01 June 2026

Polong (2026): Imbauan Tragedi dan Mimpi Ngeri Malaysia


Semua filem seram (sepertimana fungsi sastera seram) mempunyai dua tujuan. Satu, secara psikologi, sebagai menawarkan suatu pengalaman tontonan yang menimbulkan rasa takut (seram) terhadap suatu imbauan seram tertentu, yang secara prasedar menimbulkan refleksi terhadap "realiti era" atau peristiwa pada era tersebut. Contoh jelas ialah filem Night of the Living Dead (1968) sebagai suatu pengalaman seram akan krisis perkauman dan kegelisahan kelas sosial yang berlangsung di Amerika Syarikat pada masa itu (1960-an). Selalunya, filem seram gaya ini mempunyai tujuan si pembikin filem mengkritik keadaan politik, sosial dan ekonomi negara tersebut.

Kedua, sebagai cerita teladan atau cautionary tale (kisah amaran) terhadap suatu nilai, kondisi atau amalan yang buruk dalam sesebuah masyarakat/negara, yang dikritik oleh si pembikin filem. Contoh mudah boleh dilihat dalam filem The Shinning (1980) sebagai suatu "tanda amaran" terhadap orang mabuk atau penagih alkohol.

Memanglah, kedua-dua contoh itu menyentuh sedikit sebanyak lapisan yang ditimbulkan oleh dua filem seram baik itu. Namun, itulah yang disedari timbul dalam filem Polong, karya terbaharu Zulkarnain Azhar dengan tulisan lakon layarnya sendiri. 

Polong meniti kedua-dua fungsi filem seram itu tadi apabila membawa kita kembali pada era sekitar tahun 1993 - 2001, era kritikal apabila Wawasan 2020 Tun Dr. Mahathir baru diperkenalkan (1991), dan setelah tahun 2001, selain melalui krisis kejatuhan ekonomi paling teruk Asia (juga era 11 September) dan krisis politik besar atau Era Reformasi Anwar Ibrahim, Tun Dr. Mahathir mohon meletakkan jawatan pada tahun 2002. 

Malaysia sedang melalui libang-libu atau kaos (chaos). Dari sisi politik, naratif demi naratif mahu disuapkan kepada rakyat sebagai "cerita sebenar". Rakyat berpecah sokongan dan kepercayaan. Gerakan ke arah Wawasan 2020 nampaknya retak. Hal ini juga meretakkan lagi usaha rakyat Malaysia untuk merasai kekayaan material yang saksama. Impian Malaysia (Malaysian Dream, sama seperti American Dream) terasa tidak akan dicapai. Jalan kita penuh dengan tragedi dan ketidaktentuan.

Masuk "kes jenayah paling panas dalam sejarah Malaysia" Mona Fandey apabila sisi tahyul/perbomohan berselisih dengan pembunuhan, sensasi selebriti, juga ketidaktentuan naratif (banyak kisah mitos, khabar angin dan dongeng muncul dalam persona yang tertuduh). Naratif cukup mendebarkan ini menjadi refleksi pergeseran terhadap naratif kes mahkamah Anwar Ibrahim yang berlaku beberapa tahun selepas itu. Pergeseran ini sebenarnya pernah dibuat dalam Dukun (2018). Namun dalam Dukun, ia bergerak dengan bentuk filem jenayah dan misteri tahyul (supernatural thriller), Polong benar-benar bergerak atas mesin filem seram.

Zulkarnain memperkenalkan filem ini dalam empat pecahan POV cerita, Fatima (Mimi Lana), Mamat (Fad Anuar), Maria Hadi (June Lojong), dan Marissa (Nadiya Nisaa). Menariknya, keempat-empat cerita ini dipersoal oleh kita. Hal ini kerana apabila cerita-cerita ini dibandingkan, ada padangan yang nampak bias (selalunya, padangan utama si pencerita memohon simpati paling tinggi daripada penonton) terhadap watak-watak yang diceritakan, dan hanya mempertahankan ego/sudut pandang si pencerita. Inilah unreliable narrative, atau naratif yang dipersoalkan kebenarannya. Naratif ini, sampai hari ini mengimbau kes Anwar Ibrahim dan kesahihan Mahathir menjatuhkan Timbalan Perdana Menterinya pada waktu itu (sampai kita dihidangkan dengan naratif filem Anwar buatan rakan-rakannya beberapa tahun lepas). 

Satu lagi elemen penting yang muncul ialah Mamat yang berkait dengan Skim Cepat Kata yang banyak berlaku pada era itu (paling terkenal jika aku ingat sebagai seorang Gen-X ialah kes Skim Cepat Kaya Pak Man Telo). Skim ini sebenarnya mengimbau satu persoalan gelap yang selalu dibincangkan dalam dunia kita, korupsi dan rasuah.

Ketidaktentuan ini, setelah kita melalui keempat-empat cerita itu, yang kadangkala berselisih, dan memberikan "pandangan"nya yang tertentu, menampilkan suatu tragedi yang jelas, yakni suatu perasaan hilang arah. Terdapat sorotan hilang harta (material - jelas khusus dalam cerita Mamat), hilang peranan untuk menampilkan hakikat kebenaran (sisi usaha Fatima yang hancur sebagai wartawan yang mencari kebenaran), hilang maksud keluarga atau keruntuhan kekeluargaan (keluarga Maria Hadi, pasangan Fatima-Mamat, keluarga Asya yang ditempel oleh samseng-pengedar dadah Budi), dan hilang makna diri (kesemua watak).

Inilah filem seram yang berani menelanjangkan jiwa gelap orang Malaysia seluas-luasnya.

Hal ini sebenarnya jauh lebih menarik dikupas daripada efek seram yang ditampilkan oleh Zulkarnain dengan kolaborasi sinematografi efektif Saifuddin Musa, suntingan Johan Arif Mazlan, suntingan efek bunyi, dan latar lagu Reinchez Ng. 

Bukan, aku tidak menafikan efektif Zulkarnain dalam mengeksploitasi rasa takut kita dengan susunan gerak imej-suaranya (malah, beliau aku akui, kini, selain Pierre Andre, Shadan Hashim, Allahyarham Labu, dan Shamsul Yusof, Zulkarnain mendapat perhatian aku sebagai pengarah filem seram lokal kita yang penting), tetapi dari segi kekuatan cerita, mainan bahasa filem dan penggunaan subteks dalam filem seram, Zulkarnain bagi aku merupakan pengarah yang paling ke hadapan dan amat-amat ahli dalam subjeknya.

Hal ini ditambah pula dengan solekan dan binaan hantu yang bagi aku, paling efektif dalam sejarah filem seram kita oleh Ella Sandera. Ya, aku akui. Selalunya, filem seram Melayu ni, aku tonton tanpa tutup mata. Kali ini, banyak kali aku tutup mata dan telinga. Benda macam ni hanya filem seram luar yang bagi pada aku. Tapi tahniah Zulkarnain, efek yang kau bagi bukan sahaja dalam acah peranjat (jumpscare) tetapi juga dalam mainan ruang, atmosfera (kita boleh lihat perubahan warna dan ketelitian era 1990-an dengan 2000-an, yang turut merujuk filem-filem pada era itu!) dan paling penting dan kurang ada dalam filem seram kita: the sense of dread.



Polong dalam filem ini bukan sahaja sebagai mesin seram untuk menakutkan kita (seperti imej Sadako dalam Ringu), tetapi merupakan simbol katarsis takut kita terhadap tragedi kesilapan pilihan, impian yang hancur (lalu menjadi realiti-mimpi ngeri yang berterusan) dan kehilangan arah kita sebagai manusia. Semua watak dalam filem ini tidak terkecuali, memberikan cerita seram yang sangat fatalistik dan tidak mempunyai jalan keluar lagi. Hal inilah yang berani ditampilkan oleh Zulkarnain, mengikatkan mesin takut hantu polong sebagai bayangan kondisi gelap kita sebagai manusia Malaysia yang korup hatinya, yang terperangkap dalam perbuatan salah atas nama material (untuk kekayaan, untuk menjadi terkenal, untuk disanjungi), sehingga fakta betul dan salahnya pun sudah hilang makna sebenarnya, inilah tragedi sebenar yang hendak disampaikan oleh Zulkarnain, agar kita, bangun daripada mimpi ngeri ini, dan menemui hati nurani (conscience) yang betul terhadap ketidaktentuan ini.

Seperti biasa, himpunan para pelakon filem ini baik, lebih-lebih lagi Nadiya Nissa (yang hanya memakai hijab!) dan June Lojong sebagai "teraju utama" filem ini. Impian aku untuk melihat June dengan Nadiya sebagai peran ibu-anak kerana keserasian wajah mereka akhirnya tercapai dengan filem ini. Mimi Lana sebagai Fatima jika kalian sedar ialah Janet Leigh-Psycho dalam filem ini, satu watak yang kita ikuti dan berharap untuk menemui sesuatu, (spoiler!) tetapi akhirnya menjadi mangsa utama (Zulkarnain jelas mengkritiknya kerana mencari harta yang tidak sepatutnya), perangkap yang sengaja dilakonkan oleh Maria Hadi! Fad Annuar juga tampil cukup menarik sebagai watak arketaip Jack Torrence yang terperangkap dalam takdir yang terpasung terhadapnya. 

Aku suka bagaimana Zulkarnain mengambil subjek filem ini dengan cukup berjaga dan serius, mengurangkan gaya Hindustan dan suntingan laju tipikal filem Syamsul Yusof, yang dibikin untuk penonton kita yang pondan dengan pengalaman imersif dan mainan suasana. Zulkarnain dan suntingan Johan amat memahami sudut mana filem itu terletak dalam duduk letak drama, dan sudut mana terletak dalam duduk letak ngeri/seram, malah suntikan sureal (misalnya, babak awal televisyen yang hidup sendiri) sebagai penandaan kita yang sedang menonton sebuah filem yang sudah hilang imbangan antara realiti dengan mimpinya. Aku juga suka dengan sinematografi yang sengaja kotor dan suram, selain subjek jenayah yang diikuti dalam filem ini, juga sebagai imbauan psikologi dan estetika jiwa gelap manusia yang menghuninya. Aku juga suka bagaimana Zulkarnain membina dialog golongan marhaen yang kasar dan lantang, suara dialog yang muncul dalam dunia pangsapuri kos rendah, hal yang tidak berlaku dalam Anak Halal, tapi berlaku dengan genuine dalam filem ini.

Melangkaui kesemua efek dan alat kelaziman (trope) seram, filem ini sebenarnya sebuah mimpi ngeri kita yang seharusnya kita perlu bangun daripadanya (inilah amaran yang ingin Zulkarnain sampaikan!), sebuah tragedi kejatuhan si wira/pejuang atas hubrisnya (Fatima), kejatuhan tragis hubungan manusia dan keluarga, malah melalui detik yang sangat gelap dan memilukan (pembunuhan - massacre!), malah cukup tragik atas nama takdir (Maria dan Marissa). Katarsis seram yang ditimbulkan (daripada rantaian tragedi hingga pada puncak/peleraian, khsusunya pada babak akhir di dalam kereta) agar penonton merenung akan jiwa gelap manusia yang ditampilkan, lebih-lebih lagi agar tidak mengulanginya, malah menjauhinya. Polong menampilkan masalah korupsi jiwa dalam masyarakat kita, sehingga yang tidak bersalah juga bersalah, mangsa menjadi pemangsa, lalu kitaran syaitan itu terus-terusan mengimbau mimpi ngeri kita semua.

Antara filem seram terbaik tahun ini.

Klasifikasi 16 - Namun anak jagaan bawah 18 tahun elok menghindarinya kerana penggunaan bahasa kesat, inuendo seksual dalam dialog dan babak ganas yang cukup mengganggu, misalnya yang berkaitan dengan bayi.

30 April 2026

Tiga Perca Filem April 2026: Libang Libu, Michael dan The Waves Will Carry Us


Libang Libu (2026)

Filem ini bergerak dengan premis seorang loser bernama Man Filem (Amerul Affendi) yang taik judi dan hutang keliling pinggang, membawa kru filem sang pengarah Silver (Alvin Wong) ke kampungnya di Teluk Intan, Perak, yang dia kemudian perlu berhadap dengan abang kandungnya, Along Alid (Beto Kusyairy) dan orang kampung yang sentiasa prasangka terhadapnya, juga akhirnya mendepani dosa-dosanya yang lalu.

Filem ini dengarnya seperti menarik jika pengarahnya Bobby Husaini (untuk filem sulungnya) dengan bantuan penulis lakon layar Aloy Paradoks, Taqim Zaki dan Rayza Mukmin mampu membawa suatu sinema komedi yang hidup. Lebih-lebih lagi seorang rakan memberitahu bagaimana filem ini mempunyai bayangan yang comel mendekati adikarya Syed Alwi, Alang Rentak Seribu, juga ada plot sebuah kru filem membikin filem di sebuah kampung. Ramuan ini menjadi jika kita percaya dengan bahan-bahannya. Bahan-bahan di sini ialah watak-watak kampung dan watak-watak filem yang mengelilingi dunia Man Filem dan Along Alid. Sketsa dan penampilan solo menjadi tontonan kita (hal inilah yang tampil dalam filem-filem komedi Mamat Khalid). Jika kita tidak peduli dengan watak-watak ini, dan ke mana cerita mereka, filem ini akan merudum pecah dan berkecai. Jadi, sejauh manakah kita menyukai watak-watak areketaip kampung ilusi para pembikin filem ini? 

Bagi aku, tidak ada satu watak yang memorable dan penting untuk aku (aku suka cara Sabri Yunus, Azhan Rani dan Nabila Huda "Anjababy" melakonkan watak mereka, tetapi citra dan sebab-akibat mereka berlalu begitu sahaja). Secara umum, watak dan tujuan watak utama filem hanyalah untuk "mendidik" penonton agar kurang berprasangka dengan manusia yang bermasalah (yamg kita selalu tonton dalam berita), untuk membina empati dan untuk memberi "peluang kedua" dan kemaafan bagi sesiapa yang kita tidak pernah kenal latar belakangnya. Tidak ada yang berat dalam hal ini. Malah, jika pembikinnya hendak membawa suatu satira pun (seperti Martabat), ia bukanlah suatu satira yang baik sepertimana Lelaki Harapan Dunia, Man Laksa dan Kala Malam Bulan Mengambang

Suatu lagi ialah perbuatan huru-hara (chaos) yang ditampilkan. "Libang libu" mewajahkan bahawa filem ini menampilkan situasi ketidak keruan atau huru-hara atas kemasukan suatu projek (rezeki) ke alam kampung. Dalam Alang Rentak Seribu, konsep ini jelas, bahawa dalam keributan itu, kru filem itu membawa "kemajuan", "rezeki" dan "pesona popular" ke sebuah kampung yang "aman". Terdapat gerakan ke arah pengimbangan (equilibrium) dan ketenteraman. Menariknya, banyak filem/drama "bikinan" bermain tentang hal ini. Aku pernah tonton beberapa, dan bagi aku, antara chaotic cinema yang aku suka ialah Welcome Back, Mr. McDonald

Sebenarnya, Hantu Kak Limah Balik Rumah juga sebuah chaotic cinema yang berjaya. Kedua-dua filem ini membina sedikit demi sedikit keadaan dan sebab-akibat haru-biru yang bergerak ke arah satu puncak yang cukup mengacau keamanan sebelum ruang/alam filem diganggu. Dalam Libang Libu, hal itu yang kita tunggu-tunggu terbina, tetapi cara pengarahnya membina, dengan terlalu banyak simpang-siur penemuan watak (filem ini juga menggunakan plot ala detektif untuk menemui beberapa persoalan) dan motif, gerakan ke arah satu peleraian yang katarsis seakan-akan tidak timbul-timbul, walaupun, dengan penjelasan (konfesi/pengakuan dosa) Man Filem akhirnya dikemukakan. Hal ini mampu diperketat dari segi nada dan suntingan babak ke babak dan penonjolan watak (setiap watak membawa nadanya dan moodnya) dengan tangan yang lebih mahir membina sebuah "melodi" yang indah dalam kecelaruan, dan tidak membiarkan rasa kecelaruan itu seakan-akan sudah terjawab dengan mudah, malah dengan sebuah deus ex machine (kehadiran seorang lagi Sabri Yunus).

Filem ini mungkin akan mencuit ramai khalayak, hanya mungkin bagi aku, komedinya tidak natural walaupun niatnya mempunyai jiwa yang baik.

Michael (2026)

Filem biopik ni menarik sebab buat aku dan adik-beradik aku bergaduh besar. Adik perempuan dan abang kedua aku sangat suka gila filem ni (siap tonton dua tiga kali dan menangis), sedangkan aku merasai ada sesuatu yang kosong dan tidak jujur tentang filem ini, ditambah dengan sikap pembikinnya, daripada pengarah filem yang baik Antoine Fuqua dengan bantuan lakon layar John Logan untuk menampilkan segala sisi yang malaikat (dan pada satu tahap, mewajahkan Micheal Jackson seperti seorang pengutus akhir zaman buat dunia melalui muziknya, Ya Tuhan!) dan suci tentang artis Raja Pop Dunia ini. 

Memang, aku mengaku, babak realisasi semula konsert dan MTV Micheal sangat mahal dan "realisme", berjaya membangkitkan "aura" MJ yang kita sayangi (dan sesiapa yang tidak kenal akan jatuh cinta), tetapi dari segi cerita dan penceritaan, sepertimana sikap MJ yang sentiasa hendak hidup dalam citra "misteri" kepada para peminatnya, kita hanya dapat sebuah plot seorang anak hendak berpatah arang terhadap ayahnya yang terlalu mengawal dan memanipulasi urusan seninya, dan itulah kisah filem ini dari awal sehingga babak MJ (yang dilakonkan dengan berkesan sekali oleh Jaafar Jackson, sepupu mendiang Micheal sendiri) mengumumkan pemecahan dia daripada kumpulan adik-beradiknya dengan selingan babak akhir persembahan lagu Bad

Jika kita tidak mampu diberi oleh para pembikin sekurang-kurangnya lapisan-lapisan perwatakan sang penghibur besar ini (dengan sengaja, kita tidak tahu secara mendalam perhubungannya dengan Diana Ross, Elizabeth Taylor, Gary Colemen, tetapi dengan pathos, menampilkan betapa sunyinya hidup artis ini kerana dia lebih senang berbuat kawan dengan cimpanzi dan ular sawa daripada manusia), sekurang-kurangnuya berilah magis sinema bagaimana Micheal "mencipta" lagi-lagu malar segar era awal kerjaya solonya, seperti Beat It, Thriller dan Billie Jean. Ini tidak (kita hanya dapat melihat MJ mengangguk, dengan banyak post-it lirik kata di dinding dan tanda "work-in-progress" di pintu studionya). 

Seperti filem promo-antologi lagu Moonwalkernya, kehebatan lagu-lagu pop itu dipersembahkan seperti muzik video semata-mata, tanpa apa-apa input menarik yang membuatkan lagu-lagu itu menjadi sejarah besar dunia muzik pop. Selingan-selingan itu datang dan pergi tanpa apa-apa cerita belakang tabir (tonton bagaimana lagu Bohemian Rhapsody tercipta dalam biopik Queen itu). 

Kita hanya mengenal Micheal, si suara lembut tetapi menjadi galak di depan pentas, daripada seorang budak, menjadi seorang lelaki dewasa. Kisah ini keluar macam sebuah novel remaja sastera terbitan DBP, penuh nilai murni, watak utama pipih tanpa kesalahan, dan berjaya mencapai matlamat tanpa melalui lapisan hidup yang lebih messy atau gelap. Jesse Hessenger betul dalam pemerhatiannya bahawa biopik ini hanyalah sebuah filem yang peminatnya nak tonton yang baik-baik sahaja, tanpa mahu mendepani kebenaran subjeknya. Sebagai sebuah mesin memuaskan peminat, ya, filem ini berjaya, tetapi sebagai sebuah filem biografi, filem ini akan dilupakan pada masa depan.


The Waves Will Carry Us (2026)

Sinema Mahua atau sinema Cina Malaysia (sebenarnya ini filem transnasional atas bikinan pelbagai negara) mengejutkan kita dengan seorang lagi pembikin filem baharu, Lau Kek-huat (berpusat di Taiwan) yang membawa sebuah komedi saga dalam empat generasi keluarga Ah Yao (Wei Chun-chan) yang membuka tema pencarian identiti serta jati diri dan ketidaktentuan duduk letak tanah air. Sebenarnya, sudah berkali-kali tema kewarganegaraan ini timbul oleh para pembikin Cina Malaysia, tetapi bagi aku, kali ini, ia membawa suatu cerita dan maksud yang penuh, yakin dan memuaskan, malah manusiawinya tentang maksud kenegaraan dan pengalaman hidup di Malaya/Malaysia, yang bagi aku, antara yang paling visceral dan menyentuh untuk ditonton. 

Lebih menarik lagi, fitrah kehadiran orang Cina (dalam hal ini, dari Fujian atau selatan China) ke Tanah Melayu atas dasar "mencari rezeki" sementara waktu (takdir yang sama bagi mana-mana diaspora Cina ke Amerika atau ke Asia Tenggara lainnya), lalu kemudian terperangkap untuk hidup "selama-lama"nya di tanah air asing itu, yang kemudian diberi perspektif moden tentang diaspora Cina Malaysia ke negara asing pula, memberikan suatu nafas baharu yang cukup segar untuk ditelaah. 

Kita dihadapkan dengan dilema Cina (yang boleh juga dilihat sebagai dilema rakyat umum Malaysia) tentang adakah kita "disumpah" di tanah air ini atau kita meredai kelangsungan hidup kita di sini. Sikap insaniah Kek-huat, walupun mungkin mengguris orang-orang tertentu, akan menjawab persoalan itu dengan cukup empatik sekali, dengan babak akhir yang cukup pathos (berhubungan dengan perhubungan sulit mendiang ayah watak utama) tentang hak memiliki identiti dan warganegara. Lebih mencuit lagi apabila Kek-huat mendepani isu diskriminasi orang Cina Malaysia di Taiwan yang terpaksa menjadi "pelakon terhebat" di tanah air yang ingatkan lebih dekat dengan jati diri fitrah mereka (ini suatu suntikan kritis yang sangat tajam).

Inilah antara kekuatan Kek-huat, yang walaupun filemnya terasa indie, terasa gaya pembikinan kos murah (hal ini disengajakan), tetapi kedalaman naratif dan temanya jelas mendalam. Malah, aku sungguh terpikat dengan gaya, walaupun seakan neo-realis, dogme, Kek-huat mampu menghubungjalinkan sifat kelakar dengan sentuhan jiwa dalam beberapa babak dan gerakan cerita. Antara contohnya yang berkesan ialah babak si atuk yang terpaksa "berlakon" tahu bercakap Melayu di hadapan pegawai pendaftar: "Saya warganegara sini"! Ini negara saya!" yang cukup mencuit tapi memberikan sentuhan jiwa yang cukup syahdu.

Juga, ada unsur mistik ala realisme magis Kek-huat yang memberikan magis khusus yang cukup dekat dengan budaya-agama Cina: penerimaan untuk meninggalkan sembahan Dewa Tanah dari halaman Tanah Besar kepada Dewa "Datuk Gong" lokal - durian sebagai petanda takdir-sentuhan ghaib/imej cinta-benci orang Cina dengan hal tempatan - kehilangan mayat dalam semak kubur. Hal yang kita temui di sini ialah bagaimana (kebanyakan filem diaspora kita akan menemui hal ini) keluarga Ah Yao belajar untuk mengadaptasi dengan persekitaran, memahaminya, berdialog dengannya, dan akhirnya merangkulnya sebagai fitrah/takdir'hakikat hidup. Memang inilah antara filem "keredaan Cina" terhadap tanah airnya yang paling berkesan yang pernah aku tonton (walaupun ada kritikan-kritikannya). Sesuatu yang cukup memuaskan dalam pengalaman tontonan.

Selain cerita yang kuat, lakonan yang memberangsangkan (khususnya Vera Chan sebagai adik perempuan Ah Yao), dengan jalinan cerita empat generasi yang cukup hidup, kita diberikan sinematografi luas dan tertumpu yang baik oleh Tsai Wei-Long, dengan suntingan kemas Soo Mun Thye dan Jessica Wan Yu Lin, dengan runut bunyi memikat. Ini sebuah filem yang sepatutnya ditonton oleh rakyat Malaysia walaupun sekali tahun ini. Antara filem terbaik kita tahun ini. "Bangunlah, celikkan mata dan lihat!"

04 December 2025

Ninavau (2025): Konfesi di Sebuah Pagi yang Hening


Kiranya kita dalam fasa kemunculan sinema Sabah, apabila beberapa filem Sabah mula menampilkan mukanya untuk ditatapi beberapa tahun lepas dan tahun ini, seperti Syurga dalam Botol yang baru menyapa pawagam kita beberapa bulan yang lepas.

Kini, sebuah lagi filem hasil karya seorang wanita, Bebbra Mailin, yang lakon layarnya ditulis bersama-sama suaminya, Muzzamer Rahman (pengarah muda yang membawa kita Prebet Sapu) menyapa pawagam kita dengan puputan angin yang cukup tenang tapi terasa..

Dua babak awal menyapa aku dengan cukup mencuit. Satu, Edward si ayah (Edward Sinsong) yang membawa kedua-dua anaknya, Ninavau (Jovenea Jim) dan Elvira (Tati Eliana Tonny) menjenguk rumah (belum siap dan pahat juga tak berbunyi) keluarga mereka yang tidak siap (pekerja dari Indonesia ditangkap kerana tidak ada permit, kata Elvira). Harapan disampaikan oleh Elvira tentang perabot dan pengisian rumah mereka. Ninavau dan Edward hanya memerhati.

Kemudian, babak makan dan doa sebelum makan. Jika kita cepat, kita dapat menangkap bagaimana si Edward dan Elvira tertutup mata, berdoa, sedang Ninavau tidak mengangkat langsung tangannya.

Dua babak ini sahaja kita dapat perhatikan apakah harapan yang dibawa oleh Bebbra Mailin buat kita. Filem drama keluarga tentang seorang anak yang masuk Islam, rahsia dalam kalangan ahli keluarga, pandangan orang terhadap orang Sabah/Sarawak, penghakisan adat, memohon penerimaan atas pilihan; diikat dengan cara yang sungguh tenang, ia seperti suatu pandangan dari satelit terhadap mata taufan, cukup tenang, dan kadangkala dilihat indah, tapi kita tahu, betapa dahsyat dan lajunya angin yang sedang berpusing di ufuk hamparan laut itu.

Bebbra mengupas hal-hal ini dengan halus sekali, seperti lapisan bawang kerana sensitivitinya, dan kesensitifan sentuhannya cukup terasa. Dia juga memilih suatu percubaan berani, menampilkan para pelakon dengan lakonan "diam" dan kadangkala teaterikal, seperti yang kita temui dalam filem-filem Bergman. Namun, Bebbra juga mengambil sikap "realisme" terhadap lakonan wataknya, yang terasa, dilakonkan kurang natural (kadangkala, aku terasa para pelakonnya menuggu cue atau tidak betul-betul berada dengan wataknya). Namun hal itu di"tenang"kan dengan dinamisme Jovenea Jim dan Tati Eliana.

Kita lebih terikat dengan dua jalinan perhubungan watak adik-beradik ini sebagai "cerita ikutan" kita, sedari Elvira yang menyanyi koir pada awal filem menyapa gembira kakaknya Ninavau di bangku gereja. Malah, kebanyakan ikatan emosi yang dilepaskan, dilepaskan atas babak-babak yang dilalui oleh dua watak ini dalam satu adegan. Namun, Jovenea berperwatakan sunyi dan terkawal, sedang adiknya Elvira lebih melo-dramatik. Mengapa? Aku serius seperti menonton wayang Filipina, apabila protagonis satunya hanya bercakap apa-apa yang perlu, dan watak seorang lagi, selalunya perempuan, cukup tampil sebagai ratu drama, cukup menyampaikan masalah dunia dari dua pundak bahunya.

Hal ini tidaklah begitu canggung, namun aku rasa, inilah suara dan tanda tangan yang kita akan terima daripada Bebbra Mailin untuk filem-filem seterusnya. Kadangkala, dialognya cukup cringe, seperti apabila tunang Elvira menyebut (menahan Elvira daripada merokok): "Merokok membahayakan kesihatan." Tetapi Elvira kemudian membalas, "Cinta jauh lagi membahayakan." Pegh! Cukup kental sinema Filipinanya, atau boleh kita kata, sinema Bebbra Mailin.

Perjalanan drama keluarga ini nanti dibuka dengan beberapa rahsia. Mungkin ini "makanan" Bebbra kerana pernah mengenali agama Kristian. Malah, filem ini, dengan rahsia-rahsianya, merupakan suatu konfesi sunyi, yang "baru detik ini" hendak dikhabarkan. Konfesi menyucikan dosa (rujuk lagu koir awal). Dengan konfesi juga, seseorang itu menjadi lega, kerana apa yang perlu dikatakan sudah dikatakan pada orang yang perlu mendengarnya. Jadi, sifat konfesi filem ini yang disampaikan dengan penuh tenang dan sensitif (yang cukup sesuai diteliti sebagai pengajian perbandingan agama atau perbincangan antara agama), sebenarnya memohon dia, kita, untuk menyatakan yang sesungguhnya, setelah berapa lama kita (atau Sabah, atau filem Sabah) berdiam dengan segala ketidakadilan, kebungkaman dan tekanan yang dirasai.

Aku suka dengan nada lagu Andrew Bong yang menyentuh kita cukup-cukup rasa, dan membiarkan lagu koir, runut bunyi tertentu (Zaiton Sameon Menaruh Harapan!) dan muzik tradisi Kadazan bercerita. Juga, ada kekuatan yang jelas dengan sinematografi Bayu Prihantoro Filemon yang menangkap latar Sabah dengan gaya pencahayan natural, tapi masih mampu membuak beberapa ikatan syot yang indah dan berkata-kata. Juga suntingan Irwan Ahmad yang cukup terjaga.

Ninavau sebuah filem drama keluarga yang berkata-kata tanpa herdik dan raungan (seperti yang kita lihat dalam filem-filem melodrama Indonesia yang sampai ke pawagam kita dua tiga tahun ini), yang walaupun beberapa cara dan beberapa gayanya amatur, ceritanya, penyampaiannya, jiwanya betul. Sebuah filem keluarga yang boleh diraikan. Antara filem baik kita tahun ini. 



24 October 2024

Tertawan atau Tertewas?: Permasalahan Adaptasi dalam Filem Melayu


Terdapat dua buah filem yang aku tonton baru-baru ni. Pertama, filem adaptasi novel SPM yang amat terkenal suatu masa dahulu (sampai pengarangnya menyambung dengan sekuelnya pada rumah penerbitan lain), Mereka yang Tertewas, dengan lakon layar Rosman Md Shah di bawah arahan Zulkeflie M. Osman (dahulu Zulkifli M. Osman). Satu lagi ialah sebuah chic-flick Indonesia arahan Teddy Soeriaatmadja, adaptasi novel popular yang laku keras di sana, The Architecture of Love.

Awal apabila aku tonton filem Teddy itu, tekak aku jadi loya apabila dalam plot, apabila Putri Marino, heroin dan teraju filem itu, bercerai dengan suaminya seawal lapan minit dalam filem (kerana tertangkap suaminya bercurang dengan seorang gadis genit di dalam kamar mandi apartmen T15 mereka) telah "membawa diri" ke latar Sex and The City, Kota New York (T15 Indo jika membawa diri, mereka tak ke Bali, atau mana-mana negara tetangganya seperti Singapura atau Malaysia, tetapi mereka tuju ke New York). 

Pilihan ke New York itu (seperti novel cinta pop dan drama siri kita dulu-dulu, heck, Azura bikin semula 2012 pun pergi bercinta ke luar negara) semacam alat plot biasa yang dah diulang entah berapa kali (lagi jauh lagi baik) untuk menunjukkan betapa "jauhnya" hati Putri, sebelum, dah tentu bertemu dengan taruhan hati baharu dalam susuk Nicholas Saputra (yang makin menua).

Dalam pertemuan itu, dan kebiasaan filem chic-flick Indonesia, berlaku dialog sambut-menyambut dengan tempelan ala-ala falsafah tentang hidup dan cinta. Tapi, apa yang membuat aku terpaku dan menunggu, menunggu kisah Putri dan Nicholas sampai habis adalah tarik-menarik psikologi mahu-tak-mahu nak-tak-nak antara kedua-dua mereka.

Putri Marino juga engaging, dibantu dengan kejap suave kejap monyok Nicholas. Awal-awal kau rasa - ah, satu lagi mainan Indo nak jadi Barat fefeeling Carrie Bradshaw yang kau temui dalam chick-flick awal mereka, Arisan, tapi perwatakan, jiwa dan motivasi watak Putri dijaga. Sikap fefeeling dia lepak New York (ingat tak Instanbul Aku Datang dan Manisnya Cinta di Cappadocia? Tujuan destinasi luar negara filem itu rasa menjadi kerana keperluan plot yang jelas dan masuk akal) menjadi dan dimaafkan (jelas, dia lepak sana sebab ada kawan T15 dia yang jadi ekspat di NY ajak). Selain pembinaan watak antara Putri dengan Nicholas yang seimbang, Teddy tidak lupa memberikan nikmat momen romantik-dramatik ikonik terhadap lokasi-lokasi tertentu (sememangnya NY kota yang cukup menyenangi sinema), dan lokasi-lokasi itu sure gila akan jadi lokasi ikonik bagi peminat novel/filem ini untuk menjejaknya. Apatah, lokasi pertemuan dan tempat Nicholas menunggu, di kaki tangga rumah tumpangan Putri.



Mungkin The Architecture of Love Teddy masih formulaik sejak Eiffel I'm in Love diperkenalkan dalam sinema Indonesia. Tetapi formulaik ini menjadi, disusun baik, disusun rata, disusun dengan seimbang. Jika kisah klise tentang tautan emosi ini memerlukan momen cuit-melodrama, itulah yang diberikan, dan diberikan dengan baik sekali, walaupun hal itu sudah berkali-kali kita tontoni.

Oleh sebab hal itu sedikit mengecewakan apabila kita tahu drama masyarakat yang berwacana keagamaan dalam ruang lingkup Mereka yang Tertewas, tertewas dengan tuntutan ruang produksi dan kreativiti. Kenapakah kita masih tidak dapat menghasilkan karya adaptasi yang betul-betul menyenangkan (sebenarnya, kita sudah ada beberapa, dalam tangan U-Wei, dan secara tradisi, yang ditampilkan dalam beberapa filem klasik era Studio Jalan Ampas bergenre purbakala/hikayat/cerita rakyat)?

Sebenarnya Mereka yang Tertewas, novel yang mengharumkan nama Hasanuddin Md. Isa mempunyai "potensi" adaptasi yang enak. Awal-awal lagi, Zulkeflie (kita malah sudah mengenali Zulkeflie sebagai Zulkifli yang pernah mengadaptasi, Mira Edora) memacakkan syot awal filem ini di surau lama milik Imam Resak, yang kini dijaga (disayangi) oleh Lebai Pa (usaha peran Zaidi Omar yang boleh dipuji). Aku dapat membayangkan, Zulkeflie lebih banyak bermain syot untuk menerokai ruang surau tersebut (menampilkannya lusuh), kerana benar, syot awal ini menjadi petanda besar filem, bahawa lapuk dan usangnya surau itu seperti lapuk dan usangnya imam kampung itu (inilah yang hendak disampaikan oleh Hasanuddin). Tapi hal itu tidak berlaku, walaupun terdapat syot tok imam sendiri tidak mahu bangun dari katilnya untuk solat (mengapa?) ke surau.  

Banyak yang mengapa itu mengganggu. Terlalu banyak garis kosong dan elipsis. Tapi Zulkeflie dan produksi "meneruskan" gerakan cerita, kita kini terasa menonton drama TV, bukan filem. Hal ini amat terasa dengan cara runut bunyi dan efek suara dimasukkan. Tiada momen sinematik. Tiada momen untuk merenung imej (The Architecture of Love juga bergerak deras, tetapi dia tahu untuk bernafas dan merenung di mana yang perlu).

Aku tak rasa "bajet" isu di sini apabila kita memerlukan syot-syot signifikan yang menanda kenapa watak itu begitu dan watak ini begini, dan kemudianlah baru dijalin temukan atau terbitkan konflik. Mungkin kerana, Zulkeflie dan Rosman mengambil jalan "selamat" untuk mengikut helaian demi helaian novel Hasanuddin (kerana bagi mereka mungkin, setiap helaian itu sinematik), sampai berdialognya pun terasa "terbit" daripada kertas, bukan manusia (walaupun ada momen tertentu, dialog novel itu hidup).

Satu bahagian paling cringe berlaku, tiba-tiba, apabila kita tidak tahu latar/perwatakan isteri Lebai Pa yang sedang memandikan jenazah, memberikan syarahan siap dengan petikan Hadis Aisyah R.A., there and there. 

Pemilihan milieu juga mengelirukan. Adakah filem ini dalam ruang masa sekarang atau lampau (kerana runut bunyi latar lagu piano dan runut tertenu sangat membawa feel filem 70-an)? Hal ini ditambah dengan syot filem yang kelihatan seperti warna sefia, yang memang menjelmakan rasa filem-filem 70-an. Kelesuan ini terasa dan tidak membantu. 

Namun begitu, para pelakon yang diangkat dalam produksi ini sudah cuba memberikan yang terbaik, walaupun bercampur baur taraf kedalaman seni lakon mereka. Aku rasa, selepas berkali-kali kau tonton filem neo-realis dari Barat dan Iran, benda-benda ni kau jadi lali, yang amatur (walaupun ada juga yang jadi jauh lebih berkesan seperti dalam filem-filem Abbas Kiarostami) dan profesional bercampur dalam satu babak. OKlah. Mereka juga membawa cerita, walaupun kau rasa perlunya babak-babak itu tidak longlai dan malas diarah tanpa gerakan imej dan drama yang tertentu.

Begitulah betapa ruginya Mereka yang Tertewas. Letaklah Mereka yang Tertewas, yang mempunyai plot yang dekat-dekat sama dengan filem dakwah Indonesia yang baik, Titian Serambut Dibelah Tujuh (1982) arahan Chaerul Umam (jika bernasib baik, dan admin portal belum membuangnya, mungkin filem penuhnya masih ada di YouTube), yang mempunyai premis seorang watak yang ingin mengubah "hidayah" sebuah kampung bermasalah, tetapi dirundang dengan pelbagai ujian dan fitnah. Luhat betapa imej dan syot itu berkembang dan menjadi cerita, menjadi filem. Inilah yang tiada dalam Mereka yang Tertewas. Namun sebagai peminat/pembaca novel itu, filem adaptasi ini masih boleh diikuti.



06 June 2024

Bacaan Kedua Filem Memoir Seorang Guru (2024): Sebuah Figura Ayah yang Tempang


Ada spoiler.

Entah mengapa, aku semacam tak cukup puas dengan beberapa imageri dalam Memoir Seorang Guru arahan Kyoll Hamzah (dengan skrip Maizura Ederis dan Che Li) yang tak dapat ditebak, apatah lagi dengan persoalan watak “haunted” Rosyam Nor yang masih mengganggu aku (yang ramai tentu menuduh perwatakannya kaku). Walaupun peleraian cerita tampak macam happy ending, mengapa aku rasa terganggu setelah keluar dari pawagam malam itu?

Hal itu baru dapat ditebak apabila aku meneliti (kembali) filem ini dengan bacaan (kedua) melalui pertentangan binari (binary opposition) apabila penelitian ini menekankan dua nilai/imej yang bertentangan tapi cukup mewajarkan motif dan penyampaian maksud. Mungkin bacaan ini jauh daripada “syiar” sebenar tujuan Kyoll, adaptasi Maizura-Li dan niat asal Azizi Haji Abdullah. Tapi ini hanya interpretasi, jadi dengan bahasa yang lembut: to hell with it.

Aku menyedari hal ini kerana berasa banyak hal yang tidak terjawab dengan kepikunan (hah, amikkau!) watak Cikgu Sunan bawaan Rosyam. Kemudian imej tasik pada awal filem yang tampak “janggal” untuk berada di situ. Melalui bacaan pertentangan binari, aku melihat hal imej ini dengan skop pertentangan, semacam nilai positif-negatif.

Yang paling jelas, Cikgu Sunan ialah figura seorang lelaki. Lelaki dalam bacaan paling purba diwakili oleh phallus (lingam) dan angkatannya, tiang atau bangunan. Ia sentiasa berdiri, tampak berkuasa dan teguh (seakan lelaki memang selalu tetap dengan pendiriannya). Tujuan dia juga boleh dikira murni, jadi nilai simbolnya positif. Tujuan dia dalam cerita setakat ini dua: (1) melihat anak muridnya berjaya dan (2) menemui fitrah dirinya sebagai pendidik. 

Bagaimanakah Cikgu Sunan mengisi cerita untuk mencapai tujuannya? Hal yang selalu kita lihat sewaktu Sunan mengajar anak murid, dia memegang pembaris panjang (substitute pada rotan juga). Dengan dia memegang pembaris itu, dia memegang pendirian dan kuasanya, dia akan menghalakan anak muridnya (juga sebagai anak-anak sementaranya) atau lebih dekat, sebagai gembala (shepherd) pada anak peliharaannya (pengikut/followers). Menariknya (sengaja?), kejayaan anak-anak ini tidak tampil dalam keputusan UPSR mereka (yang dinyatakan berkali-kali oleh Sunan), kita tidak tahu sedikit pun siapa yang dapat 5A atau apa. Kejayaan anak murid (peliharaan/pengikut) tampil apabila ditampilkan dengan babak menonjolkan kerjaya dan aspirasi anak muridnya apabila dewasa. Malah, yang paling berjaya apabila ada anak muridnya yang tekad berubah baik setelah lama menjadi penagih (Mat). Satu lagi paradoks berlaku pada babak akhir apabila dengan sengaja, pengebumian Sunan tidak diiringi oleh ahli keluarga dan kenalannya, tapi oleh anak tunggalnya dan anak muridnya (kelas yang itu saja). Hal ini amat memelikkan.

Sebenarnya, adakah Sunan berjaya? Adakah bawaannya akhirnya bernilai positif? Imej akhir Sunan sangat pelik (dan muram) apabila dia hanya terduduk dan kamera (Madnor Kassim) melakukan syot gerak ke belakang dengan dua dinding di kiri dan kanan.

Ada beberapa lagi simbol representasi lelaki (positif) yang ditebak mewakili Sunan, kayu pancingnya, bendera di sekolah (dalam satu syot selingan, seakan memberikan indikasi didikan Sunan akan berjaya) dan bangunan pencakar langit pada syot akhir.

Tapi jangan lupa, simbol representasi terpenting Sunan ialah tongkatnya. Di sinilah waktu “kisah” Sunan bermula. Dia melakukan renungan di awal cerita. Malah, tongkat membuatnya dapat berjalan lurus, tongkat membantunya, satu tubuh badan yang mula hendak rebah (negatif).

Dari situ, kita lihat pula “fokus” tiga watak budak yang penting dalam perjalanan mendidik Sunan. Ketiga-tiga watak  budak ini menjadi pusat cerita sama ada hala tuju pendidikan Sunan itu berjaya atau gagal. Refleksi awal, Sunan diperkenalkan dengan watak Mat yang tertembus belakangnya pada dahan pokok. Indikator ini saja sudah meramalkan ada sesuatu “yang menyakitkan” dengan perjalanan impian Sunan. Banyak tragedinya. Malah, Sunan menunjukkan sikap negatifnya dengan menolak sikap komunitisme orang kampung sebagai perbezaan jelas dia (orang bandar) dengan orang kampung.

Kita bawa pula watak yang paling emosional dalam naratif filem, watak Mihad. Watak ini sungguh tragis dan paling dekat dengan Sunan kerana jelas, Mihad berpaut pada Sunan (sedar atau tak, Alias, Mihad dan Mat selalu berpaut di pokok besar, semacam mereka menunggu-nunggu untuk tempat berpaut, atau dengan jelas, berpaut pada figura bapa/father figure). Sunan menyukai dan mendekati Mihad seakan-akan menjadi ayah sementara pada Mihad. Mihad pula berpaut pada Sunan kerana dia yang paling kehilangan susuk seorang ayah untuk diikuti/dicontohi (Alias masih ada ayah sebenarnya, tetapi tempang tak boleh jalan).

Malah, antara ketiga-tiganya, Mihad dilihat oleh Sunan sebagai berpotensi untuk cemerlang dalam hidup. Tapi apakah yang terjadi? Pertama, Sunan-Mihad pergi ke lubuk. Lubuk walaupun pada awalnya imej positif, tempat mendapatkan rezeki (bagi) orang kampung, juga tempat bermuhasabah diri (seperti tasik di awal cerita). Tapi lubuk dan tasik ini juga simbol jelas simbol wanita (Sunan bercerita tentang kematian isterinya di sini). Simbol wanita, kali ini negatif, diwakili yoni, lohong atau lubang, dalam hal ini ia ruang besen yang menakung kehidupan, ia sebuah ruang tampungan, seperti rahim (seperti bumi: mother earth). Unsur yang paling jelas dengannya ialah air, simbol kehidupan (menampung kehidupan, seperti rahim). Kita boleh nampak ikatan positif-negatif ini bercantum apabila kail Sunan masuk ke dalam ruang lubuk.

Atas kuasa Tuhan (dan penulis), alam memainkan teka-tekinya. Jika pun simbol Cikgu Sunan kuat, simbol wanita ini dipunyai alam. Lalu kebahagiaan sementara yang dikecapi oleh Sunan-Mihad (positif) direntap (negatif). Diperangkap. Dibunuh di dalam lubuk. Sampaikan ikan, makhluk air (kehidupan) yang sepatutnya memberi imejan bermanfaat (rezeki, lazat) dilihat sebagai momok yang traumatik, meratap kebahagiaan sementara Sunan (negatif).

Di sini sahaja kita dapat membaca pelbagai lagi simbol negatif alam yang sebenarnya menekan simbol positif kelelakian atau kebapaan Sunan. Hal ini dapat dilihat pada simbol tasik (yang menghantui Sunan, yang rupa-rupanya mula mengembalikan rona traumanya yang lama terpendam), air hujan yang mencurah dengan latar air di babak pengebumian Mihad (tragedi, bukan rahmat). Kita juga ditampilkan babak mayat Mihad dimasukkan ke dalam lubang kubur. Ini tanda kematian dan kegagalan capaian, selain transisi ke alam lain. Wanita sememangnya, dengan simbol yoni, berfungsi sebagai pintu, yang menbawa seseorang dari satu tempat ke satu tempat: dari rahim ke alam dunia, dari alam dunia ke liang lahad.

Inilah imejan yang kita temui sewaktu Cikgu Sunan terduduk pilu di dalam rumahnya, sedikit demi sedikit diperangkap oleh dinding yang kelam di kiri dan di kanannya, sedikit demi sedikit mengecilkan figuranya. Dia melalui satu petanda yang dia akan mati, dan betapa kerdilnya dia menghadapi ketentuan alam.

Dengan tempang (negatif, atau nilai positif yang tidak terdaya, atau hilang kuasanya), dia melihat anak-anak muridnya berjaya, dibaca secara monolog (mulutnya diam). Tapi adakah dia berasa dia berjaya? Anak-anak muridnya berasa ya, dia telah memberikan mereka inspirasi (sampai mengiringinya ke tempat persemadiannya), sedangkan dia, yang memberikan sikap keras, ego yang menghasilkan kekecewaan dan derita, yang banyak salah dan silap hukumnya, merasakan dia ayah yang tempang pada anak-anaknya. Ayah yang kadangkala gagal mendidik dan mendapatkan kejayaan anak dalam hidup. Sebab itu dia susah hendak membenarkan anaknya mengikuti jalannya, satu-satu anak perempuannya, yang tanpa menyedari (ironi), si ayah memerlukan tongkat (bimbingan dalam hidup) tapi anaknya secara alamiah tidak.

Mengapakah kita terasa semacam ayah yang tempang ini amat mengganggu? Sebenarnya, filem ini sesuai dengan mileunya. Secara realiti, kita sedang menghadapi negara yang pernah tempang empat kali apabila Perdana Menteri, pemimpin atau ayah (sementara) negara kita bertukar ganti, dan sentiasa memilih langkah yang salah dan hukum yang silap sewaktu pemerintahannya. Ya, tertampillah beberapa dasar dan usaha yang memajukan, membawa kita ke hala tuju baharu, tapi cara dan asuhannya tempang sekali. Kita (rakyat, pengikut, anak peliharaan) yang mengikuti dia disemadikan (berakhir kerjayanya sebagai ayah sementara kita, pemimpin kita) tidak keruan, dan tidak keruan itu dapat dirasai sampai sekarang.

Sebab itu mendung awan pada akhir babak kelihatan meresahkan. Kita takut, jika tempang lagi ayah (gembala) yang membawanya, kita akan ditimpa hujan celaka.

Maka akhirnya, Cikgu Sunan ditanam, dengan awan mendung menutupi alam Kuala Lumpur. Tampak seperti kerananya, kemajuan, peradaban terbina (bangunan-bangunan). Tapi awan mendung seperti hendak menangis. Ini satu amaran dari alam, simbol air yang berkait dengan lubuk/tasik tadi.

Akhir kata, walaupun segalanya nampak muram dan serba ketidakjelasan hala tujunya, Kyoll memberikan kita kredit akhir yang mencuit: bintang-bintang. Memang ini tanda guru-guru sebagai bintang yang menyinar alam (dikuatkan lagi dengan bacaan sajak Usman Awang), tapi juga sebagai petanda positif akhirnya, bahawa walau betapa tempangnya Cikgu Sunan, dia di tempat yang baik di akhirat, bersama Pencipta, Ayah Asal Abadi yang tiada tolok bandingnya, Sumber Abadi Segalanya yang ditunggu-tunggu.

31 May 2024

Memoir Seorang Guru (2024) Adaptasi Melodrama Guru-Pelajar Menyayat Hati


"Selama ini saya hanya mengajar, tetapi baru sekarang saya mendidik" - Cikgu  Sunan

Walaupun belum dapat ditentukan kejayaannya, filem adaptasi (dengan pemilihan karya yang lebih mencabar) kini kian mula mengorak langkah ke wayang Malaysia. Setelah beberapa drama bersiri dan telefilem yang berjaya di wadah peti televisyen, filem adaptasi (cuba) menjengah ke layar putih, menampilkan cerita-cerita yang sekurang-kurangnya sedikit lain daripada suapan Ombak Rindu, Lagenda Budak Setan dan Tombiruo. Awal tahun 2010 sahaja kita sudah mendapati ada Butak, Imam dan ini, adaptasi novel Allahyarham Cikgu Azizi Haji Abdullah (yang boleh dianggap lebih mudah dihayati, terbitan pengilang novel popular Alaf21) Memoir Seorang Guru.

Jika aku tidak silap, novel Memoir Seorang Guru Azizi, selain berdasarkan kisah hidupnya sebagai seorang guru agama di utara, juga merupakan himpunan beberapa cerpennya yang pernah tersiar, dikembangkan dan disesuaikan sebagai subplot dalam naratif besar seorang ustaz (dalam filem, ditukar kepada guru bahasa) yang lari dari bandar ke pedalaman.

Ada pelbagai garis cerita yang dapat dijalankan oleh Maizura Ederis dan Che Li selaku penukang lakon layar adaptasi novel, boleh sahaja Maizura dan Li memilih mengembangkan kisah cinta Sunan, atau kisah keluarga Sunan dan anaknya, tapi meneliti sentuhan adaptasi ini, mereka telah mengimbangi kesesuaian kraf dengan menitikberatkan perhubungan guru-pelajar sebagai core reason filem ini dihasilkan. 

Jadi, filem ini merupakan sebuah lagi filem "drama dalam kelas" yang mula kita senangi, kita boleh teringat dengan Masam-masam Manis (1965), Adik Manja (1980), Baginda (1997), dan Adiwiraku (2017). Filem "cikgu" atau drama sekolah ini mewajarkan tema yang biasa, iaitu mengilhamkan inspirasi, mencetuskan isu pendidikan semasa dan dinamisme hubungan guru-pelajar. 

Satu lagi tema yang ditampilkan dalam filem ini ialah genre kisah kanak-kanak, yang tampaknya makin banyak dihasilkan oleh kita akhir-akhir ini. Kyoll Hamzah selaku pengarah filem ini agak bernasib baik kerana kedua-dua tema ini tertumpu baik, diulit dengan teliti oleh Maizura dan Li, menampilkan naratif dan drama yang organik tentang sesuatu yang segar: kisah si guru yang mencari kembali maksud dirinya yang hilang (konsep ini amat relevan dengan keadaan sekarang dalam tunggang-langgang KPM mengejar cikgu dengan penyediaan pengajaran yang macam-macam seperti menyuruh jadi bijak AI dan para guru [apatah lagi pegawai di KPM] sendiri di sekolah sekarang yang tidak menghayati maksud sebenar Falsafah Pendidikan Negara, malah jauhnya cikgu-cikgu sekarang dengan pembacaan buku ilmiah yang penting untuk perkembangan diri, hanya mengejar buku-buku aplikasi/rujukan, tip dan buku kerja) serta kisah anak-anak pedalaman yang ingin berubah dan hidup menjadi orang, tapi tertahan oleh keadaan kemiskinan dan kekurangan prasarana (buku!).

Mungkin hal-hal ini sudah dan pernah dibuat (Adiwiraku), tetapi meneliti perhubungan (ada perkembangan yang menarik dalam perwatakan lakonan Rosyam Nor sebagai Cikgu Sunan) guru-murid dan bagaimana sekeras-keras hati seorang guru boleh mencair, malah remuk, itu suatu perjalanan yang cukup katarsis, ditambah dengan kisah dan lakonan begitu natural, berkembang dan jujur oleh para pelakon kanak-kanak dalam filem ini (maaf, aku tak dapat menamakan nama pelakonnya, atas kekurangan maklumat dan ketinggalan membaca kredit akhir). Jika Thailand, mereka mempunyai My Girl/Fan Chan (2003), Indonesia mempunyai Laskar Pelangi (2008), kita, setakat ini, mempunyai Memoir Seorang Guru.

Tiga persahabatan yang kukuh antara Mihad (kiri), Alias dan Mat akan berubah apabila Cikgu Sunan (Rosyam Nor) masuk ke dalam hidup mereka, mengubah keinginan mereka terhadap figura bapa ideal, yang jelas kurang dalam anak-anak kampung ini.

Jika kanak-kanak dan hubungan antara guru dengan murid, jika kita teliti pun sejarah filem kita, sudah tentu ia terkait dengan komedi. Sudah tentu aksi dan sikap celoteh murid di hadapan guru, apatah lagi untuk memahami arahan guru, menjadi hal-hal yang menimbulkan kecuitan. Si pelakon watak Mihad cukup menyerlah dalam hal ini, termasuk Mat, anak murid pertama yang ditemui oleh Sunan. Unsur lawak yang disampaikan alami, tidak dibuat-buat. 

Satu lagi unsur yang jelas dipakai (kerana kita memang sukakan ini) ialah melodrama atau tearjerker. Mengetahui Maizura yang cukup terkenal memicit butang emosi kita untuk mencurahkan air mata (usaha tulisannya yang terbaik untuk ini boleh diteliti dalam Bisik Pada Langit, dengan Sofia Rhyland), dengan susunan cerita Azizi yang cukup sedar penyampaian tragis dan jiwa asli orang Melayu, hal ini tersampai dengan baik, malah antara melodrama yang terbaik setakat ini tahun ini, menjejah ke panggung wayang kita. Ada unsur rajuk, membawa diri, adab hormat, jiwa kesal (era Gila-Gila kita panggil frust menonggeng), sesal diri, sampai di luar dan sampai di dalam yang tampil "autentik", yang amat mahir dalam sentuhan teks Aziz, dan hal ini direalisasikan oleh Maizura dan Che Li.

Apa yang menarik, filem ini sebenarnya menampilkan suatu simbiosis yang segar dalam perhubungan guru-pelajar: pelajar memang memerlukan guru untuk membimbing, "mendidik" (bukan saja mengajar - sila teliti ketelitian istilah ini! Masya-Allah!) menjadikan mereka bijak dan boleh berdiri di tengah-tengah dunia, dan sekurang-kurangnya menjadi dewasa/matang; tetapi perhubungan ini juga bertimbal balik, guru juga memerlukan pelajar(!) untuk mengenal hakikat dirinya, malah guru benar-benar menjadi guru apabila memahami maksud dia mengajar (kembali pada Falsafah Pendidikan yang disentuh tadi), malah hidupnya sebenarnya di"dewasakan" dengan perhubungannya bersama-sama anak muridnya. Si guru juga belajar, belajar daripada murid-muridnya. Inilah ikatan simbiosis yang cantik dan menyerlah baik tampil dalam filem ini. 

Ada satu babak, yang amat menyampaikan poin ini (secara melodrama), dan aku tidak tertahan, menangis kerananya. Ini suatu babak melodrama yang baik kerana niatnya di sini amat murni tanpa dibuat-buat atau superfisial.

Kebaikan filem ini masih ada cacat celanya. Mungkin hal ini kerana Kyoll Hamzah ialah pengarah televisyen yang baru-baru ini diberi ruang mengarah filem (ada beberapa bahagian filem masih terasa seperti menonton drama). Memang, awal-awal babak (atas kesetiaan) di depan tasik tidak mampu memberikan establish shot yang mengikat keseluruhan naratif, walaupun kita faham babak itu merupakan babak "merenung jauh" dan "refleksi" (romantiknya Azizi, mengimbau dengan merenung tasik, era bilalah tu ... dan tentu ada penonton yang bising apabila monolog suara latar tidak disusun secara biasa). 

Hal ini ditambah pula dengan suntingan suara dan efek suara yang sedikit kucar kacir. Setakat ini, memang ini suatu masalah filem kita, kita sama ada membikin filem dengan full blown suara macam filem-filem anak Yusof Haslam yang bingit itu, atau bikinan rakam suara dan suntingan suara yang amatur, yang kadangkala terlalu raw dan terasa dilekat-lekat, seperti dalam filem ini. Setakat ini, bagi aku, satu-satu filem yang cukup teliti dan berimbang rakaman dan suntingan suaranya ialah filem Bunohan, filem itu produksi suaranya setaraf mana-mana filem cemerlang di luar negara.

Hal ini juga tidak terikat baik dengan suntingan dan sinematografi (mengejutkan, Madnor Kassim pengarah sinematografinya!), apatah lagi pada awal-awal filem. Keadaan ini mula menyerlahkan keindahan dan keutuhan pada pertengahan dan akhir, apabila syot-syot dari atas topografi negeri Perlis, syot kubur, apatah lagi syot akhir yang sangat ironi (menjustoposisikan antara perkuburan [mati] dengan bangunan pencakar langir [kemajuan, manusia dan jejak hidupnya yang beribu]), yang mampu menimbulkan maksud dan perjalinan bahasa filemnya yang menarik.

Hal ini pula tidak diimbangi dengan runut bunyi filem ini (satu lagi masalah filem kita: skor muzik). Walaupun amat mencuba untuk menyusun emosi kita sebagai penonton, aku merasakan beberapa skor lagunya janggal, seperti (stok lagu?) lagu seakan-akan gaya Randy Newman pada babak-babak mencuit dengan lagu skor melodrama. Hanya runut lagu Kasih ciptaan Ayden Ali, Adeef Den dan Iqie Hugh nyanyian gemersik Adira Suhaimi cukup meruntun jiwa, malah amat membantu meremangkan bulu roma sewaktu babak-babak air matanya.

Filem ini juga amat dibantu oleh kekuatan lakonannya. Aku suka lakonan para pelakon kanak-kanaknya yang seamless dan cukup selamba, khususnya yang dibawa oleh Mihad dan Alias (mengingati nama mereka cukup menekankan kekuatan penampilan mereka di layar). Juga aku cukup gembira dapat melihat penampilan Zul Huzaimy, Nabila Huda, Johan As'ari, dan Ellie Suraity Omar yang walaupun sampingan cukup menyerlah. Sudah tentu, ikatan filem ini diikat baik oleh Rosyam Nor, si Cikgu Sunan yang membawa berat emosi filem ini, dari awal hingga akhir. Suatu cabaran yang tidak mudah, tapi cukup baik dibawa oleh Rosyam.

Sebuah filem melodrama dan kisah guru yang dapat memberikan sesuatu.

Klasifikasi - P12 - Cukup sesuai untuk tontonan umum, mempunyai babak keganasan terhadap kanak-kanak dan haiwan yang minimal yang mungkin memerlukan bimbingan penjaga dewasa.

14 May 2024

Sayang Salmah (1995) dalam Tiga Babak

Waktu aku remaja, aku tak berapa suka filem ni. Sebab sikap "pragmatik" dan "common sense", aku menolak filem ini. Apabila aku besar dan banyak memakan novel Melayu, aku baru faham sikap diam dan merajuk si ibu dan kata-kata yang cukup memberikan kebijaksanaan, tapi diungkap hanya sekali.

Filem ini sememangnya sebuah adikarya ciptaan Mahadi J Murat, yang cukup menyampaikan bagaimana kita melihat "negara" melalui kaca mata sebuah drama "keluarga kecil" milik sebuah keluarga kaya (cikgu) Mr. Jabar (Jalaluddin Hassan) di Johor.

Apabila kita pelajari "bahasa filem", dapatlah kita membaca beberapa lagi kebijaksanaannya. 

Catatan kali ini dibiarkan ringkas dan cukup buat syot beberapa babak yang terikat dengan bahasa filem yang baik.

Hassan (Sidi Oraza) yang jatuh gila kerana politik. Sidi Oraza memenangi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke-41 dan Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-12.

Hassan kini ditempatkan (merempat) di sebuah sangkar di luar rumah sebagai rumah baharunya. Ibunya, Dasimah (Fauziah Nawi) menjaganya dengan kasih sayang.

Dalam keluarga Mr. Jabar, hanya ada dua anak lelaki, Hassan (Sidi Oraza) yang dibayangkan sebagai anak harapan keluarga, dan Salleh. Kerana kecewa dengan mainan politik, Hassan dipecat daripada partinya, dia menjadi tidak siuman, maka Salleh (Azhar Sulaiman), yang belum matang dan memandang tinggi abangnya Hassan, mencari jalannya sendiri yang selalunya tidak betul. Salleh kehilangan "figura contoh", juga father figure, lantas Salleh mencari jati dirinya yang sendiri untuk menjadi lelaki. Dan lelaki, yang tiada jalan dan ajaran yang betul, mengikut naluri alaminya, dia mencari pasangan hidup, teman, tempat melempiaskan perasaannya (dan nafsunya). Dia mencari perempuan.

Dengan duit harta yang dia ada selain kerjanya, dia melanjur ke arah berfoya-foya, ke kelab malam, suatu yang lazim pada era pramerdeka dalam kalangan anak muda (yang terkoyak antara mencari identiti jati diri fitrahnya dengan tampilan dunia hedonis yang ditinggalkan oleh Inggeris buat anak watan yang tiada pedoman); dan di situlah dia menemui Salmah (Norish Karman), gadis "anak kabaret".

Keluarga Mr. Jabar bolehlah dibayangkan sebagai wakil bangsa Melayu pramerdeka, atau tanda negara Tanah Melayu yang belum mengecapi kemerdekaan itu.
 
Lihat sahaja babak Salmah yang baru sahaja berkahwin (memasuki ruang keluarga/negara) dengan Salleh, keluarga Mr. Jabar-Dasimah (Fauziah Nawi) yang mula "menggelap" atas tragedi Hassan dan kematian Mr. Jabar. Ada ironi di sini. Salmah hanya "mencantikkan" diri (simbol materialisme) buat dirinya dan suaminya, tidak memahami peranan sebenar "keluarga". 

Babak (1)

Pada Babak (1) ini, Salmah mendandan di depan cermin, merefleksi hanya dirinya (pentingkan diri, lebih bersifat individual daripada keluarga/komuniti, sifat tradisi orang Melayu. Nota: Dalam sikap komunal, Salmah boleh bersama-sama lepak/tidur di ruang ibu bersama-sama ibu mentua dan suaminya), satu refleksi di cermin, belum memenuhi rumah (dia jarang-jarang mengisi ruang di ruang-ruang rumah lain selain meja soleknya), berkemungkinan "bisikan"nya kepada suaminya, Salleh yang dia "keseorangan" dan ibu Salleh tidak menyukainya (orang luar). Salmah belum hamil, maka dia belum (bersedia?) mengambil peranan ibu Salleh sebagai "pengisi warisan" rumah yang kosong itu, atau sebagai seorang wanita yang pernah berasa moden dan "bebas tak terkongkong dengan adat", memang dia tidak berniat untuk ke situ?

Babak (2)

Dalam Babak (2), apabila ibu Salleh/Dasimah sudah mati, refleksi Salmah di cermin sudah berkembang dalam tiga bayangan (Salleh-Dasimah-Hassan) di cermin, yang memberi imej "tipu" bahawa Salmah sudah "menguasai" rumah keluarga Mr. Jabar-Dasimah. Salmah masih belum hamil, peranan stereotaipnya sebagai isteri (dan ibu rumah) belum berlaku.

Babak (3)

Namun pada Babak (3) (dengan sengaja Salmah yang memakai bedak sejuk menyerupai "hantu", lebih awal daripada zomba Mamat Khalid), kehadiran tiba-tiba Hassan di luar sangkar dan di dalam rumah, menampilkan refleksi sebenar Salmah terhadap keluarga Salleh (negara!), dan hal ini tersampai dengan katarsis Salleh yang balik daripada kalah berjudi apabila menampang dan memegang abangnya Hassan kerana dia sudah "hilang diri". Cermin sebenar ada di Hassan (dia yang berkata benar) yang menampakkan (membogelkan) diri sebenar Salmah itu sendiri (refleksi cermin yang sebenar), dan Hassan membuka refleksi ini kepada Salleh pada akhirnya. Dan barulah, waktu itu, Salleh menyedarinya, dan terasa bersalah dan berdosa. Salleh merangkul abangnya. Salleh merangkul hakikat/refleksi Salmah. Setelah itu, kesemua filem ini ialah "wasiat" Salleh (daripada Hassan) kepada Salmah agar "merefleksi diri" sebelum terlambat, agar "melihat cermin yang sebenar". "Sayang" sekali jika Salmah masih tidak dapat memahami kata-kata wasiat Salleh (yang kita dengar diujarkan pada awal filem secara suara latar di potret-potret keluarga), untuk apa menjaga rumah (tanah tumpah), untuk apa menjaga keluarga (negara).

Inilah ramalan dan alamat dan petanda yang begitu halus tetapi terasa sekali tentang relfleksi dan mencari tujuan akar diri dalam sebuah filem Melayu, filem Malaysia. Malah, Mahadi J Murat menampilkan "ramalan" atau caution tale, jika pemimpin/watan mewakili Salleh dan Salmah terlupa atau tersalah langkah:

Babak akhir Sayang Salmah.

Babak akhirnya menampilkan Salleh-Salmah dengan anak sulung mereka (tunggal) melawat abangnya yang sekarang di hospital bahagia. Paparannya kini di luar, dengan paparan padang di belakang mereka, tanah berpasir dan sebatang pokok. Jika yang mampu menyedari, imej babak ini mendekati gambaran kita ke mana-mana pusara, perkuburan. Inilah keluarga baharu Salleh-Salmah (pascamerdeka), setelah lenyap keluarga Mr.Jabar-Dasimah. Entah mengapa, apabila kita melihat babak ini, kita akan rasa sayu, kerana imej ini menampilkan "masa depan" keluarga Salleh (Melayu) yang akan merempat di tanah sendiri.

Filem ini merupakan antara filem terbaik Malaysia.

Filem ini merupakan filem arahan, suntingan dan tulisan lakon layar Mahadi J Murat, dengan sinematografi Mohd Hani Mahidin. Filem ini berjaya merangkul tujuh piala pada malam kemuncak Festival Filem Malaysia ke-12.

23 October 2023

Tiger Stripes (2023) dan Menemui Suara Rimba Jiwa



Ulasan ini sedikit compang atas pemotongan yang dihadapi oleh filem ini. Selalunya aku (atau kita, yang sudah biasa dengan filem yang dipotong-potong oleh LPF, separuh dekad lamanya) menulis juga dengan memberikan penilaian sepenuhnya. Tetapi untuk Tiger Stripes, khususnya pada babak paling penting untuk aku fahami, "hilang" pada bahagian peleraian/akhir filem ini. Ia timbul seperti beberapa syot, seperti syot disambung-sambung dalam filem Persona (1966) Bergman pada muqadimah filem tersebut. Jadi agak susah untuk aku mengatakan aku "mengalami" filem ini sepenuhnya, atau "puas" menontonnya, jadi filem ini ditulis dengan sangkaan dan soalan-soalan yang tidak berjawab.

Premisnya sebenarnya mudah, malah seperti yang dinyatakan oleh Syed Zulkifli dalam pos Facebooknya, Tiger Stripes mempunyai semangat harimau (malah ini mengingatkan kita dengan semangat harimau jadian dalam filem Apichatpong Weerasethakul yang lebih jelas, Tropical Malady) yang diikat cantik dengan latar hijau gelap dan lebat hutan (latar filem ini di pedalaman, mendekati hutan). Sah-sah, semangat ini menampilkan maksud kebebasan jiwa atau "suara rimba jiwa" yang ada dalam setiap id diri kita (dalam hal ini, diri perempuan) yang mahu menguasai tahap sedar ego kita. Kebebasan ini (atau memilih istilah yang paling berdosa zaman ini, liberal), mengikat dengan pemberontakan angst anak muda terhadap konvensi sosial, dan paling jelas terhadap plot transformasi bentuk badan dan tindak balas subjeknya dengan hutan, dan suasana hutan itu tersendiri, jauh daripada komuniti kampung manusia yang dipaparkan. Hal ini juga boleh dikiaskan sebagai penemuan diri sendiri (dengan jalannya sendiri), yang sudah tentu, terikat pula dengan pencarian makna diri untuk berekspresi. 

Maka, kisah perjalanan mencari diri sendiri ini (yang sebenarnya, mencari makna diri yang tidak diperangkap atau dipengaruhi oleh tekanan sosial persekitaran, dalam hal ini, tekanan budaya kampung orang Melayu) menjadi kisah yang terikat antara pejalanan kedewasaan (coming-of-age) si anak perempuan mendatangi haid ("Kau dah kotor," kata sang ibu kepada anaknya), yang kita pernah temui dalam Carrie dan Ginger Snaps, dengan kisah body horror, kisah berlakunya transformasi fizikal tubuh badan, yang biasa kita tonton dalam filem-filem Croenberg. Tapi pengarah dan penulis filem ini, Amanda Nell Eu, mengambil (atau merujuk secara intertekstual) citra yang jauh lebih tradisi atau lama, khusus dalam budaya purba orang Melayu, khususnya dalam hal magis dan mistik, iaitu harimau jadian (yang amat terkenal dalam bangsa Minang dan Rejang). 

Mengapakah kita terasa macam kisah lama ini, yang sebenarnya pernah dibuat dengan murahan dalam filem lama kita, Si Tora Harimau Jadian (1964) atau secara cult dalam Kala Malam Bulan Mengambang (2007) tabu apabila disentuh pada watak seorang perempuan?

Inilah menariknya Tiger Stripes, apabila semangat alamiah, berontak, emosi, jiwa, dan ekspresi perempuan, dalam hal ini, seorang anak 12 tahun(?) Zaffan (Zafreen Zairizal) yang didatangi haid, akil baligh (kedewasaan orang Islam ditandai dengan fenomena ini), mula merubah, bukan sahaja secara emosionalnya (tidak ada sudut spiritual langsung, jadi hal tauhid usah dikhuatiri), seksualnya, tetapi fizikalnya. Di sini mungkin, bagi penonton yang mahukan "jawapan" akan terasa teraba-raba. Tidak dinyatakan (kerana jika kita tonton mana-mana filem seram Melayu, pasti kisah asal usul muasal suatu "hinggapan/gangguan" diceritakan) dari manakah Zaffan mendapat semangat harimau jadian tersebut, adakah daripada keturunannya, lepak-lepak lamanya di hutan, atau terkena kelibat Ina, sang penunggu-harimau jadian yang selalu menengok-nengok orang di dalam hutan. Ketidakketahuan ini menimbulkan suatu persoalan yang absurd terhadap Zaffan, yang menambahkan lagi ketidakharuan masyarakat (juga penonton) dengan suara-suara waswas yang makin membingit, dan mula menuduh-nuduh, menghakimi, seperti watak kawan baik Zaffan, Farah (Deena Ezral) secara mikro dan kemudian Dr. Rahim (Saheizy Sam) secara makro. Lalu, berlakulah hal chaos, dari sekolah ke orang kampung, hal yang sama ditemui dalam ruang filem Lelaki Harapan Dunia (2014) dan Waris Jari Hantu (2007).



Hal ini kerana, subjek yang melalui hal ini ialah seorang anak gadis, seorang perempuan remaja (yang memberontak). Apatah lagi, banyak hal-hal pengalaman haid ini, pertama kali dilihat oleh penonton kita secara cukup teliti, reaksi persekitarannya, rakan-rakan sebayanya, sekolahnya, keluarganya, sosialnya, dipaparkan sepenuhnya dan sejujurnya kepada penonton, fasa demi fasa. Aku yang kurang mengenal dan memahami alam ini (adakah benar si anak perempuan itu diejek "busuk", dipulaukan?) aku bertanya kepada sahabat perempuanku, Dr. Hani Salwah Yaakup yang juga ahli dalam budaya Melayu yang dihubung kait dengan filem. Beliau menyatakan, paparan yang ditampilkan memang benar, mengikut kesesuaian umur, peringkat, latar belakang keremajaan Zaffan yang ditampilkan. 

Jika benar, maka hal ini menarik untuk meneliti sisi prejudis sosial dan emosional yang dikenakan terhadap seorang Zaffan, anak perempuan sekolah yang "pertama" dapat haid di sekolahnya. Hal ini terikat pula dengan fenomena buli kalangan rakan sebaya yang dipamerkan terhadapnya, yang menjawab: mana-mana usia dan golongan, perkara yang mereka tak dapat faham dan berubah di hadapan mereka, mereka akan momokkan dan menyerang, seperti kalangan cybertroopers terhadap suatu isu politik.

Oleh sebab banyak perkara yang tersekat-sekat dan disjointed, aku mungkin tak mampu melihat naratif filem ini secara penuh. Tapi aku masih dapat meneliti beberapa perkara penting, seperti lakonan, yang aku kira, teraju utamanya, Zafreen Zairizal dapat sampaikan dengan penuh bulat dan cukup cantik, termasuk sisi-sisi komedinya. Ya, ini sebenarnya filem komedi gelap campur fantasi, seakan-akan realisme magis kita yang tersendiri. Dan Zafreen amat dinamik dan tampil menyerlah, dibantu dengan natural oleh Deena Ezral (wataknya merupakan watak ekstrem anak Rozie Rashid dalam Mukhsin tu) dan Piqa sebagai Mariam. Kita juga tercuit dengan Saheizy Sam, si "penunggang agama" taraf narsisisme yang cuba mengubat histeria yang berlaku di sekolah Zaffan (histeria menurut filem ini merupakan suatu "aksi" pemberontakan sosial sang wanita, yang terikat kuat dengan suara rimba jiwa wanita Zaffan yang baru ditemuinya, yang ingin mengekspresikan diri atas selama ini ditekan oleh institusi sosial atau tekanan patriarki). Aku juga suka dengan skor lagu Gabber Modus Operandi yang cukup menyampaikan suara memberontak ini, di latar hutan, sekolah mahupun rumah. Sinematografi pegun tapi cukup bergerak dengan transformasi Zaffan oleh Jimmy Gimferrer cukup memikat (namun susah hendak melawan atmosferik latar filem Roh), dengan beberapa babak malam yang cukup menyampaikan misteri dan keindahan (babak-babak malamnya mengingatkan aku pada babak malam dalam filem Dendam dari Pusara). Aku tidak berapa gemar dengan efek stop-motion dan solekan yang sedikit murahan, mengunjur kepada semangat filem-B, tetapi hal ini mengungkit homaj pada filem-filem seram lama kita yang memang buruk efek khasnya, seperti Gergasi (1958) dan Anak Pontianak (1958).

Antara filem wanita campuran pelbagai genre yang menarik untuk ditonton.

Klasifikasi 16 - Babak-babak ganas (kepala terpotong) dan hal keperempuanan yang mungkin sesuai untuk penonton matang.