Austin Power
Pada 9 Disember 2009,
The Malay Mail memaparkan sebuah lagi pandangan daripada pelancong asing tentang perangai kurang ajar orang KL, berjudul "KL folk are not friendly". Penulis artikel itu menyatakan bagaimana biadabnya pekedai, pegawai keselamatan, juru jual serta orang lalu-lalang kita terhadap orang puteh. Aku mengaku, hal ini juga berlaku kepada orang kita (contohnya, setiap kali aku bukakan pintu di KLCC untuk mak cik dan pak cik Cina, Melayu, India dan entah orang apa, mereka akan bergerak dengan hidung tinggi), malah hal ini merupakan poin utama aku takkan jejak kaki dan tangan aku untuk memandu kereta di jalan raya Malaysia (poin BinFilem menyatakan bagaimana kita melanggar haiwan tengah jalan sesuka hati amat bertepatan dengan hal ini). Ya, kerana kekurangan ajar orang Malaysia terhadap rakan-rakan Malaysia yang lain.
Ya, kita adalah manusia yang tidak beradab, dan memang kena dengan batang hidung kita apabila orang puteh yang menulis artikel itu menyatakan orang KL merupakan antara manusia paling biadab di bumi ini. Maka dengan itu, aku berani menyatakan bahawa Wawasan 2020 yang diperturunkan oleh Tun Mahathir dan pelan Integrasi Pak Lah sudah gagal melancarkan manusia berminda kelas pertama (walaupun menyediakan prasarana kelas pertama). Orang berminda kelas pertama tahu tentang adab, dan hal ini kita amat jauh daripada menangkap konsepnya (contoh paling jelas: lihat bagaimana tiada bertimbang rasanya kita untuk angkat dulang makanan ke tempat yang disediakan di KFC, MCD, dll, atau bagaimana kita membuang sampah).
Ya, kita adalah manusia-manusia yang hodoh adabnya.
Satu antara misi aku bila ada anak nanti, benda yang pertama yang aku nak ajar anak aku ialah adab, sebelum solat atau mengaji mukadam pun, adab. Bagi aku, adab, merupakan bahasa sarwajagat pertama dalam mana-mana agama atau orang tanpa agama yang mana dapat membentuk perilaku seorang individu itu punya "nilai" dalam dirinya (serta dapat memberi nilai atau menilai hal sekelilingnya selepas itu). Kalau tak caya, tengok mana-mana budak nak masuk biara Buddha. Benda apa yang terpenting diajar dahulu? Ya, adab di depan guru. Apakah perkara pertama yang diajar oleh ibu bapa terhadap anak mereka bila pertama sekali masuk sekolah? Ya, mengucapkan selamat pagi kepada guru - adab. Hal inilah yang rata-rata mak bapa Malaysia sekarang dah lupa nak ajar anak-anak mereka untuk beradab bila masuk sekolah sekular.
Di dalam menonton pun sebenarnya ada beberapa adab yang diperlukan untuk kita tahu, sebelum kita menerjah masuk ke pawagam, dengan mengatakan dalam dunia pascamoden kekurang ajar kita adalah satu "gaya" untuk membelanjakan duit rm10 kita bila masuk pawagam, dewan teater atau apa-apa bentuk "ruang hiburan". Kita lupa sesuatu. Kita bukan seorang (kita bukan di dalam ruang maya). Hal inilah yang kita selalu lupa, dan tampak sangat berleluasa di jalan raya kita.
Buat aku, aku rumuskan 3 adab yang paling penting dalam proses menonton filem, yang seeloknya kita ikut, jika mahu mencapai penonton berwawasan 2020, atau integriti penonton berhemah dan berminda pertama:
PILIH FILEM BERNILAISebelum menonton sesuatu filem, hal pertama yang orang kita selalu terlepas pandang adalah "elok" atau tidak "eloknya" filem itu. Dalam dunia serba kapitalis sekarang, memang kebiasaan untuk negara, seperti Asia Tenggara apabila lebih ramai penonton maka ianya lebih baik, jadi kadang-kadang penonton kita main tonton sahaja apa-apa filem tanpa ada apa-apa "sekatan" atau "tapisan" diri dahulu. Contoh paling senang ialah, filem berunsur komersial tinggi tetapi mempunyai nilai yang rendah adalah jenis filem-filem yang penonton kita gemari. Bukan kesemuanya, tetapi jika kita lihat dari segi kekerapan, begitulah (sila rujuk kutipan filem Malaysia sepanjang tahun, menolak
Geng: Pengembaraan Bermula).
Dalam dunia penonton filem, hanya ada sekumpulan penonton sahaja yang "memilih" filem yang betul, mengikut apa yang boleh dikatakan, "intelek", atau paling senang, "filem bermutu" (
Geng itu sebuah contoh perkembangan yang baik, yang amat dialu-alukan).
Bagaimana mahu mengajar seseorang menonton filem bermutu?
OK, aku mengaku, aku mendapat "pendedahan" menonton filem-filem yang baik, kerana sewaktu aku masih kecil, ayah aku selalu membawa balik video filem Indonesia yang diarahkan oleh Arrfin C. Noer atau Teguh Karya, walaupun aku tidak ingat judul-judul filemnya (dan tak peduli pun hendak menontonnya). Bila aku besar sedikit, pada suatu malam, aku tengah syok buat kerja sendiri, ayah aku, mengajak aku tonton sebuah filem Hollywood di TV3,
The Elephant Man. Buat pertama kali, selain mengenali
Star Wars dan
ET, aku mengenali sebuah filem yang amat cantik. Pada waktu itulah, aku mula menyukai filem-filem hitam putih (sampai sekarang). Malah, masa kecil, aku selalu menunggu filem-filem klasik ditayangkan, dalam pelbagai genre, malah buat pertama kalinya aku menonton
It's A Wonderful Life and jatuh cinta kepadanya. Melihat kegemaran aku itu, ayah aku selalu membeli video klasik seperti
Casablanca, The Sound of Music, Treasure Island, D-Day, The Bridge of River Kwai, Lawrence of Arabia dan pelbagai lagi filem-filem lama. Dari situ lagi, aku belajar untuk mengenali filem "bernilai" dna filem tidak bernilai. Kerana, kadang-kadang ayah juga membeli video filem-filem Stallone, Van Damme dan Schwazeneger yang ada "
hit and misses". Di situ, aku sudah mula pandai menilai filem.
Poin aku yang ingin aku katakan ialah, tidak untuk memperkenalkan kawan dengan filem-filem bodoh (seperti aku, aku sekali-sekala akan menonton filem yang bodoh, seperti
Freddy Got Fingered untuk lepaskan stim intelektual dan semata-mata untuk "ringankan" kepala, tetapi aku tidak akan menontonnya selalu) atau kurang nilai, tetapi kenalkan dengan mereka filem-filem yang bagus dan diketahui diulas baik oleh pengkritik. Dunia dulu, aku hanya menunggu ulasan filem Wahab Hamzah, atau ulasan filem SB Toh, atau kalau berduit, aku beli beberapa majalah filem (dahulu ada sebuah majalah filem terbitan Singapura) dan aku baca ulasannya (kini, aku senang dengan Empire, walalupun arwah Kak Min mengutuk majalah ini).
Di sini, kita akan belajar untuk "memilih", malah dengan membaca (kini melalui internet dengan pelbagai pilihan lagi), kita boleh memilih untuk menyukai sesebuah genre filem, atau pengarah filem. Begitulah yang aku buat sewaktu aku, dengan tanpa gagal, akan beli dan baca buku tebal ulasan Leonard Maltin. Dari situ, aku mempelajari dan menggemari satu-satu pengarah, seperti David Lynch (pengarah filem
The Elephant Man) dan seterusnya (malah selalu berangan, bilalah U-Wei dapat masuk dalam buku tebal tu zaman tu, huhu).
Dari situ, kita akan belajar tiga perkara: memilih menonton filem atas kualiti daripada nilai yang diberi pengkritik, memilih menonton filem mengikut genre kesukaan, memilih menonton filem mengikut pengarah, dan kemudian mungkin pelakon (dalam dunia norma, ini merupakan antara faktor utama, seperti mana aku zaman kecik yang amat meminati Lydia Kandou, Ogy Ahmad Daud dan Erma Fatima), mungkin penulis skrip, pencipta lagu, sinematografi dan mungkin tata rias.
Hal inilah yang membuat kita, sekurang-kurangnya mengambil inisiatif untuk melihat sesuatu dengan kerap (seperti mengkaji filem yang diarah oleh seorang pengarah, sepertimana aku waktu dahulu amat mengikuti filem-filem Roland Joffe serta Rahim Razali), lalu daripada kekerapan itu, kita boleh menilai dan membuat perbandingan tentang perkembangan satu-satu genre, pengarah atau filem itu sendiri.
Ya, kadang-kadang, tidak salah untuk menonton filem-filem (luar penilaian pengkritik), yang selalunya membawa kepada dua hal; filem itu menjadi
cult kerana ia mempunyai satu babak "mesti tonton", contohnya sewaktu Divine mengangkat tahi anjing lalu memakannya dalam
Pink Flamingo. Ini yang dipanggil momen (moments) dalam filem, yang memang perlu ditonton walaupun sekali. Buat tahun ini,
Geng mempunyai beberapa, termasuk
Muallaf (Brian kecil dibogelkan) dan
Santau (babak dalam van). Kadang-kadang, babak itu tak mungkin signifikan pun, hanya cantik, dan hal ini (menonton kerana ini) merupakan cara kita, sekurang-kurangnya memberi penilaian (maknanya, kita punya minda pertama jugalah) terhadap sesuatu. Keduanya adalah, kadang-kadang sebuah filem itu bodoh buat pengkritik, tetapi punya "sentimental value" atau sesuatu yang membuatnya klasik untuk anda (contoh buat aku,
Exorcist 3 merupakan filem yang amat peribadi buat aku). Inilah filem-flem
guilty pleasure, atau "undiscovered gems", yang mana lambat laun akan "meletup". Ya, ianya menarik untuk kita dengar, satu hari nanti, seorang pengkritik menyatakan nilai dan pemahaman dalam
Sembilu, atau
Jutawan Fakir. Tetapi, aku rasa, hal ini mungkin berlaku waktu kiamat kot.
PILIH PENONTON KE PAWAGAMPerkara kedua apabila memilih filem, kita juga kadang-kadang perlu membaca sedikit plot serta "elemen apa yang akan ada" dalam sesebuah filem. Contohnya, apabila kita membaca bahawa sesebuah filem ada memaparkan si hero menyucuk tangannya ke dalam anus lembu, adakah kita mahu menontonnya? Hal-hal ini bukan sahaja untuk kita nilai tetapi kaitkan dengan siapa yang kita nak bawa.
Contoh, kita tahu,
Santau nanti ada memaparkan babak-babak (konon) seram yang mengambil
paparan orang makan cacing, mungkin pergaduhan suami isteri (sampai pukul-memukul), serta orang kena rasuk. Adakah kita akan bawa anak-anak kita menonton filem sebegini? (aku masih ingat bagaimana ramai anak-anak menjerit dan menangis takut dengan babak ular raksasa dalam filem
Geng). Hal satu lagi, jika kita tahu kita akan menonton sebuah filem lewat malam, adakah elok untuk kita bawa anak-anak kecil untuk menonton bersama?
Hal-hal inilah yang kita sudah tidak ambil pusing. Ya, mungkin bukan budaya kita (orang dulu menonton wayang kulit sampai 5 pagi) untuk menapis, tetapi kita perlu fahami satu hal: orang lain tidak berfikir dan merasa seperti kita, terutamanya kanak-kanak. Bayangkan bila kanak-kanak selalu disuapkan dengan filem komedi Razak Mohaideen? Apa akan terjadi?
Kita mempunyai
rating filem paling teruk dalam dunia (Thailand juga begitu, serta beberapa negara Asia lain), kita selalu "mendewasakan" anak-anak kita sebelum masa mereka. Contoh, berapa ramai orang tua yang melarang anak mereka menonton bersama mereka filem
Total Recall, dan apakah tidak ada reaksi ibu bapa apabila anak-anak menonton babak pelacur bertetek tiga? Hal yang penting ialah, PG-
parental guidance. PG di pawagam bukan bermakna sesiapa sahaja ada lampu hijau untuk bawa anak mereka ke dewan pawagam (Santau mendapat pengiktirafan ini). PG bermakna, penjaga/orang tua perlu pantau dan menjelaskan kepada anak mereka jika satu-satu babak atau detik dalam filem itu yang "tidak sesuai" buat penonton bawah umur, dan bukan biar sahaja anak-anak itu menonton tanpa apa-apa penyeliaan. Contoh paling klise, apabila satu babak memaparkan dua orang belum berkahwin dan bukan muhrim bercium, tentulah ayah dan mak perlu menyatakan kepada anaknya, "Kita orang timur tak macam tu." Sekurang-kurangnyua, menonton menjadi satu aktiviti yang bukan satu hala tetapi dinamis dari segi interaksi.
JAGA ADAB DALAM PAWAGAMInilah tingkah laku yang paling-paling penting, kalau dibandingkan dengan dua di atas (kerana dua di atas boleh dibina dari semasa ke semasa), kerana apabila kita berada dalam pawagam, kita bukan seorang, tetapi kita dikerumuni dengan pelbagai manusia. Mungkin kita selalu lupa hal ini, apabila dewan pawagam jadi gelap. Di sini, biar aku paparkan beberapa muka tak malu yang telah buat hal pada malam tayangan teater
Tok Janggut di Aswara beberapa bulan lepas:
Gegambar yang tertera di atas merupakan gambar penonton selepas lampu dihidupkan selepas selesai tayangan teater
Tok Janggut (lakonan Khalid Salleh), ditangkap oleh aku sebaik mereka melakukan hal-hal yang amat kurang ajar dalam ritual sewaktu menonton teater berkenaan. Aku harap mereka bukan pelajar daripada Aswara.
Tiga perkara yang mereka lakukan TANPA MALU (hanya apabila lampu dewan dipadam) adalah:
1. Menjawab panggilan telefon sewaktu tayangan berjalan.
2. Bercakap-cakap dengan kawan sebelah (tanpa menurunkan suara), malah langsung tidak berbisik.
3. Paling teruk, mengketawakan para pelakon tanpa apa-apa motif (seakan-akan semuanya kelakar buat penonton kita sekarang, oh lupa, kita akan raja pembikin komedi sampah?)
Hal-hal inilah satu perkara yang NO NO dalam pawagam, tetapi masih dan selalu dibuat oleh penonton kita. Contoh lain seperti tidak duduk diam, sengaja mendepankan tubuh untuk menonton skrin, menjejaskan pandangan penonton belakang. Menolak-nolak kerusi depan dengan kaki, membersin atau batuk tanpa menutup mulut dan hidung, serta datang lewat ke pawagam.
Secara serius, aku malu jadi rakyat Malaysia kerana perkara-perkara di atas. Adik aku pernah menyatkan, jika ada penonton yang secelaka ini (mengambil semangat Nik Aziz dalam ucapannya terhadap kecelakaan blog itu terhadapnya), berborak dalam pawagam di UK, akan datang
usher dan menghalau penonton itu keluar, walaupun dia mungkin seorang Datuk atau Artis. Tak silap aku, itu yang berlaku kepada Amy Winehouse beberapa hari yang lepas. Malah sewaktu aku di Bangkok, tidak pernah sekalipun dalam tontonan aku, para penontonnya bersikap kurang-ajar dengan bercakap-cakap atau menjawab telefon atau berbuat sesuka hati dalam pawagam. Ya, orang Bangkok memang jauh beradab daripada kita!
Hal yang boleh disimpulkan: segelintir penonton kita tidak tahu menghargai hasil kerja orang. Dalam perkara mereka, mereka hanya mahu berhibur.
Jadi penonton-penonton sekalin, jaga-jagalah, kemungkinan, gambar awak pula yang akan dipaparkan di sini jika anda berkelakuan tidak sopan apabila menonton wayang atau teater. Aku gerenti, jika kita lebih beradab, dan mengikuti tiga syarat adab di atas sewaktu hendak pergi menonton wayang, mentaliti dan nilai budaya kita akan bertambah baik, dan mungkin baru kita tahu makna "minda pertama" itu.
Satu lagi
makalah memancar tentang ketidakbudayanya penonton kita.