Showing posts with label Robert Zemeckis. Show all posts
Showing posts with label Robert Zemeckis. Show all posts

04 December 2009

Perca-perca Filem Disember 2009


Wah, lama juga kan aku terdiam. Hoho! Jangan tak tahu, kerja dah berlambak di samping adik aku baru kawin beberapa minggu lepas, jadi sempat tak sempat jugalah aku menonton filem. Paling menyesal, aku tak dapat menonton Karaoke(2009) arahan Chris Chong itu oleh sebab sewaktu aku kembali dari Jakarta, perut aku memulas teruk lalu tak dapatlah aku ambil masa ke Mid Valley, dan selepas itu pula Hari Raya Korban. Tropicana, tempat wayang aku lepak sekarang (dekat sangat ngan rumah beb, besh!) lagi hampeh sebab takde satu filem Melayu atau filem art-house macam Karaoke diwajib tayang. Ya, aku hanya ke sana menonton filem-filem bertih jagung besar seperti 2010 atau New Moon (uwek - ni awek aku paksa ya!). Nasib baiklah ada kawan macam AM Jarni yang telah membakarkan aku beberapa CD yang cun-cun, cayalah kawan! Di sini ada beberapa (yang aku boleh ingat lagi):

The Christmas Carol(2009)
Aku tonton filem ni di sebuah pusat beli-belah besar di Bogor. OK, mungkin aku kepenantan kerana sehari sampai ke Indonesia, tetapi aku TERTIDUR menonton filem ini yang aku dapat rasakan semacam sebuah filem "seni" yang menjual tiketnya kepada penonton "komersial". Ya, ada keindahan daripada segi konsep Robert Zemeciks menggerakkan keseraman bercampur efek khas yang "melantun keluar mata" para penonton dengan efek 3D tetapi keseriusan filem ini agak terlalu, walaubagaimana "dekatnya" adaptasinya terhadap novel Charles Dickens itu. Entah, mungkin aku hanya penat.

Klute(1971)
Pertama kali aku menyukai segalanya tentang Jane Fonda. Filem arahan Alan J. Pakula (yang pernah menerbitkan To Kill A Mocking Bird) yang amat meyakinkan, ini adalah contoh sebuah filem ngeri (thriller) yang tidak luput ditelan zaman. Ya, filem ini amat moden dan masih dikira antara filem ngeri terbaik sepanjang zaman (seperti mana Silence of the Lambs, The Marathon Man, The Conversation dan The French Connection). Filem bergerak dengan watak Jane Fonda sebagai pelacur yang bebas, penuh semangat besi dan tahu apa yang dia mahu dalam hidup tetapi menjadi tidak menentu apabila dikacau di telefon pada setiap malam. Jane Fonda sebenarnya pernah diganggu oleh seorang lelaki obses seks. Donald Sutherland sebagai Klute, lelaki yang ditugaskan untuk mendekati Jane Fonda, oleh sebab kehilangan seorang kawannya. Pada awal lagi, kita sudah ditemukan dengan "pengacau" Jane Fonda. Tetapi itu bukan motif filem ini, dinamisme dan pembukaan watak Jane Fonda dan Sutherland merupakan kuasa sebenar filem ini, menjadikan ianya sebuah filem pengkajian perwatakan (character study) yang amat menjadi. Pun begitu, Pakula tidak melepaskan kita dengan kebosanan, kerana intrig kesenyapan "usikan pengacau" dalam beberapa babak mengalahkan suspens yang dibawa oleh Dario Argento, malah digunakan dengan sebaik mungkin di sini. Ada satu babak yang sangat berhasil dalam hal ini. Dalam babak itu, kita mengikut ketidaktentuan emosi Jane yang bergelegak, lalu dia keluar dari rumahnya, semuanya dibuat tanpa kejutan. Kemudian dalam fokus jauh, kita lihat Jane berjalan ke kiri skrin, lalu, tanpa disedari Pakula mengejutkan kita dengan efek suara, bayang hitam yang tiba-tiba muncul "mendepani" kita lalu seakan mengejar Jane. Babak ini sebaik mana-mana "babak kejutan" dalam filem seram tetapi filem ini terus mencapai matlamatnya dengan baik. Sebuah filem yang amat mempesonakan, intrig dan segar walaupun 30 tahun pembikinannya.

2012(2009)
Ini adalah antara filem yang penonton kita tak seharusnya ambil serius. Sebuah filem yang jauh menolak agama (filem ini menyekutukan sains sebagai tuhan rasional melampaui mukjizat mana-mana agama termasuk Islam), John Cusack dijadikan "nabi baharu" yang membawa falsafah (sedar atau tidak, petikan bukunya selalu dibacakan sebagai "kebenaran": adakah ini bermakna di New York, rasul-rasul baharu Barat merupakan para penulis yang melata bumi?), serta "walk the talk" untuk menyelamatkan keluarganya. Aku nak sangat tengok kedua-dua anaknya mampus dilanggar biawak atau dicucuk muncung jet oleh sebab kepalsuan emosi mereka bertindak atas segala pancaroba dan maha cerca yang berlaku di sekeliling mereka (lihat babak John Cusack kejar kapal terbang, anak-anaknya macam main permainan dengan ayah). Tetapi secara kemanusiaan, filem ini mempunyai semangat yang betul dalam mempersoalkan "adakah survival terletak hanya pada kelas tertentu" sahaja? Jangan tak tahu, Mekkah dan Malaysia tenggelam pada 2010 walaupun tidak dipaparkan secara tersurat (tengok babak peta di skrin komputer). Ha, terduduk kau orang Melayu.

Storm Warriors II(2009)
Peninglah. Kan ke dulu filem ni dikenali sebagai Storm Raiders? Bila pula berubah Warriors, kemudian ada nombor Roman II pulak? Kepada yang tak suka filem 300, tak suka Aaron Kwon atau Ekin Cheng, dan tak suka komik Pedang Setiawan Hong Kong itu, jauhilah daripada menonton filem ini kerana anda tidak akan faham kenapa perlunya cantik dan romantik babak Aaron dan Ekin yang bertegang tangan (atau berpeluk dada?), kenapa tiba-tiba ada manusia bernama Lord Godless (!) mengikat seorang yang bernama Nameless, lalu tiba-tiba pedang terbang (ha, bukan parang terbang je) dan ada watak bernama Shu Shu yang jengkel, kita rasa nak potong lehernya (yang memang matipun pada akhir filem, ops! dahulunya tak silap aku dilakonkan dengan lebih baik oleh Shu Qi). Beberapa efek seni dan CGInya memang mengujakan, tetapi buat aku tidka bermakna kerana ia setentunya buat pecinta komik sahaja, dan bukan kumpulan pecinta filem fantasi.

Astro Boy(2009)
Aku peminat Osamu Tezuka jadi aku memahami dunia kemanusiaan Tezuka, dan Astro Boy tidak menghampakan bagi peminat Tezuka (mungkin buat mereka yang tidak kenal Tezuka, boleh cuba dengan Metropolis yang jauh lebih baik daripada filem ini). David Bowers selaku pengarah membawa sentimen animasi Amerika dalam jalan cerita yang sepenuhnya semangat Tezuka. Ada kebaikan dan keburukan, lagi-lagi apabila beberapa lawak yang diutarakan tampak pelik buat kedua-dua penonton (Barat dan Timur). Isu peperangan (menyamai dasar George Bush Jr.) agak besar tetapi dibuat dengan kebudak-budakan. Beberapa babak tampak tidak disunting dengan baik, terasa janggal. Tetapi babak Astro turun ke tanah rata dan menemui robot dan kawan-kawan baharu, merupakan satu gula-gula manis terhadap filem "anak kecil hilang rumah". Ya, ada beberapa bahagian buat aku menangis.

New Moon(2009)
Ini adalah filem, selepas Pisau Cukur yang aku sedar ramai perempuan menjerit apabila beberapa babak berlaku di depan layar. Ini berlaku dengan tidak terkawal pada masa Taylor Lautner (nama, alahai!) membuka bajunya. Aku mendapati, seorang wanita separuh umur yang menjerit paling kuat. Tuhan, lihatlah apa yang seks boleh lakukan terhadap seseorang. Apa-apa pun, filem ini tipikal Hindustan: ada wanita dan lelaki berlari-lari ala Salem High Country, ada lari-lari dekat pokok (siap acah-acah tepi pokok), ada babak baring atas rumput dengan bunga yang tak berpegang, sedu-sedan, hilai tiba, hero dan heroin terlampau sempurna, gaduh-gaduh, wah senarai ni boleh panjang lagi ni. Tetapi sebagai seorang penonton yang tidak pernah membaca novel tebal khusus anak dara yang menunggu ditebuk, ianya boleh dikatakan menyeronokkan dan lebih senang diikuti daripada Storm Warriors II.

Pintu Terlarang(2009)
Filem yang tidak ramai orang akan menyukainya (termasuk, erm, aku) tetapi adalah antara filem terpenting Indonesia tahun ini oleh pengarah hebat Joko Anwar. Aku bukan apa, tensen sebab filem ini punya kuasa seks, tetapi tidak ditunjukkan dengan baik oleh dua pelaku utamanya (oleh sebab menjaga dasar tapisan filem Indonesia). Pun begitu, bagi peminat Hitchcock atau filem-filem seram, anda akan menyukai filem ini yang sebenarnya sebuah kitaran semula The Cabinet Case of Dr. Caligari. Lebih penting, anda perlu memahami falsafah Nasrani tentang "immortal sin" (filem ini tak mungkin diterima tayangan di Malaysia apabila pelakon Islamnya berlakon sebagai seorang Nasrani). Filem yang dibuat dengan kesungguhan dan kesempurnaan yang amat baik.

3 Doa 3 Cinta(2008)
Filem tentang pesanteren oleh Nurman Hakim yang amat memikat. Benar dan jujur. Filem ini mungkin lambat untuk "mencuit" perasaan hati penonton, tetapi percayalah, dalam pertengahan filem, anda akan terikat untuk mengetahui tiga warga santri (satu daripadanya adalah Nicholas Saputra) serta apa yang akan berlaku kepada mereka. Yang amat mengejutkan. Nurman menolak untuk memoraliskan cerita, filem ini lebih bergerak atas erti kata sinema dan kemanusiaan daripada penggunaan hal-hal didaktik (filem ini jauh menghakimi watak-wataknya walaupun mereka tidak maksum), dan ini membuatkan filem ini antara filem agama terbaik Indonesia 2008. Aku suka garapan si santri yang menyukai sinema, penggunaan kamera digital yang secara tidak langsung menjadi "mata" kita juga untuk memahami dunia pesanteren dan idea bilik tempat mengendap yang merupakan bilik rahsia tiga santri ini. Tiada sentimentalis terlalu seperti yang dibikin oleh Laskar Pelangi, malah semuanya dibuat dengan serealis mungkin. Aku mungkin akan memperkatakan dengan lebih panjang tentang filem dalam filem yang menarik ini.

The Bad Seed(1956)
Sebelum Hitchcock memperkenalkan "jangan masuk pawagam kalau lewat 10 minit", filem ini sudah memulakan gimik "jangan beritahu klimaksnya" kepada para penonton. Sebuah filem yang mencampurkan kuasa seram, ngeri, drama sosial dan keluarga, antara filem seram psikologi yang amat menjadi, melihat pada tahun ia diperkenalkan. Filem pertama yang membawa maksud "anak kecil pun boleh jadi jahat". Lakonan keseluruhan pelakon utama memberangsangkan, terutamanya Nancy Kelly sebagai ibu kepada anak yang jahat. Malah penggayaan tertib dan adab keluarga Amerika waktu itu mencapai kegilaan yang menarik (jika dibandingkan dengan elemen dysfunctional family dalam filem-filem Barat sekarang) apabila seorang ibu merasa bersalah untuk mengaku tentang anaknya (dia akan dicemuh oleh sistem patriaki zaman itu) dan bagaimana dia cuba menahan anaknya daripada melakukan kejahatan. Perilaku kejahatan tidak ditunjukkan. Hanya "penceritaan" melalui dialog yang berlaku. Tetapi kesan terhadap hal ini yang menyebabkan ianya menarik, melihat paranioa sang ibu menjadi-jadi lalu membawa ke satu kresendo yang tiada akhirnya. Aku suka dengan pengakhiran filem ini, walaupun ia tidak masuk akal (atas sebab mengikuti Hays Code waktu itu) dengan Deus Ex machina yang keterlaluan, sedap jugak tengok anak dajal kena libas petir. Arahan Mervyn LeRoy.

Suddenly, Last Summer(1959)
Filem yang banyak cakap daripada Joseph Mankiewicz, daripada teater tulisan Tennesse Williams tentang pergelutan seorang wanita, lakonan Elizabeth Taylor untuk memperjuangkan haknya sebagai siuman daripada insiden yang berlaku sewaktu di Sepanyol terhadap sepupu lelakinya yang homoseksual. Apa yang bagus dalam filem ini adalah keberanian atau sexual franknessnya yang mungkin tampak luput buat penonton zaman sekarang (semuanya dibuat dengan berkilas dan berkod). Katharine Hepburn sebagai ibu mangsa mati merupakan satu lakonan yang jauh spetakular daripada mana-mana pelakon di dalam filem ini. Antara adaptasi Tennesse yang tidak begitu kuat sepertimana A Streetcar Named Desire dan A Cat On a Hot Tin Roof.

Opera(1987)
Ini merupakan antara filem terbaik oleh Dario Argento. Pada waktu filem ini berakhir, anda akan merasakan anda melihat sebuah filem yang menghancurkan segala yang anda faham tentang sebuah filem penyiasatan, seram atau psikologi. Filem ini memancar suara sinema yang sedalam-dalamnya sehingga ke hal-hal yang elemental. Ya. permulaan filem ini dimulakan dengan gerakan kamera yang kita kenali sebagai "Seorang Diva" yang tiba-tiba dilanggar kereta (mungkin oleh pembunuh dalam filem ini, sebagai hal merencanakan segalanya untuk plot yang seterusnya). Satu babak menggoyahkan, Betty yang mendapat nama sebagai pengganti diva yang dilanggar (babak berunsur Phantom of the Opera) telah diikat di tiang dengan matanya dilekat pita berjarum, sambil melihat teman lelakinya dibunuh oleh pembunuh bertopeng. Kemudian Betty melepaskan diri, di luar Betty berjalan dengan tenteram (tidak lari) lalu sampai ke pondok telefon, menelefon polis, tanpa memaklumkan namanya kepada pihak polis. Kemudian, semacam satu fairy tale, Betty terus berjalan dan dijumpai oleh pengarah teater yang tidak mengagak pun apa yang telah berlaku. Secara plot, dan secara struktur, hal ini nampak pelik tetapi mengujakan secara psikologi (kenapa Betty tidak memaklumkan kepada sesiapa? Hal ini akan dimaklumkan apabila dengan lebih dalam kita mengenali Betty). Tetapi apa yang lebih "cantik" adalah kuasa tinggi Argento dalam membawa nilai sinema dalam babak-babak ini, ia semacam "benar" tetapi "mimipi", jauh daripada gaya ekspresionis yang biasa kita lihat dalam Suspiria, kali ini Argento duduk di bumi yang nyata dengan bermain unsur alam dengan sepenuhnya, gagak, hujan dan rumput. Semua ini memberi signifikan bukan sahaja secara "mimpi" tetapi ekspresi sinema yang kuat (kita akan sedar ini apabila Betty di"engulf" sepenuhnya oleh alam di akhir cerita), dan segala ini dijalankan dengan arahan kamera yang stilistik dan tak mungkin akan dibikin lagi oleh Argento. Suatu lagi yang menarik, filem ini bergerak begitu mengejutkan, ia tidak memberi kita masa untuk bernafas. Lebih-lebih pada babak Betty dikacau di pangsapurinya. Babak ini merupakan antara babak klasik dalam gaya cat and mouse dalam ruang yang kecil. Sebuah filem yang semestinya ditonton dan ditonton lagi untuk mengutip genius Argento terhadap pemahaman gaya dan keperluan alam dan ruang.

4Bia 2(2009)
Memang betul, 4-Bia 2, sekuel kepada himpunan filem-filem pendek seram/ngeri adalah lebih baik daripada yang pertama. Kali ini, filem-filem pendek ini mengambil tema, atau sekurang-kurangnya tanda JALAN (semua filem pendek kali ini bergerak daripada plot jalan atau simbolisme jalan sebagai peredaran masa dalam filem, hidup atau "jalan hidup"), dengan hal yang didaktik untuk filem pendek pertama (anak jahat yang dipaksa masuk biara), dengan episod yang sangat meyakinkan untuk yang kedua (pilihan kegemaran aku sebagai satu cerita), dan paling menyeronokkan, bahagian zombi, yang mana punya gerakan dinamik dan kuasa laju sekali gus yang baik tentang sebuah filem zombi (berkenaan hal moral dan kritikan sosial terhadap pelancong dan pendatang tanpa izin ke Thailand). Filem pendek terakhir, yang membariskan empat kawan dalam 4-Bia yang mana mereka semua "sudah mati" juga satu takjuban yang amat menyeronokkan (penuh ketawa dan ketakutan) dengan kehadiran para pelakon yang sama untuk episod kali ini (tentang seorang pelakon tambahan yang kembali dari "kematian"). Malah lawak yang dibuat oleh seorang pelakon, "Cerita ni dah mengarut, ini plot -twistpaling mengarut yang pernah aku dengar," merupakan kritikan sekali gus cemuhan cerdas yang dibikin oleh pengarah ini tentang filem-filem seram Thai. Ya, filem seram Thai nampaknya masih segar bugar dengan kehadiran filem ini.

19 November 2007

Perca-perca Filem November 2007

Lions For Lambs (2007)
Aku tonton filem ini dengan Azwan. Aku tonton ini sebab, dalam kalangan pengkritik barat (termasuk pengkritik film tersohor kita, A. Wahab Hamzah), hanya tokoh pengkritik yang paling aku suka, Leonard Maltin yang sibuk memperkatakan tentang filem ni. Dan akhirnya? Memang, apa yang dicanang-canangkan oleh Leonard tidak merugikan, filem ini sebuah filem separa hiburan dan separa medan pendebatan Hollywood tentang reaksi mereka terhadap "War on Terror" Presiden Bush. Para sayap kanan dan konvensionalis tentu membenci filem ini, malah ada liberal yang tidak sanggup dengan dakwah dan dakyah meleret-leret filem ini yang semacam diambil dari sebuah karya drama. Tetapi itulah yang filem ini paparkan, sebuah persoalan yang tidak memberi jawapan tetapi meminta penonton memberi 'pendapat' rasional mereka (walaupun secara lembut, filem ini meminta rakyat Amerika membuka mata terhadap 'kezaliman Bush membuta dan memperbodohkan rakyat dengan media') tentang aksi dan reaksi para kabinet Bush dalam menyelesaikan masalah negara mereka sekarang. Lakonan hebat oleh Redford, Meryl dan beberapa pelakon baru.
Beowulf (2007)
Aku tak faham kenapa ramai pengkritik dan sejarawan filem bengang sangat dengan filem ni. Aku memang tidak akan faham sejarah dan mitos Beowulf (dan Azwan sendiri mengaku, puisi panjangnya antara hasil sastera lama yang susah dibaca), tetapi filem ini membayangkan sebuah filem yang senang, menghiburkan dan jujur tentang definisi sebenar seorang 'hero'.
Memang, beberapa aksi sewaktu Beowulf meloncat dan berakrobat dalam keadaan bogel untuk membunuh Grendel, atau waktu ibu Grendel, si ANGELINA JOLIE menggoda Beowulf, kebanyakan penonton akan terliur untuk montok buah dada Angelina yang sudah dimamah Brad Pitt dan anaknya, atau terkekek kerana kamera 'malu' ala-ala Austin Power terhadap anu Beowulf. Menjengkelkan. Tetapi ideanya melebihi kejenggelan ini (contoh: siapa yang tak tahan bila melihat buah dada Angelina, yang akan dimeterai di dalam sejarah filem sebagai buah dada animasi paling montok dan seksi, atau siapa pun nak tengok anu Beowulf terjelir tak tentu fasal, oh, jangan lupa, filem aksi masih terikat dengan machoismo), ideanya murni: memaparkan bagaimana seorang perwira yang sudah jatuh dari martabatnya, mengambil balik tempat sebetulnya dengan mengorbankan dirinya untuk negaranya(!)
Malah pengakhiran filem ini, yang dikira dipersoalkan adalah perlu (ingat, kejahatan tidak pernah mati), malah memberi pilihan kepada penonton membuat pemilihan tentang isu moral yang dipaparkan (mungkin kerana ini, filem ini dibidas, kerana persoalan moralnya terlalu satu lapisan).
Funny Games (1997)
Secara jujur, seluruh minda dan rohani aku jadi 'kebas' selepas menonton filem ni, sebuah perasaan yang sudah lama aku tak rasa sejak menonton Caligula. Aku benci filem ini kerana ia efektif. Efektifnya filem ini membuat kau rasa sakit hati yang amat sangat terhadap kematian harapan kebaikan dan keadilan manusia. Dan ia hanya sebuah filem tentang sebuah keluarga yang dibunuh dengabn kejam oleh dua orang pemuda yang pandai.
Beberapa babak filem ini menghala ke arah 'art cinema', tiba-tiba ke 'satira', kemudian 'ngeri' dan akhirnya 'seram'. Sememangnya filem ini filem seram, dan ia berjaya dalam pelabagai cara. Satu, ia menolak keinginan penonton untuk memenuhi kebiasaan filem-filem sebegini (lihat Cape Fear, Deliverence dan The River Wild), memaparkan bahawa mangsa yang dikenakan memang 'bodoh', atau semacam, secara realistik, mangsa yang terkena tekanan memang begitu (membuat kau menjerit, afsal lah bodoh sangat?? macam mangsa dalam filem slasher). Keduanya ialah 'coincidence' yang logik (Anna ditangkap kembali di jalan) dan tidak logik (babak alat perakam jauh) yang memang membuat penonton betul-betul meloncat marah dan kecewa. Apa yang menyebabkan filem ini sebuah 'klasik' ialah ia menidakkan 'grafik' aksi membunuh yang sangat grafik, tetapi suntingan, ketiadaan imej kejam itu dan hanya suara. Ia kejam dalam bentuk yang sangat kejam, meminta penonton 'mencipta' kekejaman di dalam fikiran (gaya Yasmin Ahmad).
Aku tetap tidak suka filem ini kerana keberaniannya menolak konvensi tatacara filem. Tetapi aku terpaksa kata, filem ini adalah antara filem seram terpenting yang keluar pada abad ini, malah akan dijadikan rujukan buat masa depan.
Dot The i (2003)
Untuk menghilangkan 'kekebasan' minda aku selepas menonton Funny Games, aku terpaksa cara sebuah filem yang boleh menawarkan rasa 'kebas' itu, lalu aku tonton filem ini. Nasib baik! Aku suka filem ini. Ia sebuah filem yang 'menipu', dan sedikit bongkak (seperti Funny Games), tetapi sungguh menyeronokkan.
Filemnya senang, jika Funny Games menyentak penonton supaya 'jangan jadi penonton', Dot The i menyentak penonton supaya 'jadi saja seorang penonton'- maknanya, selusuri saja mana-mana filem sebagai seorang penonton kerana idea sebalik mana-mana filem ialah penonton mahu merasa emosi-emosi yang menipu dipaparkan dengan 'efek' tidak menipu. Ini sebuah filem 'manipulasi' bertaraf tinggi, gaya permain-mainkannya semacam sudah mencapai tahap 'inilah akhirnya'. Jika penonton tidak suka akan 'mainan' yang dicipta oleh pengarahnya, Matthew Parkhill, penonton tidak akan suka filem ini, lalu mencari 'lubang' filem ini dan mempersoalkan 'lakonan dalam lakonan' yang dipaparkan dalam filem ini. Tetapi penggayaan itu sahaja, seperti kebanyakan filem-filem alaf baru di pasaran yang mencari 'real' di dalam filem, memaparkan sesuatu 'idea' yang sangat segar dan mengujakan.
Death Proof, Planet Terror (2007) - Grindhouse
Ohhh, ini berita baik buat peminat filem. Jangan lupa untuk menonton dua buah filem yang menarik ini! Antara dua ini, aku memilih Planet Terror arahan Rodriguez sebagai filem kegemaran aku. Kenapa? Zombi-zombi-zombi..! Dan semua heroin dalam filem ni 'rocks'! Apa yang aku nak mulakan dengan filem santai-separa mainan tapi penuh kekuatan Rodriguez ini? Perlu diumumkan, sebuah lagi filem gore-zombi yang menarik sudah sampai dan masukkan Planet Terror di dalam simpanan rak filem zombi terbaik anda. Mungkin plot dan jalan cerita seakan sama, tetapi CARA ia memusing idea (dengan banyak mengambil, baik filem bajet seram sehingga filem seram klasik) dan memberinya input baru membuatkan filem ini sekaligus semacam kartun Walt Disney di alam yang menakutkan. Watak-watak dalam filem ini, kesemuanya berwarna dan menarik, walaupun yang menjengkelkan, dan beberapa konvensi seram 50-an berjaya dipusingkan. Ini antara filem seram terbaik buat aku tahun ini.
Death Proof juga menyeronokkan, datang daripada hasil buah tangan Tarantino. Awal-awalnya memang membosankan, bosan sampai aku terlelap! Tetapi selepas itu, sewaktu Zoe Bell dan kawan-kawan mahu mencuba gaya stunt, filem ini jadi gila-gila adrenalin yang memancut dan memancut kita untuk tahu kesudahannya.
Kedua-dua filem ini senang, dan melangsungkan kembali pembacaan dua pengarah itu terhadap wanita, lebih-lebih lagi Tarantino (selepas Kill Bill Vol.1 & 2). Kawan saya sendiri mendefinasikan filem ini sebagai filem 'girl power'. Memang, kalau dilihat betul-betul, itulah 'permintaan' filem ini, mensuarakan kekuasaan wanita terhadap seluloid yang selalu dieksplotasi oleh kreativiti lelaki. Dan Tarantino serta Rodriguez memberi penghormatan yang sebetulnya (dan tak betulnya) untuk para wanita memakarkan mereka bukan lagi hamba lelaki, baik seks, kejam dan derita.
Saawariya (2007)
Pada hari Deepavali, saya memilih filem ini, kerana saya suka sangat tengok posternya (saya ingat filem ni semacam sebuah filem fantasi bajet tinggi dari India). Well, memang filem ni filem fantasi, kerana latar cerita ini semacam campuran set Moulin Rogue!(2001) dan Alladin. Satu perkara tentang Bollywood ialah (saya benci filem hindustan, saya mengaku), mereka pandai mengulit sebuah cerita yang pendek, senang, lalu bermain dengan masa (memanjangkan cerita) dengan pelbagai konflik-konflik yang datang dan datang semacam pelakonnya akan mengeluarkan segala emosi dan kalau tidak, mereka akan mati. Dan secara pelik, filem ini berjaya 'bermain dengan masa' dengan konflik-konflik yang datang dan semacam pelakonnya akan mati jika tidak mengeluarkan segala emosi mereka. Malah, beberapa babak dalam filem ini memang cantik, membawa kembali latar Sita Devi bercinta dengan Rama lalu dikacau oleh Rangga (perebutan cinta 3 segi ini sentiasa dikitar semula dalam filem hindustan dengan kreatif mengikut zaman, antara yang paling terkenal ialah Sangam). Buat penonton barat, filem ini melemaskan, kerana hero filem ini (yang tampil agak berkesan) tidak memaparkan macho orang barat yang diinginkan, tidak mencium atau meraba tetek aweknya bila berkasih. Segalanya tertimbul dalam kitaran psedo-erotik-platonik, dan ini membuat penonton barat marah.
Filem ini OKlah, seronok, sedikit lama, tapi Oh, lakonan Rani Mukherjee sangat mengesankan!
Orang Minyak (2007)
Gaia, kawan baik aku dan pembaca setia tontonfilem memberitahu aku dalam SMS, "diumumkan, Orang Minyak mendapat anugerah The Worst Film of 2007 buat Razzies Award Malaysia tahun ini!". Aku terus tak nak tengok filem ni. Serius! Aku sekarang sudah percaya pada kawan-kawan aku yang sudah banyak 'membaca filem' (waalupun kau suruh aku tengok Gaia, aku takkan habiskan rm10 aku untuk filem macam ni, lagi, ever! Kecuali kalau ada sesuatu yang menariklah). Lagipun, aku dengar bahawa skrip filem ini ditolak habis oleh panel Finas kerana 'bodoh yang amat melampau', tetapi jeng-jeng-jeng, kuasa politik dan orang kaya mana telah mengangkat filem ini, lalu ditayangkan di sebuah perhimpunan Pemuda UMNO (aku baca dalam surat khabar) dengan pelbagai komen tentang 'suara dia cam tak betul lah'. Tengok, aku tak perlu pun tengok filem ni nak tahu filem ni bodoh, hebat tak aku?
Mat Bond (1967)
Tonton filem ni Sabtu lepas di Colliseum (sehari sebelum Hindraf KLCC). Pembukaannya bagus. Mat Sentul bersiul, lalu semua kereta di bandar Singapura berhenti secara tiba-tiba, lalu Mat Sentul memecut keretanya (teringat Bruce Almighty). Pembukaan ini penting kerana tiga perkara: 1. Filem ni memungkinkan pelbagai kemungkinan kerana kuasa protagonisnya (ingat, dia punya kuasa mentakrif filem ini, semacam deus ex machine), maka 2. Filem ini segaya filem surealis, fantastik dan pelbagai lagi filem yang elanggar undang-undang logik fizik, maka plot dan garapan filem ini boleh saja tersasar ke mana-mana pintu dan gambaran, dan 3. Mat Sentul mewakili rakyat Malaysia baru, atau Melayu baru khususnya, melawan tindakan Mat Jenin dengan berani 'berangan', malah kerana angannya itu 'menjadi' dalam seluloid 2 jam filem ini. Semua ini menandakan filem ini bergaya bukan? Tidak. Selepas suatu adegan gadis bikini berjoget depan Melayu Tua (simbol birokrat lama Melayu), filem ini jatuh jatuh dan jatuh, hanya kerana Mat Bond yang berangan kuat yang boleh menghentikan sesak lintas kereta mahu memancing saja di tepi rumahnya. Memalukan! Malah pengakhirannya yang caca merba, walaupun pesimis, seakan menjawab lagi bentuk orang Melayu zaman itu yang berperangai 'saya hanya nak lari dari sini dan duduk senyap-senyap tak nak orang kacau'. Pada awalnya, saya suka gaya Get Smart dan The Avenger filem ini, dan gaya 'outdated' (lawan semua hero barat) filem ini yang saya fikir seronok pada awalnya, jadi hanyir dan busuk apabila masuk bab Mat Bond yang bodoh-bodoh, mencipta teknologi yang pelik-pelik tapi masih lurus bendul ("Kenapa awak asyik ikut aku?") dan dungu mindanya di depan orang lain.
Malam Jumat Kliwon (2007)
Sudah, lepas ni, aku perlu beritahu pada diri aku, jangan lagi tonton filem pengarah Indonesia yang satu ni, dah hatrik tiga kali aku kena kelentong dengan pengarah ni (Hantu Jeruk tu, Lorong Casablanca dan ini). Gaya dia senang, semacam sebuah plot drama bersiri Janji Diana (malah produksi Yusof Haslam sekarang lebih tebal ceritanya) fasal orang merebut kekasih, dan kemudian bebudak ni suka ke disko (tiga kali dibuat juga!) dan kemudian masuk ke satu tempat dengan BODOH lalu semua pun mati. Malah aku tertidur masa nonton filem ni. Nasib baiklah teman yang ikut aku tonton memang seorang teman yang berharga untuk ditemani, kalau tak... Filem ni jauh dari menakutkan. Adalah satu babak seronok ala Exorcist bila katil dipusing-pusing (suntingan laju, efek bunyi tinggi dan close-ups adalah perkara biasa pengarah ni) atau bila SEMUA PUN MAMPUS, tapi melalui menyiksakan mata dan duit yang membayar untuk filem ni. Malah kebiasaan pengarah ni dah jadi semacam stereotaip dan bukan auteur (dalam ceritanya, sekumpulan budak Indon mesti jahat, mabuk, suka seks dan suka ke disko) dan lebih menyerupai suatu cerita moralis yang diperpanjangkan. Siri Friday the 13th lebih seronok daripada filem ini.