12 April 2021

Ulasan: Butak (2020) atau Butak: Budok Tok Berjenis



"Banyak rahsiamu ni Butak. Rahsia hidup mu ni. Pandai-pandailah jaga diri, deh?" - Pak Man

Filem yang sebenarnya tertayang (secara OTT-eksklusif di Astro First) tahun lepas ini baru aku mampu/dapat tonton. Diadaptasi daripada novel kanak-kanak, Buntat Mengembara ke Makkah (2008) oleh Yahaya Awang (diadaptasi oleh Marthias Ali dan Sabri Yunus, Sabri selaku penulis lakon layar). Terdapat tiga masalah awal filem ini, yang aku rasa membuatkan filem ini tidak dapat disampaikan dengan sebaik-baiknya (bagi aku, hal ini berkaitan dengan bajet filem ini yang sekadar RM2 juta dibelanjakan): (1) runut bunyi atau skor lagu latarnya, (2) kareografi aksinya, dan (3) kesan CGInya. Hal (1) itu lebih menyerlah kerana kita dapat merasai bahawa yang kita dengar itu "tidak molek" dengan imej yang sedang tertayang, apatah lagi skor filem ini terasa seperti stok-stok lagu filem Hollywood (aku terdengar bunyi rentak lagu Irish atau Scottish pada satu babak). Kemudian, ada masalah dengan kareografi aksinya, walaupun tidaklah begitu jelas janggal. Aku merasakan, jika para produksi mempunyai penasihat dan tim kareografi aksi lasak (stunt act) yang mampu menyusun gerak aksi filem ini, taraf sinemanya akan lebih menyerlah. CGI pula tampak, jika "duit" lebih sedikit dipam masuk, mungkin banyak hal teknikal yang lebih "teliti" mampu diperbaiki untuk memberikan penonton kepercayaan (believability), khususnya pada babak akhir di Pelabuhan Pulau Pinang. 

Namun, atas kelemahan-kelemahan ini, filem ini mempunya cerita dan rohnya. Malah, cerita dan rohnya betul pada sekuen dan konsekuennya. Aku tidak pernah membaca novelnya, tetapi aku dimaklumkan bahawa filem ini hanya mengambil separuh daripada novel tulisan Yahaya Awang itu. Hal ini membijakkan kerana itu bukan motif Sabri (untuk melahirkan karya yang "setia"). Sabri mempunyai pilihan dan interpretasi tertentu terhadap karya yang diadpatasinya. Kisah filem ini mudah: suatu kembara. Siapa yang mengembara? Butak/Buntat (Izuan Fitri) yang melangsungkan satu "hijrah" dengan melarikan diri daripada atuknya, Haji Salleh (Bohari Ibrahim) dan neneknya, Hajah Limah (Khatijah Tan), dan menunggu kapal untuk membawanya ke Mekkah di Pulau Pinang. Nampak mudah? Tidak jika kita mengenali sisi dan dalaman Butak. 




Filem ini menampilkan sisi manusiawi dari sisi anak yang selalu disalah tanggap (misunderstood) dan disisih, seorang anak muda yang "terkeluar" daripada arus perdana masyarakatnya, dipandang hina/jahat, tetapi jelas mempunyai usaha untuk mengubah dirinya, dengan pilihan-pilihan yang mengejutkan.  Terdapat latar dan sisi psikologi yang molek, yang ditampilkan oleh Sabri dengan bernas, menampilkan tindakan bengkeng Butak. Filem ini juga berlangsung pada tahun 1968, sebuah period piece (selain coming of age) apabila rombongan yang hendak buat haji ke Tanah Suci harus mengambil kapal yang singgah di Pelabuhan Pulau Pinang. Di sini, kita sudah jelas akan latar dunia Butak. Perhatikan bagaimana Sabri memilih untuk menumpukan hal Butak dan pilihannya berhijrah, dan kemudian melalui advencer (ujian) sehingga mendewasakan atau berjaya mengeluarkannya pada ruang/tingkat yang lebih baik dalam penglihatan masyarakatnya.

Yang kita tonton ini ialah satu kembara diri/anak muda, yang juga sebenarnya suatu kembara rohaniah - untuk diri menemui/mengenali kembali fitrahnya, mengenali kewujudannya. Di sinilah insaniah dan kebijaksanaan Sabri bermain: sesiapa sahaja, walaupun buruk/jahat di mata masyarakat, jika dipilihnya yang berbuat baik (bertaubat), dia akan mendapat jalan kebaikannya. Kita nampak kesungguhan ini daripada cara Sabri mendekati karya ini dengan imej-imej. Khusus, terdapat babak Butak solat sendiri, kemudian memandang permaidani gantungan Kaabah dan Masjidil Haram di hadapan, lalu merenungnya. Sekilas itu (selain eksposisi Haji Salleh sudah menentukan takdir jalan cucunya melalui kata dan doa) kita sudah memahami isi hati Butak. Bayangan itu paling jelas dekat dan sedar efeknya terhadap Butak, jika dibandingkan dengan babak Penghulu (Kazar Saisi) di rumahnya dengan imej Kaabah yang sama, ataupun babak keluarga Rohayu (Nik Nur Amalina) pada babak di rumah singgah di Pulau Pinang. 

Satu lagi yang lebih jelas ialah paparan imej surau (balaisah) yang menampilkan orang keluar selepas selesai doa selamat. Jelas tertampil pertentangan binari atas-bawah (yang keluar dari pintu surau, yang berlegar di bawah surau), yang kemudian dijukstaposisi dengan penampilan Butak yang seorang, kelam di rumah atuknya. Hal inilah yang dimainkan dengan Sabri, yang aku rasa, paling kompleks pernah diusahakannya, yakni dua lapisan/pertindanan manusia dalam kelompok komunitinya, selain sudut miskin-kaya yang artifisial dan tidak terpakai dalam kosmologi ini, tetapi yang lebih menyerlah ialah insan dari sudut moral atau sekurang-kurangnya, tanggapan dan sikap, iaitu yang mulia-hina, yang alim-buta, sedar-lalai, bijak-bodoh, hati bersih-hati busuk, sederhana-melampau, siuman-gila, baik-jahat, berilmu-jahil, ikhlas-curang, dan sebagainya. Imej balaisah itu jelas bahawa dalam dunia Melayu Sabri, hal-hal ini tidak mampu "dihakimkan" kerana jiwa dan sifat manusia itu berubah-ubah menurut hawa pilihan, malah lebih mengesankan, selalu disalah hakimi oleh kita. Oleh sebab itu, Butak (dan secara bayangannya, Adnan/Nan, "guru silat" Butak" [lakonan baik Saidi Sabri]) merupakan imejan "budak yang tidak berjenis" atau tidak mampu dikotakkan oleh masyarakat umum. Malah, Butak melalui/melanggar kesemua binari itu. Oleh sebab itu, pada (spoiler) babak akhir, apabila Butak "menaiki darjat" dengan berjayanya naik ke kapal haji, dia melaungkan nama sebenarnya, "memahami makna diri"nya. Malah, babak akhir yang "indah" ini turut menampilkan, selain Butak yang kini berada di atas (untuk pergi Mekkah - untuk mencapai perjalanan menyempurnakan makna insan) memandang orang di bawah tebing pelabuhan (bandingkan babak ini dengan babak balaisah tadi), tetapi kini Butak seakan-akan melihat, dengan God's eye view, keadaan bising, kaos, hiruk-pikuk dunia di bawahnya, manusia yang pelbagai ragamnya, baik-jahatnya. Babak ini bukan sahaja indah dari segi penampilan kosmologi Melayu-Islam Sabri (yang baik dan buruk ini ada dalam manusia semata-mata, tetapi tidaklah baik dan buruk itu mutlak tetapi sentiasa berubah tempatnya), tetapi juga membawa kita pada "pembayangan" Padang Masyar atau akhir zaman (walaupun visual hakikat sebenarnya jauh lebih epikal/menakutkan) tentang tingkatan taraf yang berbeza dan tujuan perjalanan untuk ke akhirnya.



Lakon layar Sabri Yunus amat baik dalam hal ini, dibantu oleh lakonan bersahaja dan baik oleh barisan pelakon dewasanya, Kazar Saisi, Azman Md Hassan, Ahmad Nizam Bohari, Saidi Sabri, Khatijah Tan, Sabri Yunus, Fimie Don, Imuda, dan lain-lain. Izuan Fitri sebagai peneraju mungkin belum benar-benar menyerlah, namun dia cukup untuk membawa nama Butak bagi filem ini. Begitu juga dengan Nik Nur Amalina jika diberikan masa untuk digilap. Para pelakon kanak-kanak lain biasa dan kurang menyerlah. Kekuatan juga ada dalam tangkapan syot sefia dan luas sinematografi Mohd Shah Faizul Ibrahim, dengan bantuan jururias Faizal Zoulkifli dan pengarahan seni Fadzil Idris (walaupun aku sangsi dengan prop buku pada satu babak, yang tampak moden bukunya). Hanya runut-suntingan-efek suaranya agak janggal pada bahagian-bahagian tertentu, juga suntingan yang tidak mampu membantu babak-babak aksi yang lemah.

Sebuah filem yang sesuai ditonton sekeluarga.

No comments: