Showing posts with label Hatta Azad Khan. Show all posts
Showing posts with label Hatta Azad Khan. Show all posts

08 August 2012

Bukan Komersialisme Semata-mata

Tika ini, aku menyelami beberapa penulisan dan temuramah terhadap beberapa orang kuat filem tempatan berkenaan "apa yang mahu, tidak mahu diberi" dalam filem. Pertamanya, Datin Paduka Suhaimi Baba berkenaan kegelisahan dan kepolitikan filem patriotiknya, Tanda Putera. Keduanya, temuramah (atau lebih kepada ahli panel forum) Prof. Hatta Azad Khan berkenaan "kini, filem bodoh (Malaysia), lagi bodoh, lagi bagus."


Kedua-dua pembikin berikut menyatakan berkenaan "komersialisme", di mana, mahu tidak mahu, unsur komersialisme harus dan mesti dimasukkan dalam sesebuah filem agar boleh "berada di pasaran". Contohnya, dalam 1957: Hati Malaya Suhaimi, dinyatakan kemasukan babak Rusdi Ramli-Maya Karin sebagai pasangan romantis/bercinta dalam filem itu merupakan unsur komersialismenya yang sengaja disaluti dalam gulungan kisah besar perjuangan kemerdekaan. Berikut juga dengan Wayang Hatta terhadap Zul Huzaimy-Mas Muharni yang dikira, kerana usia "keremajaan" ala novel KOMSAS dan percintaan mereka, dapat menjadi resepi penyatuan penonton "biasa" tempatan ke pawagam. Dan hal ini ditambah, dengan perbandingan filem Sarjan Hassan P. Ramlee-Lamberto Avellana-Ralph Modder (khusus yang dinyatakan dalam rencana Utusan Malaysia tersebut.

Hal sebeginilah yang menyatakan agenda tersasar para pembikin kita memahami "konteks komersial", khusus seperti mengaitkan filem seperti romantis-aksi-perang Sarjan Hassan (yang memang komersial dalam beberapa segi). Apakah definisi komersial, utamanya? Komersial, jika dipandang secara rewang, menandakan "boleh bawa untung" dan "senang untuk semua orang". Dua hal inilah yang menjadi titik utama komersialisme, mengikut persekitaran budaya dan permintaan sesebuah sosiobudaya. Kalau dipecahkan lagi, mengikut konteks filem Sarjan Hassan, komersial di sini bermaksud daripada pendedahan bintang (pelakon), tema (pertama kali filem P. Ramlee berkenaan aksi perang) dan (mungkin) runut bunyi (lagu popular?) ataupun faktor lain (filem itu ditayangkan sempena mendekati Hari Kemerdekaan Malaya).

Kenapa aku tidak masukkan "cerita" (dengan perpecahan genrenya?), kerana hal itu, sedia ada merupakan tunjang utama, tulang belakang mana-mana filem sepatutnya, baik "kononnya" berbentuk komersial atau tidak. Bandingkanlah keseimbangan plot-subplot, sebab-akibat dan pemenuhan watak Sarjan Hassan terhadap Wayang dan 1957: Hati Malaya, kita akan sedari bahawa filem P. Ramlee itu cukup ketat penjagaan keseimbangan-kesempurnaan lingkaran cerita dan mula-tengah-akhir satu-satu watak:

P. Ramlee (protagonis utama): mula miskin, anak yatim piatu (unsur melodrama) > saat berkeluarga dengan kawan baik ayah berserta anak (Jins Shamsuddin) yang menunjukkan tidak suka (melodrama, konflik) > kisah percintaan (Saadiah) bermula kecil atas kawan-kawan yang dicemburui Jins Shamsudin (melodrama, romantik, konflik) > Jins Shamsudin memaparkan bermula masuk askar (babak keretapi, lihat ada babak campuran watak Saadiah sebagai tambahan mengecamuk psikologi P. Ramlee) dan ini menimbulkan "self worth" P. Ramlee terhadap dirinya yang "tidak ada apa-apa" (konflik terbesar- berkenaan menjadi anak jantan dalam dunia Melayu) > P. Ramlee masuk askar > Perang Jepun bermula dan P. Ramlee bersama-sama askar bawah tanah menjalankan serangan hendap sehingga "final showdown" menyelesaikan konfliknya bersama Jins Shamsuddin, berjaya menyelamatkan Saadiah (berserta ayahnya sekali, ini menyelesaikan sikap terbesar romantisme) dan berjaya menundukkan antogonis terbesar, Salleh Kamil.

P. Ramlee merupakan "teraju utama" filem tersebut, dan semua watak sampingan/sokongan telah berlingkar dengan mula-tengah-akhir yang cukup memuaskan, mengelilingi watak utama P. Ramlee. Rujuk sahaja mana-mana watak, Salleh Kamil contohnya, yang bermula: mengutuk P. Ramlee dan mengacau Saadiah > menjadi tali barut Jepun dan menggunakan kuasanya mengecam Saadiah/ayah Saadiah > pergaduhan besar dengan P. Ramlee, ataupun Jins Shamsudin: membenci P. Ramlee > menunjukkan "kejantanan" dengan memasuki tentera > hilang (tidak diketahui) > kembali sebagai pengalah (perang menggoncangnya) dan memohon maaf kepada P. Ramlee.



Dari sini sahaja, bukan sahaja ceritanya PENUH, dan semua struktur dramanya "terisi" tetapi menampilkan "pengisian" yang selanjutnya, lantas kita menyedari kisah Sarjan Hassan ini adalah kisah "mencari jalan mulia" dan dalam zaman itu (40-an) pencarian kemuliaan itu adalah dengan "darah dan peluh", yang berkaitan dengan "menjadi anak jantan Melayu", dan filem ini menampilkan bagaimana dengan seorang "nobody" boleh menjadi "somebody" kerana desakan perang "yang memerlukan brain and brawn". Perang mengubah segalanya (maka filem ini juga berkaitan dengan tema mendapat "peluang kedua" untuk berjaya). Hal ini juga menyelami tema paling dalam filem ini, yakni "Melayu Baharu" dan harapan yang boleh didapatkan daripada mereka (atas peluang kedua), filem ini mendesak harapan dan cahaya baharu, dengan timbulnya Kemerdekaan, Melayu Baharu akan mengubah sifat miskin, daif, tiada berpendidikan Melayu lama (simbol P. Ramlee yang sebelumnya, pra Perang Dunia Kedua).

Ini membuatkan filem "komersial" seperti P. Ramlee ini "berisi".

Bandingkan hal ini dengan sofistikasi 1957 dan mainan budaya Wayang. Ya, kedua-dua filem itu muncul dengan tema dan semangat yang sememangnya "lari" daripada tema biasa "filem komersial" Yusof Haslam dan Razak Mohaideen. Tetapi lihat "cara" penceritaan dijalankan.

Buat 1957, sebenarnya, filem itu sudah cukup "sempurna", hanya dilemahkan dengan babak-babak CGI "sedutan sejarah lama" yang tidak berkesan (aku dah menonton Tanda Putera dan babak-babak selingan sedutan hitam putih dengan cerekanya amat berkesan), contoh seperti yang berlaku di Dataran Merdeka. Kesemua babak "lama" dalam 1957 bagi aku "bagus" dan memenuhi kehendak. Kisah cinta Maya Karin-Rusdi Ramli walaupun lemah adalah simbolisme "orang kecil-kita" terhadap naratif besar untuk kemerdekaan. Apakah fokus Suhaimi di sini? Ya, dramatik Tunku Abdul Rahman dan menteri lain lebih menarik daripada drama Maya Karin. Paling berdosa, Suhaimi Baba memperkenalkan sebuah plot panjang "kisah moden" yang langsung tersasar jauh, baik dalam mengisi "komersialisme" filem tersebut, mahupun memberi nilai terhadap kisah kemerdekaan bawaan Tunku (kisah sekumpulan budak-budak nampak mak ayah orang nak buat projek buku berkenaan Hari Kemerdekaan dengan babak akhir yang tiba-tiba, berjoget-joget atas kereta dengan menjulang bendera di tengah perkarangan rumah-pejabat, how bloody corny is that?

Jangan beri aku mulakan pula dengan Wayang yang "cuba menjadi komersial" dengan kisah telefilem "ya amat" dengan pengisahan cinta Zul-Mas. Kemudian, dengan penanda-penanda penaja yang terlalu (berkali-kali logo UiTM difokus) berserta satu "ceramah khusus" VC(?) UiTM di pejabatnya di tengah-tengah cerita! Apa, P. Ramlee sanggupkan buat hal-hal begitu rupa untuk menjual "unsur komersial" filemnya???

Matlamat komersial itu perlulah ditelusuri dengan "jujur" jika benarlah "komersial" yang ingin ditampilkan. Cerita dan penceritaan (teknik, susunan cerita, membuka-menutup konflik-penyelesaian, susunan plot dan subplot) itu amat penting, malah lebih penting daripada "mere commercialism". Filem sebodoh komersial Hollywood pun FAHAM dengan hal ini (dan sebab itu filem mereka masih ditonton dan ditonton seluruh negara), rujuk sahaja contohnya Water Boy Adam Sandler itu. Hal inilah yang perlu dibaiki (para pembikin) dalam memahami apa sebenarnya "komersial" dan bukan main letak (cerita/babak/imej) dan menyatakan hal itulah "komersial" (menjual) filem.

16 November 2009

Kata Mutiara Othman Hafsham dan Hatta Azad Khan



Entri ini khas buat Hajaraznam Murphy,

Astaka Minda, DBP, 16/11/2009:-

"Sewaktu arwah Yasmin Ahmad hendak membuat film tentang seorang budak yang kudung kaki kanannya (yang sememangnya kudung), mereka memikirkan, siapa pelakon yang boleh membawa watak budak itu sewaktu tua, mereka kata hanya ada dua orang sahaja yang serupa wajah budak itu sewaktu tua, Tan Sri Musa Hitam dan saya."
Othman Hafsham

"Saya pergi menonton drama teater Syyy..., saya duduk di sebelah Datuk Sri Jins Shamsuddin, Waktu tu dia belum jadi jin. Oh, tidak Datuk."
Othman Hafsham

"Dua perkara yang saya dapat selepas menonton teater Syyy.. Prof. Hatta, saya enjoy productionnya, dan saya tak dapat tahu emosi Datuk Jins Shamsuddin."
Othman Hafsham (oleh sebab sewaktu teater Syyy, semua orang gelak ketawa, hanya Datuk Jins Shamsuddin tidak, dan hanya terdiam melihat gelagat Pak Uda, Pak Busu dan Deris)

"I went to Media Prima, nak bertemu pengarahnya, bila mereka tanya, nak cakap fasal apa? Saya bilang fasal intellectual property. the door was slam, shut. Ini juga berlaku di ASTRO."
Oyhman Hafsham (siri Pi Mai Pi Mai Tang Tu ... berada di bawah hak milik TV3, dan sampai sekarang, banyak siri televisyen dan drama, hak ciptanya dipegang oleh stesen-stesen TV berkenaan, bukan pencipta, penulis skrip atau pengarahnya)

"Dr. Hatta tidak prefer ad lib yang keterlaluan."
Othman Hafsham (Prof. Hatta tidak menyukai para pelakon dalam Pi Mai Pi Mai Tang Tu menokok tambah lakonan, yang takut tersasar daripada waktu dan idea skrip)

"Maka siri itu (Pi Mai Pi Mai Tang Tu) dikaji, kenapa ratingnya begitu tinggi dari semasa ke semasa, bila dilihat, rupanya siri itu anti-establishment. Maka siri-siri yang rating tinggi ni ada orang pantau. Saya dapat telefon dari Bukit Aman. Saya diminta 'kurangkan sedikit vokal', jadi kami terpaksa kurangkan pedas dan tambahkan santan. Sitkom itu tidak semeriah yang dulu."
Othman Hafsham (apabila Kerajaan cepat tersinggung dengan usikan sitkom Pi Mai sewaktu zaman kegemilangannya, zaman pentadbiran Che Det: kuasa mengatasi bicara/seni)

"We are just social commentators, the watch dog of the people. Tapi biasalah, macam orang putih kata, reality bites."
Othman Hafsham (tentang sitkom Pi Mai)

"Dr. Hatta seorang yang radikal, sangat sensitif terhadap sekelilingnya dan seperti saya, sangat mempercayai komedi satira."
Othman Hafsham

"We want you only on election, or else we don't want you."
Othman Hafsham (nasib penggerak seni dengan Kerajaan sewaktu 80-an)

"Hatta is an intelligent writer in the field of satirical writing. Beliau adalah harta negara."
Othman Hafsham

"Waktu tu, Hatta takde masa, bagi Zek (Zakaria Ariffin), dia bagi juga tapi dia pun sibuk waktu tu di DBP, bagi Dato' Johan Jaafar. Datuk Johan bila bagi skripnya, namanya tertulis: Jaafar Khan."
Othman Hafsham (sewaktu fenomena Pi Mai yang terlalu hebat, Hafsham terpaksa merakam lebih banyak episod buat satu musim)

"Saya selalu memaklumkan para pelajar saya, bila keluar dalam kerja seni itu, carilah pasangan, yang sepertinya satu perkahwinan. Pasangan saya merupakan saudara Othman Hafsham."
Prof. Dr. Hatta Azad Khan (terhadap perpasangan dalam mereka kuasa idea dan kerja kreatif dalam industri seni)

"Yasmin pegang bahu saya dan maklumkan kepada semua orang, this is my sifu."
Othman Hafsham (terhadap hubungannya dengan arwah Yasmin Ahmad)

oh ya, Filem 3 Budak Melayu sebuah filem yang sangat bagus, tahniah pelajar filem FACT dan Hatta! Prof. Dr. Mad Ya, Sarokan, filem blu, pelakon kayu, derma dara, nyum nyum nyum! Tahniah!

Filem Wayang Hatta Azad Khan. (Othman Zainuddin suka filem ni - Hatta mencerita yang kecil-kecil, yang kecil-kecil itu menyengat tiba-tiba)

23 March 2009

Wayang(2008) Dalam Bayang-bayang

Entri ini buat Zubin,

Aku mengambil masa untuk menulis tentang Wayang kerana maaf, aku takut, kemungkinan, tidak ada apa-apa yang baik yang ingin aku perkatakan tentang filem "korporat UiTM" ini. Malah sampai sekarang, aku masih dalam keadaan berpinar untuk memahami "kebenaran" teks-subteks yang disampaikan oleh Pak Hassan Muthalib tentang Wayang (boleh dibaca dalam Dewan Sastera Januari 2009), adakah garapan Pak Hassan itu satu kebenaran atau sindiran terhadap bikinan sutradara berijazah doktorat ini? Jadi, kemungkinan, aku cari jalan "tengah".


Sebenarnya ada yang cantik tentang Wayang, dan ini berlaku pada saat akhir filem ini (spoiler:), waktu klimaks sewaktu Awang Lah (lakonan sederhana-senyap Eman Manan) tiba-tiba diserang angin ahmar lalu rebah di tengah panggung, meninggal. Awi (lakonan memberangsangkan Zul Huzaimy) dan Melor meratap, malah kesemua anak buah Awang Lah meratap sedih pemergian Awang Lah. Tetapi layar putih tetap menebarkan Rama dan Sita, penonton masih menunggu untuk cerita disimpulkan, tidak "sedar" pun bahawa kecemasan yang berlaku di balik layar. Yang mereka nampak hanya keterangan superfisial "bayang" (wayang) yang disampaikan (untuk mereka), tidak peduli (atau tidak akan diberi tahu) pun tentang apa yang berlaku dibalik tabir. Hatta memaparkan realiti bukan sahaja tentang orang main wayang kulit, tetapi seni apa-apa pun di tanah Melayu atau dunia ini. Dalam dramaturgi, orang hanya akan menelan emosi pelakon di pentas, dan tidak akan dapat merasai pedih getir persediaan pelakon sebelum pementasan. Ini realitinya.

Dalam perkara dunia "berlapis" ini, kebenaran ini mutlak, dan dipaparkan dalam ruang. Tetapi hal inilah yang tidak dikupas dengan baik oleh Hatta. Jika kita sudah sangat diberi intimasi akan Awang Lah serta perjuangannya, kenapa kita diabaikan dengan lapisan dunia yang mahu dihiburkannya? Lapisan dunia yang kadang-kadang menandai dunia kapitalis, dunia masyarakat biasa (pentas itu semacam memaparkan mereka yang membikin wayang adalah golongan "atas" atau "dewa", melaksanakan satu pergerakan-aksi untuk mengalun atau meminta penonton "di bawah" mengikut aturan emosinya) dan dunia "dungu" kepada kreatif/pandai/dominan/cantik pentas/wayang kulit. Ataupun dunia "kacau" balik tabir pada dunia "harmoni" atau terjaga depan penonton. Kenapa perbandingan ini tidak berlaku atau susah mahu dilihat ditandakan dengan baik? Sila rujuk Moulin Rogue!(2001), Ibu Mertuaku(1962) atau Man Laksa(2006) sebagai paparan penanda "kebenaran" antara balik pentas dan depan pentas yang lebih lunak. Ibu Mertuaku paling senang contohnya, Kassim Selamat merintih menyanyi "Jeritan Batinku" tetapi kita tidak dapat melihat EMOSInya kerana beliau berkaca mata hitam (dimatikan emosi benarnya) tetapi suara dan liriknya saja jadi "bukti" seksa itu. Lagu itu sampai pada penonton. Wajah penonton semuanya SENYUM (mereka tidak menangkap "seksa batin" Kassim). Hanya Sarimah sahaja yang "memahami" kerana Sarimah walaupun di tempat duduk penonton, Sarimah pernah "di belakang tabir" Kassim, malah berkongsi dunia Kassim.

Ruang-ruang inilah yang penting untuk dimainkan oleh Hatta dan aku betul-betul mahu mencarinya dan mendefinisikannya dengan konkrit, tetapi ada saja halangannya dalam erti kata membaca sinema.

Bukannya pembahagian atau permainan masa dan ruang ini tidak ada dalam Wayang, ada. Cerita ini sebenarnya berpecah kepada tiga ruang yang diwakili oleh pembawaan watak. Ruang pertama ialah ruang intimasi-eksposisi Awang Lah. Ini berlingkung dalam persekitaran Awang Lah, tempat beradu bersama isterinya. Sebenarnya, kalau dilihat dengan teliti, Awang Lah tidak pernah diberi masa dan ruang untuk "menyendiri" dalam ruangannya. Ada sahaja yang dipenuhi "watak" atau patung wayang kulit. Awang Lah dipaparkan bukan manusia "seorang" tetapi kepunyaan "semua", Awang Lah ialah tokoh kepunyaan masyarakatnya, "a communal man". Kemudian kita lihat dunia Awi yang sangat sendiri tetapi luas. Malah tempat tidurnya di bengkel buat wayang kulit yang tidak ada dinding. Tetapi ruang lingkupnya luas tidak ada sempadan, tetapi Awi "bebas" untuk sendiri dan menyendiri oleh sebab keistimewaannya. Campuran ruang dunia Awi dan Awang Lah inilah yang bertemu di panggung wayang kulit, tempat berlatih (ketua menurunkan adat kepada anak) dan tempat memaparkan persembahan kepada "penonton".

Malah, permulaan Wayang ialah di panggung ini. Di sini, berlaku "seleksi" penggerak pada dunia belakang tabir/intimasi Awang Lah dengan seleksi "wajah" mereka yang akan menggerak Awang Lah. Kita akan lihat wajah adik Awang Lah yang "cemburu". Kita akan jumpa Awi. Tapi hal inilah yang lemah. Pada awal-awal lagi, kita tidak dapat tangkap "cantik" ratib dan khusyuk Awi menyerap dunia wayang kulit Awang Lah. Hanya sewaktu di rumah anak yatim itu sahaja, kita semacam DIPERKENALKAN Awi sedangkan perhubungan ini sepatutnya dipaparkan secara awal lagi. Hal ini tidak sama dengan Melor yang mana penangkapan "obsesi" dengan ruang wayang kulit Awang Lah lebih tampak, walaupun secara psikologi atau emosi dalam bentuk sinema, kita tidak jumpa tanda itu pada Melor saat aksi itu dibuat.

Bandingkan ini saja dengan ruang yang sudah dibahagikan dengan baik dan tepat dalam Perempuan, Isteri dan ...(1993) U-Wei yang sungguh "eminent". Sofia Jane yang "terperangkap" dalam ruang rumah (tempat dia berintimasi) membara atau menarik manusia lain untuk "mengintai"nya, dan kadang-kala bercakap dengannya "di tepi jendela". Sofia Jane "dominan" atau berapi kuasa, menggerakkan gelombang manusia yang mengelilinginya seperti "fireflies" kepada lampu. Adakah hal ini sama dengan Awi dan Melor terhadap Awang Lah? Ya dan tak. Malah perhubungan ruang yang stereotaip adik Awang Lah, Jusoh (lakonan satu lapisan Wan Kenari) yang sememangnya lebih dapat dilihat obsesi voyeur dan "watak" yang di luar ruang intimasi Awang Lah serta perkembangannya.

Ada beberapa perkara lagi yang "menjatuhkan" filem ini. Runut bunyi filem ini antara yang paling menjelekkan, aku tidak dapat menangkap jika filem ini ingin melantaskan sebuah filem "seni yang berat" atau "komersial" atau kedua-duanya. Sinematografinya juga sangat menjengkelkan. Dan apa yang membuat semua ini "rosak" adalah kerana suntingannya yang tidak terjaga dengan baik. Sebenarnya buat Hatta, untuk filem keduanya, hal ini (sinematografi dan suntingan) memang tampak buruk dalam filemnya. Tetapi filem pertamanya, Mat Som boleh dimaafkan kerana itu filem pertamanya dan ada feel realisme separa di dalam filem itu. Tetapi buat Wayang, ia semacam sebuah cerekarama yang bercita-cita hendak masuk panggung (berlainan dengan produksi ingin ke vcd Haru Biru yang sememangnya sebuah "sinema"). Contoh seperti adegan membebel di tepi titi. Kenapa pilihannya di titi, sebab titi itu cantik? Banyak lokasi dalam filem ini semacam "tangkap muat" dan tidak dilihat dan dimurnikan dengan baik. Ini kelemahan sebenar Wayang.

Wayang akhirnya menunjukkan, jika anda mempunyai sekumpulan pelakon berkaliber pun, jika cerita tidak ke mana, dan terlalu banyak yang hendak diperkemaskan, kerja yang sepatutnya menarik dari segi pemahaman dunia seni, dengan mesej penurunan tradisi kepada generasi muda akan jadi sia-sia jika ia tidak disampaikan dengan pemahaman mis-en scene yang benar pada nilai wayang itu sendiri. Semahu aku mahu menyayangi Wayang, keinginan cinta aku kecundang juga sebagai sebuah filem korporat yang mediocre jika dibandingkan dengan Felda-Bilut beberapa tahun yang lalu.

22 February 2009

This Happenned In Kelantan

Mingguan Malaysia 22/2/09:
Wayang di KB
Sabtu 14 Februari, Siti berada di Kota Bahru. Walaupun agak tergesa-gesa, Siti tak nak lepaskan peluang menonton filem Wayang dengan penonton di Kelantan. Tayangan amal dibuat USM Kubang Kerian di Dewan Besar kampus USM itu. Siti bergegas datang ke Kota Bahru semata-mata nak tengok reaksi orang Kelantan sendiri terhadap filem yang dibuat dalam dialek Kelantan.
Ketika Siti masuk, dewan sudah gelap dan filem baru saja bermula. Siti duduk dengan orang ramai. Kalau dia orang perasan, Siti pakai baju ungu, kerudung ungu dan kasut tumit tinggi merah jambu. Pagi-pagi Ahad terpaksa terbang balik ke KL sebab ada program sebelah tengah hari.
Ada orang tanya, tak puaskah tengok Wayang masa tayang di Kuala Lumpur? Siti kata, bukan tak puas tapi Siti nak tengok reaksi orang yang rapat dengan kesenian wayang kulit dan cakap dialek Kelantan.
Tapi masa tayang di USM itu, Siti lihat reaksi berbeza. Dalam dewan terdengar sana sini bunyi ketawa bila ada babak-babak lucu daripada dialognya. Bagi Siti, ini suatu yang positif bagi Wayang .
Sebagai makluman, di Kelantan tak ada panggung wayang. Macam juga di Perelis (Perlis), satu panggung wayang pun tak ada. Jadi, apabila ada filem ditayangkan di Kelantan, tentu ada suatu yang menarik.
Semasa menonton Wayang di Dewan Besar USM, Siti teringat filem Itali, Cinema Paradiso, kisah sebuah panggung di sebuah kawasan yang menjadi satu - satunya sumber hiburan. Dalam Cinema Paradiso, panggung itu menjadi sebuah institusi sosial masyarakat. Dunia dalam filem menjadi refleksi kepada dunia di luar filem. Malam itu Siti pun perasan ada dalam filem Cinema Paradiso juga.
Siti dengar khabar Prof. Hatta Azad Khan, pengarah filem ini akan kembali sekali lagi ke Kelantan. Kali ini Prof Hatta akan menayangkan filem Wayang seperti “wayang pacak” Jabatan Penerangan di kampung tempat penggambaran filem Wayang. Kalau selama ini mereka menonton wayang kulit, tayangan itu nanti orang-orang kampung akan melihat wayang kulit dan diri mereka sendiri masuk dalam filem.
Siti setuju sangat cadangan itu. Sekurang-kurang sebagai satu penghargaan kepada orang-orang kampung di Kelantan yang bagi kerjasama baik semasa penggambaran filem Wayang. Mereka menjadi penonton wayang kulit dan tanpa disuruh telah memberikan lakonan yang begitu realistik.
SITI JARUM: Malam itu Siti dapat hadiah coklat, hmmm thanks a lots dear.

Wacana mengupas falsafah Wayang
Oleh Rahana MD

ketika permainan Wayang Kulit masih dilarang persembahannya kepada khalayak oleh kerajaan negeri Kelantan, didakwa terselit unsur-unsur khurafat dan syirik, pengarah filem Prof. Dr. Hatta Azad Khan pula mengambil pendekatan berbeza.
Beliau mendedahkan jalur kehidupan seorang tok dalang wayang kulit menerusi watak Awang Lah dalam filem Wayang dengan membuang sisi gelap yang bercanggah dengan Islam misalnya bacaan mentera dan pemujaan kala buka panggung.
Menjawab pertanyaan salah seorang peserta yang mengaitkan unsur pemujaan dalam Wacana Filem Wayang (Yang tersurat dan Tersirat) Dr. Hatta menjelaskan filem tidak perlu bersifat kompleks.
Filem tidak perlu ditayangkan secara kompleks atau menyeluruh tetapi harus menyampaikan titik permasalahan kerana mengaitkan aspek kesenian dengan spiritual seperti pemujaan termasuk mengasap kemenyan ketika acara hendak dimulakan merupakan tanggapan yang salah.
Dalam Wayang katanya, Awang Lah tidak menunjukkan jampi serapah yang bertentangan dengan agama sebagai salah satu keperluan dalam persembahan kerana dia berpegang kepada prinsip, apa yang dilakukan sebagai satu bentuk hiburan kepada orang ramai.
Justeru, penonton perlu ada sedikit ilmu untuk memahami filem tanpa perlu disogok dengan setiap jawapan klise kepada permasalahan yang ditonjolkan.
Misalnya watak hitam Jusoh yang secara fizikalnya warak mengenakan jubah dan ketayap tetapi selalu mencari pasal dengan mencampuri urusan Awang Lah, namun pada akhir penceritaan tidak ditampilkan pembalasan yang sepatutnya diterima.
Menurut Dr. Hatta hakikatnya adegan yang memaparkan Jusoh tewas sengaja tidak tampil di layar kerana setiap permasalahan yang dipertontonkan juga mampu selesai di tangan penonton yang bijak.
Wacana anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) di Kota Bahru itu berjaya menarik perhatian peserta dengan melontarkan soalan yang memberangsangkan.
Wacana selama dua jam itu dipengerusikan oleh Penolong Pengarang Mingguan Malaysia, Ku Seman Ku Hussain.
Dialek Kelantan yang digunakan sepenuhnya dalam filem ini sinonim dengan latar lokasi dan watak-wataknya turut mencuri perhatian peserta yang terkilan kerana tidak sampai ke tahap yang dibanggakan.
Dr. Hatta tidak menafikan hal tersebut kerana pelakon yang memegang watak utama asalnya bukan orang Kelantan di samping memikirkan golongan penonton yang pelbagai.
Bagaimana pun katanya, membuat filem tidak boleh syok sendiri atau hanya difahami oleh kawan-kawan, ahli keluarga dan kelompok tertentu sahaja. Filem sebuah karya yang berhadapan dengan khalayak pelbagai peringkat yang penerimaannya akan diimplimentasi melalui watak-watak yang dipilih.
Justeru beliau sedar dialek yang digunakan tidak mencecah tingkat darjat yang dibanggakan atas dasar memberi kefahaman kepada masyarakat di luar Kelantan tanpa terkejar-kejar membaca sari kata dan memahami cerita.
Menampilkan watak Awi, pemuda buta tetapi celik pendengaran dewasa mengikut acuan ayah angkatnya Awang La, kemudian menjalin percintaan dengan gadis sengau yang sentiasa memimpinnya ke panggung turut dipersoalkan peserta yang merupakan guru di sebuah sekolah pendidikan khas.
Awi buta tetapi apa yang didengar memberi pengaruh besar dalam kehidupannya namun perkembangan wataknya mudah diteka penonton, makhluk Tuhan yang tidak sempurna tetapi diberikan kelebihan, mahir mengendalikan persembahan wayang kulit.
Ditemukan pula dengan gadis sengau tetapi mahir menyusun patung-patung di layar mengikut penceritaan menyempurnakan ikatan serta menambah erat hubungan kedua-duanya hingga ke alam percintaan dan berkahwin.
Kata peserta tersebut, walaupun watak Awi dapat dijangka namun menampilkan dua watak mewakili Orang Kurang Upaya (OKU) menyuntik semangat kepada anak-anak muridnya yang faham walaupun cacat, manusia masih berpeluang menikmati makna kehidupan melalui bimbingan yang betul.
Seorang lagi ahli panel ialah Karyawan Tamu Fakulti Teknologi Artistik dan Kreatif (FACT), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Hassan Mutallib. Beliau merupakan pengarah filem cereka animasi pertama negara ini, Silat Legenda beberapa tahun lalu.
Dalam wacana ini Hassan mengupas daripada sudut kerja kamera dengan membedah shot demi shot yang memberikan makna kepada Wayang.
Menurut Hassan, shot yang dihasilkan dalam Wayang mempunyai makna tersirat yang membantu penonton memahami bahasa sinematik atau paparan visual selain bahasa ujaran (verbal).
Kupasan daripada pendekatan semiotik yakni membaca tanda-tanda visual dalam filem Wayang telah menyelongkar ketinggian falsafah seni dan budaya yang diangkat dalam filem ini.
Hassan menganggap, Wayang satu-satunya filem yang menyentuh tradisi orang Melayu jika dibandingkan dengan lambakan filem-filem sebelum ini yang diketawa dan dipersendakan.
Katanya, hampir 90 peratus filem di negara ini kosong dan hanya dihasilkan untuk mengaut keuntungan tanpa ilmu produksi yang cukup. Ini membuatkan mereka menampilkan imej Melayu dangkal di layar perak.
Katanya, filem bukan sekadar hiburan tetapi menampakkan watak-watak manusia yang sebenar untuk dinilai semula oleh penonton. Misalnya di dalam Wayang, ia menceritakan bagaimana seseorang seharusnya menjalani kehidupannya yang sekali gus berjaya menghimpun watak-watak yang sama sejak zaman dahulu, kini dan akan datang.
Wayang katanya antara filem Melayu yang menampakkan transisi dari pelbagai aspek, bukan sahaja hubungan kerohanian antara manusia dengan manusia yang lain tetapi bagaimana nilai-nilai tersebut larut di sisi watak.
Senario itu katanya, berbeza dengan apa yang dipaparkan dalam filem Melayu hari ini yang dianggap remeh temeh dan seolah-olah sengaja diada-adakan demi mencukupkan durasi tayangan.
Beliau bersetuju dengan Dr. Hatta, filem Wayang akan kekal sebagai bahan yang dilihat berkali-kali, apabila orang lihat sekali, tidak akan lupa malah dijadikan karya yang kekal di ingatan mereka.

15 February 2009

Tempat Pembikinan Filem "Wayang"

Rumah Awang Lah

Bangsal tempat Awi tinggal dan Awang Lah serta Melor
mencipta patung-patung.


Tempat Panggung Wayang Kulit Awang Lah


Tempatnya di Tawang(?), daerah Bachok, berdekatan dengan pantai di Kelantan. Oleh sebab pantai-pantai di Kelantan sudah rosak, penggambaran dikatakan dibuat di Dungun, Terengganu. Para peminat Wayang bolehlah mengganggu Mek Siti Hawa yang akan menjalankan perniagaan songket kerana rumah itulah dijadikan interior dan exterior dunia Awang Lah, pak dalang dalam Wayang, juga berdekatan tempat itu bangsal wayang kulit Awang Lah (kini menjadi tempat untuk tenun songket Siti Hawa, sedang dibina waktu kami melawat) serta tempat main wayang kulit Awang Lah. Memang menarik untuk melawat suatu tempat dan mengenali filemnya sekali gus.





Walaupun di kredit filem ini, nama Rohani Yusoff
akan keluar sebagai Pengurus Produksi, En. Mat,
seorang pemandu teksi dari kampung ini yang banyak
melakukan kerja penyediaan orang dan tempat.
Air nyiur yang dibikin isterinya adalah "one hell of a killer drink!"
Air kelapa paling sedap aku pernah rasa!



Prof. Hatta mengimbau kenangan bergambar
di kampung kecil tapi berwarna itu.