Semua filem seram (sepertimana fungsi sastera seram) mempunyai dua tujuan. Satu, secara psikologi, sebagai menawarkan suatu pengalaman tontonan yang menimbulkan rasa takut (seram) terhadap suatu imbauan seram tertentu, yang secara prasedar menimbulkan refleksi terhadap "realiti era" atau peristiwa pada era tersebut. Contoh jelas ialah filem Night of the Living Dead (1968) sebagai suatu pengalaman seram akan krisis perkauman dan kegelisahan kelas sosial yang berlangsung di Amerika Syarikat pada masa itu (1960-an). Selalunya, filem seram gaya ini mempunyai tujuan si pembikin filem mengkritik keadaan politik, sosial dan ekonomi negara tersebut.
Kedua, sebagai cerita teladan atau cautionary tale (kisah amaran) terhadap suatu nilai, kondisi atau amalan yang buruk dalam sesebuah masyarakat/negara, yang dikritik oleh si pembikin filem. Contoh mudah boleh dilihat dalam filem The Shinning (1980) sebagai suatu "tanda amaran" terhadap orang mabuk atau penagih alkohol.
Memanglah, kedua-dua contoh itu menyentuh sedikit sebanyak lapisan yang ditimbulkan oleh dua filem seram baik itu. Namun, itulah yang disedari timbul dalam filem Polong, karya terbaharu Zulkarnain Azhar dengan tulisan lakon layarnya sendiri.
Polong meniti kedua-dua fungsi filem seram itu tadi apabila membawa kita kembali pada era sekitar tahun 1993 - 2001, era kritikal apabila Wawasan 2020 Tun Dr. Mahathir baru diperkenalkan (1991), dan setelah tahun 2001, selain melalui krisis kejatuhan ekonomi paling teruk Asia (juga era 11 September) dan krisis politik besar atau Era Reformasi Anwar Ibrahim, Tun Dr. Mahathir mohon meletakkan jawatan pada tahun 2002.
Malaysia sedang melalui libang-libu atau kaos (chaos). Dari sisi politik, naratif demi naratif mahu disuapkan kepada rakyat sebagai "cerita sebenar". Rakyat berpecah sokongan dan kepercayaan. Gerakan ke arah Wawasan 2020 nampaknya retak. Hal ini juga meretakkan lagi usaha rakyat Malaysia untuk merasai kekayaan material yang saksama. Impian Malaysia (Malaysian Dream, sama seperti American Dream) terasa tidak akan dicapai. Jalan kita penuh dengan tragedi dan ketidaktentuan.
Masuk "kes jenayah paling panas dalam sejarah Malaysia" Mona Fandey apabila sisi tahyul/perbomohan berselisih dengan pembunuhan, sensasi selebriti, juga ketidaktentuan naratif (banyak kisah mitos, khabar angin dan dongeng muncul dalam persona yang tertuduh). Naratif cukup mendebarkan ini menjadi refleksi pergeseran terhadap naratif kes mahkamah Anwar Ibrahim yang berlaku beberapa tahun selepas itu. Pergeseran ini sebenarnya pernah dibuat dalam Dukun (2018). Namun dalam Dukun, ia bergerak dengan bentuk filem jenayah dan misteri tahyul (supernatural thriller), Polong benar-benar bergerak atas mesin filem seram.
Zulkarnain memperkenalkan filem ini dalam empat pecahan POV cerita, Fatima (Mimi Lana), Mamat (Fad Anuar), Maria Hadi (June Lojong), dan Marissa (Nadiya Nisaa). Menariknya, keempat-empat cerita ini dipersoal oleh kita. Hal ini kerana apabila cerita-cerita ini dibandingkan, ada padangan yang nampak bias (selalunya, padangan utama si pencerita memohon simpati paling tinggi daripada penonton) terhadap watak-watak yang diceritakan, dan hanya mempertahankan ego/sudut pandang si pencerita. Inilah unreliable narrative, atau naratif yang dipersoalkan kebenarannya. Naratif ini, sampai hari ini mengimbau kes Anwar Ibrahim dan kesahihan Mahathir menjatuhkan Timbalan Perdana Menterinya pada waktu itu (sampai kita dihidangkan dengan naratif filem Anwar buatan rakan-rakannya beberapa tahun lepas).
Satu lagi elemen penting yang muncul ialah Mamat yang berkait dengan Skim Cepat Kata yang banyak berlaku pada era itu (paling terkenal jika aku ingat sebagai seorang Gen-X ialah kes Skim Cepat Kaya Pak Man Telo). Skim ini sebenarnya mengimbau satu persoalan gelap yang selalu dibincangkan dalam dunia kita, korupsi dan rasuah.
Ketidaktentuan ini, setelah kita melalui keempat-empat cerita itu, yang kadangkala berselisih, dan memberikan "pandangan"nya yang tertentu, menampilkan suatu tragedi yang jelas, yakni suatu perasaan hilang arah. Terdapat sorotan hilang harta (material - jelas khusus dalam cerita Mamat), hilang peranan untuk menampilkan hakikat kebenaran (sisi usaha Fatima yang hancur sebagai wartawan yang mencari kebenaran), hilang maksud keluarga atau keruntuhan kekeluargaan (keluarga Maria Hadi, pasangan Fatima-Mamat, keluarga Asya yang ditempel oleh samseng-pengedar dadah Budi), dan hilang makna diri (kesemua watak).
Inilah filem seram yang berani menelanjangkan jiwa gelap orang Malaysia seluas-luasnya.
Hal ini sebenarnya jauh lebih menarik dikupas daripada efek seram yang ditampilkan oleh Zulkarnain dengan kolaborasi sinematografi efektif Saifuddin Musa, suntingan Johan Arif Mazlan, suntingan efek bunyi, dan latar lagu Reinchez Ng.
Bukan, aku tidak menafikan efektif Zulkarnain dalam mengeksploitasi rasa takut kita dengan susunan gerak imej-suaranya (malah, beliau aku akui, kini, selain Pierre Andre, Shadan Hashim, Allahyarham Labu, dan Shamsul Yusof, Zulkarnain mendapat perhatian aku sebagai pengarah filem seram lokal kita yang penting), tetapi dari segi kekuatan cerita, mainan bahasa filem dan penggunaan subteks dalam filem seram, Zulkarnain bagi aku merupakan pengarah yang paling ke hadapan dan amat-amat ahli dalam subjeknya.
Hal ini ditambah pula dengan solekan dan binaan hantu yang bagi aku, paling efektif dalam sejarah filem seram kita oleh Ella Sandera. Ya, aku akui. Selalunya, filem seram Melayu ni, aku tonton tanpa tutup mata. Kali ini, banyak kali aku tutup mata dan telinga. Benda macam ni hanya filem seram luar yang bagi pada aku. Tapi tahniah Zulkarnain, efek yang kau bagi bukan sahaja dalam acah peranjat (jumpscare) tetapi juga dalam mainan ruang, atmosfera (kita boleh lihat perubahan warna dan ketelitian era 1990-an dengan 2000-an, yang turut merujuk filem-filem pada era itu!) dan paling penting dan kurang ada dalam filem seram kita: the sense of dread.
Polong dalam filem ini bukan sahaja sebagai mesin seram untuk menakutkan kita (seperti imej Sadako dalam Ringu), tetapi merupakan simbol katarsis takut kita terhadap tragedi kesilapan pilihan, impian yang hancur (lalu menjadi realiti-mimpi ngeri yang berterusan) dan kehilangan arah kita sebagai manusia. Semua watak dalam filem ini tidak terkecuali, memberikan cerita seram yang sangat fatalistik dan tidak mempunyai jalan keluar lagi. Hal inilah yang berani ditampilkan oleh Zulkarnain, mengikatkan mesin takut hantu polong sebagai bayangan kondisi gelap kita sebagai manusia Malaysia yang korup hatinya, yang terperangkap dalam perbuatan salah atas nama material (untuk kekayaan, untuk menjadi terkenal, untuk disanjungi), sehingga fakta betul dan salahnya pun sudah hilang makna sebenarnya, inilah tragedi sebenar yang hendak disampaikan oleh Zulkarnain, agar kita, bangun daripada mimpi ngeri ini, dan menemui hati nurani (conscience) yang betul terhadap ketidaktentuan ini.
Seperti biasa, himpunan para pelakon filem ini baik, lebih-lebih lagi Nadiya Nissa (yang hanya memakai hijab!) dan June Lojong sebagai "teraju utama" filem ini. Impian aku untuk melihat June dengan Nadiya sebagai peran ibu-anak kerana keserasian wajah mereka akhirnya tercapai dengan filem ini. Mimi Lana sebagai Fatima jika kalian sedar ialah Janet Leigh-Psycho dalam filem ini, satu watak yang kita ikuti dan berharap untuk menemui sesuatu, (spoiler!) tetapi akhirnya menjadi mangsa utama (Zulkarnain jelas mengkritiknya kerana mencari harta yang tidak sepatutnya), perangkap yang sengaja dilakonkan oleh Maria Hadi! Fad Annuar juga tampil cukup menarik sebagai watak arketaip Jack Torrence yang terperangkap dalam takdir yang terpasung terhadapnya.
Aku suka bagaimana Zulkarnain mengambil subjek filem ini dengan cukup berjaga dan serius, mengurangkan gaya Hindustan dan suntingan laju tipikal filem Syamsul Yusof, yang dibikin untuk penonton kita yang pondan dengan pengalaman imersif dan mainan suasana. Zulkarnain dan suntingan Johan amat memahami sudut mana filem itu terletak dalam duduk letak drama, dan sudut mana terletak dalam duduk letak ngeri/seram, malah suntikan sureal (misalnya, babak awal televisyen yang hidup sendiri) sebagai penandaan kita yang sedang menonton sebuah filem yang sudah hilang imbangan antara realiti dengan mimpinya. Aku juga suka dengan sinematografi yang sengaja kotor dan suram, selain subjek jenayah yang diikuti dalam filem ini, juga sebagai imbauan psikologi dan estetika jiwa gelap manusia yang menghuninya. Aku juga suka bagaimana Zulkarnain membina dialog golongan marhaen yang kasar dan lantang, suara dialog yang muncul dalam dunia pangsapuri kos rendah, hal yang tidak berlaku dalam Anak Halal, tapi berlaku dengan genuine dalam filem ini.
Melangkaui kesemua efek dan alat kelaziman (trope) seram, filem ini sebenarnya sebuah mimpi ngeri kita yang seharusnya kita perlu bangun daripadanya (inilah amaran yang ingin Zulkarnain sampaikan!), sebuah tragedi kejatuhan si wira/pejuang atas hubrisnya (Fatima), kejatuhan tragis hubungan manusia dan keluarga, malah melalui detik yang sangat gelap dan memilukan (pembunuhan - massacre!), malah cukup tragik atas nama takdir (Maria dan Marissa). Katarsis seram yang ditimbulkan (daripada rantaian tragedi hingga pada puncak/peleraian, khsusunya pada babak akhir di dalam kereta) agar penonton merenung akan jiwa gelap manusia yang ditampilkan, lebih-lebih lagi agar tidak mengulanginya, malah menjauhinya. Polong menampilkan masalah korupsi jiwa dalam masyarakat kita, sehingga yang tidak bersalah juga bersalah, mangsa menjadi pemangsa, lalu kitaran syaitan itu terus-terusan mengimbau mimpi ngeri kita semua.
Antara filem seram terbaik tahun ini.
Klasifikasi 16 - Namun anak jagaan bawah 18 tahun elok menghindarinya kerana penggunaan bahasa kesat, inuendo seksual dalam dialog dan babak ganas yang cukup mengganggu, misalnya yang berkaitan dengan bayi.


No comments:
Post a Comment