Showing posts with label Nizam Zakaria. Show all posts
Showing posts with label Nizam Zakaria. Show all posts

27 December 2012

Kahwin 5(2012): Janggal dan Cengeng

Mula-mula aku memang bersemangat menonton yang ini kerana empat perkara:

Pertama, ada pelakon baharu bernama Andrea Abdullah yang diangkat namanya oleh pengulas Berita Mingguan, menyatakan lakonannya memberangsangkan. Aku suka jenguk pelakon-pelakon baharu. 

2: Aku suka Marsha dan dia memang menunggu untuk disunting dalam sebuah filem komedi yang baik.

3: Aku suka Nizam Zakaria dan dia selalu memberikan sesuatu.

4: Aku suka Fairul Nizam Ablah (penulis skrip) yang aku kenal tentu akan membawa sesuatu.

Hampanya, dalam keempat-empat ini, filem ini menjurus kepada suatu telefilem klise yang amat longgar dan telah mengambil banyak cabang perfileman yang salah dan tidak sepatutnya. Patutkah aku ceraikan keempat-empatnya daripada hidupku selama-lamanya? Tolonglah aku buat keputusan.

Nizam pernah katakan kepada aku tentang filem ini menghomaj Madu Tiga. Ah, inilah yang menyakitkan jika kita memberi penghormatan kepada sebuah filem unggul yang betul dan diingati. Ini bukan pertama kali berlakunya "salinan" ataupun percubaan merekayasa filem P. Ramlee (sebelum ini, Sumpah Semerah Padi, Bujang Lapok Kembali Daa ... [filem ini yang paling berjaya walaupun tidak sebaik arahan P. Ramlee], dan Anaknya Sazali). Semuanya terperuk mendepani gagah perkasa karya seniman agung tersebut.

Penyalinan, bisem (bikin semula), homaj dan rujukan (mahupun spoof) tidak salah jika ianya dilakukan dengan betul. Salinan dilakukan bukan sahaja kerana pembikinnya terpesona dengan bahan rujukan itu (sepertimana Gus Van Sant melakukannya terhadap Psycho, yang hancur) tetapi percaya bahawa ada suatu "agenda" ataupun niat yang hendak disampaikan (aku tidak mahu gunakan istilah "mesej") yang relevan dengan zaman itu.

Dari segi premis, filem ini "mendapat tangkap" hal itu apabila dengan sengaja, empat wanita dalam hidup Usop Wilcha dipecahkan kepada warna hijau (Islam/PAS), merah (keturunan/UMNO), biru (ekonomi/KeAdilan), dan merah jambu (manja/muda/ceria/Puteri UMNO). Hal ini mencuitkan jika difikirkan, membawa makna dan falsafah mendalam terhadap pemaknaan "madu", lebih-lebih buat orang Melayu yang "berniaga", yang memerlukan "kawasan jajahan" dan sebab itu mereka "kahwin" untuk menguasai satu-satu tempat (tetapi perkara ini tidak berlaku dalam filem ini, dan ditunjukkan secara kulit). Ahli ulama dulu melakukan ini untuk membina cawangan pondok-pondoknya di serata Nusantara, bukan sahaja menyebarkan keturunan tetapi "agama".

Pemahaman ini memberi suatu semangat semacam sifat pasifis terhadap Ucop Wilcha bersama-sama empat isterinya. Hal ini bukan sahaja menyampaikan maksud positif tentang poligami (secara sindir, orang Melayu boleh berjaya ekonominya jika dia kahwin empat dan pandai mengurusnya!) tetapi bermaksud melihat paparan luas politik yang "menyatu" dalam kalangan Melayu "di bawah satu rumah". Hal ini mengejutkan terhadap realiti sifat politik sekarang yang bertegang leher dan panas. Patutlah orang Melayu sekarang susah berbini dua, seorang tu mesti nak minta cerai, macam PAS keluar UMNO, Anwar keluar UMNO dan bina Keadilan. Dan kitaran syaitan ini berterusan, mungkin sampai kiamat.

Maka tentulah antitesis ini menarik jika premis di atas diolah dengan seteliti mungkin. Tetapi hal itulah yang tidak berlaku malah diperlecehkan dengan satu plot ringkas berkenaan dilema Usop Wilcha yang dipaksa mengahwini Anzalna budak Johor. 

Awalnya sendiri panjang, dengan satu percubaan penulis "memperkenalkan" watak-watak dengan amat panjang sekali. Aku boleh maafkan jika dalam penungguan kita ke persoalan plot, kita dibumbu dengan kesan lawak dalam perkenalan itu. Yang berlaku berlaku hanyalah suam-suam kuku. Lihat, contohnya filem komedi berjaya seperti Tootsie (1982), berapa minitkah yang dibuang untuk bergerak ke motif plot? OK, kita kita tengok As Good as It Gets (1997) yang mana turning plot hanya berlaku tika 25 minit filem itu, tetapi pada awal detiknya sehingga ke-24 minit, kita sudah disajikan dengan kecelotehan dinamisme "panas" antara Jack Nicolson-Greg Kinnear-Cuba Gooding Jr dan akhirnya Helen Hunt. Semuanya mempunyai konflik dan pendirian yang bergeser, yang menumpahkan "komedi".

Tonton sahaja Madu Tiga, lihat bagaimana P. Ramlee menghidangkan pembukaannya, bagaimana plot yang bergerak pada awal cerita (ingat lagi babak isteri pertama mengejar suaminya?) yang kemudiannya menjadi "dilema" yang menyampaikan tindakan absurd P. Ramlee "ana kahwin tiga!"

Twist filem ini ialah, keempat-empat cawangan itu telah diisi (hint: selain menyampaikan "resepi" perkahwinan bahagian terhadap simbol empat wanita itu, secara menyindir ia menyampaikan pemaknaan "Melayu" yang disatukan ini, baik politik ataupun kepelbagaian sifatnya tidak boleh goyang jika "bersama") dan tidak mungkin Usop Wilcha "kahwin lima" (suatu persoalan absurd). Hal ini sudah menarik jika penulis skrip Fairul dan Nizam (kerana ditulis penulis Lakon Layar) memberikan kita komplikasi demi komplikasi selepas sahaja Usop dipaksa oleh Sofii Jikan mengahwini Anzalna, adiknya.

Perkara yang berlaku adalah sesuatu yang berbeza. Berlakulah satu "drama radio" yang cuba dipersembahkan secara kreatif, memperkenalkan "kisah cinta" Usop terhadap keempat-emat isterinya. Sampai pada tahap itu, do we care even a bit about them? Serius pada babak-babak Fizz Fairus berdialog dengan Usop, aku teringat dengan adegan duduk Max von Sydow dengan malaikatulmaut. Tetapi kali ini, tidak ada papan catur (tidak ada kebijakan). Mereka bercakap untuk "habiskan masa", sehingga pada satu babak memandu pada waktu malam yang amat cantik, serius(!) tetapi menyedarkan aku: "Im watching a comedy here, right?". Babak itu mengimbau satu suasana kerinduan, kehilangan dan murung berpanjang dalam limpahan cahaya lampu, tiba-tiba kita dengan dengung runut bunyi "kelakar". Mis en scene ini amat janggal.

Dan bila pula sebuah komedi mudah punya monolog-monolog panjang?

Usop Wilcha boleh pergi jauh, dan tampak dalam filem ini beliau berbakat. Beliau mempunyai mimik yang mempunyai karisma Rowan Atkinson dengan matanya (lantas menjadikan filem ini slapstik) dan mempunyai  fokus baik. Dia telah melakukan yang termampu. Andrea Abdullah lantang dan menyeronokkan. Dia punya semangat dan gerakan untuk pergi jauh, dan dia tahu membawa dialognya. Di pawagam, celotehnya paling diketawakan penonton. Oh, aku memang suka Marsha, dia membakar layar setiap kali dia di dalamnya, dan seorang yang memang dinamis dan boleh "mendepani" Andrea dengan kelasnya tersendiri. Malah aku lihat kesemua pelakon filem ini boleh berlakon dengan bersahaja, termasuk Dian P. Ramlee (kecuali dengan Norish Karman yang kelihatan tidak menyukai wataknya) jika diberi peluang dan tumpuan skrip yang betul. Ini suatu penyesalan.

Sinematografinya mencuba, walaupun terdapat beberapa syot yang baik. Babak-babak awal dengan percubaan syot panjang menarik (dan susah), tetapi tiba-tiba  apabila Usop duduk dan syot menjadi "statik" (atas tripod) ia mengganggu perjalanan emosinya kerana "statik" sepatutnya berlaku apabila kamera "merakam" rancangan di TV. Malah ada ruang yang kelihatan gelap pada awalnya, pencahayaan yang buruk (ini filem komedi). Suntingannya bergerak dan membantu apa yang perlu. Paling baik adalah reka letaknya yang cuba memberi "warna" dan sifat betul kepada keempat-empat isteri Usop, dan hal ini boleh dipuji. Beberapa sentuhan tanda dan penanda juga menarik (rujuk sahaja tayangan TV sebagai latar, atau gajet yang merujuk kepada setiap watak), tetapi hal itu hanya menjadi "bahan tocangan" penonton  tegar.

Suatu hit and miss. Boleh pergi jauh waima jauh memalukan untuk menjadi homaj Madu Tiga.

Ok, aku dah buat keputusan. Aku nak minta cerai fasakh bersyarat!

30 September 2011

Cinta Kura-Kura(2011): Anak Muda, Nakal, Berahi Penuh Strawberi

Aku suka sebuah filem yang tahu meletak imej dan penandanya dengan betul dan bersahaja tanpa perlu berdakwah untuk menyampaikan maksud, dan filem ini adalah sebuah daripada contoh filem seperti itu.

Ini sebuah filem komedi romantik remaja, jangan tak tahu pula, dan ia "senang" untuk ditonton oleh "penonton kita" (aku merujuk pandangan TMBF terhadap majoriti penonton filem kita), dasarmya, ia sebuah filem cintan-cintun sepasang remaja, tetapi dengan beberapa unsur yang mencuitkan.

Mengenali pencetus dan pengarah filem ini, Nizam Zakaria, aku sudah boleh agak dan kenal dengan perjuangan dan gayanya. Jikalau korang baca e-novelnya (baca tak?) Halimunan, korang akan sedar psikosis Nizam terhadap "imaginary friends" atau watak-watak "berwarna" yang "mempengaruhi" pengalaman dan perjalanan watak protagonis. Tengok sahaja Radio Gaga dengan kucing bercakap, Ponti Anak Remaja dengan puntianak, Gaia dengan hantu Zizan si "pendamping". Teliti hal ini dengan penguin di dalam Mr. Popper's Penguins, askar mainan dalam Small Soldiers, mogwi dan gremlins dalam The Gremlins. Adakah korang ingat, semua "watak warna-warni" ini diletakkan saja-saja "untuk mencuit pasaran kanak-kanak"? Dalam Mr. Popper's Penguins pun, penguin itu bukan sahaja berfungsi sebagai mesin penggerak plot, tetapi filem tipikal Hollywood itu merupakan representasi separa sedar Jim Carrey di dalam filem itu (dan ini sebuah filem PG!) Watak-watak "representasi" ini disengajakan, bukan sahaja sebagai memaparkan dinamisme perwatakan pelakon utama, tetapi pergolakan, naik turun semangat, kadang-kadang berbentuk psikologikal, kadang-kadang, seksual terhadap watak.

Di dalam filem ini, watak Nico (suara Zizan) dan dua kawan-kawan kura-kuranya merupakan "pencerita", korus Yunani (Greek Chorus), representasi "semangat" yang berbentuk implisit dan juga eksplisit (dan turut "berhubung" secara sengaja dan tidak sengaja terhadap watak manusia) terhadap semangat remaja dua watak utama filem ini, Tiz Zaquyah dan Aeril Zafrel.

Ya, ini sebuah filem senang berkenaan perhubungan cinta yang cuba dijalin antara Tiz dan Aeril. Tetapi, dengan penampilan "kura-kura" ini, Nizam dapat menjelajah pelbagai tema yang turut melibatkan perkembangan dan pengaruh dalam hidup remaja, jati diri mereka, emosi mereka, seksual mereka, psikologi mereka, impian mereka, dan sudah tentu cinta mereka. Ini adalah semangat-semangat manusiawi yang cuba disentuh oleh Nizam, menampilkan semangat seorang remaja yang seadanya, dan sepatutnya. Satu garisan halus antara realiti dan fantasi dimainkan, yang turut berkait dengan realiti hakiki di bumi nyata dan "angan-angan" yang ingin dicapai oleh mana-mana remaja. Ini, disampaikan dan diwakilkan dengan simbolisme yang baik sekali dengan kemunculan Nico, si kura-kura milik Tiz yang boleh bercakap (kura-kura boleh bercakap itu representasi alam "imaginasi" tetapi sebenarnya "realiti" yang benar, di sini, kita sedari Nizam menyatakan, "imaginasi" boleh dicapai jika seorang remaja itu yakin dan percaya teguh terhadap "imaginasi"nya). Kehadiran Tiz dan Aeril untuk "bersatu" hanyalah refleksi (boleh jadi mencapai keinginan seksual remaja, boleh jadi representasi falsafah matlamat sang remaja), tetapi yang lebih menarik lagi daripada itu adalah apakah dinamisme psikologi yang membuat Tiz itu Tiz dan Aeril ialah Aeril dalam filem ini, matlamat, keinginan dan semangat mereka. Inilah yang disampaikan dengan dinamisme yang amat mencuitkan antara kura-kura terhadap dua watak manusia tersebut. Seperti contohnya dalam satu babak jujur, di mana Nico (yang tidak suka kepada Aeril) mencuri barang peribadi tuannya Tiz dan meletakkannya di dalam bilik tidur Aeril. Disengajakan, terdapat tisu "basah", dilakukan oleh Nico (seakan-akan Aeril melancap kerana coli dan seluar dalam Tiz). Memang Aeril TIDAK MELAKUKAN hal ini, tetapi dia dituduh oleh Tiz dan ibunya kerana bukti barang-barang itu berselerak di dalam biliknya. Secara psikologi, kita faham memang Aeril tidak melakukannya tetapi perbuatan Nico, seekor "haiwan" merupakan representasi "id" (unsur id selalunya dikatakan adalah wakil sifat kebinatangan kita mengikut psikologi Melayu. Ini berkait utuh dengan pemahaman semangat kebinatangan secara seksual, serta secara falsafah manusiawi dalam filem ini yang lebih tertumpu kepada watak Fizz Fairuz) Aeril untuk mendapatkan Tiz. Maka "id" ini diluahkan ke "ego" Aeril melalui Nico. Kompleksiti seksualisme ini berlaku dalam filem remaja secuit ini, bayangkan! (dan begitulah representasi seks remaja yang sepatutnya!)

Hal simbolisme separa sedar ini juga dimainkan dengan imej-imej kura-kura dan arnab (rujuk kisah Aesop tersebut), yang mana disampaikan dengan makna cita-cita dan cinta Tiz dan Aeril. Tetapi tema terbesar yang tersingkap antara Tiz, Aeril dan kura-kura tersebut adalah keinginan remaja untuk mengekspresi diri mereka sejujur-jujurnya. Inilah "underlying message" terpenting filem ini. Mereka, remaja, sepatutnya percaya pada diri mereka dan cita-cita mereka, seksualiti mereka, cinta mereka. Hanya mereka yang kenal dengan diri mereka, atau kemungkinan mereka memerlukan "bimbingan" untuk itu (dengan berkawan= sosial).

Filem ini dibawakan dengan baik oleh Tiz Zaqiyah. Aku terkejut dengan penampilan keremajaannya yang jauh lari daripada kematangannya dalam Nur Kasih. She is just right for her role. Aeril memerlukan bimbingan yang lebih, tetapi dalam beberapa babak dan momen, aku begitu kagum dengan penampilan dan kejujurannya sebagai seorang mamat yang "slow" dan "blur" terhadap cinta di depan mata (juga representasi "kura-kura" tersebut, yang mana secara simbolisme, kita memahami "mengapa" Tiz amat menyayangi "kura-kura" perliharaannya). Aku turut terkejut dengan penampilan Bob AF buat pertama kali(?) dalam filem. Dia mempunyai satu watak yang kuit (dan sebenarnya susah untuk dibawa) sebagai seorang abang penyayang, lembut, alim yang dipaksa menukar "penampilan"nya dari nasyid ke rock(!), walaupun hal ini tidak diperkembangkan sepenuhnya. Filem ini juga amat dibantu dengan suara komikal lawak Zizan dan Yusop Wilcha menghidupkan watak kura-kura CGI dalam filem ini.

Ada beberapa hal yang sedikit "kureng" mencacatkan filem pertama Nizam. CGI filem ini, walaupun berjaya dalam beberapa tempat, masih boleh diperbaiki dalam beberapa tempat (walaupun ada fluiditi terhadap kemunculannya). Suntingan suara bagi aku adalah masalah terbesar filem ini. Turut runut bunyi yang melatar filem ini (tetapi bukan sedutan lagu yang dimainkan, sebagai homaj terhadap Roxana Cinta 87 dan Kembara Seniman Jalanan Nasir Jani yang mengalun dengan baik dan berfungsi. Baca: ini berkait dengan semangat "anak muda" zaman itu yang jujur, semangat dan berahi mereka). Malah beberapa syot dalam filem ini boleh sahaja diberikan sedikit "kerajinan" dan kesinambungan yang lebih mengikat. Ini amat tampak dalam kelemahan suntingan terhadap aksi pada klimaks (all hell break loose) filem in.

Ahh, kemudian ada kemunculan unsur warna hijau merah ala Amelie yang aku tahu disengajakan oleh Nizam. Bukan sahaja sebagai homaj, warna-warna tersebut menampilkan rasa cinta yang sebenar (baca: harmoni/kesempurnaan/keseimbangan, rujuk mengapa Jean-Pierre Jeunet memilih warna-warna tersebut dalam filemnya). Pemilihan warna kuat ini juga memunculkan filem ini seakan dunia yang "highten the sense of innoncence of the youth" , yang juga berkait kuat dengan pemahaman imaginasi/fantasi golongan remaja. Ada beberapa dialog yang "nakal" yang turut dimuatkan oleh Nizam, menampilkan wit Nizam untuk bermain dengan sifat main-main, seksual, politik tidak serius dan melihat dengan senyuman dunia anak muda yang membesar dan menimbang persekitarannya dengan semangat tinggi dan berahi yang penuh strawberi. Sebuah percubaan pertama yang comel. Dan sudah tentu, suatu perjalanan permulaan yang menarik buat pengarah muda Nizam Zakaria.

02 September 2011

Akan Datang: Cinta Kura-kura(2011)

Ah, ini satu komedi yang kelihatannya segar! Dan CGInya menjadi:


03 March 2010

Tentang Drama Bersiri TV3 dan Oskar Hujung Minggu

Hotel Mania ditayangkan setiap Selasa, 9mlm di TV3

OK, aku akan berkata jujur. Aku tak berapa layan drama bersiri melainkan jika aku ada masa. Masa aku duduk di Kelantan, aku ada masa, malah, oleh sebab kawan-kawan bujang juga ajar aku menonton Spa-Q (musim kedua, tulisan Rina Khan, habislah Spa-Q tanpa Norish Karman), aku bolehlah juga menonton filem yang sepantas dan mengancam bak telenovela Latin Amerika. Aku tahu, TV3, juga beberapa siri drama RTM 2 juga mengeluarkan drama-drama bersiri yang amat popular dengan massa, tetapi aku lebih senang dengan cerekarama/telefilem, seperti Tuan Guru (banyak potong sih! Kontreversi tu!) yang ditayangkan di TV3 pada 12 tengah malam Ahad kelmarin.

Hari tu, masa aku lepak baca buku, mak aku suruh pasang TV. Rupanya dia nak habiskan tengok episod terakhir Tari Tirana! Hah! Betul, Tari Tirana! Terkejut beruk aku, siap aku pulak yang tanya siapa tu siapa ni, dan sampai mak aku macam, "Eh, ni tak leh jadi, bukankah buah hatinya Neo?" Aku macam terpinga-pinga. Tetapi betapa berduka citanya mak aku menonton pengkahiran Tari Tirana (dan bukan seperti menonton cliffhanger Dallas bila J.R. ditembak atau BSG bila Captain Adama kena tembak) bila dia dapati Neo sudah mati. Aku baru tersedar, oh, Neo lakonan Amar yang wartawan sibuk-sibukkan tu sampai para wartawan hiburan macam zombi mengancam dan menyoal pasangan artis tu (serius aku tak tahu kenapa, wartawan hiburan Malaysia ada suatu "arrogance" yang agak memelikkan dalam dunia kewartawanan. Boleh tak ko bayangkan, bebudak wartawan ini mahu "dilayak baik" oleh penerbit/artis jika mereka datang untuk majlis sidang wartawan? Mungkin dalam satu dunia, ini hanya berlaku di Malaysia, sebab serius, kerja wartawan memang cari cerita, jadi kalau ditempelak, tidak dilayan, itu lumrah kewartawanan, barulah terbentuk "character", barulah keras sikit wartawan tu tu "cari cerita", serius, it's ok for an artist to be a bit shy on the camera, it's typical show biz, but for a reporter to deduct what an artist should be for them, that's a little bit weird). Barulah aku sedar sesuatu; Neo "ditiadakan" atas sebab-sebab kontreversi yang berlaku. Adakah drama bersiri kita (seperti yang berlaku dengan Norish Karman) punya dunia kontreversinya tersendiri yang mempengaruhi jalan cerita? Ini menarik, selain daripada ketagihan apabila menonton sebuah episod drama bersiri (seperti yang berlaku pada aku buat Spa-Q dan Kekasihku Seru. Fasal tu lah aku tak nak nonton, nanti terperap aje depan TV!)

Jadi, aku mahu ambil peluang untuk menonton drama bersiri arahan Nizam Zakaria, Hotel Metro yang menggantikan Tari Tirana. Aku tidak pernah menonton Glee (peduli apa aku) dan aku tak berapa suka High School Musical, tetapi aku cukup bersemangat hendak menonton buah tangan Nizam ini atas kerana dia seorang kawan novelis prolifik, serta ramai yang mengiktiraf beberapa drama bersiri beliau, terutamanya Anak Ponti apa-apa entah. Antisipasi tinggi tu. Malah aku katakan pada diri aku, mugkin ini drama bersiri yang akan aku ikuti sampai habis.

Hotel Mania bermula bagus, kredit awalnya maksud aku, sudah memberi ton dan ritma ke mana muzikal ini akan bawa kita pergi. Kemudian, kita nampak Anding yang terperuk sebuah di perhentian bas di Kg. Baru. Mula dari sini aku sudah menjumpai beberapa kejanggalan. Adakah ini kesalahan Anding, kesalahan syot, kesalahan dialog? Entah, aku pun tak tahu. Mungkin cara yang digerakkan oleh Nizam ini terburu-buru? Kenapa Nizam tak mulakan cerita dengan sedikit meyakinkan, ambil beberapa syot, mungkin intro muzik kedatangan Anding ke KL (kita tak tahu, tapi atas lirik lagu, kita tahu ke mana watak Anding ini), malah boleh tunjuk dinamisme pemandu teksi yang tka peduli dengan Anding serta semangat Anding untuk "mencapai harapan" yang masih disamar-samarkan pada awal. Ini tidak, bum, Anding macam terbuang di perhentian bas sambil ditegur oleh seorang mamat kopiah. Like, watever!

Kemudian Anding diperkenalkan kepada Hotel Mania di Putrajaya. Kenapa dia di sini? Kita tak tahu tapi jika kita sudah baca rencana temuramah Nizam, kita tahu Anding hendak mencari ayahnya yang dikatakan tauke hotel itu. Setakat itu, pergerakan Anding ke Putrajaya itu masih samar-samar, malah mengelirukan. Aku tak suka ia tidak diberi cue yang betul (sehingga pada pertengahan cerita) sebab kita masih hendak mengikut Anding sebagai watak utama (motivasi untuk terus melihatnya sudah berkurang, melainkan anda meliur tengok Anding atau anda Kelab Peminat Anding). Kemudian, whoah, Dafi datang. Dafi ni comel, dan pemilihannya baik sebab dia semacam lurus (dan mungkin tidak tahu apa yang cuba hendak dimainkan oleh Nizam). Bila dia kata dengan "bright eyed" (yang sepatutnya Anding sebegitu, bright eyed kid in a bis lost world yang mana kita tak nampak dalam Anding, sebab Anding terlalu misterius, terlalu terluka wajahnya) pada Anding: "Saya Girang." Aku hanya boleh terkekeh, nampak sangat Nizam menyatakan propaganda gaynya dengan terjemahan terus Inggeris: "I'm Gay." Siot je! Ha ha! Tapi tidak ada apa-apa yang menarik yang berlaku buat Dafi dalam episod 1 (mungkin sebab episod 1/pilot ini cuba membangunkan dan meletakkan watak Anding dan lain-lain pada tempatnya).

Kemudian kita bertemu dengan Marsha yang aku kira satu watak yang menarik (bitchy mouth), dan sebagai antagonis Anding (selain Adam nanti). Tetapi entah, beberapa penggambarannya mungkin dibuat dengan terlalu cepat, malah beberapa syot yang jauh dan tidak memberi "star shot" yang betul buat Marsha, kita tampak yang watak Marsha ini "jauh" daripada penonton. Ini aku tak salahkan Marsha (dia boleh berlakon) tetapi pengarah sinematografi drama bersiri ini.Link
Malah buat aku, suntingan, kareografi dan sinematografi drama ini gagal gagal dan gagal. Nizam perlu sedar, jika satu cerita tiba-tiba "burst into songs", dia perlu "mewarnakan" mis-en-scene itu dengan semangat yang lain dan bukan berharap pada kekuatan lagu dan liriknya sahaja. Seperti mana babak Marsha menyanyi lagu "Akulah Wanita", hanya satu syot yang panjang, bergerak ala hand held camera (dah terlalulah klise, ini bukan Once tapi High School Musical!), dan suntingan situ dan sini sahaja (pemalas!) Mana syot pandangan dari atas? Mana syot jauh, dekat, sisi, apa-apalah untuk menggerakkan cerita dan lagu. Ini tidak, hambar sehambar-hambarnya. Kajilah mana-mana filem muzikal yang bagus, jika lagunya bergerak di lokasi luas dengan orang ramai, tiba-tiba pelakon tambahan di tepi pun turut berentak dengan lagu. Malah satu "parade" akan berlaku (walaupun kecil, ini sepatutnya berlaku dengan watak Anding, kecuali Nizam mahu mulakan dengan not balada yangLink sememangnya sayu, lihat pembukaan Mamma Mia!), atas sekurang-kurangnya pergerakannya luas(!) dan tidak tertumpu pada satu tempat dengan penggunaan objek yang mengelilingi tempat itu (kenapa kolam, tuala, bar, pintu, pelayan, piano, tidak digunakan, INIKAN MUZIKAL weh!) Kalau mahu "bertitik" realiti, tengok sahaja babak Mamma Mia! sewaktu Meryll Streep menyanyi Mamma Mia! atas atap, dan apa yang dia lakukan dengan pintu, loteng, tali dan dinding untuk membuak "cerita" daripada lagu. Rujuk West Side Story yang amat kuat dalam hal ini. Malah buat aku tak perlu pergi jauh, garapan tempatan $ell Out! jauh lebih berjaya daripada garapan muzik dalam drama bersiri ini. Kalau Nizam mahu membuat satu babak lagu tertumpu, sila rujuk Funny Girl sewaktu Barbara Streisand bernyanyi atas kasut beroda atas pentas, lihat bagaimana dinamisme watak Barbara dengan watak-watak atas pentas serta tauke belakang pentas serta tuan kareografi. Seakan satu cerita berlaku. Ini tidak, Marsha diambil diambil dan diambil wajahnya. Ini juga berlaku dalam babak Dafi dan Anding di rumah sewa apabila tidak ada satu objek, kecuali SOFA yang digunakan (itupun secara tiada kreativiti) tanpa masuk campur Rizal (watak itu sudah diperkenalkan) untuk memberi "rasa suasana" atau "cerita pengenalan" yang mendalam tentang tiga watak itu. Hanya, waktu akhir, lagu Anding dan mungkin adik/aweknya di Kuching dapat kita lihat sesuatu. Ini benar sebab dalam mana-mana muzikal, kalau garapan lagu balada, kita hanya perlukan satu watak terpacak dna lihat kekuatannya menyanyi tanpa banyak penggunaan suasana dan objek (lihat balada "The Winner Takes It All" dalam Mamma Mia!, "People", "My Man" dalam Funny Girl!, "As Long As He Needs Me" dalam Oliver!, "Maria" dalam West Side Story, "I Am Changing" dalam Dreamgirls, dan "Suddenly Seymore" dalam Little Shop of Horrors. Encik Nizam, anda bukan Lars Von Trier yang membawa Dancer in the Dark, anda perlu lebih menjadi semacam Baz Luhrmann dalam Moulin Rouge!

Dalam kekurangan drama muzikal ini, ada beberapa hal yang menarik, seperti lakonan Rizal (yang melemparkan pisau tiba-tiba) tetapi kita tak tahu ia akan membawa ke arah mana (mungkin ini kesusahan Nizam, untuk memperkenalkan satu-satu wataknya dalam satu episod) serta "insights" yang Nizam bawa seperti babak Anding bertemu Abah (mungkin bapanya atau tak, ini satu hal pembukaan yang menarik) di mana Dafi memakai baju kartun Luke Skywalker (budak jauh dari rumah mencari harapan baharu). Ini semua semacam hiasan buat stik daging yang kita makan. Stik daging itu sepatutnya lebih menarik dan sedap daripada hiasannya.

Ada beberapa ton yang sebenarnya kita sedar, drama muzikal ini punya ton "sedih" dan "misterius", malah, buat aku, kalau drama ini bergerak dalam alunan "dreary", ia lebih mengena atas mood skripnya sebegitu. Akhirnya sendiri punya impian sebegitu, bila panggilan itu dibuat oleh ibu Anding.

Aku tak tahulah, tapi aku susah sikit untuk menggerakkan diri aku menonton sambungan drama muzikal ini, kecuali seseorang memaklumkan pada aku sesuatu yang menarik yang berlaku pada episod seterusnya. Untuk itu, mungkin kita boleh kembali pada beberapa filem muzikal pada 80-an yang mencapai tahap populariti tingginya atas bahu Ahmad Fauzee.

Un Prophete(2009) dan The Book of Eli(2010)

Uhh, Oskar dah dekat, tapi macam Pak Hassan kata peduli hapa. Aku tetap peduli, hehe..

Aku baru menonton The Book of Eli dan bagaimana terkejutnya aku menonton sesebuah filem yang sedikit-sebanyak dekat dengan novel aku tu, Saga Horizon, hahahahahah (kena mengena dengan amnesia anak muda mencari jati diri zaman silam, kemuliaan buku yang tidak dikenali lagi harganya, orang makan orang, air sebagai barang paling bernilai dalam pasaran, watak anti-hero yang akhirnya tanpa dia mahu mengaku, menjadi hero.. OK, yang terakhir tu sangat Mad Max). Filem ni tak lah hebat gila babi dan tak lah bosan nak mampus. Bayangkan hero koboi kita tiba-tiba Denzel Washington berkulit hitam (hah! Western!) yang cuba melalui daratan kosong menuju ke barat. Jikalau bukan kerana lakonan kuat para pelakon filem ini, babak-babak cantik yang betul-betul mewarnakan dunia pasca apokalips yang cantik (babi Hollywood!) tetapi terlalu picturesque, runut bunyi gila best, Gary Oldman, Ray Stevenson (daripada Rome, yey!) dan Jennifer Beals (rasa macam tengok drama Shakespeare pula sebab mereka ada), filem ini tidak ada apa-apa. Oh ya, plot dan pergerakan plot pun bagus, malah pengkahirannya bagus (kita sedari mukjizat yang ada pada Eli itu pada akhir filem berkait kerana dia tak mati-mati bila dicincang dan ditembak, kecuali secara dekat). Ini ada kena mengena dengan mata. Oleh sebab aku suka filem pascaapokalips jadi filem ni akan jadi filem simpanan aku pada masa depan nanti, tapi filem ni tetap tak dapat lawan filem yang sudah melampaui mesej "literasi" dalam The Postman, yang penuh intrig perjalanan dalam Waterworld, dan filem pascaapokalips terbaik dalam trilogi Mad Max.

Dan kemudian, aku menonton sebuah filem yang diberikan oleh AM Jarni, Un Prophete, arahan Jacques Audiard. Whooohhh.. ini satu genius sinema! Filem ini, aduh, susah untuk dinyatakan, tetapi bolehlah dikatakan antara filem yang faham tentang makna pergerakan dan pembangunan, walaupun tentang penjenayahan dan banduan. Ini bukan filem tentang nabi, dan mungkin amat kontreversial apabila memaparkan seorang Muslim yang sesat jalan menjadi ketua samseng terkuat, malah dianggap semacam "ajaib" untuk bersama mereka. Mungkin analoginya bergerak atas Rasulullah s.a.w. itu buta huruf, seperti watka filem, tetapi memang Audiard jauh daripada menyamakan si samseng itu dengan Rasulullah, malah kempen peperangan atau dakwahnya. Filem ini lebih berkenaan kemanusiaan, manusia dalam diri dan bagaimana manusia dalam diri itu boleh dibawa kembali (atau secara kompleks melalui evolusi) dengan situasi dan sebab akibat yang manusia itu tempuhi dengan reda dan sabar.

Filem bermula dengan sentuhan cahaya kelam, seakan mata yang terbuka sedikit. Watak samar-samar Tahar Rahim dipaparkan, penyendiri, keras tetapi lemah dan boleh dibuli. Tahar Rahim menemui "pencerahan" apabila berkawan. Satu teori sosial tipikal Peranchis (manusia tidak boleh maju tanpa bermasyarakat). Lalu cahaya melipahi Tahar, lagu runut juga berubah mendampingi watak Tahar apabila Tahar membaca, membuat kerja. Satu "pengharapan" sedang berlaku.

Apa yang menjadi kontreversi adalah bagaimana Audiard mengambil ideal keramat, seperti mengetahui sesuatu hal sebelum ia berlaku, dan dilawati "malaikat" atau "wali Allah" dengan delusi (atas penyendirian - Rasulullah s.a.w. menyendiri dalam Gua Hira' lalu Jibrail a.s. turun kepadanya membawa wahyu). Digambarkan secara psikologi dan sekali gus realisme magis, apa yang berlaku kepada Tahar sememangnya "kemurungan" lalu Tahar menampakkan imaginasi dan bayang-bayangan, menutup perasaan rasa bersalahnya membunuh. Malah, dalam "bayang-bayang" ini, Tahar di"gomol" oleh mangsanya yang menjadi "wali ghaib" yang mendampinginya. Ini menyebabkan filem ini kontreversial. Tetapi aku terpaksa akur, atas gaya ini, filem ini inovatif dan mempunyai kuasa sinema yang segar. Apabila watak Tahar hendak dibunuh, dan Tahar menyedari "Ada kijang di depan" lalu tiba-tiba kijang melanggar kereta, lalu lelaki Arab yang mahu membunuhnya menyoal, "Kamu ini sebenarnya siapa?" Satu adikarya daripada pengarahnya.

Audiard bukan sahaja cuba mencipta bagaimana satu legenda (atau sejarah kebesaran) boleh terwujud daripada satu watak (dengan berdasarkan budayanya atas kaca mata Barat), tetapi kecaman watak itu (di sini Islam) yang semakin hari memberi cahaya atau ketakutan buat masyarakat yang melihatnya "asing". Ini sesuatu yang menarik untuk dikaji, lebih-lebih lagi dalam pemahaman xenofobia (takut kepada sesuatu budaya dan orang yang asing). Kedatangan Islam dan orangnya pada bahu tanah Peranchis masih dianggap "asing" dan "terkeluar" daripada konsensus budaya Peranchis. Audiard secara halus (walaupun dianggap negatif oleh penonton Islam) memaparkan satu watak banduan yang mana humanismenya boleh dikaitkan dalam hal sarwajagat, walaupun dia bermoral buruk (malah bukan seorang Islam yang betul), amat menyentuh sanubari masyarakat Peranchis. Audiard semacam memaklumkan, adanya kemanusiaan dalam jiwa-jiwa orang Islam, walaupun seasing mana mereka kelihatan pada mata orang Barat, walaupun seorang Islam itu seorang penjenayah (ya, watak-watak anti-hero sebegini memang diminati Barat).

Semuanya sempurna dalam filem ini, walaupun kelihatan semacam bajet filem ini rendah, dengan banyak bermain dengan cahaya kelam dan ruang minimalis (penjara). Tetapi ingat, suntingan filem ini berpadu kuat, malah jalinan runut bunyi, efek suara, dan lakonan bersatu dalam ketentuan meyakinkan. Malah, jika ditonton sekali lagi, ia membuak makna-makna yang berlainan setiap kali.

Ini merupakan antara filem terbaik tahun lepas, walaupun aku tahu White Ribbon mungkin akan memenangi filem antarabangsa terbaik di Oskar, filem ini tetap satu batu loncatan sinema Peranchis. Bilalah kita dapat buat filem seepikal begini?