Showing posts with label Bernard Chauly. Show all posts
Showing posts with label Bernard Chauly. Show all posts

19 December 2014

Manisnya Cinta di Cappadocia(2014)



Sekali lagi, Rafidah Abdullah bersama-sama pengarah Bernard Chauly membikin sebuah lagi filem chic flick (kini, istilah rom com atau komedi romantik sudah dikenalkan semula) dan kali ini, berusaha membalas taubat novel romantik Alaf 21 yang dimarahi sangat oleh golongan feminis dan liberal moden, Ombak Rindu, dengan mengadaptasi novel sederhana modenis (wataiyyah katanyer) berbau luar negara-antarabangsa (lagi sekali ke Turki), yakni novel Anis Ayuni, Manisnya Cinta.

Sebagai suatu percubaan adaptasi, sememangnya Rafidah agak berjaya menyalurkan kepentingan babak dan peristiwa penting yang dramatik dan perlu dijaga, tersedia dalam lakon layar dan terpapar cukup sesuai dalam layar. Mengikut premisnya, filem ini mewacanakan sikap wanita moden Melayu sekarang (lebih-lebih lagi daripada kelas atasan) yang mengharungi dunia perdagangan antarabangsa. Perniagaan mereka kelihatan "homely" dan keperempuanan (mereka penghias dalaman) tetapi profesional dan sofistikated. Yang lebih menarik, semarak Islam sederhana mereka yang berkait dengan Islam moderat di Turki, dan hal ini dijana oleh kalangan sofistikated Melayu (orang Melayu alaf baharu adalah pengguna Islam komersial). Persoalan materialisme, jiwa individual, pendirian wanita, dan tuntutan agama berbaur elok dalam suatu penyesuaian yang moden dan selesa dalam keadaan progresif alaf 21. Hal ini jelas, sehinggakan, seperti Saloma dalam Ahmad Albab, sang wanita anggun kaya dan bujang, Nur Fazura, menjelaskan kepada kawannya (Rafidah Abdullah!) bahawa dia sanggup berlakikan pemandu bas kerana yang lebih penting aialah kekuatan iman dan keteguhan jiwa si lelaki itu.

Ah, di sini kita memasuki dunia pengujian jika persoalan iman dan jiwa sang lelaki, dimainkan oleh Saheizy Sam teruji untuk memaut cinta Fazura. Rafidah dan Bernard dengan selesa memberikan kita babak demi babak, sehingga terdapat satu imbasan lampau yang panjang berkenaan perkahwinan gagal kakaknya (Eja dengan Faizal Hussein) dan alasan untuk memerah air mata. Suatu perbandingan pasif dan dominan wanita Melayu disengajakan tersingkap di sini, dan di sini, Fazura melakukan taakulnya untuk menerima atau menolak Saheizy.

Kelihatan, semuanya indah. Namun terdapat persoalan yang mungkin sengaja dibiarkan terlepas oleh Rafidah dan mungkin tiada dalam novel Anis, yakni pengujian kekuatan iman agama Saheizy, yang di sini, langsung tidak teruji. Bernard seakan-akan mencipta suatu ilusi "cinta Islami" dalam filem ini, dengan latar yang sedemikian (lihat sahaja babak Erma sebagai datin Islami progresif dan materialis) tetapi dengan sengaja tidak menguatkan sikap Islaminya kerana meraikan "kesederhanaan" dalam Islam, walaupun hal ini semacam membawa persoalan pula pada watak Fazura yang "kononnya" memegang kepada "lelaki itu mesti kuat agama" yang mana tidak dilihatkan ada dalam Saheizy. Hanya komedi salah sangka menjadi penyimpangan untuk suatu pengakhiran menarik, yang tempo dramatiknya dijaga baik oleh Bernard dengan pertolongan baik pengarah sinematografi, Harris Hue Abdullah dan penyuntingnya.

Semua lakonan baik, khususnya Nur Fazura yang seperti biasa menyelami watak dengan penuh maksud dan emosinya. Terdapat suatu garapan emosi akan Fazura tentang anak kakaknya, dan Fazura menyampaikan hal ini dengan baik tanpa perlu menjerit dan melonjak tidak betul. Isteri aku pun memanggil Fazura Reese Witherspoon Malaysia. Kita juga tentu seronok dengan beberapa penampilan pelakon hebat, seperti Ogy Ahamd Daud, Erma Fatima, Faizal Hussein, yang berjaya memaut jiwa penonton.

Latar lagunya juga baik dan tidak menyesakkan, cukup untuk sebuah komedi romantik.

Hanya aku fikirkan, jikalah Rafidah mula mencabar dirinya, mencabar dengan berkarya atau mengadaptasi novel yang benar-benar mencabar dan membuka persoalan wanita kini yang lebih mendalam isunya, yang mencabar tempat selesanya, alangkah bagus?    

Klasifikasi Manisnya Cinta di Cappadocia: U, Terdapat babak ganas dalam keluarga yang mungkin memerlukan bimbingan oleh penjaga.
DITONTON DI MBO, KL Festival City. 

25 October 2012

Istanbul, Aku Datang!(2012): Beginilah Kalau Nak Buat Romcom

"Jangan Biadap ..." -  Harris.

Selepas menonton filem mencuitkan daripada tangan pengarah Gol & Gincu dan Pisau Cukur, Bernard Chauly, aku menyedari sesuatu: di Malaysia, hanya Bernard sahaja yang memahami permintaan genre "Komedi Romantik" (Romantic Comedy @ Romcom) dan hanya dia sahaja setakat ini yang boleh membawanya dengan semangat genrenya yang betul.

Filem ini menghiburkan, filem ini senang, dan filem ini untuk semua (jika anda sudah menonton sebuah filem Bernard, anda sudah memahami sikap wanita urban progresif yang diangkatnya). Plot awalnya agak menyerupai Legally Blonde, dengan babak Lisa Surihani yang mencari kekasihnya Tomok di Istanbul, Turki untuk "berangan dilamar", memasuki universiti tersebut untuk "bersebelahan" dengan pasangan cintanya, lantas menunggu tika si Tomok mengucapkan "jom kahwin" kepadanya. Hanya itu sahaja (persamaannya), kerana selepas itu, genre screwball comedy (korang carilah sendiri!) ensures apabila Lisa terpaksa ber"sekedudukan" apartment dengan lelaki Malaysia-Melayu asing, Beto Khusyairy, memberi petanda cuti dan malapetaka menarik ala mana-mana filem screwball dan peperangan seks, sebaik era Hepburn-Grant.

Awal filem ini tampak janggal dan tiada kekuatan suntingan. Suatu detik "mimpi" diberikan dengan pemandangan dan monolog panjang Lisa Surihani (akan ambil foto kahwin di sini) dalam Masjid Aya Sofea, mengingatkan aku kepada Exorcist III (babak dunia limbo). Sebenarnya, ini "cuitan" terhadap "apa yang akan berlaku", yakni "mimpi buruk" Lisa nanti bila di Istanbul (yang dimulakan cerita dua tahun sebelumnya).

Sebagai sebuah filem romantik komedi, sememangnya sebab-akibat dan antisipasi itu sudah diketahui (macam, kita tahu Resse Witherspoon akan memilih keputusan terbaik terhadap dirinya secara moral dan emansipasi dalam Legally Blonde), tetapi inilah mengapa filem ini menarik. Ya, filem ini senang dan menghiburkan, tetapi atas tangan Rafidah Abdullah yang sentiasa memberi aku kepuasan dunia wanita yang cukup menyeronokkan, filem ini sekali lagi memberi nafas wanita bersuara dengan benar, seronok dan punya jati diri kuat sebagai wanita arkataip Malaysia abad ke-21 yang lincah, terkini dan terkawal.

Begini (SPOILER), watak Lisa Surihani merupakan watak teraju tipikal (archetype) Rafidah-Bernard (yang bagi aku, disempurnai dengan baik sekali oleh Nur Fazura, walaupun Lisa kelihatan baik dengan caranya tersendiri). Selalunya, wataknya akan bertegak atas persimpangan (konflik). Di sini, dipamerkan dua lelaki, Tomok dan Beto. Kedua-duanya mempunyai psikologi dan keperibadian unik.

Filem ini membawa watak Lisa untuk "keluar" dari zon selamatnya (Malaysia) untuk menemui kekasihnya, Tomok. Ambil pemahaman ini, yakni setiap kisah tradisi tokoh yang mengambil perjalanan (banyak dalam hikayat lama kita) ke luar untuk "menemui diri", menemui sesuatu yang dia tidak pernah menyedarinya. Lisa sendiri melalui "perjalanan" menemui dirinya. Ini biasa. Kita tidak dapat melihat "Malaysia yang sebenar" tanpa kita meninggalkannya dan duduk di luar negara, lantas melihat dari kaca mata luar ke dalam. Sifat ini (sepertimana Buddha, Malim Deman, Iskandar Zulkarnain, Syeikh Qadir Jailani, Gandhi) yang sama dengan perspektif yang diambil Lisa, maka pemahaman kisah "mikro" yang dihadapi Lisa bukan sahaja berkenaan dia mencari dirinya, tetapi mencari makna sebenar "hidup" di Malaysia.

Berlaku satu babak yang mana archetype Lisa, seperti mana sifat Bandar Istanbul itu sendiri, yakni pusat Islam progresif, sufistik (yakni punya adab [tasawuf], sifat peradaban ini ditampilkan dengan yakin sekali pada watak Mr. Sulayman, tuan rumah apartment) tetapi moden, akan mendepani dirinya terhadap dua watak tersebut. Dua watak tersebut pula sebenarnya "pemilihan hidup" simbolisme kaki pilihan Lisa "meneruskan hidup"nya (diwakili oleh dua lelaki yang berkait dengan hidupnya). Kritikan Rafidah ini menyengat: Rafidah menampilkan si wanita Malaysia sekarang yang berilmu, positif dan berdikari, boleh memilih untuk menerima hidup bernilai positif yang mengenali martabatnya sebagai wanita ataupun mungkin boleh sahaja memilih hidup konservatif yang meletakkan wanita sebagai "simbol seks" (rujuk nanti babak siapa yang menggelar "rewang" dan "jalang"- rujuk terhadap simbolisme wanita lama Melayu, Salina dan Perempuan, Isteri & Jalang). Satu "memahami" dan satu lagi "jumud'. Lisa perlu memilih dengan berhati-hati (sekali gus, menerangkan didaktisme melodrama, si penonton wanita juga harus memilih jalan hidupnya berhati-hati memandangkan mereka kini ada "kuasa" dan "hak" untuk memilih). Malaysia sekarang, bagi Rafidah dan Bernard adalah negara yang boleh berdiri sendiri memilih masa depannya, hanya mereka perlu memilih keputusan yang betul dan sesuai dengan jati dirinya. Inilah sebenarnya tujuan ménage à trois dalam filem ini dipersembahkan dalam perkaitan konflik tiga watak tersebut. Dan seperti biasa, Rafidah dan Bernard, sudah tentu memilih laluan positif dan membina buat terajunya.

Lakonan Beto Khusyairy amat cemerlang, terkejut melihat dia boleh "pull it off" dengan pelbagai dimensi dan perwatakan (yang berkembang tipikal dalam mana-mana komedi romantik), digandingkan dengan baik sekali dengan Lisa Surihani yang memberi suatu pendirian comel tetapi punya kelasnya tersendiri (walaupun tembam). Gandingan benci-suka mereka menyamai klasik P.Ramlee-Sharifah Hanum Masam-Masam Manis (1965). Tomok, walaupun menarik dan cuba memberi dimensi perwatakan, masih ada peluang meluaskan dimensi lakonannya. Ada beberapa babak yang ditampilkan janggal walaupun mencuba (babak-babak awal, sebelum Lisa sampai ke tempat baharu). Haris Hue Abdullah kali ini tidak memberi sesuatu yang mengkagumkan seperti sebelumnya (malah ada syot-syot menggetar, satu tangkapan dan tidak bermaya), walaupun ini sebuah filem komersial (yang biasanya tidak perlu syot menarik dan hanya fungsional). Suara filem ini agak mendatar dan kelihatan kurang bermutu, termasuk suntingan yang sedikit huru-hara. Tetapi bibit-bibit manis, fesyen Lisa Surihani, emosi yang dicengkam dan dipersembahkan dengan baik oleh Bernard, khusus pada akhir 10 minit filem ini (babak akhir filem ini, yang diwakili Beto pada klimaks adalah sebuah babak klasik filem Malaysia 2012), membuatkan pengalaman menonton filem ini menghiburkan, emosional dan memuaskan.

Antara filem mesti tonton Malaysia 2012. (dan buat aku mahu ke Istanbul suatu hari nanti.)



Klasifikasi: U, Beberapa babak imbauan seks dan jurusan homoseksualiti yang mungkin tidak sesuai untuk kanak-kanak. 

DITONTON DI GSC Pavilion.

12 November 2009

Pisau Cukur(2009) Best Gila!


"Oh my Dior!"
Intan

"Saya nak kawin Tan Sri cikgu!"
Bella

Ya, ini sebuah ulasan yang pendek (yang tiba-tiba panjang juga bila aku dah mula menulis, hehe) bagi sebuah filem bikinan pengarah Gol & Gincu. Ini sebuah filem yang tipikal Hollywood. Tetapi ini juga sebuah filem Malaysia. Tipikal Bernard Chauly tetapi itu yang membuatnya sebuah filem yang memikat (ada beberapa filem lama Hollywood yang aku teringat tapi terlupa yang agak sama dengan filem ini). But who the hell cares, the trip was worth it. Beginilah kalau pembikin Malaysia mahu bikin filem Hollywood (tolak adegan laut tak bergerak di awal babak).

Ceritanya tentang Bella (Maya Karin) dan Intan (Fazura) yang pergi menaiki bot besar untuk cari jutawan berpoket besar. Mereka terjumpa dengan seorang datuk (Rahim Razali), juga berserta tiga orang isterinya.

Paling menyeronokkan: skripnya yang ligat, cepat dan berkait antara satu sama lain. Inilah sebuah filem yang mana ia memahami setiap "kata-kata" itu penting dan tidak tersasar ke arah lain, malah buat aku, terlalu sempurna (cara ia dibuka, dilengkapkan dan ditutup). Syabas buat Rafidah Abdullah, yang kali ini menampilkan kekuatan dialog daripada imej (filem ini bergerak atas kehebatan dialog dan susunan plot, daripada imej dan hal-hal subtle dalam skrip Rafidah yang pertama, Gol & Gincu).

Satu hal lagi, Bernard pandai menggunakan pelakonnya, baik sebagai pak pacak dengan kameo, atau pelakon yang berfungsi. Setiap watak ada fungsi serta perwatakan yang cukup mencuit. Bayangkan kehadiran Nabil dengan "Ola!"nya membawa gelak-ketawa kepada penonton. Begini, dalam kumpulan penonton, ada yang cerdik pandai dan ada yang menonton untuk terhibur. Bernard pandai, dalam masyarakat kita, ada yang cepat teruja dengan imej (slapstik, mimik muka bodoh ala komedi Razak Mohaideen), ada yang teruja dengan dialog yang wit. Bernard menyusun, dengan seimbang, bagi memberi ketawa kepada kedua-dua belah tanpa menyusahkan kedua-dua belah dan tidak memperbodohkan kedua-dua belah. Secara sedar, kehadiran Nabil dengan topi dengan perilakunya yang keterlaluan, mengundang ketawa (terus-menerus) kepada penonton eskapis, tetapi buat penonton cerdik juga turut tertawa kerana poin Bernard terhadap parodi "memperlecehkan masyarakat Melayu yang ingin bergerak ke kelas atas - dengan terikut-ikut dengan kebaratan". Hal ini mencuit perasaan golongan cerdik kerana penanda Nabil yang bernada-slanga Inggeris-Melayu sebenarnya berkostum mamat Mexico. Mexico secara stereotaip dalam imej Hollywood sudah sedia maklum bererti "golongan kelas rendah" atau "penolak tamadun" atau "mamat hodoh yang tidak mengikut aspirasi Amerika". Hal Nabil menghiburkan para golongan atasan Malaysia dalam kostum Mexico, dengan lagak baratnya membawa kontra terhadap pemahaman "golongan atasan" dan "golongan bawahan". Hal ini juga merupakan poin prasedar dalam filem ini.

Ada sebuah babak yang aku kira menjadi satu sejarah dalam filem Malaysia. Ini adalah sewaktu Aaron Aziz yang cuba membisik ke telinga Fazura di tepi kolam. Imej yang dipaparkan secara sinikal adalah seksual (kita sudah sedia maklum Fazura akan terjerat dengan "jutawan" yang mana pada akhir cerita), dan hal ini berlawanan dengan fungsi dialog yang diutarakan Aaron, "Kau bukannya cantik sangat pun." Tetapi yang menarik adalah reaksi penonton (terutamanya wanita). Saat itu, apabila Aaron mendekatkan badannya ke Fazura (tanpa bersentuh), beberapa penonton wanita menjerit tinggi (semacam histeria), sambil ada yang kata, "Ya, sedapnya!" atau "Oh my God, Aaron, I want u!" dan yang sealiran dengan itu. Di sini, mesej, dialog dan makna imej, makna babak kepada penonton sudah tidak penting lagi. Yang penting adalah aksi dan imej lelaki dan wanita ini yang tidak bersentuhan tetapi seksual. Ini pemaknaan baharu. Ini yang sampai kepada penonton malam itu. Babak ini, sebaik babak mata Rudolph Valentino dalam The Sheik(1926) merenung mata heroinnya sebelum menciumnya puas, dikatakan membuat penonton wanita waktu itu menjerit meroyan melihat adegan ini dnegan fantasi mereka terhadap Valentino di tahap yang tertinggi.

Beberapa bahagian syot dan produksi seni difahami minimalis (hanya beberapa bahagian dalam kapal diambil), dan kadang-kala tampak palsu. Tetapi para pelakonnya telah membuatkan latarnya seakan-akan benar. Ya, para pelakon satu perkara lagi yang membuatkan filem ini "a must see". Fazura merupakan seorang pelakon yang tidak perlu dipermain-mainkan, dia merupakan Resee Witherspoon Malaysia: dia cantik, memikat, mempunyai kekuatan dan tempo komedi yang tepat, lovable, bergaya dan boleh mengisi tahap-tahap serius dengan baik sekali. Aku jatuh cinta kepadanya buat filem ini. Maya Karin juga tidak terkecuali, mempunyai satu landasan "broken but mendful", satu perwatakan yang ceria tetapi turut gelap. Emosi Maya kuat dan pandai dijaga. Maya Karin menampilkan Barbie yang ingin berdiri tegak tetapi tidak tahu bagaimana mahu berhenti sejenak, syabas! Lakonan beberapa pelakon tambahan juga bagus, kecuali pelakon baharu sebagai teman dansa Maya yang sedikit kekok.

Aku nak tulis lagi tapi rasanya cukuplah buat ini. Yang penting, ini sebuah filem yang sangat baik dan memang patut ditonton. Malah inilah filem feel good untuk aku tahun ini.

++**++
IS THIS FOR REAL? ADA ANJAKAN PARADIGMA? BACA ENTRI AMY IKRAM YG TERBAHARU: