Showing posts with label John Woo. Show all posts
Showing posts with label John Woo. Show all posts

11 December 2008

Perca-perca Filem Disember 2008

Los dan Faun (2008)

Suatu perkara yang aku respek kepada Afdlin, dan banyak kali aku sebut selepas menonton filem-filemnya, Afdlin tidak takut untuk mencuba, dan filem-filem Afdlin jauh meninggalkan kebanyakan mentaliti stereotaip filem-filem komedi kita (kecuali filem komedi Mamat Khalid). Kali ini, Los (lakonan baik Hans Isaac) dan Faun (lakonan monumental lawak Adlin Ramli) menceritakan tentang dua sahabat dari Melaka yang datang untuk menumpahkan peluh dan otak mereka untuk sesuap nasi - dengan cara yang begitu gila-gila, iaitu membina satu syarikat "cari barang". Filem ini bergerak dari masa Erra Fazira yang baru kehilangan suami (Afdlin) ingin mencari sebuah barang yang hilang. Agak mengejutkan, pertama kalinya melihat sebuah filem yang gila-gila tetapi tetap "betul" dengan penataan noirnya atau lebih penting, genre detektifnya. Malah simpul demi simpul yang dicipta berjaya disampaikan dengan satu pengkahiran yang baik lantas menyampai maksud, juga tidak memperlekehkan kebiasaan genre ini. Satu perkara yang aku sedar mengapa Afdlin lain daripada pengarah komedi lain dalam hal ini ialah, Afdlin pun berani melempar "tangen" ceritanya ke mana-mana, tetapi ia masih dalam sarwajagat "logik" ceritanya, tidak mempermainkan intelektual penonton dan malah berguna buat fungsi watak dan plot. Ini memberi contoh bahawa hasil kerja Afdlin ini "rajin", ia cuba mencari simpang-siur yang benar dan terkongkong betul dengan persekitaran "benar" filemnya. Malah, ia banyak melepaskan efek-efek yang sungguh kelakar disamping pandai. Malah, mesej sosial yang disampaikan sebenarnya berat (dunia bandar KL ialah dunia penipuan dan rambang kerana kuasa material) dengan kekeliruan budaya yang kronik di KL. Tetapi mata Afdlin melihat semua ini dengan amat optimis sekali (malah, sangat pasifis), malah memperlakukannya dengan intim dan mencuit tanpa menolak tujuan moral sosial yang ingin disampaikan. Di sini kelicikan Afdlin bermain dengan situasi bandar yang selalu "dipergunakan" untuk wang (kerja Los dan Faun) tetapi kita memahami tugas Los dan Faun jujur, bersih (walaupun Los punya sikap manipulatif berbanding lurus benar dan tajam Faun). Maka Los (hilang) dan Faun (jumpa) sebenarnya pencarian apa yang sudah hilang dan terjumpa di Malaysia, khususnya KL. Ya, terdapat sedikit sisi negatif apabila kampung diibaratkan "suci" (simbol ayah ibu Faun), satu stereotaip biasa dibanding dengan apa yang boleh KL lakukan terhadap seorang dari kampung (Erra Fazira, dan mungkin Los atau Faun). Tetapi undang-undang "kota-kampung" inilah yang dimainkan oleh Afdlin dengan sekilas kali dan efektif, memaparkan bagaimana benar filem ini kepada genrenya (penyiasatan) dan benar kepada bentuk farsa kompleksiti dan kekeliruan sosial yang dicipta KL tanpa benar-benar menyalahkannya. Kini, Afdlin tidak sepatutnya duduk di Malaysia, tetapi punya kuasa tenaga luar atau mungkin saja berpindah ke Hollywood. Kerana ini ditunjukkan dalam filem ini bila idea, cerita dan konsep yang dijaga oleh Afdlin berjaya mengatasi sinematografi dan suntingan yang agak hambar, ini adalah kerana "rangup"nya wit dan kuasa faham Afdlint terhadap teks dan cerita yang mahu disampaikannya, sebuah filem bertih jagung yang menghiburkan, seronok dan tidak memperlekeh intelektual penonton. (Ps: Ya, aku ulas sebuah filem Melayu kerana filem ini mengecualikan emosional aku, kerana ia begitu bagus untuk ditonton).

The Day The Earth Stood Still (2008)

Kali ini, untuk membikin "remake" tentang sebuah filem yang pernah "menggegar" para penonton dengan mesej anti-nuklearnya, para produser sudah tahu jika mereka ingin mengambil seorang pelakon buat Klaatu, mereka perlukan seorang "makhluk asing", dan mereka tidak perlu pergi jauh dengan mengambil Keanu Reeves buat itu. Buat filem asal, seorang pelakon tidak terkenal bertutur Inggeris keras telah diambil (untuk (1) bertutur Inggeris Inggeris ialah tanggapan "Tamadun serta Budaya Tinggi" buat para produser Hollywood masa itu, dan (2) orang Amerika selalu memandang cara bahasa Inggeris Inggeris sebagai "pelik"). Keanu Reeves mengalahkan David Bowie buat hal ini (ataupun Micheal Jackson) kerana sekurang-kurangnya Reeves "masih relevan" dan Reeves "pelik tapi seksi". Tipikal abad ke-21. Filem ini pun ingin menyampaikan sentimen "mesej sebelum kiamat" yang disampaikan oleh filem Robert Wise yang asal itu tetapi dengan kesesuaian abad sekarang, dengan mesej Al Gore yang berhibrid saintologi di sini dan satu cebisan anti polisi ketenteraan Bush yang disengajakan (menjadikan filem ini mungkin filem Obama yang pertama sewaktu masuk ke Rumah Putih). Banyak perkara yang dibuang, seperti menjadikan Klaatu alegori Christ dengan memindahkannya sebagai "malaikat" yang boleh dikaitkan dengan mana-mana agama dunia (idea New Age Religion). Pengikut "kipas mati" filem yang asal akan mengamuk kerana dua perkara: ketiadaan runut bunyi gergasi Bernard Herrmann yang digantikan dengan gaya runut bunyi atmosferaik abad ke-21, dan ketiadaan ungkapan "Klaatu barada nikto". Beberapa perkara dinaik taraf dan diberikan suatu kenyataan yang baik (bagaimana Klaatu tercipta seperti manusia, aksi-aksi Gort lebih menakutkan dan tidak kelihatan bodoh seperti filem asal). Separuh daripadanya berjaya, separuh daripadanya tersimpul dalam kesofistikatednya sendiri (jika Klaatu sudah memahami tentang teori evolusi, kenapa ia tidak mempercayai adanya kehidupan dalam kemusnahan?). Persoalannya bagus, malah banyak babak-babak yang disengajakan "bergerak" dengan momentum "apa akan berlaku", lebih-lebih lagi dengan konflik Kathy Bates yang mewakili "kuasa Presiden" dengan Jennifer Connely, seorang wanita penuh empati dan memahami. Pengakhiran "dia sudah pergi" satu pengakhiran bagus, berkemanusiaan dalam memahami apa yang kita tidak faham, tetapi masih jauh mencapai kekuatan "dunia berdiri tegak untuk seketika" yang asal dalam melemparkan ideanya untuk manusia berubah. Beberapa babak awal mengambil idea Close Encounter of the Third Kind, seperti ID4.


Boy Eats Girl (2005)

Filem ini mungkin terkenal kerana puteri pop Samantha Mumba berlakon di dalam filem zombi-seram-komedi ini. Ya, ia sebuah filem laju, bertih jagung dan bergerak, ya ia mengarut, beberapa babak tidak logik (dibuat atas kerana aksi dan efek dan langsung menolak ilmu fizik) dengan seorang watak pascaJames Dean yang diberi peluang kedua untuk melepaskan cinta (dan nafsu syahwatnya) serta mempunyai kecerdasan minda otak remaja untuk menyukainya. Tapi bodoh-bodoh filem ini, ada “cuteness” di dalamnya yang kita boleh ikuti, lagi-lagi bila semua orang dalam filem ini cantik-cantik belaka (dan mati dengan darah yang merah – lagi cantik), walaupun kita sudah tahu yang mana akan mati dahulu dan mati kemudian. Sebuah babak cuba melawan “grisly bloodDead Alive(1992) tapi hanya dapat capai “tandsunya ilmu gore kamu”. Lakonan tipikal remaja yang tidak bercita-cita tinggi, para dewasa yang bodoh, dan dunia penuh zombi – seronok bagaimana lagi yang anda mahukan?


Flowers of Flesh and Blood (1985)

Masalah dengan aku ialah aku suka dengan filem-filem loya (sick). Eksplotasi ialah subgenre yang paling senang bermain dengan filem-filem sebegini, dan, ehem, aku terkejut bagaimana filem tanpa plot ini berjaya melahirkan imej-imej darah yang begitu cantik, melangkau kefahaman erti pemangsa-mangsa lalu menampilkan idea-idea pembunuh-mangsa yang begitu (meloyakan) intim dengan seksa, keperluan reprokasi antara pembunuh-mangsa mencipta "seni" dan bondage yang begitu mengikut nahu S & Mnya (kalau korang sampai sekarang tak faham, jangan dekat dengan aku malam-malam dan tanya soalan ini bila aku pegang tali dan topeng). Ceritanya semacam gaya biasa penggunaan kamera video bergerak di mana seorang wanita kota dijejaki oleh seorang lelaki lalu sampai di taman permainan, dipukul sehingga pengsan, lalu lelaki itu ikat perempuan itu di atas sebuah meja, menyuntiknya dengan dadah dan sedikit demi sedikit memotong perempuan itu dengan ghairahnya (di sini bahagian yang paling ditunggu-tunggu). Persoalan: untuk apa si pembunuh membunuh? Soalan sebegini disengajakan tidak berjawab (seperti soalan, mengapa manusia berperang). Ini ialah soalan-soalan tidak rasional, memasuki jiwa dan isi hati manusia pada masa dan tahap yang paling gelap. Filem ini memaparkan “bagaimana” dan bukan “mengapa”. Bagaimana ini disampaikan untuk mencipta "seni" semahu-mahunya (semahu-mahunya kita sebagai penonton pun ber"salah" kerana mengkagumi seni ini - persoalan pembunuhan sudah hilang nilai moralnya). Ketenangan dalam kejam, puisi seksa yang meloyakan berjaya dipaparkan dengan benar oleh sebab kualiti videonya.


rujuk:http://www.kfccinema.com/reviews/horror/guineapigflower/guineapigflower.html


To Kill A Mockingbird (1962)


Novel Harper Lee (di mana filem ini diadaptasi) ini ialah novel di mana, tidak ada kesalahan langsung dari segi persembahan, bahasa, persekitaran, psikologi dan perubahan plot. Malah novel sepertinya dikatakan "bersesuaian", maka ianya memang antara novel paling makmur dan diiktiraf sebagai sastera klasik moden. Filemnya pun begitu, "sesuai" dalam apa-apa bentuk baik runut bunyi, suara, penggambaran, latar seni dan watak-wataknya. Semuanya "berada di tempatnya", malah ia agak memeranjatkan untuk melihat sebuah filem yang begitu sempurna pada 60-an (filem ini diterbitkan oleh Alan J. Pakula). Untuk menaikkan kesempurnaan ini, Gregory Peck (manusia separa santun dan Superman itu) diambil sebagai watak "Hero Amerika no.1", Atticus Finch - filem ini menjadi satu mitos buat Amerika. Filem ini mengikut dengan kesesuaian yang baik terhadap novel Harper Lee, memotong beberapa babak yang tidak berkenaan dan mempercepatkan plot di mana di dalam novelnya kelihatan "mengambil masa untuk bercerita" - ini ialah keutamaan fungsi filem yang diadaptasi daripada novel: imej dan suntingannya sepatutnya sudah menghantar "idea" daripada empat atau lima halaman novel. Dan banyak perkara ini berlaku dalam filem ini. Filemnya (serta novelnya) masih relevan, sebagai penanda sejarah, juga perluasan permintaan politik terhadap diskriminasi perkauman apabila seorang lelaki kulit hitam dituduh merogol seorang wanita kulit putih yang tinggal di desa, lalu Atticus Finch, sebagai peguam yang "bersih" perlu mengambil kes ini untuk mengubah perspektif pekannya terhadap golongan orang kulit hitam pada zaman itu. Adunan filem ini disusun kemas pada awal sehingga akhir, malah subplot Boo Radley telah disertakan dengan cantik dan menjadi fungsi plot yang kuat (antara kesesuaian yang sempurna dibuat oleh Harper Lee). Perkara yang membuat filem ini paling diingati adalah bagaimana filem ini berjaya menyampaikan cerita ini daripada kaca mata "budak-budak" melihat kebaikan/kebobrokan kerenah hidup orang dewasa (seperti dalam novel) tetapi masih menyisih daripada menghakiminya. Sebuah filem perbicaraan tentang kemanusiaan yang berjaya.



Burn After Reading (2008)

Adik-beradik Coen sangat pelik. Filem ini tergolong dalam filem "suka untuk dibenci dan benci untuk suka" kerana membawa masuk dua genre yang tidak senang duduk bersama iaitu genre perisik (sebenarnya lebih kepada "tukang sibuk") dan farsa seks (sex farce). Ini ditambah dengan penglibatan anti-moral Coen (yang baik tak semestinya menang, dan si syaitan selalunya bebas untuk melakukan kerosakan) di mana yang salah tidak dihukum dan yang tak bersalah akan mati (opsss, aku dah bagitahu spoiler). Pun begitu, ada kekuatan dalam filem ini apabila ia diberi kuasa terbuka "lantaklah kau nak buat macam mana" terhadap empat watak utama dalam filem ini yang juga merupakan pelakon terkenal Hollywood (John Malkovich, George Clooney, Frances McDormand dan Brad Pitt). Sebenarnya fungsi genre perisik filem ini ialah untuk menggerakkan plot cerita (yang sebenarnya boleh dikatakan tidak ada jika para wataknya tidak meletakkan diri dalam keadaan yang agak "bodoh" itu) sedangkan roh sebenar filem ini adalah tentang perhubungan bersilang-silang yang intim, kompleks dan manusia antara empat watak utama itu berserta watak sampingan yang berhubung dengan mereka. Malah, farsa seks itu kelihatan lebih menampilkan corak dan warna watak-wataknya. Intrig ini mempunyai kekuatannya, kekompleksiti dalam manusia memahami perhubungan sama dengan kekompleksiti manusia memahami bagaimana sesebuah kerajaan berfungsi - di sini filem ini melepaskan persoalannya. Walaupun mungkin adik-beradik Coen menidakkan sentimen politik filem ini terhadap urusan perisikan Bush, klimaks filem ini mencadangkan begitu: kebodohan di atas tidak dapat menyelesaikan kebodohan di bawah, serta pandangan negatif adik-beradik Coen terhadap penggunaan CIA membenteras pengganas di dalam negara. Semua pelakon melakukan yang terbaik, malah Brad Pitt memeranjatkan sebagai seorang yang tulu bendul. Frances McDormand sangat mencuit hati dalam masalah keperempuanannya.


Hard Target (1993)




Aku tonton ni sewaktu berada dalam hotel di Kuala Terengganu (yang separa nak roboh tapi digelar antarabangsa) bersama dengan kawan bilik yang busuk bila berada dalam tandas. OK, ceritanya ialah aku suka filem aksi ni! Satu contoh sebuah filem bertih jagung yang mengikut konvensi Hollywood dengan kesemua sentuhan John Woo yang ala-ala shot-shot imej bentuk fizikal macam terbang dan lagak gerak perlahan (aku rasa Tarantino menyukai filem ini) berserta burung merpati/puyuh putihnya yang tiba-tiba masuk skrin. Konvensi dikatakan kerana hero dalam filem ini macho dan serba kelakian manakala penjahat dalam filem ini (lakonan baik pertama Arnold Vosloo dalam francais The Mummy itu) dipaparkan jahat yang amat, malah telah mengikut kebiasaan pameran penjahat dalam filem noir/aksi/seram 40-an Hollywood di mana jika anda baca betul-betul dialog yang diutarakan oleh watak Vosloo dan Lance Henriksen, anda akan tersedar "keintiman" mereka yang homoerotik! (ini kebiasaan buat filem-filem aksi Hollywood sehingga 80-an). Van Damme menunjukkan bahawa pelakon Eropah pascaSchwazenegger yang tak boleh bertutur elok dalam Inggeris Amerika juga boleh muncul dalam sebuah filem Amerika (malah, buat aku, aksi ngeri Van Damme di dalam filem ini sangat memuaskan, malah menjadi tandatangan kenapa filem ini mesti ditonton - walaupun persamaannya dengan filem-filem "idol worshipping of action heores" Hindustan era 80-an sangat sama). Van Damme mengambil tipikal watak "Lelaki tanpa nama" Clint Eastwood (di sini dia ada nama, hanya, seperti Mad Max, dia tidak mahu jadi hero - the reluctant hero) yang tiba-tiba dibawa masuk dalam ranjang mainan jahat orang-orang yang memburu manusia (mantan askar Vietnam selalunya) untuk keseronokan para jutawan antarabangsa. Filem ini menarik dalam beberapa perkara, secara halus, filem pra11 September ini memaparkan bagaimana pengganas boleh membolos ke dalam Amerika atas nama "Syarikat Antarabangsa", kedua, keganasan itu satu makanan yang perlu dalam menegakkan keadilan (kenapa kita perlu perang), dan ketiga, Amerika ialah negara yang lebih kompleks daripada yang kita tahu dan lihat. Ya, filem ini secara prasedar memaparkan pelbagai intim dan kekuatan imej yang "terpendam" menolak Impian Amerika. Van Damme adalah antara "saksi" yang melihat imej-imej terpendam itu (dan cara untuk mengatasinya). Malah keterasingan Van Damme menyebabkan dia sangat peka akan kekotoran dunia gelap kapitalis Amerika (simbol yang dibawa oleh syarikat yang menjalankan permainan pemburu itu), dan cara pembersihannya hanyalah dengan tangannya sendiri. John Woo banyak melemparkan tandatangannya, paling aku fahami ialah permainan John Woo dalam burung merpati. Sebelum ini, kita tidak akan memahami apa signifikan burung dalam filem-filem John Woo. Aku dapati rupanya burung ialah "mata" atau wakil John Woo dalam filem-filemnya, malah di dalam filem ini, burung/John Woo menjadi semacam deus ex machina terhadap plot, malah memberi "restu" kepada Van Damme (ada sebuah babak yang kita fahamkan, orang jahat menembak burung, satu simbol yang begitu tampak menyatakan sifat "hitam" orang jahat). Kini, kalau simbol burung ini di bawa dalam filem John Woo dalam Red Cliff, kita memahami bahawa burung/John Woo ialah "sang penglihat semua", sang strategis yang perlu melihat padang besar yang diciptanya. Burung dipilih kerana kecantikannya - John Woo mengatakan dia mencipta "cantik", estetika/seni dalam aksi dan babak-babak lawannya. Ini diperlihatkan lagi dengan momokan John Woo (atau sebenarnya penghormatan) kepada teater lama, Papier-mâché, dan warna-warna karnival pada latar babak klimaks filem ini: seni yang dicipta oleh John Woo juga berwarna-warna dan menghiburkan. Ini semacam 101 John Woo. Hard Target sebenarnya sebuah filem aksi bertaraf "gem" yang seharusnya dilintas oleh para penggemar filem aksi. Di sini, warnanya berbagai dalam keganasan, kesan debar, seni aksi dan plot yang begitu bergerak serta sangat menghiburkan sehingga ke akhir filem. Filem ini juga pernah dinominasi sebagai filem seram terbaik di Saturn Awards!

27 July 2008

Red Cliff(2008) Laju, Seronok, Tak Puas



Sebelum aku mula, aku nak beritahu dua buah filem yang menarik untuk diperkatakan:

X-Files: I Want To Believe – Sepupu aku, Safiah dari London telah memberi satu kesimpulan yang terbaik selepas menonton filem ini bersama aku, adik aku dan kakaknya: Engaging from start to the end, but just like a bible, full of thoughts but no concrete conclusion. Buat aku, aku suka tengok Dana Scully (sekarang doktor), aku suka tengok Fox Mulder. Aku suka tengok Scully dan Mulder bercium (fantasi!). Serius, filem kali ini sebuah filem romantik yang mementingkan dinamisme dan drama dalam interaksi pakwe-makwe (dulu bukan main sipu-sipu) dua teraju utama, dan oh ya, ada si botak Skinner! Memang khas untuk para peminat yang boleh memaafkan Chris Carter kerana memberi sebuah episod yang tersangatlah panjang dalam sebuah cerita yang sungguh senang (dan, emm, sedikit bodoh), penuh intrig, drama yang menjurus ke arah soapy, tapi memang menyeronokkan melihat dua pelakon yang sudah lama tidak ditonton bercakap dalam jargon nerd mereka tapi tetap boleh tampak cool dan seksi.

Kuntilanak 3 – Sebuah porno seram/slasher di tengah hutan kerana mengumpulkan sekumpulan manusia cantik (tapi bodoh) pergi camping dan kemudiannya membunuh mereka satu per satu (yang paling macho, kacak, jantan, feminis dan nampak pandai mati dulu, dan baru yang jambu dan kemudiannya yang emosi tak betul) dengan pelbagai aksi BDSM yang boleh dibayangkan oleh seorang suri rumah bosan dengan senjata suami yang tumpul tiga inci. Aku serius, ia sebegitu seram. Point terbaik: kuda dikejar kanak-kanak yang tiba-tiba dimakan oleh kuntilanak, bayi dalam lembu (oooohhhh, love this part!), nenek dalam pondok rupa-rupanya lesbian tua yang dahagakan darah sunti- menjilat jari, oh silap, pipi. Aku suka akhirnya. Julie Estelle tetap rock!

Red Cliff – fuh, baru sampai ke sini. Ini sahaja filem yang baru ditonton di pawagam yang ‘worth writing this long’

OK, fakta: Dalam studio perfileman dunia, hanya tiga buah studio/negara filem sahaja yang berjaya mencipta epik-epik yang seru: Hollywood, Rusia dan China-Hong Kong (Korea baru nak naik, Jepun, emmm memang ada yang bagus tapi belum ada yang se’ambitious’ China-Hong Kong seperti The Emperor & The Assassin, dan Hindustan, pernah cuba Asoka? Ughhh!). Aku dah banyak menonton filem epik Cina (ya, aku minat gila filem-filem perang mereka), dan aku boleh bersetuju, John Woo berjaya membawa satu kenikmatan dalam sebuah filem epik yang pernah difilemkan beberapa peristiwanya oleh Shaw Brothers beberapa kali (walaupun baru bahagian pertama yang telah menyebabkan ramai penonton bengang dan mahukan lagi daripada durasi dua jam filem ini). Filem ini berdasarkan sejarah pertelingkahan Cao Cao pada zaman Tiga Kerajaan terhadap manusia-manusia yang cuba menahan pembuakan kuasanya. Sejarah ini dikitabkan dalam sebuah buku bernama Romance of The Three Kingdom, antara tujuh buah buku ‘hikayat’ terunggul Cina. Romance of The Three Kingdom dikatakan elok untuk orang muda yang mahu berfikiran ‘tua’ dengan plot strategi dan muslihat demi muslihat sedangkan Water Margin elok untuk orang tua yang mahu berfikiran muda dengan minuman todi dan pelbagai hal-hal perbuatan semangat perwira muda. Aku juga pernah bermain permainan stimulasi komputer Koei yang memang ‘cuba’ menajamkan pemikiran untuk bertindak dengan betul.

Dalam hikayat terkenal ini, aku suka benar dengan watak Cao Cao (di dalam filem ini, dan juga hikayatnya, digambarkan sebagai seorang jeneral yang kejam dan boleh dikatakan antagonis cerita), dan di dalam filem ini, dimainkan dengan baik sekali oleh Zhang Fengyi, antara pelakon terbaik China dan pelakon China kegemaranku (tonton Farewell My Concubine untuk menonton kehebatannya). Cao Cao dalam gambaran John Woo sungguh manusia; walaupun kejam, Cao Cao masih manusia (walaupun sangat bergeliga) dan bergerak dengan intuisi dan nafsu manusia, bukan bersikap kedewaan. Penggayaan ini penting dalam melakarkan tiada baik dan jahat yang sebenar dalam coretan sejarah cerita ini (walaupun askar Han bawah naungan Cao Cao memakai warna hitam), hanya dua buah pihak yang mempuyai peluang, dan berdasarkan faktor serta kekuatan, melihat bagaimana peluang ini dipergunakan dengan sebaiknya untuk menentukan kemenangan- di sinilah John Woo berjaya mengangkat kebenaran roh Romance of the Three Kingdom.

John Woo bercerita tanpa memeningkan kepala penonton (ada beberapa epik yang disengaja kompleksitinya seperti War & Peace versi Rusia atau Heaven's Gate) kerana tahu, lanskap, manusia yang mengisinya,watak-watak bulat yang memberi peranan penting, kompleksiti rancangan perang perlu dikawal dengan baik dan segala kemungkinan ini perlu dilihat seakan-akan seeokor burung dari atas langit yang melihat tajam akan setiap babak manusia yang sedang dan akan berlaku serta penyusunan sebab akibat yang mengasyikkan. Lihat sahaja babak simbolisme merpati – helang yang digunakan dalam filem ini dan bandingkan dengan penggayaan keterlaluan helang Oliver Stone untuk Alexander. Ia lebih alamiah, terikat dengan cerita dan peranan serta mengikat antisipasi penonton dan terikat cantik dengan babak yang dilanskapkan. Ini praktikaliti John Woo.

Memang dikatakan filem ini melanggar beberapa fakta sejarah- filem epik yang mana tidak. Ini wajar kerana susunan drama dan intrig yang diperlukan dengan alunan, seperti satu okestra besar, disusun dengan teliti supaya ia dapat menarik perhatian dan emosi penonton, dan menarik ia berjaya. Ada beberapa babak awal menggambarkan ia semacam sebuah filem separa Hallmark-Disney (John Woo semacam tidak hilang gaya lamanya) dengan sentuhan arahan Hollywood (laju dan kemas, hilang kelembapan dan grand feel yang biasa dalam filem epik Cina, dan dengan lebih baik, meninggalkan over the top artistik Zhang Yimou), dan sedikit gusar dengan dialog separa Sembilu (ada sedikit pada awalnya) serta efek bunyi yang mengarut (sewaktu burung hinggap ke tangan Maharaja Han), tetapi semua ini hilang kerosakannya dengan cita-cita tinggi serta suara manusia yang dilukiskan sebaik mungkin dalam sebuah drama manusia yang sangat besar kanvasnya. Malah mengejutkan, John Woo melawan konvensi dengan menambah beberapa ‘light moments’ dengan wit Cinanya (selalu berlaku antara dialog ‘scheming’ Takeshi Kaneshiro yang hebat dengan Tony Leung yang cool). John Woo juga mengejutkan kerana memaparkan, walapun ekonomi dan komersial, beberapa punggahan emosi yang semanusia mungkin yang diluahkan oleh watak-watak ksateria dan jeneral terutamanya di bawah Liu Bei dan Zhou Yu, memaparkan watak-watak kependekaran yang tinggi dan beradab, penuh semangat keperwiraan yang kita dengar hanya wujud sebelum perang dunia pertama, bila perjuangan itu benar-benar datang dari jiwa yang murni dan semangat yang lurus (L Grande Illusion memaparkan kepupusan semangat keperwiraan ini). Semangat ini berjaya diangkat oleh John Woo. Heck, aku rasa nak belajar bersilat selepas menonton filem ini!

Apa yang menarik ialah, teknik fast cut dan tiba-tiba kamera mengfokus terhadap wajah denga zoom laju. Walaupun kita akan merasa janggal (gaya yang sangat 70-an dan banyak digunakan oleh filem-filem perang dan kung fu Shaw Brothers) pada mulanya, tetapi kita akan sedar, teknik ‘laju dan menangkap ikon watak’ ini wajar kerana memperlihatkan pada setiap mis en scene, berlakunya satu ‘muslihat’ yang sengaja tidak mahu dirungkaikan untuk menjaga anitisipasi penonton tetapi bila ia dipaparkan, dipaparkan dengan membuat mata-mata penonton terus kagum dan terkejut dan ya, menepuk tangan (ya, agak ‘murahan’, tapi gaya keep and sustain then surprise ala sarkas magik John Woo sangat menjadi). Lihat sahaja babak ‘perisai berkilau’ sewaktu wajah-wajah jeneral dua pihak berlawan mahu dekat bertempur, lalu wajah-wajah jeneral difokus, lalu tiba-tiba perisai dipusing lalu silauan emas berlaku. Semua penonton di dalam wayang terus terlopong dan ada yang menjerit kesukaan- taktik yang sejuta kali lebih baik daripada aksi berefek CGI melampau seperti dalam The Mummy. Terima kasih kerana ini, stunt manusia dan kepandaian suntingan masih ‘mahal’ sebagai teknik bermain dengan keterujaan penonton abad ke-21.

Ini ditambah dengan aksi kareografi ‘one man combat’ yang sangat lunak dan sebaik mana-mana filem kung fu (untuk memaparkan kehebatan satu-satu perwira) Hong Kong, walaupun sedikit eskapis. Runut bunyi filem ini pula, walaupun difusi dengan Jepun (pembikinnya seorang Jepun) telah berjaya melatarkan filem ini dengan satu mutu keunggulan epikal yang tinggi dan sebaik Lord of the Rings.

Kesemua para pelakon menjayakan filem ini dengan baik. Aku suka watak Takeshi Kaneshiro yang ‘smart’ dalam tutur katanya, mengalahkan mana-mana Cicero di dunia ini dengan kata-kata retoriknya. Dan pelakon baharu itu yang berlakon sebagai puteri Kerajaan Wu, aduh, boleh saja mengalahkan kepetahan Zhang Zi Yi dengan lunak kelantangannya. Oh, ada sebuah babak dipotong- babak seks yang digembar-gemburkan mainan Tony Leung (kalau dia tak main, tak sah kan? Basi dah sebenarnya ...) dengan isterinya yang ingin dimiliki oleh Cao Cao (ohhh, dah rasa macam Troy lah pula).

John Woo mengembalikan kepastian bahawa Hong Kong-China masih relevan dalam dunia pembikinan filem-filem besar, tetapi menambah satu lagi kepastian – ia dibuat dengan keseronokan hiburan dan sifar kebosanan tapi masih terjaga falsafah roh ceritanya serta kemanusiaannya.