Showing posts with label Isu. Show all posts
Showing posts with label Isu. Show all posts

13 July 2018

Warkah Cinta Terakhir Pedro Almodóvar Buat Ibunya

Susuk figura ibu kandungnya sendiri ialah resepi rahsia dan inspirasi mendasar dalam filem-filem Pedro Almodóvar, khsusnya filem dedikasinya terhadap ibunya (dan semua ibu di luar sana), Francesca Caballero, All About My Mother (1999). Roh ibunya mengawalnya lagi untuk filem Volver/Kembali (2006), antara filem adikarya Almodóvar pada era beliau menghasilkan filem-filem matangnya (era ketiga).

Dedikasi terjemahan Melayu ini pula buat Pedro Almodóvar, antara pembikin kegemaran peribadi, dan auteur, yang masih hidup dan melawat sinema-sinema semalam dalam liukan layarnya.



Mimpi Terakhir Ibuku
oleh Pedro Almodóvar Caballero

Sabtu lepas, sewaktu aku keluar dari rumah, aku menyedari bahawa hari itu merupakan sebuah hari cerah yang indah. Hari itu merupakan hari cerah pertama aku tanpa ibuku. Air mataku berderai di balik cermin mata hitamku, dan aku memang banyak menangis hari itu. Aku belum dapat tidur pada malam sebelumnya, dan aku hanya mampu berkeliaran seperti seorang yatim piatu, mencari-cari sebuah teksi yang dapat membawaku ke Funérarium del Sud.

Aku bukanlah alim sangat dalam hal menziarah perkuburan dan ritual-ritual agama lainnya, tetapi ibuku merupakan figura paling penting dalan hidupku. Walhal dalam penggunaan nama am aku di ruang awam, aku tidak pernah menggunakan nama keluarganya selepas nama keluarga ayahku, sepertimana yang sudah menjadi lumrahnya di Sepanyol, dan sepertimana yang ibuku selalu harapkan. "Nama kamu Pedro Almodóvar Caballero. Siapa pula mamat Pedro Almodóvar ni?" dia pernah bertanya padaku suatu hari, malah sememangnya dia begitu berang denganku.

Orang selalu ingat bahawa seseorang anak hanya tergolong sebagai seorang anak pada suatu garis masa tertentu. Namun tempohnya lebih lama dari itu sebenarnya. Jauh lebih lama. Itulah yang Lorca* selalu perkatakan. Malah, ibu juga tidak tergolong pada satu garis masa tertentu juga. Dan mereka tidak perlu pada apa-apa keistimewaan untuk kekal penting, menjadi sumber utama, tidak dapat dilupakan, dan guru asas setiap anak yang belajar merangkak. Sang ibu dapat bertahan dengan apa-apa perkara pun jua. Aku banyak belajar daripada ibuku, walau tanpa disedari oleh kami sendiri. Daripadanya, aku telah mempelajari sesuatu yang menjadi asas utama dalam karya-karyaku, kearifan untuk memahami perbezaan antara realiti dengan fiksyen, dan bagaimana realiti perlu dilengkapi dengan fiksyen untuk membuatkan hidup ini lebih mudah untuk dihadapi.

Aku mempunyai pelbagai memori tentang ibuku untuk setiap garis masa hidupnya. Pengalaman yang paling epik, mungkinlah, sewaktu dia bermastautin di sebuah kampung berdekatan Badajoz, Orellana la Vieja, jambatan di antara dua alam besar hidupku sebelum aku ditelan oleh kota Madrid: La Mancha dan Extremadura. Walaupun kakak-kakakku tidak suka aku bercerita akan hal ini, memang sewaktu kami mula-mula tinggal di sana, hidup kami amat melarat. Tetapi ibuku sememangnya sentiasa kreatif, malah tidak pernah aku kenal seorang yang berdaya cipta sepertinya. Bagi orang di La Mancha, ibuku ini semacam "orang yang mampu mengeluarkan susu daripada tin minyak". Di kawasan kami tinggal waktu itu belum ada elektrik, jalannya tanah, selalu sahaja kotor dan cepat bertukar lumpur setiap kali hujan. Jalan tunggal itu terletak di hujung kampungku, yang terbina daripada serpihan-serpihan batu loh. Aku tidak tahu bagaimanakah anak-anak dara di situ dapat berjalan di atas batu-batu tajam itu dengan kasut tumit tinggi. Bagiku, ia bukanlah sebuah tempat tinggal tetapi perca sebuah kampung daripada sebuah filem koboi. Hidup di situ susah tetapi murah, dan jiran tetangga kami sangat baik dan peramah. Dan, mereka juga buta huruf.

Untuk menampung gaji ayahku, ibuku membuat duit dengan membaca dan mengarang surat-surat orang kampung, sepertimana yang berlaku dalam Central do Brasil**. Umurku lapan waktu itu; lalu selalunya, akulah yang diminta oleh ibuku menjadi penulis surat sedang ibuku akan membaca surat-surat yang diterima oleh orang kampung. Sering kali, semasa aku ralit mendengar bacaan surat oleh ibu, aku mendapati dengan hairan bagaimana apa yang dibacanya itu bertentangan dengan apa yang tertulis dalam surat itu: ibu telah menukar isinya mengikut sukanya. Para jiran tidak tahu, kerana apa yang diciptanya itu selalunya benda-benda yang menghiburkan jiwa lantas membuatkan para jiran ibu pulang dengan senyuman. Setelah menjadi saksi hakiki akan perbuatan ibuku yang tidak pernah setia dengan teks asal surat, suatu hari setelah pulang ke rumah, aku mencebiknya. Aku kata, "Mengapa mak pergi baca yang dia selalu teringat-ingatkan neneknya dan dia selalu terasa nostalgik semasa neneknya memotong rambutnya sewaktu kecil di tangga depan pintu rumahnya, di hadapan sebuah besen air? Surat tu langsung tak cerita pun tentang neneknya." Lalu ibuku menjawab, "Tapi kamu nampak tak betapa gembiranya dia?"

Ibuku betul. Ibuku telah mengisi polos-polos kosong dalam surat-surat itu, dia menyampaikan benda-benda yang mahu didengar oleh jirannya, yang mungkin si penulis surat itu telah lupa untuk masukkan tetapi tentu puas hati jika benda-benda itu juga disertakan. Improvisasi ini telah menjadi suatu pelajaran besar buatku. Ia membentuk persoalan perhubungan antara fiksyen dengan realiti, yang mana realiti memerlukan fiksyen untuk terbentuk sempurna, menjadi lebih menyenangkan, lebih tahan lama ...

Walaupun aku penat setelah selesai jerayawara mempromosi filemku (All About My Mother waktu itu sudah mula ditayangkan di seluruh dunia dan sememangnya ia suatu kebetulan apabila aku mendedikasikan filem itu kepadanya, sebagai seorang ibu dan seorang seniwati; yang sebetulnya aku teragak-agak melakukannya kerana tidak pasti jika dia menyukai filem-filemku), dan nasib baik aku bersama-samanya di Madrid. Keempat-empat kami adik beradik ada bersamanya ketika itu. Dua jam sebelum "detik genting"nya, aku dan Agustin datang melawatnya pada sesi lawatan setengah jam yang diizinkan di unit rawatan rapi, sementara dua kakakku menunggu giliran di luar.

Ibuku sedang tidur waktu itu. Kami membangunkannya. Mimpinya tentu begitu menyenangkan dan  mengasyikkan yang ia seperti belum mahu lagi meninggalkannya, walau dia masih berbual dengan kami berdua dengan begitu jelas sekali. Dia bertanya kami berdua jika ada ribut petir di luar waktu itu, dan kami balas tidak. Kami tanya bagaimana keadaannya dan ibu menjawab dia baik-baik sahaja. Ibu bertanya akan anak-anak Agustin yang baru kembali daripada cuti. Agustin memberitahu dia akan bersama dengan anak-anaknya hujung minggu itu dan akan dapat makan bersama. Ibuku tanya jika adikku sudah membeli barang makanan untuk anaknya dan dia jawab sudah. Aku memberitahunya bahawa aku perlu ke Itali untuk mempromosi filemku, tapi aku sanggup tunggu di Madrid jika dia mahu aku tunggu. Dia meminta aku pergi sahaja dan buatlah sesuka hatiku. Perkara yang ibu khuatirkan tentang kepergianku adalah jika anak-anak Agustin akan ikut serta denganku. Dia bertanya, "Budak-budak tu, siapa yang nak jaga mereka nanti?" Agustin menyampuk, dia tak ikut aku kali ini dan akan tinggal. Ibuku lalu sangat senang hati dengan jawapan anak bongsunya itu.

Seorang jururawat masuk dan memaklumkan masa kami sudah tamat, lalu memberitahu ibuku mereka akan membawa masuk hidangan makanannya. Ibuku menjawab, "Makanan itu tidak akan membuatkan saya jadi berat pun." Aku mendapati kenyataan ibuku itu sedikit manis dan pelik. Tiga jam selepas itu, dia meninggal dunia. Atas semua perkara yang diutarakannya pada pertemuan terakhir itu, soalannya tentang ribut petir itulah yang masih tersemat pada jiwaku. Jumaat hari itu merupakan sebuah Jumaat yang cerah, malah sinaran siangnya menusuk masuk melalui jendela hospital. Ribut petir apakah yang ibuku fikirkan dalam mimpi terakhirnya itu?

Petikan ini dikutip daripada sebuah artikel yang tersiar dalam El Pais, 14 September 1999, yang disertakan dalam buku Masters of Cinema: Pedro Almodóvar oleh Thomas Sotinel (2007:74), suatu siri buku Cahiers du Cinema. 

* Federico García Lorca, penyair dan dramatis Sepanyol (1898-1936). 
** Filem Brazil Central Station (1998) arahan Walter Salles yang dicalonkan dalam filem terbaik asing di Anugerah Academy ke-71. Filem ini menerima Golden Bear (filem terbaik) dan Silver Bear (pengarah terbaik) untuk Festival Filem Antarabangsa Berlin ke-48.

15 May 2018

Membaca Lestari Penaung Seni dalam Ibu Mertua-ku (1962)

Sudah tentu sudah banyak yang sudah disuguhkan terhadap melodrama klasik arahan dan karya P. Ramlee ini. Aku menilik sudah tentu Daniyal Kadir mempunyai kupasan sosial dan kelas yang jauh lebih menarik, dan sudah tentu, beberapa pengkritik yang ampuh, seperti Hassan Muthalib, A. Wahab Hamzah dan Anuar Nor Arai sudah meletakkan tanda arasnya terhadap filem berusia lebih 50 tahun ini.

Aku menontonnya semalam di TV2. Walaupun ya, ini bukanlah filem P. Ramlee kegemaranku, dan dahulu sewaktu kecil filem inilah yang membuat aku merasai siksa batin dek tamparan klimaks sebuah filem sedu-sedan yang noir, aku mendapati ada benda-benda yang menarik yang ingin disampaikan oleh P. Ramlee dalam filem ini, walaupun terdapat beberapa hal yang aku tidak pasti sedar janggalnya.

Sebagai sebuah filem melodrama yang menyuntik pengisian komedi pada awal filemnya (ini merupakan suatu red herring yang jelas), aku menganggap bentuknya janggal sebagai suatu pemersatu bentuk yang utuh (kita tidak temui babak komedi lagi, apatah lagi kesinambungan babak-watak Husin-Salbiah), walaupun kedudukan ini diletakakn dengan sedar dan sengaja di awal filem. Kita bolehlah menganggap ini pengaruh filem Hindustan dan Tamil era itu yang cukup sedar juga mencampur-campurkan genre. Kita juga boleh menganggap terdapat pengaruh bangsawan di sini, yang juga, mengguna pakai bentuk selitan komedi dalam sebuah drama serius. Apa-apa pun, dalam pandangan pascamoden, mungkin hal ini membawa makna yang berbeza, mengikut pada pengupas dan penganutnya.

Namun terdapat bijaknya. Mark Twain pernah berbidalan, "humour is tragedy plus time". Ingat kata Aristotle, komedi menganggap bahawa manusia "worse than they are" yang mana manusia yang lawak tidak semestinya jahat, mereka hanya bebal dan mudah diperlekeh. Tragedi pula mewakili manusia yang "better than they are". Memanglah P. Ramlee tidaklah terjumpa kenyataan Aristotle ini, tetapi bentuk janggal ini, menariknya menyumbangkan suatu bentuk melodrama Melayu yang jarang-jarang sekali dapat dibuat "menjadi" oleh pengarah Melayu selepas P. Ramlee, baik A. R. Badul (Keluarga 99, Oh Fatimah), Razak Mohaideen (Hingga Hujung Nyawa) mahupun Yusof Haslam (Gerak Khas). 

Menarik jika dilihat dalam gerakan cerita yang sungguh cepat secepat pusingan kereta api mainan di atas bulatan relnya, terdapat dua ruang yang jelas diselami oleh watak P. Ramlee yang ikonik itu, Kassim Selamat, ruang komedi (Husin, Sabariah, Salbiah) dengan ruang drama-tragedi (Nyonya Mansor, Sabariah, Dr. Ismadi, Mami, Combi, Mamak Mahyudin). Memang kalau diperkira, Kassim Selamat tidak berdiri seorang, kerana pasangannya, Sabariah, turut bermain dengan kedua-dua ruang itu. Namun, pemecahan menurut Sabariah lebih jelas dalam perubahan plot, yakni dari komedi kepada drama, lebih-lebih lagi dengan keadaan Nyonya Mansor memasuki bingkai "komedi" kemudian "romantik" Kassim-Sabariah. Selepas detik komedi, keadaan Sabariah terus dilanda drama, kemudian menurut tangga capaian tragedi pada puncak cerita. 

Gerak alur cerita Kassim berbeza di sini, walaupun kita boleh merujuk runut bunyi filem yang mendayu dan bolero sebagai merentas alam penuh tangis dan tragedi (runut bunyi romantis dalam babak-babak ini merupakan antara skor muzik terbaik yang telah dihasilkan oleh P. Ramlee). Aku bercakap di sini, kerana walau dalam tangis, terdapat henjatan sinis dan apa yang aku panggil "mengejek". Ajami sendiri berkata bahawa watak Nyonya Mansor tidak jahat, dan kedudukan dan pilihannya berjustifikasi. Kerja separuh lagi filem adalah untuk mengejek komplot-rancangan Nyonya Mansor terhadap Kassim. Ini ditambah dengan dialog mahal Kassim pada babak perkuburan: "Mengapa kau diciptakan Allah menjadi manusia? 'Kan lebih baik kau menjadi haiwan?" Kita tidak boleh lari daripada tidak menyedari bahawa kenyataan Kassim ini sah-sah, me"ridiculed" Nyonya Mansor dan seangkatannya, ala Melayu. Bolehkah kita katakan juga, watak Nyonya Mansor itu, walaupun dicerap daripada realiti, turut dipersembahkan secara camp? Malah, kelampauan gaya, cara kata dan liuk gerak tubuhnya terus dibuat-buat dan diikuti sehingga era Mak Cun sekarang. Hal ini menarik lagi, pada babak akhir filem, Nyonya Mansor pabila melihat buta dan gore Kassim Selamat keluar dari bilik tidurnya, Nyonya Mandor ternganga, jelepuk, dan mati (well, macam strok) di atas riba menantu baharunya. Kita tidak boleh lepas daripada menyedari, semua ini merupakan suatu "komedi" yang menyambung komedi awal filem ini, lebih-lebih lagi dalam kenyataan klise antara dua darjat ini bertemu. Jika Pedro Almodovar menonton ini, tentu beliau begitu teruja dan meloncat ketawa. John Waters tentu menepuk sokong, dan Douglas Sirk serta Robert Aldrich terpelecot dari bangkunya.

Bercakap tentang Aldrich, menariknya, filem Whatever Happened to Baby Jane? juga lahir pada tahun 1962, diletakkan sebagai sebuah filem genre seram, dengan hentakan melodrama (dan komedi) yang padu. Adakah ini memaparkan P. Ramlee jauh melintasi eranya pada tahun beliau menghasilkan filem ini? Aku berani menyatakan hal ini, kerana, walaupun kita terganggu dengan plot tukaran Dr. Ismadi yang sanggup mencelikkan mata Kassim dengan menonjolkan pula Sabariah dan anak kandung Kassim kepada Kassim yang celik (babak ini sah-sah macam sebuah filem Almodovar!), malah dengan berkali-kali menyatakan Kassim perlu "rawatan" di rumah Dr. Ismadi sendiri sambil Sabariah menghidang air (talk about deep irony!) walaupun Kassim sudah mengetahui kebenarannya, ini semacam menampilkan kesadisan Dr. Ismadi! Hal seram ini menarik lagi apabila pada tahun 1960, terdapat filem Perancis, Les Yeux sans Visage, yang memaparkan babak pembedahan wajah yang amat menakutkan. Babak pembedahan mata Kassim dalam Ibu Mertua-ku sangat-sangat menakutkan. Dan lebih gerun lagi, atas keadilan puitis (talk about poets and their justice!), Kassim membutakan kembali mata anugerah suami baharu Sabariah itu, just to point out a statement.

Jadi: melodrama-komedi-seram-tragedi, apalagi yang kau mahu!



Namun begitu, lebih menarik lagi ialah keadaan susuk Kassim Selamat yang kelihatan benar seperti legenda yang dipuja-puja, kedua-duanya oleh Sabariah (bolehkah kita katakan Sabariah mewakili golongan Melayu atasan ruang urban, walaupun "peranakan"?) dan kemudian oleh Combi (bolehkah kita katakan Combi mewakili golongan Melayu atasan di luar ruang urban?). Apa yang membuat aku tertarik ialah susuk Kassim Selamat ini, seorang penyair romantis, ya, seniman, yang duduk berpegang pada prinsip dan budinya (lihat, kefahaman budi yang sangat kuat dalam diri Kassim, mungkin melampaui fizikal lemahnya, membuatnya menangis jadi buta, dan kemudian memulangkan mata celik itu kepada Dr. Ismadi kerana tidak mahu berhutang budi). Walaupun masa Kassim hendak dihalau dari bawah kolong rumah sewanya, lihat betapa lembut sopan santunnya (sopan santun yang terjelma dalam filem ini sudah tiada dalam diri budi orang Melayu sekarang, lihat Twitter saja dah cukup) menyampaikan maksud dan meninggalkan "nyawa"nya sebagai galang ganti hutang budinya terhadap Abang Ali, tuan rumahnya. Budi dan santun ini juga yang ditemui oleh Mami dan Combi, membuat mereka terpesona, apatah lagi kata-kata lembut dan penuh ajaran (hal ini jadi lebih menarik dengan apa yang Kassim lakukan selepas itu) Kassim Selamat.  

Bagi aku, keadaan cerita, plot dan tindakan Kassim Selamat ini ada agendanya oleh P. Ramlee. Kassim Selamat ialah susuk dan bentuk seni, seni yang dipegang oleh seniman yang sejati. Kita boleh kata ini seni ala P. Ramlee, Melayu sentrik, romantisme melampau, idealis, terikat prinsip/adat (Kassim tidak akan ke kelab malam selagi isterinya tidak membenarkan), tapi seni ini begitu benar dan indah pada jati dirinya, walaupun terlalu sensitif dan sampai melanggar fitrah dan tauhidnya. Susuk seni ini pula ditonjolkan, dinaungi dalam dua bentuk, satu, dalam bentuk kapitalis ala menyampaikan kepakaran/bakat seni pada ruang (dewan pertunjukan, studio, corong radio, filem), yang hidup mekar, jelas, dalam ruang bandar. Kedua, seni ini dinaungi secara tradisi oleh seorang penaung (Mamak Mahyudin lakonan Ahmad Nisfu) yang membawa Kassim Selamat berjejak ke seluruh Tanah Melayu, seperti bentuk kumpulan bangsawan yang dinaung seorang kaya untuk menjelajah membuat pertunjukan serata Tanah Melayu. Kassim dalam Arab bermaksud "yang membahagi" atau "yang memberi". Selamat ialah "aman" dan "sejahtera", juga asosiasi pada "Islam". Lantas, "yang memberi sejahtera" ialah sosok seni kepada orang awam untuk orang awam menjadi "tenang" dan senang dengan pemberian karya seninya. Inilah yang dibuat oleh Kassim terhadap Sabariah dan Combi. Saksofon ini terpilih, unik, kerana menjadi alat muzik ("nyawa" kata Kassim Selamat) moden/Barat yang menampilkan kemodenan zaman dan bagaimana ia berjaya diasimilasi dalam adat budaya Melayu. Hal ini kerana tiupan penuh emosi Kassim boleh sahaja jaz, boleh sahaja blues, sebenar-benarnya menampilkan liuk irama getar dan meruntum yang sangat Melayu (ia seperti orang mengaji atau berzanji, kita sedar atau tidak?).

Dengan tebaran ini, P. Ramlee seakan-akan hendak menyatakan bagaimana kelestarian seni Melayu ini, sebenarnya, asli dan sejatinya, harus kembali pada naungan orang-orang yang mengenalinya (dalam filem ini, orang kaya di desa). Yang, secara tradisinya bermula daripada golongan cerdik pandai dahulu, orang-orang kaya yang dari asalnya datang daripada golongan istana dan raja-raja, yang telah menurunkan titah perintah, menyalin manuskrip, mengarang hikayat, membina tari inang, mengukir pintu masjid. Ia tidak mampu dipegang oleh massa kapitalis urban yang modenis kebaratan, yang mungkin akan memegang, tapi hanya akan memegangnya untuk bentuk fizikalnya (sepertimana Sabariah yang terpesona dengan bakat dan susuk Kassim), bukan jiwa dan rohnya.

Mungkin pandangan ini tampak prejudis dan serong. Namun ada makna yang mendalam. Seni: muzik, filem, sastera - seharusnya dinaungi oleh orang yang memahami asal dan jiwanya (mengambil kata-kata Seniman Negara Syed Ahamd Jamal, "rupa dan jiwa"). Seni, jika dibiar terlambak pada pasaran, pada ruang kapitalis seorang Sabariah beribu Nyonya Mansor, ia akan hilang, lenyap, dilupai. Sepertinya bentuk kapitalisme yang merayakan "apa yang hot waktu sekarang", ia hanya menurut trend semasa dan akan hilang tiba masanya. Seni Melayu, hendak melestarinya, kerana, seperti ditunjukkan dalam diri Kassim Selamat, amat rapuh jiwanya namun benar pada duduk letak dan simpuhnya, perlu dituntun oleh orang yang budiman dan berbudaya. Ia mungkin akan dilupai dan dibuang oleh massa yang sentiasa relatif cita rasa, tetapi tentu akan dijaga dan dipupuk baik oleh penaung yang mengenal hati nurani dan masa depannya. Lantas, seni tidak hanya bersandar pada pasaran bebas yang menghargainya untuk sementara waktu; seni perlukan penaung berbudaya yang dapat menjaganya sampai bila-bila.

Mengambil semangat Combi di akhir filem: "Abang Kassim datang kepada Combi buta, dan Combi bahagia. Abang Kassim datang kembali kepada Combi dengan buta, dan Combi tetap bahagia." Kerana Combi telah menemui hal yang jauh bernilai daripada permukaan fizikal dan pertunjukan bakat Kassim: rupa dan jiwanya. 

ps: Antara kesemua seniwati era Jalam Ampas, aku amat menggemari Sarimah dan Zaiton. Syukur, kedua-duanya berganding dalam filem ini. Namun lebih menariknya, bagi aku, dalam lunak bentuk suara (walaupun telo utara anak tanjungnya tidak menjadi) Zaiton menampilkan, beliau seorang pelakon yang jelas mempunyai kelas gaya yang tersendiri, dan cukup menampilkan emosi dan impresi yang lunak dan cemerlang, sebaik bintang-bintang Hollywood gitu!

Dengar,
Oh, jeritan batinku!
Memekik-mekik
Memanggil-manggil
Namamu selalu
Sehari kurasa sebulan
Hatiku tiada tertahan
Kupandang kiri
Kupandang kanan
Dikau tiada ...

Risau,
Batinku menangis risau
Makin kau jauh
Makin hatiku bertambah kacau
Mengapa kita berpisah
Tak sanggup menahan asmara
Oh, dengarlah!
Jeritan batinku.

.

05 May 2017

Arkib Filem Negara Menurut Acuan La Cinémathèque Française di Perancis: Sebuah Warkah yang Tidak Diendahkan oleh FINAS




Warkah ini, yang dipos oleh Daniyal Kadir kepada kalangan kawannya di dalam Facebook merupakan sebuah luahan pedih dan kecewa dengan badan berkuasa kita yang sepatutnya membuat sesuatu dengan pelestarian budaya filem kita. Aku sengaja ambil dan poskan di sini sebagai suatu suara ingatkan kepada badan tersebut agar merangka dan berbuat sesuatu terhadap keadaan dan apresiasi filem tempatan kita yang tampaknya semakin sunyi dan terkelompok pada peminat dan pencinta filem yang tertentu sahaja.

Inilah luahan yang sepatutnya diambil tindakan untuk masa depan perfileman dan budaya filem kita:


Disebabkan hari ini aku kecewa dengan FINAS kerana tidak serius dalam hal menguruskan bahan-bahan bacaan berkaitan perfileman, maka hari ini aku dedahkan satu kertas cadangan yang aku pernah emelkan kepada Dato' Kamil Othman, mantan Ketua Pengarah FINAS.
Pada awalnya Dato' Kamil bersetuju untuk bertemu dengan aku bagi membincangkan lebih lanjut tentang cadangan ini, namun disebabkan oleh pelbagai kekangan pertemuan berkenaan tidak berlangsung. Jadi aku mengambil kesempatan untuk berkongsi dengan kalian isi kandungan kertas berkenaan.
Di Malaysia kita lebih senang membina kompleks membeli-belah daripada membina bangunan-bangunan yang memberikan nilai ilmu dan mendatangkan kecerdikan kepada rakyat. Putrajaya, ibu kota pentadbiran yang cukup gah namun kontang dengan pengisian ilmu. Muzium yang benar-benar muzium langsung tidak ada, kedai buku hanya ada satu atau dua buah sahaja dan toko menjual material filem langsung tidak ada. Ini adalah masalah yang cukup besar sebenarnya. Kita selesa melihat filem sebagai medium hiburan semata-mata. Infrastruktur di negara kita juga tidak membantu masyarakat untuk mendekati tempat-tempat ilmiah. Pengangkutan awam lebih banyak berhenti di kompleks membeli-belah berbanding perpustakaan, muzium atau arkib.
Arkib Perfileman di negara kita secara umumnya boleh dilihat hanya mencakupi soal penyimpanan dan pemuliharaan bahan-bahan berkaitan filem sahaja. Kita memiliki beberapa Arkib Perfileman yang bersifat fragmen atau terpecah-pecah serta tidak fokus di dalam satu bidang yang nyata.
Kita memiliki Arkib Negara yang turut menyimpan koleksi filem, Filem Negara, yang fungsinya semakin kurang jelas; Arkib Perfileman Finas yang lebih memberi perhatian kepada aspek penyimpanan; dan pemuliharaan serta Pusat Sumber Finas yang memiliki koleksi tersendiri.
Maklumat berkaitan entiti yang dinyatakan di atas amat sukar untuk ditemui. Kecuali Arkib Negara yang memiliki laman web dan maklumat tentang organisasinya yang agak lengkap dan Pusat Sumber Finas yang memiliki data koleksinya di laman web Finas. Namun maklumat berkaitan Arkib Perfileman Finas dan Filem Negara sukar untuk ditemui dan dibaca secara dalam talian. Ini merupakan kekangan paling besar yang membawa kepada lintasan untuk mewujudkan satu Arkib Perfileman utama dan ulung di Malaysia.
Malaysia merupakan sebuah negara yang sentiasa ingin maju dan dilihat serius untuk membangunkan industri filem. Setiap tahun jumlah filem yang ditayangkan di Malaysia secara relatifnya bertambah dan ini membawa kepada peri pentingnya Malaysia memiliki Arkib Perfilemannya sendiri.
Kita sewajarnya memiliki Arkib Perfileman yang bukan sahaja mementingkan soal penyimpanan dan pemuliharaan, tetapi kita perlu memiliki Arkib Perfileman yang mampu menjadi ruang terbesar perbincangan perihal filem secara ilmiah, pusat tayangan filem, pusat sumber dan pusat kajian, pusat terpenting untuk pameran-pameran berkaitan filem, muzium filem, kedai menjual material filem seperti DVD dan buku rujukan serta beberapa lagi perkara yang boleh diteliti dan ditambah. Secara umumnya Arkib Perfileman yang perlu wujud di Malaysia melangkaui peranan sebagai stor semata-mata, tetapi merupakan pusat sehenti yang membuatkan masyarakat Malaysia celik dan berilmu tentang filem.
Sehingga kini, perbincangan mengenai filem secara ilmiah dan bertanggungjawab hanya berlangsung di kampus-kampus universiti dan masyarakat awam tidak terdedah kepada keupayaan filem memberikan nilai ilmu. Ini menyebabkan masyarakat Malaysia memandang filem sebagai bahan hiburan semata-mata sedangkan dalam filem itu ada nilai seni dan nilai ilmu yang jika digabungkan bakal membentuk pemikiran dan membangunkan idea manusia.



Tugas mendidik masyarakat melalui filem datang daripada kewujudan pusat seperti Arkib Perfileman yang dapat menjalankan fungsi secara nyata dan bermanfaat. Terdapat pelbagai model Arkib Perfileman yang boleh diikuti untuk membentuk acuan yang sama di Malaysia. Namun di sini dicadangkan untuk Malaysia mengikuti model La Cinémathèque Française. Ini merupakan model yang terbaik dari segi sejarah, perkembangan budaya dan penghormatan terhadap filem memandangkan Perancis merupakan negara filem yang dihormati dan sentiasa boleh berbangga dengan produk-produk filem dan karyawan filem yang wujud di negara mereka tersebut.
Bermula dari era Jacques Feyder, Jean Vigo dan Georges Méliès diikuti oleh Jean-Luc Godard dan Francois Truffaut, selepas itu Perancis memiliki Jean-Jacques Beineix dan kemudian Luc Besson serta di era 2000 ke atas muncul Jean-Pierre Jeunet dan Michel Hazanavicius. Selain itu, Perancis juga menganjurkan Festival Filem Cannes yang dianggap sebagai satu daripada anugerah perfileman yang berprestij di dunia.
La Cinémathèque Française merupakan satu daripada Arkib Perfileman terbesar di dunia. Berikut merupakan koleksi berkaitan filem yang tersimpan di sana:
(i) 40,000 koleksi filem moden dan klasik;
(ii) 500,000 koleksi fotograf;
(iii) 21,000 buku;
(iv) 11,300 lukisan;
(v) 15,000 rekod arkib;
(vi) 18,800 kenyataan akhbar;
(vii) 20,000 poster;
(viii) 4,000 peralatan perfileman;
(ix) 2,000 kostum; dan 
(x) Lebih 30,000 bahan-bahan pameran lain.

Koleksi yang terdapat di muzium dan perpustakaan La Cinémathèque Française juga cukup baik dan memberikan manfaat untuk kita memahami sinema dunia dengan lebih baik. Bahan-bahan karyawan seperti Charlie Chaplin dan Fritz Lang turut dipamerkan di sini.


Secara asasnya La Cinémathèque Française melaksanakan perkara-perkara berikut:
(i) Menyimpan, memelihara dan memulihara filem dan koleksi arkib;

(ii) Menganjurkan sesi tayangan filem pembikin-pembikin dari seluruh dunia;

(iii) Menggerakkan program-program penghargaan dalam bentuk pameran dan ruang-ruang apresiasi lain terhadap karya, pembikin filem, ahli teknikal, pelakon dan penerbit;

(iv) Meningkatkan keupayaan pameran objek-objek berkaitan filem di muzium sendiri;

(v) Menganjurkan aktiviti-aktiviti penggalakan budaya filem melalui pendidikan dengan melibatkan kanak-kanak dan remaja; dan

(vi) Menganjurkan program-program yang boleh mengaitkan filem dengan bentuk-bentuk kesenian yang lain.

Perkara yang lebih menarik perhatian ialah, La Cinémathèque Française menerima jutaan pengunjung sejak ia dibuka pada 1936 dan pengunjungnya terdiri daripada pelbagai golongan sama ada ahli akademik, pelajar, pembikin filem, pengkritik filem atau masyarakat umum.
Hampir setiap bulan atau kadangkala setiap dua bulan sekali, La Cinémathèque Française akan menganjurkan pelbagai jenis program apresiasi karya atau pembikin filem yang mencakupi pelbagai tema dan genre. Ada juga bentuk pameran mengenai dunia sinema negara lain dianjurkan di sini, termasuklah dari negara-negara Eropah lain seperti Jerman dan Itali serta negara-negara lain di seluruh dunia termasuk dari Asia seperti filem dari Jepun dan Korea.
Namun, kita tidak melihat Koleksi La Cinémathèque Française dari kacamata arkib dan pengumpulan bahan sejarah perfileman sahaja, tetapi yang lebih menarik ialah bagaimana La Cinémathèque Française menggerakkan pengisiannya khususnya kepada golongan muda.
Pada setiap hujung minggu misalnya, La Cinémathèque Française akan menganjurkan bengkel perfileman dengan mod praktikal kepada golongan muda dalam lingkungan umur 3 hingga 13 tahun. Bengkel ini memberi peluang kepada golongan tersebut untuk meneroka dunia sinema dalam pelbagai bentuk dan kaedah dengan tenaga pengajar yang berpengalaman dan mampu memberikan pengalaman terbaik kepada peserta bengkel. Beberapa program berkaitan turut mendedahkan golongan muda kepada asas perfileman termasuk suntingan, kerja kamera dan kawalan bunyi.
La Cinémathèque Française menyediakan ruang pembelajaran filem yang cukup komprehensif dan ia mendedahkan khalayak umum kepada filem, tanpa perlu mendaftar sebagai pelajar perfileman di universiti. Pendidikan sebegini merupakan asas untuk kita mendidik penonton filem menghargai filem dari sisi seni dan bukan sekadar ruang hiburan semata-mata.


Di Malaysia karya-karya kritikal dan membawa nilai seni pada filem sering mendapat sambutan hambar daripada penonton sinema di negara kita. Perkara tersebut jelas terkait dengan soal pengetahuan atau pemahaman nilai seni filem yang kurang di Malaysia. Akibatnya penonton kita selesa menonton filem-filem yang mengabaikan tanggungjawab seni dalam filem. Sebagai contoh kita lihat filem seperti Bunohan, Kaki Bakar, Jogho, Abang, Matinya Seorang Patriot, Man Laksa dan beberapa lagi contoh lain tidak mendapat sambutan dari segi kutipan tiket, namun mendapat pengiktirafan yang baik dalam soal kritikan filem.
Penyelidikan sejarah filem merupakan ruang yang sering dilupakan di Malaysia dan kita melihat pada hari ini kajian sejarah filem atau pun kajian filem sendiri amat jarang diterbitkan dan buku-buku berkaitan sinema Malaysia agak terhad dan sukar untuk diperoleh. Keadaan ini berlaku disebabkan ruang penyelidikan yang terbatas dan tidak ada pusat penyelidikan filem untuk khalayak umum seperti La Cinémathèque Française di Malaysia.
Program-program apresiasi filem juga tidak begitu rancak di Malaysia. Bukan sekadar apresiasi filem, tetapi apresiasi tema, genre, pembikin filem dan tokoh-tokoh perfileman kurang diberikan perhatian. Perbincangannya jika pun wujud hanya dihadiri oleh kumpulan sasar tertentu sahaja seperti golongan yang terlibat di dalam industri filem atau mereka yang mempelajari filem secara formal. Ruang untuk masyarakat umum melalui program-program apresiasi filem ini agak sempit dan perkara ini sebenarnya perlu diberikan perhatian. Ramai karyawan-karyawan klasik Malaysia selain P.Ramlee yang juga sewajarnya dihargai dan karya-karya mereka dibedah seperti Hussein Haniff, M. Amin dan Mat Sentol.
Selain itu, program-program didikan filem kepada golongan muda perlu diperhalusi dan ditingkatkan. Bayangkan di Perancis kanak-kanak berusia tiga tahun sudah didedahkan dengan asas perfileman dan ini tidak menjadi satu kejutan kepada Perancis untuk sentiasa menghasilkan filem-filem bermutu dengan pembikin-pembikin yang hebat. Malaysia memerlukan program-program didikan berkala sebegini agar semua golongan mampu merasai pengalaman filem dan menginspirasikan diri untuk menjadi pembikin filem yang menyumbang kepada pembangunan karya sinema di Malaysia.
Seni perfileman di Malaysia juga perlu dilihat di dalam kerangka sosial realisme agar masyarakat umum dapat memahami filem sebagai medium penting untuk menyampaikan realiti masyarakat secara khusus melalui tema dan genre filem.
Malaysia juga berdepan kekurangan ruang untuk mendapatkan bahan bacaan perfileman dan material filem seperti DVD. Arkib Perfileman yang dicadangkan tersebut boleh menyediakan sebuah kedai menjual material sebegini dan ia boleh menjana pendapatan sampingan dan memberikan kemudahan kepada pengunjung untuk mendapatkan material-material yang sukar diperoleh.
Finas boleh menggunakan bangunan sedia ada yang dinaik taraf seperti Arkib Perfileman Finas atau membuat pelaburan mendapatkan premis baru. Untuk bahan-bahan simpanan pula, kerjasama boleh diperoleh daripada agensi-agensi terlibat seperti Arkib Negara, Arkib Perfileman Finas, Pusat Sumber Finas, Filem Negara, institusi pengajian tinggi, orang perseorangan dan syarikat-syarikat produksi filem.
Kerjasama boleh dijalin dengan mana-mana organisasi besar yang memiliki kemampuan pelaburan seperti syarikat-syarikat gergasi yang ada di Malaysia untuk mendapatkan dana bagi memberi ruang kepada penubuhan Arkib Perfileman ini. Kerjasama erat boleh dijalinkan dengan La Cinémathèque Française untuk mempelajari soal pengurusan Arkib Perfileman ini agar ia dapat mencapai taraf antarabangsa dan mampu menjadi sumber rujukan utama filem di Asia dan di dunia.
Organisasi Arkib Perfileman ini wajar dianggotai oleh individu yang memiliki daya pengetahuan filem dan kekuatan pentadbiran yang baik dan gabungan kelompok industri filem dan kelompok korporat adalah adunan terbaik untuk menguruskan Arkib ini secara berjaya dan teratur.
Dana Kerajaan dan tajaan daripada badan korporat serta kelompok yang terlibat dengan industri merupakan sumber utama untuk memulakan rancangan ini. Bagi memastikan Arkib Perfileman ini mapan dan berkembang pada masa hadapan sumber pendapatan boleh dijana melalui caj tiket terhadap pameran utama, bayaran yuran terhadap bengkel-bengkel besar yang dijalankan, jualan di premis jualan material dan memperkenalkan kaedah pas bermusim kepada pengunjung untuk mereka mendapat akses menyeluruh melalui yuran tahunan yang minima dan berpatutan.
Ini hanya idea kasar daripada seorang peminat dan pencinta filem yang mahu melihat filem itu sebagai sosok ilmu yang menjanjikan penjanaan akal yang lebih cerdas berbanding budaya konsumerisme entah ke mana yang semakin hari semakin bebal bentuknya.

Susulan itu, terdapat reaksi yang baik ditulis oleh Dr. Jamaluddin Aziz dari UKM berkenaan persoalan ini dan perlulah diperhatikan oleh pembuat dasar dan badan berkuasa filem kita:

I agreee. Some good points there Daniyal Kadir. Just to add, Singapore film archive is even more active at documenting our film industry. Which is a shame. For me, there should be a cultural shift and strong political will to make this happen. Many reasons why films are not well accepted in this country. 

But as academician, let me focus on what i know. 

1. Our education does not nurture the love or appreciation of arts. Hence, we don't have enough vocabulary to talk abt arts...including films. 

2. Film scholarship is not seen as important. Many media schools sell courses that they think students need. Usually students need to be in front of the camera, not behind. They are made to believe that media work is all about the glamour 

3. Lack of fund to research and promote film culture. My observation before Dato' Kamil's time, FINAS was more keen on the celebrity culture and less on the film culture itself. But maybe because our film culture is more about the celebrity than the text itself. 

4. Many film schools are producing students who are good technically; they see film as product but not as a cultural product that not only is important to capture its own time, but also need to be worth preserving. 

One thing that we need to understand is that an archive is a political place where only certain materials ...read as memories... are allowed to be preserved. A good archive should not be about institutional version of the memories, it should also include the diverse versions of memories that constitute Malaysian film. From my research, i found that film producers are reluctant to make copies to be archived nationally because of its cost and their distrust for the archive's ability to keep their films. Film archive is high maintenance. And in Malaysia, we are bad at maintenance.

Susulan daripada beberapa komen, aku tertarik dengan komen orang besar Wayang Budiman dan Pusat Kajian dan Apresiasi Filem, Azharul Azmir Kamarulzaman tentang gerka kerja dan permainan tarik-tolak dalam kerajaan untuk menentukan pelepasan satu-satu projek, yang aku setuju, perlu nampaknya gerak kerja sebegini digerakkan seperti sebuah yayasan, tetapi dengan orang yang betul-betul ikhlas dan sanggup mengambil cabarannya. Kerja ini jauh daripada glamour, tetapi hasilnya sangat lumayan buat masyarakat jika benar-benar ingin melaksanakannya:

Beberapa tahun lalu aku bantu Zarul Albakri menjejak salinan 35mm filem Matinya Seorang Patriot, Kembara Seniman Jalanan dan Mat Gelap terbitannya yang telah diserahkan kepada FINAS bagi tujuan arkib. Malangnya, pegawai bertanggungjawab tidak tahu-menahu mengenai (bahan dokumentasi) itu. Nak semak fail, mungkin dah tak jumpa fail rekod puluhan tahun lalu, atau mungkin fail dah dilupuskan (aku tak tahu prosedur pelupusan dokumen kerajaan). Cuba jejak melalui staf-staf lama FINAS. Dimaklumkan untuk cari di Filem Negara, tetapi tiada. Akhirnya bertemu di Arkib Negara. Tetapi malangnya, di Arkib Negara hanya simpan, dan mereka tiada fasiliti dan kemahiran untuk periksa sama ada salinan itu masih dalam keadaan elok dan boleh diguna pakai ataupun tidak.

Kalau tak silap dahulu, setiap penerbit filem harus serah satu salinan bulk print kepada PFM (Persatuan Penerbit Filem Malaysia) bagi simpanan PFM.

Setahu aku, mantan KP FINAS ada perancangan untuk usaha-usaha (bergerak ke arah pendokumentasian filem dan memperkuatkan fungsi arkib) ini tetapi terkandas di EPU (Economy Planning Unit). Kelemahan agensi kerajaan nak melaksanakan sesuatu segala-galanya yang bersifat kekal sebegini (khususnya melibatkan peruntukan tahunan dan perjawatan), harus dibuat dengan segala prosedur maha panjang. Harus tidak terkeluar daripada skop bidang kuasa dan punca kuasa/akta, harus `bertahun bergaduh` di JPA, harus pandai bertricky, yakinkan menteri bijak pandai bahawa usaha ini ada political millage padanya supaya dia bersemangat cari duit daripada orang atasan, dan segala macam lagi. Satu lagi kelemahan agensi kerajaan ialah nak buat apa-apa, mereka mesti nak buat besar-besaran. Perlu ada berjuta. Belum mula apa-apa, perlu beli mesin jutaan ringgit dan renovasi besar-besaran dulu. Perlu stand by kewangan, sebab jika takde bajet, staf takkan buat kerja. Staf takkan buat kerja percuma. Paling tidak akan ada yang pusing punch card untuk claim OT. Aku rasa dengan mentaliti sedia ada dalam kalangan kaki tangan dan pembuat keputusan, jalannya memang jauh sekali. Mungkin ada modus operandi lain jika kita seruis mahu menjayakannya. 

Sinematek Indonesia digerakkan secara yayasan dan berkecuali, dengan bantuan tahunan daripada kerajaan provinsi Jakarta (bukan kerajaan federal/persekutuan). Mungkin bantuan itu tidak besar mana dan tidak konsisten (mereka kadang-kadang nak beli kertas A4 dan ink printer pun tak cukup duit), tetapi sekurang-kurangnya mereka tidak harus menunggu segala birokrasi dan menunggu puluhan tahun lagi untuk memiliki arkib filem. Mungkin mereka tidak sehebat Singapura mahu pun Perancis (jauh!), namun sekurang-kurangnya mereka ada berbanding daripada kita. Mungkin dengan modus operandi begini, tidaklah perlu kita menunggu 20 tahun lagi untuk segala kelulusan perubahan akta FINAS dan segalanya (itu pun kalau usaha ini diteruskan). Jadi, kalau kautanya bagaimana kita boleh memiliki arkib filem, jawapan aku ialah tak payah tunggu kerajaan, para peminat filem harus bermula dengan apa yang mampu. Lepas tu, minta kerajaan bantu sikit-sikit. Mungkinlah. Aku pun tak tahu betul ke tak.


29 November 2016

Nota Tambahan untuk Hanyut: Suatu Apresiasi


NOTA TAMBAHAN (Baca hanya jika sudah menonton filem ini):

Ada banyak "benda" dalam Hanyut, dan hal ini membuatkan filem ini berlapis-lapis (layered) dan seronok dinikmati sebagai wayang, walaupun memang ada kecanggungan dan kelemahannya sebagai mesin logos dan hiburan tontonan.

Terdapat semacam imejan bergerak atau "imej wayang" yang bergerak dwilapis atau mengikut rentak sebelum-selepas yang menyampaikan maksud. Antara perkara yang aku tangkap daripada menontonnya sekali sahaja (kerana itu filem ini berhajat untuk ditonton sekali lagi):

(1) Babak awal filem Hanyut, Mem campak semua perabot ke luar rumah dan bakar. Babak akhir, Almayer bakar seluruh rumahnya.

(2) Babak Nina kembali ke Sambir, dia macam janggal cium ayahnya, hendak ke dahi tapi ke pipi. Babak akhir, dia mencium dahi ayahnya semahu-mahunya, penuh ikhlas.

(3) Babak awal, imej syot Almayer selalunnya dipaparkan dari kepala ke dada duduk/mengiring/bersandar. Babak akhir, Almayer dipaparkan kaki kemudian kepala terbaring (terkulai).

Semua ini bermaksud, dan inilah sinema, lebih-lebih lagi menurut gagasan formalisme, segala objek/imej berubah-bergerak-hidup; melalui transformasi. Yang melakukannya ialah watak-watak, menurut dan menuntut sebab-akibat yang tertera, mungkin ini imbauan Conrad tetapi pastinya - U-Wei. Hal ini disengajakan (perubahan ini) kerana ingin menonjolkan "peralihan" kuasa/dominasi objek/watak/penanda yang diliputii. Objek/imej berubah atau beralih "dominan"nya dengan jelas pada: lelaki(Almayer)-wanita(Mem/Nina), Barat-Timur, menindas-tertindas, rasional-gila, terkawal-chaos. Dalam hal ini juga, secara tersirat, ternyatalah hal imej "terjajah-merdeka", dan lebih jelas lagi: kolonial-pascakolonial. Paling jelas dalam kritikan U-Wei ini, bahawa dunia Timur, yakni Melayu (Islam) tidak dapat dan tidak akan "mengalah" atau terikut, malah menyatakan pendiriannya dengan jelas: mereka akan kekal begitu (degil) sampai bila-bila, walaupun berubah (Orang Kaya Tinggi memakai ala busana Barat) fizikal tetapi jiwanya tetap Melayu, negatif atau positif, itu tidak berubah. Kita lihat sahaja kembali dalam perkara:

(1) Awal, dengan canggung (sebab wanita Melayu takkan berbuat begitu) Mem campak keluar semua perabot kayunya dari dalam rumah (dalam pertengahan, kita mula sedar bahawa barang ini mungkin bukan daripada Almayer pun tetapi ayah angkatnya yang menjadikan Mem ini "minah salleh", maksudnya Mem sedang menolak "western upbringing"nya. Menarik di sini, barang itu juga jika dilihat selapis merupakan barang "material". Maknanya, Mem boleh sahaja atau sudah berani berhadapan untuk membuang materialisme, lebih-lebih lagi baginya, dalam sisi Timur, perabot begitu tidak ada nilai bagi orang Timur/Melayu jika dibandingkan dengan emas dan berlian, yang kita akan ketahui selanjutnya dalam filem ini). Mem campak semua dan bakar di halaman rumahnya, menandakan "naik amuknya" (hal ini tampak tidak logik bagi seorang wanita Melayu, namun ingat, Mem dijaga untuk menjadi Barat, dan dia bergaduh dengan rohaninya setiap hari. Semua ini meletus pada hari suaminya menarik anaknya daripada tangannya untuk diajar jadi orang Barat). 

Hal ini menambahkan lagi sikap orang kepadanya sebagai "perempuan gila" kerana perilaku itu tidak dibuat oleh perempuan. Ini dendam dan sumpah Mem. Malah, Mem memang menyumpah suaminya. Apabila "dendam"nya terlunas, dan Almayer kecundang, Almayer, seperti sikap lelaki Latin (atau Mat Salleh?), membakar rumah (keseluruhan) yang diimpikan buat anaknya. Rumah di sini jadi petanda lain, bukan saja impian (dan masa depan Nina), tetapi negara dan kuasa. Jadi, Mem "membuang dan membakar" isi di dalam rumah (unsur yang merosakkan jati dirinya, baginya), tetapi Almayer lebih fatal: jati dirinya sendiri. Hal ini semacam satu kritikan kuat U-Wei pada binari perbandingan Melayu(Timur) lwn. Mat Salleh(Barat), yang menyatakan dengan jelas; orang Melayu dapat membuang pengaruh materialisme/falsafah/pemikiran yang dihalakan kepadanya, namun makna dirinya, asas dirinya, rumahnya (agama-budi-bahasa-adat) tidak terusik, sudah ada asasnya, sudah ada sesuatu yang dipegang, malah dipegang secara rasional-spiritual-emosional (bodohlah Mem jika dia membakar rumahnya sendiri). Malah, dengan mengejutkan lagi, Mem dan Nina yang dipaksa-jadi orang putih akhirnya menjadi Melayu(!) Dengan jelas U-Wei bertutur: segala yang asing datang ke bumi Melayu, akhirnya jadi Melayu juga.

Almayer sebagai wakil Barat, ya memang, berjaya membina material (modal/kekayaan/kuasa/pengaruh) yang gah, namun, kerana kecundang, sanggup menghancurkannya, membakar luluh rumahnya hingga arang. Barat lebih fatalistik, dekaden, dan pesimis, ini berkaitan sangat dengan sikap sekularisme dan humanisme Barat (melihat kekuatan kemanusiaan sepenuhnya). Hal inilah yang diselami oleh de Sade dan Comte akan "pengakhiran" manusia, khususnya Barat dan ketetapan moral dalam "membunuh diri". Malah, dengan jelas, bagi U-Wei, percubaan Barat menuju kepada kehancuran dan sia-sia, berlainan dengan Timur yang mengekalkan suatu pegangan. Hal ini diironikan, malah seperti mengejek-ejek Almayer apabila rumah yang dibakar itu tidak jadi terbakar kerana hujan pun turun. Alam-Melayu memasuki ruang rasional dengan misterius sekali. Menarik untuk diteliti dalam filem ini apabila kita kaitkan pula hal ini dengan Gunung Mas, legenda bagi orang Melayu-Sambir (mereka mempercayainya tetapi mereka tidak ke sana) dan impian tinggi (mencari materialisme) Almayer untuk merebutnya. Adakah pencarian Almayer untuk Gunung Mas ini juga suatu simbol "pencarian ilmu" atau lebih tepat, "pencarian kebenaran" mengikut sisi Barat? Adakah U-Wei mentertawakan kecundangan Almayer untuk itu? Hal ini dapatlah dikaitkan dengan hal yang dibincangkan, mengikut sekali lagi, metode dan pegangan Barat-Timur. 

Untuk (2), Aku suka bahagian ini dan dilakukan dengan baik antara Diana-Peter. Pada babak sewaktu Nina mula-mula menemui ayahnya, Nina sengaja diimejkan janggal untuk mencium pipi ayah (tipikal Barat-Belanda?), ini amalan Barat yang diajar cara bermanja dengan ayah/orang tua sewaktu bertemu. Kalau dilihat dengan teliti, awal-awalnya, Nina nyaris-nyaris mahu mencium dahi ayahnya. Mengapa? Pada bahagian akhirnya, dia mencium dahi ayahnya semahu-mahunya. Hal ini janggal dalam gaya Barat. Dalam Melayu-Islam, kita mengucup dahi ayah-ibu-saudara terdekat yang sudah meninggal dan akan berpergian dan tidak kembali lagi. Malah, dahi, tempat kita bersujud ke lantai menjadi tempat ciuman yang layak bagi anak, ini menandakan rasa hormat, tunduk dan sayang kita kepada ibu-bapa-saudara tua. Nina melakukan hal ini pada akhirnya, dengan menyampaikan segala-galanya: dia memaafkan sekali gus memohon maaf ayahnya, dan tahu, menyampaikan; dia tidak akan menemuinya lagi. Hal ini juga, dalam babak kecil ini, kita sedari, Almayer, akhirnya, hancur egonya. Akhirnya, ada satu "amalan" Melayu yang diredakan terhadapnya, malah merangkul semahu-mahunya (walaupun kemudian cepat-cepat memohon anaknya pergi). Di sini, ada sifat kemanusiaan yang menarik dibawa oleh U-Wei dalam pertembungan atau kekacauan binari Barat-Timur; yakni mereka dapat menemui satu "pertalian rohani" dalam memahami antara satu sama lain, walaupun ianya mungkin janggal pada awalnya.

Begitulah. Malah perkara (3) sudah membuktikan, imej wayang (1) dan (2) sudah cukup membuatkan Almayer (Barat) terbaring, kecundang dan terkulai. Pathos bertambah apabila Almayer yang hidup dengan candu (rujuk Once Upon A Time in America tentang apa maksud babak candu ini) menutur dengan perit, "Äku tak boleh lupa (akan dia)." Lupakan siapa? Lupakan apa? Tanah ini. Tanah yang mereka terpaksa lepaskan, cita-cita pencarian (ilmu/penerusan mencari kebenaran), dan jati diri. Amat pesimisnya U-Wei terhadap insan bernama Almayer, disiat-siat dan dihancurkan semangatnya. Namun Conrad juga begitu, seperti jelas penulisannya, malah sangat jelas moralnya: apa yang tidak dikenali usah diusik, dan Barat suka amat mengusiknya dengan metode saintifiknya, lalu begitulah hukuman alam-Timur yang dihadapkan kepadanya, hujan dan puteranya, langsung dia tidak dapat berdiri dan hanya dapat bernostalgik akan hal-hal lepas yang indah di matanya.   

Dalam lapisan lain pula, filem ini, menampakkan sikap wayang/sinema U-Wei pada hal sebelum-semasa-masa depan, khususnya wayang Melayu. Namun, hal itu, perlulah dibincangkan dalam entri yang lain pula :)

23 August 2016

Norman Yusoff: Bila dan Bagaimana Sinema Menjadi Nasional?

Pojok yang baik ini tersiar dalam Mingguan Malaysia, Ahad 21 Ogos 2016 pada Ruangan Seni & Budaya, pojok Salam Sinema, tulisan Dr. Norman Yusoff, ahli fakulti dan pensyarah pengajian filem dari UiTM. Sedarilah kebenaran tulisan ini, bahawa wayang nasional kita atau filem nasional (kebangsaan) kita masih dalam fasa "kerja dalam proses" (work in progress) dan masih mempunyai banyak lagi ruang untuk memantapkan bentuk terdekatnya pada maksud filem nasional, khususnya dalam pengukuhan dasar. Hal ini amat melucukan, bagi sesetengah pembikin yang melatah dan meroyan apabila realiti pembentukan kita secara awal pun sudah dipecah-pecahkan dalam sekolah berjenis yang tertentu, sikap emosional dan praktikal kita terhadap penggunaan bahasa di dalam sekolah, baik dahulu, era PPSMI, dan kini era DLP. Apa yang sebenarnya kita mahu Malaysia? Kerana kita kini dalam persimpangan: adakah kita ingin semahu-mahunya menyatukan hanya satu bahasa sebagai bahasa utuh dalam percakapan dan proses rasmi dan sosial, sepertinya Indonesia, atau kita boleh berlapang dada seperti India yang punya rencam pelbagai bahasa yang dikira juga sebagai wayang berwajahnya, atau terperangkap lagi seperti Iran yang muhibah dalam etnik dan bahasa tetapi tetap mengerah, walaupun kalah, mengangkat satu sahaja bahasa.

Tepuk dada, tanya jiwa.


02 September 2015

Benda Ni Dah Tak Lawak Dah

Penulisan ini mengambil gaya chedet.

1.   Semalam aku dan seorang kawan pergi menonton filem Bukit Kepong (1981) di GSC Mid Valley (tayangan hanya ada 7.50 mlm). Harga tiket RM14.50, harga selepas enam petang. Di GSC Pavilion, harganya RM16.00. Dalam pawagam, hanya ada 7-8 orang yang menonton. Aku ingin bercerita tentang filem ni, tapi aku rasa, hal ini lebih meruncingkan untuk dibincangkan.
2.     Secara demografi, penonton yang menonton Bukit Kepong malam semalam di GSC Mid Valley kelihatan dalam lingkungan 30-an dan 60-an. Anak membawa si ibu ke pawagam, menghidupkan kembali nostalgia mungkin. Dengan sah, mereka kelihatan golongan kelas pertengahan, sudah bekerja, mungkin pesara, bukan kumpulan penonton filem Melayu biasa, yakni satu sanak keluarga, anak muda universiti, atau mat-mat motor.
3.     Minggu lepas pula, aku menonton Jejak Warriors di MBO KL City Festival, Sabtu, dalam 3.00 petang. Harga tiket RM12.50++ Kali ini, penonton "biasa", yakni satu keluarga, tapi dalam pawagam hanya dalam 12 orang, bakinya anak muda.
4.     Tayangan filem Cicakman 3 juga tidak begitu memberangsangkan. Aku tonton di Mid Valley, dengan kebanyakan penontonnya anak muda. Mungkin sebab aku menonton waktu siang.
5.     Melihat hal ini, ada sesuatu yang sedang tidak kena dengan sambutan penonton Malaysia, khususnya Melayu terhadap filem kita.
6.     Selalunya, pada waktu malam, anak muda, keluarga (ya, ada jenis keluarga yang suka menonton filem tengah malam, jangan terkejut!), dan mat motor akan datang mengisi pawagam.
7.     Keadaan suram dan meletup tiba-tiba biasa dalam tahun-tahun sebelum. Filem yang kononnya art house cinema atau sok serius, selalunya, kurang sambutan. Filem komersial, betapa bijak atau bodoh, akan ditonton, sekurang-kurangnya pada malam pertama yang dipanggil tayangan perdana, selalunya jatuh pada malam Jumaat hari Khamis, atau malam Khamis hari Rabu. Golongan ini yang akan menyampaikan betapa baik-buruknya sesebuah filem tersebut. Filem yang bernilai komersial dan tampak sofistikated tapi menghiburkan, macam Villa Nabila, akan diraikan seterusnya (because it's fun).  Filem yang nampak berat mungkin ditinggalkan (macam Laga). Aku sengaja ambil contoh dua filem berikut sebagai contoh filem-filem praGST.
8.     Selepas GST, dan pada waktu itu, berlaku kenaikan harga minyak beberapa kali, masyarakat sudah mula memikirkan hal-hal yang lebih penting, seperti harga makanan dan barang di kedai runcit. Pernah seorang budiman berkata kepada aku, jika harga makanan dekat-dekat dengan harga tiket wayang, mereka pilih makanan. Jika harga rokok dekat-dekat dengan harga tiket wayang, mereka pilih rokok. Makanan dan rokok (kini vape) lebih penting daripada wayang, sekarang.
9.     Untuk menguatkan hujah ini, antara perniagaan yang mengalami kecundang paling teruk selepas GST ialah kedai jual DVD dan CD muzik. DVD dan CD muzik rata-rata lebih mahal daripada tiket wayang, walaupun terdapat jualan khas sekarang. Di KLCC, kedua-dua kedai DVD (yang aku senang dan sayang sangat) sudah ditutup. Ketuklah mana-mana kedai DVD, mereka akan kata, perniagaan sedikit lembap. Tauke DVD cetak rompak pun menyedari hal ini (berdekatan dengan rumah aku hanya sekali-sekala buka kerana tidak ada pelanggan).
10. Penonton muda-mudi dah tak kuasa nak menonton filem Malaysia, yang mereka kata, “Rata-rata yang itu aje.” Mereka masih boleh menonton dulu, waktu harga tiket di Mid Valley mungkin hanya RM12. Jika naik daripada itu, mereka mula naik bingit (rujuk harga makanan dan rokok sekarang). Kebanyakan yang menonton waktu malam, lebih-lebih lagi pada tayangan perdana. Apabila mereka pergi nak beli tiket dan dapati harganya RM16 atau RM18, mereka mungkin tukar kepada filem Hollywood (sebab kualiti kena dengan harga) dan mungkin tak menonton terus. Rata-rata, mereka tidak tahu bahawa pada waktu siang, sebelum 6.00 petang, harga tiket wayang lebih murah dan berpatutan, tetapi mereka peduli apa dengan itu.
11. Kita dalam fasa pasang-surut yang genting sekarang, fasa adaptasi, fasa penonton cuba menilai semula nilai harga tiket wayang dengan nilai kepuasan-hiburan, menilai dengan hal-hal keperluan asasi. Malaysia pernah melalui hal ini sewaktu sinepleks (pawagam kecik-kecik, contohnya di Pasar Seni) baru hendak muncul, yang kononnya waktu itu “memberikan mutu suara dan tayangan wayang yang lebih padu.” Jadi, hanya tayangan filem “boleh jual” yang ditayangkan di sana (masih ingat lagi betapa panjangnya beratur hendak menonton Batman Returns atau Jurassic Park) kerana jika tidak, pemilik pawagam tidak dapat memusing modalnya. Filem Melayu waktu itu muncul perdana di Odean dan Collisuem. Kehadiran TGV di One Utama menggegar masyarakat pada masa itu. Tapi waktu itu, harga tiket dalam RM6 hingga RM8, malah di Rex KL, RM5. Saban tahun, harga tiket naik, dan kebiasaannya, orang sudah terbiasa dengan harga piawai, RM12.
12. Harga piawai sekarang tidak menentu, mengikut pawagam. Penonton kadangkala salah tanggap apabila menonton di KLCC (antara harga tiket termahal di kota raya) dan menganggap semua harga tiket pawagam lain sama. Mungkin hal ini akan mengambil masa, contohnya, penonton mungkin akan mula menyedari harga tiket di Berjaya Time Square lebih murah daripada KLCC.
13. Ada potensi besar untuk pawagam di bandar luar Kuala Lumpur, seperti Johor Baru, Ipoh, Kuantan, dan Pulau Pinang. Tetapi jika ikut demografi, pawagam tersebut juga menganaktirikan filem Malaysia, dan hal ini sudah biasa kita dengar kalangan masyarakat Melayu Pulau Pinang yang terpaksa ke Seberang Perai dan sekitar Kedah untuk menonton filem Melayu. Filem “susah hendak laku” tidak akan dibawa ke bandar seperti Ipoh, Seremban, Melaka atau Kuantan. Kini, kebanyakan filem Melayu jatuh pada paras itu. Beberapa filem arus perdana tahun ini menunjukkan, kesemuanya jatuh pada paras RM1 juta pasca-GST. Filem yang mendapat sambutan (yang singkat) setakat ini hanyalah filem adaptasi novel popular, itu pun kerana pengikut novel setianya. Namun keadaannya sekarang dipersoalkan, memandangkan kehebatan Ombak Rindu pra-GST dengan Manisnya Cinta di Cappadocia dan Suamiku Mr. Perfect 10! Pasca-GST. Hal ini tidak pula berlaku terhadap filem sekuel Ahadiat Akashah. Mengikut perhitungan pasaran, sambutan terhadap filem-filem ini pun akan jatuh jika pembikinan hanya berlegar dalam genre, plot dan cerita sama, dan tidak ada perubahan atau inovasi.
14. Kebanyakan filem dengan judul-judul pelik, seperti Jidin Sengal, Sunti@Facebook, CCTV, Coverina, Selfie Suara Kubur, Gangsterock, sudah tidak berjaya menarik anak muda atau mat-mat motor menontonnya. Filem yang cuba menyalin judul-judul yang pernah digunakan, seperti Suamiku Jatuh dari Langit, apatah lagi.
15. Keadaan sebenarnya sekarang. Orang sudah tidak peduli. Hal ini jelas, dengan kehadiran Bukit Kepong, sebuah filem pecah panggung pada zamannya, pemenang filem terbaik Festival Filem Malaysia, yang sudah dimaklumkan akan kehadirannya berbulan dan berminggu sebelum itu di mana-mana, dengan sejarah pemuliharaannya (hanya pencinta filem yang tahu kepentingan ini, titik), hanya dapat menangkap segelintir penonton untuk ambil peduli akannya (bandingkan ini dengan tayangan khas Puteri Gunung Ledang yang juga terhad tahun ini). Memang, macam orang kata, orang Malaysia ini perlukan, ugh, kerja pemasaran turun padang, pujuk-memujuk, seperti kumpulan Tiara lakukan untuk filemnya, untuk orang datang dan menyokongnya. Filem sepatutnya speak for itself, terpapar di mana-mana sahaja, orang yang tahu tentang filem itu, akan datang, akan menonton.
16. Sebenarnya, pawagam perlu mengambil inisiatif untuk mengurangkan harga tiket, khususnya pada filem Malaysia (bukan berbahasa Melayu sahaja). Harganya tidak patut setaraf atau sama dengan filem lain yang sama ditayangkan, agar penonton tempatan dapat membuat “helah” untuk memilih filem tempatan (yang bagi mereka pun, usah tipu, dilihat kurang bermutu jika dibandingkan dengan filem luar). Mulakan begitu dahulu, yang lama-kelamaan, apabila filem Malaysia diterima semula, termasuk yang sampah dan buruknya, sebagai setaraf dengan harga tiket piawai yang ditentukan.
17. Aku dahulu antara orang yang paling kuat berkempen menjatuhkan filem Razak Mohaideen dalam Facebook. Malah aku antara yang paling aktif dalam kumpulan We Hate Razak Mohaideen Movies (or something like that). Aku menghentak kualitinya, ceritanya, kerja main pasangnya, dan pelbagai lagi. Alhamdulillah, orang sudah mula (chewah) terpengaruh, dan beberapa filem Razak mutakhir ini jatuh merudum di pasaran. Namun berlaku suatu paradoks, terdapat segelintir penerbit-penulis-pengarah yang mengikut sama formulanya, tanpa serik (dan merudum di pawagam, sekali-sekala sahaja meletup), terdapat pula segelintir pembikin yang ingin melakukan suatu yang berbeza, tetapi terpalit sama. Kerana ramai penonton filem Malaysia dahulu, dan aku tidak ambil jauh, era kebangkitan filem Yasmin Ahmad sahaja, sudah tidak peduli, sudah tidak peduli dengan apa-apa yang hendak dihidangkan kepada mereka lagi.