04 December 2025

Ninavau (2025): Konfesi di Sebuah Pagi yang Hening


Kiranya kita dalam fasa kemunculan sinema Sabah, apabila beberapa filem Sabah mula menampilkan mukanya untuk ditatapi beberapa tahun lepas dan tahun ini, seperti Syurga dalam Botol yang baru menyapa pawagam kita beberapa bulan yang lepas.

Kini, sebuah lagi filem hasil karya seorang wanita, Bebbra Mailin, yang lakon layarnya ditulis bersama-sama suaminya, Muzzamer Rahman (pengarah muda yang membawa kita Prebet Sapu) menyapa pawagam kita dengan puputan angin yang cukup tenang tapi terasa..

Dua babak awal menyapa aku dengan cukup mencuit. Satu, Edward si ayah (Edward Sinsong) yang membawa kedua-dua anaknya, Ninavau (Jovenea Jim) dan Elvira (Tati Eliana Tonny) menjenguk rumah (belum siap dan pahat juga tak berbunyi) keluarga mereka yang tidak siap (pekerja dari Indonesia ditangkap kerana tidak ada permit, kata Elvira). Harapan disampaikan oleh Elvira tentang perabot dan pengisian rumah mereka. Ninavau dan Edward hanya memerhati.

Kemudian, babak makan dan doa sebelum makan. Jika kita cepat, kita dapat menangkap bagaimana si Edward dan Elvira tertutup mata, berdoa, sedang Ninavau tidak mengangkat langsung tangannya.

Dua babak ini sahaja kita dapat perhatikan apakah harapan yang dibawa oleh Bebbra Mailin buat kita. Filem drama keluarga tentang seorang anak yang masuk Islam, rahsia dalam kalangan ahli keluarga, pandangan orang terhadap orang Sabah/Sarawak, penghakisan adat, memohon penerimaan atas pilihan; diikat dengan cara yang sungguh tenang, ia seperti suatu pandangan dari satelit terhadap mata taufan, cukup tenang, dan kadangkala dilihat indah, tapi kita tahu, betapa dahsyat dan lajunya angin yang sedang berpusing di ufuk hamparan laut itu.

Bebbra mengupas hal-hal ini dengan halus sekali, seperti lapisan bawang kerana sensitivitinya, dan kesensitifan sentuhannya cukup terasa. Dia juga memilih suatu percubaan berani, menampilkan para pelakon dengan lakonan "diam" dan kadangkala teaterikal, seperti yang kita temui dalam filem-filem Bergman. Namun, Bebbra juga mengambil sikap "realisme" terhadap lakonan wataknya, yang terasa, dilakonkan kurang natural (kadangkala, aku terasa para pelakonnya menuggu cue atau tidak betul-betul berada dengan wataknya). Namun hal itu di"tenang"kan dengan dinamisme Jovenea Jim dan Tati Eliana.

Kita lebih terikat dengan dua jalinan perhubungan watak adik-beradik ini sebagai "cerita ikutan" kita, sedari Elvira yang menyanyi koir pada awal filem menyapa gembira kakaknya Ninavau di bangku gereja. Malah, kebanyakan ikatan emosi yang dilepaskan, dilepaskan atas babak-babak yang dilalui oleh dua watak ini dalam satu adegan. Namun, Jovenea berperwatakan sunyi dan terkawal, sedang adiknya Elvira lebih melo-dramatik. Mengapa? Aku serius seperti menonton wayang Filipina, apabila protagonis satunya hanya bercakap apa-apa yang perlu, dan watak seorang lagi, selalunya perempuan, cukup tampil sebagai ratu drama, cukup menyampaikan masalah dunia dari dua pundak bahunya.

Hal ini tidaklah begitu canggung, namun aku rasa, inilah suara dan tanda tangan yang kita akan terima daripada Bebbra Mailin untuk filem-filem seterusnya. Kadangkala, dialognya cukup cringe, seperti apabila tunang Elvira menyebut (menahan Elvira daripada merokok): "Merokok membahayakan kesihatan." Tetapi Elvira kemudian membalas, "Cinta jauh lagi membahayakan." Pegh! Cukup kental sinema Filipinanya, atau boleh kita kata, sinema Bebbra Mailin.

Perjalanan drama keluarga ini nanti dibuka dengan beberapa rahsia. Mungkin ini "makanan" Bebbra kerana pernah mengenali agama Kristian. Malah, filem ini, dengan rahsia-rahsianya, merupakan suatu konfesi sunyi, yang "baru detik ini" hendak dikhabarkan. Konfesi menyucikan dosa (rujuk lagu koir awal). Dengan konfesi juga, seseorang itu menjadi lega, kerana apa yang perlu dikatakan sudah dikatakan pada orang yang perlu mendengarnya. Jadi, sifat konfesi filem ini yang disampaikan dengan penuh tenang dan sensitif (yang cukup sesuai diteliti sebagai pengajian perbandingan agama atau perbincangan antara agama), sebenarnya memohon dia, kita, untuk menyatakan yang sesungguhnya, setelah berapa lama kita (atau Sabah, atau filem Sabah) berdiam dengan segala ketidakadilan, kebungkaman dan tekanan yang dirasai.

Aku suka dengan nada lagu Andrew Bong yang menyentuh kita cukup-cukup rasa, dan membiarkan lagu koir, runut bunyi tertentu (Zaiton Sameon Menaruh Harapan!) dan muzik tradisi Kadazan bercerita. Juga, ada kekuatan yang jelas dengan sinematografi Bayu Prihantoro Filemon yang menangkap latar Sabah dengan gaya pencahayan natural, tapi masih mampu membuak beberapa ikatan syot yang indah dan berkata-kata. Juga suntingan Irwan Ahmad yang cukup terjaga.

Ninavau sebuah filem drama keluarga yang berkata-kata tanpa herdik dan raungan (seperti yang kita lihat dalam filem-filem melodrama Indonesia yang sampai ke pawagam kita dua tiga tahun ini), yang walaupun beberapa cara dan beberapa gayanya amatur, ceritanya, penyampaiannya, jiwanya betul. Sebuah filem keluarga yang boleh diraikan. Antara filem baik kita tahun ini. 



No comments: