18 December 2008

Berkabung

Alhamdulillah, perkabungan aku sudah selesai ...

buat Riduan, aku tetap perlukan fail-fail kau ...

15 December 2008

Selamat Tinggal Micheal Crichton


Micheal Crichton buatku ialah perujuk utama dalam filem, dan sudah tentu dalam dunia fiksyen sains. Antara kebanyakan pengarah filem yang aku sayangi, Micheal Crichton terletak antara yang aku letak dalam bulatan yang aku sentiasa rujuk. Kedatangan Crichton terhadap perubahan dunia Hollywood memang relevan, waktu wujudnya filem "blockbuster" atau filem "musim panas" dan filem-filem yang memberi tempat supaya cerita-cerita baru berefek memasuki pembikinan filem. Crichton lain daripada Spielberg. Kalau Spielberg membawa tandatangan "common man", surburbia yang hidup (realiti dalam sebuah rumah, tanpa perlu menaikkan tekanan dramanya), dan kemanusiaan/kehidupan dalam efek khasnya (E.T., Close Encounters, Jaws), Crichton membawa atau meneruskan polemiknya dan bencinya terhadap teknologi maju, teknologi sejuk, tiada kemanusiaan dan superfisial (Andromeda Strain, Westworld).


Manusia dipaksa berlari mengejar waktu kerana teknologi, kerana teknologi mengejarnya, membunuhnya (Andromeda Strain, Westworld, Runaway, Looker, The Terminal Man, Jurassic Park, Sphere). Coma merupakan filem ngeri yang terbaik pada 70-an, tidak ramai yang tahu, diarah oleh Crichton diadaptasi daripada novel perubatan-ngeri Robin Cook. Semuanya merupakan/menyampaikan elemen tinggi Crichton: pelarian, teknologi yang mengurangkan jiwa kemanusiaan, kegelapan teknologi atas sebab manusia jua serta pelarian di antara koridor, satu elemen neo-tekno yang akan diikuti sehingga sekarang (termasuk Minority Report). Malah, beberapa filem kejar-mengejar dan penyiasatan menemui teknologi jahanam (techno terror) ini merujuk Coma. Baik Disturbing Behaviour, The Island , Virtuosity atau Minority Report. Tetapi Crichton sudah melakukannya dengan baik sekali. Semua orang akan teringat bagaimana tali-tali halus yang menggantung manusia (kebergantungan manusia kepada teknologi) itu bergerak sewaktu protagonis melarikan diri daripada penjahat, sebegitu perasaan "di benang halus" yang berjaya Crichton sampaikan - risiko menyetujui teknologi seperti membawa manusia melalui jurang luas yang perlu kita seimbang di atas seutas benang halus.


Dunia Crichton sudah banyak mengubah aku, baik tempo dan gaya lajunya dalam filem-filem anti sainsnya. Juga novel-nolvenya yang banyak memaparkan fakta kebenaran di atas muka kemanusiaan. Crichton juga banyak memberi pencerahan akan idea-idea sains terkini, ideanya diperlukan buat polemik memastikan sains dijaga dengan suburnya (cth: arwah menolak idea makhluk asing). Malah Crichton menyayangi Malaysia, dua kali arwah pernah menulisnya, satu dalam buku pengembaraannya, Travels, dan kedua di dalam novel ngeri-ekologi, State of Fear.


Ini adalah salam takziah buat seorang penulis/pengarah filem yang memberi kita sesuatu untuk diingati.


11 December 2008

Perca-perca Filem Disember 2008

Los dan Faun (2008)

Suatu perkara yang aku respek kepada Afdlin, dan banyak kali aku sebut selepas menonton filem-filemnya, Afdlin tidak takut untuk mencuba, dan filem-filem Afdlin jauh meninggalkan kebanyakan mentaliti stereotaip filem-filem komedi kita (kecuali filem komedi Mamat Khalid). Kali ini, Los (lakonan baik Hans Isaac) dan Faun (lakonan monumental lawak Adlin Ramli) menceritakan tentang dua sahabat dari Melaka yang datang untuk menumpahkan peluh dan otak mereka untuk sesuap nasi - dengan cara yang begitu gila-gila, iaitu membina satu syarikat "cari barang". Filem ini bergerak dari masa Erra Fazira yang baru kehilangan suami (Afdlin) ingin mencari sebuah barang yang hilang. Agak mengejutkan, pertama kalinya melihat sebuah filem yang gila-gila tetapi tetap "betul" dengan penataan noirnya atau lebih penting, genre detektifnya. Malah simpul demi simpul yang dicipta berjaya disampaikan dengan satu pengkahiran yang baik lantas menyampai maksud, juga tidak memperlekehkan kebiasaan genre ini. Satu perkara yang aku sedar mengapa Afdlin lain daripada pengarah komedi lain dalam hal ini ialah, Afdlin pun berani melempar "tangen" ceritanya ke mana-mana, tetapi ia masih dalam sarwajagat "logik" ceritanya, tidak mempermainkan intelektual penonton dan malah berguna buat fungsi watak dan plot. Ini memberi contoh bahawa hasil kerja Afdlin ini "rajin", ia cuba mencari simpang-siur yang benar dan terkongkong betul dengan persekitaran "benar" filemnya. Malah, ia banyak melepaskan efek-efek yang sungguh kelakar disamping pandai. Malah, mesej sosial yang disampaikan sebenarnya berat (dunia bandar KL ialah dunia penipuan dan rambang kerana kuasa material) dengan kekeliruan budaya yang kronik di KL. Tetapi mata Afdlin melihat semua ini dengan amat optimis sekali (malah, sangat pasifis), malah memperlakukannya dengan intim dan mencuit tanpa menolak tujuan moral sosial yang ingin disampaikan. Di sini kelicikan Afdlin bermain dengan situasi bandar yang selalu "dipergunakan" untuk wang (kerja Los dan Faun) tetapi kita memahami tugas Los dan Faun jujur, bersih (walaupun Los punya sikap manipulatif berbanding lurus benar dan tajam Faun). Maka Los (hilang) dan Faun (jumpa) sebenarnya pencarian apa yang sudah hilang dan terjumpa di Malaysia, khususnya KL. Ya, terdapat sedikit sisi negatif apabila kampung diibaratkan "suci" (simbol ayah ibu Faun), satu stereotaip biasa dibanding dengan apa yang boleh KL lakukan terhadap seorang dari kampung (Erra Fazira, dan mungkin Los atau Faun). Tetapi undang-undang "kota-kampung" inilah yang dimainkan oleh Afdlin dengan sekilas kali dan efektif, memaparkan bagaimana benar filem ini kepada genrenya (penyiasatan) dan benar kepada bentuk farsa kompleksiti dan kekeliruan sosial yang dicipta KL tanpa benar-benar menyalahkannya. Kini, Afdlin tidak sepatutnya duduk di Malaysia, tetapi punya kuasa tenaga luar atau mungkin saja berpindah ke Hollywood. Kerana ini ditunjukkan dalam filem ini bila idea, cerita dan konsep yang dijaga oleh Afdlin berjaya mengatasi sinematografi dan suntingan yang agak hambar, ini adalah kerana "rangup"nya wit dan kuasa faham Afdlint terhadap teks dan cerita yang mahu disampaikannya, sebuah filem bertih jagung yang menghiburkan, seronok dan tidak memperlekeh intelektual penonton. (Ps: Ya, aku ulas sebuah filem Melayu kerana filem ini mengecualikan emosional aku, kerana ia begitu bagus untuk ditonton).

The Day The Earth Stood Still (2008)

Kali ini, untuk membikin "remake" tentang sebuah filem yang pernah "menggegar" para penonton dengan mesej anti-nuklearnya, para produser sudah tahu jika mereka ingin mengambil seorang pelakon buat Klaatu, mereka perlukan seorang "makhluk asing", dan mereka tidak perlu pergi jauh dengan mengambil Keanu Reeves buat itu. Buat filem asal, seorang pelakon tidak terkenal bertutur Inggeris keras telah diambil (untuk (1) bertutur Inggeris Inggeris ialah tanggapan "Tamadun serta Budaya Tinggi" buat para produser Hollywood masa itu, dan (2) orang Amerika selalu memandang cara bahasa Inggeris Inggeris sebagai "pelik"). Keanu Reeves mengalahkan David Bowie buat hal ini (ataupun Micheal Jackson) kerana sekurang-kurangnya Reeves "masih relevan" dan Reeves "pelik tapi seksi". Tipikal abad ke-21. Filem ini pun ingin menyampaikan sentimen "mesej sebelum kiamat" yang disampaikan oleh filem Robert Wise yang asal itu tetapi dengan kesesuaian abad sekarang, dengan mesej Al Gore yang berhibrid saintologi di sini dan satu cebisan anti polisi ketenteraan Bush yang disengajakan (menjadikan filem ini mungkin filem Obama yang pertama sewaktu masuk ke Rumah Putih). Banyak perkara yang dibuang, seperti menjadikan Klaatu alegori Christ dengan memindahkannya sebagai "malaikat" yang boleh dikaitkan dengan mana-mana agama dunia (idea New Age Religion). Pengikut "kipas mati" filem yang asal akan mengamuk kerana dua perkara: ketiadaan runut bunyi gergasi Bernard Herrmann yang digantikan dengan gaya runut bunyi atmosferaik abad ke-21, dan ketiadaan ungkapan "Klaatu barada nikto". Beberapa perkara dinaik taraf dan diberikan suatu kenyataan yang baik (bagaimana Klaatu tercipta seperti manusia, aksi-aksi Gort lebih menakutkan dan tidak kelihatan bodoh seperti filem asal). Separuh daripadanya berjaya, separuh daripadanya tersimpul dalam kesofistikatednya sendiri (jika Klaatu sudah memahami tentang teori evolusi, kenapa ia tidak mempercayai adanya kehidupan dalam kemusnahan?). Persoalannya bagus, malah banyak babak-babak yang disengajakan "bergerak" dengan momentum "apa akan berlaku", lebih-lebih lagi dengan konflik Kathy Bates yang mewakili "kuasa Presiden" dengan Jennifer Connely, seorang wanita penuh empati dan memahami. Pengakhiran "dia sudah pergi" satu pengakhiran bagus, berkemanusiaan dalam memahami apa yang kita tidak faham, tetapi masih jauh mencapai kekuatan "dunia berdiri tegak untuk seketika" yang asal dalam melemparkan ideanya untuk manusia berubah. Beberapa babak awal mengambil idea Close Encounter of the Third Kind, seperti ID4.


Boy Eats Girl (2005)

Filem ini mungkin terkenal kerana puteri pop Samantha Mumba berlakon di dalam filem zombi-seram-komedi ini. Ya, ia sebuah filem laju, bertih jagung dan bergerak, ya ia mengarut, beberapa babak tidak logik (dibuat atas kerana aksi dan efek dan langsung menolak ilmu fizik) dengan seorang watak pascaJames Dean yang diberi peluang kedua untuk melepaskan cinta (dan nafsu syahwatnya) serta mempunyai kecerdasan minda otak remaja untuk menyukainya. Tapi bodoh-bodoh filem ini, ada “cuteness” di dalamnya yang kita boleh ikuti, lagi-lagi bila semua orang dalam filem ini cantik-cantik belaka (dan mati dengan darah yang merah – lagi cantik), walaupun kita sudah tahu yang mana akan mati dahulu dan mati kemudian. Sebuah babak cuba melawan “grisly bloodDead Alive(1992) tapi hanya dapat capai “tandsunya ilmu gore kamu”. Lakonan tipikal remaja yang tidak bercita-cita tinggi, para dewasa yang bodoh, dan dunia penuh zombi – seronok bagaimana lagi yang anda mahukan?


Flowers of Flesh and Blood (1985)

Masalah dengan aku ialah aku suka dengan filem-filem loya (sick). Eksplotasi ialah subgenre yang paling senang bermain dengan filem-filem sebegini, dan, ehem, aku terkejut bagaimana filem tanpa plot ini berjaya melahirkan imej-imej darah yang begitu cantik, melangkau kefahaman erti pemangsa-mangsa lalu menampilkan idea-idea pembunuh-mangsa yang begitu (meloyakan) intim dengan seksa, keperluan reprokasi antara pembunuh-mangsa mencipta "seni" dan bondage yang begitu mengikut nahu S & Mnya (kalau korang sampai sekarang tak faham, jangan dekat dengan aku malam-malam dan tanya soalan ini bila aku pegang tali dan topeng). Ceritanya semacam gaya biasa penggunaan kamera video bergerak di mana seorang wanita kota dijejaki oleh seorang lelaki lalu sampai di taman permainan, dipukul sehingga pengsan, lalu lelaki itu ikat perempuan itu di atas sebuah meja, menyuntiknya dengan dadah dan sedikit demi sedikit memotong perempuan itu dengan ghairahnya (di sini bahagian yang paling ditunggu-tunggu). Persoalan: untuk apa si pembunuh membunuh? Soalan sebegini disengajakan tidak berjawab (seperti soalan, mengapa manusia berperang). Ini ialah soalan-soalan tidak rasional, memasuki jiwa dan isi hati manusia pada masa dan tahap yang paling gelap. Filem ini memaparkan “bagaimana” dan bukan “mengapa”. Bagaimana ini disampaikan untuk mencipta "seni" semahu-mahunya (semahu-mahunya kita sebagai penonton pun ber"salah" kerana mengkagumi seni ini - persoalan pembunuhan sudah hilang nilai moralnya). Ketenangan dalam kejam, puisi seksa yang meloyakan berjaya dipaparkan dengan benar oleh sebab kualiti videonya.


rujuk:http://www.kfccinema.com/reviews/horror/guineapigflower/guineapigflower.html


To Kill A Mockingbird (1962)


Novel Harper Lee (di mana filem ini diadaptasi) ini ialah novel di mana, tidak ada kesalahan langsung dari segi persembahan, bahasa, persekitaran, psikologi dan perubahan plot. Malah novel sepertinya dikatakan "bersesuaian", maka ianya memang antara novel paling makmur dan diiktiraf sebagai sastera klasik moden. Filemnya pun begitu, "sesuai" dalam apa-apa bentuk baik runut bunyi, suara, penggambaran, latar seni dan watak-wataknya. Semuanya "berada di tempatnya", malah ia agak memeranjatkan untuk melihat sebuah filem yang begitu sempurna pada 60-an (filem ini diterbitkan oleh Alan J. Pakula). Untuk menaikkan kesempurnaan ini, Gregory Peck (manusia separa santun dan Superman itu) diambil sebagai watak "Hero Amerika no.1", Atticus Finch - filem ini menjadi satu mitos buat Amerika. Filem ini mengikut dengan kesesuaian yang baik terhadap novel Harper Lee, memotong beberapa babak yang tidak berkenaan dan mempercepatkan plot di mana di dalam novelnya kelihatan "mengambil masa untuk bercerita" - ini ialah keutamaan fungsi filem yang diadaptasi daripada novel: imej dan suntingannya sepatutnya sudah menghantar "idea" daripada empat atau lima halaman novel. Dan banyak perkara ini berlaku dalam filem ini. Filemnya (serta novelnya) masih relevan, sebagai penanda sejarah, juga perluasan permintaan politik terhadap diskriminasi perkauman apabila seorang lelaki kulit hitam dituduh merogol seorang wanita kulit putih yang tinggal di desa, lalu Atticus Finch, sebagai peguam yang "bersih" perlu mengambil kes ini untuk mengubah perspektif pekannya terhadap golongan orang kulit hitam pada zaman itu. Adunan filem ini disusun kemas pada awal sehingga akhir, malah subplot Boo Radley telah disertakan dengan cantik dan menjadi fungsi plot yang kuat (antara kesesuaian yang sempurna dibuat oleh Harper Lee). Perkara yang membuat filem ini paling diingati adalah bagaimana filem ini berjaya menyampaikan cerita ini daripada kaca mata "budak-budak" melihat kebaikan/kebobrokan kerenah hidup orang dewasa (seperti dalam novel) tetapi masih menyisih daripada menghakiminya. Sebuah filem perbicaraan tentang kemanusiaan yang berjaya.



Burn After Reading (2008)

Adik-beradik Coen sangat pelik. Filem ini tergolong dalam filem "suka untuk dibenci dan benci untuk suka" kerana membawa masuk dua genre yang tidak senang duduk bersama iaitu genre perisik (sebenarnya lebih kepada "tukang sibuk") dan farsa seks (sex farce). Ini ditambah dengan penglibatan anti-moral Coen (yang baik tak semestinya menang, dan si syaitan selalunya bebas untuk melakukan kerosakan) di mana yang salah tidak dihukum dan yang tak bersalah akan mati (opsss, aku dah bagitahu spoiler). Pun begitu, ada kekuatan dalam filem ini apabila ia diberi kuasa terbuka "lantaklah kau nak buat macam mana" terhadap empat watak utama dalam filem ini yang juga merupakan pelakon terkenal Hollywood (John Malkovich, George Clooney, Frances McDormand dan Brad Pitt). Sebenarnya fungsi genre perisik filem ini ialah untuk menggerakkan plot cerita (yang sebenarnya boleh dikatakan tidak ada jika para wataknya tidak meletakkan diri dalam keadaan yang agak "bodoh" itu) sedangkan roh sebenar filem ini adalah tentang perhubungan bersilang-silang yang intim, kompleks dan manusia antara empat watak utama itu berserta watak sampingan yang berhubung dengan mereka. Malah, farsa seks itu kelihatan lebih menampilkan corak dan warna watak-wataknya. Intrig ini mempunyai kekuatannya, kekompleksiti dalam manusia memahami perhubungan sama dengan kekompleksiti manusia memahami bagaimana sesebuah kerajaan berfungsi - di sini filem ini melepaskan persoalannya. Walaupun mungkin adik-beradik Coen menidakkan sentimen politik filem ini terhadap urusan perisikan Bush, klimaks filem ini mencadangkan begitu: kebodohan di atas tidak dapat menyelesaikan kebodohan di bawah, serta pandangan negatif adik-beradik Coen terhadap penggunaan CIA membenteras pengganas di dalam negara. Semua pelakon melakukan yang terbaik, malah Brad Pitt memeranjatkan sebagai seorang yang tulu bendul. Frances McDormand sangat mencuit hati dalam masalah keperempuanannya.


Hard Target (1993)




Aku tonton ni sewaktu berada dalam hotel di Kuala Terengganu (yang separa nak roboh tapi digelar antarabangsa) bersama dengan kawan bilik yang busuk bila berada dalam tandas. OK, ceritanya ialah aku suka filem aksi ni! Satu contoh sebuah filem bertih jagung yang mengikut konvensi Hollywood dengan kesemua sentuhan John Woo yang ala-ala shot-shot imej bentuk fizikal macam terbang dan lagak gerak perlahan (aku rasa Tarantino menyukai filem ini) berserta burung merpati/puyuh putihnya yang tiba-tiba masuk skrin. Konvensi dikatakan kerana hero dalam filem ini macho dan serba kelakian manakala penjahat dalam filem ini (lakonan baik pertama Arnold Vosloo dalam francais The Mummy itu) dipaparkan jahat yang amat, malah telah mengikut kebiasaan pameran penjahat dalam filem noir/aksi/seram 40-an Hollywood di mana jika anda baca betul-betul dialog yang diutarakan oleh watak Vosloo dan Lance Henriksen, anda akan tersedar "keintiman" mereka yang homoerotik! (ini kebiasaan buat filem-filem aksi Hollywood sehingga 80-an). Van Damme menunjukkan bahawa pelakon Eropah pascaSchwazenegger yang tak boleh bertutur elok dalam Inggeris Amerika juga boleh muncul dalam sebuah filem Amerika (malah, buat aku, aksi ngeri Van Damme di dalam filem ini sangat memuaskan, malah menjadi tandatangan kenapa filem ini mesti ditonton - walaupun persamaannya dengan filem-filem "idol worshipping of action heores" Hindustan era 80-an sangat sama). Van Damme mengambil tipikal watak "Lelaki tanpa nama" Clint Eastwood (di sini dia ada nama, hanya, seperti Mad Max, dia tidak mahu jadi hero - the reluctant hero) yang tiba-tiba dibawa masuk dalam ranjang mainan jahat orang-orang yang memburu manusia (mantan askar Vietnam selalunya) untuk keseronokan para jutawan antarabangsa. Filem ini menarik dalam beberapa perkara, secara halus, filem pra11 September ini memaparkan bagaimana pengganas boleh membolos ke dalam Amerika atas nama "Syarikat Antarabangsa", kedua, keganasan itu satu makanan yang perlu dalam menegakkan keadilan (kenapa kita perlu perang), dan ketiga, Amerika ialah negara yang lebih kompleks daripada yang kita tahu dan lihat. Ya, filem ini secara prasedar memaparkan pelbagai intim dan kekuatan imej yang "terpendam" menolak Impian Amerika. Van Damme adalah antara "saksi" yang melihat imej-imej terpendam itu (dan cara untuk mengatasinya). Malah keterasingan Van Damme menyebabkan dia sangat peka akan kekotoran dunia gelap kapitalis Amerika (simbol yang dibawa oleh syarikat yang menjalankan permainan pemburu itu), dan cara pembersihannya hanyalah dengan tangannya sendiri. John Woo banyak melemparkan tandatangannya, paling aku fahami ialah permainan John Woo dalam burung merpati. Sebelum ini, kita tidak akan memahami apa signifikan burung dalam filem-filem John Woo. Aku dapati rupanya burung ialah "mata" atau wakil John Woo dalam filem-filemnya, malah di dalam filem ini, burung/John Woo menjadi semacam deus ex machina terhadap plot, malah memberi "restu" kepada Van Damme (ada sebuah babak yang kita fahamkan, orang jahat menembak burung, satu simbol yang begitu tampak menyatakan sifat "hitam" orang jahat). Kini, kalau simbol burung ini di bawa dalam filem John Woo dalam Red Cliff, kita memahami bahawa burung/John Woo ialah "sang penglihat semua", sang strategis yang perlu melihat padang besar yang diciptanya. Burung dipilih kerana kecantikannya - John Woo mengatakan dia mencipta "cantik", estetika/seni dalam aksi dan babak-babak lawannya. Ini diperlihatkan lagi dengan momokan John Woo (atau sebenarnya penghormatan) kepada teater lama, Papier-mâché, dan warna-warna karnival pada latar babak klimaks filem ini: seni yang dicipta oleh John Woo juga berwarna-warna dan menghiburkan. Ini semacam 101 John Woo. Hard Target sebenarnya sebuah filem aksi bertaraf "gem" yang seharusnya dilintas oleh para penggemar filem aksi. Di sini, warnanya berbagai dalam keganasan, kesan debar, seni aksi dan plot yang begitu bergerak serta sangat menghiburkan sehingga ke akhir filem. Filem ini juga pernah dinominasi sebagai filem seram terbaik di Saturn Awards!

04 December 2008

The Fountain (2006): Perjalanan Cahaya dan Emosi



Orang kata inilah filem Hugh Jackman bercakap dengan pokok. Tapi memang betul, pokok itu ialah isterinya yang juga dahulunya adalah Mahkota Pemaisuri Empayar Sepanyol.


Membuka rahsia filem ini, anda akan berjaya membuka rahsia hidup selama-lamanya, atau “everlasting life” – susuk pun kalah.


OK, aku terlalu sinikal, tetapi sebenarnya apa yang ingin aku katakan ialah, walaupun jika anda “tersesat” di dalam filem ini, filem ini penuh dengan sentuhan kemanusiaan yang tetap akan menyentak perasaan anda, walaupun anda sesinikal aku.

Tak, jangan wasangka, aku suka filem ni. Aku suka! Ini adalah antara filem “patut tonton” yang aku tidak sempat menonton dua tahun lepas (terima kasih kepada pengedar filem dan pawagam kita). The Fountain daripada pengarah filem Darren Aronofsky sebenar-benarnya ialah rakaman Aronofsky tentang hidup dan apa yang penting dalam kehidupan manusia. Selitan pseudofiksyen sains bercambah fantasi serta realisme magisnya hanya bumbu buat melahirkan estetika cahaya dan warna, dan boleh juga dikatakan pengfasalfah Aronofsky yang dekat kepada konsep “thanatophobia”. Separuh daripada itu, simile Aronofsky bermain dengan bahasa sebab-akibat serta sorotan objek yang membawa dan menggerakkan maksud kepada dua hingga tiga lapis.


Di sini, terdapat tiga lapis ruang yang perlu dikenali – zaman Inkuisisi Sepanyol (yang juga boleh dipersoalkan pensejarahannya, ia mungkin satu realisme magis yang diimpakkan – ideanya ialah, imaginasi/impian/mimpi/khayalan manusia mencipta harapan, unsur terpenting menggerak hidup manusia, malah sentiasa dinyatakan sebagai punca sebenar survival manusia, punca manusia hendak meneruskan hidup dan memajukan diri), zaman sekarang dan zaman pseudohadapan.


Istilah “pseudo”hadapan dinyatakan kerana imej dan suara yang kita tonton kemungkinan adalah isi hati spiritual Hugh Jackman zaman “sekarang” sewaktu melalui meditasi sebelum mati (idealisme kematian mencapai nirvana dibayangkan dengan elemental fizikal), atau memang zaman hadapan di mana saintis ini bertemu dengan keupayaan merentasi angkasa ke nebula (ruang penciptaan bintang) atau kemungkinan fantasi ketidaksiuman Hugh Jackman yang kematian isterinya, Rachel Weisz. Malah, ruang pseudohadapan ini sebenarnya “kunci” Aronofsky yang sebenar bagi membongkar segala sintaks di dalam filem ini (sekurang-kurangnya memahami kenapa objek-objek “anu” yang terpilih, kenapa ia berada dalam mis en scene dan kenapa ia wujud sunting di ruang lain dengan fungsinya terhadap watak), malah menyatupadukan ruang zaman lampau dan juga sekarang. Malah banyak kanvas Aronofsky lakar dalam imej Hugh Jackman bersama “pokok kehidupan” sebagai idea sentral Aronofsky terhadap keperluan untuk memahami hidup. Akhirnya, apa yang kita dapat ialah, satu pengertian bahawa hidup ini manis dan melepaskannya itu menyiksakan (pahit). Tetapi ia perlu, kerana itulah “kitaran penghidupan”. Watak Hugh Jackman tidak dapat pengertian itu (kematian) tetapi perlu menyedarinya. Dia menyedarinya daripada semangat isterinya (simbol pokok). Proses melaluinya ini yang “menyiksakan” (kematian itu menyiksakan – sakit yang paling siksa buat manusia), dan beliau sedar akhirnya, untuk mengetahui pengertian ini, dia perlu mengalaminya sendiri (mati). Dengan dia mati, dia dapat memahami erti hidup.


Malah filem ini benar-benar menyatakan, hidup itu sahaja yang penting (yang kita wujud sekarang sahaja yang perlu), maka ini bergerak pada penyedaran eksistensialisme. Malah, kita akn sedar, filem ini menyatakan – tidak ada hidup selepas kematian, walaupun dengan berpuluh kali kita dibayangkan ada. Tidak, kebenarannya ialah untuk “melepas pergi” pengertian hidup itu, seperti melepas pergi idea hidup selepas mati itu, kerana kekompleksitinya wujud hanya untuk diketahui Alam. Alam ialah titik akhir pengertian hidup. Ini dipapar dengan berkuasa dengan silang sunting antara ruang masa dahulu-sekarang-pseudohadapan pada peringkat akhir filem ini, apabila “jawapan” kepada “eternal life” dibuka dan saling berkait antara ketiga-tiga lapisan itu.


Cita-cita yang ingin dibawa oleh Aronofsky memang berat, membawa ideal surreal Lynch, dengan mengalih objek kunci dalam satu ruang kesedaran dalam sebuah lagi ruang kesedaran dengan fluid. Objek kunci di dalam filem ini yang paling tampak ialah dua – pokok dan cincin (apa yang mencuit hati aku, idea objek kunci cincin ini juga mempunyai nilai yang sama dalam novel sai-fai aku, Saga Horizon) dan objek ini akan bergerak dan menyatakan kepentingannya pada masa-masa tertentu di dalam filem ini. Secara umumnya, kita mencapai kesedaran bahawa objek ini “perlu” buat perjalanan watak Hugh Jackman (iaitu kita) untuk memahami “hidup/mati” dan “perjumpaan/perpisahan”. Daripada kedua-dua unsur berkait ini, Aronofsky membawa kita melangkau kebiasaan pemahaman ini dengan mencapai “nirvana” penghidupan (apa ertinya untuk hidup jika kita semua akan mati – klu terdapat pada baris dialog Hugh Jackman: kematian juga ialah penyakit, penyakit yang boleh dipulihkan). Di sini, para penonton akan terbelah kepada dua, yang benar-benar menyukai idea Aronofsky ini atau menyangkal lantas membenci “mambo jumbo” Aronofsky. Walaupun begitu, walaupun angkuh, Aronofsky telah menyatakan ideanya dengan baik.

Kecantikan utama filem ini terletak kepada letak duduk kamera dan shot-shot ber“seni” Matthew Libatique. Warna, titik perspektif, garis-garis panjang dan cahaya Libatique penting dan perlu untuk menyatakan perjalanan “kehidupan” yang dilalui Hugh Jackman. Putih di dalam filem ini menyatakan pembuakan hidup dan kegemilangan, biru gelap dan hitam penyataan kematian (lihat warna buah apa yang diberi Weisz kepada Jackman pada akhir filem). Antara mainan warna ini, hijau dan keemasan menjadi simbolisme kedua. Kita juga akan menemui “pencerahan” dengan melihat cara Weisz atau Jackman mendongak melihat cahaya di atas. Sila tatapi waktu Jackman yang “gelap” melihat dalam kekosongan secara melintang, melalui cahaya lampu di atas yang senantiasa melampuinya – simbol “ilmu” itu sudah lama berada pada Jackman hanya Jackman tidak mendapat “pencerahan”. Fluiditi ini yang dimainkan dan dimainkan lagi, pelbagai warna dan simbol akan timbul dan hilang, menukar dan mempengaruhi para wataknya yang bergerak dalam filem tanpa garis lurus ini. Aku akur, ia dibuat dengan baik dan efektif, tidak ada satu babak pun yang terlihat janggal dan hilang “penyambungannya” (suatu lagi klu akan pemahaman “hidup” yang ingin dinyatakan oleh Aronofsky). Malah runut bunyi yang mendetak telah menggabungkan emosi watak dan imej filem ini dengan baik.

Aku begitu gembira bila mendapati, lakonan berkesan Hugh Jackman, Rachel Weisz (terutamanya) dan dsfsfdf begitu manusia dan natural, ianya adalah tujuan utama kenapa filem ini perlu ditonton, dan bukan kerana efek khasnya yang hebat (ini kelainan 2001: A Space Oddysey(1968) dengan filem ini di mana kehebatan teknikal dan efek Kubrick masih melangkau satu keabadian “roh” estetik yang tinggi daripada para pelaku wataknya). Hugh Jackman melakarkan sebuah watak “hero” yang menjalani sebuah “quest” untuk mencari rahsia “kematian” dan menyembuhkannya. Hugh Jackman melakarkannya dengan penuh kedalaman serta nilai jujur yang baik. Rachel Weisz, sebagai “tujuan hidup” Jackman mempersembahkan lakonan terbaiknya setakat ini, melakarkan kelemahan manusia yang penuh “hidup” dan begitu menyentak kerana pemahamannya tentang kehidupan perlu di”sampaikan” kepada umat manusia (simbol pembawa idealisme Aronofsky).



The Fountain bukan 2001 Kubrick buat abad ke-21, tetapi ia dekat sebagai antara filem yang berjaya menyentak gaya pascamoden membikin filem. Emosi yang disampaikan hidup, dan watak-wataknya menyatakan kesungguhannya yang manusiawi. Buat aku, hasil karya Aronofsky, Requiem for a Dream(2000) lebih diingati dan penting. Pun begitu, The Fountain ialah sebuah dunia yang perlu ditonton walaupun sekali.


See, I’ve stopped reviewing Malaysian films :p


23 November 2008

Err, kat Golok ada pawagam tak?

Er, aku tak tahu samada zaman Pemaisuri Langkasuka
ni orang Melayu dah Islam ke tak ...



Aku nak merajuk jap dari menonton filem Melayu/Malaysia sebab:

1. Tanpa Nama tuduh aku blogger filem tak bersijil yang cakap je pandai tapi tak tahu buat filem.

2. Selepas misi aku menonton Wayang di Kuantan gagal, aku ingin merajuk daripada menonton filem Melayu sebab Kota Bharu kejam, ya kerajaan Nik Aziz kejam, aku nak pawagam!

Jadi ... Ada dua buah filem bagus dari Thailand: Akan Datang(2008) dan Pemaisuri Langkasuka(2008).



Lihat: http://blog.nationmultimedia.com/wisekwai/2008/10/22/entry-1

[Rec] (2007) Filem Seram Terbaik 2007?


Ada sesuatu yang cantik dengan Rec, ada sesuatu yang hodoh dengan Rec.

Rec ialah sebuah filem seram baru mengambil ideal rakaman ‘pandangan pertama’ yang direvolusikan (atau dipertingkatkan lebih-lebih lagi buat genre seram, oleh sebab gaya ini pernah dibikin buat filem-filem drama [cth: My Life(1993)], apatah lagi dokumentari/mokumentari) oleh Blair Witch Project(1999) dan pernah diteruskan dengan filem ngeri-fiksyen sains, Cloverfield(2008). Rec mengambil semangat zombi George A. Romero dicampur dengan anti-katolik serba kedatangan kiamat Fulci (dalam semua filem ‘pembukaan pintu neraka’ dan ‘kiamat berlaku apabila si mati hidup kembali’ Fulci, Fulci mencerca pihak Katolik sebagai ‘penyimpan rahsia yang menyebabkan kejahatan menang’ – malah filem City of Living Dead(1980), Fulci terang-terang memaparkan seorang paderi menggantung diri di luar gereja menyebabkan kiamat berlaku), satu kebiasan buat penggiat filem seram Eropah, terutamanya Itali dan Sepanyol.


Filem bermula dengan seorang gadis si pengacara TV “Sewaktu Anda Sedang Tidur” bersama jurukamera lelakinya (yang kita tidak akan dapat melihat wajahnya sehingga habis tayangan/rakaman) merakam hidup dan kelaziman yang berlaku di dalam sebuah balai bomba di tengah bandar Sepanyol. Eksekusi ini bijak, secara sindir, ini sebuah filem ‘lewat malam’ yang ‘tidak ada sesiapa yang mahu menonton’ – mundaness ini terserlah dengan bosan bercampur harapan si pengacara mencari ‘cerita’ di balik dewan dan ruang balai bomba yang kering. Di sini, ekspetasi para penonton juga bermain dalam kepala (buat penonton wanita, mereka tentu teringinkan melihat jika pengacara itu mengusik masuk ruang tempat mandi para bomba, klise yang ditandakan dengan ahli bomba). Ini adalah kekuatan rakaman terus-menerus ‘pandangan pertama’ – secara visera, penonton di’paksa’ untuk mengikut, mengalami pengalaman ini secara terus-menerus tanpa pembabitan perspektif yang lain. Mata penonton bergantung kepada tangkapan kamera si jurukamera lelaki. Suara, jalan dan cahaya kamera si lelaki itu adalah penonton, tanpa komrimi lagi. Ini adalah tingkatan voyeur yang tertinggi dalam sinema.

Oleh sebab penonton diberi (atau di sini, memang dipaksa – efek ini yang menyebabkan kegiatan filem sebegini efektif, kita merasa seakan-akan ia benar) voyeur ini, sudah tentu ia perlu dengan sebuah kesedaran yang benar-benar penting, kerana perilaku rakaman sebegini boleh jadi dangkal (anda pernah cuba menonton 5 jam siaran realiti COPS?) jika kelesuan balai bomba terus-menerus dirakam. Di sini plot bermula, apabila si gadis dan jurukamera diberi peluang menaiki kereta bomba untuk ke tempat kejadian seorang perempuan yang jatuh ke lantai aras bawah pangsapurinya.


Di sini (apabila mereka sampai ke pangsapuri), efek roller coaster dilakukan dengan tanpa henti lagi. Malah, motif pergerakan filem ini mula kelihatan dibuat oleh sebab pemaparan aksi-aksi ‘apa yang akan berlaku’ di pangsapuri. Ya, semahu-mahunya aku ingin mengatakan filem ini mempunyai nilai ‘subtle’, tetapi secara objektifnya filem ini sebuah filem teknikal – filem yang dibuat untuk menakutkan kamu, dan menakutkan pun.

Secara bijaksananya, filem ini berjaya memaparkan banyak hal teknikal, juga genius dalam seram (walaupun sudah banyak yang dilakukan atau kitar semula) dalam bajet yang boleh dikira lebih rendah daripada Cloverfield, tetapi berjaya mengimpakkan satu keseraman yang menggetirkan. Kekuatan teknikal ‘seram’ ini berlaku oleh sebab perancangan yang jitu oleh para pengarahnya menggerakkan chaos demi chaos yang berlaku (tetapi, buat penggemar filem seram, antisipasinya sudah dapat diagak 5 minit sebelum aksi berlaku). Ini perlu dalam menaikkan antisipasi dan perasaan tidak senang duduk penonton. Secara efektif, kegilaan ini benar-benar terasa dalam sepuluh minit terakhir filem, lebih-lebih lagi dengan jawapan fiksyen sains dan anti agama pada klimaks filem (secara seloroh, pihak pembikin filem menyatakan kesekularisme yang ekstrem, agama dan sains tidak boleh berbaur).


Ya, kegilaan ini menyeronokkan dan bukan membuat penonton menyampah. Tetapi ada satu daya ‘benar’ yang filem ini tidak dapat melangkaui, malah, dalam ‘real’nya filem ini, lebih real daripada Cloverfield, terdapat keabsurdan yang disengajakan. Dan ini membuat filem ini hodoh. Ini dapat kita baca dalam beberapa babak teknikal gagal yang disengajakan. Malah, buat penonton bijak, ini menyedarkan kita bahawa ‘ia hanya sebuah filem’. Satu babak memaparkan bagaimana si gadis meminta jurukamera ‘mengulang kembali rakaman’ lalu ia betul-betul berlaku. Atau bagaimana dalam satu rakaman, seorang penghuni pangsapuri diwawancara tetapi suara-imej rakaman disunting kemas, seakan-akan ada dua shot berlainan (dua kamera) atau rakaman ‘mentah’ yang kita ikuti tadi terperasan bahawa ianya sudah berlaku pascaproduksi. Ini membawa kepada tanggapan bahawa apa yang kita tonton itu sudah ‘dirancang’. Atau mungkin saja: apa yang kita tonton itu semuanya tipu belaka. Ini memang diminta oleh pembikin filem. Ini sebuah mokumentari seram sebenarnya, bukan dokumentari. Apa yang real dan bukan real tidak perlu. Yang perlu ialah melihat kita takut.

Ini kita tahu ‘benar’ oleh sebab beberapa perkara lagi. Pertama, cara semua ‘bukti’ yang disusun dalam filem ini berlaku secara kebetulan (yang tidak mencacatkan sangat kelogikan filem), malah episodik. Dengan lebih dalam kita menelusuri cerita filem ini, lebih banyak perkara terbongkar, sehingga kita mencapai satu ‘point of no return’ dan tahu takdir si gadis dan jurukamera (secara sindirannya, kita!). Kedua yang paling tampak ialah, sepertimana ketidakrasionalnya para watak Cloverfield mengangkat kamera ke sana sini sewaktu raksasa sedang mengamuk, ketidakrasional ini juga berlaku dalam Rec. Idea dan ideal ‘kita perlu merakam ini untuk orang tahu’ dipersoalkan. Adakah para wartawan benar-benar ‘pencari kebenaran’? Adakah mereka benar-benar penyiasat yang berani merisikokan nyawa mereka atas kebenaran? Kalau begitu, filem ini menyatakan bahawa para pencari berita adalah golongan voyeur yang paling ekstrem sekali (maka para penonton juga begitu kerana kita ‘membayar’ untuk menonton – kita membuat segala ini untuk mengisi kehendak psikologi kita). Jikalau saja ada satu babak di mana si jurukamera mengayun kameranya, memukul kepala zombi yang mengamuk dek tindakan refleks untuk ‘selamat’, mungkin filem ini masih terserlah ‘real’. Ini adalah kerana, kita tahu, perkara si jurukamera memegang kameranya sampai mati tidak akan dan tidak boleh berlaku. Kefanatikan jurukamera berita di medan perang pun mempunyai ‘safe resort’ mereka tersendiri jika hal-hal kecelakaan berlaku. Perkara ini tidak berlaku dalam Rec, dan ini merunsingkan.


Dalam hal Blair With Project, kerasionalan ini tampak ‘benar’ kerana hal dan aktiviti yang dirakam bukan sehari, malah seramnya mengambil masa untuk meresap di dalam kulit kita. Pada akhir babak Blair Witch, sewaktu si perempuan perakam berlari bersama kamera itu ke dalam rumah kosong, kita rasa perlu kerana dalam dunia serba hitam dan mistikal Blair Witch, logik kesiuman dan ‘adanya’ dunia luar para watak terletak pada kamera itu sendiri. Kamera itu ‘security blanket’ para watak bahawa mereka masih manusia dan mereka masih siuman. Di dalam Rec, perkara ini tidak berlaku.

Rec memang menyeronokkan, malah memberi kita gangguan selepas menontonnya. Beberapa babak tangkapannya kuat, malah banyak yang boleh diingati (paling efektif buat aku ialah sewaktu semuanya chaos di tengah cerita). Tetapi Rec ialah sebuah eksperimentasi teknikal yang menyahut satu perkara, walaupun ia cuba sedaya upaya membawa masuk perkara politikal dan hak bersuara, tidak ada sesuatu yang baharu tentang Rec.

I'm sorry, I don't fit your credentials as a film reviewer-blogger?


Seorang Tanpa Nama menghantar komen ini kepada aku oleh sebab ulasan aku terhadap Antoo Fighter. Kalau reaksi sebegini boleh berlaku, aku rasa tujuan blog ini sudah tercapai:


pada aku la a good blogger for utk review is:


1: kritik with idea..not just kritik..

2: kritik with research meaning research bout local market industry..


what means why jadi mcm ni..so that kritik have a balance..


like u said Contoh pertama dari segi teknik dengan bajet yang sangat murah: Bad Taste arahan Peter Jackson. Bad Taste murah, buruk, dan berbajet rendah.....bajet rendah luar negara berapa ratus ribu USD meaningnya lebih kurang USD200K? utk tahun 1987..maybe its true but now i dont think so la..track back of malaysian industry...if get 5mill kutipan tiket split kepada tauke wayang 50-50.. jadi 2.5millso camna la para producer nak bikin the next movie if cant get a profit to rollnext movie..we're small market la..bikni la research dulu encik.. memang la bole cakap kalu takde duit jgn buat movie...but they all movie maker trying to make local movie ni go to next level..but never get a positif thinking coz org sikap melayu always like this (fadz: err, which is?)..why hollywood can go far..coz they always think a positif way (fadz: err, bukankah fasal mereka jaga betul-betul buat cerita sebelum meluahkan dalam bentuk aksi?)..so to me review blogger like this is not certificate coz they never research back on local market..they research but outside market like hollywood but they not reasearch bout currency (fadz: New Zeland bukan Hollywood, maaf!), the kronologi of history between luar negara dan malaysia.. to me right now malaysian movie to many main plot of love story..thats why the producer terlupa think bout teknologi... (fadz: oh, u forgot 1 thing: STORY)


and one more think the money to invest..coz to think like LOTR ..they need 50 digital artis on work for 1-5 years salary per person 3-4k x 50people permonth..lebih kurang cost = rm9600000sudah rm9mill so..the kutipan tiket kalu meletup bole letup 10mill...bahagi duangan tauke wayang baru dapat 5mill..so? u can said..jual ke luar..bole ker? we are not in top language like chinese (fadz: Sepet, yes, a lame example, but i heard its done cheap and still garn box office earning with local + international achievement, what say you?) so? to me u are not certificate bloggeru must think bout that baru la lepas ni bole review movie org..if not try la buat movie sendiri then u know bout dis

fadz: hmmm, I love my job :)

21 November, 2008

19 November 2008

Selamat Datang Ke Kelantan

Hmmmppphhh....


Mencari "Misteri Rumah Tua" (1987)

Salam, aku sekarang berusaha dengan kawan pengkritik Itali menghimpunkan filem-filem fantasi-seram Asia Tenggara. Filem yang kami cari sekarang ialah "Misteri Rumah Tua" yang mana aku ingat Noor Kumalasari berlakon jadi hantu kepala melayang, juga melahirkan anak dari mulut. Aku tak suka filem ni, tapi memandangkan ramai pembaca/penonton filem ini telah menggembar-gemburkannya (ya, aku diskriminasi, hahahaha), ia telah sampai ke pengetahuan pengkritik Itali itu. Jadi aku ingin dapatkan makluman jika ada di antara kalian yang masih menyimpan bentuk VHSnya (yang, ehem bolehlah ditukarkan ke VCD), bolehlah disalinkan buat aku hantar ke Itali. Aku akan bayar kerja salinan itu.

14 November 2008

Akan Datang: Histeria (2008)

Ya, jangan tegur aku, aku hampuk muka kau karang...



06 November 2008

Budak Kelantan(2008) - Realisme Getir


Budak Kelantan ialah sebuah filem yang meradang. Sebuah filem yang 'benar'. Dalam kasar dan marahnya, kita terjumpa manusianya - baik dalam watak yang berkaedahkan moral ataupun bimoral. Ceritanya bergerak apabila Buchek bertemu kawan lamanya, Jaha, kedua-duanya mempunyai jalan hidup yang berbeza. Buchek menjadi mata buat kita mengamati hidup Jaha. Pada akhirnya, Buchek membuat kesimpulan, satu 'pengorbanan' untuk menarik Jaha ke jalan yang benar.


Ia kedengaran seperti sebuah filem hindustan (kebiasaannya dua adik-beradik yang memilih jalan berlainan untuk berjuang dalam hidup yang tidak adil. Sila rujuk Mother India) atau filem dakwah bermoral, tetapi kesemua cambah ide ini disusun secara dramatik (pembukaan setiap perkembangan 'hidup samseng' Jaha), disampaikan 'erti' yang prasedar serta dialog-dialog memikat membuatkan Budak Kelantan, satu kerja yang setaraf filem-filem 'Pemuda Berontak' seperti Haru Biru, dan lebih baik daripada Anak Halal, Impak Maksima, Remp-It dan KAMI.

Satu lagi kekuatan filem ini terletak kepada runut bunyi yang kelam (tetap menggunakan organ tetapi efek yang minimalis) lalu ditambah dengan deringan dikir barat alunan getar Halim Yazid yang 'monumental'. Getaran suara Halim di sini mengimpakkan satu suasana 'Kelantan', mewarna palet-palet imej yang kita lihat di Kuala Lumpur dengan Kelantan- semangat meluah 'Kekelantan' ingin bertapak di tanah mereka berdagang (kita faham di sini bagaimana orang Kelantan berpegang teguh pada bahasa dan budaya mereka). Ini juga mencipta melankolik - apa yang 'hilang' oleh orang Kelantan kerana berdagang di negeri orang. Suara Halim Yazid berjaya menjelmakan keinginan 'kembali semula' serta 'rintih rindu' seseorang untuk mencapai gambaran tempat asal akar umbi. Pilihan Wan Azli ini benar lagi apabila kita menyelami lirik dikir barat yang dinyanyikan, memahami perih dan cita-cita sebenar jiwa orang Kelantan, dan kenapa mereka lakukan apa yang mereka lakukan (di sini boleh diambil konteks melihat pada perlakuan Buchek dan Jaha).


Apa yang sedikit mengganggu, tetapi perlu disampaikan oleh Wan Azli adalah kesedaran sifat cauvanis patriaki yang tersemat dalam jiwa orang lelaki Kelantan terhadap wanita. Terus terang, kesimpulan akhir Wan Azli sangat menyesakkan. Di sinilah yang dikatakan ide moral itu menjadi 'samar' dek perhitunagn yang dibuat Buchek. Kita sudah mengenali bahawa Jaha jahat (mengikut konsensus moral) dan Buchek baik. Ide baik dan jahat yang dikaitkan antara mereka ialah wanita. Wanita ialah objek 'kajian' yang memberi nilai moral kepada mereka. Jaha dipertunjukkan mempergunakan wanita buat barang dagangan. Ini menjadi kerisauan buat Buchek. Tetapi, dengan tersirat, Wan Azli menghitung bahawa sebenarnya Buchek juga seorang 'cauvanis' (malah secara peribadi buat aku, lebih terkutuk teruk dan bodoh daripada Jaha), memperlihatkan teman wanitanya di'perdagangkan' buat kawannya atas nama 'pengorbanan sahabat' dan 'mengembalikan ke jalan lurus'. Di sini, satu pendebatan berjaya dicanangkan oleh Wan Azli - sebenarnya yang mana lebih benar, yang mana lebih hipokrit? Di sinilah tuntutan yang dibuat oleh Wan Azli, menggegarkan ide 'penerus generasi' dan 'perjuangan anak bangsa' agar terus berkembang maju dan kekal dengan 'anak bumi'. Satu kecaman sosial dan politikal yang sangat provokatif!


Kekuatan Wan Azli banyak ditolong dengan skrip yang kental, permulaan-pertengahan-penghabisan yang baik, menghiburkan, malah terasa selang-seli cuit hati dan rentak kasar ganasnya tersulam selamba. Anda tidak perlu takut jika anda tidak kenal loghat Kelantan (walaupun sebenarnya, mengetahuinya lebih elok, kerana ia mempunyai witnya yang tersendiri) oleh sebab filemnya bersari kata Inggeris dan Melayu.


Aku juga suka gaya penggambaran yang bergoncang, melirik ke kiri kanan dan bergerak (track shot) Wan Azli. Warna imejnya mungkin rendah kualiti tetapi dek bajet yang kurang, neo-realismanya terserlah. Antara penggambaran realisme yang baik dalam filem-filem Malaysia.


Terdapat lakonan agak baik walaupun tanpa kemajuan daripada Danny X Factor sebagai Buchek. Babak-babak dia 'berdiam' bagus kerana kekagetan drama dan seram yang berlaku di depan kita melalui episod 'acah-acah' yang mengejutkan tidak kita sedar oleh sebab emotionless Buchek terhadap aksi gedebe Jaha. Maka ngerinya terasa real. Hanya babak-babak Buchek bersama Bienda sedikit tidak meyakinkan, maka peleraian keputusannya sedikit absurd (walaupun kita faham benar motifnya). Ini kekurangan Danny dalam memperlengkapkan sikap lurus bendul Buchek. Azrul sebagai Jaha satu fenomena, seangkatan lakonan debut Robert De Niro dalam Mean Streets atau Que Haidar dalam Haru Biru. Wataknya faham erti dunia jalan malam yang ganas, faham dosa pahalanya dan memilih apa yang dia pilih. Bagusnya, dia tidak pathetik, malah, pemilihannya untuk mendapatkan Cik Su masih mencurigakan (lagipun, kelangsungan persahabatan itu masih belum berlaku). Azrul akan menjadi angkatan pelakon baru yang menggegarkan.


Wan Azli juga seorang pengarah yang menyeronokkan, kerana beliau sudah berjaya memaparkan perbincangan atas subjek yang berat, tetapi menyelusuri isu kelamnya dalam garapan yang senang diikuti naratif yang mempamerkan ketelitian subjek, Wan Azli ialah pengarah harapan baru yang menarik untuk ditunggu karya hasilnya.

03 November 2008

Festival Filem Pendek MASKARA SHORTIES 2008- Raya Filem Muda Malaysia


Ya, Sindiket Sol-jah telah melakukannya sekali lagi.

Kali ini dengan filem-filem pendek tempatan!

Ada satu integriti yang dari dahulu sampai sekarang aku respek akan kumpulan Sol-jah. Yang pertama ialah, dalam objektif setiap acara pembacaan karya mereka (yang akhir-akhir ini sudah lebih kepada acara persembahan seni, tetapi ini tidak menjadi masalah dangkal), mereka tidak mengamalkan mazhab pilih bulu. Maka dalam satu acara persembahan karya, mereka akan masukkan pelbagai rencam penyair/penulis/pembaca dengan mengikut isme, genre dan pegangan mereka. Yang bahaya dan sedikit provokatif akan berbahu-bahu dengan yang lemah-lembut dan pasif; yang kuat dan bernada ‘adikarya’ atau ‘karya yang akan diiktiraf agung pada masa depan’ akan bersebelahan dengan karya pop-kitsch dan picisan – ini sudah menjadi ‘tanda dagangan’ buat acara Maskara. Yang kedua ialah, selepas setiap ‘barisan karya rasmi’, akan disampaikan pula persembahan ‘eceran’ sekumpulan sasterawan dengan sukarela, menyebabkan acara melanjut sampai ke tengah malam. Pada malam Maskara Shorties, perkara ini berlaku lagi dengan tidak semena-menanya dengan beberapa bahan ‘segar dan baru’ disumbangtayangkan oleh beberapa pembikin filem yang seronok ‘turun padang’ yang pada mulanya hanya datang untuk memeriahkan malam itu. Jika Maskara Shorties boleh membawa pembikin/artis seperti Shofii Jikan menayangkan snipet filem sulungnya (yang belum selesai pascaproduksi), ini suatu pencapaian yang tidak boleh disangkal.

Dan oleh sebab ‘perangai’ selamba ini yang aku respek dan memberi tepuk tangan gemuruh kepada kumpulan Sol-jah. Apabila pelbagai bentuk dan ‘peel’ filem yang ditayangkan pada malam itu, daripada yang membuka mata dan telinga, sampai kepada yang naik menyampah melihatnya (itulah adat festival), serta bagaimana 5-6 filem bukan dalam jadual yang turut serta ditayangkan tanpa henti. Malam itu benar-benar malam yang meriah.

Penyediaan ruang tempat berlatar kawasan legar Planet PENA dengan tikar yang terbentang (buat yang tua-tua, ada disediakan kerusi), dengan ubat nyamuk lingkar, budak-budak menonton di tepi benteng, penonton yang berdiri serta kepulan asap rokok yang mengisi liang udara benar-benar membawa suasana ‘zaman dulu-dulu’ apabila atuk dan nenek kita dahulu mula-mula menonton wayang pacak ditaja syarikat tenusu atau kerajaan. Aku berseloroh dengan seorang kawan Cik Daun, “Ini macam mengembalikan nostalgia Cinema Paradiso”. Johan Jaafar tentu menyesal tak datang.

Malah, ada beberapa perkara yang para massa patut berkata terima kasih kepada Sindiket Sol-jah, terutamanya memberi bertih jagung percuma dengan air sekali. Bayangkan, mereka mengeluarkan duit untuk melakukan semua ini hanya untuk pengunjung, untuk pengunjung alias penonton terhibur dan balik dengan gembira tanpa mengeluarkan wang sesen pun.

Memang, ada masa kadang-kadang, kita terasa tayangan masa filem-filemnya terlalu panjang (dari 8.30 mlm – 12 mlm!) mencapai rekod filem-filem epik Hollywood zaman dahulu dan Bollywood. Ini yang sedikit melemaskan kerana bukan seperti Gone With the Wind atau The Magnificent Ambersons yang mana filem-filem itu mengujakan, mempunyai kuasa efektif ‘terikat di tempat duduk’- Maskara Shorties mempunyai misi ‘melekatkan’ penonton untuk menonton 20 filem pendek pelbagai rempah rasa (ada yang tidak ditayangkan), sudah tentu ada yang akan melemaskan penonton dengan gaya separa art-deco atau ‘sinema seni’nya. Aku sendiri sudah terlalu lemas selepas menonton snipet filem Shoffi Jikan lalu tidak sempat menonton Traffic Light yang dikatakan sangat baik oleh kawan-kawan, saudara dan adik aku selepas itu (ya, stamina mereka lebih hebat dari aku; ya, mereka sama bangsa awek makhluk asing dalam filem Naz Annuar tu).

Pun begitu, sesi tayangan filem, termasuk sesi rehat, dan majlis pelancaran dibuat dengan lancar. Hanya tatateknik seperti suara dan runut tayangan tersekat mencipta garu kepala di kalangan penonton oleh sebab perbezaan medium dan teknologi buat penyediaan DVD akhir (lain kali guna VHS atau pita filem terus!). Buat aku, masalah suara itu mungkin perkara kedua kerana semua filem melepaskan kuasa mereka dengan imej (lagi-lagi ini tayangan filem-filem indi dan amatur), tetapi mahu tidak mahu, keperluan penyediaan alternatif buat penonton itu perlu. Mungkin selepas ini Sindiket Sol-jah perlu meminta para peserta Maskara Shorties akan datang agar memasukkan sari kata, oleh sebab suara adalah antara masalah besar dalam tayangan.

Teraju utama malam itu sudah tentu filem-filem yang ditayangkan (maafkan saya Mamat Khalid dan Pyan Habib, walaupun kehadiran anda pun sangat meletop). Dalam kesemua itu, aku tahu aku tidak akan dapat ‘kerja paling sempurna’ memandangkan berapa lama sidang Sol-jah perlu mencari pembikin filem sehingga pada saat-saat awal, mereka merasakan mereka akan melalui derita S.S. lalu para ahlinya terpaksa membikin sebuah filem secara terburu-buru. Maka aku terima pilihan filem yang ditayangkan secara adanya, malah aku agak terkejut kerana kebanyakannya sangat memuaskan, malah melepasi jangkaan aku. Pun begitu, memang ada beberapa filem yang agak memualkan (= adat). Malah ada yang lebih seakan sebuah MTV daripada sebuah filem yang filem (ia tetap filem tetapi aku sedikit memandang rendah kerana usaha yang kurang dalam penjelmaan hasil kerja). Malah ada yang terlalu mengada-ada (pretentious) aku mengamuk dan rasa nak muntah dan kalau boleh, mahu saja aku campak bertih jagung ke layar atau ambil gunting dalam beg aku lalu potong layar putih di depan aku waktu tu (sebab marah sangat). Tapi kalau aku buat macam tu, korang tak tonton filem dan aku masuk lokaplah malam tu kan?

Jadi biarlah aku pilih filem-filem yang aku suka dan sempat tonton malam tu (biarlah aku bias macam Fariz dalam blog Roman Kodian cakap, sebab aku mengamalkan sikap pilih bulu kalangan pembikin muda indi, nanti kalau dah mainstream, lain cerita):

“Hantu Silap Mata” oleh Alif Firdaus Azis
Tradisi sambungan lawak senario tetapi dengan lebih kreativiti dan efek khas yang gempak (buat filem sekecil ini). Filem ini ada jiwa dan dibuat dengan seronok, sebab itu ia berjaya menawan 'perut lawak' penonton. Inilah filem ‘feel good’ buat semua pada malam itu.

"5 Chairs" oleh Rozinor Razali
Aku rasa macam masuk filem Kill Bill versi hitam putih (walaupun pergerakan cerita sedikit klise - pernah dibuat orang terutamanya Tarantino). Gaya tinggi walaupun rasa aksi tembak tak real. Tapi aku tak berani ulas panjang sebab suara latarnya satu hapak pun aku tak dengar, dan imej lelaki muka ganas yang bergerak dengan pistol/phalus tidak menolong. Aku serius kalau tiba-tiba para lelaki itu melakukan gang bang pada akhir cerita. Aku betul.

"10 Benda yang saya suka"(?)
Errrr ... Aku serius tak dengar apa. Ada cerita ni tapi tak dapat dengar. Ada beberapa babak menarik bila dialog macam "Lagi?" (semangat pencarian identiti individual muda zaman serba 'bergerak' ini) keluar. Awek cute.

“Ka Si Pe-cah” oleh Batsheeba Zalika Arsalan
OK, aku tahu ramai penonton yang tak suka dengan filem separa puisi bermontaj ini dengan suram noir dan bedak putih, tetapi filem ini ada gaya dan melepaskan gurindamnya dengan sejuk-suram lagu Sade tengah monyok. Mungkin subjeknya membosankan, malah ada beberapa bahagian ‘perlu ke’, tetapi aku suka dengan pencahayaan, mainan ruang serta suntingan yang meyakinkan. Rasa ‘dread’ itu berjaya dilunaskan walaupun sedikit ‘cold’ dan kaku.

“Adiwira - Prolog” oleh Shazrol Suhaimie
Jangan nak tipu, korang seronok bukan menonton filem pendek klitsch ni? Satu mesej awam daripada pekomik Malaysia mungkin (semuanya di Malaysia ni tentang mesej bukan?). Sebuah filem yang menghiburkan, malah kalah 90 minit Antoo Fighter.

“Melayu 501” oleh Sindiket Sol-jah
Ok, aku mengaku, aku sebenarnya tak suka filem ni yang meleret nak mati ingat pandai sangat bila memanjangkan babak dengan runut bunyi Unchained Melody dengan spoof babak filem Ghost. Tetapi mereka ada menyampaikan satu ‘point’ yang ‘kurang ajar, potet!’ di akhir cerita tentang M-E-L-A-Y-U, yang sudah tentu ramai yang tak akan tangkap tapi marah sakan adalah. Sekurang-kurangnya filem MTV yang memuaskan hati pada malam tu.

“Hari ini Hari Bodoh Saya Cik!” oleh Benylita Ramlee
Aku agak terkejut bahawa aku terjumpa seorang John Waters dalam barisan tayangan filem malam itu. Walaupun subjeknya nampak parah (seperti mana filem-filem awal John Waters sebelum Pink Flamingo), pemaparan subjek dan ‘sense of pathethic’nya mewarnakan kemanusiaan filem ini dalam hal-hal hari sehari. Jika penonton sedar atau tidak, kesemua wataknya ‘gemuk’ dan, ehem, hodoh, malah heroin dalam filem ini seorang mak nyah tegap (mengambil homaj John Waters kepada Divine), malah kawannya yang juga mak nyah tapi kurus dan ‘jelita’ langsung tak dipandang oleh sang hero. Hidup macam sial hero dipaparkan dengan seslapstik mungkin dan kadang-kadang absurd walaupun kurang matang. Tetapi semangat ‘rebel’ dalam keamaturannya menarik.

“Surat Seorang Ibu” oleh Saiful Nang
Satu lagi ‘audience favourite’ malam itu oleh sebab produksi sinematografi dan perwatakan yang mantap, dengan tangkapan gambar imej yang sangat cantik serta runut bunyi yang sedia ada klise (Sudirman akan sedia melayan anda). Aku gerenti bajet filem ini menandingi bajet filem lain yang ditayangkan. Pun begitu, idea moralnya tampak untuk menginsafkan. Insaf tak korang? Ada telefon mak lepas tayangan?

“Lost Communication” oleh Fadzleena
Sebuah lagi filem moral yang sedikit lemah kalau mahu dibandingkan dengan Surat Seorang Ibu. Sebenarnya aku suka dengan filem ini, lebih-lebih lagi pada 8 minit awal dengan gaya budaya ‘mesin’ (serius, aku ingat ini sebuah filem sai-fai dunia distopia yang kool) manusianya (manusia sudah seperti mesin) yang mengimbau suasana Modern Times hasil Charlie Chaplin ataupun Brazil hasil Terry Gilliam. Tetapi kesemua suasana ini dijawab dengan persoalan mikro yang didaktik. Ia tak salah, malah ada kecomelannya. Hanya mungkin kita mahukan suatu babak akhir yang mengujakan (bagi menyelesaikan imej statik mesin yang kita lihat pada awal – persoalan terbesar, kenapa realiti ‘filem bisu’ yang efektif menipu kita pada akhir filem apabila wataknya tiba-tiba secara ‘miracle’ bercakap?) dan bukan mesej awam yang terang-terangan menyampaikan maksud.

“My Alien Girlfriend” oleh Naz Annuar
Naz Annuar ni cute. Aku rasa aku kenal pembikin filem ni (ni penulis tu kan?). Naz Annuar ialah antara pembikin yang tahu apa makna seronok dan tidak mengambil satu subjek itu dengan terlalu serius. Para pelakon dan kru akan suka dengan Naz. Mungkin juga Naz banyak ganja untuk dikongsi bersama. Dengan kaedah teknik yang betul-betul profesional serta garapan naratif yang kuat, Naz boleh mencapai hibrid Kevin Smith serta Danny Leiner. Meletakkan satu hal komedi di sisi hal kiamat adalah satu campuran yang mengujakan. Hanya “hum chaa” itu tidak perlu dileretkan.

“Song of the Sea” oleh Zainuddin Jamil
Aku suka Song of the Sea. Separuh dari aku boleh tenang melihat dan mendengarnya. Hitam dalam layar adalah ciptaan biru laut untuk aku. Hidup masih ada.

“Sebuah Karangan Bertajuk Kuala Lumpur” oleh Geng Sifoo
Geng Sifoo mengejutkan. Inilah sebuah contoh filem yang akan terngiang-ngiang secara diam di dalam kepala kita selepas lima minit kita menontonnya. Pada awalnya kita ingatkan ia sebuah paparan ‘budak-budak’ yang mengajar kita akan KL. Kita akan salah. Filem yang terbelah dua ini sememangnya mempunyai kuasa masterpiece yang tersendiri kerana berjaya melampirkan pelbagai lapisan rasa dan fikiran, daripada gaya komersial-tanda iklan pada dunia-superfisial yang dijuktaposisikan dengan jiwa yang kosong, ketiadaan komunikasi serta ketidaktentuan lalu menghasilkan sikap pesimis: KL (atau mana-mana bandar) ialah refleksi sangkar kosong bercahaya tanpa makna. Ianya anti urban dan sekali gus bermesej sosial yang kuat. Paling tampak: hijau dan keluarga sedang dalam ambang kepupusan kerana pembangunan. Lalu yang penting ialah pertalian ‘antara satu sama lain’, satu-satu perhubungan manusia untuk survival- simpanan humanisme yang kukuh dalam segala pergolakan cambah buatan manusia sendiri atas nama kemajuan.

"SMS" oleh Ajami Hashim
Lagu sadur gempak. Semangat aku sama dengan Spiral.

“Cekik” oleh Bin Filem (Ridwan Saidi)
Hasil kerja Bin Filem bakal menggegar persada filem negara. Dan Cekik adalah antaranya. Groundbreaking, sekurang-kurangnya dalam filem sureal di Malaysia. Sebuah filem eksperimental yang melunaskan konsep simbol (di sini dalam penggunaan ruang yang tertutup/sesak/terbuka dengan tangan dan kaki memainkan peranan) serta jalinan suntingan imej dan suara yang mantap dan teliti. Ramai kalangan kawan aku yang ‘film buffs’ mengiktiraf Cekik sebagai filem terbaik malam itu, atau sekurang-kurangnya begini: “Siapa Bin Filem ni? Mana filem-filemnya yang lain?” Ideanya senang buat filem pendek (halunisasi/mimpi ngeri/keinginan kendiri/menjelmakan keinginan) tentang tangan yang mahu bebas ‘mengacau’ dan menghantui kaki dan kaki yang menggelupur ‘melihat’ tangan (kaki tidak sanggup dengan tangan tetapi ironinya, ia adalah satu anggota). Malah paranoia kaki menjadi-jadi apabila tangannya sendiri (cewek) melukiskan ‘tangan yang mencengkam’ – satu idea Freud yang anda akan terkejut, berlaku dalam Vertigo atau Psycho (penjelmaan apa yang kita tidak mahu tetapi kita hendak tahu). Anda akan terkejut, adanya persamaan ide ini dengan filem Land of the Dead hasil George A. Romero. Yang aku terkejut ialah, filem ini menyampaikan rasa ‘sexual tension’ tanpa perlu menonjolkan kulit, semua ini hanya berlaku dengan aksi tangan, kaki, runut bunyi serta suntingan yang mantap, antara mainan sudut sedar dan tak sedar. Walaupun aku lebih menyukai Ah Long dalam barisan filem Bin Filem setakat ini, ini sebuah contoh filem yang membuka penonton terhadap dunia Ridhwan Saidi.

“Melayu 106” oleh Mamat Khalid
Mamat Khalid menyampaikan satu perbincangan, dan ia suatu perbincangan (discourse) makalah yang benar-benar menjadi suatu dunia yang kompleks, melalui dekonstruksi teks yang memecah ruang moral, budaya, diri, psikologi, bahasa, malah sampai ke tunjang pegangan pun. Sebuah masterpiece secara pendek. Meligat dalam kekuatan baik makna subjek yang dibawa serta ketelitian teknik yang digunakan untuk menyampaikan ‘cerita yang dipersoalkan’. Tiga manusia (artis) dibawa dalam ‘perbicaraan’ tentang apa itu Melayu. Sikap dan pengalaman ‘tepat’, tersirat dan samar berjaya ditujahkan semacam persoalan itu tidak boleh dijawab oleh manusia Melayu sekarang. Kita tidak boleh memahami Melayu daripada teks, seakan-akan filem itu membicarakan, tetapi dengan ‘mengalaminya’, hidup di dalamnya. Dan itu pun bukan ruang yang senang untuk ditujahi. Sekali gus tinggi dalam isi perbincangan intelektualnya, tidak pernah membosankan malah memberi kuasa uja yang tinggi meniti subjkenya, serta emosi manusianya tampak dalam pelbagai bentuk nada dan rasa. Satu kejayaan buat Mamat Khalid.

Filem pendek Shafii Jikan
Gaya. Noir. Hujan. Si isteri yang mempunyai perhubungan sulit. Lelaki botak 'voyeur' suka nak mengendap. Kesimpulan: Aku nak tengok Vaneeda Imran main dengan Khir Rahman.

“RMN Broadway” oleh Dean Sham
MTV seronok. Mungkin provokatif dari satu sisi tetapi tidak kesampaian sangat kerana para pelakon tidak diberikan fungsi yang benar-benar menampilkan ‘bergelumang dengan keseronokan’. Mungkin malu kot. Takpe, budak-budak kan? Apa-apa pun, menghiburkan dan cepat.

“Grip Phone” oleh Tok Rimau
Tok Rimau ialah kalangan penulis skrip/pembikin filem indi kita yang mempunyai banyak idea segar, disenangi kerana mencampur aduk hal-hal kontemporari yang konvensional serta sifat keJohoran dan keMelayuan yang seadanya dengan isu-isu semasa yang mutakhir dan secara politiknya, provokatif (cth: teroris, flat kos rendah yang dirobohkan hanya kerana memberi laluan projek kemajuan kerajaan yang kool). Pendek kata, Tok Rimau seperti Ron Howard tetapi punya ‘political edge’. Kiri adalah hasil tulisan terbaik Tok Rimau setakat ini. Grip Phone menghiburkan – ia filem yang bergerak dalam manipulasi sebab-akibat (tipikal dalam filem ngeri). Di sini, apa yang dimainkan ialah satu ‘pembalasan dendam’ Mossad terhadap al-Qaeda – ambil filem terbaru Spielberg sebagai rujukan. Mungkin kerana Tok Rimau belum mempelajari ‘establish shot’ – memberi signifikan lokasi (bagaimana surau dekat dengan padang besar? Mana orang lain? jauhkah padang dengan surau), maka logik lokasi dan ruang di dalam filemnya nampak bersegmentasi dan tak bersatu. Persoalan kenapa perempuan itu perlu dibunuh adalah perkara eceran kerana ini filem pendek. Tetapi pelaksanaan ke arah itu menarik, walaupun ada perkara yang kelam-kabut sedikit kerana sekali lagi, pelaksanaan shot buat pemahaman penonton tidak berlaku.

'Filek'* ayam disembelih oleh Sinaganaga
Satu pesanan sosial tentang seram makan ayam. Teknik-teknik-teknik. Semuanya akan hal itu dan tiada lain, kaitkan lagu, imej yang berlaku di skrin dan cantuman manipulasi erti yang dicapai. Pada awalnya ia mendapat 'tempat', tetapi kemudian ia menjadi sedikit leceh walaupun pengertiannya sampai pada akhir filem. Memang kerja main-main. Adegannya sangat tidak sesuai untuk budak-budak berumur 10 ke bawah. Anda mungkin muntah nak makan KFC selepas ini atau terngiang-ngiang lagu itu sewaktu menjamah ayam.
* Filek = Filem pendek.

Akhir kata: tahun depan, Maskara Shorties 2009. Acara ini wajib tahunan! Jangan hentikan menerima pembikin filem amatur sambil menerima kunjungan filem-filem pendek besar pula. Juga sila nyatakan nilai kesesuaian penonton (atau nyatakan rating secara awal) supaya yang membawa anak tidak terasa kantoi menjawab soalan-soalan anak sewaktu tayangan dilakukan.

Antoo Fighter (2008) - CGI tidak menandakan filem anda kool!

First of all, Im gonna miss this:


Pratonton Antoo Fighter malam Halloween



Itulah, banyak sangat tengok DVD cetak rompak
Watak dalam Antoo Fighter.


Dialog di atas sudah merumuskan apa itu Antoo Fighter, sebuah klitch komedi-fantasi yang susah untuk memberi aku kepuasan atas beberapa sebab yang terlalu jelas dalam filem itu.

Antoo Fighter sekurang-kurangnya mempunyai idea segar ‘merokunstruksi tabu Melayu’ serta garis lurus naratif yang betul kalau mahu dibandingkan dengan Cicak Man, tetapi Antoo Fighter dibuat macam kerja budak-budak yang berjiwa besar (pengarah dia sendiri mengaku). Filem ini filem yang patut menggerakkan penonton. Di sinilah kelemahannya, kita rasa ia tidak bergerak.

Aku tak ada masalah dengan filem yang menghiburkan/menggerak, malah aku dah biasa (cth: Aku tak suka Transformers the Movie tetapi aku terhibur, aku tak suka Indiana Jones terbaru tapi aku terhibur, Ultraviolet cheesy tapi aku terhibur). Jadi, jika sang pengarah benar-benar mahu menghiburkan, dia patut belajar teknik suntingan laju, punya kerajinan mengambil shot yang pelbagai sudut untuk menggerakkan cerita dan ‘menggerakkan’ subjek dalam cerita daripada tampak kaku ais dalam paparan gerak plot. Keseluruhan filem ini ditandakan dengan shot-shot dan suntingan yang terlalu kaku, malah sifar kreatif - paparan adegan lokasi secara luas, lalu kamera bergerak ke kiri atau ke kanan menangkap aksi komedi sedang berlaku di hadapan kita. Kadang-kadang, dengan mengejek, kamera sengaja ‘terbiar’ lalu pelakon terpaksa buat pelbagai perkara ‘menarik untuk tarik hati penonton’. Bukan, ini bukan filem Charlie Chaplin. Ini filem 101 Ed Wood, serius! Aku tak tahu pembikin filem kita sudah pandai mengiktiraf Plan 9 From Outer Space! Sumpah! Kau akan terkejut melihat persamaan ‘masterpiece’ Ed Wood itu dengan filem ini. Ada dua buah filem contoh yang boleh dinyatakan jika sang pengarahnya ‘kecoh’ sangat mahu mencari kreativiti segar dalam mengguna pakai bahan filem Hollywood lama (walaupun daripada arwah Ed Wood).

Contoh pertama dari segi teknik dengan bajet yang sangat murah: Bad Taste arahan Peter Jackson. Bad Taste murah, buruk, dan berbajet rendah, tapi ia ada kreativiti tinggi. Peter Jackson menggunakan kamera yang murah untuk memfilemkan filem sulungnya, tetapi sila lihat shot-shot rajin serta masa yang beliau ambil untuk menghasilkan sebuah adegan kumpulan tentera menembak para zombi-makhluk asing. Lihat berapa banyak shot tatapan muka, sudut dari bawah, sudut dari atas, track shot, samping kiri, dan pelbagai lagi untuk menggerakkan adegan yang hanya mengambil 9 saat. Dan Bad Taste belum melalui revolusi CGI seperti sekarang. Contoh kedua dari segi penceritaan walaupun klise (mengitar semula cerita lama) tetapi ada ‘cerita bergerak’ yang menarik: The Monster Squad(1987), filem kegemaran aku sewaktu aku kecil. The Monster Squad mempunyai plot yang seakan-akan serupa dengan Antoo Fighter. Apa yang membezakan filem itu dengan filem ini ialah gaya penceritaan dan bagaimana satu-satu watak mempunyai lengkok cerita walaupun tampak kebudak-budakan.

Contohnya, cerita pertalian budak kecil perempuan bersama Frankenstein Monster pun ada ‘E.T. cuteness’nya walaupun meniru pengolahan pertalian Elliot - E.T. (waktu ledakan E.T., kebanyakan filem Hollywood termasuk Hong Kong tiba-tiba memusatkan cerita seorang budak dengan makhluk yang comel). Kita kenal dan faham bila si budak perempuan melambai-lambai tangannya sambil menangis untuk memegang Frankenstein Monster lalu bila anak patung itu sampai ke Frankenstein Monster, para penonton boleh turut menangis. Satu lengkuk cerita sudah tersimpul.

Di dalam Antoo Fighter, tidak ada satu watak pun yang disimpulkan dengan menarik, walaupun watak utama, Radhi OAG, dengan sifat laju, celaru dan lawaknya (dia berpotensi sebenarnya jika kena gaya dengan pengarah yang baik) yang memikat, tidak terbawa ke mana-mana oleh sebab cerita yang sangat hambar. Inilah masalah Antoo Fighter, sebuah francais yang menarik dari segi cadangan kertasnya tetapi gagal dalam bentuk aplikasinya.

Filem ini mungkin akan mendapat tempat buat kanak-kanak Malaysia yang dahagakan filem CGI/animasi dan pecah panggung kerananya, tetapi buat aku, aku terpaksa mengaku kalau bukan adik aku paksa aku tonton sampai ke akhir, aku sudah keluar 40 minit lebih awal dari panggung. Terima kasih Antoo Fighter kerana merosakkan malam Halloweenku.

30 October 2008

Hadiah Halloween Yang Paling Berharga

Masa Halloween, ada beberapa saja kawan yang berkongsi 'alamiah seram' dengan aku, dan mereka hanyalah kawan-kawan yang dekat, juga ahli keluarga. Aku ingat semasa Azwan bawa aku menonton Cabinet Case of Dr. Caligari dan Nosferatu (genius gila!) di Sobranie, atau bila adik aku bawa menonton The Exorcism of Emily Rose dan bagaimana di Singapura aku pegi menonton tiga filem seram sekali gus dalam satu hari dengan seorang teman.


Kali ni, aku hanya dapat CD. Ya, hadiah daripada seorang kawan karib yang sudah lama tak ketemu, Spiral dari Perth. Aku 'puasa'kan diri aku daripada menontonnya sehinggalah 31 Oktober (atau selepas itu) atau menontonnya di KB nanti memandangkan tak ada wayang di sana (alah, kecoh la korang, aku nak balik aku balik la naik bas). Inilah hadiah daripada seorang kawan yang sejati.

Gegambar Malam Revolusi 48






Malam yang menarik dengan tayangan doku 10 Thn Sebelum Merdeka
sebelumnya dan kemudian filem terbaru Fahmi (yang masih segar dari hard disk komputernya secara literal!). Aku tidak mahu komen panjang-panjang memandangkan filem itu masih dalam 'raw cut' yang belum selesai, tetapi Fahmi masih ada peluang membaikinya lagi.

Turut juga menonton ialah adik aku (yang bengang dengan topik garapan filem tu, hahaha), Lina serta cik Aima berserta kengkawan.

28 October 2008

Tapi Ini Yang Terbit

Aku tak mampu buat filem.
Aku bodoh.
Aku tak ada kamera.
Tapi aku menulis (dasar orang miskin kan?),
dan cerpen aku akan terbit pada hari Maskara Shorties, dalam:


Belilah,
buat aku kaya
walaupun royalti
aku takkan dapat.

17 October 2008

Wajib Tonton Oktober-November 2008

Dua tayangan yang akan aku hadiri :



Revolusi '48, daripada sang pengarah
10 Tahun Sebelum Merdeka,
Isnin, 8.30 pm, Anexxe CM,
http://revolusi48.blogspot.com/



Sabtu, 1 November, Rumah PENA
http://maskara-shorties.blogspot.com/
filem pendek daripada:
Dean Sham, Tok Rimau, Ajami Hashim,
Jhebat, dll.

Akan Datang 2008-2009

Lagi beberapa minggu ke KB. Bermula minggu ini, tayangan filem Malaysia akan masuk ke pawagam sebuah filem setiap minggu (rujuk Sinema Malaysia). Aku bengang sebab aku akan terlepas Histeria, filem komersial terbaru sang pengarah A Beautiful Washing Machine. Jadi mungkin baik saja aku tontoni poster-poster yang cantik buat tayangan akan datang ke Malaysia. Oh ya, Wayang akan masuk pawagam bulan ini!

Beberapa poster filem yang cantik gila:







Filem-filem yang ditunggu-tunggu 2008-2009: Wayang (arahan Dr. Hatta Azad Khan), Jhonny Bikin Filem (akhirnya!), Syirik (daripada sang pengarah Pensil), Histeria, Kinta 1881, Talentime, Jomlah C.I.U.M. (daripada sang pengarah Pensil), Setem (daripada pengarah Cinta, Sepi) dan Taiko (skrip tulisan Pak Hassan Muthalib).

Sila tunggu: WAYANG (13 November 2008)SELAMAT PAGI CINTA (20 November 2008)ANTOO FIGHTER (27 November 2008)LOS & FAUN (4 Disember 2008)CICAKMAN 2: PLANET HITAM (11 Disember 2008)HISTERIA (18 Disember 2008)MAUT (25 Disember 2008)MUALLAF (25 Disember 2008)

15 October 2008

Pratonton "Talentime" Yasmin Ahmad

Ibu bergambar dengan Kak Min

Dari kiri: Sedara, Ibu, Kak Min, adik, ayah (haaa, pada yang nak main
sihir tu tak usahlah penat-penat amik gambar ni, buang masa je buat
kerja kurafat tu!)

Turut serta dalam tontonan ialah pelakon hebat Mislina Mustaffa
(pelakon yang berkuasa dalam Ombak Ini, Bukak Api, Mukhsin)
serta sang pengarah muda berpotensi besar, Azharr Rudin.



Beberapa minggu lagi saya akan berangkat ke Kota Bharu. Apabila Kak Min mendapat tahu saya akan ke sana, beliau cepat-cepat meminta saya menghadiri sebuah tayangan pratonton khas filem terbarunya semalam tengah hari. Selalunya beliau tidak dapat melayan permintaan kawan-kawan yang ingin menghadiri sessi pratonton membawa rakan atau saudara (kerana tempat begitu terhad), tetapi buat pemergian saya, Kak Min meredakan. Ianya sebuah anugerah "farewell" yang besar buat saya. Maka buat itu, saya tidak akan 'membedah siasat' Talentime secara mendalam, walaupun ada pelbagai perkara menarik yang ingin saya nyatakan, biarlah ahli keluarga saya sendiri yang menyatakan pendapat mereka masing-masing selepas menonton filem ini bersama Kak Min. Apa-apa pun, seperti adik saya 'bersyarah' dalam kereta dalam perjalanan balik dari tayangan, "Talentime 'wajib' ditonton buat semua warga Malaysia!"


Pandangan ayah selepas menonton:

"Ada satu babak burung dalam masjid, jika babak masuk burung itu berlaku secara 'coincidental', maka babak itu sendiri jadi penting secara spiritual, semacam Tuhan memberi restu kepada budak yang berdoa tu."

Pandangan ibu selepas menonton:

"Dulu masa mama jadi pengetua, ramai guru yang tak kenal muridnya. Contohnya, ada seorang pelajar perempuan ni yang datang ke sekolah lewat tiap minggu, bila sampai ke kelas pula, dia tidur. Ramai guru komplen, tapi mama kena tahu kenapa pelajar tu begitu, kena tanya dulu sebelum marah atau beri hukuman. Mama sendiri pergi dengan pelajar tu ke rumahnya. Kasihan, duduk di rumah setinggan. Pelajar tu rupanya terpaksa bekerja malam di pasar malam ikut ibunya menjual nasi lemak, dan kadang-kadang kena sendiri jual nasi lemak di pasar malam bila mak dia kena kerja lebih, sebab ayah dia tak pernah di rumah dan selalu main perempuan di luar. Adik-beradiknya pula ramai. Jadi dia kena buat sesuatu supaya adik-beradik dan ibunya ada makan di rumah."

Pandangan adik selepas menonton:

"Kali ni, drama multi nasionalnya menjadi, gambaran budak-budak sekolahnya menjadi, banyak sangat babak-babak yang "kelakar", banyak sangat babak-babak yang "sedih". Talentime buat Shana ialah filem terbaik Yasmin Ahmad. Memang satu tamparan kasih-sayang terbaik daripadanya. Obviously, I'm gonna watch again when it comes out in cinema but with one condition; kena bawak banyak tissues dan duduk terperuk kat hujung seat."

Pandangan saya (heheh, nak mencelah juga rupanya!) selepas menonton:

"Filem Malaysia selalunya mengambil unsur hindustan dalam filem-filemnya, dan kadang-kadang menyadur terus. Dalam Talentime, Yasmin Ahmad menyatakan cara yang paling betul menyatukan hindustan dalam sebuah filem Malaysia, sambil menghormati ciri-ciri filem hindustan pada tempatnya yang betul. Ini ialah penghormatan Yasmin Ahmad kepada filem hindustan dan matan pembikin filem Malaysia."

"Jikalau dalam Sepet, kita jatuh cinta dengan Jason, dalam Mukhsin kita jatuh cinta dengan Mukhsin. Dalam Talentime, bersedialah anda untuk jatuh cinta dengan Mahesh."