15 June 2026

Khadam (2026) Sebuah Gothik Melayu yang Bagus


Selain folk horror (seram desa? Seram cerita rakyat?) yang nampaknya mula menunjukkan taringnya dalam pembikinan filem di Malaysia, ada suatu subgenre seram yang aku kira kini muncul menunjukkan belangnya yang cukup baik apabila Khadam muncul di pawagam baru-baru ini, iaitu Gothik Melayu (Malay Gothic). 

Terma baharu ini (che wah) aku munculkan setelah menyedari dua filem tahun lepas yang cukup rencah bentuk atau ciri-cirinya yang memang ada dalam Gothik Melayu (istilah ini aku ambil daripada istilah Southern Gothic, filem/karya/sastera yang berpremiskan dunia seram Selatan Amerika Syarikat). Dua filem tersebut ialah Malam Terlarang dan Limbungan: Tragedi Hitam 1975.

Terdapat ciri-ciri yang jelas dalam Gothik Melayu yang terikat dengan makna diri dan budaya Melayu, khusus pada landskap kampung Melayu (sebagai bandingan kepada Southern Gothic), iaitu:

Ruang Berhantu: Jika gothik asal berlegar di agam besar atau istana lama ala Eropah, gothik Melayu berlegar pada ruang terperuk di hutan, rumah-rumah kampung lama yang hendak roboh, rumah-rumah kolonial tidak berpenghuni (Kellie's Castle), juga rumah agam lama di dalam estet.

Cerita Hantu Rakyat: Sepertimana Roh (tetapi filem itu mempunyai keistimewaan sendiri kerana hantunya lebih universal dan seakan-akan tidak terikat dengan makna diri Melayu), kisah hantu yang diceritakan oleh nenek pada waktu malam di bawah kelambu cukup menyeramkan. Hal ini ditambah lagi dengan ikatan yang cukup kuat antara orang tradisional Melayu dengan hal tahyul/hantu/semangat. Hantu polong, pontianak, toyol, pelesit, penanggal, hantu galah, dan pelbagai lagi menjadi cerita-cerita menyeramkan anak-anak kecil. Saka menjadi antara satu-satu jambatan jelas bahawa kisah hantu rakyat ini tidak wujud hanya sebagai cerita, tetapi amalan, malah budaya yang terbawa-bawa sampai ke era moden/bandar. Hal ini pernah ditimbulkan dalam dua filem seram MiG, Jangan Pandang Belakang (2007) dan Congkak (2008).

Sempadan Dua Alam: Dalam kisah-kisah ini, berlakunya perbandingan jelas antara kota dengan desa, antara kemodenan dengan kemunduran tradisional, atau antara ruang kampung bermanusia dengan ruang hutan tidak berpenghuni. Berlaku perbandingan dan hasrat bertukar tempat.perpindahan/melangkah sempadan.

Motif "Saka": Dalam ruang penuh rahsia yang gelap (rujuk filem Pusaka), dengan pelbagai amalan ilmu, lama/warisan (hitam atau putih) dan hafalan mantera, berkali-kali, makhluk/jin yang membantu manusia era tradisi ialah saka, suatu bentuk "pembantu" dari alam ghaib yang membantu orang dulu membuka tanah, dan pelbagai lagi usaha kerja, semata-mata untuk orang lama mampu melangsungkan hidup. Hal ini yang membezakan citra Barat yang melihat hal ini sebagai "ilmu purba", tetapi bagi ornag Islam, kita menolaknya kerana sifat khurafatnya. Sikap kita ini berbeza dengan Southern Gothic dalam kalangan waris kulit hitam Amerika yang menerimanya sebagaii warisan magis/agama tuk nenek mereka, khususnya voodoo, atau dalam kalangan kulit putih yang turut percaya pada kekuatan sakti ahli sihir (witch) yang kononnya lebih mendekati alam.

Keempat-empat ciri ini bukan sahaja tertusuk cukup dalam di dalam filem Khadam, tetapi disusun dan diceritakan dengan cukup baik sekali.

Khadam seperti sebuah filem "lama" yang timbul segar, tiba-tiba pada alaf baharu 2026. Kita nampak motif lazim (trope) yang ada dalam Khadam, ada dalam beberapa filem seram terdahulu, tetapi Khadam semacam membuat "ulang kaji", penilaian dan mengemas kini motif-motif itu pada tempat dan letaknya yang lebih sesuai, memunculkan sebuah alam keluarga dan watak yang hidup dengan sebab-akibatnya yang cukup terjalin lekap. 

Sifat watak tradisi (Melor dan anaknya Puteh si kakak dan Hitam si adik hidup pada era Malaya baru mencapai kemerdekaan, tahun 1957) itu sedang berdiri betul-betul pada persimpangan zaman. Ini suatu kenyataan kuat penulis lakon layarnya, Fariza Azlina Isahak yang memohon watak/kita untuk memilih sikap yang lebih maju/mulia terhadap sifat lama (duduk terperuk di kampung, terikat dengan SPOILER saka maknya). Hal ini cukup indah kerana Fariza memahami sejarah kerana memang zaman itu, selain dakwah ASAS50 dalam tulisan sastera mereka, Pendeta Za'ba dan kebanyakan ilmuwan Melayu era itu memohon agar orang Melayu berubah sikap, meninggalkan "sifat lapuk tradisi" yang tidak membawa kepada kemajuan diri dan berubah, melalui ilmu, untuk hidup pada masa hadapan yang lebih cerah. 

Sifat buruk lama/lapuk inilah motif besar atau citra SAKA filem ini, yang dengan sengaja, sentiasa dijadikan bayang-bayang kembar si tuan pemakainya. Jelas, SAKA ini hanyalah bayang-bayang semata-mata, bukan figura nyata(!) yang mengheret kita ke Melaka (eh tak, neraka), atau dalam bahasa filem ini, ke GUA (satu lagi motf jelas, dengan peribahasa: masuk ke gua - kembali hidup melarat). Hal ini sungguh menyentak dan cukup teradun. Malah Melor, seorang mangsa warisan saka itu, diberikan babak dia berhadapan dengan cermin! Alangkah menarik! Jadi motif lama ini turut diikat dengan bahasa filem yang moden - menjadikan naratif dan imejan filem ini sungguh sofistikated.

Aku juga merasakan, antara banyak-banyak filem Shamyl Othman, ini filem Shamyl yang paling matang dan cukup berkesan. Shamyl berjaya mengembalikan penjiwaan nafas alam kampung filem seram hitam putih Pontianak dengan nada dan sentimen moden. Shamyl cukup kental mengikat peran wataknya, yang hanya lima-enam orang sahaja dalam ruang yang minimal dan terperuk, seperti Roh. Pengarahan Shamyl memberikan nafas, perangai dan tingkah laku bagi setiap satu wataknya untuk menjadi hidup di layar. 

Jika hendak dibandingkan dengan Roh, memang suasana seram dan serba dread Roh lebih menyeramkan. Tetapi Khadam (walaupun mempunyai beberapa babak mengejutkan yang tersendiri, tetapi maaf, hihi, takde satu babak buat aku tutup mata, hanya seronok) mempunyai tujuan lain, yang berjaya dilangsaikan oleh Shamyl. Dalam skrip ketat dan bijak Fariza, Shamyl tahu bahawa inti penting yang perlu dijaga dalam Khadam ialah psikologi setiap watak. Jika unsur ini tidak dijaga, keinginan, sebab-akibat dan tujuan peran setiap watak akan hancur. Perkembangan watak akan hilang. Dan inilah yang dijaga dengan cukup intim dan halus oleh Shamyl (Shamyl berjaya memalukan kebanyakan pengarah filem seram tempatan dalam hal ini). Dengan kekuatan ini, Shamyl kemudian memberikan kita ton saspens atau debar yang cukup memikat untuk babak-babak yang memerlukannya, membuatkan degup jantung dan getar hati kita juga berdebar-debar. Satu daripada babak itu, cukup, dalam satu syot, ialah babak Melor dengan pisau cukup dan jambang Awang, suaminya, cukup tegang dan merisaukan. Hal ini juga dibantu oleh suntingan baik John Hafiz untuk setiap syot dijalin baik.

Satu lagi ialah ton saspens panjang yang terbina baik untuk mengisi rasa terdesak wataknya. Misalnya babak awal Melor yang ditampilkan, pelbagai "ujian" atau dalam bahasa kampung, "malapetaka/benda sial" yang berlaku terhadap Melor dan anak-anaknya (jatuh bumbung, tanaman diserang babi, ayam pelihara mati). Setiap syot itu membina suatu rasa terdesak sebab-akibat Melor, yang awalnya tegas tidak akan mengambil saka ibunya, akhirnya menyerahkan diri di hujung gua dengan barang hidangan untuk si saka.

Hal inilah yang berjaya diikat-jalin oleh Shamyl dengan baik sekali, mengikat kita untuk bersimpati pada Melor dan anak-anaknya beberapa kali. Dan, ikatan-ikatan babak ini pula mempunyai subplot-subplot lain, yang turut mengguna pakai urusan saspens bijak Shamyl (antara yang baik dan cukup berlapisan ialah persoalan memenuhkan batin sang suami, yang juga merupakan hal yang selalu diceritakan pada era 50-an dan 60-an dalam sastera kita) agar membuat para penonton terasa at the edge of their seat.

Hal ini juga dibantu dnegan cukup baik dengan sinematografi indah dan cukup fungsional Haris Hue Abdullah untuk memggerakkan watak dalam bingkai yang betul, baik untuk babak saspens, tenang, drama, sedih, termasuk tragis (mayhem).

Efek suara filem ini juga cukup terasa kuatnya, membantu lagi filem ini apabila melekap skop ngeri dan debar. Hal ini turut dibantu oleh skor lagu Rendra Zawawi, dengan bunyi hentakan (seperti debar jantung) dan alunan tali, mengembalikan kita pada skor muzik era filem seram hitam putih yang cukup gempar membunyikan hentakan kayu, tetapi dengan rasa yang lebih moden, segar, mengikut alaf dan nadi sekarang.

Beberapa hal lain seperti seni pengarahan, tata rias, busana, solekan, dan prop mencapai kecemerlangannya yang tersendiri kerana kita terasa hidup dan menghirup udara era 1950-an di sebuah rumah kampung yang terperuk di pedalaman.

Barisan pelakonnya juga cukup mencengkam, baik daripada kedua-dua budak, iaitu Zarra Zaff sebagai Puteh dan Karl El (mak ai, nama budak alfa sekarang ke?) sebagai Hitam. Juga June Lojong sebagai Nek Mak, Siti Khadijah Halim sebagai Manis (watak pemberi ilmu ala Melati Kota Bharu dalam filem ini) dan Remy Ishak sebagai Awang cukup memukau. Namun begitu, pujian besar haruslah diberikan kepada Aghniny Haque sebagai Melor, yang berjaya membulatkan watak dan perwatakannya dalam ruang lakonan tiga dimensi, tanpa dia perlu berkata-kata lalu berlakon sebagai si ibu bisu dengan cukup berkesan sekali. 

Ini suatu tanda yang baik untuk filem kita, bahawa ada pembikin filem kita yang peduli untuk membikin sebuah filem yang baik, yang cukup serba-serbinya terjaga, dan tetap mempunyai lapisan-lapisan, baik emosi juga akli yang lunak untuk direnungkan oleh penontonnya.

Antara filem terbaik kita tahun ini.

Klasifikasi 16 - Ada babak imbauan seksual yang mungkin kurang sesuai untuk kanak-kanak bawah umur, juga dua babak ganas yang mungkin menakutkan kanak-kanak.

01 June 2026

Polong (2026): Imbauan Tragedi dan Mimpi Ngeri Malaysia


Semua filem seram (sepertimana fungsi sastera seram) mempunyai dua tujuan. Satu, secara psikologi, sebagai menawarkan suatu pengalaman tontonan yang menimbulkan rasa takut (seram) terhadap suatu imbauan seram tertentu, yang secara prasedar menimbulkan refleksi terhadap "realiti era" atau peristiwa pada era tersebut. Contoh jelas ialah filem Night of the Living Dead (1968) sebagai suatu pengalaman seram akan krisis perkauman dan kegelisahan kelas sosial yang berlangsung di Amerika Syarikat pada masa itu (1960-an). Selalunya, filem seram gaya ini mempunyai tujuan si pembikin filem mengkritik keadaan politik, sosial dan ekonomi negara tersebut.

Kedua, sebagai cerita teladan atau cautionary tale (kisah amaran) terhadap suatu nilai, kondisi atau amalan yang buruk dalam sesebuah masyarakat/negara, yang dikritik oleh si pembikin filem. Contoh mudah boleh dilihat dalam filem The Shinning (1980) sebagai suatu "tanda amaran" terhadap orang mabuk atau penagih alkohol.

Memanglah, kedua-dua contoh itu menyentuh sedikit sebanyak lapisan yang ditimbulkan oleh dua filem seram baik itu. Namun, itulah yang disedari timbul dalam filem Polong, karya terbaharu Zulkarnain Azhar dengan tulisan lakon layarnya sendiri. 

Polong meniti kedua-dua fungsi filem seram itu tadi apabila membawa kita kembali pada era sekitar tahun 1993 - 2001, era kritikal apabila Wawasan 2020 Tun Dr. Mahathir baru diperkenalkan (1991), dan setelah tahun 2001, selain melalui krisis kejatuhan ekonomi paling teruk Asia (juga era 11 September) dan krisis politik besar atau Era Reformasi Anwar Ibrahim, Tun Dr. Mahathir mohon meletakkan jawatan pada tahun 2002. 

Malaysia sedang melalui libang-libu atau kaos (chaos). Dari sisi politik, naratif demi naratif mahu disuapkan kepada rakyat sebagai "cerita sebenar". Rakyat berpecah sokongan dan kepercayaan. Gerakan ke arah Wawasan 2020 nampaknya retak. Hal ini juga meretakkan lagi usaha rakyat Malaysia untuk merasai kekayaan material yang saksama. Impian Malaysia (Malaysian Dream, sama seperti American Dream) terasa tidak akan dicapai. Jalan kita penuh dengan tragedi dan ketidaktentuan.

Masuk "kes jenayah paling panas dalam sejarah Malaysia" Mona Fandey apabila sisi tahyul/perbomohan berselisih dengan pembunuhan, sensasi selebriti, juga ketidaktentuan naratif (banyak kisah mitos, khabar angin dan dongeng muncul dalam persona yang tertuduh). Naratif cukup mendebarkan ini menjadi refleksi pergeseran terhadap naratif kes mahkamah Anwar Ibrahim yang berlaku beberapa tahun selepas itu. Pergeseran ini sebenarnya pernah dibuat dalam Dukun (2018). Namun dalam Dukun, ia bergerak dengan bentuk filem jenayah dan misteri tahyul (supernatural thriller), Polong benar-benar bergerak atas mesin filem seram.

Zulkarnain memperkenalkan filem ini dalam empat pecahan POV cerita, Fatima (Mimi Lana), Mamat (Fad Anuar), Maria Hadi (June Lojong), dan Marissa (Nadiya Nisaa). Menariknya, keempat-empat cerita ini dipersoal oleh kita. Hal ini kerana apabila cerita-cerita ini dibandingkan, ada padangan yang nampak bias (selalunya, padangan utama si pencerita memohon simpati paling tinggi daripada penonton) terhadap watak-watak yang diceritakan, dan hanya mempertahankan ego/sudut pandang si pencerita. Inilah unreliable narrative, atau naratif yang dipersoalkan kebenarannya. Naratif ini, sampai hari ini mengimbau kes Anwar Ibrahim dan kesahihan Mahathir menjatuhkan Timbalan Perdana Menterinya pada waktu itu (sampai kita dihidangkan dengan naratif filem Anwar buatan rakan-rakannya beberapa tahun lepas). 

Satu lagi elemen penting yang muncul ialah Mamat yang berkait dengan Skim Cepat Kata yang banyak berlaku pada era itu (paling terkenal jika aku ingat sebagai seorang Gen-X ialah kes Skim Cepat Kaya Pak Man Telo). Skim ini sebenarnya mengimbau satu persoalan gelap yang selalu dibincangkan dalam dunia kita, korupsi dan rasuah.

Ketidaktentuan ini, setelah kita melalui keempat-empat cerita itu, yang kadangkala berselisih, dan memberikan "pandangan"nya yang tertentu, menampilkan suatu tragedi yang jelas, yakni suatu perasaan hilang arah. Terdapat sorotan hilang harta (material - jelas khusus dalam cerita Mamat), hilang peranan untuk menampilkan hakikat kebenaran (sisi usaha Fatima yang hancur sebagai wartawan yang mencari kebenaran), hilang maksud keluarga atau keruntuhan kekeluargaan (keluarga Maria Hadi, pasangan Fatima-Mamat, keluarga Asya yang ditempel oleh samseng-pengedar dadah Budi), dan hilang makna diri (kesemua watak).

Inilah filem seram yang berani menelanjangkan jiwa gelap orang Malaysia seluas-luasnya.

Hal ini sebenarnya jauh lebih menarik dikupas daripada efek seram yang ditampilkan oleh Zulkarnain dengan kolaborasi sinematografi efektif Saifuddin Musa, suntingan Johan Arif Mazlan, suntingan efek bunyi, dan latar lagu Reinchez Ng. 

Bukan, aku tidak menafikan efektif Zulkarnain dalam mengeksploitasi rasa takut kita dengan susunan gerak imej-suaranya (malah, beliau aku akui, kini, selain Pierre Andre, Shadan Hashim, Allahyarham Labu, dan Shamsul Yusof, Zulkarnain mendapat perhatian aku sebagai pengarah filem seram lokal kita yang penting), tetapi dari segi kekuatan cerita, mainan bahasa filem dan penggunaan subteks dalam filem seram, Zulkarnain bagi aku merupakan pengarah yang paling ke hadapan dan amat-amat ahli dalam subjeknya.

Hal ini ditambah pula dengan solekan dan binaan hantu yang bagi aku, paling efektif dalam sejarah filem seram kita oleh Ella Sandera. Ya, aku akui. Selalunya, filem seram Melayu ni, aku tonton tanpa tutup mata. Kali ini, banyak kali aku tutup mata dan telinga. Benda macam ni hanya filem seram luar yang bagi pada aku. Tapi tahniah Zulkarnain, efek yang kau bagi bukan sahaja dalam acah peranjat (jumpscare) tetapi juga dalam mainan ruang, atmosfera (kita boleh lihat perubahan warna dan ketelitian era 1990-an dengan 2000-an, yang turut merujuk filem-filem pada era itu!) dan paling penting dan kurang ada dalam filem seram kita: the sense of dread.



Polong dalam filem ini bukan sahaja sebagai mesin seram untuk menakutkan kita (seperti imej Sadako dalam Ringu), tetapi merupakan simbol katarsis takut kita terhadap tragedi kesilapan pilihan, impian yang hancur (lalu menjadi realiti-mimpi ngeri yang berterusan) dan kehilangan arah kita sebagai manusia. Semua watak dalam filem ini tidak terkecuali, memberikan cerita seram yang sangat fatalistik dan tidak mempunyai jalan keluar lagi. Hal inilah yang berani ditampilkan oleh Zulkarnain, mengikatkan mesin takut hantu polong sebagai bayangan kondisi gelap kita sebagai manusia Malaysia yang korup hatinya, yang terperangkap dalam perbuatan salah atas nama material (untuk kekayaan, untuk menjadi terkenal, untuk disanjungi), sehingga fakta betul dan salahnya pun sudah hilang makna sebenarnya, inilah tragedi sebenar yang hendak disampaikan oleh Zulkarnain, agar kita, bangun daripada mimpi ngeri ini, dan menemui hati nurani (conscience) yang betul terhadap ketidaktentuan ini.

Seperti biasa, himpunan para pelakon filem ini baik, lebih-lebih lagi Nadiya Nissa (yang hanya memakai hijab!) dan June Lojong sebagai "teraju utama" filem ini. Impian aku untuk melihat June dengan Nadiya sebagai peran ibu-anak kerana keserasian wajah mereka akhirnya tercapai dengan filem ini. Mimi Lana sebagai Fatima jika kalian sedar ialah Janet Leigh-Psycho dalam filem ini, satu watak yang kita ikuti dan berharap untuk menemui sesuatu, (spoiler!) tetapi akhirnya menjadi mangsa utama (Zulkarnain jelas mengkritiknya kerana mencari harta yang tidak sepatutnya), perangkap yang sengaja dilakonkan oleh Maria Hadi! Fad Annuar juga tampil cukup menarik sebagai watak arketaip Jack Torrence yang terperangkap dalam takdir yang terpasung terhadapnya. 

Aku suka bagaimana Zulkarnain mengambil subjek filem ini dengan cukup berjaga dan serius, mengurangkan gaya Hindustan dan suntingan laju tipikal filem Syamsul Yusof, yang dibikin untuk penonton kita yang pondan dengan pengalaman imersif dan mainan suasana. Zulkarnain dan suntingan Johan amat memahami sudut mana filem itu terletak dalam duduk letak drama, dan sudut mana terletak dalam duduk letak ngeri/seram, malah suntikan sureal (misalnya, babak awal televisyen yang hidup sendiri) sebagai penandaan kita yang sedang menonton sebuah filem yang sudah hilang imbangan antara realiti dengan mimpinya. Aku juga suka dengan sinematografi yang sengaja kotor dan suram, selain subjek jenayah yang diikuti dalam filem ini, juga sebagai imbauan psikologi dan estetika jiwa gelap manusia yang menghuninya. Aku juga suka bagaimana Zulkarnain membina dialog golongan marhaen yang kasar dan lantang, suara dialog yang muncul dalam dunia pangsapuri kos rendah, hal yang tidak berlaku dalam Anak Halal, tapi berlaku dengan genuine dalam filem ini.

Melangkaui kesemua efek dan alat kelaziman (trope) seram, filem ini sebenarnya sebuah mimpi ngeri kita yang seharusnya kita perlu bangun daripadanya (inilah amaran yang ingin Zulkarnain sampaikan!), sebuah tragedi kejatuhan si wira/pejuang atas hubrisnya (Fatima), kejatuhan tragis hubungan manusia dan keluarga, malah melalui detik yang sangat gelap dan memilukan (pembunuhan - massacre!), malah cukup tragik atas nama takdir (Maria dan Marissa). Katarsis seram yang ditimbulkan (daripada rantaian tragedi hingga pada puncak/peleraian, khsusunya pada babak akhir di dalam kereta) agar penonton merenung akan jiwa gelap manusia yang ditampilkan, lebih-lebih lagi agar tidak mengulanginya, malah menjauhinya. Polong menampilkan masalah korupsi jiwa dalam masyarakat kita, sehingga yang tidak bersalah juga bersalah, mangsa menjadi pemangsa, lalu kitaran syaitan itu terus-terusan mengimbau mimpi ngeri kita semua.

Antara filem seram terbaik tahun ini.

Klasifikasi 16 - Namun anak jagaan bawah 18 tahun elok menghindarinya kerana penggunaan bahasa kesat, inuendo seksual dalam dialog dan babak ganas yang cukup mengganggu, misalnya yang berkaitan dengan bayi.

30 April 2026

Tiga Perca Filem April 2026: Libang Libu, Michael dan The Waves Will Carry Us


Libang Libu (2026)

Filem ini bergerak dengan premis seorang loser bernama Man Filem (Amerul Affendi) yang taik judi dan hutang keliling pinggang, membawa kru filem sang pengarah Silver (Alvin Wong) ke kampungnya di Teluk Intan, Perak, yang dia kemudian perlu berhadap dengan abang kandungnya, Along Alid (Beto Kusyairy) dan orang kampung yang sentiasa prasangka terhadapnya, juga akhirnya mendepani dosa-dosanya yang lalu.

Filem ini dengarnya seperti menarik jika pengarahnya Bobby Husaini (untuk filem sulungnya) dengan bantuan penulis lakon layar Aloy Paradoks, Taqim Zaki dan Rayza Mukmin mampu membawa suatu sinema komedi yang hidup. Lebih-lebih lagi seorang rakan memberitahu bagaimana filem ini mempunyai bayangan yang comel mendekati adikarya Syed Alwi, Alang Rentak Seribu, juga ada plot sebuah kru filem membikin filem di sebuah kampung. Ramuan ini menjadi jika kita percaya dengan bahan-bahannya. Bahan-bahan di sini ialah watak-watak kampung dan watak-watak filem yang mengelilingi dunia Man Filem dan Along Alid. Sketsa dan penampilan solo menjadi tontonan kita (hal inilah yang tampil dalam filem-filem komedi Mamat Khalid). Jika kita tidak peduli dengan watak-watak ini, dan ke mana cerita mereka, filem ini akan merudum pecah dan berkecai. Jadi, sejauh manakah kita menyukai watak-watak areketaip kampung ilusi para pembikin filem ini? 

Bagi aku, tidak ada satu watak yang memorable dan penting untuk aku (aku suka cara Sabri Yunus, Azhan Rani dan Nabila Huda "Anjababy" melakonkan watak mereka, tetapi citra dan sebab-akibat mereka berlalu begitu sahaja). Secara umum, watak dan tujuan watak utama filem hanyalah untuk "mendidik" penonton agar kurang berprasangka dengan manusia yang bermasalah (yamg kita selalu tonton dalam berita), untuk membina empati dan untuk memberi "peluang kedua" dan kemaafan bagi sesiapa yang kita tidak pernah kenal latar belakangnya. Tidak ada yang berat dalam hal ini. Malah, jika pembikinnya hendak membawa suatu satira pun (seperti Martabat), ia bukanlah suatu satira yang baik sepertimana Lelaki Harapan Dunia, Man Laksa dan Kala Malam Bulan Mengambang

Suatu lagi ialah perbuatan huru-hara (chaos) yang ditampilkan. "Libang libu" mewajahkan bahawa filem ini menampilkan situasi ketidak keruan atau huru-hara atas kemasukan suatu projek (rezeki) ke alam kampung. Dalam Alang Rentak Seribu, konsep ini jelas, bahawa dalam keributan itu, kru filem itu membawa "kemajuan", "rezeki" dan "pesona popular" ke sebuah kampung yang "aman". Terdapat gerakan ke arah pengimbangan (equilibrium) dan ketenteraman. Menariknya, banyak filem/drama "bikinan" bermain tentang hal ini. Aku pernah tonton beberapa, dan bagi aku, antara chaotic cinema yang aku suka ialah Welcome Back, Mr. McDonald

Sebenarnya, Hantu Kak Limah Balik Rumah juga sebuah chaotic cinema yang berjaya. Kedua-dua filem ini membina sedikit demi sedikit keadaan dan sebab-akibat haru-biru yang bergerak ke arah satu puncak yang cukup mengacau keamanan sebelum ruang/alam filem diganggu. Dalam Libang Libu, hal itu yang kita tunggu-tunggu terbina, tetapi cara pengarahnya membina, dengan terlalu banyak simpang-siur penemuan watak (filem ini juga menggunakan plot ala detektif untuk menemui beberapa persoalan) dan motif, gerakan ke arah satu peleraian yang katarsis seakan-akan tidak timbul-timbul, walaupun, dengan penjelasan (konfesi/pengakuan dosa) Man Filem akhirnya dikemukakan. Hal ini mampu diperketat dari segi nada dan suntingan babak ke babak dan penonjolan watak (setiap watak membawa nadanya dan moodnya) dengan tangan yang lebih mahir membina sebuah "melodi" yang indah dalam kecelaruan, dan tidak membiarkan rasa kecelaruan itu seakan-akan sudah terjawab dengan mudah, malah dengan sebuah deus ex machine (kehadiran seorang lagi Sabri Yunus).

Filem ini mungkin akan mencuit ramai khalayak, hanya mungkin bagi aku, komedinya tidak natural walaupun niatnya mempunyai jiwa yang baik.

Michael (2026)

Filem biopik ni menarik sebab buat aku dan adik-beradik aku bergaduh besar. Adik perempuan dan abang kedua aku sangat suka gila filem ni (siap tonton dua tiga kali dan menangis), sedangkan aku merasai ada sesuatu yang kosong dan tidak jujur tentang filem ini, ditambah dengan sikap pembikinnya, daripada pengarah filem yang baik Antoine Fuqua dengan bantuan lakon layar John Logan untuk menampilkan segala sisi yang malaikat (dan pada satu tahap, mewajahkan Micheal Jackson seperti seorang pengutus akhir zaman buat dunia melalui muziknya, Ya Tuhan!) dan suci tentang artis Raja Pop Dunia ini. 

Memang, aku mengaku, babak realisasi semula konsert dan MTV Micheal sangat mahal dan "realisme", berjaya membangkitkan "aura" MJ yang kita sayangi (dan sesiapa yang tidak kenal akan jatuh cinta), tetapi dari segi cerita dan penceritaan, sepertimana sikap MJ yang sentiasa hendak hidup dalam citra "misteri" kepada para peminatnya, kita hanya dapat sebuah plot seorang anak hendak berpatah arang terhadap ayahnya yang terlalu mengawal dan memanipulasi urusan seninya, dan itulah kisah filem ini dari awal sehingga babak MJ (yang dilakonkan dengan berkesan sekali oleh Jaafar Jackson, sepupu mendiang Micheal sendiri) mengumumkan pemecahan dia daripada kumpulan adik-beradiknya dengan selingan babak akhir persembahan lagu Bad

Jika kita tidak mampu diberi oleh para pembikin sekurang-kurangnya lapisan-lapisan perwatakan sang penghibur besar ini (dengan sengaja, kita tidak tahu secara mendalam perhubungannya dengan Diana Ross, Elizabeth Taylor, Gary Colemen, tetapi dengan pathos, menampilkan betapa sunyinya hidup artis ini kerana dia lebih senang berbuat kawan dengan cimpanzi dan ular sawa daripada manusia), sekurang-kurangnuya berilah magis sinema bagaimana Micheal "mencipta" lagi-lagu malar segar era awal kerjaya solonya, seperti Beat It, Thriller dan Billie Jean. Ini tidak (kita hanya dapat melihat MJ mengangguk, dengan banyak post-it lirik kata di dinding dan tanda "work-in-progress" di pintu studionya). 

Seperti filem promo-antologi lagu Moonwalkernya, kehebatan lagu-lagu pop itu dipersembahkan seperti muzik video semata-mata, tanpa apa-apa input menarik yang membuatkan lagu-lagu itu menjadi sejarah besar dunia muzik pop. Selingan-selingan itu datang dan pergi tanpa apa-apa cerita belakang tabir (tonton bagaimana lagu Bohemian Rhapsody tercipta dalam biopik Queen itu). 

Kita hanya mengenal Micheal, si suara lembut tetapi menjadi galak di depan pentas, daripada seorang budak, menjadi seorang lelaki dewasa. Kisah ini keluar macam sebuah novel remaja sastera terbitan DBP, penuh nilai murni, watak utama pipih tanpa kesalahan, dan berjaya mencapai matlamat tanpa melalui lapisan hidup yang lebih messy atau gelap. Jesse Hessenger betul dalam pemerhatiannya bahawa biopik ini hanyalah sebuah filem yang peminatnya nak tonton yang baik-baik sahaja, tanpa mahu mendepani kebenaran subjeknya. Sebagai sebuah mesin memuaskan peminat, ya, filem ini berjaya, tetapi sebagai sebuah filem biografi, filem ini akan dilupakan pada masa depan.


The Waves Will Carry Us (2026)

Sinema Mahua atau sinema Cina Malaysia (sebenarnya ini filem transnasional atas bikinan pelbagai negara) mengejutkan kita dengan seorang lagi pembikin filem baharu, Lau Kek-huat (berpusat di Taiwan) yang membawa sebuah komedi saga dalam empat generasi keluarga Ah Yao (Wei Chun-chan) yang membuka tema pencarian identiti serta jati diri dan ketidaktentuan duduk letak tanah air. Sebenarnya, sudah berkali-kali tema kewarganegaraan ini timbul oleh para pembikin Cina Malaysia, tetapi bagi aku, kali ini, ia membawa suatu cerita dan maksud yang penuh, yakin dan memuaskan, malah manusiawinya tentang maksud kenegaraan dan pengalaman hidup di Malaya/Malaysia, yang bagi aku, antara yang paling visceral dan menyentuh untuk ditonton. 

Lebih menarik lagi, fitrah kehadiran orang Cina (dalam hal ini, dari Fujian atau selatan China) ke Tanah Melayu atas dasar "mencari rezeki" sementara waktu (takdir yang sama bagi mana-mana diaspora Cina ke Amerika atau ke Asia Tenggara lainnya), lalu kemudian terperangkap untuk hidup "selama-lama"nya di tanah air asing itu, yang kemudian diberi perspektif moden tentang diaspora Cina Malaysia ke negara asing pula, memberikan suatu nafas baharu yang cukup segar untuk ditelaah. 

Kita dihadapkan dengan dilema Cina (yang boleh juga dilihat sebagai dilema rakyat umum Malaysia) tentang adakah kita "disumpah" di tanah air ini atau kita meredai kelangsungan hidup kita di sini. Sikap insaniah Kek-huat, walupun mungkin mengguris orang-orang tertentu, akan menjawab persoalan itu dengan cukup empatik sekali, dengan babak akhir yang cukup pathos (berhubungan dengan perhubungan sulit mendiang ayah watak utama) tentang hak memiliki identiti dan warganegara. Lebih mencuit lagi apabila Kek-huat mendepani isu diskriminasi orang Cina Malaysia di Taiwan yang terpaksa menjadi "pelakon terhebat" di tanah air yang ingatkan lebih dekat dengan jati diri fitrah mereka (ini suatu suntikan kritis yang sangat tajam).

Inilah antara kekuatan Kek-huat, yang walaupun filemnya terasa indie, terasa gaya pembikinan kos murah (hal ini disengajakan), tetapi kedalaman naratif dan temanya jelas mendalam. Malah, aku sungguh terpikat dengan gaya, walaupun seakan neo-realis, dogme, Kek-huat mampu menghubungjalinkan sifat kelakar dengan sentuhan jiwa dalam beberapa babak dan gerakan cerita. Antara contohnya yang berkesan ialah babak si atuk yang terpaksa "berlakon" tahu bercakap Melayu di hadapan pegawai pendaftar: "Saya warganegara sini"! Ini negara saya!" yang cukup mencuit tapi memberikan sentuhan jiwa yang cukup syahdu.

Juga, ada unsur mistik ala realisme magis Kek-huat yang memberikan magis khusus yang cukup dekat dengan budaya-agama Cina: penerimaan untuk meninggalkan sembahan Dewa Tanah dari halaman Tanah Besar kepada Dewa "Datuk Gong" lokal - durian sebagai petanda takdir-sentuhan ghaib/imej cinta-benci orang Cina dengan hal tempatan - kehilangan mayat dalam semak kubur. Hal yang kita temui di sini ialah bagaimana (kebanyakan filem diaspora kita akan menemui hal ini) keluarga Ah Yao belajar untuk mengadaptasi dengan persekitaran, memahaminya, berdialog dengannya, dan akhirnya merangkulnya sebagai fitrah/takdir'hakikat hidup. Memang inilah antara filem "keredaan Cina" terhadap tanah airnya yang paling berkesan yang pernah aku tonton (walaupun ada kritikan-kritikannya). Sesuatu yang cukup memuaskan dalam pengalaman tontonan.

Selain cerita yang kuat, lakonan yang memberangsangkan (khususnya Vera Chan sebagai adik perempuan Ah Yao), dengan jalinan cerita empat generasi yang cukup hidup, kita diberikan sinematografi luas dan tertumpu yang baik oleh Tsai Wei-Long, dengan suntingan kemas Soo Mun Thye dan Jessica Wan Yu Lin, dengan runut bunyi memikat. Ini sebuah filem yang sepatutnya ditonton oleh rakyat Malaysia walaupun sekali tahun ini. Antara filem terbaik kita tahun ini. "Bangunlah, celikkan mata dan lihat!"