mencipta watak (sekurang-kurangnya di Malaysia) "against type" seperti Miasara yang tidak membenci ayahnya walaupun terbelenggu, atau Pete Teo yang "bukan" mahu memeras bakat orang Melayu. Begitu juga dengan Farid Kamil yang "lagak macho" atau esentrik Que Haidar (babak Que dicuit Liyana di tetek mengingatkan kita kepada Gubra, Afdlin semacam meng"U"kan babak kontreversi Alan Yun dengan Sharifah Arman bermain dada yang buat aku sangat takde benda nak dibisingkan).

Tetapi yang paling aku suka adalah lakonan gedik-gedik Scha sebagai Shasha, arch enemy Miasara. Kalau diteliti, ada "lesbian undertone" yang ditampilkan dalam watak bulat lakonan Shasha. Ya, Shasha memang simbol "the alpha queen" yang biasa kita lihat dalam filem remaja Hollywood, tetapi lihat gaya Shasha memegang, meliuk serta dialog lucah yang Shasha ucapkan. Ciri-ciri seksualnya kuat (lebih-lebih lagi dalam menggambarkan keadaan wanita yang menunggu untuk dinoda), kita akan terfikir jika Shasha benar-benar mengatakan hal itu saja untuk buat orang terganggu (atas frankness dia kerana pengalaman seksualnya) atau Shasha sendiri pernah bermain dengan wanita (yang kita sedia maklum, ini adalah kerana Afdlin menulisnya sebagai "lelaki"!). Hal ini membuatkan Afdlin sangat berani.

OK, filem ini tak lah seteruk filem Bjarne Wong, tetapi buat aku, tidaklah boleh menandingi Sell Out!(2008), filem terbaik Malaysia tahun ini (setakat ini) yang tidak diendahkan oleh FFM. Afdlin masih perlu memahami, apa itu sinema dalam filem, dan kenapa satu-satu filem itu memberi "cinematic feel" yang melangkau zaman. Sell Out! dan beberapa filem Arus Baharu Malaysia sekurang-kurangnya sudah mencapainya. Adakah dengan itu, FFM seakan menyatakan, seperti yang Afdlin paparkan, ianya OK buat pembikin filem kita membikin filem dengan formula yang kita sudah kenal dan sedia tahu, tidak mahu mencuba mencari erti dan makna "sinema" yang sebenar? Adakah ini jawapan FFM bahawa "lantak orang nak kata apa, tapi ini filem kita jadi kita iktiraf cara kita"? Ya, hal ini ada maksud tersirat yang baik dari satu segi, tetapi kepada satu segi, kepelbagaian filem, pengetahuan kita tentang apa itu sinema sebenar dan sejauh mana kita mahu bawa filem kita akan terbatas. Jika "Globalisasi" yang kita ingin laungkan buat filem-filem kita mengelilingi dunia seperti filem ini, ya silakan. Lihat dan tunggu akibatnya.



11 December 2008

Perca-perca Filem Disember 2008

Los dan Faun (2008)

Suatu perkara yang aku respek kepada Afdlin, dan banyak kali aku sebut selepas menonton filem-filemnya, Afdlin tidak takut untuk mencuba, dan filem-filem Afdlin jauh meninggalkan kebanyakan mentaliti stereotaip filem-filem komedi kita (kecuali filem komedi Mamat Khalid). Kali ini, Los (lakonan baik Hans Isaac) dan Faun (lakonan monumental lawak Adlin Ramli) menceritakan tentang dua sahabat dari Melaka yang datang untuk menumpahkan peluh dan otak mereka untuk sesuap nasi - dengan cara yang begitu gila-gila, iaitu membina satu syarikat "cari barang". Filem ini bergerak dari masa Erra Fazira yang baru kehilangan suami (Afdlin) ingin mencari sebuah barang yang hilang. Agak mengejutkan, pertama kalinya melihat sebuah filem yang gila-gila tetapi tetap "betul" dengan penataan noirnya atau lebih penting, genre detektifnya. Malah simpul demi simpul yang dicipta berjaya disampaikan dengan satu pengkahiran yang baik lantas menyampai maksud, juga tidak memperlekehkan kebiasaan genre ini. Satu perkara yang aku sedar mengapa Afdlin lain daripada pengarah komedi lain dalam hal ini ialah, Afdlin pun berani melempar "tangen" ceritanya ke mana-mana, tetapi ia masih dalam sarwajagat "logik" ceritanya, tidak mempermainkan intelektual penonton dan malah berguna buat fungsi watak dan plot. Ini memberi contoh bahawa hasil kerja Afdlin ini "rajin", ia cuba mencari simpang-siur yang benar dan terkongkong betul dengan persekitaran "benar" filemnya. Malah, ia banyak melepaskan efek-efek yang sungguh kelakar disamping pandai. Malah, mesej sosial yang disampaikan sebenarnya berat (dunia bandar KL ialah dunia penipuan dan rambang kerana kuasa material) dengan kekeliruan budaya yang kronik di KL. Tetapi mata Afdlin melihat semua ini dengan amat optimis sekali (malah, sangat pasifis), malah memperlakukannya dengan intim dan mencuit tanpa menolak tujuan moral sosial yang ingin disampaikan. Di sini kelicikan Afdlin bermain dengan situasi bandar yang selalu "dipergunakan" untuk wang (kerja Los dan Faun) tetapi kita memahami tugas Los dan Faun jujur, bersih (walaupun Los punya sikap manipulatif berbanding lurus benar dan tajam Faun). Maka Los (hilang) dan Faun (jumpa) sebenarnya pencarian apa yang sudah hilang dan terjumpa di Malaysia, khususnya KL. Ya, terdapat sedikit sisi negatif apabila kampung diibaratkan "suci" (simbol ayah ibu Faun), satu stereotaip biasa dibanding dengan apa yang boleh KL lakukan terhadap seorang dari kampung (Erra Fazira, dan mungkin Los atau Faun). Tetapi undang-undang "kota-kampung" inilah yang dimainkan oleh Afdlin dengan sekilas kali dan efektif, memaparkan bagaimana benar filem ini kepada genrenya (penyiasatan) dan benar kepada bentuk farsa kompleksiti dan kekeliruan sosial yang dicipta KL tanpa benar-benar menyalahkannya. Kini, Afdlin tidak sepatutnya duduk di Malaysia, tetapi punya kuasa tenaga luar atau mungkin saja berpindah ke Hollywood. Kerana ini ditunjukkan dalam filem ini bila idea, cerita dan konsep yang dijaga oleh Afdlin berjaya mengatasi sinematografi dan suntingan yang agak hambar, ini adalah kerana "rangup"nya wit dan kuasa faham Afdlint terhadap teks dan cerita yang mahu disampaikannya, sebuah filem bertih jagung yang menghiburkan, seronok dan tidak memperlekeh intelektual penonton. (Ps: Ya, aku ulas sebuah filem Melayu kerana filem ini mengecualikan emosional aku, kerana ia begitu bagus untuk ditonton).

The Day The Earth Stood Still (2008)

Kali ini, untuk membikin "remake" tentang sebuah filem yang pernah "menggegar" para penonton dengan mesej anti-nuklearnya, para produser sudah tahu jika mereka ingin mengambil seorang pelakon buat Klaatu, mereka perlukan seorang "makhluk asing", dan mereka tidak perlu pergi jauh dengan mengambil Keanu Reeves buat itu. Buat filem asal, seorang pelakon tidak terkenal bertutur Inggeris keras telah diambil (untuk (1) bertutur Inggeris Inggeris ialah tanggapan "Tamadun serta Budaya Tinggi" buat para produser Hollywood masa itu, dan (2) orang Amerika selalu memandang cara bahasa Inggeris Inggeris sebagai "pelik"). Keanu Reeves mengalahkan David Bowie buat hal ini (ataupun Micheal Jackson) kerana sekurang-kurangnya Reeves "masih relevan" dan Reeves "pelik tapi seksi". Tipikal abad ke-21. Filem ini pun ingin menyampaikan sentimen "mesej sebelum kiamat" yang disampaikan oleh filem Robert Wise yang asal itu tetapi dengan kesesuaian abad sekarang, dengan mesej Al Gore yang berhibrid saintologi di sini dan satu cebisan anti polisi ketenteraan Bush yang disengajakan (menjadikan filem ini mungkin filem Obama yang pertama sewaktu masuk ke Rumah Putih). Banyak perkara yang dibuang, seperti menjadikan Klaatu alegori Christ dengan memindahkannya sebagai "malaikat" yang boleh dikaitkan dengan mana-mana agama dunia (idea New Age Religion). Pengikut "kipas mati" filem yang asal akan mengamuk kerana dua perkara: ketiadaan runut bunyi gergasi Bernard Herrmann yang digantikan dengan gaya runut bunyi atmosferaik abad ke-21, dan ketiadaan ungkapan "Klaatu barada nikto". Beberapa perkara dinaik taraf dan diberikan suatu kenyataan yang baik (bagaimana Klaatu tercipta seperti manusia, aksi-aksi Gort lebih menakutkan dan tidak kelihatan bodoh seperti filem asal). Separuh daripadanya berjaya, separuh daripadanya tersimpul dalam kesofistikatednya sendiri (jika Klaatu sudah memahami tentang teori evolusi, kenapa ia tidak mempercayai adanya kehidupan dalam kemusnahan?). Persoalannya bagus, malah banyak babak-babak yang disengajakan "bergerak" dengan momentum "apa akan berlaku", lebih-lebih lagi dengan konflik Kathy Bates yang mewakili "kuasa Presiden" dengan Jennifer Connely, seorang wanita penuh empati dan memahami. Pengakhiran "dia sudah pergi" satu pengakhiran bagus, berkemanusiaan dalam memahami apa yang kita tidak faham, tetapi masih jauh mencapai kekuatan "dunia berdiri tegak untuk seketika" yang asal dalam melemparkan ideanya untuk manusia berubah. Beberapa babak awal mengambil idea Close Encounter of the Third Kind, seperti ID4.


Boy Eats Girl (2005)

Filem ini mungkin terkenal kerana puteri pop Samantha Mumba berlakon di dalam filem zombi-seram-komedi ini. Ya, ia sebuah filem laju, bertih jagung dan bergerak, ya ia mengarut, beberapa babak tidak logik (dibuat atas kerana aksi dan efek dan langsung menolak ilmu fizik) dengan seorang watak pascaJames Dean yang diberi peluang kedua untuk melepaskan cinta (dan nafsu syahwatnya) serta mempunyai kecerdasan minda otak remaja untuk menyukainya. Tapi bodoh-bodoh filem ini, ada “cuteness” di dalamnya yang kita boleh ikuti, lagi-lagi bila semua orang dalam filem ini cantik-cantik belaka (dan mati dengan darah yang merah – lagi cantik), walaupun kita sudah tahu yang mana akan mati dahulu dan mati kemudian. Sebuah babak cuba melawan “grisly blood” Dead Alive(1992) tapi hanya dapat capai “tandsunya ilmu gore kamu”. Lakonan tipikal remaja yang tidak bercita-cita tinggi, para dewasa yang bodoh, dan dunia penuh zombi – seronok bagaimana lagi yang anda mahukan?


Flowers of Flesh and Blood (1985)

Masalah dengan aku ialah aku suka dengan filem-filem loya (sick). Eksplotasi ialah subgenre yang paling senang bermain dengan filem-filem sebegini, dan, ehem, aku terkejut bagaimana filem tanpa plot ini berjaya melahirkan imej-imej darah yang begitu cantik, melangkau kefahaman erti pemangsa-mangsa lalu menampilkan idea-idea pembunuh-mangsa yang begitu (meloyakan) intim dengan seksa, keperluan reprokasi antara pembunuh-mangsa mencipta "seni" dan bondage yang begitu mengikut nahu S & Mnya (kalau korang sampai sekarang tak faham, jangan dekat dengan aku malam-malam dan tanya soalan ini bila aku pegang tali dan topeng). Ceritanya semacam gaya biasa penggunaan kamera video bergerak di mana seorang wanita kota dijejaki oleh seorang lelaki lalu sampai di taman permainan, dipukul sehingga pengsan, lalu lelaki itu ikat perempuan itu di atas sebuah meja, menyuntiknya dengan dadah dan sedikit demi sedikit memotong perempuan itu dengan ghairahnya (di sini bahagian yang paling ditunggu-tunggu). Persoalan: untuk apa si pembunuh membunuh? Soalan sebegini disengajakan tidak berjawab (seperti soalan, mengapa manusia berperang). Ini ialah soalan-soalan tidak rasional, memasuki jiwa dan isi hati manusia pada masa dan tahap yang paling gelap. Filem ini memaparkan “bagaimana” dan bukan “mengapa”. Bagaimana ini disampaikan untuk mencipta "seni" semahu-mahunya (semahu-mahunya kita sebagai penonton pun ber"salah" kerana mengkagumi seni ini - persoalan pembunuhan sudah hilang nilai moralnya). Ketenangan dalam kejam, puisi seksa yang meloyakan berjaya dipaparkan dengan benar oleh sebab kualiti videonya.


rujuk:http://www.kfccinema.com/reviews/horror/guineapigflower/guineapigflower.html


To Kill A Mockingbird (1962)


Novel Harper Lee (di mana filem ini diadaptasi) ini ialah novel di mana, tidak ada kesalahan langsung dari segi persembahan, bahasa, persekitaran, psikologi dan perubahan plot. Malah novel sepertinya dikatakan "bersesuaian", maka ianya memang antara novel paling makmur dan diiktiraf sebagai sastera klasik moden. Filemnya pun begitu, "sesuai" dalam apa-apa bentuk baik runut bunyi, suara, penggambaran, latar seni dan watak-wataknya. Semuanya "berada di tempatnya", malah ia agak memeranjatkan untuk melihat sebuah filem yang begitu sempurna pada 60-an (filem ini diterbitkan oleh Alan J. Pakula). Untuk menaikkan kesempurnaan ini, Gregory Peck (manusia separa santun dan Superman itu) diambil sebagai watak "Hero Amerika no.1", Atticus Finch - filem ini menjadi satu mitos buat Amerika. Filem ini mengikut dengan kesesuaian yang baik terhadap novel Harper Lee, memotong beberapa babak yang tidak berkenaan dan mempercepatkan plot di mana di dalam novelnya kelihatan "mengambil masa untuk bercerita" - ini ialah keutamaan fungsi filem yang diadaptasi daripada novel: imej dan suntingannya sepatutnya sudah menghantar "idea" daripada empat atau lima halaman novel. Dan banyak perkara ini berlaku dalam filem ini. Filemnya (serta novelnya) masih relevan, sebagai penanda sejarah, juga perluasan permintaan politik terhadap diskriminasi perkauman apabila seorang lelaki kulit hitam dituduh merogol seorang wanita kulit putih yang tinggal di desa, lalu Atticus Finch, sebagai peguam yang "bersih" perlu mengambil kes ini untuk mengubah perspektif pekannya terhadap golongan orang kulit hitam pada zaman itu. Adunan filem ini disusun kemas pada awal sehingga akhir, malah subplot Boo Radley telah disertakan dengan cantik dan menjadi fungsi plot yang kuat (antara kesesuaian yang sempurna dibuat oleh Harper Lee). Perkara yang membuat filem ini paling diingati adalah bagaimana filem ini berjaya menyampaikan cerita ini daripada kaca mata "budak-budak" melihat kebaikan/kebobrokan kerenah hidup orang dewasa (seperti dalam novel) tetapi masih menyisih daripada menghakiminya. Sebuah filem perbicaraan tentang kemanusiaan yang berjaya.



Burn After Reading (2008)

Adik-beradik Coen sangat pelik. Filem ini tergolong dalam filem "suka untuk dibenci dan benci untuk suka" kerana membawa masuk dua genre yang tidak senang duduk bersama iaitu genre perisik (sebenarnya lebih kepada "tukang sibuk") dan farsa seks (sex farce). Ini ditambah dengan penglibatan anti-moral Coen (yang baik tak semestinya menang, dan si syaitan selalunya bebas untuk melakukan kerosakan) di mana yang salah tidak dihukum dan yang tak bersalah akan mati (opsss, aku dah bagitahu spoiler). Pun begitu, ada kekuatan dalam filem ini apabila ia diberi kuasa terbuka "lantaklah kau nak buat macam mana" terhadap empat watak utama dalam filem ini yang juga merupakan pelakon terkenal Hollywood (John Malkovich, George Clooney, Frances McDormand dan Brad Pitt). Sebenarnya fungsi genre perisik filem ini ialah untuk menggerakkan plot cerita (yang sebenarnya boleh dikatakan tidak ada jika para wataknya tidak meletakkan diri dalam keadaan yang agak "bodoh" itu) sedangkan roh sebenar filem ini adalah tentang perhubungan bersilang-silang yang intim, kompleks dan manusia antara empat watak utama itu berserta watak sampingan yang berhubung dengan mereka. Malah, farsa seks itu kelihatan lebih menampilkan corak dan warna watak-wataknya. Intrig ini mempunyai kekuatannya, kekompleksiti dalam manusia memahami perhubungan sama dengan kekompleksiti manusia memahami bagaimana sesebuah kerajaan berfungsi - di sini filem ini melepaskan persoalannya. Walaupun mungkin adik-beradik Coen menidakkan sentimen politik filem ini terhadap urusan perisikan Bush, klimaks filem ini mencadangkan begitu: kebodohan di atas tidak dapat menyelesaikan kebodohan di bawah, serta pandangan negatif adik-beradik Coen terhadap penggunaan CIA membenteras pengganas di dalam negara. Semua pelakon melakukan yang terbaik, malah Brad Pitt memeranjatkan sebagai seorang yang tulu bendul. Frances McDormand sangat mencuit hati dalam masalah keperempuanannya.


Hard Target (1993)




Aku tonton ni sewaktu berada dalam hotel di Kuala Terengganu (yang separa nak roboh tapi digelar antarabangsa) bersama dengan kawan bilik yang busuk bila berada dalam tandas. OK, ceritanya ialah aku suka filem aksi ni! Satu contoh sebuah filem bertih jagung yang mengikut konvensi Hollywood dengan kesemua sentuhan John Woo yang ala-ala shot-shot imej bentuk fizikal macam terbang dan lagak gerak perlahan (aku rasa Tarantino menyukai filem ini) berserta burung merpati/puyuh putihnya yang tiba-tiba masuk skrin. Konvensi dikatakan kerana hero dalam filem ini macho dan serba kelakian manakala penjahat dalam filem ini (lakonan baik pertama Arnold Vosloo dalam francais The Mummy itu) dipaparkan jahat yang amat, malah telah mengikut kebiasaan pameran penjahat dalam filem noir/aksi/seram 40-an Hollywood di mana jika anda baca betul-betul dialog yang diutarakan oleh watak Vosloo dan Lance Henriksen, anda akan tersedar "keintiman" mereka yang homoerotik! (ini kebiasaan buat filem-filem aksi Hollywood sehingga 80-an). Van Damme menunjukkan bahawa pelakon Eropah pascaSchwazenegger yang tak boleh bertutur elok dalam Inggeris Amerika juga boleh muncul dalam sebuah filem Amerika (malah, buat aku, aksi ngeri Van Damme di dalam filem ini sangat memuaskan, malah menjadi tandatangan kenapa filem ini mesti ditonton - walaupun persamaannya dengan filem-filem "idol worshipping of action heores" Hindustan era 80-an sangat sama). Van Damme mengambil tipikal watak "Lelaki tanpa nama" Clint Eastwood (di sini dia ada nama, hanya, seperti Mad Max, dia tidak mahu jadi hero - the reluctant hero) yang tiba-tiba dibawa masuk dalam ranjang mainan jahat orang-orang yang memburu manusia (mantan askar Vietnam selalunya) untuk keseronokan para jutawan antarabangsa. Filem ini menarik dalam beberapa perkara, secara halus, filem pra11 September ini memaparkan bagaimana pengganas boleh membolos ke dalam Amerika atas nama "Syarikat Antarabangsa", kedua, keganasan itu satu makanan yang perlu dalam menegakkan keadilan (kenapa kita perlu perang), dan ketiga, Amerika ialah negara yang lebih kompleks daripada yang kita tahu dan lihat. Ya, filem ini secara prasedar memaparkan pelbagai intim dan kekuatan imej yang "terpendam" menolak Impian Amerika. Van Damme adalah antara "saksi" yang melihat imej-imej terpendam itu (dan cara untuk mengatasinya). Malah keterasingan Van Damme menyebabkan dia sangat peka akan kekotoran dunia gelap kapitalis Amerika (simbol yang dibawa oleh syarikat yang menjalankan permainan pemburu itu), dan cara pembersihannya hanyalah dengan tangannya sendiri. John Woo banyak melemparkan tandatangannya, paling aku fahami ialah permainan John Woo dalam burung merpati. Sebelum ini, kita tidak akan memahami apa signifikan burung dalam filem-filem John Woo. Aku dapati rupanya burung ialah "mata" atau wakil John Woo dalam filem-filemnya, malah di dalam filem ini, burung/John Woo menjadi semacam deus ex machina terhadap plot, malah memberi "restu" kepada Van Damme (ada sebuah babak yang kita fahamkan, orang jahat menembak burung, satu simbol yang begitu tampak menyatakan sifat "hitam" orang jahat). Kini, kalau simbol burung ini di bawa dalam filem John Woo dalam Red Cliff, kita memahami bahawa burung/John Woo ialah "sang penglihat semua", sang strategis yang perlu melihat padang besar yang diciptanya. Burung dipilih kerana kecantikannya - John Woo mengatakan dia mencipta "cantik", estetika/seni dalam aksi dan babak-babak lawannya. Ini diperlihatkan lagi dengan momokan John Woo (atau sebenarnya penghormatan) kepada teater lama, Papier-mâché, dan warna-warna karnival pada latar babak klimaks filem ini: seni yang dicipta oleh John Woo juga berwarna-warna dan menghiburkan. Ini semacam 101 John Woo. Hard Target sebenarnya sebuah filem aksi bertaraf "gem" yang seharusnya dilintas oleh para penggemar filem aksi. Di sini, warnanya berbagai dalam keganasan, kesan debar, seni aksi dan plot yang begitu bergerak serta sangat menghiburkan sehingga ke akhir filem. Filem ini juga pernah dinominasi sebagai filem seram terbaik di Saturn Awards!

16 May 2007

3 Buah filem untuk Rabu

Feast (2006)
Segalanya yang aku mahu dalam sebuah filem 'monster', ada dalam filem ini, malah filem ini juga mengecam, memparodikan dan menaikkan beberapa 'par' filem-filem 'monster'. Mungkin ZKP perlu belajar daripada filem ini bila mengimbangi sesebuah genre filem seram dengan elemen menakutkan, gore dan ganas yang baik dengan humor terhadap babak kengerian yang dialami.


Peminat filem seram akan dapat 'cam' beberapa filem-filem seram cult dan agung yang ditiru (hantu makan dari bawah lantai, muntah, menutup tingkap dengan papan), dikutuk (perempuan yang kita sangka baik dan akan mati kerana korbannya rupa-rupanya pentingkan diri sendiri), dipermainkan serta dinaikkan 'satu par' (anak kecil mati tanpa belas kasihan lagi). Bagi yang masih budak-budak kepada filem seram, sila tonton Assault on Precint 13, Night of the Living Dead, Tremors, Alien, The Thing, Gremlins, Duel, Evil Dead dan The Exorcist untuk mengetahui apa yang aku cakapkan ini. Malah ini memang seakan sebuah filem yang 'hip' dibuat oleh Tarantino. Awal-awal lagi kita sudah diberitahu bahawa 'objek yang menakutkan' itu datang membalas dendam. Pedulilah di mana ia dicipta (selalunya dalam filem seram, "less is more" dalam epitemologi ciptaan benda-benda jahat), yang penting ia membunuh.


Feast kadang-kala cuba tidak memperolokkan sesiapa. Ia juga satu santapan seram yang menghiburkan. Tetapi efektifnya dalam memberi rasa cemas dan gerun terhadap keseraman itu, walaupun laju dan pop (kini, filem seram Hollywood sangat laju), ia tetap menghiburkan.

28 Weeks Later (2007)

Jangan lupa tonton filem ini, antara filem sci-fi/seram yang terkuat dalam francais seram-zombi abad ini (oh ya, Resident Evil: Extinction akan ke pawagam tak lama lagi). Filem ini akan membawa pelbagai perbincangan, serta sakit hati. Aku sudah lama tidak menonton sebuah filem seram se'harrowing' ini, sebuah filem seram yang bukan sahaja membuat engkau rasa mengigau malam tetapi sedih dan termangu. Ini hanya berlaku kepada aku sewaktu aku tonton Invasion of the Body Snatchers (versi 80-an) dan Company of the Wolves. Dan untuk sekian sekali, rasa tidak tenteram itu datang lagi dalam bentuk filem ini.


Kita takkan jumpa Cillian Murphy atau tulisan Alex Garland dalam filem ini, tetapi bagi aku filem ini berjaya mengimbangi idea filem pertama serta apa yang membuat filem pertama itu 'tick'. Sebenarnya filem kedua ini lebih besar skopnya, lebih 'epikal'. Ini dikuatkan dengan penulisan skrip oleh empat orang untuk menjaga dengan jitu idea filem ini.


Ada beberapa babak juga akan mengingatkan kita terhadap beberapa filem Romero, terutamanya babak helikopter (rujuk Dawn of the Dead). Malah filem ini sebenarnya bukan tentang zombi, tetapi keseraman kuasa manusia mencipta sistem 'pengkerahan' yang boleh membawa kepada kerosakan. Di sinilah sebenarnya kritikal filem ini berseri- kelemahan Amerika dan istilah 'polis dunia' yang disematkan pada diri mereka terhadap ketidaktentuan alam dan manusia (the unseen, normalcy forces of nature and men). Malah, askar Amerika ialah 'the bad guy' baru dalam filem industri, askar Nazi terbaru.


Filem ini mengutuk kesemuanya yang telah dilakukan oleh Amerika selepas 11/9. Malah, bila kita menonton filem ini, kita seakan 'membaca' bahawa zombi adalah 'means' alam (nature) untuk menyerang balik perosaknya (manusia). Musuh sebenarnya yang membuak kebencian kita ialah pihak Amerika dan cara mereka mengawal keadaan mana-mana negara dilanda 'peperangan'. Di dalam filem ini juga tidak terkecuali. Ada sebuah babak yang sangat efektif apabila para manusia disuruh untuk tinggal di bawah tanah tanpa penjagaan askar Amerika, sedang zombi mula membunuh dan mencapai bilik bawah tanah itu. Kegagalan Amerika itu ditampakkan sebagai kegagalan Amerika dalam menampung keganasan yang berlaku di negara yang dijajah mereka baru-baru ini. Mereka tidak akan faham bagaimana untuk mengawalnya.


Filem ini berakhir dengan satu nota yang sangat pesimis. Bagaimana dunia lama sudah lama mati dan dunia baharu, cara baharu dan tata baharu (new order) diperlukan untuk menampung ketidaktentuan alam dan manusianya. Tetapi manusia tidak akan mencapainya kerana manusia lemah. Dengan itu, mereka harus mati dan menemui kiamat mereka sendiri.



Sumo-Lah (2007)

Vovin mengatakan filem ini antara filem genre sukan buatan Malaysia yang terbaik pernah dibikin di Malaysia. Aku tidak menyangkalnya.


Tetapi untuk mengatakan filem ini filem terbaik Afdlin, aku perlu menilik-nilik dahulu.


Sumo-lah ialah sebuah filem silangan budaya yang sangat baik, yang membahaskan budaya Malaysia-Melayu dengan Jepun, serta apa yang boleh disamakan dan dibandingkan di antara dua budaya ini. Malah Afdlin berjaya menunjukkan bagaimana 'rencah'nya dunia Malaysia dengan pelbagai identiti masyarakatnya. Malaysia sememangnya satu kosmopolitan pelbagai bangsa berhimpun.


Suatu yang harus dibanggakan dengan filem ini ialah dialognya. Filem ini mempunyai skrip (atau lebih kepada dialog watak-watak) yang paling baik tahun ini. Afdlin mempunyai 'wit', beliau mempunyai 'sense of humor'. Walaupun dialog seperti "Pokemon anak Dragonball" pun boleh menyebabkan kita ketawa besar (konotasi terhadap carut orang Melayu). Dan dengan geniusnya, apabila disarikatakan, ia tidak hilang 'lawak'nya. Dialog-dialog ini yang banyak dipaparkan dalam filem ini, di mana, sebagai seorang anak tempatan, atau seorang orang asia, kita akan dapat tangkap 'lawaknya'. Inilah sarwajagatnya filem ini. Suatu perkara penting, lihatlah, bagaimana filem ini ditulis oleh empat orang. Begitulah kalau mahu buat filem yang baik.


Malah idea membawa 'Sumo' ke Malaysia amat bernas, tetapi tetap juga menyindir (orang Malaysia memang begitu, mereka senang mengambil budaya orang luar daripada menjaga budaya mereka sendiri, ini sememangnya kebiasaan orang Melayu. Kalau tidak percaya, tanyalah berapa ramai yang memiliki bola takraw di dalam rumah mereka). Yang penting ialah semangat kesukanan yang dibawa dalam perspektif filem ini. Idea 'motivasi' ini kebiasaan dalam genre sukan, seperti Get Carter atau Karate Kid. Dan ada juga unsur manusiawi terhadap dunia kesukanan itu. Sumo-Lah berjaya mengimbangi kedua-dua elemen ini dengan baik. Kita bukan saja 'merasa' sukan ini, tetapi merasa juga watak-watak yang bermain dengan sukan ini. Malah, apa awalnya kita merasakan jengkel tentang sumo, boleh berubah rasa hormat dan tabik terhadap sukan yang hidup selama 400 tahun ini.


Lagu latar filem ini ialah antara yang paling menyeronokkan juga, serta suara filem ini. Paling terbaik pernah dibuat di Malaysia.


Kelemahan filem ini ada beberapa. Yang pertamanya ialah tonjolan iklan yang terlalu. Bukan, aku tak kata waktu ramai-ramai menayang slogan Celcom dan Ogawa itu (kita dapat hint bahawa ini kebiasaan dalam pertandingan ini, maka ia di'tempatan'kan), tetapi percakapan telefon antara Awie dengan aweknya di Malaysia dengan telefon Motorola. Kelemahan yang paling tampak ialah sinematografinya. Walaupun ia terfokus, ia tidak benar-benar menangkap. Contohnya waktu Afdlin terlanggar topi keledarnya dengan topi Siti. Kita tidak dapat merasa 'feel' babak ini. Ini termasuk waktu perlawanan pada akhir filem. Contohnya sewaktu Andi dipukul di rusuknya. Kita mahu melihat perkara ini berlaku (lihat Million Dollar Baby atau Raging Bull) tetapi kita hanya mendengar "Buk"nya.


Tetapi kesemua kelemahan ini ditutup kerana kekuatan dan kelincahan para pelakonnya yang berjaya membawa 'make believe world' ini suatu yang 'real' dan berdarah. Tidak ada satu pelakon yang tampak kekok. Hanya mungkin anak kecil si Kodok, tetapi itu pun dimaafkan kerana 'charm' yang dibawa olehnya.


Walaupun filem ini agak terlalu bercakap tentang motivasi diri, di mana filem tidak memerlukan 'kata-kata' yang terlalu banyak (contoh, lihat filem Field of Dreams) untuk menyampaikan intipatinya, ia bolehlah diberikan satu penghormatan, kerana berjaya membawa satu nafas baharu dalam filem tempatan dan kejayaan Afdlin mengikat satu ikatan antarabangsa yang jarang-jarang sekali boleh berlaku dalam filem Melayu dengan begitu baik sekali seperti filem ini.