"Tempat aku di sini (Pandora) menjadi lebih nyata, sedangkan hidup nyata aku lebih dekat seperti mimpi." - Jake Sully
Penyataan di atas merumuskan ke mana filem ini hendak membawa kita. Cinematic breakthrough? A new form of cinema? James Cameron, Sang Raja Dunia seakan-akan mahu menyatakan, dalam dunia filem Avatar, Cameron akan membawa anda ke satu dunia di mana anda merasakan sinema yang dikatakan mimpi (films are what dreams are made of) itu adalah satu kenyataan dan kenyataan yang anda alami sehari-hari itu akhirnya hanya mimpi (menarik jika kita kaitkan dengan pemahaman kita dengan dunia fana ini dengan kekekalan akhirat).
Adakah ini benar dalam konteks Avatar? Adakah dengan Avatar, semacam Titanic(1997) ataupun Terminator 2(1991), anda akan berkali-kali masuk untuk "menyatukan" diri anda dengan mimpi "ini" supaya anda memegang kepercayaan bahawa "mimpi adalah kenyataan" sedang kenyataan anda itu satu mimpi?
Jake Sully(Sam Worthington) melalui hal ini dengan kool dalam Avatar, seperti mana Bruce Willis pada tahun yang sama (pelik tapi benar) dengan Surrogates(2009). Oh, ada satu perkara yang lagi menarik dari segala itu. Ada pelakon wanita yang paling aku sayangi, Sigourney Weaver melakonkan watak saintis yang sungguh kuat dan karismatik sepertimana yang beliau bawakan dalam Aliens(1986) dan kemudiannya Gorilla in the Mist(1988) (sepertimana saintis itu dengan watak filem ini, kedua-duanya mempertahankan keseimbangan ekologi dan kehidupan liar yang diancam manusia). Ada beberapa lakonan lain yang memberangsangkan, terutama pelakon utamanya, sam Worthington, kemudian beberapa pelakon sampingan yang baik. Cameron, seperti mana pengarah lain yang cuba mempertaruhkan lakonan CGI menandingi manusia, menyatakan ia pun boleh berlakon dan menyatakan emosi sebaik atau lebih baik daripada manusia.
Tetapi itulah ironinya. Cameron menujah dan meningkatkan kepakarannya, dengan kecanggihan "hands on"nya terhadap teknologi untuk mencipta sebuah filem seprimitif mungkin dalam bentuk Pandora. Sedang dunia plot Pandora dengan manusia sebagai Orang Langit (Sky People) yang berteknologi bagi merusuh makhluk primitif Na'vi (=nabi?) yang sedekat dengan kaum Red Indian di Amerika (malah sangat-sangat dekat, aku ingatkan aku menonton Dances with Wolves dalam CGI), aku tidak dapat tidak mengambil hal Cameron ini dengan segenggam garam. There's something fishy here. Terdapat satu eksplotasi besar yang berlaku dalam tangan Cameron untuk bermain dengan hal-hal yang disukainya, gajet canggih, kapal besar, senapang, panorama luas dan watak-watak keras dan watak-watak dianiaya kuasa besar, semuanya tipikal Cameron, dan Cameron seakan mencipta "dunia CGI" ini hanya untuk melandaskan fetishnya terhadap benda-benda ini. Ini kawasan James Cameron, dan beliau memang pantas menggunakannya sebaik mungkin.
Kekuatan Cameron selalunya atas kuasa sebab dan akibatnya. Semua perincian dan motivasinya "fall into places", tapi buat aku, dalam kesemua filemnya, tidak ada yang jatuh sebaik Terminator(1984), The Abyss(1989) dan Aliens, adikaryanya. Terminator merincikan bagaimana satu plot boleh dipanjang pendek dengan pelbagai lenggok dan kejutan, malah memberi satu pengakhiran yang "besar". The Abyss merupakan satu masterpiece yang selalunya dipandang serong, yang mana ia memberi satu kepuasan sinematik sebaik Close Encounter Spielberg. Begitu juga Aliens sebagai filemnya yang mana "fall into places" yang paling baik (sampailah ke simbol keibuan dan kekeluargaan dalam filem itu). Untuk Avatar?
Aku serius. Aku mahu menyayangi Avatar, serius. Malah memang aku suka dengan mitos dan budaya penduduk Pandoranya. Aku suka dengan gajet canggih dan senapang gajah manusianya. Aku suka cara James membawa watak Jake mengenal dunia Pandora. Ianya memang "gula-gula" untuk mata. Tetapi ada dua perkara yang tidak berlaku buat aku:
1. Tidak ada apa-apa yang baharu tentang Avatar. Plotnya sebenarnya sudah sedia maklum dan dikenali. Natif bertemu orang asing (outsider) dan bagaimana orang asing menjadi penyelamat (Dune anyone?), yang mana banyak ideal kesalahan politik luar Amerika dikritik di sini. Malah wahab Hamzah dengan berani mempersamakan kemusnahan tempat tinggal makhluk asing itu semacam babak-babak Apacolypse Now(1979) di mana Amerika menyerang kampung dengan helikopter. Ya, itu satu persamaan yang menarik. Tetapi kenapa dan buat apa? Malah Apacolypse Now lebih "gritty" apabila menunjukkan seorang watak Amerika yang "sesat" menjadi sesuatu yang "lain" daripada apa yang dapat difahami (watak Marlon Brando). Adakah Cameron mengatakan, dengan sikap optimis dan humanisnya, ada manusia yang boleh berubah dalam masa tiga bulan (hanya kerana jatuh cinta) untuk memerangi balik manusia? Lihat District 9(2009) dan bagaimana ideal peperangan dan ketidakfahaman tentang keterasingan lebih mencapai impak dan pemahaman yang lebih mendalam dan subtle (dengan memberi tanggungjawab yang tidak diminta oleh protagonis, ala cerpen Metamorfosis) terhadap Jake dalam filem ini.
Sebenarnya, Anime cantik Princess Manonoke(1997) arahan Hayao Miyazaki sudah jauh dan malah lebih berjaya dalam fahaman logisnya mereka plot dan perwatakan sebegini. Malah dunia mistis dan kuasa "Tuhan lama" filem itu jauh menandingi pemahaman Cameron dalam Avatar. Malah, ia lebih estetik (tontonilah filem ini untuk memahaminya). Bandingkan Eywa yang senyap tetapi reseptif pada akhirnya (yang tetap logikal dalam dunia Pandora) dengan kuasa benar tetapi boleh musnah Forest spirit dalam Manonoke. Malah dalam Manonoke, kita dapat RASA kedekatan ritual dan bicara manusianya terhadap alam dan "dewa lamanya" serta perkaitannya. Ini jauh didapati dalam Avatar, babak-babak ritual makhluk asing primitif Avatar hanya "show", malah amat "mengejek" terhadap kompleksiti biologi-ekologi-agama dunianya (masalahnya Cameron hanya mahu memberi maksud arkeologi dan sains terhadap Na'vi, melihat logos dalam ilmu sains, tidak mahu pergi sejauh sepertimana Battlestar Galacticca pergi dengan pemahaman agama, roh yang mencapai metasains).
Apabila mereka melakukan upacara menyatukan roh Sigourney dengan avatarnya, kenapa makhluk-makhluk itu perlu berkumpul mengelilingi dan "berzikir"? Kenapa Jake yang "tiba-tiba" mendapat jawapan untuk menyatukan jiwanya dengan Pokok Jiwa, kenapa Ketua Bomoh sendiri tidak teringat melakukannya? Apakah kelebihan Jake sampai Pokok Jiwa mendengarnya, malah memilihnya pada babak awal?
Ya, kedua-duanya mempunyai ciri sama, tetapi sekurang-kurang Puteri Manonoke dalam filem itu sudah bertahun duduk dengan binatang liar. Sampai sekarang, kita tidak akan memahami kenapa Eywa memilih Jake daripada semua orang (adakah ini alasan untuk menggerakkan plot?)
2. Dari segi sinematik pun, aku tidak boleh mempercayai, baik Wahab Hamzah ataupun Roger Ebert bahawa Avatar merupakan satu pengalaman sinematik yang mereka rasai keterujaan yang sama seperti sewaktu Star Wars keluar untuk pertama kali pada 70-an. Buat aku, Lord of the Rings merupakan Star Wars milik generasi kita abad ke-21. Apa yang LOTR lakukan (sampai kepada pemecahan cerita kepada tiga bahagian), buat aku tidak ada lagi filem yang boleh menandingi kuasa sinematiknya dalam pencampuran realiti dan CGI. Malah terlalu banyak momen sinematiknya yang jauh menandingi Avatar, yang boleh kita ingat dan imbau dengan penuh makna. Avatar? Aku cuba mencari satu, tetapi babak yang paling dekat kepada aku hanyalah waktu Sigourney hendak nazak. Itulah babak paling cantik dan melangkau satu pemahaman yang dalam buat aku dalam Avatar.
Avatar bagus, malah kalau anda percaya terhadap penyataan yang aku tulis di atas, anda akan menonton filem ini berkali-kali. Sekurang-kurang poin Inconvenient Truthnya relevan dan sangat penting (walaupun secara hipokrisi orang Amerikalah pengguna tenaga dan pencemar bumi no. 1 di dunia), malah cara Cameron merangkul ideal pascakolonialisme dengan menolak ideal Amerika menyibuk untuk menyerang Iraq satu sokongan yang dipuji (dan juga dikutuk, kerana dengan halus menyatakan, seperti mana Jake, seorang "jahil" yang boleh menyelamatkan kaum primitif ini, menyatakan hanya seorang Amerika boleh menyelamatkan negara Iraq daripada askar Amerika sendiri - James Cameronlah tu, pengecut kau Cameron!), tetapi ia jauh daripada menempa nama sebagai satu filem bernilai sinematik, walaupun ia membuka jalan penggabungan realiti dan CGI serta teknologi 3D yang lebih canggih dan organik buat wayang kita masa hadapan.