Showing posts with label Shamyl Othman. Show all posts
Showing posts with label Shamyl Othman. Show all posts

15 June 2026

Khadam (2026) Sebuah Gothik Melayu yang Bagus


Selain folk horror (seram desa? Seram cerita rakyat?) yang nampaknya mula menunjukkan taringnya dalam pembikinan filem di Malaysia, ada suatu subgenre seram yang aku kira kini muncul menunjukkan belangnya yang cukup baik apabila Khadam muncul di pawagam baru-baru ini, iaitu Gothik Melayu (Malay Gothic). 

Terma baharu ini (che wah) aku munculkan setelah menyedari dua filem tahun lepas yang cukup rencah bentuk atau ciri-cirinya yang memang ada dalam Gothik Melayu (istilah ini aku ambil daripada istilah Southern Gothic, filem/karya/sastera yang berpremiskan dunia seram Selatan Amerika Syarikat). Dua filem tersebut ialah Malam Terlarang dan Limbungan: Tragedi Hitam 1975.

Terdapat ciri-ciri yang jelas dalam Gothik Melayu yang terikat dengan makna diri dan budaya Melayu, khusus pada landskap kampung Melayu (sebagai bandingan kepada Southern Gothic), iaitu:

Ruang Berhantu: Jika gothik asal berlegar di agam besar atau istana lama ala Eropah, gothik Melayu berlegar pada ruang terperuk di hutan, rumah-rumah kampung lama yang hendak roboh, rumah-rumah kolonial tidak berpenghuni (Kellie's Castle), juga rumah agam lama di dalam estet.

Cerita Hantu Rakyat: Sepertimana Roh (tetapi filem itu mempunyai keistimewaan sendiri kerana hantunya lebih universal dan seakan-akan tidak terikat dengan makna diri Melayu), kisah hantu yang diceritakan oleh nenek pada waktu malam di bawah kelambu cukup menyeramkan. Hal ini ditambah lagi dengan ikatan yang cukup kuat antara orang tradisional Melayu dengan hal tahyul/hantu/semangat. Hantu polong, pontianak, toyol, pelesit, penanggal, hantu galah, dan pelbagai lagi menjadi cerita-cerita menyeramkan anak-anak kecil. Saka menjadi antara satu-satu jambatan jelas bahawa kisah hantu rakyat ini tidak wujud hanya sebagai cerita, tetapi amalan, malah budaya yang terbawa-bawa sampai ke era moden/bandar. Hal ini pernah ditimbulkan dalam dua filem seram MiG, Jangan Pandang Belakang (2007) dan Congkak (2008).

Sempadan Dua Alam: Dalam kisah-kisah ini, berlakunya perbandingan jelas antara kota dengan desa, antara kemodenan dengan kemunduran tradisional, atau antara ruang kampung bermanusia dengan ruang hutan tidak berpenghuni. Berlaku perbandingan dan hasrat bertukar tempat.perpindahan/melangkah sempadan.

Motif "Saka": Dalam ruang penuh rahsia yang gelap (rujuk filem Pusaka), dengan pelbagai amalan ilmu, lama/warisan (hitam atau putih) dan hafalan mantera, berkali-kali, makhluk/jin yang membantu manusia era tradisi ialah saka, suatu bentuk "pembantu" dari alam ghaib yang membantu orang dulu membuka tanah, dan pelbagai lagi usaha kerja, semata-mata untuk orang lama mampu melangsungkan hidup. Hal ini yang membezakan citra Barat yang melihat hal ini sebagai "ilmu purba", tetapi bagi ornag Islam, kita menolaknya kerana sifat khurafatnya. Sikap kita ini berbeza dengan Southern Gothic dalam kalangan waris kulit hitam Amerika yang menerimanya sebagaii warisan magis/agama tuk nenek mereka, khususnya voodoo, atau dalam kalangan kulit putih yang turut percaya pada kekuatan sakti ahli sihir (witch) yang kononnya lebih mendekati alam.

Keempat-empat ciri ini bukan sahaja tertusuk cukup dalam di dalam filem Khadam, tetapi disusun dan diceritakan dengan cukup baik sekali.

Khadam seperti sebuah filem "lama" yang timbul segar, tiba-tiba pada alaf baharu 2026. Kita nampak motif lazim (trope) yang ada dalam Khadam, ada dalam beberapa filem seram terdahulu, tetapi Khadam semacam membuat "ulang kaji", penilaian dan mengemas kini motif-motif itu pada tempat dan letaknya yang lebih sesuai, memunculkan sebuah alam keluarga dan watak yang hidup dengan sebab-akibatnya yang cukup terjalin lekap. 

Sifat watak tradisi (Melor dan anaknya Puteh si kakak dan Hitam si adik hidup pada era Malaya baru mencapai kemerdekaan, tahun 1957) itu sedang berdiri betul-betul pada persimpangan zaman. Ini suatu kenyataan kuat penulis lakon layarnya, Fariza Azlina Isahak yang memohon watak/kita untuk memilih sikap yang lebih maju/mulia terhadap sifat lama (duduk terperuk di kampung, terikat dengan SPOILER saka maknya). Hal ini cukup indah kerana Fariza memahami sejarah kerana memang zaman itu, selain dakwah ASAS50 dalam tulisan sastera mereka, Pendeta Za'ba dan kebanyakan ilmuwan Melayu era itu memohon agar orang Melayu berubah sikap, meninggalkan "sifat lapuk tradisi" yang tidak membawa kepada kemajuan diri dan berubah, melalui ilmu, untuk hidup pada masa hadapan yang lebih cerah. 

Sifat buruk lama/lapuk inilah motif besar atau citra SAKA filem ini, yang dengan sengaja, sentiasa dijadikan bayang-bayang kembar si tuan pemakainya. Jelas, SAKA ini hanyalah bayang-bayang semata-mata, bukan figura nyata(!) yang mengheret kita ke Melaka (eh tak, neraka), atau dalam bahasa filem ini, ke GUA (satu lagi motf jelas, dengan peribahasa: masuk ke gua - kembali hidup melarat). Hal ini sungguh menyentak dan cukup teradun. Malah Melor, seorang mangsa warisan saka itu, diberikan babak dia berhadapan dengan cermin! Alangkah menarik! Jadi motif lama ini turut diikat dengan bahasa filem yang moden - menjadikan naratif dan imejan filem ini sungguh sofistikated.

Aku juga merasakan, antara banyak-banyak filem Shamyl Othman, ini filem Shamyl yang paling matang dan cukup berkesan. Shamyl berjaya mengembalikan penjiwaan nafas alam kampung filem seram hitam putih Pontianak dengan nada dan sentimen moden. Shamyl cukup kental mengikat peran wataknya, yang hanya lima-enam orang sahaja dalam ruang yang minimal dan terperuk, seperti Roh. Pengarahan Shamyl memberikan nafas, perangai dan tingkah laku bagi setiap satu wataknya untuk menjadi hidup di layar. 

Jika hendak dibandingkan dengan Roh, memang suasana seram dan serba dread Roh lebih menyeramkan. Tetapi Khadam (walaupun mempunyai beberapa babak mengejutkan yang tersendiri, tetapi maaf, hihi, takde satu babak buat aku tutup mata, hanya seronok) mempunyai tujuan lain, yang berjaya dilangsaikan oleh Shamyl. Dalam skrip ketat dan bijak Fariza, Shamyl tahu bahawa inti penting yang perlu dijaga dalam Khadam ialah psikologi setiap watak. Jika unsur ini tidak dijaga, keinginan, sebab-akibat dan tujuan peran setiap watak akan hancur. Perkembangan watak akan hilang. Dan inilah yang dijaga dengan cukup intim dan halus oleh Shamyl (Shamyl berjaya memalukan kebanyakan pengarah filem seram tempatan dalam hal ini). Dengan kekuatan ini, Shamyl kemudian memberikan kita ton saspens atau debar yang cukup memikat untuk babak-babak yang memerlukannya, membuatkan degup jantung dan getar hati kita juga berdebar-debar. Satu daripada babak itu, cukup, dalam satu syot, ialah babak Melor dengan pisau cukup dan jambang Awang, suaminya, cukup tegang dan merisaukan. Hal ini juga dibantu oleh suntingan baik John Hafiz untuk setiap syot dijalin baik.

Satu lagi ialah ton saspens panjang yang terbina baik untuk mengisi rasa terdesak wataknya. Misalnya babak awal Melor yang ditampilkan, pelbagai "ujian" atau dalam bahasa kampung, "malapetaka/benda sial" yang berlaku terhadap Melor dan anak-anaknya (jatuh bumbung, tanaman diserang babi, ayam pelihara mati). Setiap syot itu membina suatu rasa terdesak sebab-akibat Melor, yang awalnya tegas tidak akan mengambil saka ibunya, akhirnya menyerahkan diri di hujung gua dengan barang hidangan untuk si saka.

Hal inilah yang berjaya diikat-jalin oleh Shamyl dengan baik sekali, mengikat kita untuk bersimpati pada Melor dan anak-anaknya beberapa kali. Dan, ikatan-ikatan babak ini pula mempunyai subplot-subplot lain, yang turut mengguna pakai urusan saspens bijak Shamyl (antara yang baik dan cukup berlapisan ialah persoalan memenuhkan batin sang suami, yang juga merupakan hal yang selalu diceritakan pada era 50-an dan 60-an dalam sastera kita) agar membuat para penonton terasa at the edge of their seat.

Hal ini juga dibantu dnegan cukup baik dengan sinematografi indah dan cukup fungsional Haris Hue Abdullah untuk memggerakkan watak dalam bingkai yang betul, baik untuk babak saspens, tenang, drama, sedih, termasuk tragis (mayhem).

Efek suara filem ini juga cukup terasa kuatnya, membantu lagi filem ini apabila melekap skop ngeri dan debar. Hal ini turut dibantu oleh skor lagu Rendra Zawawi, dengan bunyi hentakan (seperti debar jantung) dan alunan tali, mengembalikan kita pada skor muzik era filem seram hitam putih yang cukup gempar membunyikan hentakan kayu, tetapi dengan rasa yang lebih moden, segar, mengikut alaf dan nadi sekarang.

Beberapa hal lain seperti seni pengarahan, tata rias, busana, solekan, dan prop mencapai kecemerlangannya yang tersendiri kerana kita terasa hidup dan menghirup udara era 1950-an di sebuah rumah kampung yang terperuk di pedalaman.

Barisan pelakonnya juga cukup mencengkam, baik daripada kedua-dua budak, iaitu Zarra Zaff sebagai Puteh dan Karl El (mak ai, nama budak alfa sekarang ke?) sebagai Hitam. Juga June Lojong sebagai Nek Mak, Siti Khadijah Halim sebagai Manis (watak pemberi ilmu ala Melati Kota Bharu dalam filem ini) dan Remy Ishak sebagai Awang cukup memukau. Namun begitu, pujian besar haruslah diberikan kepada Aghniny Haque sebagai Melor, yang berjaya membulatkan watak dan perwatakannya dalam ruang lakonan tiga dimensi, tanpa dia perlu berkata-kata lalu berlakon sebagai si ibu bisu dengan cukup berkesan sekali. 

Ini suatu tanda yang baik untuk filem kita, bahawa ada pembikin filem kita yang peduli untuk membikin sebuah filem yang baik, yang cukup serba-serbinya terjaga, dan tetap mempunyai lapisan-lapisan, baik emosi juga akli yang lunak untuk direnungkan oleh penontonnya.

Antara filem terbaik kita tahun ini.

Klasifikasi 16 - Ada babak imbauan seksual yang mungkin kurang sesuai untuk kanak-kanak bawah umur, juga dua babak ganas yang mungkin menakutkan kanak-kanak.

30 October 2015

Tiga Filem Tempatan untuk Diraikan

Nota Fadz: Nampaknya, Malaysia tahun ini, selepas Festival Filem Malaysia, selepas Polis Evo, terdapat deretan filem yang menarik dan dibuat sekurang-kurangnya dengan semangat dan berisi.

Rembat (2015)
Sharryl Othman, pengarah muda berpotensi dalam jejak komedi (tahun lepas menghasilkan Kami Histeria), sudah tentu akan dibandingkan karyanya dengan ayahnya, Hafsham yang amat dikenali sebagai pengarah yang telah menghasilkan sebuah filem era 1980-an yang diangkat-angkat oleh pengkritik zaman itu sebagai filem komedi terbaik yang berjaya membikin sebuah filem "Malaysia", khususnya dalam sikap muhibah, Mekanik

Aku sendiri, tidak dapat menahan membandingkan Rembat dengan Mekanik. Filem yang ditulis oleh Amir Rohayat dan Rafidah Abdullah ini, bagi aku, lebih superior dalam banyak segi daripada outdated tetapi nostalgik Mekanik. Filem komedi, untuk tahun ini, yang sesuai dalam masyarakat "muhibah" yang tidak menipu, duduk letak menarik, dan sempat menyuntik, malah menumbuk kritikan sosial yang amat-amat perlu akan keadaan masyarakat kita yang penuh dengan kelemahan, kegilaan, dan eksentriknya.

Jika dilihat pun, terdapat gerakan semacam tidak linear dalam Mekanik, yang dihentak-hentak dalam jalan ceritanya. Hal ini kebiasaan, khususnya dalam menampilkan bahawa komedi bergerak dalam sketsa, maka terasa bersegmen-segmen (dan ada yang menjadi klasik, restoran-warung, menari waktu hujan, dan dialog orang biru Susan Lakanster umpamanya). Rembat juga, mengambil gerakan yang sama (bentuk sama pernah diguna pakai oleh Aziz dalam francais Senario dan Zami untuk Dunia Baru), sketsa berlaku dalam segmen, tetapi kali ini, garisan linearnya terasa, terdapat struktur, tidak  terasa raw, seperti Mekanik.  Biasalah, bandingkan filem komedi Mel Brooks, Carry On, atau Monty Phyton, dalam sketsa-sketsa itu, akan ada yang menjadi, ada yang tidak, begitu juga dengan Rembat (untuk era sekarang, kita tidak terasa kelakar, malah bosan pada segmen babak hantu Jepun), yang melonggarkan struktur ceritanya, termasuk beberapa babak penyelesaian. Namun, yang lebih penting buat filem komedi ialah unsurnya untuk membuat kita ketawa, dan betapalah aku dapat ketawa dalam beberapa babak yang segar, dan lawaknya itu bermaksud, dan ini yang terdampar ada, dan menjadi perhatian.

Gerak cerita filem bergerak seperti sebuah filem jalanan, dua manusia Malaysia berbeza etnik ditemukan dalam Aniu dan Shaheizy Sam (kedua-duanya memberikan lakonan yang amat menggalakkan, malah menenggelamkan watak-watak sampingan lain). Aku berasa, perhubungan mereka dan gerak suka-benci antara mereka berdua menjadi, malah terdapat sentuhan manusiawi dalam menyelesaikan misi mereka yang tidak sudah-sudah diberikan halangan. Terdapat halangan yang baik dan terdapat halangan yang tidak munasabah. Filem ini turut, pada era ini, relevan dalam mentafsirkan maksud politik kotor dan mainan rasuah (bukan sahaja FIFA) masyarakatnya, suatu lemparan yang agak berani terhadap keadaan politik dan gerak masyarakat sekarang. Tetapi, terutamanya, filem ini sebenarnya sebuah filem yang suam-suam menyelitkan suara patriotik dengan sinis, mengejek-ejek masyarakatnya yang hilang identiti, dengan baik sekali, memaparkan kita lebih Barat daripada Barat, lebih Timur daripada Timur (kerana sikap tidak mempercayai kekuatan dan keunikan jati diri dan diri sendiri - jelas sangat dengan PAGE yang bergedik nak kembalikan PPSMI, sebagai contoh), melebih-lebih, dan banyak sekali bersikap tidak apa. Namun, dalam kekurangan kita, setelah diejek oleh Sharryl, Amir dan Rafidah, kita, seperti khalayak penonton filem ini, bersama-sama menyokong, memberikan galakan dan semangat terhadap nilai yang kita lihat sebagai baik dan kita mahu dikekalkan; mempercayai diri sendiri (dan jati diri), cinta dan perpaduan, kerana kita, mahu tidak mahu ialah masyarakat Malaysia. Begitulah optimis dan seimbangnya filem ini, cuba bercakap dan berhubung dengan masyarakatnya sekarang.

Love, Supermoon (2015)

Mungkin babak penyelesaian dan pengakhiran filem chic flick ini buat aku dan isteri aku (tapi taste isteri aku ialah Lagenda Budak Setan dan Ombak Rindu, jadi ...) terlalu tergesa-gesa, tetapi secara keseluruhan, filem ini, mempunyai tahapnya yang tersendiri dalam filem komedi romantik tahun ini.

Filem ini sangat tempatan, mengambil sikap abang angkat dan adik angkat (kredit awal filem sedikit longgar, tidak ada simbolisme kuat yang memberikan petanda filem ini tentang apa) yang kemudiannya menjadi battle of the sexes antara dua pelakon hebat, Farid Kamil dan Nadiya Nisaa', dari sekolah menengah, sehingga bekerja dan kahwin, dari 90-an hingga awal abad ke-21. Pergerakan kisah mereka berdua, dan sang lelaki dengan cakapnya, dan sang wanita dengan cakapnya, mereka berdua pun bukannya "seia" dan "sekata", tetapi, seperti munculnya bulan (ah, sudah lama tidak menonton Moonstruck!), kita tahu, mereka akan menyatu (walaupun mungkin sekejap?). Ya, inilah When Harry Met Sally kita yang menarik.

Perkara yang aku suka tentang filem ini ialah kejujurannya membina ruang lelaki dengan percakapan dan kefahaman dan cuba memahami (atau mengejek) kaum hawa, dan sebelah wanita pula, dengan Nadiya-Rita-Anne yang, apabila bertemu tidak habis-habis mengumpat(!) tentang setiap orang yang bagi mereka tidak kena (dan sudah tentu, yang jelas tidak kena di sini ialah watak Farid). Gerakan era demi era ini menarik (selain amat-amat menekuni perbezaan dan perubahan latar dan budaya popnya), seakan-akan menyatakan, dalam sikap yang positif, bahawa manusia, Farid dan Nadiya, akan berubah mengikut masa, jika diberikan peluang. Peredaran dari satu zaman ke zaman ini juga perlu, dalam memberikan "perjalanan kematangan" kepada watak-wataknya, khususnya Farid dan Nadiya dalam menguatkan lagi logik penyatuan mereka. Aku mempercayai dan merasai gelisah dan cabaran Nadiya, dan perasaan intim yang disimpannya. Aku kurang mempercayai Farid, walaupun pengarahnya berusaha memberikan beberapa cue bahawa Farid "mengingati" Nadiya. Namun yang penting, seperti bulan (simbolisme ini penting, mengambil kefahaman "datang bulan" para wanita), dalam peredaran zaman, manusia sebenarnya dinamis dalam membentuk dan membangunkan diri mereka, dan sikap inilah yang diambil oleh filem ini. 

Kesemua para pelakonnya baik. Pujian sebenar haruslah diberikan kepada Wan Hasliza sebagai penulis dan pengarah kerana berjaya memberikan suatu karya komedi romantik yang matang. Mungkin runut bunyinya belum mencapai kesempurnaan, tetapi dalam banyak perkara, filem ini tidak perlu terlalu bersungguh-sungguh dalam bentuk dan teknik, kerana watak, gerak cerita dan percakapan dialog dalam filem ini yang menjadi bintangnya. Wan Hasliza bukan di tempat Rafidah Abdullah (Rafidah lebih mendekati Amy Heckerling dan John Hughes) tetapi berada di tempat seperti Nora Ephron dan Amy Schumer, dan kemungkinan dalam liga Woody Allen dan Robert Altman jika kita dapat melihat perkembangan filem-filem seterusnya. Bagi pencipta francais baik, Dunia Baru, dan siri komedi terbaik peribadi aku, Keluarga Iskandar, dan pengarah Penunggu Istana, filem ini merupakan suatu milestone buat pengarah-penulisnya. 

Juvana 2: Terperangkap dalam Kebebasan (2015)

Faisal Ishak, dengan bantuan penulisan Alfie Palermo, nampaknya meneruskan francais televisyen ke filem berjaya, Juvana, dengan beberapa watak dan penyimpangan baharu yang menarik, gelap dan mengancam dalam sekuel kali ini. Sekuel ini amat gelap, dan mungkin sedikit mencurigakan bagi beberapa penonton kerana sikap Faisal dan Alfie yang mengambil jalan "tergantung" untuk menyelesaikan filem ini dalam suatu trilogi. Namun perkembangan yang dibuat, meneruskan kisah Daim, Botak, Ayam, (kali ini Apek belum keluar daripada juvana), Kicap, dan kawan-kawannya, membuatkan filem ini mempunyai potensi sebagai antara francais terbaik yang pernah dihasilkan oleh pembikin Malaysia.

Dalam sekuel ini sahaja, kita seakan-akan diberikan suatu semangat The Wrath of Khan (setelah sedikit kecewa dengan filem awalnya) akan perjalanan dan pengalaman Daim, Botak dan Ayam di luar ruang penjara juvenil. Daim sudah bergerak menjadi manusia biasa, dengan menekuni sarjana mudanya dalam undang-undang bersama-sama dengan aweknya. Ayam pula diberi amanah menjaga adik-adik Apek (mereka tidak ada ibu bapa). Botak mempunyai cerita yang paling menarik (dan Johan As'ari merupakan bintang utama dalam filem ini, lakonannya, sangat fenomena), kembali ke rumah ayahnya yang kini menagih dadah dan berhutang along, yang semuanya menjerat kembali anak-anak penuh harapan ini pada kegelapan dunia samseng dan dosa mahal.

Dalam gerak ini, Faisal dan Alfie memberi pula suatu kejutan apabila bekas pengetua sekolah budak jahat itu, Tuan Raja, yang dimainkan dengan berkesan sekali oleh Hasnul Rahmat kini datang menyusun jejaknya. Rancangan dan gerak lakunya, dengan tasbih di tangan, duduk bersila di atas sejadah, memberikan suatu imejan dan gerak laku yang amat fenomenal dan menakutkan. Raja, sememangnya suatu bayangan iblis yang amat berjaya diungapkan oleh teks dan wayang, yang turut membayangkan bentuk wajah ahli politik yang menggunakan ilmu dan kefahaman agama untuk menyesatkan manusia.

Segalanya baik kali ini, lakonan, gerak dramatik, sinematografi, runut bunyi, malah aksi, dipadu dengan dialog-dialog yang mengancam dan suatu hari nanti akan menjadi legenda tersendiri. Kini, anak-anak ini bukan lagi bermain dalam benang rites of passage, tetapi jerat dan seram dunia yang tidak adil untuk mereka, karma jahat terhadap kebaikan yang mereka cari dan temui sewaktu di dalam sekolah itu (atas sebab itu, babak dan latar sekolah itu sekarang sudah menjadi tempat liburan menjadi lapisan yang penting di sini, bukan sahaja menegakkan agakan bahawa tempat seram/hitam itu sudah dipasifikan). Filem ini seperti suatu lorong yang kelam dna menakutkan, di bawah tanah Vienna dalam filem The Third Man. Kita ialah Harry Lime yang berlari mencari jalan keluar yang semuanya sudah diperangkap oleh samseng dan takdir jahat.

Untuk apa manusia berdendam? Untuk apa manusia mengguna manusia lain? Kenapa manusia terperangkap dalam rumah sesat dosa dan hitam? Watak bekas juvenil ini terpaksa mendepani persoalan dewasa ini sekali lagi dengan keadaan yang amat merumitkan, dan mungkin akan menjerat mereka selama-lamanya dalam takdir yang mereka tidak mahukan. Dan, memang, setakat ini, kemanusiaan dan kematangan mereka masih waras dan bertahan (malah, dipaparkan, dapat memaafkan), tetapi semua ini, nampaknya akan selesai terjawab dengan bahagian ketiga yang seterusnya. Suatu filem aksi, jenayah, dan gelap yang menarik pada tahun ini untuk diikuti.

13 February 2014

Kami Histeria(2014): Suam-suam Kuku Langsuir

Jossie and the Pussycats bertemu Wishmaster versi Rafidah Abdullah.

Shamyl merupakan orang baharu yang banyak menghasilkan telefilem dan drama untuk Red Communications. Seperti yang kita sudah sedia kenal dengan filem titipan Rafidah, dengan bantuan Shamyl, membawakan filem berkenaan anak muda yang cuba meletakkan diri mereka di atas peta, melalui cara-cara (yang mungkin) salah.

Gaya pembawaan Shamyl baharu dalam dunia tempatan, dengan tempelan bunyi dan CGI yang tiba-tiba, mengingatkan kita dengan gaya pop-maya Edgar Wright, atau adik tiri Joseph Kahn. Efek ini sudah tentu mengikut "fokus penonton", yakni budak-budak universiti dan sesiapa yang suka warna-warna cantik atau perempuan muda-cantik (termasuk lesbian) dan lelaki muda-cantik (yakni Izzue Islam). Cerita senang ini bermain dengan moral zaman tuk kaduk dahulu tentang, "Jangan main benda yang kita tidak tahu."

Benda yang kita tidak tahu menjelma dalam bentuk Nur Fazura yang sungguh menggiurkan, kita tidak risau jika Fazura (atau Cik Lang) nak buat apa dengan kita. Fazura memberikan suara soprano (ini siulan orang Barat yang tiba-tiba tersesat dalam filem Melayu, nice job guys) paling tasteful dalam sejarah filem Melayu, kalah Azman Abu Hassan dalam Femina. Suara "berhantu" itulah yang membuatkan grup muzik lima gadis Melayu itu "meletop" tiba-tiba. Kelakar dan kekalutan menyirap sehingga akhir.

Filem ini filem "bertih jagung", seronok, cepat, ringan, dan rangup. Aku mempunyai syak bahawa Rafidah sengaja buat filem bodo-bodo sempoi ini untuk menyelar keadaan industri filem tempatan sekarang yang kehausan mencari penonton (seperti girl band ini mencari penonton) dan terperangkap dengan janji-janji manis seekor hantu (pembikin memilih untuk membikin filem hantu-tahyul) untuk cepat dikenali. Menariknya, terdapat perlambangan yang jelas dalam empat orang itu (yang nama pembikinnya tak elok disebut) dan lebih penting, terdapat semangat tinggi untuk mereka menghasilkan seni (perlambangan pembikin filem muda) yang mahu tidak mahu, terpaksa terperosok menyunting unsur populis (atau disyakki popular) untuk mempopularkan diri. Alah, perlambangan ini sahaja amat berkaitan dengan perangai ahli politik kita.

Afdlin Shauki menjadi "berhala" yang disembah pula oleh Cik Lang, membawa suatu persoalan paradoks yang menarik. Adakah Afdlin jawpaan kepada pautan filem lama (gaya Cik Lang) dengan filem baharu (gaya band itu) atau Afdlin terbikin filem hantu bodoh (maaf Afdlin) atau Afdlin kelakar atau Afdlin gemuk? Perkara ini sesuai dianalisis oleh anak-anak murid filem kelolaan Prof. Razak Mohaideen dalam suatu wacana akademik yang serius.

Runut bunyi Loque dalam filem ini membawa sinar yang mensirna semua bentuk lagu entah apa-apa yang berlaku dalam industri kita. Loque ialah cahaya harapan industri kita, harapan yang dulu aku letakkan kepada M. Nasir, nampaknya pancarannya di situ (Songlap juga dia sudah membuktikannya).

Kesemua pelakon melakukan peran sebagai yang sepatutnya untuk watak, khusus lima watak utamanya yang mencuit dengan pelbagai karakter dan sisi yang dijelmakan. Persoalan wanita berdiri atas kaki sendiri (untuk menyelesaikan masalah) dengan mengheret seorang lelaki "besar" memang kelakar dan menarik. Izzue biasa dalam filem ini (namun entah berapa banyak perempuan di kelilingku yang mencuit-cuit baju kurung kawannya di sebelah setiap kali dia muncul) dan Diana Danielle menyelerakan (ops, isteri orang).

Filem komedi remaja yang ringan dan menghiburkan.

Klasifikasi Kami Histeria: P13, Terdapat babak "seram" dan ganas yang mungkin tidak sesuai untuk tontonan penonton bawah umur.
DITONTON DI GSC, Mid Valley.