
Micheal Crichton buatku ialah perujuk utama dalam filem, dan sudah tentu dalam dunia fiksyen sains. Antara kebanyakan pengarah filem yang aku sayangi, Micheal Crichton terletak antara yang aku letak dalam bulatan yang aku sentiasa rujuk. Kedatangan Crichton terhadap perubahan dunia Hollywood memang relevan, waktu wujudnya filem "blockbuster" atau filem "musim panas" dan filem-filem yang memberi tempat supaya cerita-cerita baru berefek memasuki pembikinan filem. Crichton lain daripada Spielberg. Kalau Spielberg membawa tandatangan "common man", surburbia yang hidup (realiti dalam sebuah rumah, tanpa perlu menaikkan tekanan dramanya), dan kemanusiaan/kehidupan dalam efek khasnya (E.T., Close Encounters, Jaws), Crichton membawa atau meneruskan polemiknya dan bencinya terhadap teknologi maju, teknologi sejuk, tiada kemanusiaan dan superfisial (Andromeda Strain, Westworld).
Manusia dipaksa berlari mengejar waktu kerana teknologi, kerana teknologi mengejarnya, membunuhnya (Andromeda Strain, Westworld, Runaway, Looker, The Terminal Man, Jurassic Park, Sphere). Coma merupakan filem ngeri yang terbaik pada 70-an, tidak ramai yang tahu, diarah oleh Crichton diadaptasi daripada novel perubatan-ngeri Robin Cook. Semuanya merupakan/menyampaikan elemen tinggi Crichton: pelarian, teknologi yang mengurangkan jiwa kemanusiaan, kegelapan teknologi atas sebab manusia jua serta pelarian di antara koridor, satu elemen neo-tekno yang akan diikuti sehingga sekarang (termasuk Minority Report). Malah, beberapa filem kejar-mengejar dan penyiasatan menemui teknologi jahanam (techno terror) ini merujuk Coma. Baik Disturbing Behaviour, The Island , Virtuosity atau Minority Report. Tetapi Crichton sudah melakukannya dengan baik sekali. Semua orang akan teringat bagaimana tali-tali halus yang menggantung manusia (kebergantungan manusia kepada teknologi) itu bergerak sewaktu protagonis melarikan diri daripada penjahat, sebegitu perasaan "di benang halus" yang berjaya Crichton sampaikan - risiko menyetujui teknologi seperti membawa manusia melalui jurang luas yang perlu kita seimbang di atas seutas benang halus.
Dunia Crichton sudah banyak mengubah aku, baik tempo dan gaya lajunya dalam filem-filem anti sainsnya. Juga novel-nolvenya yang banyak memaparkan fakta kebenaran di atas muka kemanusiaan. Crichton juga banyak memberi pencerahan akan idea-idea sains terkini, ideanya diperlukan buat polemik memastikan sains dijaga dengan suburnya (cth: arwah menolak idea makhluk asing). Malah Crichton menyayangi Malaysia, dua kali arwah pernah menulisnya, satu dalam buku pengembaraannya, Travels, dan kedua di dalam novel ngeri-ekologi, State of Fear.
Ini adalah salam takziah buat seorang penulis/pengarah filem yang memberi kita sesuatu untuk diingati.