Showing posts with label Azizi Adnan. Show all posts
Showing posts with label Azizi Adnan. Show all posts

03 November 2008

Antoo Fighter (2008) - CGI tidak menandakan filem anda kool!

First of all, Im gonna miss this:


Pratonton Antoo Fighter malam Halloween



Itulah, banyak sangat tengok DVD cetak rompak
Watak dalam Antoo Fighter.


Dialog di atas sudah merumuskan apa itu Antoo Fighter, sebuah klitch komedi-fantasi yang susah untuk memberi aku kepuasan atas beberapa sebab yang terlalu jelas dalam filem itu.

Antoo Fighter sekurang-kurangnya mempunyai idea segar ‘merokunstruksi tabu Melayu’ serta garis lurus naratif yang betul kalau mahu dibandingkan dengan Cicak Man, tetapi Antoo Fighter dibuat macam kerja budak-budak yang berjiwa besar (pengarah dia sendiri mengaku). Filem ini filem yang patut menggerakkan penonton. Di sinilah kelemahannya, kita rasa ia tidak bergerak.

Aku tak ada masalah dengan filem yang menghiburkan/menggerak, malah aku dah biasa (cth: Aku tak suka Transformers the Movie tetapi aku terhibur, aku tak suka Indiana Jones terbaru tapi aku terhibur, Ultraviolet cheesy tapi aku terhibur). Jadi, jika sang pengarah benar-benar mahu menghiburkan, dia patut belajar teknik suntingan laju, punya kerajinan mengambil shot yang pelbagai sudut untuk menggerakkan cerita dan ‘menggerakkan’ subjek dalam cerita daripada tampak kaku ais dalam paparan gerak plot. Keseluruhan filem ini ditandakan dengan shot-shot dan suntingan yang terlalu kaku, malah sifar kreatif - paparan adegan lokasi secara luas, lalu kamera bergerak ke kiri atau ke kanan menangkap aksi komedi sedang berlaku di hadapan kita. Kadang-kadang, dengan mengejek, kamera sengaja ‘terbiar’ lalu pelakon terpaksa buat pelbagai perkara ‘menarik untuk tarik hati penonton’. Bukan, ini bukan filem Charlie Chaplin. Ini filem 101 Ed Wood, serius! Aku tak tahu pembikin filem kita sudah pandai mengiktiraf Plan 9 From Outer Space! Sumpah! Kau akan terkejut melihat persamaan ‘masterpiece’ Ed Wood itu dengan filem ini. Ada dua buah filem contoh yang boleh dinyatakan jika sang pengarahnya ‘kecoh’ sangat mahu mencari kreativiti segar dalam mengguna pakai bahan filem Hollywood lama (walaupun daripada arwah Ed Wood).

Contoh pertama dari segi teknik dengan bajet yang sangat murah: Bad Taste arahan Peter Jackson. Bad Taste murah, buruk, dan berbajet rendah, tapi ia ada kreativiti tinggi. Peter Jackson menggunakan kamera yang murah untuk memfilemkan filem sulungnya, tetapi sila lihat shot-shot rajin serta masa yang beliau ambil untuk menghasilkan sebuah adegan kumpulan tentera menembak para zombi-makhluk asing. Lihat berapa banyak shot tatapan muka, sudut dari bawah, sudut dari atas, track shot, samping kiri, dan pelbagai lagi untuk menggerakkan adegan yang hanya mengambil 9 saat. Dan Bad Taste belum melalui revolusi CGI seperti sekarang. Contoh kedua dari segi penceritaan walaupun klise (mengitar semula cerita lama) tetapi ada ‘cerita bergerak’ yang menarik: The Monster Squad(1987), filem kegemaran aku sewaktu aku kecil. The Monster Squad mempunyai plot yang seakan-akan serupa dengan Antoo Fighter. Apa yang membezakan filem itu dengan filem ini ialah gaya penceritaan dan bagaimana satu-satu watak mempunyai lengkok cerita walaupun tampak kebudak-budakan.

Contohnya, cerita pertalian budak kecil perempuan bersama Frankenstein Monster pun ada ‘E.T. cuteness’nya walaupun meniru pengolahan pertalian Elliot - E.T. (waktu ledakan E.T., kebanyakan filem Hollywood termasuk Hong Kong tiba-tiba memusatkan cerita seorang budak dengan makhluk yang comel). Kita kenal dan faham bila si budak perempuan melambai-lambai tangannya sambil menangis untuk memegang Frankenstein Monster lalu bila anak patung itu sampai ke Frankenstein Monster, para penonton boleh turut menangis. Satu lengkuk cerita sudah tersimpul.

Di dalam Antoo Fighter, tidak ada satu watak pun yang disimpulkan dengan menarik, walaupun watak utama, Radhi OAG, dengan sifat laju, celaru dan lawaknya (dia berpotensi sebenarnya jika kena gaya dengan pengarah yang baik) yang memikat, tidak terbawa ke mana-mana oleh sebab cerita yang sangat hambar. Inilah masalah Antoo Fighter, sebuah francais yang menarik dari segi cadangan kertasnya tetapi gagal dalam bentuk aplikasinya.

Filem ini mungkin akan mendapat tempat buat kanak-kanak Malaysia yang dahagakan filem CGI/animasi dan pecah panggung kerananya, tetapi buat aku, aku terpaksa mengaku kalau bukan adik aku paksa aku tonton sampai ke akhir, aku sudah keluar 40 minit lebih awal dari panggung. Terima kasih Antoo Fighter kerana merosakkan malam Halloweenku.